Nick Powell menjadi pemain baru pertama yang secara rasmi dibawa masuk ke Old Trafford musim panas ini. Powell pemain tengah dari kelab yang akan beraksi di League One musim depan, Crewe Alexandra menandatangani kontrak secara rasmi selama empat tahun dengan nilai perpindahan sebanyak 4 juta Pound. Powell juga adalah pemain tengah menyerang (attacking midfielder) pertama yang dibawa masuk Ferguson dalam tempoh lima tahun sejak beliau menandatangani Anderson dari Porto pada 2007. Walaupun perjanjian 18 juta Pound untuk membawa Shinji Kagawa ke Old Trafford akan hanya disahkan sebaik jendela perpindahan antarabangsa dibuka 1 Julai ini, Ferguson seperti biasa nampaknya tetap tertarik dengan bakat muda seperti Powell sebagai prospek masa depan skuadnya. Penyokong-penyokong setia United dijangka dapat menyaksikan aksi sulung Powell pada jelajah pra musim United di China, Afrika Selatan dan Norway. Ferguson menyifatkan pemain tengah berusia 18 tahun ini sebagai `bakat luar biasa' selepas dia menjaringkan 16 gol dalam semua perlawanan liga musim lalu yang juga merupakan musim keduanya sebagai pemain profesional. Maka tidak hairanlah apabila Ferguson mengirimkan pasukan pencari bakatnya meninjau aksi remaja itu selama berbulan-bulan dan bos United itu nyata gembira apabila Powell memilih United biarpun dia turut menjadi perhatian Chelsea, Everton dan Arsenal. Powell yang pernah mewakili skuad U-16 dan U-18 England, berperanan sebagai pemain tengah menyerang di Crewe dan sering diletakkan sebagai target man dalam pasukan.
Powell melakukan penampilan pertama bersama Crewe dalam saingan League Two pada musim 2010/11 di bawah bekas pengurus Dario Gradi dan bermain sebanyak 19 perlawanan pada musim tersebut. Di bawah pengurusan Steve Davis, bakat Powell terus berkembang apabila berjaya membantu Crewe melonjak ke League One musim depan dan antara golnya yang paling diingati ialah jaringan dari jarak 35 meter ketika menang 4-3 ke atas Gillingham dalam perlawanan liga dan menyumbang satu gol ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Cheltenham dalam perlawanan play-off di Wembley bulan lalu. Powell menamatkan kempen musim lalu dengan menghasilkan 16 gol dari 45 penampilan dan dianugerahkan pemain terbaik tahunan kelab dan Pemain Remaja Terbaik di League Two. Prestasi Powell menarik minat Ferguson dan pembantunya Mike Phelan untuk hadir menyaksikan sendiri aksinya ketika menentang Aldershot Town, Mei lalu. Powell berpeluang mengembangkan lagi bakatnya di Old Trafford dan semua pihak di Crewe termasuk para penyokong gembira apabila produk dari akademi mereka menandatangani kontrak bersama kelab terkenal seperti United. Yuran perpindahan 4 juta Pound untuk seorang pemain remaja yang beraksi dalam saingan liga yang lebih rendah adalah satu jumlah yang agak besar. Hanya `bakat luar biasa' yang dimiliki seseorang pemain mampu mendorong Sir Alex Ferguson membayar wang sebanyak itu dan diharapkan agar Powell mampu memecah masuk ke dalam skuad utama United sepertimana yang dilakukan Cristiano Ronaldo pada 2003. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan