Martin
Atkinson telah dipilih mengadili perlawanan derby
Manchester hujung minggu ini. Siapakah sebenarnya Atkinson? Beliau adalah
pengadil yang sebelumnya pernah terlibat dengan persengketaan dan mencetuskan kemarahan
Sir Alex Ferguson. Memang masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa derby ke-140 antara dua kelab Manchester
itu Ahad ini sebagai perlawanan menentukan kejuaraan liga walaupun kedua-duanya
menguasai tangga teratas ketika ini. Walau bagaimanapun permusuhan antara kedua-dua
jiran setempat itu sejak akhir-akhir ini bakal menjadikan pertembungan di
Stadium Etihad itu berjalan dengan sengit dan panas. Tahun lalu, Sir Alex dijatuhkan
hukuman penggantungan lima perlawanan dan didenda 30 ribu Pound gara-gara komen
pedasnya atas mutu pengadilan Atkinson selepas United tewas 1-2 kepada Chelsea.
Sebelum perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge pada 2 Mac 2011 itu, Sir
Alex sempat meluahkan kebimbangannya selepas mendapat tahu bahawa Atkinson diberikan
tugas untuk mengadili perlawanan itu. Kebimbangan Sir Alex sebelum perlawanan akhirnya
menjadi kenyataan apabila mutu pengadilan Atkinson dikatakan menjadi penyebab United
tewas dalam perlawanan itu. Tindakan Atkinson tidak melayangkan kad merah
kepada David Luiz selepas terjahan kerasnya ke atas Javier Hernandez dan Wayne
Rooney mengundang kemarahan Sir Alex, ditambah pula dengan beberapa siri kekasaran yang dilakukannya dalam perlawanan itu. “Anda perlukan seorang pengadil yang adil
atau sekurang-kurangnya tegas untuk mengadili perlawanan besar seperti ini,
tetapi kami tidak mendapatkannya. Perlu saya akui, ketika saya tahu siapa yang
akan mengadili perlawanan ini (Chelsea dan United), saya sangat-sangat cemas”,
kata Sir Alex selepas tamat perlawanan di Stamford Bridge tahun lalu. Kini
selepas lebih setahun berlalu, Sir Alex bakal bertemu lagi dengan Atkinson
dalam satu lagi perlawanan besar yang dijangka sengit dan panas. Bagaimana
reaksi Sir Alex selepas ini? Tentunya cukup menarik untuk kita tunggu. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan