Luis Antonio Valencia muncul antara pemain penting dalam misi pemburuan kejuaraan liga ke-20 Manchester United musim ini. Kelmarin, Valencia sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah pemain yang `wajib diturunkan' apabila membantu The Red Devils meraih tiga mata berharga di Ewood Park, sekaligus melebarkan pendahuluan mereka di tangga teratas liga. Selepas diketepikan sejak 23 Februari kerana masalah hamstring, Valencia kembali diturunkan ketika United berdepan Wolverhampton Wanderers di Molineux pada 18 Mac. Valencia membuktikan ketajamannya pada aksi sulung sejak hampir sebulan direhatkan apabila menjaringkan satu gol dan menyumbang dua assist di sebalik kemenangan bergaya 5-0 United ke atas pasukan yang berada di zon penyingkiran itu. Aksi di Ewood Park membuktikan kebenaran kata-kata Sir Alex Ferguson sebelum ini bahawa bintang antarabangsa Ecuador itu adalah pemain yang bakal menentukan hala tuju pemburuan kejuaraan liga ke-20 United pada baki saingan musim ini. United dilihat buntu dalam usaha mereka menembusi kubu Blackburn Rovers yang mengamalkan taktik bertahan, sehinggalah jaringan Valencia diminit ke-81 kembali membuka permainan. Lima minit kemudian, Valencia sekali lagi memainkan peranan utama apabila umpanannya berjaya dimanfaatkan Ashley Young untuk gol kedua United sekaligus menebus kehampaan tewas kepada lawan yang sama pada aksi di Old Trafford, Disember lalu. "Antonio adalah pemain yang luarbiasa dan dia akan menjadi yang lebih baik pada setiap perlawanan. Blackburn meletakkan 11 pemain di belakang bola dan itu menyukarkan kami, tetapi kami beruntung memiliki pemain seperti Antonio", komen Rafael da Silva selepas tamat perlawanan di Ewood Park.
Valencia kini berkongsi kedudukan dengan pemain Manchester City, David Silva sebagai pemain paling banyak melakukan assist dalam Liga Perdana England. Valencia dan Silva mencatatkan 14 assist setakat ini, tetapi pemain tengah Manchester City itu melakukannya dalam 30 perlawanan berbanding Valencia yang melakukannya dengan hanya 20 perlawanan. Mengikut statistik, Valencia melakukan 12 assist sejak Disember, di mana saingan liga mula memasuki fasa penting dengan tekanan yang kian bertambah dan bayangan kelab mana yang bakal bersaing untuk kejuaraan liga hingga ke penghujung musim mula kelihatan. Selepas pulih dari kecederaan sejak 23 Mac lalu, Valencia berjaya membantu United mengutip mata maksimum pada tiga perlawanan terakhir mereka sekaligus memintas Manchester City selaku pendahulu liga dengan kelebihan lima mata. Ketika mula-mula menjejak kaki di England dan menyertai Wigan Athletic dari kelab Sepanyol Recreativo Huelva, tiada siapa menyedari potensi besar milik Valencia. Ketika itu juga tiada siapa yang menyangka (termasuk penyokong-penyokong United) bahawa suatu hari nanti Valencia akan menyertai kelab besar seperti Manchester United. Valencia dibeli dari Wigan Athletic dengan harga 16 juta Pound pada musim panas 2009 sebagai pengganti Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid. Kepantasan adalah aset utama Valencia yang sering menghadirkan mimpi buruk buat pertahanan lawan dan apa yang lebih penting, karier Valencia jarang diselubungi kontroversi. Valencia sebaliknya secara diam-diam menolak United ke puncak liga sekaligus menghampiri kejuaraan liga kelima mereka dalam tempoh enam tahun. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan