Manchester
United melebarkan penguasaan mereka di tangga teratas liga selepas membenam
cabaran Reading di Stadium Madjeski awal pagi tadi. Dengan pencabar terdekat,
Manchester City sekadar mencatat keputusan seri ketika melayani kunjungan
Everton di Stadium Etihad, United kini mengumpul 36 mata, tiga mata dihadapan
jiran mereka itu. Keputusan seri yang diraih City itu menyebabkan tiada tekanan
buat barisan Sir Alex Ferguson untuk mencari kemenangan ketiga mereka dalam
tempoh seminggu. Tujuh gol di separuh masa pertama sudah cukup untuk
menceritakan cabaran sengit di hadapi The
Red Devils pada kunjungan pertama mereka di gelanggang lawan itu sejak
2008. Tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi Hal Robson-Kanu diminit ke-8 namun
United hanya memerlukan lima minit untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan
deras Anderson. Tiga minit selepas jaringan penyamaan Anderson, giliran United
pula mendahului lawan menerusi tendangan penalti Wayne Rooney selepas Jonny
Evans dijatuhkan pertahanan lawan. Skuad kendalian Brian McDermott yang memburu
kemenangan kedua mereka dalam saingan liga musim ini enggan mengalah apabila
Adam Le Fondre berjaya menanduk masuk gol penyamaan diminit ke-19 untuk
mengikat kedudukan 2-2. Sir Alex kembali menyaksikan skuadnya ketinggalan
apabila Sean Morrison menyambut bola dari sepakan sudut untuk menanduk masuk
gol ketiga tuan rumah diminit ke-23.
Perlawanan
semakin rancak dengan United melancarkan asakan-asakan ke kubu lawan bagi
mencari gol penyamaan dan hasilnya Rooney berjaya menyamakan kedudukan diminit
ke-30. Penyerang antarabangsa England itu bijak memanfaatkan hantaran lintang
Patrice Evra dari sebelah kiri untuk menolak masuk melepasi Adam Federici. Episod
berbalas gol berterusan apabila empat minit kemudian Robin Van Persie
menjaringkan gol liga kesepuluhnya musim ini untuk meletakkan United kembali di
hadapan. Gandingan Rooney dan Van Persie menjadi duri dalam daging kepada
benteng tuan rumah apabila penyerang Belanda itu bijak melepasi perangkap offside lawan untuk menyambut bola
tolakan tumit Rooney sebelum mudah menewaskan Federici. Gol Van Persie itu menutup
pesta gol dalam perlawanan ini apabila kedua-dua pasukan buntu dalam usaha
mereka menembusi gawang lawan sepanjang babak kedua. Di babak kedua tempo
perlawanan tidak sepantas babak pertama biarpun kedua-dua pasukan mencipta
beberapa peluang terbaik untuk menambah gol. United berjaya mempertahankan
kedudukan mereka dan keputusan 4-3 kekal sebaik pengadil perlawanan Mark Halsey
meniup wisel penamat. Kekalahan ini menyaksikan Reading terperosok di tangga
ke-19 liga selepas sekadar mengutip sembilan mata. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Statistik
Perlawanan:
Gol:
3 – 4
Sepakan
Sudut: 6 – 1
Percubaan
Tepat: 7 – 6
Percubaan
Tersasar: 3 – 5
Kekasaran:
10 – 12
Offside:
0 – 2
Kad
Kuning: 1 – 1
Kad
Merah: 0 – 0
Penguasaan
Bola: 48% - 52%
Tiada ulasan:
Catat Ulasan