Derby
Manchester yang akan berlangsung awal pagi esok tidak akan menobatkan
Manchester United selaku juara Liga Perdana (jika United menang perlawanan ini)
tetapi gelaran penguasa kota Manchester dan maruah bakal menjadi pertaruhan
antara kedua-dua kelab. United sudah memenangi pusingan pertama selepas mereka
menewaskan City 3-2 pada pertemuan di Stadium Etihad 9 Disember lalu apabila
Robin Van Persie menyumbat gol kemenangan dimasa kecederaan. Bagi Roberto Mancini,
dia mungkin sudah boleh melupakan sebarang harapan mengejar United selepas
menyaksikan skuadnya ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu itu, tetapi pengendali
itu boleh menangguhkan pesta musuh setempat mereka sekurang-kurangnya seminggu
lagi jika anak-anak buahnya mampu mengatasi United dalam perlawanan ini. Jurang
mata yang begitu besar bakal menjadi musuh utama United dan Sir Alex Ferguson
pantas mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu leka meskipun peluang
menjulang trofi liga musim ini hampir 99% dalam genggaman. Kecewa tersingkir dari
saingan Piala FA mungkin masih meninggalkan kesan kepada barisan The Red Devils tetapi mereka perlu
menggunakan pertemuan menentang City ini sebagai medan terbaik untuk bangkit
kembali. Jika berjaya menewaskan City, United akan melebarkan penguasaan mereka
di tangga teratas kepada 18 mata dan dengan baki tujuh perlawanan lagi yang
perlu diharungi selepas itu, trofi liga sepatutnya sudah boleh diserahkan
kepada Nemanja Vidic untuk dijulang. Meskipun secara matematiknya jika City tewas
dalam perlawanan ini mereka masih berpeluang mengejar United namun mengharapkan
anak-anak buah Sir Alex kalah kesemua baki tujuh perlawanan mereka adalah
sesuatu yang keterlaluan dan hampir mustahil.
Jadi tiada apa yang mampu diharapkan Mancini
dalam perlawanan ini kecuali kemenangan demi
maruah selepas dia menghabiskan ratusan juta Pound dalam tempoh beberapa
musim terakhir untuk membawa masuk bintang-bintang handalan dunia ke Eastlands.
Okey, lupakan kekalahan 1-6 kepada City musim lalu kerana United sepatutnya
menggunakan perlawanan ini untuk menebus semula aib yang berlaku pada 23
Oktober 2011 itu. Hanya kemenangan ke atas City akan melengkapkan musim bergaya
United dalam saingan liga sekaligus memadamkan kekecewaan musim lalu selepas
mereka terpaksa menyerahkan trofi liga kepada `jiran yang bising’ itu dengan hanya
perbezaan gol. Pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan ini sudah
pastilah Carlos Tevez. Penyokong-penyokong United tentunya mengharapkan agar
Tevez diturunkan dalam perlawanan ini untuk diberikan `sambutan hangat’ selepas
aksinya menjulang sepanduk bertulis `RIP FERGIE’ ketika meraikan kejayaan City
menjulang trofi liga musim lalu mengundang kecaman ramai pihak di Old Trafford.
Wayne Rooney dan Rafael da Silva yang terlepas aksi di Stamford Bridge akan
kembali semula dalam kesebelasan utama. Di bahagian tengah Michael Carrick akan
terus menguasai posisinya bersama-sama Tom Cleverley atau Ryan Giggs manakala
Antonio Valencia yang dilabelkan Sir Alex sebagai satu-satunya pemain United yang
beraksi cemerlang meskipun disingkir Chelsea dalam aksi Piala FA minggu lalu
akan mengisi posisi sebelah kanan. Shinji Kagawa dijangka bermula di sebelah
kiri dengan Rooney pula seperti biasa akan berada di sebelah Robin Van Persie
selaku penggempur. Sir Alex berharap agar gandingan dua pemain ini akan
memberikan pukulan terakhir kepada sisa-sisa perjuangan City musim ini. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Fakta Perawanan:
- City pernah menewaskan United sebanyak 16
kali ketika beraksi di Old Trafford tetapi mereka juga mengumpul 36 kekalahan
di gelanggang yang sama.
- Perlawanan awal pagi esok adalah
pertembungan derby ke-165 antara
kedua-dua pasukan. Sepanjang 164 perlawanan yang lalu, United menang 69 perlawanan,
seri 50 dan tewas 45 kali.
- Kemenangan besar City ke atas United musim
lalu (6-1) bukanlah satu-satunya perlawanan yang berkesudahan dengan margin
lima gol kerana United pernah menewaskan City 5-0 pada musim 1994-95.
- Sejak Roberto Mancini mengendalikan City,
mereka menang dua dari enam pertemuan menentang United, kalah tiga kali dan
seri sekali.
- United, City dan Arsenal adalah tiga
pasukan yang tidak pernah tewas dalam saingan liga musim ini jika mereka
berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu.
- United muncul pasukan yang menjaringkan gol
terbanyak dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan dengan 27 gol.
- Dari 31 gol yang membolosi gawang United,
hanya satu jaringan dihasilkan lawan dari luar petak penalti.
- United mencipta rekod clean sheet terpanjang musim ini iaitu selama 627 minit.
- Kemenangan keatas Sunderland minggu lalu
menjadikan United pasukan pertama meraih 25 kemenangan dari 30 perlawanan liga.
- United masih mampu meraih 27 mata walaupun
mereka ketinggalan terlebih dahulu kepada lawan. Catatan terbaik berbanding
mana-mana pasukan di Liga Perdana musim ini.
- Robin Van Persie gagal menjaringkan
sebarang gol dari 9 perlawanan kompetitif United walaupun bermain selama 549
minit dan melepaskan 24 percubaan.
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic,
Patrice Evra, Rafael da Silva, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Shinji Kagawa, Wayne Rooney
& Robin Van Persie
Barisan Kemungkinan City:
Joe Hart, Pablo Zabaleta, Vincent Kompany,
Matija Nastasic, Gael Clichy, Gareth Barry, James Milner, Yaya Toure, Carlos
Tevez, David Silva & Sergio Aguero
Tiada ulasan:
Catat Ulasan