11 Februari 2013

CATATAN UNIK GIGGSY


Bintang veteran Manchester United, Ryan Giggs melakar satu lagi catatan unik dalam kariernya ketika pertemuan menentang Everton. Apa tidaknya, kerana gol pembukaan jaringan bintang berusia 39 tahun itu ke gawang Everton bukan sahaja merupakan gol sulungnya dalam saingan liga musim ini tetapi turut memanjangkan lagi rentetan rekod jaringan Giggs dalam aksi liga selama 23 musim berturut-turut. Sejak melakukan penampilan pertama dalam saingan liga pada 2 Mac 1991, Giggs tidak pernah gagal menjaringkan gol dalam setiap musim hinggalah yang terkini ketika dia membolosi pintu gol Tim Howard diminit ke-13 pertemuan United – Everton di Old Trafford semalam. Sebelum ini Giggs sudah menjaringkan gol ketika berdepan Chelsea dalam saingan Piala Capital One dan Fulham pula dalam saingan Piala FA. Bintang veteran itu sudah menjaringkan 166 gol dari 928 penampilannya dan dia kini berada di kedudukan kelapan senarai penjaring gol sepanjang zaman United. Kemenangan yang diraih United semalam memang belum cukup untuk memastikan mereka mengenggam kejuaraan liga musim ini tetapi kelebihan 12 mata yang dimiliki menjadikan barisan kendalian Sir Alex Ferguson itu semakin hampir meraih mahkota liga ke-20 mereka. Bercakap tentang peluang pasukannya, Giggs berkata, “Saya fikir kami mempunyai pengalaman untuk memastikannya (menjuarai liga), namun kami tidak boleh terleka. Saya melihat situasi ketika ini memberikan kelebihan besar buat kami. Apa yang perlu kami lakukan ialah terus bermain dengan baik. Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku selepas ini, jadi kami harus memberikan tumpuan dan memastikan kami menjalankan tugas dengan baik hingga akhir musim”. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan