06 Jun 2012

SELEPAS KAGAWA, FERGIE SASARKAN BAINES, MODRIC DAN TIOTE


Leighton Baines
Selepas berjaya mendapatkan khidmat Shinji Kagawa dengan nilai perpindahan 17 Juta Pound, Sir Alex Ferguson nampaknya tidak akan berhenti setakat ini sahaja apabila beliau dilaporkan menjadikan bek Everton, Leighton Baines, perancang Tottenham Hotspurs, Luka Modric dan pemain tengah Newcastle United, Cheick Tiote sebagai sasaran seterusnya. United dan Dortmund diberitakan telah mencapai kata sepakat dan menamatkan spekulasi tentang isu perpindahan Kagawa apabila juara Bundesliga itu setuju menerima tawaran bernilai 17 juta Pound dari United untuk Kagawa. Kagawa hanyalah permulaan dalam usaha Ferguson memantapkan skuadnya bagi menghadapi cabaran musim hadapan dan lebih penting merampas semula kejuaraan Liga Perdana yang terlepas kepada musuh setempat, Manchester City. Luka Modric terus berada dalam perhatian Ferguson dan bos United itu nampaknya semakin bernafsu selepas kehilangan sasaran utamanya, Eden Hazard kepada Chelsea minggu lalu. Modric bagi Ferguson adalah jawapan tepat selepas dia kehilangan Hazard dan selain bintang tengah Spurs itu, Ferguson turut mengintai beberapa pemain baru yang mampu memperkuatkan pasukannya terutama di bahagian kiri pertahanan dan kawasan tengah. Untuk itu, Ferguson turut dikaitkan dengan minatnya mendapatkan Leighton Baines sebagai alternatif kepada Patrice Evra dan Cheick Tiote, seorang pemain tengah bertahan yang mampu melindungi benteng pertahanan pasukannya. Ferguson bagaimanapun diberitahu untuk ketiga-tiga pemain itu (Modric, Baines dan Tiote), beliau perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 72 juta Pound musim panas ini. Sumber United menyebut bahawa pertanyaan telah pun dibuat terhadap ketiga-tiga pemain tersebut tetapi Ferguson tidak akan mengeluarkan wang untuk `bayaran-bayaran yang tidak masuk akal' biarpun ketiga-tiga pemain itu berada disenarai teratas pemain yang ingin diburunya. 

Luka Modric
Kemungkinan ini juga adalah satu taktik yang digunakan Spurs, Newcastle dan Everton dalam usaha untuk mengekalkan pemain terbaik mereka, khususnya Modric yang dikatakan cukup berpengaruh di White Hart Lane. Modric datang ke Spurs dengan nilai 16 juta Pound pada 2008 dan kini, dia adalah seorang pemain tengah bertaraf dunia namun berhadapan dengan masalah konsistensi apabila hanya menyumbang 13 gol dari 125 penampilan liga bersama Spurs. Dengan sumbangannya setakat ini, nilai 32 juta Pound yang diletakkan ke atas Modric adalah terlalu tinggi dan harga pemain tengah itu mungkin sekitar 20 juta Pound atau lebih sedikit.  Apabila melihat kepada perpindahan Gareth Barry dari Villa ke Manchester City (12 juta Pound), Charlie Adam dari Blackpool ke Liverpool (7 juta Pound) bahkan Ashley Young dari Villa ke Manchester United (18 juta Pound), harga yang diletakkan ke atas Modric benar-benar melambung tinggi.  Begitu juga dengan Tiote yang beraksi cemerlang bersama Newcastle musim ini. Dia dibeli dengan harga 3.5 juta Pound dua musim lalu tetapi kini The Magpies meletakkan tanda harga sebanyak 20 juta Pound ke atas pemain antarabangsa Ivory Coast itu.  Untuk pemain tengah bertahan sepertinya, nilai 15 juta Pound adalah lebih realistik untuk dibelanjakan walaupun Alan Pardew dijangka cuba mempertahankan pemain itu untuk terus kekal di Sports Direct Arena.  Leighton Baines boleh dikatakan pemain paling bernilai antara ketiga-tiganya disebabkan hakikat bahawa dia adalah pemain pertahanan yang secara umumnya menyaksikan Ferguson mengeluarkan belanja yang rendah untuk memperkuatkan benteng pertahanannya berbanding ketika dia mendapatkan pemain tengah atau penyerang. Untuk rekod, Ferguson hanya membelanjakan 5.5 juga Pound ketika mendapatkan Patrice Evra dari AS Monaco pada 2006. Jika Ferguson mahu terus tawar menawar dan faktor kewangan menjadi kekangan untuknya mendapatkan pemain bertaraf bintang, Ferguson sepatutnya melihat kepada liga yang lebih rendah tarafnya bagi mendapatkan bakat muda sepertimana ketika beliau menandatangani Cristiano Ronaldo dan Javier Hernandez. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan