07 April 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn QPR



Manchester United akan melayan kunjungan Queens Park Rangers di Old Trafford hanya beberapa jam sebelum pencabar terdekat mereka, Manchester City berdepan Arsenal di gelanggang lawan.  Sir Alex Ferguson sedar, kemenangan ke atas Rangers yang kini sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran bakal memberikan tamparan psikologi ke atas jiran mereka itu dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga.  United ketinggalan lapan mata di belakang skuad Roberto Mancini Disember lalu, tetapi kemenangan di Old Trafford esok bakal menyaksikan skuad The Red Devils pula memiliki kelebihan sama di hadapan jiran mereka itu.  Rangers yang dibimbing Mark Hughes, bekas pemain United dan juga pernah menguruskan City dilihat terdesak dan memerlukan mata bagi menghidupkan peluang mereka untuk terus bersaing dalam Liga Perdana musim depan.  Kemenangan ke atas Liverpool dan Arsenal di gelanggang sendiri melonjakkan mereka ke tangga 17 liga tetapi mereka juga harus memperbaiki prestasi ketika bertandang ke gelanggang lawan. Tiga mata penuh yang dikutip ke atas Wolverhampton Wanderers di Molineux pada bulan September lalu menjadi satu-satunya kemenangan mereka di luar Loftus Park dalam tempoh hampir tujuh bulan. 

Hughes bakal berdepan bos lamanya di Old Trafford, tetapi Ferguson sudah tentu tidak akan bermurah hati tatkala pasukannya sedang dalam misi memburu kejuaraan liga ke-20 mereka.  United masih kekal tanpa khidmat Anderson, Anders Lindegaard, Nemanja Vidic dan Darren Fletcher tetapi Nani dijangka menyertai semula pasukan selepas pulih dari kecederaan pergelangan kaki.  Michael Owen juga dikatakan sudah pulih tapi nama penyerang veteran itu tidak mungkin disenaraikan dalam pasukan untuk perlawanan minggu ini.  Kunjungan Rangers di Old Trafford tanpa kelibat penyerang mereka Djibril Cisse yang masih menjalani penggantungan empat perlawanan berikutan layangan kad merah kedua yang diterimanya musim ini ketika berdepan Sunderland. Walau bagaimanapun, Hughes sudah boleh menggunakan khidmat Heidar Helguson dan DJ Campbell untuk mengisi kekosongan Cisse di barisan hadapan selepas kedua-duanya pulih dari masalah hamstring.  Meskipun bermain di gelanggang sendiri, United tidak harus memandang mudah cabaran pasukan seperti Rangers yang pastinya akan berusaha meneruskan kelangsungan mereka dalam saingan elit Liga Perdana musim depan.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Antonio Valencia, Michael Carrick, Ryan Giggs, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck

Tiada ulasan:

Catat Ulasan