06 Disember 2012

REVIEW: REKOD TANPA KALAH GELANGGANG SENDIRI BERAKHIR


Manchester United gagal mempertahankan rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas tewas 0-1 kepada CFR Cluj awal pagi tadi. Sepertimana jangkaan awal, Sir Alex Ferguson merehatkan sebahagian besar pemain-pemain utamanya dengan memberi penampilan kepada majoriti pemain muda selepas United sudahpun lebih awal mengesahkan kedudukan mereka di pusingan kedua nanti. Gol menakjubkan dari Luis Alberto diminit ke-56 membolehkan Cluj mengutip tiga mata penuh sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ketika beraksi di gelanggang lawan dalam saingan Liga Juara-Juara. Kemenangan yang dirakamkan Cluj ini turut membolehkan mereka muncul kelab Romania pertama menewaskan United di Old Trafford. Walau bagaimanapun kemenangan ini tidak membantu Cluj layak ke pusingan kedua selepas Galatasaray turut mencatat kemenangan ketika berdepan SC Braga di gelanggang lawan. Kedua-dua kelab mengumpul 10 mata namun Galatasaray layak menerusi peraturan rekod kemenangan mereka ke atas Cluj dalam saingan peringkat kumpulan. United akan diiringi Galatasaray ke pusingan kedua nanti manakala Cluj pula yang berada di tangga ketiga sekadar berpuas hati dengan tiket beraksi di Liga Europa. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Susunan Barisan Pemain United:

De Gea, Jones, Smalling, Wootton, Buttner, Cleverley (Scholes 45’), Powell (Macheda 73’), Giggs (Fletcher 86’), Welbeck, Hernandez & Rooney

Susunan Barisan Pemain Cluj:

Felgueiras, Pinto, Cadu, Piccolo, Rada, Alberto, Muresan, Sougou (Kapetanos 90’), Pedro (M Aguirregaray 71’), Camora & Bastos (Maftei 78’)

Statistik Perlawanan:

Gol: 0 – 1
Percubaan: 24 – 9
Percubaan Tepat: 11 – 4
Percubaan Tersasar: 13 – 5
Tendangan Sudut: 6 – 7
Kad Kuning: 1 – 2
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 68% - 32%

05 Disember 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn CFR CLUJ



Manchester United akan turun dalam perlawanan terakhir Kumpulan H, Liga Juara-Juara berdepan wakil Romania, CFR Cluj awal pagi esok. Walau apapun keputusan perlawanan di Old Trafford nanti, kedudukan United selaku pendahulu kumpulan tidak terjejas dan peluang ini bakal digunakan Sir Alex untuk menurunkan skuad keduanya bagi persiapan menghadapi derby Manchester hujung minggu ini. United menewaskan Cluj 2-1 pada perlawanan pusingan pertama di Romania hasil dua jaringan Robin Van Persie selepas ketinggalan menerusi gol pembukaan Pantelis Kapetanos. Selepas berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan liga Ahad lalu, peluang bermain dalam perlawanan ini (meskipun sebagai pemain gantian) bakal menyemarakan semangat penyerang England itu untuk berdepan perlawanan derby Ahad ini. Rooney menunjukkan profesionalisme sejatinya ketika membantu kemenangan United ke atas Reading dan perlawanan menentang Cluj nanti boleh digunakannya sebagai pemanas badan sebelum berdepan (Manchester) City. Bagi Cluj pula, mereka berdepan situasi hidup dan mati dalam perlawanan ini bagi melayakan diri ke pusingan kalah mati. Selepas terikat tujuh mata dengan kelab di tangga kedua, Galatasaray, wakil Romania itu perlu menang di Old Trafford sambil mengharapkan Braga mampu menjinakkan atau mencatat keputusan seri ke atas anak-anak buah Fatih Terim di Estadio AXA.

Perancang tengah mereka dari Portugal, Rui Pedro bakal menjadi sandaran utama selepas menjaringkan lapan gol untuk Cluj musim ini temasuk hatrik ketika menentang Braga 21 November lalu. Berpasangan dengan pemain Brazil, Rafael Bastos, gandingan ini tampak sukar disekat dengan Bastos sendiri sudah menghasilkan enam gol setakat ini. Paulo Sergio meletakkan harapan agar kedua-dua gandingan ini mampu meneruskan rentak cemerlang mereka sambil berharap skuadnya mampu bangit semula selepas tewas kepada Astara Giurgiu di gelanggang sendiri dalam aksi liga minggu lalu. “Saya mengakui sukar untuk menjaringkan gol di gawang Manchester United, tetapi dengan kerja keras kami mampu melakukannya”, kata Rui Pedro. Memang ada benarnya apa yang diperkatakan Pedro jika mengambilkira persembahan benteng pertahanan United ketika menentang Reading tempohari. Dengan kemungkinan Sir Alex sendiri akan menggunakan pemain-pemain muda di barisan belakang skuadnya, Cluj boleh mengambil kesempatan ini untuk melakukan sesuatu di Old Trafford nanti. Bagi pemain-pemain muda United yang bakal diturunkan Sir Alex nanti, ini adalah peluang terbaik mereka untuk membuktikan sesuatu kepada pengendali itu terutamanya ketika berdepan pemain-pemain berpengalaman pasukan lawan seperti Pedro dan Bastos. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Alexander Buttner, Phil Jones, Chris Smalling, Rafael da Silva, Darren Fletcher, Nick Powell, Ashley Young, Tom Cleverley, Danny Welbeck & Javier Hernandez

Barisan Kemungkinan Cluj:

Mario Felgueiras, Ionut Rada, Ricardo Cadu, Felice Piccolo, Ivo Pinto, Gabriel Muresan, Luis Alberto, Camora, Moudou Sougou & Rui Pedro 

04 Disember 2012

SIR ALEX BERTEMU `MUSUH' LAMA


Martin Atkinson telah dipilih mengadili perlawanan derby Manchester hujung minggu ini. Siapakah sebenarnya Atkinson? Beliau adalah pengadil yang sebelumnya pernah terlibat dengan persengketaan dan mencetuskan kemarahan Sir Alex Ferguson. Memang masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa derby ke-140 antara dua kelab Manchester itu Ahad ini sebagai perlawanan menentukan kejuaraan liga walaupun kedua-duanya menguasai tangga teratas ketika ini. Walau bagaimanapun permusuhan antara kedua-dua jiran setempat itu sejak akhir-akhir ini bakal menjadikan pertembungan di Stadium Etihad itu berjalan dengan sengit dan panas. Tahun lalu, Sir Alex dijatuhkan hukuman penggantungan lima perlawanan dan didenda 30 ribu Pound gara-gara komen pedasnya atas mutu pengadilan Atkinson selepas United tewas 1-2 kepada Chelsea. Sebelum perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge pada 2 Mac 2011 itu, Sir Alex sempat meluahkan kebimbangannya selepas mendapat tahu bahawa Atkinson diberikan tugas untuk mengadili perlawanan itu. Kebimbangan Sir Alex sebelum perlawanan akhirnya menjadi kenyataan apabila mutu pengadilan Atkinson dikatakan menjadi penyebab United tewas dalam perlawanan itu. Tindakan Atkinson tidak melayangkan kad merah kepada David Luiz selepas terjahan kerasnya ke atas Javier Hernandez dan Wayne Rooney mengundang kemarahan Sir Alex, ditambah pula dengan beberapa siri kekasaran yang dilakukannya dalam perlawanan itu. “Anda perlukan seorang pengadil yang adil atau sekurang-kurangnya tegas untuk mengadili perlawanan besar seperti ini, tetapi kami tidak mendapatkannya. Perlu saya akui, ketika saya tahu siapa yang akan mengadili perlawanan ini (Chelsea dan United), saya sangat-sangat cemas”, kata Sir Alex selepas tamat perlawanan di Stamford Bridge tahun lalu. Kini selepas lebih setahun berlalu, Sir Alex bakal bertemu lagi dengan Atkinson dalam satu lagi perlawanan besar yang dijangka sengit dan panas. Bagaimana reaksi Sir Alex selepas ini? Tentunya cukup menarik untuk kita tunggu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

5 CALON PENGGANTI SIR ALEX FERGUSON


Sir Alex Ferguson dilantik memegang jawatan pengurus Manchester United pada 6 November 1986 menggantikan Ron Atkinson yang dipecat. Ketika mula mengambilalih tugas dari Atkinson, United ketika itu berada di tangga ke-21 liga Divisyen 1. Dua puluh enam tahun kemudian, Fergie yang kini berusia 70 tahun dianggap salah seorang pengurus terhebat sepanjang masa, telah membawa United menang 12 kejuaraan liga, dua trofi Liga Juara-Juara dan banyak lagi kejuaraan untuk kelab sepanjang tempoh beliau berkuasa di Old Trafford. MInggu lalu, Fergie mengejutkan ramai pihak apabila beliau bercakap tentang bakal penggantinya dan berharap dia dapat berehat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Ramai pihak mengatakan ini mungkin musim terakhir karier Fergie sebagai pengurus Manchester United dan tugu 9 meter di yang didirikan di Theatre of Dreams adalah lambang perpisahan buat Fergie. Banyak nama telah dibahaskan untuk jawatan tertinggi di Theatre of Dreams tetapi di sini disenaraikan lima calon paling layak dan sesuai untuk menggantikan tempat Fergie jika beliau mengambil keputusan untuk bersara akhir musim ini:

1. Pep Guardiola

Warga Sepanyol ini mungkin memiliki tempoh singkat ketika mengendalikan Barcelona, tetap sepanjang empat tahun di Nou Camp, Guardiola sudah membawa Barca menang 14 trofi kejuaraan menjadikannya pengurus paling berjaya untuk kelab Catalan itu. Awal musim panas ini, media-media di Sepanyol melaporkan bahawa Sir Alex Ferguson terbang ke New York untuk bertemu Guardiola di mana bekas pemain tengah itu menikmati musim cuti panjang selepas meletak jawatan sebagai pengurus Barcelona. Guardiola yang ketika zamannya sebagai pemain pernah cuba dipancing Fergie turut dilaporkan bertemu ketua eksekutif United, David Gill dan pemilik kelab (keluarga Glazer). Guardiola dikatakan tertarik dengan sejarah serta suasana di Old Trafford dan tawaran mengisi jawatan pengurus Manchester United adalah cara terbaik untuk memujuk dia keluar dari percutian panjangnya. Sumber-sumber yang rapat dengan bekas pengurus Barcelona itu turut mengatakan bahawa Guardiola lebih berminat mengisi kekosongan jawatan di Old Trafford berbanding menggantikan tempat Rafa Benitez hujung musim nanti meskipun beliau diminati Roman Abramovich.

2. Jose Mourinho

Jose Mourinho memang sudah lama diketahui begitu mengidam mengambilalih jawatan Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Mourinho pernah secara terbuka mengatakan bahawa dia begitu cemburu dengan kuasa yang diberikan kepada Fergie dalam menguruskan United, sesuatu yang tidak diperolehinya ketika bersama Chelsea. Sejak meninggalkan Chelsea pada 2007, The Special One telah lama diberitakan ingin kembali semula merasai suasana saingan bolasepak Inggeris. Kontraknya bersama Real Madrid akan berakhir pada 2016, tempoh yang sama Fergie diramalkan akan bersara dan mengosongkan kerusinya di Old Trafford. Walau bagaimanapun baru-baru ini, Mourinho mengatakan dia ingin pulang semula ke England dan berdepan `musuh lamanya’ (Fergie) sekali lagi. “Bagi saya dia (Fergie) adalah bos. Saya memanggilnya bos dan berharap apabila saya pulang semula ke England dia masih lagi mengendalikan Manchester United”, kata Mourinho. Jika Mourinho kekal bersama Madrid hingga kontraknya tamat pada 2016, pengendali dari Portugal itu mungkin hilang kesempatan untuk berdepan Fergie dalam saingan domestik.

3. David Moyes

Meskipun nama-nama besar seperti Pep Guardiola dan Jose Mourinho sering disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk menggantikan Sir Alex Ferguson, namun ada satu nama di England yang kerap menjadi sebutan ramai. Individu yang dimaksudkan ialah pengendali Everton yang juga rakan baik Fergie sendiri iaitu David Moyes. Moyes begitu cemerlang mengendalikan The Toffees sepanjang tempoh sepuluh tahunnya di Goodison Park. Meskipun setiap musim terpaksa berdepan dengan peruntukan kewangan yang terbatas bagi membeli pemain baru, Moyes tetap berjaya membawa Everton secara konsisten bersaing dalam liga domestik. Bekas pengurus United, Tommy Docherty pernah berkata yang beliau begitu yakin Fergie akan dibenarkan untuk memilih penggantinya sendiri. Menurut Docherty pilihan Fergie besar kemungkinan adalah rakan baiknya sendiri, iaitu Moyes. Fergie juga pernah menganggap Moyes sebagai individu yang tahu bagaimana caranya menguruskan kelab seperti Manchester United. Siapa tahu jika satu hari nanti Moyes yang sudah menghabiskan tempoh sepuluh tahun menguruskan kelab dengan pencapaian sederhana seperti Everton akan diberi kepercayaan pula menguruskan kelab terbaik di England.

4. Ole Gunnar Solskjaer

Antara nama-nama yang disebutkan di atas, Solskjaer tentunya paling dekat di hati penyokong-penyokong Manchester United kerana peranannya selama 11 tahun di Old Trafford sebagai supersub. Solskjaer sering menjaringkan gol-gol penting untuk United dan paling terkenal tentulah gol kemenangan masa kecederaan di final Liga Juara-Juara 1999. Selepas bersara pada 2007, `Pembunuh Berwajah Bayi’ ini menceburi bidang kejurulatihan dan dilantik memikul tugas sebagai pengurus skuad simpanan United hingga 2010. Solskjaer pulang semula ke negara asalnya, Norway untuk menguruskan kelab tempatan, Molde FK yang juga merupakan kelab disertai ketika zaman remajanya. Sepertimana ketika zamannya sebagai pemain, sentuhan Solskjaer sebagai pengurus juga berbisa apabila berjaya membawa Molde muncul juara Liga Perdana Norway buat pertama kali pada 2011 dan berjaya mempertahankan kejuaraan mereka tahun ini. Musim panas ini, Solskjaer dikaitkan dengan kekosongan jawatan di Blackburn Rovers selepas Steve Kean dipecat namun dia menolaknya. Apakah tindakan Solskjaer ini disebabkan dia mahu menunggu tawaran dari Manchester United?

5. Ryan Giggs

Sejak melakukan penampilan pertama pada 1991, Ryan Giggs muncul pemain paling konsisten di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan kerja kerasnya membina kerjaya sentiasa menjadi contoh kepada pemain-pemain baru. Dari zaman remaja, hinggalah kini berada di penghujung karier sebagai pemain, Giggs sudah melakukan lebih 900 penampilan untuk United. Pengalamannya sebagai pemain di Old Trafford selama lebih dua dekad menjadikan dia antara individu yang tahu bagaimana caranya untuk terus mengekalkan United sebagai kelab paling berjaya di dunia. Menyedari kariernya sebagai pemain semakin berada di penghujung, Giggs mula mempersiapkan dirinya untuk menjadi pengurus/jurulatih bolasepak selepas bersara kelak. Giggs memang tiada pengalaman langsung dalam bidang kejurulatihan dan dianggap pilihan yang cukup berisiko untuk menggantikan tempat Ferguson. Bagaimanapun jika United mahukan seorang yang betul-betul faham akan selok belok corak pengurusan dan cara Ferguson melatih pemain-pemainnya, tidak ada calon terbaik selain Giggs. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

02 Disember 2012

REVIEW: UNITED JARAKKAN KEDUDUKAN DI TANGGA TERATAS LIGA


Manchester United melebarkan penguasaan mereka di tangga teratas liga selepas membenam cabaran Reading di Stadium Madjeski awal pagi tadi. Dengan pencabar terdekat, Manchester City sekadar mencatat keputusan seri ketika melayani kunjungan Everton di Stadium Etihad, United kini mengumpul 36 mata, tiga mata dihadapan jiran mereka itu. Keputusan seri yang diraih City itu menyebabkan tiada tekanan buat barisan Sir Alex Ferguson untuk mencari kemenangan ketiga mereka dalam tempoh seminggu. Tujuh gol di separuh masa pertama sudah cukup untuk menceritakan cabaran sengit di hadapi The Red Devils pada kunjungan pertama mereka di gelanggang lawan itu sejak 2008. Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Hal Robson-Kanu diminit ke-8 namun United hanya memerlukan lima minit untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras Anderson. Tiga minit selepas jaringan penyamaan Anderson, giliran United pula mendahului lawan menerusi tendangan penalti Wayne Rooney selepas Jonny Evans dijatuhkan pertahanan lawan. Skuad kendalian Brian McDermott yang memburu kemenangan kedua mereka dalam saingan liga musim ini enggan mengalah apabila Adam Le Fondre berjaya menanduk masuk gol penyamaan diminit ke-19 untuk mengikat kedudukan 2-2. Sir Alex kembali menyaksikan skuadnya ketinggalan apabila Sean Morrison menyambut bola dari sepakan sudut untuk menanduk masuk gol ketiga tuan rumah diminit ke-23. 

Perlawanan semakin rancak dengan United melancarkan asakan-asakan ke kubu lawan bagi mencari gol penyamaan dan hasilnya Rooney berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-30. Penyerang antarabangsa England itu bijak memanfaatkan hantaran lintang Patrice Evra dari sebelah kiri untuk menolak masuk melepasi Adam Federici. Episod berbalas gol berterusan apabila empat minit kemudian Robin Van Persie menjaringkan gol liga kesepuluhnya musim ini untuk meletakkan United kembali di hadapan. Gandingan Rooney dan Van Persie menjadi duri dalam daging kepada benteng tuan rumah apabila penyerang Belanda itu bijak melepasi perangkap offside lawan untuk menyambut bola tolakan tumit Rooney sebelum mudah menewaskan Federici. Gol Van Persie itu menutup pesta gol dalam perlawanan ini apabila kedua-dua pasukan buntu dalam usaha mereka menembusi gawang lawan sepanjang babak kedua. Di babak kedua tempo perlawanan tidak sepantas babak pertama biarpun kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang terbaik untuk menambah gol. United berjaya mempertahankan kedudukan mereka dan keputusan 4-3 kekal sebaik pengadil perlawanan Mark Halsey meniup wisel penamat. Kekalahan ini menyaksikan Reading terperosok di tangga ke-19 liga selepas sekadar mengutip sembilan mata. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan:

Gol: 3 – 4
Sepakan Sudut: 6 – 1
Percubaan Tepat: 7 – 6
Percubaan Tersasar: 3 – 5
Kekasaran: 10 – 12
Offside: 0 – 2
Kad Kuning: 1 – 1
Kad Merah: 0 – 0
Penguasaan Bola: 48% - 52% 

01 Disember 2012

PREVIEW: READING lwn MANCHESTER UTD



Manchester United berkunjung ke Stadium Madjeski awal pagi esok  berbekalkan dua kemenangan yang diraih mereka sebelum ini. Menang 3-1 ke atas Queens Park Rangers dan jaringan pantas Robin Van Persie ketika berdepan West Ham membolehkan United mengutip enam mata di gelanggang sendiri sekaligus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu dengan kelebihan satu mata. Sir Alex Ferguson berharap pasukannya mampu mengutip tiga mata penuh ke atas Reading yang baru dinaikkan ke saingan elit Liga Perdana musim ini sekaligus kemenangan liga ketiga United dalam tempoh seminggu. Reading yang tewas 0-1 kepada Aston Villa Rabu lalu mahu menjadikan pertemuan menentang United sebagai penebus kekecewaan mereka dan bekas pemain muda Liverpool, Danny Guthrie dijangka memperkuatkan semula pasukan selepas pulih dari kecederaan pangkal paha. Nasib pemain sayap, Jimmy Kebe pula belum dapat di pastikan dan pemain Mali ini mungkin terlepas aksi sekali lagi ketika kecergasannya menjadi persoalan. Selepas empat musim  bermain di Liga Kejuaraan, Reading yang kembali semula ke Liga Perdana musim ini tampak seolah-olah kurang bersedia berdepan saingan getir dalam saingan tertinggi liga England itu. Mereka hanya mencatat satu kemenangan musim ini selain disingkirkan Arsenal dalam saingan Piala Capital One meskipun pada satu ketika mendahului dengan empat gol. 

Satu-satunya kemenangan yang diraih The Royals ialah ketika menewaskan Everton 2-1, 17 November lalu di gelanggang sendiri. Sementara itu, Antonio Valencia, Nani, Shinji Kagawa dan Nemanja Vidic masih kekal dalam senarai pemain yang mengalami kecederaan, tetapi Paul Scholes sudah kembali semula dari penggantungan perlawanan. Ryan Giggs juga mungkin bakal diketepikan selepas bintang veteran itu diberitakan mengalami masalah hamstring. Dengan ketiadaan tiga pemain sayap (Nani, Valencia dan Giggs), Sir Alex dijangka menggunakan formasi sama (4-3-3) ketika berdepan West Ham tempohari. Jika Sir Alex kekal dengan formasi yang sama, Reading mungkin boleh menjadikan perlawanan United/West Ham tempohari sebagai rujukan. Brian McDermott boleh menggunakan kelebihan yang ada pada pemain sayap mereka seperti Jobi McAnuff dan Noel Hunt untuk memberikan masalah buat benteng pertahanan United. United tidak pernah tewas enam perlawanan terakhir mereka menentang Reading dengan keputusan paling baik yang diraih skuad bimbingan McDermott ialah ketika berkongsi mata di Old Trafford pada 12 Ogos 2007. United meraih tiga mata penuh pada kunjungan terakhir mereka di Stadium Madjeski pada 19 Januari 2008 menerusi gol sumbangan Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo. Mengikut rekod, Reading hanya pernah menang sekali ke atas United iaitu pada saingan Piala FA tahun 1927 dengan keputusan 2-1. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan Reading:

Adam Federici, Adrian Mariappa, Nicky Shorey, Shaun Cummings, Shawn Morrisson, Mikele Liegertwood, Jobi McAnuff, Jay Tabb, Hal Robson Kanu, Jason Roberts & Adam le Fondre

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rafael da Silva, Phil Jones, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Tom Cleverley, Paul Scholes, Anderson, Wayne Rooney, Robin Van Persie & Danny Welbeck 

SPEKULASI PERPINDAHAN: UNITED & SNEIJDER KEMBALI PANAS


Nama Wesley Sneijder nampaknya masih terus-terus dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford. Spekulasi kembali bertiup kencang selepas perancang tengah antarabangsa Belanda itu mengeluarkan kenyataan yang dia tidak gembira di San Siro dan enggan menandatangani kontrak baru bersama Inter. Selepas gagal mendapatkan khidmat Sneijder pada Ogos tahun lalu, spekulasi membabitkan United dan perancang tengah itu kembali `panas’ terutamanya apabila Presiden Inter, Massimo Moratti mengeluarkan kenyataan bahawa Sneijder akan diletakkan dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini jika tiada sebarang perkembangan positif tentang perbincangan kontrak baru. “Jika ia kekal seperti itu, jalan penyelesaiannya adalah meletakkan Sneijder di pasaran perpindahan”, kata Moratti. Tahun lalu, jurulatih skuad utama, Rene Meulensteen ketika ditemubual majalah bolasepak Belanda, Voetbal International mengatakan, “Wesley Sneijder pemain yang sesuai dan sempurna jika dia beraksi di sini (Old Trafford). Beliau ialah pemain yang saya fikirkan cukup sesuai bermain untuk kami”, kata Meulensteen. Jika benar Sir Alex mahu meneruskan kembali usahanya mendapatkan Sneijder, beliau mungkin boleh meletakkan Nani untuk bergerak ke San Siro sebagai pertukaran. Dengan bintang veteran, Paul Scholes yang semakin menghampiri persaraan, mendapatkan khidmat Sneijder adalah satu langkah yang bijak. Januari ini adalah masa yang sesuai untuk membawa playmaker itu ke Old Trafford jika dia diletakkan Moratti dalam pasaran perpindahan pemain. Glory Glory Manchester United!!! – A.J