Manchester United nampaknya muncul kelab paling aktif dalam spekulasi perpindahan pemain yang disiarkan di media-media kebelakangan ini. Akibat kegagalan memenangi sebarang trofi utama musim lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya begitu serius mahu memperkuatkan semula skuadnya bagi menghadapi cabaran musim hadapan. Dua pemain baru yang sudah disahkan akan melangkah masuk ke Old Trafford ialah Nick Powell dan Shinji Kagawa (Kagawa akan hanya menandatangani kontrak secara rasmi Julai ini). Selepas menandatangani secara rasmi bintang muda Crewe Alexandra, Nick Powell kelmarin dan menunggu ketibaan Kagawa untuk diperkenalkan secara rasmi kepada media, Ferguson terus menjejaki beberapa pemain berprofil tinggi untuk melengkapkan skuad The Red Devils musim hadapan. Antara nama-nama yang dikaitkan dengan minat Ferguson menjelang jendela perpindahan musim panas ini ialah:
KLAAS JAN HUNTELAAR
Selepas Pengurus Besar Schalke 04 mengumumkan terdapat fasa `buy-out' dalam kontrak Huntelaar yang memboleh pemain itu dibeli dengan harga serendah 17 juta Pound, penyerang Belanda yang beraksi di Euro 2012 itu kembali dikaitkan dengan perpindahannya ke Old Trafford. Huntelaar yang menjaringkan 29 gol dari 32 penampilannya di Bundesliga musim ini adalah jawapan terbaik di sebalik pemergian Michael Owen dan Dimitar Berbatov (walaupun United belum mengumumkan secara rasmi pemergian Berba). Dengan kemahiran dan kebolehan yang dimiliki Huntelaar dan tanda harga 17 juta Pound (atau kurang dari itu), penyerang antarabangsa Belanda itu akan menjadi peledak tambahan buat skuad Ferguson sebagai sokongan kepada Wayne Rooney. Huntelaar yang turut dikatakan menjadi sasaran Tottenham Hotspurs dan Arsenal adalah contoh pemain yang mampu memberikan kerjasama baik kepada rakan penyerangnya sepertimana ketika dia bergandingan bersama Raul Gonzalez di Veltins Arena.
ROBERT LEWANDOWSKI
Setakat ini khabar tentang perpindahan Lewandowski ke Old Trafford boleh dikatakan palsu jika mengambilkira kenyataan yang dikeluarkan Pengurus Besar Borussia Dortmund sendiri, Joachim Watzke. Watzke beberapa hari lalu mengatakan khabar angin tentang minat United terhadap bintang penyerang Poland itu sebagai mengarut dan beliau sendiri menolak langkah menjual penyerang itu kepada kelab lain. Menurut Watzke, Lewandowski menegaskan akan terus kekal beraksi di Westfalenstadion musim hadapan dan turut disahkan oleh Pegawai Eksekutif kelab tersebut. Apapun dalam soal perpindahan pemain, sesuatu yang drastik sering berlaku dan selagi jendela perpindahan tidak ditutup, segala kemungkinan boleh saja berlaku. Lihat saja apa yang pernah dilakukan Berba pada 2008 apabila memilih menyertai United berbanding City ketika jendela perpindahan pemain berbaki sejam untuk ditutup.
LUKA MODRIC
Manchester United diberitakan di ambang tawaran 30 juta Pound untuk mendapatkan Luka Modric. Rakan sepasukan Modric dalam skuad kebangsaan Croatia, Vedran Corluka mengatakan bahawa bintang tengah Tottenham Hotspurs itu akan meninggalkan White Hart Lane musim panas ini dengan kemungkinan United atau Paris St Germain sebagai destinasi seterusnya. Spekulasi perpindahan Modric semakin hangat diperkatakan selepas Harry Redknapp dipecat dari jawatan pengurus Spurs. Musim panas lalu, Redknapp antara individu yang cukup kuat mempertahankan kelibat Modric disebalik tawaran lumayan dari Chelsea dan ketiadaan bekas pengurus Spurs itu semakin mendekatkan lagi Modric dengan pintu keluar White Hart Lane.
DEDE
Manchester United dan AC Milan diberitakan muncul dua kelab paling serius mahu mendapatkan khidmat Dede dari Vasco da Gama. Media-media di Itali menerbitkan berita bahawa pemain pertahanan itu adalah perpindahan paling berpotensi untuk Milan selain minatnya untuk beraksi di Liga Perdana England. Presiden Vasco, Roberto Dinamite mendedahkan bahawa Dede menjadi buruan kelab-kelab di Perancis, Itali, Sepanyol dan England. Dinamite juga tidak menolak kemunginan untuk menjual pemain itu jika menerima tawaran harga yang sesuai. Walau bagaimanapun Dinamite menjangka Dede tidak akan meninggalkan kelab sebelum kontraknya tamat pada 2014.
STEVAN JOVETIC
Seorang lagi penyerang yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford ialah, Stevan Jovetic dari Fiorentina. Fiorentina telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sendiri tidak pasti dengan masa depan pemain itu bersama La Viola. Chelsea, Juventus dan Napoli antara kelab yang dikaitkan dengan penyerang itu yang menjaringkan 14 gol dari 27 penampilan di Serie A musim ini. Walau bagaimanapun dengan kontrak pemain itu yang masih berbaki empat tahun dan pihak pengurusan kelab sendiri cuba untuk mengekalkannya di Stadio Artimo Franchi, kemungkinan United untuk mendapatkan khidmat Jovetic tampak agak sukar.
LEIGHTON BAINES
Pertahanan Everton, Leighton Baines terus dikaitkan dengan kemungkinan melangkah ke Old Trafford musim panas ini walaupun tiada kenyataan rasmi dari pihak pengurusan United dan Everton sendiri. Baines dikatakan menjadi sasaran United sebagai pengganti kepada Patrice Evra yang bermain sebanyak 47 perlawanan dalam semua kejohanan sepanjang musim ini. Evra juga muncul antara pemain United paling banyak melakukan penampilan sepanjang musim ini dan hanya terlepas satu perlawanan di peringkat liga. United dilihat terlalu bergantung kepada Evra di sebelah kiri pertahanan mereka dan setakat ini Ferguson tidak memiliki pengganti setaraf jika sesuatu yang buruk berlaku ke atas pertahanan antarabangsa Perancis itu. Untuk itu, Baines adalah pemain yang mampu mengisi posisi Evra dan kemungkinan berita perpindahan pertahanan England itu akan hangat diperkatakan sebaik berakhirnya kempen England di Euro 2012 nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan