20 Februari 2013

BOLEHKAH NANI SELAMATKAN KARIERNYA DI OLD TRAFFORD?


Selepas lama tenggelam, nama Luis Nani tiba-tiba menjadi sebutan selepas satu golnya dan satu assist sumbangannya membantu Manchester United layak ke pusingan suku akhir Piala FA. Kemenangan 2-1 yang dicatat United ke atas Reading memastikan impian Sir Alex Ferguson yang mahu menyaksikan skuad edisi 2012-13 mengulangi pencapaian skuad yang muncul juara treble 1999 semakin cerah. Kemenangan ke atas Reading di pusingan kelima Piala FA ini juga melengkapkan minggu cemerlang buat United di mana sebelumnya mereka berjaya menewaskan Everton untuk melebarkan kedudukan selaku pendahulu liga kepada 12 mata dan kemudiannya mencatatkan keputusan seri ketika menentang Real Madrid pada perlawanan pertama pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu. United kini berada di landasan terbaik merampas semula kejuaraan liga yang terlepas ke tangan Manchester City musim lalu dan berpeluang menyingkirkan Real Madrid untuk melayakkan diri ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara pada perhitungan kedua yang akan dilangsungkan di Old Trafford, 6 Mac ini. Berbalik kepada Nani, selepas diketepikan kerana masalah kecederaan dan kurangnya penampilan dalam kesebelasan utama, bintang antarabangsa Portugal itu antara pemain yang mula dilupakan di Old Trafford. Entah apa sebabnya, meskipun Sir Alex melakukan rombakan besar dengan melakukan lapan pertukaran pada kesebelasan utamanya yang diturunkan menentang Reading, nama Nani tetap tidak tersenarai sebaliknya sekadar berada di bangku simpanan. Untuk rekod, hanya David de Gea, Phil Jones dan Danny Welbeck pemain dari skuad yang bertandang ke Santiago Bernabeu dikekalkan Sir Alex dalam kesebelasan utama ketika menentang Reading. Ramalan bahawa pemain sayap itu akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini mungkin sekadar spekulasi atau cakap-cakap kosong, tetapi melihat kepada riak wajah Nani ketika meraikan jaringan golnya awal pagi Isnin lalu, beliau seolah-olah mahu membuktikan sesuatu. Hanya beberapa hari selepas terselamat dari kemalangan jalanraya, Nani masuk menggantikan Phil Jones yang mengalami kecederaan tiga minit sebelum babak pertama ditamatkan.

Walau agak lewat, Nani seolah-olah mahu meninggalkan impak segera sebelum rehat dengan melepaskan rembatan cantik yang bagaimanapun terkena tiang gol lawan. Ketika permainan masih terikat 0-0 dengan masa perlawanan berbaki 20 minit untuk ditamatkan, Nani menyudahkan hantaran Antonio Valencia melalui satu penyudah berkualiti dalam kawasan penalti lawan. Bekas pemain Sporting Lisbon itu mengangkat tangannya keudara, berlari ke arah terowong dan menjerit penuh semangat ke arah penyokong-penyokong United. Gelagatnya itu seolah-olah mahu memberitahu umum bahawa beliau kini sudah kembali. Tetapi apakah skuad seperti Reading yang berada di zon penyingkiran merupakan ujian terbaik buat Nani membuktikan keupayaan dan menyelamatkan kariernya di Old Trafford? Nani merupakan pemain yang memiliki kemahiran tinggi dalam bolasepak namun sering dilihat gagal mencapai potensi sebenar sepanjang enam tahun kariernya bersama United. Sumbangannya dilihat `cukup besar’ ketika United mengharungi kempen Piala FA atau ketika diturunkan berdepan kelab-kelab pertengahan Liga Perdana. Bagaimanapun Nani seperti biasa sering tenggelam dan tidak cukup konsisten pada perlawanan-perlawanan besar, malah lebih teruk lagi penyokong-penyokong adakalanya mengatakan bahawa beliau tidak memberikan sumbangan yang mencukupi ketika bermain pada perlawanan-perlawanan penting. Di Bernabeu, Danny Welbeck bermula di sebelah kanan, posisi di mana sepatutnya Nani berada. Welbeck membuktikan percaturan Sir Alex memang berbaloi melalui kerja kerasnya sepanjang perlawanan dan sumbangan satu golnya ke gawang Madrid. Melihat kepada peranan yang dimainkan Welbeck ketika ini, memang sukar buat Nani menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United tetapi nasib pemain bolasepak kadangkala boleh berubah dalam sekelip mata. Sir Alex memuji persembahan Nani ketika menentang Reading sambil menyifatkan kehadiran pemain itu berjaya mengubah permainan United. Sir Alex menandantangani Nani dari Sporting Lisbon pada 2007 kerana bakat hebat yag dimiliki pemain itu, dan bos United itu sekali lagi mengakuinya selepas tamat perlawanan menentang Reading. Jika Nani berjaya mengekalkan prestasinya dan konsisten ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar selepas ini, tugas Sir Alex memilih kesebelasan utama pastinya bakal bertambah rumit. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan