12 April 2013

SPEKULASI PERPINDAHAN: GEMPAR DI ENGLAND...FALCAO KE OLD TRAFFORD?


Jika ditanya pemain mana yang masa depannya sering dijadikan topik hangat untuk dibincangan dan mendapat tempat di dada-dada akhbar pada tahun 2013 ini, jawapannya sudah pasti pemain yang dimaksudkan ialah Radamel Falcao Garcia Zarate, penyerang antarabangsa Colombia dan Atletico Madrid. Real Madrid, Chelsea dan Manchester City memang sudah diketahui antara kelab yang sedang berbaris bagi mendapatkan tandatangan Falcao tetapi berita mengejutkan tiba-tiba meledak di England petang semalam. Media Sepanyol, Marca dalam laporannya pada Rabu menyebut Falcao hampir pasti meninggalkan ibu kota Sepanyol dengan menjadikan Old Trafford sebagai destinasi berikutnya. Laporan tentang perpindahan Falcao ke Old Trafford yang diterbitkan Marca itu turut disokong media di England apabila Mirror dalam laporannya petang semalam menyebut nada yang hampir sama. Mirror bolehlah dianggap antara media yang cukup cekap menghidu sebarang spekulasi dalam dunia bolasepak dan beberapa laporannya sebelum ini berkaitan perpindahan pemain dan pertukaran jurulatih akhirnya menjadi kenyataan. Contoh terbaik ialah apabila wartawan mereka John Cross dalam kolumnya pernah menyebut bahawa Mauricio Pochettino akan menggantikan tempat Nigel Adkins sebagai pengendali Southampton. Laporan awal yang dibuat Cross akhirnya menjadi kenyataan apabila pada 18 Januari yang lalu Adkins akhirnya dipecat dan tempatnya diambilalih Pochettino. Spekulasi perpindahan Falcao ke Old Trafford turut berjaya dihidu Guillem Balague, wartawan Sepanyol yang cukup terkenal untuk kerja-kerjanya di England. Balague telah menyebut dalam akaun Twitter miliknya bahawa United sudahpun membayar wang pendahuluan kepada Atletico bagi mendapatkan Falcao, cara sama yang digunakan mereka ketika menandatangani David de Gea dua tahun lalu. Ketika kebanyakkan kelab-kelab Eropah mengalihkan fokus mereka di bahagian tengah, Sir Alex Ferguson pula bergerak ke arah berbeza (jika benar beliau memang serius mahu membawa Falcao beraksi di England). Apa yang menyebabkan Sir Alex sanggup menongkah arus? Jawapannya sudah pasti rekod jaringan Falcao sejak zamanya bersama Porto hinggalah saat dia menyarung jersi Atletico Madrid ketika ini.

Mungkin ramai pihak berpendapat United tidak memerlukan seorang lagi penyerang selepas mereka memiliki Wayne Rooney, Robin Van Persie, Danny Welbeck dan Javier Hernandez dalam senarai, tetapi penyerang dengan naluri pembunuh seperti Falcao akan sentiasa dialu-alukan oleh mana-mana pasukan. Jika spekulasi perpindahan Falcao ke Old Trafford benar-benar menjadi kenyataan, penyokong-penyokong United akan dapat menyaksikan kombinasi impian di barisan hadapan The Red Devils musim depan. Cuba anda bayangkan kemusnahan yang bakal diberikan Falcao dan Van Persie kepada benteng pertahanan lawan jika kedua-dua penyerang handalan ini disatukan. Tidak syak lagi Van Persie dan Falcao akan membentuk salah satu kombinasi penggempur paling dahsyat pernah disaksikan bukan saja di England malah di pentas Eropah juga. Memiliki penyerang hebat seperti Falcao dalam pasukan merupakan satu pembelian bijak dari mana-mana pengurus atau jurulatih di dunia ini. Ramai penganalisis bolasepak meramalkan jika Falcao melangkah ke Old Trafford, pemain yang akan berangkat keluar ialah Wayne Rooney ataupun Javier Hernandez. Ada kemungkinan juga United akan meletakkan Hernandez dalam pakej tawaran sebagai pertukaran dalam usaha mereka mendatangkan Falcao ke Old Trafford jika diambilkira laporan Daily Mail pada Oktober 2012 yang menyebut bahawa Atletico adalah antara kelab yang berminat mendapatkan penyerang Mexico itu. Spekulasi terbaru seolah-olah mengesahkan lagi laporan awal Daily Mail ini apabila usaha United mendapatkan Falcao dikatakan memasuki fasa baru dan tawaran yang diberikan dijangka bakal menggiurkan pihak pengurusan Atletico. Ketika harga Falcao di pasaran ketika ini dianggarkan sekitar 47 juta Pound, United diberitakan sedia membayar 27 juta Pound dan meletakkan Hernandez dalam pakej tawaran mereka. Meskipun media-media di Sepanyol menyebut United sudah membayar wang pendahuluan tetapi perjuangan mendapatkan Falcao masih belum berakhir. Senario pertukaran pemain mungkin berlaku dalam soal perpindahan Falcao kerana United seperti yang kita ketahui sudah memiliki barisan penyerang berkualiti dalam senarai mereka. Jika Falcao pegi, Atletico juga perlukan penyerang baru sebagai penggantinya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

11 April 2013

PEMBELIAN YANG PERLU DIBUAT SIR ALEX JIKA MAHU MENJULANG TROFI LIGA JUARA-JUARA


Selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga pada 2008, Manchester United gagal menambah koleksi kejuaraan saingan tertinggi di pentas Eropah itu meskipun selepas itu berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir pada edisi 2009 dan 2011. Kehadiran Robin Van Persie musim panas lalu menjadikan United antara calon pilihan menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara musim ini selain potensi mengulangi semula kejayaan mereka menjulang kejuaraan treble (trofi liga, Liga Juara-Juara dan Piala FA) musim 1998-99. Bagaimanapun selepas menyusulnya kekalahan kontroversi United kepada Real Madrid 6 Mac lalu, Sir Alex Ferguson nampaknya terpaksa menunggu setahun lagi jika berhasrat mahu membawa pasukannya beraksi di pentas final Liga Juara-Juara. Selepas disajikan dengan berbagai spekulasi pemain mana yang akan bergerak menuju ke Old Trafford musim panas nanti, berikut adalah lima pemain yang berkemungkinan besar akan di pancing Sir Alex untuk memperkuatkan skuadnya. Mustahil untuk mendapatkan kelima-limanya tetapi tidak mustahil untuk melihat satu atau dua pemain yang disenaraikan di bawah ini menyarung jersi United musim hadapan.

MATT HUMMELS

Dalam artikel-artikel sebelum ini, nama pemain pertahanan antarabangsa Jerman ini sudah disebut-sebut sebagai calon pilihan utama bagi menguatkan benteng pertahanan United. Selepas mengeluarkan kenyataan Oktober lalu bahawa dia ingin meninggalkan saingan Bundesliga, nama Hummels terus dikaitkan dengan perjalanan ke Old Trafford. Baru berusia 24 tahun, tetapi Hummels adalah tonggak dan mesin pertahanan Borussia Dortmund serta skuad kebangsaan Jerman. Hummels menjadi sandaran Jurgen Klopp di bahagian belakang dalam tempoh beberapa musim terakhir hingga berjaya membantu Die Schwarzgelben menjulang trofi Bundesliga dua musim berturut-turut (musim 2010-11 dan 2011-12). Hummels menampilkan permainan yang cukup solid sepanjang perjalanan Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini di mana dia sudahpun teruji terutamanya ketika berdepan perancang dan penggempur terbaik dunia seperti Cristiano Ronado, Mesut Ozil, David Silva dan Sergio Kun Aguero. United memang memerlukan nafas baru di bahagian tengah pertahanan mereka terutama jika melihat situasi Nemanja Vidic yang kerap dibelenggu kecederaan jangka panjang dalam tempoh dua musim terakhir ini, manakala Rio Ferdinand pula tidak mungkin mampu bermain setiap minggu dengan usianya yang bakal menjangkau 35 tahun. Ketika ini United memang memiliki pelapis untuk mengisi posisi pertahanan tengah dengan adanya Jonny Evans, Phil Jones dan Chris Smalling tetapi Sir Alex tidak boleh menolak hakikat bahawa beliau tetap perlukan seorang pemain kelas dunia di posisi tersebut.

LEIGHTON BAINES

Seiring dengan keperluan memperkuatkan bahagian pertahanan tengah, posisi bek kiri dijangka menjadi perhatian utama Sir Alex musim hadapan. Patrice Evra akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-32 Mei ini dan kita perlu menerima hakikat bahawa bintang Perancis itu tidak setangkas dulu. Meskipun Evra masih dominan menguasai posisinya, tetapi ramai pihak menganggap penampilan pemain itu semakin goyah dan kurang konsisten musim ini. Pertemuan menentang Reading Disember lalu boleh dijadikan contoh terbaik bagaimana rapuhnya Evra apabila sering dibolosi Hal Robson-Kanu. Meskipun United menang 4-3 dalam perlawanan itu tetapi dibolosi lawan yang berada di dasar liga dengan tiga gol adalah sesuatu yang agak gila. Apakah Evra sudah hampir menuju penghujung kariernya? Jika benar sudah tiba masanya untuk Sir Alex melakukan perubahan pada posisi tersebut musim depan. Alexander Buttner mempamerkan aksi cemerlang setiap kali diturunkan tetapi dia masih memerlukan semusim dua lagi untuk betul-betul bersedia mengambil alih sepenuhnya posisi Evra. Salah seorang pemain yang dikaitkan dengan United bagi menggantikan tempat Evra ialah Leighton Baines. United dikatakan pernah cuba mendapatkan Baines Disember lalu dengan tawaran 15 juta Pound tetapi David Moyes enggan melepaskan tonggak pasukannya itu memandangkan Everton ketika itu berada dalam posisi baik memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan. Kualiti Baines hampir sama seperti Evra di mana dia tidak ragu-ragu naik ke bahagian atas ketika menyerang dan memiliki terjahan-terjahan kemas. Baines adalah antara pemain England paling cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan secara beransur-ansur mula merampas tempat Ashley Cole dalam kesebelasan utama Three Lions.

JAMES RODRIGUEZ

Pemain sayap Colombia ini dianggap salah satu bakat paling menyerlah dalam bolasepak Eropah ketika ini. Pemain berusia 21 tahun ini sudah menjaringkan sembilan gol dari 18 penampilan liga untuk Porto musim ini. Dengan kemungkinan Nani akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini, Sir Alex nampaknya amat memerlukan pemain baru di bahagian sayap. United dilaporkan akan menawarkan kepada Porto Nani dan Anderson sebagai pertukaran bagi mendapatkan Rodriguez yang dikatakan bernilai 36 juta Pound itu. Nilai Rodriguez di pasaran perpindahan naik mendadak dari 24 juta Pound selepas aksi cemerlang dipamerkannya bersama Porto dalam saingan domestik dan Eropah. Pada usia baru mencecah 21 tahun, dia sudah mengumpul 10 caps  untuk skuad kebangsaan Colombia dan menjaringkan dua gol di peringkat antarabangsa. Rodriguez memiliki skil menggelecek, kreatif, kawalan bola mempersonakan dan rembatan padu hingga ada pihak mula membandingkan dirinya dengan bekas bintang United, Cristiano Ronaldo, satu pengiktirafan tinggi untuk pemain muda sepertinya.

VICTOR WANYAMA

Wanyama sudah dikaitkan dengan United sejak Januari lalu selepas kelibat Sir Alex dikesan menyaksikan perlawanan Celtic menentang Dundee United. Seolah-olah menyedari tujuan kedatangan Sir Alex semata-mata mahu menyaksikan kelibatnya, Wanyama beraksi cemerlang dan menjaringkan satu gol untuk kelabnya dalam perlawanan itu. Wanyama antara pemain Celtic paling berpengaruh ketika The Hoops mengejutkan Barcelona dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan membantu kelab itu layak ke pusingan kalah mati (16 pasukan). Lihat saja bagaimana Wanyama mematikan pergerakan licik Lionel Messi dalam perlawanan itu dan tanpa rasa gentar menyaingi kelibat Andres Iniesta dan Xavi Hernandez di bahagian tengah. Menyedari bintangnya menjadi perhatian kelab-kelab besar Eropah, Neil Lennon cuba habis-habisan mengikatkan pemain itu dengan kontrak baru namun sehingga kini masih tiada kesepakatan dicapai. United dikatakan serius memantau perkembangan pemain itu dan akan berada di barisan hadapan bagi mendapatkan Wanyama sebaik pasaran perpindahan pemain dibuka musim panas ini. Sir Alex memang memerlukan pemain yang `kuat’ di bahagian tengah pasukannya sejak era penguasaan Roy Keane berakhir dan Wanyama adalah calon terbaik mengisi posisi tersebut.

ROBERT LEWANDOWSKI

Lewandowski antara nama paling kerap disebut-sebut akan berhijrah ke Old Trafford sejak kebelakangan ini. Penyerang Poland itu adalah mesin gol buat Borussia Dortmund musim lalu apabila menjaringkan 30 gol dari 47 penampilan. Musim ini Lewandowski lebih tajam apabila sudah menjaringkan 29 gol dari 40 penampilan, jadi tidak hairanlah mengapa media meniupkan khabar angin betapa Sir Alex begitu mengagumi penampilannya. Disember lalu Sir Alex dilaporkan mula mengintai kemungkinan untuk mendapatkan khidmat Lewandowski selepas pemain itu mengatakan dia tidak akan memperbaharui kontraknya bersama Dortmund. Lewandowski adalah antara penyerang yang bakal menjadi buruan kelab-kelab ternama sebaik pasaran perpindahan pemain dibuka dan Jurgen Klopp juga mulai sedar dia tidak berupaya menghalang pemergian pemain berusia 24 tahun itu yang pernah meluahkan hasratnya bermain di England. Jika Sir Alex serius mahu membawa Lewandowski ke Old Trafford, beliau nampaknya terpaksa bersaing dengan Bayern Munich yang turut mengintai peluang membawa pemain itu ke Allianz Arena. Mungkin ramai pihak mengatakan United tidak perlu mendapatkan penyerang baru memandangkan mereka sudah memiliki Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck di barisan hadapan. Bagaimanapun mereka juga perlu sedar bahawa Welbeck masih perlukan masa untuk berkembang di mana dia hanya menjaringkan satu gol dari 22 penampilan liga untuk United musim ini, manakala Van Persie pula akan mencecah usia 30 tahun Ogos ini. Masa depan Rooney juga masih belum dapat dipastikan setakat ini terutamanya jika diambilkira minat yang begitu mendalam ditunjukkan gergasi Perancis, Paris St Germain terhadapnya. Kurangnya peluang tampil dalam perlawanan-perlawanan liga musim ini menyaksikan masa depan Hernandez juga menjadi persoalan meskipun Sir Alex baru-baru ini menegaskan bintang Mexico itu tidak akan dijual.

Selepas kegagalan di pentas Eropah disusuli penyingkiran dari saingan Piala FA oleh Chelsea, kini hanya trofi liga bakal mengubati kekecewaan United musim ini. Kekalahan terbaru kepada Manchester City dalam saingan liga Selasa lalu mendedahkan kepincangan barisan The Red Devils terutamanya di bahagian tengah, manakala Sergio Aguero memberikan tamparan kepada benteng pertahanan apabila dia menjaringkan gol kemenangan City dalam tempoh hanya lapan minit selepas dimasukkan selaku pemain gantian. Roberto Mancini sudah melaungkan amaran bahawa mereka akan merampas semula trofi liga musim depan dan dengan limpahan wang yang banyak, pengendali itu tentunya akan melakukan beberapa pembelian baru musim panas ini. Saingan semakin sengit musim demi musim dan jika Sir Alex memasang impian mahu mengulangi pencapaian gemilang United musim 1998-99, beliau memerlukan skuad yang besar untuk menghadapi jadual saingan domestik yang ketat dan dalam masa yang sama memburu kegemilangan di pentas Eropah. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

09 April 2013

REVIEW: MENANG DI OLD TRAFFORD, CITY HIDUPKAN SISA PELUANG


Kekalahan kepada Manchester City awal pagi tadi menyaksikan rentetan kemenangan Manchester United dalam aksi liga sejak November tahun lalu berakhir. Sejak tewas kepada Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara 6 Mac lalu, United berdepan aksi tidak konsisten ketika perjalanan liga menuju penghujung musim di mana mereka tewas dua perlawanan, seri dua kali dan mencatat hanya satu kemenangan. Kekalahan ketiga United dalam aksi liga musim ini menyaksikan jurang mata yang dimiliki mereka selaku pendahulu mengecil kepada 12 mata tetapi United masih kekal selaku pilihan utama merangkul trofi liga ketika saingan berbaki tujuh perlawanan untuk diharungi. Meskipun ketika ini United masih tampak selesa menerajui takhta liga tetapi barisan The Red Devils sebenarnya tetap perlu merenung kembali kegagalan musim lalu di mana mereka kehilangan lapan mata dari baki enam perlawanan terakhir sehingga menyaksikan City berjaya memintas di penghujung musim. Nampaknya masih banyak kerja yang perlu dilakukan Sir Alex Ferguson terhadap skuadnya dan pemain-pemain pula perlu kembali fokus kepada misi mereka menjulang trofi liga buat kali ke-20. Kekalahan kepada City awal pagi tadi sebenarnya menimbulkan persoalan di kalangan penganalisis bolasepak terutamanya tentang taktikal yang digunakan Sir Alex sejak kebelakangan ini. Saya tidak mahu mempertikaikan sebarang keputusan Sir Alex dalam memilih kesebelasan utama pasukannya dalam setiap perlawanan kerana siapalah saya untuk melakukannya. Di sini saya cuma mahu memetik sedikit ulasan oleh Neil Ashton dari Daily Mail yang mempersoalkan tindakan Sir Alex menggunakan bintang veteran Ryan Giggs selama 90 minit sedangkan beliau memiliki Shinji Kagawa dan Nani di bangku simpanan. Ketika Sir Alex masih menyandarkan harapan kepada kudrat Giggs menjana bahagian tengah pasukannya, Mancini pula bertindak dengan mengeluarkan Samir Nasri dan memasukkan Aguero untuk meningkatkan tekanan kepada benteng pertahanan United. Hasilnya selepas lapan minit dimasukkan, Aguero menjaringkan gol kemenangan City dan di akhir perlawanan Mancini tersenyum puas menuai hasilnya.

Ketika tempoh permainan sebenar berbaki 10 minit untuk ditamatkan, Sir Alex akhirnya memasukkan Antonio Valencia (minit ke-80), Javier Hernandez (minit ke-85) dan Shinji Kagawa (minit ke-90) untuk memburu gol penyamaan tetapi tiada apa yang mampu dilakukan ketiga-tiga pemain ini dalam tempoh sesingkat itu. United sebenarnya perlukan ketajaman Kagawa dan tenaga ketika melancarkan serangan milik Tom Cleverley dalam perlawanan ini, namun agak malang kerana kedua-duanya sekadar menjadi pemerhati dari tepi padang. Mungkin disebabkan faktor baru pulih dari kecederaan, persembahan Rooney agak berkarat manakala Giggs pula bukanlah pemain yang sama seperti sepuluh tahun dahulu menyebabkan United sukar memberikan ancaman menerusi bahagian tengah. Ketika saingan musim ini semakin hampir menuju garis penamat, persembahan United pula dilihat semakin pincang tetapi mujurlah mereka memiliki `deposit’ besar dalam simpanan mereka hingga agak mustahil City mampu memadam kelebihan 12 mata yang dimiliki anak-anak buah Sir Alex. Yaya Toure begitu bergaya menguasai bahagian tengah sekaligus mendedahkan bahawa United sebenarnya perlukan seorang pemain yang boleh memimpin posisi tersebut. Adalah diharapkan agar perlawanan menentang City awal pagi tadi menjadi perlawanan terakhir Giggs diletakkan selaku pemain tengah kerana itu bukanlah posisi yang sesuai buatnya. Giggs sudah digunakan Sir Alex sebagai pemain tengah dalam dua perlawanan besar (menentang Madrid dan City) dan perlu diakui bahawa aksinya awal pagi tadi antara yang terburuk dipamerkannya musim ini. Musim panas ini, Sir Alex perlu bergerak pantas mendapatkan pemain baru di bahagian tengah memandangkan Paul Scholes semakin menghampiri garis persaraan, Darren Fletcher pula nampaknya tidak akan pulih dari masalah kesihatannya manakala prestasi Anderson pula seolah-olah sudah statik dan hanya keajaiban sahaja mampu menjadikan Ando sebagai pemain tengah yang lebih bagus. Memang pahit untuk menerima kekalahan tetapi lebih pahit lagi untuk menerima kebenaran. Lupakan segera kekalahan kepada City dan kembali fokus kepada pertemuan menentang Stoke City hujung minggu ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan United-City:

Gol: 1 - 2
Percubaan: 15 – 10
Percubaan Tepat: 5 – 3
Penguasaan Bola: 45% - 55%
Kekasaran: 13 – 20
Sepakan Sudut: 9 – 4
Offside: 3 – 1
Kad Kuning: 3 – 5
Kad Merah: 0 – 0 

08 April 2013

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn MANCHESTER CITY



Derby Manchester yang akan berlangsung awal pagi esok tidak akan menobatkan Manchester United selaku juara Liga Perdana (jika United menang perlawanan ini) tetapi gelaran penguasa kota Manchester dan maruah bakal menjadi pertaruhan antara kedua-dua kelab. United sudah memenangi pusingan pertama selepas mereka menewaskan City 3-2 pada pertemuan di Stadium Etihad 9 Disember lalu apabila Robin Van Persie menyumbat gol kemenangan dimasa kecederaan. Bagi Roberto Mancini, dia mungkin sudah boleh melupakan sebarang harapan mengejar United selepas menyaksikan skuadnya ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu itu, tetapi pengendali itu boleh menangguhkan pesta musuh setempat mereka sekurang-kurangnya seminggu lagi jika anak-anak buahnya mampu mengatasi United dalam perlawanan ini. Jurang mata yang begitu besar bakal menjadi musuh utama United dan Sir Alex Ferguson pantas mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu leka meskipun peluang menjulang trofi liga musim ini hampir 99% dalam genggaman. Kecewa tersingkir dari saingan Piala FA mungkin masih meninggalkan kesan kepada barisan The Red Devils tetapi mereka perlu menggunakan pertemuan menentang City ini sebagai medan terbaik untuk bangkit kembali. Jika berjaya menewaskan City, United akan melebarkan penguasaan mereka di tangga teratas kepada 18 mata dan dengan baki tujuh perlawanan lagi yang perlu diharungi selepas itu, trofi liga sepatutnya sudah boleh diserahkan kepada Nemanja Vidic untuk dijulang. Meskipun secara matematiknya jika City tewas dalam perlawanan ini mereka masih berpeluang mengejar United namun mengharapkan anak-anak buah Sir Alex kalah kesemua baki tujuh perlawanan mereka adalah sesuatu yang keterlaluan dan hampir mustahil.

Jadi tiada apa yang mampu diharapkan Mancini dalam perlawanan ini kecuali kemenangan demi  maruah selepas dia menghabiskan ratusan juta Pound dalam tempoh beberapa musim terakhir untuk membawa masuk bintang-bintang handalan dunia ke Eastlands. Okey, lupakan kekalahan 1-6 kepada City musim lalu kerana United sepatutnya menggunakan perlawanan ini untuk menebus semula aib yang berlaku pada 23 Oktober 2011 itu. Hanya kemenangan ke atas City akan melengkapkan musim bergaya United dalam saingan liga sekaligus memadamkan kekecewaan musim lalu selepas mereka terpaksa menyerahkan trofi liga kepada `jiran yang bising’ itu dengan hanya perbezaan gol. Pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan ini sudah pastilah Carlos Tevez. Penyokong-penyokong United tentunya mengharapkan agar Tevez diturunkan dalam perlawanan ini untuk diberikan `sambutan hangat’ selepas aksinya menjulang sepanduk bertulis `RIP FERGIE’ ketika meraikan kejayaan City menjulang trofi liga musim lalu mengundang kecaman ramai pihak di Old Trafford. Wayne Rooney dan Rafael da Silva yang terlepas aksi di Stamford Bridge akan kembali semula dalam kesebelasan utama. Di bahagian tengah Michael Carrick akan terus menguasai posisinya bersama-sama Tom Cleverley atau Ryan Giggs manakala Antonio Valencia yang dilabelkan Sir Alex sebagai satu-satunya pemain United yang beraksi cemerlang meskipun disingkir Chelsea dalam aksi Piala FA minggu lalu akan mengisi posisi sebelah kanan. Shinji Kagawa dijangka bermula di sebelah kiri dengan Rooney pula seperti biasa akan berada di sebelah Robin Van Persie selaku penggempur. Sir Alex berharap agar gandingan dua pemain ini akan memberikan pukulan terakhir kepada sisa-sisa perjuangan City musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perawanan:

- City pernah menewaskan United sebanyak 16 kali ketika beraksi di Old Trafford tetapi mereka juga mengumpul 36 kekalahan di gelanggang yang sama.

- Perlawanan awal pagi esok adalah pertembungan derby ke-165 antara kedua-dua pasukan. Sepanjang 164 perlawanan yang lalu, United menang 69 perlawanan, seri 50 dan tewas 45 kali.

- Kemenangan besar City ke atas United musim lalu (6-1) bukanlah satu-satunya perlawanan yang berkesudahan dengan margin lima gol kerana United pernah menewaskan City 5-0 pada musim 1994-95.

- Sejak Roberto Mancini mengendalikan City, mereka menang dua dari enam pertemuan menentang United, kalah tiga kali dan seri sekali.

- United, City dan Arsenal adalah tiga pasukan yang tidak pernah tewas dalam saingan liga musim ini jika mereka berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu.

- United muncul pasukan yang menjaringkan gol terbanyak dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan dengan 27 gol.

- Dari 31 gol yang membolosi gawang United, hanya satu jaringan dihasilkan lawan dari luar petak penalti.

- United mencipta rekod clean sheet terpanjang musim ini iaitu selama 627 minit.

- Kemenangan keatas Sunderland minggu lalu menjadikan United pasukan pertama meraih 25 kemenangan dari 30 perlawanan liga.

- United masih mampu meraih 27 mata walaupun mereka ketinggalan terlebih dahulu kepada lawan. Catatan terbaik berbanding mana-mana pasukan di Liga Perdana musim ini.

- Robin Van Persie gagal menjaringkan sebarang gol dari 9 perlawanan kompetitif United walaupun bermain selama 549 minit dan melepaskan 24 percubaan.

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Rafael da Silva, Michael Carrick, Tom Cleverley,  Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan City:

Joe Hart, Pablo Zabaleta, Vincent Kompany, Matija Nastasic, Gael Clichy, Gareth Barry, James Milner, Yaya Toure, Carlos Tevez, David Silva & Sergio Aguero

04 April 2013

MUSIM DEPAN, KAGAWA AKAN LEBIH MENYERLAH


Hampir sebulan lalu, ramai pihak meletakkan skuad Manchester United musim ini boleh mengulangi pencapaian meraih gelaran treble yang pernah dilakukan skuad musim 1998-99. Walau bagaimanapun potensi besar yang diletakkan ke atas Nemanja Vidic dan rakan-rakan sepasukannya musim ini gugur satu persatu. Bermula dengan penyingkiran secara kontroversi dari saingan Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, barisan The Red Devils sekali lagi terpaksa menelan kepahitan apabila giliran Chelsea pula menyingkirkan mereka dari perebutan trofi kejohanan kalah mati domestik. Kini satu-satunya kejayaan yang mampu memadam semua kekecewaan sebelum ini ialah dengan menjulang kejuaraan liga buat kali ke-20. Sir Alex Ferguson menaruh keyakinan yang cukup tinggi terhadap barisan pemain yang dimilikinya musim ini, jadi tidak hairanlah jika beliau berani meletakkan sasaran pasukannya mampu mengulangi pencapaian tahun 1999 dan 2008 dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara. Selepas kegagalan di pentas Eropah dan kemarau menjulang Piala FA terus berpanjangan, ada kemungkinan Sir Alex akan melakukan `langkah besar’ dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Walau bagaimanapun artikel ini bukanlah mahu menyentuh tentang penjualan atau pembelian pemain musim panas nanti tetapi lebih kepada skuad yang ada sekarang. Siapa pemain dari skuad sekarang yang akan lebih menyerlah musim depan sepertimana yang telah ditunjukkan David de Gea dan Rafael da Silva musim ini? Tom Cleverley, Danny Welbeck atau Shinji Kagawa? Pada usia mencecah 23 tahun, Cleverley adalah pemain utama United musim ini dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama-sama Michael Carrick di bahagian tengah. Malah Sir Alex tidak ragu-ragu meletakkan Cleverley sebagai peneraju bahagian tengah England di masa depan. Welbeck berkembang dengan cukup baik musim ini, memainkan peranannya dengan berkesan dalam formasi 4-2-3-1 tetapi perlu memperbaiki lagi sentuhan penyudahnya. Walau bagaimanapun pemain pilihan saya yang akan menyerlah musim depan ialah Shinji Kagawa, lelaki Jepun yang dibawa Sir Alex dari Borussia Dortmund musim panas lalu.

Musim pertama di Old Trafford memang diakui sebagai musim yang sukar buat Kagawa. Kecederaan memang menjadi musuh utama kepada mana-mana pemain dan itulah yang terpaksa di hadapi Kagawa. Selain masalah kecederaan yang membelenggu, Kagawa juga terpaksa bergelut menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana England yang lebih fizikal berbanding Bundesliga. Walau bagaimanapun, playmaker antarabangsa Jepun itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda kebangkitan sejak kebelakangan ini. Kagawa membuktikan keupayaan sebenarnya selepas menjaringkan hatrik ketika menentang Norwich City beberapa minggu lalu. Diletakkan sebaris bersama Wayne Rooney dalam formasi permainan United memberikan Kagawa lebih banyak ruang untuk bergerak serta menyusun permainan, jadi hatriknya ke atas Norwich bukanlah kerana nasib semata-mata. Peningkatan yang dipamerkan Kagawa sejak akhir-akhir ini memberikan isyarat jelas bahawa bintang antarabangsa Jepun akan lebih bersedia dan menyerlah musim depan. Reaksi Sir Alex selepas tamat perlawanan menentang Norwich menggambarkan apa yang mampu dilakukan Kagawa pada musim keduanya di Old Trafford nanti. “Dia akan menjadi pemain yang lebih bagus. Musim depan saya percaya dia akan menjadi pemain yang jauh lebih bagus”, kata Sir Alex. Kelebihan yang dimiliki Kagawa ialah kemampuannya menarik pemain lawan keluar dari posisi mereka sebelum mencipta peluang untuk disudahkan rakan-rakan sepasukan. Peranan yang dimainkan dalam formasi United juga banyak membantu perkembangan Kagawa di mana dia sering bergerak di antara pemain tengah dan barisan pertahanan lawan. Sebagai pemain tengah, Kagawa sudah tentunya perlu melakukan banyak hantaran-hantaran dan ketepatan hantaran adalah aset yang cukup bernilai bagi playmaker sepertinya. Dalam soal ketepatan ketika melakukan hantaran, Kagawa adalah antara yang terbaik dalam skuad United. Setakat ini statistik menunjukkan bahawa Kagawa mencatatkan 90.5% ketepatan hantaran, hanya sedikit di belakang Paul Scholes.

Penjaga gol Dortmund, Roman Weidenfeller yang juga merupakan bekas rakan sepasukan Kagawa adalah individu paling tepat yang boleh memberikan ulasan tentang kemampuan sebenar Kagawa. Weidenfeller yang bermain bersama-sama Kagawa selama dua musim di Signal Iduna Park mengatakan bahawa bekas rakan sepasukannya itu sudah mula menemui pretasi terbaiknya bersama United. “Tempoh paling buruk buat Kagawa ialah kecederaan yang dialaminya tetapi dia kini sudah cergas dan kembali menemui prestasi terbaiknya. Percayalah dia akan menunjukkan apa yang sebenarnya mampu dia lakukan kepada penyokong-penyokong United. Hanya beberapa minggu lalu dia menjaringkan hatrik jadi dia memang sentiasa berkembang setiap masa. Dia masih muda, jadi masih banyak yang dapat diharapkan daripadanya kerana dia akan terus berkembang”, kata Weidenfeller. Kelebihan Kagawa menurut Weidenfeller ialah dia memiliki teknik yang bagus dalam permainan di mana lawan sukar meramalkan apa yang bakal dilakukannya ketika menyusun gerakan. Memang benar apa yang dikatakan Weidenfeller kerana Kagawa adalah antara pemain yang mampu bermain dalam berbagai posisi. Bersama Dortmund Kagawa bukan hanya bertindak sebagai pemain tengah menyerang tetapi seringkali diletakkan Jurgen Klopp di belakang Robert Lewandowski. Dalam formasi permainan United pula, Kagawa beroperasi dalam kedudukan yang lebih luas disebelah kiri di mana peranan yang sama turut dimainkannya bersama skuad kebangsaan Jepun. Kata-kata Sir Alex selepas perlawanan menentang Norwich seolah-olah memberikan gambaran awal bahawa Kagawa akan menjadi nadi kekuatan United musim depan. Jika ada individu yang layak untuk meramalkan tentang skuad musim depan United, orangnya tidak lain dan tidak bukan ialah Sir Alex sendiri. Untuk musim depan, apakah Sir Alex akan terus menggunakan formasi 4-2-3-1 yang membolehkan Kagawa bermain mengikut kebolehan semula jadinya atau beliau akan mengubah peranan pemain berusia 24 tahun itu sepertimana yang dilakukannya ke atas Wayne Rooney musim ini. Shinji Kagawa sudah mula menunjukkan potensinya dan tidak mustahil ramalan Sir Alex bahawa bintang Jepun itu akan menjadi key player buat United musim depan akan menjadi kenyataan. Pengendali berpengalaman seperti Sir Alex sudah tentu cukup bijak dan arif bagaimana mahu mengeksploitasi sepenuhnya bakat dan kebolehan milik Kagawa untuk kepentingan pasukan, jadi kita tunggu saja apa yang mampu diberikan Kagawa pada musim keduanya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

02 April 2013

KEGAGALAN SEMALAM BUKANLAH KEGAGALAN MUTLAK


Selepas treble kini double pula terlucut dari jangkauan. Manchester United sudahpun tersingkir dari saingan Piala FA musim ini selepas mereka tewas 0-1 ditangan Chelsea pada perlawanan ulangan yang dilangsungkan di Stamford Bridge semalam. Kekalahan semalam memang memedihkan terutamanya apabila disingkirkan oleh musuh ketat seperti Chelsea dan kegagalan itu pasti akan terus diingati untuk tempoh beberapa hari lagi. Perlawanan semalam bolehlah dikatakan hampir seimbang dengan kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang menjaringkan gol tetapi amat malang apabila United gagal bangkit selepas ketinggalan menerusi jaringan Demba Ba diminit ke-49. Kita juga perlu mengakui bahawa Petr Cech berada pada kelas tersendiri semalam terutama ketika dia bertindak cukup cemerlang menafikan peluang terbaik United menerusi tandukan Javier Hernandez diminit ke-61. Ketika 99% bola hampir pasti menerjah jaring gol, Cech bertindak dengan begitu fantastis menafikan peluang Hernandez untuk menyamakan kedudukan. Meskipun selepas perlawanan, Cech mengakui dia sekadar bernasib baik (berjaya menepis bola tandukan Hernandez) namun penjaga gol antarabangsa Republik Czech itu memang menampilkan aksi cukup cemerlang sepanjang 90 minit permainan. Kekalahan semalam juga menyaksikan Sir Alex Ferguson gagal membawa United menjulang Piala FA buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun, tetapi pengendali berpengalaman itu tahu segala kekecewaan akan segera dilupakan jika United berjaya membenam Manchester City pada pertemuan liga di Old Trafford minggu hadapan. Menewaskan City bermakna United memiliki kelebihan 18 mata di hadapan juara bertahan itu dan meskipun secara matematiknya, City masih berpeluang mengejar The Red Devils (itupun jika United tewas 6 perlawanan dan seri sekali dari baki tujuh perlawanan mereka), peluang City mempertahankan kejuaraan mereka bolehlah dikatakan sudah tertutup rapat. Okey kembali semula pada perlawanan di Stamford Bridge semalam. Pada keseluruhannya pemain United paling menonjol ialah Antonio Valencia yang konsisten sepanjang perlawanan. Meskipun penampilannya sejak kebelakangan ini sering menjadi bahan kritikan tetapi Valencia pantas membuktikan bahawa dia sepatutnya perlu lebih dihormati.

Sepanjang 90 minit Valencia memenuhi standard yang diletakkan Sir Alex ke atasnya dan perkara itu diakui sendiri oleh bos United itu. Menurut Sir Alex tiada seorangpun pemain United yang sepatutnya berbangga dengan penampilan mereka semalam kecuali Valencia. “Sepanjang 90 minit Antonio Valencia bermain dengan cukup cemerlang, melakukan gerakan-gerakan serangan tanpa rasa penat dan bertahan dengan baik ketika kubu kami diasak. Phil Jones tampil bagus dalam beberapa bahagian dan David De Gea juga. Tetapi sepanjang 90 minit hanya Antonio Valencia yang benar-benar cemerlang dan memberikan prestasi terbaiknya”, kata Sir Alex. Sebelum perlawanan United sudah ditimpa malang apabila Wayne Rooney yang dikatakan bakal menjadi sandaran di bahagian hadapan United tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan pangkal paha. Di separuh masa pertama Hernandez hampir meletakkan United di hadapan namun rembatannya dari luar petak penalti berjaya diselamatkan Cech dengan menggunakan kaki meskipun pada awalnya dia tampak hampir tertewas. Di penghujung permainan, Robin Van Persie juga hampir saja menyamakan kedudukan tetapi rembatannya melambung tinggi meskipun dia berada pada posisi terbaik di hadapan gawang lawan. Pada kebiasaannya peluang seperti itu adalah `makanan’ Van Persie tetapi entah apa sebabnya dia terlepas peluang keemasan seperti itu. Jika Hernandez atau Van Persie berjaya menyempurnakan salah satu peluang tersebut, keputusan perlawanan mungkin berbeza. Apapun 90 minit perlawanan sudah berakhir dengan Chelsea sudahpun menempah tempat mereka di separuh akhir dan kegagalan haruslah diterima dengan hati terbuka. Gagal memenuhi misi menjulang treble atau double bukanlah satu kegagalan mutlak kerana United masih mempunyai satu lagi trofi untuk dijulang iaitu trofi Liga Perdana. Semoga pertemuan menentang City minggu hadapan akan menjadi detik terbaik buat pemain-pemain bangkit dan penyokong-penyokong melupakan kegagalan semalam. Hanya kemenangan ke atas City pada pertemuan derby 9 April nanti menjadi hadiah terbaik dari United untuk penyokong-penyokong mereka sekaligus memberikan paku terakhir pada keranda perjuangan City musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

01 April 2013

PREVIEW PIALA FA: CHELSEA lwn MANCHESTER UTD



Manchester United dan Chelsea akan membuat perhitungan terakhir di Stamford Bridge bagi merebut slot ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama yang diadakan di Old Trafford. Dua gergasi England itu meraih keputusan berbeza dalam saingan liga Sabtu lalu di mana United menang 1-0 ke atas Sunderland manakala Chelsea pula tewas 1-2 kepada Southampton. Bermain dua perlawanan dalam tempoh tiga hari pastinya menguji mental dan fizikal pemain kedua-dua pasukan dan dalam hal ini United dilihat memiliki sedikit kelebihan. United memiliki skuad yang besar berbanding Chelsea di mana Sir Alex mempunyai lebih banyak opsyen dalam menurunkan barisan pemainnya malam ini. Rio Ferdinand, Tom Cleverley, Wayne Rooney, Patrice Evra, Danny Welbeck dan Nani yang tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika menentang Sunderland dijangka kembali memperkuatkan pasukan, manakala tempat Rafael da Silva yang diberitakan mengalami kecederaan ringan akan diisi Phil Jones. Bagi tuan rumah pula, nama-nama seperti Juan Mata, Eden Hazard, Ashley Cole, David Luiz, Ramires dan Demba yang direhatkan ketika mereka tewas kepada Southampton kembali menjadi sandaran Rafa Benitez. Benitez nampaknya berdepan situasi lebih kritikal kerana perlu bertindak bijak dalam melakukan penggiliran pemain kerana mereka terpaksa berdepan lima perlawanan dalam tempoh 13 hari. John Terry tampak akan mengetuai skuad The Blues dalam perlawanan ini selepas mempamerkan persembahan terpuji di St Mary.

Selepas direhatkan pada perlawanan liga Sabtu lalu, Wayne Rooney pasti mendapat rehat secukupnya dan kecergasannya akan menjadi faktor penting di barisan hadapan United. Rooney menjaringkan dua gol dalam aksi antarabangsa untuk England minggu lalu dan dia dilihat dalam momentum terbaik untuk sekali mencuri tumpuan dalam perlawanan ini. Selain Rooney, Javier Hernandez juga bakal menjadi tumpuan berikutan rekod baiknya setiap kali berdepan Chelsea. Tujuh gol dari 10 pertemuan menentang kelab London itu tentunya akan menyebabkan Hernandez diberikan perhatian benteng pertahanan Chelsea jika dia diturunkan Sir Alex malam ini. Jika Sir Alex memiliki Rooney dan Hernandez sebagai senjata utamanya dalam perlawanan ini, Benitez pula akan menyandarkan harapannya kepada Juan Mata untuk menggempur kubu United. Mata merupakan penjaring terbanyak Chelsea musim ini dengan 17 gol dalam semua kejohanan dan dia jelas pemain paling berbahaya untuk The Blues. David de Gea perlu lebih berhati-hati dengan kemampuan Mata menjaringkan gol dari luar petak penalti dan gerakan-gerakan liciknya. Jika Mata berada pada prestasi terbaik, Chelsea mampu memberikan ancaman menerusi gerakan­ serang balas pantas mereka. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Fakta Perlawanan:

- Dari 12 rekod pertemuan Piala FA menentang Chelsea, United menang lapan perlawanan, dua kali seri dan dua kali kalah.

- Dalam saingan Piala FA 1998-99, United dan Chelsea mencatat keputusan seri pada perlawanan di Old Trafford, tetapi Red Devils menang 2-0 pada perlawanan ulangan di Stamford Bridge.

- Ini merupakan kunjungan ketiga United di Stamford Bridge musim ini. United mengatasi Chelsea pada perlawanan liga tetapi tewas dalam saingan Piala Liga (Capital One).

- Chelsea merupakan kelab yang memiliki pencapaian terbaik pada saingan Piala FA dalam tempoh beberapa tahun terakhir. Mereka berjaya memenangi Piala FA sebanyak empat kali dalam tempoh enam musim terakhir.

- Chelsea tidak tewas di Stamford Bridge dalam saingan Piala FA selama 10 tahun. Kelab terakhir yang berjaya menewaskan Chelsea di Stamford Bridge ialah Arsenal di mana The Gunners menang perlawanan ulangan peringkat suku akhir musim 2002-03 dengan keputusan 3-1. John Terry menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan itu.

- United tidak pernah menjulang Piala FA sejak 2004 meskipun mereka adalah kelab yang paling banyak menjulang trofi kejohanan kalah mati itu sebanyak 11 kali.

- Kali terakhir United mara ke final ialah pada musim 2006-07. Bagaimanapun United tewas kepada Chelsea.

- Javier Hernandez adalah penjaring terbanyak United dalam kempen Piala FA musim ini dengan empat gol.