10 April 2012

PREVIEW: WIGAN lwn MANCHESTER UNITED



Manchester United mungkin cuma menghitung hari sebelum ditabalkan sebagai juara liga dan jika mereka terus mencatat kemenangan dalam kunjungan ke DW Stadium awal pagi Khamis nanti, sebelah tangan mereka mungkin sudah mengenggam trofi tersebut buat kali ke-20.  United berada di landasan terbaik tatkala persaingan merebut kejuaraan liga semakin tiba di penghujung dan hanya melibatkan saingan dua penjuru bersama jiran setempat, Manchester City. Ketika tekanan perlumbaan merebut kejuaraan semakin memuncak, United sepertimana kebiasaannya mula mempamerkan kebangkitan di penghujung musim apabila mencatat 8 kemenangan berturut-turut, manakala City pula semakin goyah apabila hanya mengutip dua mata dari tiga perlawanan terakhir mereka.  Berbekalkan motivasi yang cukup tinggi ketika ini, United dilihat tidak menghadapi masalah untuk terus merakamkan kemenangan kesembilan berturut-turut, tetapi cabaran skuad The Latics juga tidak harus dipandang remeh apatah lagi mereka bakal beraksi di gelanggang sendiri.   Dalam usaha mereka untuk terus kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan, skuad bimbingan Roberto Martinez itu berjaya mengejutkan Liverpool di Anfield hasil kemenangan 2-1, menewaskan Stoke City di gelanggang sendiri, manakala hampir mengikat Chelsea di Stamford Bridge tetapi dinafikan oleh jaringan lewat permainan Juan Mata. Sebelum kecundang kepada Chelsea, Wigan tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Saingan sengit di zon penyingkiran memungkinkan pasukan seperti Wigan mengerah sepenuhnya kemampuan mereka dan kejayaan mengejutkan pasukan teratas seperti United adalah satu kemenangan moral cukup besar dalam usaha mereka kekal bersaing di liga elit.  Ketiadaan Nemanja Vidic di bahagian belakang nampaknya tidak begitu dirasai ketika benteng United terus mempamerkan prestasi menakjubkan apabila mereka tidak dibolosi dalam lima perlawanan terakhir.  Hanya Jermain Defoe berjaya menewaskan David de Gea lebih sebulan yang lalu manakala barisan hadapan West Bromwich, Wolves, Fulham, Blackburn dan QPR buntu memecah kekebalan pertahanan United.  Sir Alex Ferguson dijangka terus mengekalkan kombinasi Rio Ferdinand dan Jonny Evans di bahagian tengah pertahanan manakala Patrice Evra dan Phil Jones di sebelah kiri dan kanan (pertahanan).  Franco de Santo dan Shaun Maloney pastinya menjadi sandaran Martinez dalam usaha memburu gol berikutan ketiadaan Hugo Rodallega yang masih lagi dibelenggu kecederaan.  Kunjungan terakhir United ke DW Stadium ialah pada 26 Februari 2011 yang menyaksikan mereka menang 4-0 di sini hasil dua jaringan Javier Hernandez dan masing-masing satu oleh Wayne Rooney dan Fabio da Silva.  Untuk rekod, Wigan gagal mengutip sebarang mata dalam sejarah 13 pertembungan mereka di peringkat liga setakat ini.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Phil Jones, Ashley Young, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez

Tiada ulasan:

Catat Ulasan