22 Februari 2013

GM BANTU BAWA CR7 KEMBALI SEMULA KE OLD TRAFFORD?


Penyokong-penyokong Manchester United mungkin berpeluang menyaksikan idola mereka, Cristiano Ronaldo kembali ke Old Trafford musim panas ini jika desas desus berkenaan kesediaan salah satu penaja United, General Motors merealisasikan hasrat tersebut menjadi kenyataan, Menurut laporan media di England, General Motors dikatakan bakal terlibat dengan satu perjanjian pakej kewangan sensasi bagi membawa Ronaldo pulang semula ke Old Trafford. Meskipun baru-baru ini Ronaldo mengeluarkan kenyataan dia gembira dengan kehidupannya di Madrid namun dalam masa yang sama bintang antarabangsa Portugal itu tidak menolak kemungkinan menyertai semula United. Salah satu sebab paling besar Ronaldo ingin meninggalkan Sepanyol adalah kerana dia merasakan tidak mendapat pengiktirafan dan penghormatan selayaknya di sana, di mana peminat-peminat bolasepak Sepanyol sering bercakap tentang kehebatan Lionel Messi di hadapannya. Dengan pengendali Madrid sendiri, Jose Mourinho yang juga rakan senegara Ronaldo bakal meninggalkan Madrid musim panas ini, kemungkinan bahawa bintang Portugal itu kembali semula ke England kian terbuka luas. Meskipun Paris St Germain menunjukkan minat yang cukup tinggi untuk membawa Ronaldo beraksi di Ligue 1, England tetap kekal sebagai destinasi pilihan utama Ronaldo jika dia mengambil keputusan meninggalkan Madrid penghujung musim ini. Halangan paling besar ketika ini ialah sama ada United boleh menyaingi gaji semasa pemain itu sebanyak 220,000 Pound seminggu tambahan pula dengan peraturan kewangan baharu UEFA yang akan berkuatkuasa musim depan. Walau bagaimanapun bagi mengatasi kekangan peraturan kewangan UEFA ini, pemain boleh menandatangani pakej gaji berasingan dengan penaja kelab dan model seperti inilah yang sedang dipertimbangkan di Old Trafford. General Motors diberitakan bersedia menjadikan Ronaldo sebagai duta mereka untuk membantu membawanya kembali semula ke bandar Manchester dan beraksi di Liga Perdana England selepas berhijrah ke Real Madrid pada 2009. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

20 Februari 2013

BOLEHKAH NANI SELAMATKAN KARIERNYA DI OLD TRAFFORD?


Selepas lama tenggelam, nama Luis Nani tiba-tiba menjadi sebutan selepas satu golnya dan satu assist sumbangannya membantu Manchester United layak ke pusingan suku akhir Piala FA. Kemenangan 2-1 yang dicatat United ke atas Reading memastikan impian Sir Alex Ferguson yang mahu menyaksikan skuad edisi 2012-13 mengulangi pencapaian skuad yang muncul juara treble 1999 semakin cerah. Kemenangan ke atas Reading di pusingan kelima Piala FA ini juga melengkapkan minggu cemerlang buat United di mana sebelumnya mereka berjaya menewaskan Everton untuk melebarkan kedudukan selaku pendahulu liga kepada 12 mata dan kemudiannya mencatatkan keputusan seri ketika menentang Real Madrid pada perlawanan pertama pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu. United kini berada di landasan terbaik merampas semula kejuaraan liga yang terlepas ke tangan Manchester City musim lalu dan berpeluang menyingkirkan Real Madrid untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara pada perhitungan kedua yang akan dilangsungkan di Old Trafford, 6 Mac ini. Berbalik kepada Nani, selepas diketepikan kerana masalah kecederaan dan kurangnya penampilan dalam kesebelasan utama, bintang antarabangsa Portugal itu antara pemain yang mula dilupakan di Old Trafford. Entah apa sebabnya, meskipun Sir Alex melakukan rombakan besar dengan melakukan lapan pertukaran pada kesebelasan utamanya yang diturunkan menentang Reading, nama Nani tetap tidak tersenarai sebaliknya sekadar berada di bangku simpanan. Untuk rekod, hanya David de Gea, Phil Jones dan Danny Welbeck pemain dari skuad yang bertandang ke Santiago Bernabeu dikekalkan Sir Alex dalam kesebelasan utama ketika menentang Reading. Ramalan bahawa pemain sayap itu akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini mungkin sekadar spekulasi atau cakap-cakap kosong, tetapi melihat kepada riak wajah Nani ketika meraikan jaringan golnya awal pagi Isnin lalu, beliau seolah-olah mahu membuktikan sesuatu. Hanya beberapa hari selepas terselamat dari kemalangan jalanraya, Nani masuk menggantikan Phil Jones yang mengalami kecederaan tiga minit sebelum babak pertama ditamatkan.

Walau agak lewat, Nani seolah-olah mahu meninggalkan impak segera sebelum rehat dengan melepaskan rembatan cantik yang bagaimanapun terkena tiang gol lawan. Ketika permainan masih terikat 0-0 dengan masa perlawanan berbaki 20 minit untuk ditamatkan, Nani menyudahkan hantaran Antonio Valencia melalui satu penyudah berkualiti dalam kawasan penalti lawan. Bekas pemain Sporting Lisbon itu mengangkat tangannya keudara, berlari ke arah terowong dan menjerit penuh semangat ke arah penyokong-penyokong United. Gelagatnya itu seolah-olah mahu memberitahu umum bahawa beliau kini sudah kembali. Tetapi apakah skuad seperti Reading yang berada di zon penyingkiran merupakan ujian terbaik buat Nani membuktikan keupayaan dan menyelamatkan kariernya di Old Trafford? Nani merupakan pemain yang memiliki kemahiran tinggi dalam bolasepak namun sering dilihat gagal mencapai potensi sebenar sepanjang enam tahun kariernya bersama United. Sumbangannya dilihat `cukup besar’ ketika United mengharungi kempen Piala FA atau ketika diturunkan berdepan kelab-kelab pertengahan Liga Perdana. Bagaimanapun Nani seperti biasa sering tenggelam dan tidak cukup konsisten pada perlawanan-perlawanan besar, malah lebih teruk lagi penyokong-penyokong adakalanya mengatakan bahawa beliau tidak memberikan sumbangan yang mencukupi ketika bermain pada perlawanan-perlawanan penting. Di Bernabeu, Danny Welbeck bermula di sebelah kanan, posisi di mana sepatutnya Nani berada. Welbeck membuktikan percaturan Sir Alex memang berbaloi melalui kerja kerasnya sepanjang perlawanan dan sumbangan satu golnya ke gawang Madrid. Melihat kepada peranan yang dimainkan Welbeck ketika ini, memang sukar buat Nani menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United tetapi nasib pemain bolasepak kadangkala boleh berubah dalam sekelip mata. Sir Alex memuji persembahan Nani ketika menentang Reading sambil menyifatkan kehadiran pemain itu berjaya mengubah permainan United. Sir Alex menandantangani Nani dari Sporting Lisbon pada 2007 kerana bakat hebat yag dimiliki pemain itu, dan bos United itu sekali lagi mengakuinya selepas tamat perlawanan menentang Reading. Jika Nani berjaya mengekalkan prestasinya dan konsisten ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar selepas ini, tugas Sir Alex memilih kesebelasan utama pastinya bakal bertambah rumit. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 Februari 2013

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: REAL MADRID lwn MANCHESTER UNITED



Awal pagi esok akan berlangsung pertembungan `dahsyat’ antara Real Madrid dan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (pusingan kalah mati 16 pasukan). Ketika undian dilakukan pada Disember lalu, ramai pihak meramalkan Madrid mampu mengatasi United untuk layak ke peringkat suku akhir, namun selepas hampir dua bulan berlalu, situasi kedua-dua pasukan kini jelas berbeza. United kini berada pada prestasi terbaik dan begitu selesa mendominasi saingan liga domestik manakala Madrid pula berdepan berbagai-bagai masalah dalaman yang membabitkan pengurus mereka, Jose Mourinho dan juga Cristiano Ronaldo yang masa depannya di Santiago Bernabeu terus mencetuskan tanda tanya. Perlawanan awal pagi esok di Bernabeu bakal menjadi perlawanan yang sengit dan sukar buat kedua-dua gergasi Eropah itu dengan tumpuan bakal terarah kepada kelibat dua bintang yang mewakili kedua-dua pasukan, Ronaldo untuk Madrid, manakala Robin Van Persie pula bakal menjadi sandaran utama United di bahagian serangan. Ronaldo buat pertama kalinya akan berdepan bekas kelab lamanya sejak meninggalkan Old Trafford pada 2009 dan perlawanan ini pastinya meninggalkan nostalgia tersendiri buat bintang antarabangsa Portugal itu. Mourinho boleh menurunkan kembali pertahanan tengah Pepe yang diberitakan sudah pulih dari kecederaan buku lali namun beliau akan kehilangan khidmat Xabi Alonso, Raphael Varane dan Iker Casillas yang belum pulih dari kecederaan. Trio Sami Khedira, Angel Di Maria dan Mesut Ozil yang direhatkan ketika pasukan itu mencatat kemenangan 4-1 ke atas Sevilla akan diturunkan semula dalam perlawanan ini. Sementara itu Sir Alex Ferguson pula masih menanti perkembangan terkini Phil Jones dan Jonny Evans yang mengalami kecederaan ketika bertemu Everton hujung minggu lalu tetapi Ashley Young dan Michael Carrick cukup cergas untuk diturunkan awal pagi esok. Sir Alex dijangka menggunakan formasi yang sama (4-2-3-1) ketika menentang Tottenham di White Hart Lane bagi meneutralkan ancaman Ronaldo. Jika Sir Alex menggunakan formasi 4-2-3-1, Danny Welbeck, Tom Cleverley dan Wayne Rooney akan bermain di belakang Van Persie. Musim ini mungkin bukan musim terbaik Rooney, tetapi penyerang England itu tetap tonggak utama bagi United dan peranannya yang lebih banyak bertindak sebagai pengumpan buat Van Persie akan terus ditagih ketika menentang Madrid nanti. Kreativiti serangan milik Rooney amat ditagih Sir Alex bagi meruntuhkan benteng pertahanan lawan selain bertindak sebagai sokongan kepada Van Persie di barisan hadapan. Salah satu kelebihan yang turut dimiliki Rooney ialah kualiti bertahan yang dimilikinya ketika membantu benteng pertahanan menahan asakan lawan.

Kelibat Welbeck pula mungkin digunakan Sir Alex di sebelah kanan bagi membendung gerakan bek kiri Madrid ketika naik membantu serangan. Kepantasan milik Welbeck juga amat diperlukan ketika United melancarkan serangan di samping kemampuannya turun bertahan ketika lawan melancarkan gerakan. Sir Alex sudah pasti tahu bagaimana caranya untuk mematikan gerakan Ronaldo selepas menggilap pemain itu selama tujuh tahun sehingga muncul bintang besar dunia ketika ini. Walaupun Ronaldo adalah salah seorang pemain terbaik di planet ini, pertahanan United yang pernah berlatih bersamanya pasti tahu kelemahan yang dimiliki pemain paling penting Madrid itu. Fokus benteng pertahanan tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada kelibat Ronaldo kerana Madrid turut memiliki seorang lagi pemain sayap yang mampu memberikan ancaman. Angel Di Maria atau mana-manapun pemain yang akan diturunkan Mourinho nanti boleh memberikan masalah buat pertahanan United. Di Maria kurang menonjol musim ini, tetapi jika dia berada pada prestasi terbaiknya seperti yang dipamerkan ketika menentang Getafe, Mourinho boleh menyandarkan harapan buat pemain Argentina itu. Untuk itu, Patrice Evra terpaksa bekerja keras dalam perlawanan ini dan Sir Alex perlu meletakkan pemain untuk melindungi bek kirinya itu. United memang diakui memiliki kekuatan di bahagian tengah dan Madrid amat memerlukan khidmat Sami Khedira dan Xabi Alonso ataupun ada kemungkinan Mourinho akan menggunakan gandingan Mesut Ozil dan Luka Modric. Secara kasarnya, prestasi Madrid ketika ini masih di bawah standard di mana mereka sepatutnya berada tetapi Los Merengues cukup kebal ketika beraksi di gelanggang sendiri. Dalam saingan Liga Juara-Juara dan La Liga musim ini, Madrid masih belum tewas ketika beraksi di Santiago Bernabeu. Mereka menjaringkan 32 gol dan hanya dibolosi lapan kali sahaja ketika beraksi di gelanggang sendiri pada saingan liga. Rekod pencapaian Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara juga agak menggerunkan apabila mereka hanya tewas tiga kali dari 31 perlawanan terakhir mereka. Prestasi benteng pertahanan United pula sedikit membimbangkan apabila mereka dibolosi 16 gol dalam 13 aksi di gelanggang lawan pada saingan liga. Meskipun berdepan prestasi longgar benteng pertahanan, United berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan liga ke-20 dengan kelebihan 12 mata di tangga teratas hasil dari ketajaman barisan serangan mereka. Jadi Sir Alex boleh menyandarkan harapan agar barisan penyerangnya yang diketuai Van Persie mampu sekurang-kurangnya membawa bekalan gol dari tempat lawan sebaik pengadil perlawanan meniup wisel penamat di Bernabeu awal pagi esok. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan Madrid:

Antonio Adan, Alvaro Arbeloa, Sergio Ramos, Pepe, Fabio Coentrao, Mesut Ozil, Sami Khedira, Angel Di Maria, Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Gonzalo Higuain

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Michael Carrick, Phil Jones, Tom Cleverley, Danny Welbeck, Wayne Rooney & Robin Van Persie

JURANG 12 MATA, CITY MENYERAH...TROFI LIGA PERDANA MENUJU KE OLD TRAFFORD?


Selepas mencipta jurang yang cukup selesa di tangga teratas liga, ramai pemerhati bolasepak meramalkan trofi Liga Perdana musim ini akan menjadi milik Manchester United. Roberto Mancini sebelum pasukannya tewas kepada Southampton begitu lantang mengatakan jurang sembilan mata milik United mampu dikejar bagaimanapun kini mengubah nadanya apabila meramalkan peluang skuad kendaliannya mempertahankan kejuaraan mereka tinggal 10 peratus sahaja. Kekalahan City pada Southampton dan kemenangan United ke atas Everton menyaksikan The Red Devils memiliki kelebihan yang cukup selesa dengan 12 mata di hadapan ketika baki saingan musim ini tinggal 12 perlawanan lagi untuk diharungi. Sergio Aguero yang dijulang sebagai wira City musim lalu selepas menjaringkan gol kemenangan saat akhir ketika menentang Queens Park Rangers sekaligus memastikan gelaran liga menjadi milik mereka, pula mengatakan peluang pasukannya menghambat United kian sukar namun menegaskan mereka akan berjuang hingga ke perlawanan terakhir. Segala-galanya seperti tampak tidak menjadi buat City musim ini. Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara dengan menduduki tempat terakhir peringkat kumpulan sekaligus turut gagal melayakkan diri ke saingan Liga Europa, mereka disingkirkan Aston Villa pula di pusingan ketiga Piala Liga (Capital One). Dengan peluang mempertahankan kejuaraan liga semakin kabur, kini satu-satunya peluang untuk mereka menjulang trofi musim ini ialah pada saingan Piala FA. Mungkin disebabkan keyakinan tinggi berikutan kejayaan yang diraih mereka musim lalu, Mancini tidak membawa nama-nama besar ketika pasaran perpindahan musim panas lalu dibuka dan turut melakukan perkara yang sama, Januari lalu. Pengendali berbangsa Itali itu sebaliknya melepaskan penyerang kontroversi mereka, Mario Balotelli kepada AC Milan dengan mengharapkan gandingan Edin Dzeko, Aguero dan Carlos Tevez mampu melakukan keajaiban seperti musim lalu. Seolah-olah mahu membuktikan sesuatu kepada Mancini, Balotelli menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya bersama Milan ketika menewaskan Udinese minggu lalu. Tidak seperti Mancini, Sir Alex Ferguson pula melakukan dua pembelian besar musim panas lalu dengan mendapatkan Shinji Kagawa dari Borussia Dortmund dan Robin Van Persie dari Arsenal.

Kedua-duanya terutama Van Persie segera memberikan impak besar buat United biarpun ini adalah musim pertama mereka di Old Trafford. Ketika United berdepan krisis di barisan pertahanan hingga menyaksikan gawang mereka sudah dibolosi sebanyak 31 kali setakat ini (berbanding hanya 24 oleh City), kerapuhan benteng pertahanan bagaiamanapun diimbangi oleh ketajaman barisan serangan yang ditunjangi Wayne Rooney dan Van Persie. Barisan serangan United menjaringkan 62 gol dalam saingan liga, jumlah tertinggi berbanding pasukan lain di Liga Perdana dengan Van Persie muncul penyumbang utama (dengan 19 gol) setakat ini. Mungkin ingin mengambil iktibar dari kegagalan musim lalu di mana pasukannya gagal memenangi kejuaraan liga selepas tewas kepada City dengan perbezaan jaringan, Sir Alex segera mendapatkan Van Persie selepas mengetahui penjaring terbanyak musim lalu itu enggan menyambung kontrak baru bersama Arsenal. Kegusaran Mancini selepas Van Persie sah menjadi milik United menjadi kenyataan manakala strategi Sir Alex mendapatkan penyerang itu berhasil apabila Van Persie menjaringkan gol demi gol untuk pasukan barunya itu. Ketika United kian selesa mengharungi baki saingan liga musim ini, City pula tidak bermain sepertimana mereka bermain musim lalu. Dua pemain terbaik City yang memainkan peranan penting ketika mereka menjuarai liga musim lalu, Yaya Toure dan Vincent Kompany tidak bermain pada tahap terbaik mereka musim ini, manakala Joe Hart pula kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah seperti yang dilakukannya ketika menentang Southampton hujung minggu lalu. Kapten Liverpool, Steven Gerrard pernah mengatakan bahawa biarpun kadangkala United tidak bermain dengan baik tetapi mereka masih mampu mencari cara untuk memenangi perlawanan. Pendapat Gerrard itu turut dipersetujui Peter Reid (gambar), individu yang pernah mengendalikan The Citizens dari tahun 1990 hingga 1993. Reid dalam kenyataannya baru-baru ini berpendapat, trofi Liga Perdana akan menuju ke Old Trafford selepas menyaksikan United menewaskan Everton 2-0 sekaligus mencipta jurang 12 mata selaku pendahulu liga. “Pasukan juara mampu memenangi sesuatu perlawanan biarpun ketika mereka tidak bermain dengan bagus. Itulah yang membezakan United dengan City musim ini hingga mereka (United) berjaya mencipta jurang 12 mata. Saya fikir United akan menjuarai liga”, kata Reid. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

11 Februari 2013

REAKSI BOS SELEPAS PERLAWANAN


Sir Alex Ferguson mengakui pertaruhannya dalam memilih barisan pemain untuk menghadapi Everton akhirnya menghasilkan keputusan yang fantastik. Kemenangan 2-0 yang dicatat United ke atas skuad Merseyside itu menyaksikan mereka kini unggul mendahului perlumbaan merebut kejuaraan liga dengan kelebihan 12 mata. Memikirkan barisan pemainnya akan berkunjung ke Santiago Bernabeu Khamis ini, Sir Alex pada mulanya mahu melakukan rombakan besar pada skuadnya demi memastikan pemain-pemain utamanya kekal cergas ketika berdepan Real Madrid nanti. Walau bagaimanapun, selepas menyaksikan pencabar terdekat mereka, Manchester City tewas 1-3 kepada Southampton, Sir Alex memilih menurunkan skuad terkuatnya ketika berdepan Everton bagi memburu tiga mata penuh. Keputusan Sir Alex yang mahu `melupakan’ sejenak Real Madrid membuahkan hasil apabila Ryan Giggs dan Robin Van Persie menyumbangkan dua gol bagi membolehkan United meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Kelebihan 12 mata milik United menyaksikan mereka berada di kedudukan yang sangat kuat untuk merampas semula kejuaraan liga musim ini. “Pada mulanya (sebelum perlawanan menentang Everton) saya mahu melakukan tujuh pertukaran tetapi berubah fikiran selepas menyaksikan keputusan perlawanan City kelmarin. Saya tahu hanya kemenangan sahaja yang akan meletakkan kami di posisi yang cukup selesa”, kata Sir Alex selepas perlawanan menentang Everton. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

CATATAN UNIK GIGGSY


Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs melakar satu lagi catatan unik dalam kariernya ketika pertemuan menentang Everton. Apa tidaknya, kerana gol pembukaan jaringan bintang berusia 39 tahun itu ke gawang Everton bukan sahaja merupakan gol sulungnya dalam saingan liga musim ini tetapi turut memanjangkan lagi rentetan rekod jaringan Giggs dalam aksi liga selama 23 musim berturut-turut. Sejak melakukan penampilan pertama dalam saingan liga pada 2 Mac 1991, Giggs tidak pernah gagal menjaringkan gol dalam setiap musim hinggalah yang terkini ketika dia membolosi pintu gol Tim Howard diminit ke-13 pertemuan United – Everton di Old Trafford semalam. Sebelum ini Giggs sudah menjaringkan gol ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala Capital One dan Fulham pula dalam saingan Piala FA. Bintang veteran itu sudah menjaringkan 166 gol dari 928 penampilannya dan dia kini berada di kedudukan kelapan senarai penjaring gol sepanjang zaman United. Kemenangan yang diraih United semalam memang belum cukup untuk memastikan mereka mengenggam kejuaraan liga musim ini tetapi kelebihan 12 mata yang dimiliki menjadikan barisan kendalian Sir Alex Ferguson itu semakin hampir meraih mahkota liga ke-20 mereka. Bercakap tentang peluang pasukannya, Giggs berkata, “Saya fikir kami mempunyai pengalaman untuk memastikannya (menjuarai liga), namun kami tidak boleh terleka. Saya melihat situasi ketika ini memberikan kelebihan besar buat kami. Apa yang perlu kami lakukan ialah terus bermain dengan baik. Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku selepas ini, jadi kami harus memberikan tumpuan dan memastikan kami menjalankan tugas dengan baik hingga akhir musim”. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: UNITED KIAN SELESA DI TAKHTA LIGA


Everton terus kempunan mengalahkan Manchester United di Old Trafford dalam tempoh 22 tahun apabila skuad kendalian David Moyes itu tewas 2-0 tengah malam tadi. Gol jaringan bintang veteran, Ryan Giggs dan Robin Van Persie memastikan United terus selesa di tangga teratas liga dengan kelebihan 12 mata selepas pencabar terdekat, Manchester City diaibkan Southampton sehari sebelumnya. Gol pembukaan Ryan Giggs di minit ke-13 cukup bermakna buat pemain berusia 39 tahun itu apabila mencatatkan namanya sebagai penjaring gol selama 23 musim berturut-turut. Giggs adalah fenomena tetapi Van Persie juga cukup luar biasa kerana selain menjaringkan gol kedua United, penyerang antarabangsa Belanda itu juga menyumbang assist untuk gol pertama United dalam perlawanan ini. Gol jaringan di penghujung separuh masa pertama itu juga menyaksikan Van Persie mengukuhkan kedudukannya selaku penjaring terbanyak liga ketika ini dengan 19 gol, dua gol mengatasi Luis Suarez di tangga kedua.

The Toffees sepatutnya berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Tim Howard yang mempamerkan aksi terbaiknya dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya The Red Devils. Jika tidak kerana ketangkasan Howard, gawang pelawat mungkin dibolosi dengan jaringan lebih besar berdasarkan peluang-peluang yang dicipta United sepanjang perlawanan. United ternyata berjaya mengambil kesempatan sepenuhnya dari kekalahan City di Stadium St Mary untuk terus menjarakkan kedudukan mereka (kepada 12 mata) dengan baki 12 perlawanan yang perlu diharungi. Peluang untuk merampas semula kejuaraan dari tangan seteru setempat mereka itu tampak kian cerah dan kemenangan ini juga diharap menjadi suntikan moral terbaik buat barisan The Red Devils menjelang pertemuan besar menentang Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Khamis ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United – Everton:

Gol: 2 – 0
Tendangan Sudut: 7 – 6
Percubaan Tepat: 6 – 8
Percubaan Tersasar: 4 – 1
Kekasaran: 12 – 9
Offside: 4 – 1
Kad Kuning: 0 – 2
Kad Merah: 0 – 0

Susunan Pemain United:

De Gea, Rafael, Vidic, Evans (Smalling 81’), Evra, Valencia, Jones (Carrick 56’), Cleverley, Giggs, Rooney & Van Persie

Susunan Pemain Everton:

Howard, Neville, Jagielka, Distin, Baines, Mirallas (Naismith 70’), Gibson, Osman, Pienaar, Fellaini, & Anichebe (Jelavic 57’)