Sir
Alex Ferguson dilantik memegang jawatan pengurus Manchester United pada 6
November 1986 menggantikan Ron Atkinson yang dipecat. Ketika mula mengambilalih
tugas dari Atkinson, United ketika itu berada di tangga ke-21 liga Divisyen 1.
Dua puluh enam tahun kemudian, Fergie yang kini berusia 70 tahun dianggap salah
seorang pengurus terhebat sepanjang masa, telah membawa United menang 12
kejuaraan liga, dua trofi Liga Juara-Juara dan banyak lagi kejuaraan untuk kelab
sepanjang tempoh beliau berkuasa di Old Trafford. MInggu lalu, Fergie
mengejutkan ramai pihak apabila beliau bercakap tentang bakal penggantinya dan
berharap dia dapat berehat dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi. Ramai pihak
mengatakan ini mungkin musim terakhir karier Fergie sebagai pengurus Manchester
United dan tugu 9 meter di yang didirikan di Theatre of Dreams adalah lambang perpisahan buat Fergie. Banyak
nama telah dibahaskan untuk jawatan tertinggi di Theatre of Dreams tetapi di sini disenaraikan lima calon paling
layak dan sesuai untuk menggantikan tempat Fergie jika beliau mengambil
keputusan untuk bersara akhir musim ini:
1.
Pep Guardiola
Warga
Sepanyol ini mungkin memiliki tempoh singkat ketika mengendalikan Barcelona,
tetap sepanjang empat tahun di Nou Camp, Guardiola sudah membawa Barca menang
14 trofi kejuaraan menjadikannya pengurus paling berjaya untuk kelab Catalan
itu. Awal musim panas ini, media-media di Sepanyol melaporkan bahawa Sir Alex Ferguson
terbang ke New York untuk bertemu Guardiola di mana bekas pemain tengah itu
menikmati musim cuti panjang selepas meletak jawatan sebagai pengurus
Barcelona. Guardiola yang ketika zamannya sebagai pemain pernah cuba dipancing
Fergie turut dilaporkan bertemu ketua eksekutif United, David Gill dan pemilik
kelab (keluarga Glazer). Guardiola dikatakan tertarik dengan sejarah serta
suasana di Old Trafford dan tawaran mengisi jawatan pengurus Manchester United
adalah cara terbaik untuk memujuk dia keluar dari percutian panjangnya. Sumber-sumber yang rapat dengan bekas pengurus Barcelona itu turut mengatakan bahawa Guardiola lebih berminat mengisi kekosongan jawatan di Old Trafford berbanding menggantikan tempat Rafa Benitez hujung musim nanti meskipun beliau diminati Roman Abramovich.
2.
Jose Mourinho
Jose
Mourinho memang sudah lama diketahui begitu mengidam mengambilalih jawatan Sir
Alex Ferguson di Old Trafford. Mourinho pernah secara terbuka mengatakan bahawa
dia begitu cemburu dengan kuasa yang diberikan kepada Fergie dalam menguruskan
United, sesuatu yang tidak diperolehinya ketika bersama Chelsea. Sejak
meninggalkan Chelsea pada 2007, The
Special One telah lama diberitakan ingin kembali semula merasai suasana
saingan bolasepak Inggeris. Kontraknya bersama Real Madrid akan berakhir pada
2016, tempoh yang sama Fergie diramalkan akan bersara dan mengosongkan
kerusinya di Old Trafford. Walau bagaimanapun baru-baru ini, Mourinho
mengatakan dia ingin pulang semula ke England dan berdepan `musuh lamanya’
(Fergie) sekali lagi. “Bagi saya dia (Fergie) adalah bos. Saya memanggilnya bos
dan berharap apabila saya pulang semula ke England dia masih lagi mengendalikan
Manchester United”, kata Mourinho. Jika Mourinho kekal bersama Madrid hingga
kontraknya tamat pada 2016, pengendali dari Portugal itu mungkin hilang
kesempatan untuk berdepan Fergie dalam saingan domestik.
3.
David Moyes
Meskipun
nama-nama besar seperti Pep Guardiola dan Jose Mourinho sering disebut-sebut
sebagai pilihan utama untuk menggantikan Sir Alex Ferguson, namun ada satu nama
di England yang kerap menjadi sebutan ramai. Individu yang dimaksudkan ialah
pengendali Everton yang juga rakan baik Fergie sendiri iaitu David Moyes. Moyes
begitu cemerlang mengendalikan The
Toffees sepanjang tempoh sepuluh tahunnya di Goodison Park. Meskipun setiap
musim terpaksa berdepan dengan peruntukan kewangan yang terbatas bagi membeli
pemain baru, Moyes tetap berjaya membawa Everton secara konsisten bersaing
dalam liga domestik. Bekas pengurus United, Tommy Docherty pernah berkata yang
beliau begitu yakin Fergie akan dibenarkan untuk memilih penggantinya sendiri.
Menurut Docherty pilihan Fergie besar kemungkinan adalah rakan baiknya sendiri,
iaitu Moyes. Fergie juga pernah menganggap Moyes sebagai individu yang tahu
bagaimana caranya menguruskan kelab seperti Manchester United. Siapa tahu jika satu
hari nanti Moyes yang sudah menghabiskan tempoh sepuluh tahun menguruskan kelab
dengan pencapaian sederhana seperti Everton akan diberi kepercayaan pula menguruskan
kelab terbaik di England.
4.
Ole Gunnar Solskjaer
Antara
nama-nama yang disebutkan di atas, Solskjaer tentunya paling dekat di hati
penyokong-penyokong Manchester United kerana peranannya selama 11 tahun di Old
Trafford sebagai supersub. Solskjaer
sering menjaringkan gol-gol penting untuk United dan paling terkenal tentulah
gol kemenangan masa kecederaan di final Liga Juara-Juara 1999. Selepas bersara
pada 2007, `Pembunuh Berwajah Bayi’ ini menceburi bidang kejurulatihan dan
dilantik memikul tugas sebagai pengurus skuad simpanan United hingga 2010.
Solskjaer pulang semula ke negara asalnya, Norway untuk menguruskan kelab
tempatan, Molde FK yang juga merupakan kelab disertai ketika zaman remajanya.
Sepertimana ketika zamannya sebagai pemain, sentuhan Solskjaer sebagai pengurus
juga berbisa apabila berjaya membawa Molde muncul juara Liga Perdana Norway
buat pertama kali pada 2011 dan berjaya mempertahankan kejuaraan mereka tahun ini. Musim panas ini, Solskjaer dikaitkan dengan kekosongan jawatan di
Blackburn Rovers selepas Steve Kean dipecat namun dia menolaknya. Apakah
tindakan Solskjaer ini disebabkan dia mahu menunggu tawaran dari Manchester
United?
5.
Ryan Giggs
Sejak
melakukan penampilan pertama pada 1991, Ryan Giggs muncul pemain paling
konsisten di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan kerja kerasnya membina
kerjaya sentiasa menjadi contoh kepada pemain-pemain baru. Dari zaman remaja, hinggalah kini berada di penghujung karier sebagai pemain, Giggs sudah
melakukan lebih 900 penampilan untuk United. Pengalamannya
sebagai pemain di Old Trafford selama lebih dua dekad menjadikan dia antara
individu yang tahu bagaimana caranya untuk terus mengekalkan United sebagai
kelab paling berjaya di dunia. Menyedari kariernya sebagai pemain semakin
berada di penghujung, Giggs mula mempersiapkan dirinya untuk menjadi
pengurus/jurulatih bolasepak selepas bersara kelak. Giggs memang tiada
pengalaman langsung dalam bidang kejurulatihan dan dianggap pilihan yang cukup
berisiko untuk menggantikan tempat Ferguson. Bagaimanapun jika United mahukan
seorang yang betul-betul faham akan selok belok corak pengurusan dan cara
Ferguson melatih pemain-pemainnya, tidak ada calon terbaik selain Giggs. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan