13 Februari 2013

PREVIEW LIGA JUARA-JUARA: REAL MADRID lwn MANCHESTER UNITED



Awal pagi esok akan berlangsung pertembungan `dahsyat’ antara Real Madrid dan Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (pusingan kalah mati 16 pasukan). Ketika undian dilakukan pada Disember lalu, ramai pihak meramalkan Madrid mampu mengatasi United untuk layak ke peringkat suku akhir, namun selepas hampir dua bulan berlalu, situasi kedua-dua pasukan kini jelas berbeza. United kini berada pada prestasi terbaik dan begitu selesa mendominasi saingan liga domestik manakala Madrid pula berdepan berbagai-bagai masalah dalaman yang membabitkan pengurus mereka, Jose Mourinho dan juga Cristiano Ronaldo yang masa depannya di Santiago Bernabeu terus mencetuskan tanda tanya. Perlawanan awal pagi esok di Bernabeu bakal menjadi perlawanan yang sengit dan sukar buat kedua-dua gergasi Eropah itu dengan tumpuan bakal terarah kepada kelibat dua bintang yang mewakili kedua-dua pasukan, Ronaldo untuk Madrid, manakala Robin Van Persie pula bakal menjadi sandaran utama United di bahagian serangan. Ronaldo buat pertama kalinya akan berdepan bekas kelab lamanya sejak meninggalkan Old Trafford pada 2009 dan perlawanan ini pastinya meninggalkan nostalgia tersendiri buat bintang antarabangsa Portugal itu. Mourinho boleh menurunkan kembali pertahanan tengah Pepe yang diberitakan sudah pulih dari kecederaan buku lali namun beliau akan kehilangan khidmat Xabi Alonso, Raphael Varane dan Iker Casillas yang belum pulih dari kecederaan. Trio Sami Khedira, Angel Di Maria dan Mesut Ozil yang direhatkan ketika pasukan itu mencatat kemenangan 4-1 ke atas Sevilla akan diturunkan semula dalam perlawanan ini. Sementara itu Sir Alex Ferguson pula masih menanti perkembangan terkini Phil Jones dan Jonny Evans yang mengalami kecederaan ketika bertemu Everton hujung minggu lalu tetapi Ashley Young dan Michael Carrick cukup cergas untuk diturunkan awal pagi esok. Sir Alex dijangka menggunakan formasi yang sama (4-2-3-1) ketika menentang Tottenham di White Hart Lane bagi meneutralkan ancaman Ronaldo. Jika Sir Alex menggunakan formasi 4-2-3-1, Danny Welbeck, Tom Cleverley dan Wayne Rooney akan bermain di belakang Van Persie. Musim ini mungkin bukan musim terbaik Rooney, tetapi penyerang England itu tetap tonggak utama bagi United dan peranannya yang lebih banyak bertindak sebagai pengumpan buat Van Persie akan terus ditagih ketika menentang Madrid nanti. Kreativiti serangan milik Rooney amat ditagih Sir Alex bagi meruntuhkan benteng pertahanan lawan selain bertindak sebagai sokongan kepada Van Persie di barisan hadapan. Salah satu kelebihan yang turut dimiliki Rooney ialah kualiti bertahan yang dimilikinya ketika membantu benteng pertahanan menahan asakan lawan.

Kelibat Welbeck pula mungkin digunakan Sir Alex di sebelah kanan bagi membendung gerakan bek kiri Madrid ketika naik membantu serangan. Kepantasan milik Welbeck juga amat diperlukan ketika United melancarkan serangan di samping kemampuannya turun bertahan ketika lawan melancarkan gerakan. Sir Alex sudah pasti tahu bagaimana caranya untuk mematikan gerakan Ronaldo selepas menggilap pemain itu selama tujuh tahun sehingga muncul bintang besar dunia ketika ini. Walaupun Ronaldo adalah salah seorang pemain terbaik di planet ini, pertahanan United yang pernah berlatih bersamanya pasti tahu kelemahan yang dimiliki pemain paling penting Madrid itu. Fokus benteng pertahanan tidak seharusnya terlalu tertumpu kepada kelibat Ronaldo kerana Madrid turut memiliki seorang lagi pemain sayap yang mampu memberikan ancaman. Angel Di Maria atau mana-manapun pemain yang akan diturunkan Mourinho nanti boleh memberikan masalah buat pertahanan United. Di Maria kurang menonjol musim ini, tetapi jika dia berada pada prestasi terbaiknya seperti yang dipamerkan ketika menentang Getafe, Mourinho boleh menyandarkan harapan buat pemain Argentina itu. Untuk itu, Patrice Evra terpaksa bekerja keras dalam perlawanan ini dan Sir Alex perlu meletakkan pemain untuk melindungi bek kirinya itu. United memang diakui memiliki kekuatan di bahagian tengah dan Madrid amat memerlukan khidmat Sami Khedira dan Xabi Alonso ataupun ada kemungkinan Mourinho akan menggunakan gandingan Mesut Ozil dan Luka Modric. Secara kasarnya, prestasi Madrid ketika ini masih di bawah standard di mana mereka sepatutnya berada tetapi Los Merengues cukup kebal ketika beraksi di gelanggang sendiri. Dalam saingan Liga Juara-Juara dan La Liga musim ini, Madrid masih belum tewas ketika beraksi di Santiago Bernabeu. Mereka menjaringkan 32 gol dan hanya dibolosi lapan kali sahaja ketika beraksi di gelanggang sendiri pada saingan liga. Rekod pencapaian Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara juga agak menggerunkan apabila mereka hanya tewas tiga kali dari 31 perlawanan terakhir mereka. Prestasi benteng pertahanan United pula sedikit membimbangkan apabila mereka dibolosi 16 gol dalam 13 aksi di gelanggang lawan pada saingan liga. Meskipun berdepan prestasi longgar benteng pertahanan, United berada di landasan tepat untuk menjulang kejuaraan liga ke-20 dengan kelebihan 12 mata di tangga teratas hasil dari ketajaman barisan serangan mereka. Jadi Sir Alex boleh menyandarkan harapan agar barisan penyerangnya yang diketuai Van Persie mampu sekurang-kurangnya membawa bekalan gol dari tempat lawan sebaik pengadil perlawanan meniup wisel penamat di Bernabeu awal pagi esok. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan Madrid:

Antonio Adan, Alvaro Arbeloa, Sergio Ramos, Pepe, Fabio Coentrao, Mesut Ozil, Sami Khedira, Angel Di Maria, Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Gonzalo Higuain

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Michael Carrick, Phil Jones, Tom Cleverley, Danny Welbeck, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Tiada ulasan:

Catat Ulasan