Manchester United melebarkan jurang ditakhta Liga Perdana England selepas berjaya menewaskan Blackburn Rovers 2-0 di Ewood Park awal pagi tadi. Biarpun dipaksa bekerja keras dengan corak bertahan yang diterapkan lawan, United akhirnya meraih tiga mata penuh, apabila Luis Antonio Valencia dan Ashley Young masing-masing menyumbang satu gol sekaligus menghadiahkan kemenangan berharga buat skuad The Red Devils. Kemenangan ini juga menyaksikan United berjaya melebar jurang mata dari pencabar terdekat, Manchester City dengan kelebihan lima mata. United menguasai sepenuhnya perlawanan di Ewood Park sambil tuan rumah sekali sekala cuba memberi ancaman menerusi taktik serang balas pantas. United jelas menguasai saingan namun hanya berjaya mencipta satu peluang keemasan sepanjang separuh masa pertama menerusi Javier Hernandez, namun bola berjaya diselamatkan Paul Robinson di atas garisan gol. Walaupun jarang memberi tekanan, tuan rumah hampir berjaya membolosi gawang United menerusi rembatan Marcus Olsson dan tandukan Grant Hanley, namun berjaya dinafikan David de Gea.
Kebuntuan akhirnya terlerai apabila Valencia menjaringkan gol pembukaan United diminit ke-81 menerusi rembatan cantik dari sebelah kiri kotak penalti yang gagal diselamatkan Robinson. Lima minit selepas itu, giliran Ashley Young pula menjaringkan gol kedua sekaligus mengesahkan tiga mata buat United. Gembira dengan kemenangan yang diraih pasukannya, Ferguson menganggap bahawa gol di penghujung permainan memang sudah menjadi `tanda dagang' dan sebahagian dari tradisi United. "Ini merupakan malam yang panjang namun perjuangan kami akhirnya memperolehi ganjaran setimpal. Kami mencipta beberapa peluang namun gagal menjaringkan gol. Kami sentiasa memaksa mereka berada dalam tekanan namun mereka tetap berbahaya menerusi taktik serangan balas. Gol akhirnya hadir biarpun agak lewat tetapi itu adalah antara ciri kami dan sebahagian dari tradisi kelab", kata Ferguson. Dengan baki tujuh perlawanan, United berpeluang cerah mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu sekaligus mengumpul kejuaraan ke-20 sepanjang sejarah kelab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan