Manchester United sedang bergerak bagi menandatangani bintang sayap Porto, James Rodriguez selepas Nani mengumumkan bahawa dia mungkin akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Gergasi Itali, Inter Milan dikatakan antara kelab yang serius mengikuti perkembangan Nani selepas sayap Portugal itu mengumumkan kepada media bahawa dia mungkin tidak akan berada lagi di Old Trafford musim hadapan. Sebagai persediaan, United mengorak langkah segera dengan menjadikan pemain sayap Porto, James Rodriguez sebagai pengganti jika Nani benar-benar mengambil keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain. Porto meletakkan tanda harga sebanyak 25 juta Pound ke atas bintang dari Colombia berusia 20 tahun itu yang sebelumnya pernah mengakui bahawa berhijrah ke Old Trafford adalah impiannya. United telah mengikuti perkembangan Rodriguez sepanjang musim ini dan Ferguson dikatakan telah beberapa kali menghantar pemerhati menilai aksi pemain itu bersama Porto dan juga ketika mewakili pasukan kebangsaan. Walau bagaimanapun usaha United mendapatkan tandatangan Rodriguez bakal berdepan saingan dari Bayern Munich yang turut berminat membawa pemain itu ke Allianz Arena. Kehadiran Shinji Kagawa dan prestasi cemerlang yang dipamerkan Ashley Young serta Luis Antonio Valencia menyebabkan timbul keraguan tentang masa depan Nani bersama United. Glory Glory Manchester United!!!
19 Jun 2012
15 Jun 2012
SPEKULASI PERPINDAHAN: ANTARA PEMAIN YANG TERUS DIKAITKAN DENGAN PERPINDAHAN KE OLD TRAFFORD
Manchester United nampaknya muncul kelab paling aktif dalam spekulasi perpindahan pemain yang disiarkan di media-media kebelakangan ini. Akibat kegagalan memenangi sebarang trofi utama musim lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya begitu serius mahu memperkuatkan semula skuadnya bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Dua pemain baru yang sudah disahkan akan melangkah masuk ke Old Trafford ialah Nick Powell dan Shinji Kagawa (Kagawa akan hanya menandatangani kontrak secara rasmi Julai ini). Selepas menandatangani secara rasmi bintang muda Crewe Alexandra, Nick Powell kelmarin dan menunggu ketibaan Kagawa untuk diperkenalkan secara rasmi kepada media, Ferguson terus menjejaki beberapa pemain berprofil tinggi untuk melengkapkan skuad The Red Devils musim hadapan. Antara nama-nama yang dikaitkan dengan minat Ferguson menjelang jendela perpindahan musim panas ini ialah:
KLAAS JAN HUNTELAAR
Selepas Pengurus Besar Schalke 04 mengumumkan terdapat fasa `buy-out' dalam kontrak Huntelaar yang memboleh pemain itu dibeli dengan harga serendah 17 juta Pound, penyerang Belanda yang beraksi di Euro 2012 itu kembali dikaitkan dengan perpindahannya ke Old Trafford. Huntelaar yang menjaringkan 29 gol dari 32 penampilannya di Bundesliga musim ini adalah jawapan terbaik di sebalik pemergian Michael Owen dan Dimitar Berbatov (walaupun United belum mengumumkan secara rasmi pemergian Berba). Dengan kemahiran dan kebolehan yang dimiliki Huntelaar dan tanda harga 17 juta Pound (atau kurang dari itu), penyerang antarabangsa Belanda itu akan menjadi peledak tambahan buat skuad Ferguson sebagai sokongan kepada Wayne Rooney. Huntelaar yang turut dikatakan menjadi sasaran Tottenham Hotspurs dan Arsenal adalah contoh pemain yang mampu memberikan kerjasama baik kepada rakan penyerangnya sepertimana ketika dia bergandingan bersama Raul Gonzalez di Veltins Arena.
ROBERT LEWANDOWSKI
Setakat ini khabar tentang perpindahan Lewandowski ke Old Trafford boleh dikatakan palsu jika mengambilkira kenyataan yang dikeluarkan Pengurus Besar Borussia Dortmund sendiri, Joachim Watzke. Watzke beberapa hari lalu mengatakan khabar angin tentang minat United terhadap bintang penyerang Poland itu sebagai mengarut dan beliau sendiri menolak langkah menjual penyerang itu kepada kelab lain. Menurut Watzke, Lewandowski menegaskan akan terus kekal beraksi di Westfalenstadion musim hadapan dan turut disahkan oleh Pegawai Eksekutif kelab tersebut. Apapun dalam soal perpindahan pemain, sesuatu yang drastik sering berlaku dan selagi jendela perpindahan tidak ditutup, segala kemungkinan boleh saja berlaku. Lihat saja apa yang pernah dilakukan Berba pada 2008 apabila memilih menyertai United berbanding City ketika jendela perpindahan pemain berbaki sejam untuk ditutup.
LUKA MODRIC
Manchester United diberitakan di ambang tawaran 30 juta Pound untuk mendapatkan Luka Modric. Rakan sepasukan Modric dalam skuad kebangsaan Croatia, Vedran Corluka mengatakan bahawa bintang tengah Tottenham Hotspurs itu akan meninggalkan White Hart Lane musim panas ini dengan kemungkinan United atau Paris St Germain sebagai destinasi seterusnya. Spekulasi perpindahan Modric semakin hangat diperkatakan selepas Harry Redknapp dipecat dari jawatan pengurus Spurs. Musim panas lalu, Redknapp antara individu yang cukup kuat mempertahankan kelibat Modric disebalik tawaran lumayan dari Chelsea dan ketiadaan bekas pengurus Spurs itu semakin mendekatkan lagi Modric dengan pintu keluar White Hart Lane.
DEDE
Manchester United dan AC Milan diberitakan muncul dua kelab paling serius mahu mendapatkan khidmat Dede dari Vasco da Gama. Media-media di Itali menerbitkan berita bahawa pemain pertahanan itu adalah perpindahan paling berpotensi untuk Milan selain minatnya untuk beraksi di Liga Perdana England. Presiden Vasco, Roberto Dinamite mendedahkan bahawa Dede menjadi buruan kelab-kelab di Perancis, Itali, Sepanyol dan England. Dinamite juga tidak menolak kemunginan untuk menjual pemain itu jika menerima tawaran harga yang sesuai. Walau bagaimanapun Dinamite menjangka Dede tidak akan meninggalkan kelab sebelum kontraknya tamat pada 2014.
STEVAN JOVETIC
Seorang lagi penyerang yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford ialah, Stevan Jovetic dari Fiorentina. Fiorentina telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sendiri tidak pasti dengan masa depan pemain itu bersama La Viola. Chelsea, Juventus dan Napoli antara kelab yang dikaitkan dengan penyerang itu yang menjaringkan 14 gol dari 27 penampilan di Serie A musim ini. Walau bagaimanapun dengan kontrak pemain itu yang masih berbaki empat tahun dan pihak pengurusan kelab sendiri cuba untuk mengekalkannya di Stadio Artimo Franchi, kemungkinan United untuk mendapatkan khidmat Jovetic tampak agak sukar.
LEIGHTON BAINES
Pertahanan Everton, Leighton Baines terus dikaitkan dengan kemungkinan melangkah ke Old Trafford musim panas ini walaupun tiada kenyataan rasmi dari pihak pengurusan United dan Everton sendiri. Baines dikatakan menjadi sasaran United sebagai pengganti kepada Patrice Evra yang bermain sebanyak 47 perlawanan dalam semua kejohanan sepanjang musim ini. Evra juga muncul antara pemain United paling banyak melakukan penampilan sepanjang musim ini dan hanya terlepas satu perlawanan di peringkat liga. United dilihat terlalu bergantung kepada Evra di sebelah kiri pertahanan mereka dan setakat ini Ferguson tidak memiliki pengganti setaraf jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas pertahanan antarabangsa Perancis itu. Untuk itu, Baines adalah pemain yang mampu mengisi posisi Evra dan kemungkinan berita perpindahan pertahanan England itu akan hangat diperkatakan sebaik berakhirnya kempen England di Euro 2012 nanti.
13 Jun 2012
POWELL SERTAI UNITED SECARA RASMI
Nick Powell menjadi pemain baru pertama yang secara rasmi dibawa masuk ke Old Trafford musim panas ini. Powell pemain tengah dari kelab yang akan beraksi di League One musim depan, Crewe Alexandra menandatangani kontrak secara rasmi selama empat tahun dengan nilai perpindahan sebanyak 4 juta Pound. Powell juga adalah pemain tengah menyerang (attacking midfielder) pertama yang dibawa masuk Ferguson dalam tempoh lima tahun sejak beliau menandatangani Anderson dari Porto pada 2007. Walaupun perjanjian 18 juta Pound untuk membawa Shinji Kagawa ke Old Trafford akan hanya disahkan sebaik jendela perpindahan antarabangsa dibuka 1 Julai ini, Ferguson seperti biasa nampaknya tetap tertarik dengan bakat muda seperti Powell sebagai prospek masa depan skuadnya. Penyokong-penyokong setia United dijangka dapat menyaksikan aksi sulung Powell pada jelajah pra musim United di China, Afrika Selatan dan Norway. Ferguson menyifatkan pemain tengah berusia 18 tahun ini sebagai `bakat luar biasa' selepas dia menjaringkan 16 gol dalam semua perlawanan liga musim lalu yang juga merupakan musim keduanya sebagai pemain profesional. Maka tidak hairanlah apabila Ferguson mengirimkan pasukan pencari bakatnya meninjau aksi remaja itu selama berbulan-bulan dan bos United itu nyata gembira apabila Powell memilih United biarpun dia turut menjadi perhatian Chelsea, Everton dan Arsenal. Powell yang pernah mewakili skuad U-16 dan U-18 England, berperanan sebagai pemain tengah menyerang di Crewe dan sering diletakkan sebagai target man dalam pasukan.
Powell melakukan penampilan pertama bersama Crewe dalam saingan League Two pada musim 2010/11 di bawah bekas pengurus Dario Gradi dan bermain sebanyak 19 perlawanan pada musim tersebut. Di bawah pengurusan Steve Davis, bakat Powell terus berkembang apabila berjaya membantu Crewe melonjak ke League One musim depan dan antara golnya yang paling diingati ialah jaringan dari jarak 35 meter ketika menang 4-3 ke atas Gillingham dalam perlawanan liga dan menyumbang satu gol ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Cheltenham dalam perlawanan play-off di Wembley bulan lalu. Powell menamatkan kempen musim lalu dengan menghasilkan 16 gol dari 45 penampilan dan dianugerahkan pemain terbaik tahunan kelab dan Pemain Remaja Terbaik di League Two. Prestasi Powell menarik minat Ferguson dan pembantunya Mike Phelan untuk hadir menyaksikan sendiri aksinya ketika menentang Aldershot Town, Mei lalu. Powell berpeluang mengembangkan lagi bakatnya di Old Trafford dan semua pihak di Crewe termasuk para penyokong gembira apabila produk dari akademi mereka menandatangani kontrak bersama kelab terkenal seperti United. Yuran perpindahan 4 juta Pound untuk seorang pemain remaja yang beraksi dalam saingan liga yang lebih rendah adalah satu jumlah yang agak besar. Hanya `bakat luar biasa' yang dimiliki seseorang pemain mampu mendorong Sir Alex Ferguson membayar wang sebanyak itu dan diharapkan agar Powell mampu memecah masuk ke dalam skuad utama United sepertimana yang dilakukan Cristiano Ronaldo pada 2003. Glory Glory Manchester United!!!
12 Jun 2012
SPEKULASI PERPINDAHAN: FERGIE BERMINAT DAPATKAN `KEANO BARU'
![]() |
| Kevin Strootman |
Manchester United diberitakan cukup berminat mendapatkan khidmat bintang tengah Belanda, Kevin Strootman dan menawarkan nilai perpindahan 14 juta Pound kepada kelab pemain itu, PSV Eindhoven. Sir Alex Ferguson melihat potensi Strootman sebagai pengganti jangka panjang kepada Darren Fletcher yang kecergasannya masih menjadi tanda tanya ketika ini. Strootman adalah salah seorang anggota skuad The Oranje di Euro 2012 dan kedudukannya dalam skuad utama Eindhoven musim depan dikatakan bakal tergugat berikutan kepulangan semula kapten skuad kebangsaan, Mark van Bommel. Situasi ini jelas memberi peluang buat United mendapatkan pemain tengah berusia 22 tahun itu yang dikatakan memiliki gaya permainan agresif mirip lagenda dan kapten United sendiri, Roy Keane. Meskipun United turut dikaitkan dengan usaha untuk mendapatkan Luka Modric dari Tottenham Hotspurs, kelibat pemain tengah bertahan seperti Strootman amat diperlukan Ferguson. Bersandarkan kekuatan fizikal dan kebolehan yang dimilikinya, Strootman adalah pemain yang cukup sesuai mengisi posisi tersebut selain faktor pemain itu sendiri dikatakan turut berminat menyertai Michel Vorm, Rafael van der Vaart dan Johnny Heittinga bermain di Liga Perdana England. Agen Strootman, Chiel Dekker mengumumkan masa depan pemain itu bersama Eindhoven akan hanya ditentukan selepas tamatnya Euro 2012. Biarpun Ferguson masih berharap agar Fletcher yang diketepikan sejak November lalu kerana masalah usus dapat menyertai semula pasukan, minat yang ditunjukkan bos United itu terhadap Strootman tetap tinggi sebagai prospek masa hadapan pasukannya.
![]() |
| Nick Powell |
Sementara itu, United dan Crewe Alexandra hampir mencapai kata sepakat dalam soal perpindahan pemain tengah, Nick Powell. Pengurus Crewe, Steve Davis sendiri sudah membayangkan pasukannya akan kehilangan khidmat Powell musim panas ini. Powell yang baru berusia berusia 18 tahun dan diberitakan turut menarik minat Chelsea, Arsenal dan Everton berjaya membuatkan United mengeluarkan dana sebanyak 4 juta Pound bagi membawanya ke Old Trafford. Powell dikatakan adalah antara bintang masa depan bola sepak England hingga Ferguson terpaksa mengutus dua pencari bakatnya mengintai aksi remaja itu di Gresty Road musim lalu. Powell memilih United berbanding pesaing lain di Liga Perdana berikutan tertarik dengan reputasi Ferguson mengembangkan bakat muda selain usaha pengurusan United sendiri yang mengunjungi rumah remaja itu dan hubungan baik yang lama terjalin antara The Red Devils dan Crewe. Powell membuktikan reputasinya apabila menjaringkan gol cantik dalam perlawanan play-off League Two menentang Cheltenham City di Wembley bulan lalu. Dalam perlawanan itu, Crewe berjaya menewaskan Cheltenham 2-0 dan layak beraksi di League One musim depan. United adalah kelab terbaik buat Powell mengembangkan lagi bakatnya selepas dia berjaya menunjukkan nilai yang ada pada dirinya dengan menjaringkan 16 gol dari 45 penampilan bersama Crewe musim lalu. Glory Glory Manchester United!!!
11 Jun 2012
YOUNG DAN WELBECK SANDARAN THREE LIONS
Boleh dikatakan hanya dua perkara penting yang menyelubungi skuad kebangsaan England pada Kejohanan Euro 2012 yang baru berlangsung ketika ini, iaitu isu penyingkiran Rio Ferdinand dan ketiadaan Wayne Rooney dalam dua perlawanan awal mereka di peringkat kumpulan. Bagi penyokong-penyokong Manchester United, mereka akan menyaksikan enam pemain dari skuad The Red Devils beraksi di Ukraine dan Poland iaitu Wayne Rooney, Danny Welbeck, Ashley Young bersama England, Patrice Evra bersama Perancis dan Nani bersama skuad Portugal. Mungkin juga masih ramai penyokong United yang masih membahaskan isu ketiadaan Michael Carrick dan Rio Ferdinand bersama skuad England kali ini. Skuad The Three Lions kali ini tidak diberikan harapan tinggi untuk mara lebih jauh dan Roy Hodgson mungkin mengikut jejak Sir Bobby Robson yang gagal membawa England melepasi peringkat kumpulan di Euro 1988. England akan membuka tirai perlawanan mereka di Euro 2012 menentang skuad penuh bersemangat, Perancis tengah malam nanti dan dengan kecergasan John Terry masih menjadi tandatanya, benteng pertahanan England bakal berdepan masalah besar berdepan asakan dari Karim Benzema, Franck Ribery, Oliver Giroud, Hatem Ben Arfa, Yohan Cabaye dan Samir Nasri. Meskipun hakikatnya Rio pernah mengatakan bahawa dia akan berada di mana-mana bar untuk menonton dan menyokong aksi England, kejayaan skuad Laurent Blanc mengaibkan Hodgson nanti bakal menghadirkan senyuman di wajah Rio. Lupakan isu Rio dan kita lihat apakah Hodgson dengan pemain yang beliau miliki mampu melangkah jauh di pentas Euro 2012 kali ini? Ada yang secara sinis mengatakan bahawa Hodgson akan meniru taktikal Roberto de Matteo bersama Chelsea di saingan Liga Juara-Juara dengan meletakkan bas di hadapan pintu gol mereka. England akan berdepan krisis di barisan pertahanan mereka jika betul Terry tidak cergas sepenuhnya namun persoalan yang cukup penting yang sering dilupakan ialah bagaimana England melakukan serangan tanpa kelibat Rooney dalam dua perlawanan awal.
Mujurlah walaupun Hodgson tidak dapat menggunakan khidmat Rooney, tetapi beliau masih mempunyai dua lagi pemain United dalam skuadnya di barisan hadapan. Pemain yang dimaksudkan ialah Welbeck dan Young. Untuk perlawanan menentang Perancis nanti, Hodgson dijangka meletakkan Andy Carroll di bangku simpanan dan menggunakan Welbeck sebagai target man mereka. Jika ini berlaku (dengan meletakkan Welbeck sebagai penyerang tunggal), taktikal yang akan digunakan Hodgson nanti pastinya mudah di baca, iaitu bermain bolasepak secara negatif. Tanpa Rooney, England berdepan kesukaran memecah benteng pertahanan tengah Perancis yang dibarisi Phillip Mexes serta Adil Rami, dan untuk itu Hodgson perlu bijak menggunakan kepantasan milik Young dan Welbeck ketika menyerang. Walau bagaimanapun kelebihan milik Young dan Welbeck tidak berguna untuk England jika bola tidak sampai ke kaki mereka. Perancis memiliki kelebihan di bahagian tengah berbanding England kerana memiliki pemain-pemain seperti Ribery, Ben Arfa, Nasri serta Cabaye dan ini tentunya menyukarkan lagi tugas Young dan Welbeck. Young menjaringkan enam gol dari 10 perlawanan terakhirnya di peringkat antarabangsa dan pemain sayap United itu tampak sudah bersedia menggalas tugas berat dan bersedia mengambilalih peranan Rooney dalam memburu jaringan. Mungkin Young boleh menggunakan pengalaman berdepan tekanan saban minggu di Old Trafford sebagai panduan ketika berdepan Perancis nanti. Kebolehan dan skill individu milik Welbeck pula memberikan kelebihan buat penyerang muda United itu berbanding Carroll. Welbeck dilihat pemain yang mampu memecah benteng pertahanan Perancis jika menerima bola berbanding Carroll yang lebih banyak mencipta peluang di udara. Blanc sendiri agak khuatir dengan ancaman yang bakal diberikan Welbeck dan memberikan amaran kepada benteng pertahanannya agar tidak memberikan ruang buat penyerang United itu jika dia diturunkan Hodgson nanti. Apapun, jika Hodgson mahu menidakkan ramalan pemerhati bahawa skuadnya akan bermain secara negatif pada perlawanan pertama mereka, maka bos England itu perlu menggunakan sepenuhnya potensi milik Young dan Welbeck ketika menyerang.
06 Jun 2012
HODGSON TERUS DIKRITIK
Selepas diselar banyak pihak atas tindakannya tidak membawa Rio Ferdinand ke pusingan akhir Euro 2012, kini giliran bekas kapten kulit hitam pertama England, Paul Ince pula menyelar tindakan Roy Hodgson itu. Hodgson memberikan alasan `atas sebab bolasepak' mengapa dia tidak menyenaraikan Ferdinand dalam skuad Three Lions ke Ukraine biarpun kehilangan khidmat Gary Cahill di benteng pertahanan dan menamakan pemain kurang berpengalaman dari Liverpool Martin Kelly sebagai pengganti. Tindakan Hodgson mengenepikan Rio dilihat pemerhati lebih kepada usahanya mengelak perpecahan dalam pasukan selepas hubungan Rio dan John Terry dikatakan dingin berikutan insiden berbaur perkauman melibatkan kapten Chelsea itu dengan pertahanan QPR yang juga merupakan adik Rio, Anton Ferdinand Oktober lalu. Terry yang tidak mengaku bersalah bakal hadir ke mahkamah Julai ini untuk mendengar sebutan kesnya. Rio yang mempunyai 81 caps antarabangsa bersama skuad England dilihat calon tepat untuk menggantikan Cahill selepas pertahanan Chelsea itu menyertai Frank Lampard dan Gareth Barry yang diketepikan dari dari skuad ke Ukraine kerana masalah kecederaan. Walau bagaimanapun Hodgson sebaliknya memilih Kelly yang hanya mempunyai pengalaman selama dua minit dalam skuad kebangsaan menggantikan tempat Cahill. Tindakan tersebut ternyata mengundang kritikan lantang dari Ince yang juga merupakan bekas bintang United dan Liverpool. Bagi Ince, alasan yang diberikan Hodgson jelas tidak boleh diterima.
Menurut Ince, sebagai pengurus England, Hodgson sepatutnya menerangkan sebab sebenar mengapa dia tidak menyenaraikan Rio ke Euro 2012 dan bukannya memberikan alasan yang tidak masuk akal dan sukar diterima pemerhati mahupun penyokong-penyokong England sendiri. Hodgson kini mungkin memulakan kesebelasan utamanya dengan meletakkan gandingan Joleon Lescott dan Terry di bahagian tengah benteng pertahanannya selepas ketiadaan Cahill. Ince menyifatkan ketiadaan Rio bakal menyaksikan peminat-peminat bolasepak khasnya penyokong Three Lions kehilangan peluang melihat aksi salah satu gandingan pertahanan terbaik di dunia di pentas besar seperti Euro 2012. Disebalik spekulasi hubungan Rio/Terry, Ince yakin pertahanan berpengalaman Manchester United itu gembira jika disenaraikan dan bergandingan dengan Terry di Ukraine nanti. Terdapat banyak contoh sebelum ini pemain yang mempunyai hubungan dingin di luar padang tetapi mampu bergandingan baik apabila mewakili skuad kebangsaan. Contoh terbaik ialah Teddy Sheringham dan Andy Cole yang pada satu ketika tidak bertegur sapa di luar padang tetapi berjaya membentuk gandingan mantap di peringkat kelab mahupun ketika mewakili skuad kebangsaan. Menurut Ince lagi, Rio dan Terry adalah pemain yang cukup berpengalaman dan pastinya mampu menangani situasi semasa ketika berada dalam satu pasukan, dan yakin pengalaman Rio/Terry cukup berharga untuk England di kejohanan besar seperti Euro 2012. Media mungkin berjaya meniupkan spekulasi permusuhan Rio/Terry, tetapi sebaik perlawanan pertama England bermula nanti semua perkara diluar padang akan segera dilupakan. Tepat atau tidak tindakan Hodgson itu akan hanya dapat disaksikan selepas England menamatkan tiga perlawanan di peringkat kumpulan dan jika Three Lions gagal melayakkan diri di peringkat suku akhir, kecaman hebat pasti menanti Hodgson di England.
SELEPAS KAGAWA, FERGIE SASARKAN BAINES, MODRIC DAN TIOTE
![]() |
| Leighton Baines |
Selepas berjaya mendapatkan khidmat Shinji Kagawa dengan nilai perpindahan 17 Juta Pound, Sir Alex Ferguson nampaknya tidak akan berhenti setakat ini sahaja apabila beliau dilaporkan menjadikan bek Everton, Leighton Baines, perancang Tottenham Hotspurs, Luka Modric dan pemain tengah Newcastle United, Cheick Tiote sebagai sasaran seterusnya. United dan Dortmund diberitakan telah mencapai kata sepakat dan menamatkan spekulasi tentang isu perpindahan Kagawa apabila juara Bundesliga itu setuju menerima tawaran bernilai 17 juta Pound dari United untuk Kagawa. Kagawa hanyalah permulaan dalam usaha Ferguson memantapkan skuadnya bagi menghadapi cabaran musim hadapan dan lebih penting merampas semula kejuaraan Liga Perdana yang terlepas kepada musuh setempat, Manchester City. Luka Modric terus berada dalam perhatian Ferguson dan bos United itu nampaknya semakin bernafsu selepas kehilangan sasaran utamanya, Eden Hazard kepada Chelsea minggu lalu. Modric bagi Ferguson adalah jawapan tepat selepas dia kehilangan Hazard dan selain bintang tengah Spurs itu, Ferguson turut mengintai beberapa pemain baru yang mampu memperkuatkan pasukannya terutama di bahagian kiri pertahanan dan kawasan tengah. Untuk itu, Ferguson turut dikaitkan dengan minatnya mendapatkan Leighton Baines sebagai alternatif kepada Patrice Evra dan Cheick Tiote, seorang pemain tengah bertahan yang mampu melindungi benteng pertahanan pasukannya. Ferguson bagaimanapun diberitahu untuk ketiga-tiga pemain itu (Modric, Baines dan Tiote), beliau perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 72 juta Pound musim panas ini. Sumber United menyebut bahawa pertanyaan telah pun dibuat terhadap ketiga-tiga pemain tersebut tetapi Ferguson tidak akan mengeluarkan wang untuk `bayaran-bayaran yang tidak masuk akal' biarpun ketiga-tiga pemain itu berada disenarai teratas pemain yang ingin diburunya.
![]() |
| Luka Modric |
Kemungkinan ini juga adalah satu taktik yang digunakan Spurs, Newcastle dan Everton dalam usaha untuk mengekalkan pemain terbaik mereka, khususnya Modric yang dikatakan cukup berpengaruh di White Hart Lane. Modric datang ke Spurs dengan nilai 16 juta Pound pada 2008 dan kini, dia adalah seorang pemain tengah bertaraf dunia namun berhadapan dengan masalah konsistensi apabila hanya menyumbang 13 gol dari 125 penampilan liga bersama Spurs. Dengan sumbangannya setakat ini, nilai 32 juta Pound yang diletakkan ke atas Modric adalah terlalu tinggi dan harga pemain tengah itu mungkin sekitar 20 juta Pound atau lebih sedikit. Apabila melihat kepada perpindahan Gareth Barry dari Villa ke Manchester City (12 juta Pound), Charlie Adam dari Blackpool ke Liverpool (7 juta Pound) bahkan Ashley Young dari Villa ke Manchester United (18 juta Pound), harga yang diletakkan ke atas Modric benar-benar melambung tinggi. Begitu juga dengan Tiote yang beraksi cemerlang bersama Newcastle musim ini. Dia dibeli dengan harga 3.5 juta Pound dua musim lalu tetapi kini The Magpies meletakkan tanda harga sebanyak 20 juta Pound ke atas pemain antarabangsa Ivory Coast itu. Untuk pemain tengah bertahan sepertinya, nilai 15 juta Pound adalah lebih realistik untuk dibelanjakan walaupun Alan Pardew dijangka cuba mempertahankan pemain itu untuk terus kekal di Sports Direct Arena. Leighton Baines boleh dikatakan pemain paling bernilai antara ketiga-tiganya disebabkan hakikat bahawa dia adalah pemain pertahanan yang secara umumnya menyaksikan Ferguson mengeluarkan belanja yang rendah untuk memperkuatkan benteng pertahanannya berbanding ketika dia mendapatkan pemain tengah atau penyerang. Untuk rekod, Ferguson hanya membelanjakan 5.5 juga Pound ketika mendapatkan Patrice Evra dari AS Monaco pada 2006. Jika Ferguson mahu terus tawar menawar dan faktor kewangan menjadi kekangan untuknya mendapatkan pemain bertaraf bintang, Ferguson sepatutnya melihat kepada liga yang lebih rendah tarafnya bagi mendapatkan bakat muda sepertimana ketika beliau menandatangani Cristiano Ronaldo dan Javier Hernandez. Glory Glory Manchester United!!!
Langgan:
Catatan (Atom)
















