06 Jun 2012

HODGSON TERUS DIKRITIK


Selepas diselar banyak pihak atas tindakannya tidak membawa Rio Ferdinand ke pusingan akhir Euro 2012, kini giliran bekas kapten kulit hitam pertama England, Paul Ince pula menyelar tindakan Roy Hodgson itu. Hodgson memberikan alasan `atas sebab bolasepak' mengapa dia tidak menyenaraikan Ferdinand dalam skuad Three Lions ke Ukraine biarpun kehilangan khidmat Gary Cahill di benteng pertahanan dan menamakan pemain kurang berpengalaman dari Liverpool Martin Kelly sebagai pengganti. Tindakan Hodgson mengenepikan Rio dilihat pemerhati lebih kepada usahanya mengelak perpecahan dalam pasukan selepas hubungan Rio dan John Terry dikatakan dingin berikutan insiden berbaur perkauman melibatkan kapten Chelsea itu dengan pertahanan QPR yang juga merupakan adik Rio, Anton Ferdinand Oktober lalu. Terry yang tidak mengaku bersalah bakal hadir ke mahkamah Julai ini untuk mendengar sebutan kesnya. Rio yang mempunyai 81 caps antarabangsa bersama skuad England dilihat calon tepat untuk menggantikan Cahill selepas pertahanan Chelsea itu menyertai Frank Lampard dan Gareth Barry yang diketepikan dari dari skuad ke Ukraine kerana masalah kecederaan. Walau bagaimanapun Hodgson sebaliknya memilih Kelly yang hanya mempunyai pengalaman selama dua minit dalam skuad kebangsaan menggantikan tempat Cahill. Tindakan tersebut ternyata mengundang kritikan lantang dari Ince yang juga merupakan bekas bintang United dan Liverpool. Bagi Ince, alasan yang diberikan Hodgson jelas tidak boleh diterima. 

Menurut Ince, sebagai pengurus England, Hodgson sepatutnya menerangkan sebab sebenar mengapa dia tidak menyenaraikan Rio ke Euro 2012 dan bukannya memberikan alasan yang tidak masuk akal dan sukar diterima pemerhati mahupun penyokong-penyokong England sendiri. Hodgson kini mungkin memulakan kesebelasan utamanya dengan meletakkan gandingan Joleon Lescott dan Terry di bahagian tengah benteng pertahanannya selepas ketiadaan Cahill. Ince menyifatkan ketiadaan Rio bakal menyaksikan peminat-peminat bolasepak khasnya penyokong Three Lions kehilangan peluang melihat aksi salah satu gandingan pertahanan terbaik di dunia di pentas besar seperti Euro 2012. Disebalik spekulasi hubungan Rio/Terry, Ince yakin pertahanan berpengalaman Manchester United itu gembira jika disenaraikan dan bergandingan dengan Terry di Ukraine nanti. Terdapat banyak contoh sebelum ini pemain yang mempunyai hubungan dingin di luar padang tetapi mampu bergandingan baik apabila mewakili skuad kebangsaan. Contoh terbaik ialah Teddy Sheringham dan Andy Cole yang pada satu ketika tidak bertegur sapa di luar padang tetapi berjaya membentuk gandingan mantap di peringkat kelab mahupun ketika mewakili skuad kebangsaan. Menurut Ince lagi, Rio dan Terry adalah pemain yang cukup berpengalaman dan pastinya mampu menangani situasi semasa ketika berada dalam satu pasukan, dan yakin pengalaman Rio/Terry cukup berharga untuk England di kejohanan besar seperti Euro 2012. Media mungkin berjaya meniupkan spekulasi permusuhan Rio/Terry, tetapi sebaik perlawanan pertama England bermula nanti semua perkara diluar padang akan segera dilupakan. Tepat atau tidak tindakan Hodgson itu akan hanya dapat disaksikan selepas England menamatkan tiga perlawanan di peringkat kumpulan dan jika Three Lions gagal melayakkan diri di peringkat suku akhir, kecaman hebat pasti menanti Hodgson di England.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan