Manchester United dan Chelsea akan membuat
perhitungan terakhir di Stamford Bridge bagi merebut slot ke peringkat separuh
akhir Piala FA selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama
yang diadakan di Old Trafford. Dua gergasi England itu meraih keputusan berbeza
dalam saingan liga Sabtu lalu di mana United menang 1-0 ke atas Sunderland
manakala Chelsea pula tewas 1-2 kepada Southampton. Bermain dua perlawanan
dalam tempoh tiga hari pastinya menguji mental dan fizikal pemain kedua-dua
pasukan dan dalam hal ini United dilihat memiliki sedikit kelebihan. United
memiliki skuad yang besar berbanding Chelsea di mana Sir Alex mempunyai lebih banyak
opsyen dalam menurunkan barisan pemainnya malam ini. Rio Ferdinand, Tom Cleverley,
Wayne Rooney, Patrice Evra, Danny Welbeck dan Nani yang tidak disenaraikan
dalam kesebelasan utama ketika menentang Sunderland dijangka kembali
memperkuatkan pasukan, manakala tempat Rafael da Silva yang diberitakan
mengalami kecederaan ringan akan diisi Phil Jones. Bagi tuan rumah pula,
nama-nama seperti Juan Mata, Eden Hazard, Ashley Cole, David Luiz, Ramires dan
Demba yang direhatkan ketika mereka tewas kepada Southampton kembali menjadi
sandaran Rafa Benitez. Benitez nampaknya berdepan situasi lebih kritikal kerana
perlu bertindak bijak dalam melakukan penggiliran pemain kerana mereka terpaksa
berdepan lima perlawanan dalam tempoh 13 hari. John Terry tampak akan mengetuai
skuad The Blues dalam perlawanan ini selepas
mempamerkan persembahan terpuji di St Mary.
Selepas direhatkan pada perlawanan liga Sabtu
lalu, Wayne Rooney pasti mendapat rehat secukupnya dan kecergasannya akan menjadi
faktor penting di barisan hadapan United. Rooney menjaringkan dua gol dalam aksi
antarabangsa untuk England minggu lalu dan dia dilihat dalam momentum terbaik
untuk sekali mencuri tumpuan dalam perlawanan ini. Selain Rooney, Javier
Hernandez juga bakal menjadi tumpuan berikutan rekod baiknya setiap kali
berdepan Chelsea. Tujuh gol dari 10 pertemuan menentang kelab London itu tentunya
akan menyebabkan Hernandez diberikan perhatian benteng pertahanan Chelsea jika
dia diturunkan Sir Alex malam ini. Jika Sir Alex memiliki Rooney dan Hernandez
sebagai senjata utamanya dalam perlawanan ini, Benitez pula akan menyandarkan
harapannya kepada Juan Mata untuk menggempur kubu United. Mata merupakan
penjaring terbanyak Chelsea musim ini dengan 17 gol dalam semua kejohanan dan
dia jelas pemain paling berbahaya untuk The
Blues. David de Gea perlu lebih berhati-hati dengan kemampuan Mata menjaringkan
gol dari luar petak penalti dan gerakan-gerakan liciknya. Jika Mata berada pada
prestasi terbaik, Chelsea mampu memberikan ancaman menerusi gerakan serang balas
pantas mereka. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perlawanan:
- Dari 12 rekod pertemuan Piala FA menentang
Chelsea, United menang lapan perlawanan, dua kali seri dan dua kali kalah.
- Dalam saingan Piala FA 1998-99, United dan
Chelsea mencatat keputusan seri pada perlawanan di Old Trafford, tetapi Red
Devils menang 2-0 pada perlawanan ulangan di Stamford Bridge.
- Ini merupakan kunjungan ketiga United di
Stamford Bridge musim ini. United mengatasi Chelsea pada perlawanan liga tetapi
tewas dalam saingan Piala Liga (Capital One).
- Chelsea merupakan kelab yang memiliki
pencapaian terbaik pada saingan Piala FA dalam tempoh beberapa tahun terakhir.
Mereka berjaya memenangi Piala FA sebanyak empat kali dalam tempoh enam musim
terakhir.
- Chelsea tidak tewas di Stamford Bridge
dalam saingan Piala FA selama 10 tahun. Kelab terakhir yang berjaya menewaskan
Chelsea di Stamford Bridge ialah Arsenal di mana The Gunners menang perlawanan ulangan peringkat suku akhir musim
2002-03 dengan keputusan 3-1. John Terry menjaringkan gol sendiri dalam
perlawanan itu.
- United tidak pernah menjulang Piala FA
sejak 2004 meskipun mereka adalah kelab yang paling banyak menjulang trofi
kejohanan kalah mati itu sebanyak 11 kali.
- Kali terakhir United mara ke final ialah
pada musim 2006-07. Bagaimanapun United tewas kepada Chelsea.
- Javier Hernandez adalah penjaring terbanyak
United dalam kempen Piala FA musim ini dengan empat gol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan