11 Jun 2012

YOUNG DAN WELBECK SANDARAN THREE LIONS


Boleh dikatakan hanya dua perkara penting yang menyelubungi skuad kebangsaan England pada Kejohanan Euro 2012 yang baru berlangsung ketika ini, iaitu isu penyingkiran Rio Ferdinand dan ketiadaan Wayne Rooney dalam dua perlawanan awal mereka di peringkat kumpulan. Bagi penyokong-penyokong Manchester United, mereka akan menyaksikan enam pemain dari skuad The Red Devils beraksi di Ukraine dan Poland iaitu Wayne Rooney, Danny Welbeck, Ashley Young bersama England, Patrice Evra bersama Perancis dan Nani bersama skuad Portugal. Mungkin juga masih ramai penyokong United yang masih membahaskan isu ketiadaan Michael Carrick dan Rio Ferdinand bersama skuad England kali ini. Skuad The Three Lions kali ini tidak diberikan harapan tinggi untuk mara lebih jauh dan Roy Hodgson mungkin mengikut jejak Sir Bobby Robson yang gagal membawa England melepasi peringkat kumpulan di Euro 1988. England akan membuka tirai perlawanan mereka di Euro 2012 menentang skuad penuh bersemangat, Perancis tengah malam nanti dan dengan kecergasan John Terry masih menjadi tandatanya, benteng pertahanan England bakal berdepan masalah besar berdepan asakan dari Karim Benzema, Franck Ribery, Oliver Giroud, Hatem Ben Arfa, Yohan Cabaye dan Samir Nasri. Meskipun hakikatnya Rio pernah mengatakan bahawa dia akan berada di mana-mana bar untuk menonton dan menyokong aksi England, kejayaan skuad Laurent Blanc mengaibkan Hodgson nanti bakal menghadirkan senyuman di wajah Rio. Lupakan isu Rio dan kita lihat apakah Hodgson dengan pemain yang beliau miliki mampu melangkah jauh di pentas Euro 2012 kali ini? Ada yang secara sinis mengatakan bahawa Hodgson akan meniru taktikal Roberto de Matteo bersama Chelsea di saingan Liga Juara-Juara dengan meletakkan bas di hadapan pintu gol mereka. England akan berdepan krisis di barisan pertahanan mereka jika betul Terry tidak cergas sepenuhnya namun persoalan yang cukup penting yang sering dilupakan ialah bagaimana England melakukan serangan tanpa kelibat Rooney dalam dua perlawanan awal.

Mujurlah walaupun Hodgson tidak dapat menggunakan khidmat Rooney, tetapi beliau masih mempunyai dua lagi pemain United dalam skuadnya di barisan hadapan. Pemain yang dimaksudkan ialah Welbeck dan Young. Untuk perlawanan menentang Perancis nanti, Hodgson dijangka meletakkan Andy Carroll di bangku simpanan dan menggunakan Welbeck sebagai target man mereka. Jika ini berlaku (dengan meletakkan Welbeck sebagai penyerang tunggal), taktikal yang akan digunakan Hodgson nanti pastinya mudah di baca, iaitu bermain bolasepak secara negatif. Tanpa Rooney, England berdepan kesukaran memecah benteng pertahanan tengah Perancis yang dibarisi Phillip Mexes serta Adil Rami, dan untuk itu Hodgson perlu bijak menggunakan kepantasan milik Young dan Welbeck ketika menyerang. Walau bagaimanapun kelebihan milik Young dan Welbeck tidak berguna untuk England jika bola tidak sampai ke kaki mereka. Perancis memiliki kelebihan di bahagian tengah berbanding England kerana memiliki pemain-pemain seperti Ribery, Ben Arfa, Nasri serta Cabaye dan ini tentunya menyukarkan lagi tugas Young dan Welbeck. Young menjaringkan enam gol dari 10 perlawanan terakhirnya di peringkat antarabangsa dan pemain sayap United itu tampak sudah bersedia menggalas tugas berat dan bersedia mengambilalih peranan Rooney dalam memburu jaringan. Mungkin Young boleh menggunakan pengalaman berdepan tekanan saban minggu di Old Trafford sebagai panduan ketika berdepan Perancis nanti. Kebolehan dan skill individu milik Welbeck pula memberikan kelebihan buat penyerang muda United itu berbanding Carroll. Welbeck dilihat pemain yang mampu memecah benteng pertahanan Perancis jika menerima bola berbanding Carroll yang lebih banyak mencipta peluang di udara. Blanc sendiri agak khuatir dengan ancaman yang bakal diberikan Welbeck dan memberikan amaran kepada benteng pertahanannya agar tidak memberikan ruang buat penyerang United itu jika dia diturunkan Hodgson nanti. Apapun, jika Hodgson mahu menidakkan ramalan pemerhati bahawa skuadnya akan bermain secara negatif pada perlawanan pertama mereka, maka bos England itu perlu menggunakan sepenuhnya potensi milik Young dan Welbeck ketika menyerang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan