Selepas mencipta jurang yang cukup selesa di
tangga teratas liga, ramai pemerhati bolasepak meramalkan trofi Liga Perdana
musim ini akan menjadi milik Manchester United. Roberto Mancini sebelum
pasukannya tewas kepada Southampton begitu lantang mengatakan jurang sembilan
mata milik United mampu dikejar bagaimanapun kini mengubah nadanya apabila
meramalkan peluang skuad kendaliannya mempertahankan kejuaraan mereka tinggal
10 peratus sahaja. Kekalahan City pada Southampton dan kemenangan United ke
atas Everton menyaksikan The Red Devils
memiliki kelebihan yang cukup selesa dengan 12 mata di hadapan ketika baki
saingan musim ini tinggal 12 perlawanan lagi untuk diharungi. Sergio Aguero
yang dijulang sebagai wira City musim lalu selepas menjaringkan gol kemenangan saat akhir
ketika menentang Queens Park Rangers sekaligus memastikan gelaran liga menjadi
milik mereka, pula mengatakan peluang pasukannya menghambat United kian sukar
namun menegaskan mereka akan berjuang hingga ke perlawanan terakhir. Segala-galanya
seperti tampak tidak menjadi buat City musim ini. Selepas tersingkir dari
saingan Liga Juara-Juara dengan menduduki tempat terakhir peringkat kumpulan
sekaligus turut gagal melayakkan diri ke saingan Liga Europa, mereka
disingkirkan Aston Villa pula di pusingan ketiga Piala Liga (Capital One). Dengan
peluang mempertahankan kejuaraan liga semakin kabur, kini satu-satunya peluang
untuk mereka menjulang trofi musim ini ialah pada saingan Piala FA. Mungkin disebabkan
keyakinan tinggi berikutan kejayaan yang diraih mereka musim lalu, Mancini
tidak membawa nama-nama besar ketika pasaran perpindahan musim panas lalu
dibuka dan turut melakukan perkara yang sama, Januari lalu. Pengendali
berbangsa Itali itu sebaliknya melepaskan penyerang kontroversi mereka, Mario
Balotelli kepada AC Milan dengan mengharapkan gandingan Edin Dzeko, Aguero dan
Carlos Tevez mampu melakukan keajaiban seperti musim lalu. Seolah-olah mahu
membuktikan sesuatu kepada Mancini, Balotelli menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya
bersama Milan ketika menewaskan Udinese minggu lalu. Tidak seperti Mancini, Sir Alex Ferguson pula melakukan
dua pembelian besar musim panas lalu dengan mendapatkan Shinji Kagawa dari
Borussia Dortmund dan Robin Van Persie dari Arsenal.
Kedua-duanya terutama Van Persie segera
memberikan impak besar buat United biarpun ini adalah musim pertama mereka di
Old Trafford. Ketika United berdepan krisis di barisan pertahanan hingga
menyaksikan gawang mereka sudah dibolosi sebanyak 31 kali setakat ini (berbanding
hanya 24 oleh City), kerapuhan benteng pertahanan bagaiamanapun diimbangi oleh
ketajaman barisan serangan yang ditunjangi Wayne Rooney dan Van Persie. Barisan
serangan United menjaringkan 62 gol dalam saingan liga, jumlah tertinggi
berbanding pasukan lain di Liga Perdana dengan Van Persie muncul penyumbang
utama (dengan 19 gol) setakat ini. Mungkin ingin mengambil iktibar dari kegagalan
musim lalu di mana pasukannya gagal memenangi kejuaraan liga selepas tewas
kepada City dengan perbezaan jaringan, Sir Alex segera mendapatkan Van Persie
selepas mengetahui penjaring terbanyak musim lalu itu enggan menyambung kontrak
baru bersama Arsenal. Kegusaran Mancini selepas Van Persie sah menjadi milik
United menjadi kenyataan manakala strategi Sir Alex mendapatkan penyerang itu
berhasil apabila Van Persie menjaringkan gol demi gol untuk pasukan barunya
itu. Ketika United kian selesa mengharungi baki saingan liga musim ini, City
pula tidak bermain sepertimana mereka bermain musim lalu. Dua pemain terbaik City
yang memainkan peranan penting ketika mereka menjuarai liga musim lalu, Yaya Toure
dan Vincent Kompany tidak bermain pada tahap terbaik mereka musim ini, manakala
Joe Hart pula kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah seperti yang
dilakukannya ketika menentang Southampton hujung minggu lalu. Kapten Liverpool,
Steven Gerrard pernah mengatakan bahawa biarpun kadangkala United tidak bermain
dengan baik tetapi mereka masih mampu mencari cara untuk memenangi perlawanan.
Pendapat Gerrard itu turut dipersetujui Peter Reid (gambar), individu yang
pernah mengendalikan The Citizens
dari tahun 1990 hingga 1993. Reid dalam kenyataannya baru-baru ini berpendapat,
trofi Liga Perdana akan menuju ke Old Trafford selepas menyaksikan United menewaskan
Everton 2-0 sekaligus mencipta jurang 12 mata selaku pendahulu liga. “Pasukan
juara mampu memenangi sesuatu perlawanan biarpun ketika mereka tidak bermain
dengan bagus. Itulah yang membezakan United dengan City musim ini hingga mereka
(United) berjaya mencipta jurang 12 mata. Saya fikir United akan menjuarai liga”,
kata Reid. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan