Selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara buat
kali ketiga pada 2008, Manchester United gagal menambah koleksi kejuaraan
saingan tertinggi di pentas Eropah itu meskipun selepas itu berjaya melayakkan
diri ke perlawanan akhir pada edisi 2009 dan 2011. Kehadiran Robin Van Persie
musim panas lalu menjadikan United antara calon pilihan menjulang kejuaraan
Liga Juara-Juara musim ini selain potensi mengulangi semula kejayaan mereka
menjulang kejuaraan treble (trofi
liga, Liga Juara-Juara dan Piala FA) musim 1998-99. Bagaimanapun selepas
menyusulnya kekalahan kontroversi United kepada Real Madrid 6 Mac lalu, Sir
Alex Ferguson nampaknya terpaksa menunggu setahun lagi jika berhasrat mahu
membawa pasukannya beraksi di pentas final Liga Juara-Juara. Selepas disajikan
dengan berbagai spekulasi pemain mana yang akan bergerak menuju ke Old Trafford
musim panas nanti, berikut adalah lima pemain yang berkemungkinan besar akan di
pancing Sir Alex untuk memperkuatkan skuadnya. Mustahil untuk mendapatkan
kelima-limanya tetapi tidak mustahil untuk melihat satu atau dua pemain yang
disenaraikan di bawah ini menyarung jersi United musim hadapan.
MATT
HUMMELS
Dalam artikel-artikel sebelum ini, nama
pemain pertahanan antarabangsa Jerman ini sudah disebut-sebut sebagai calon
pilihan utama bagi menguatkan benteng pertahanan United. Selepas mengeluarkan
kenyataan Oktober lalu bahawa dia ingin meninggalkan saingan Bundesliga, nama
Hummels terus dikaitkan dengan perjalanan ke Old Trafford. Baru berusia 24
tahun, tetapi Hummels adalah tonggak dan mesin pertahanan Borussia Dortmund
serta skuad kebangsaan Jerman. Hummels menjadi sandaran Jurgen Klopp di
bahagian belakang dalam tempoh beberapa musim terakhir hingga berjaya membantu
Die Schwarzgelben menjulang trofi Bundesliga dua musim berturut-turut (musim
2010-11 dan 2011-12). Hummels menampilkan permainan yang cukup solid sepanjang
perjalanan Dortmund dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini di mana dia
sudahpun teruji terutamanya ketika berdepan perancang dan penggempur terbaik
dunia seperti Cristiano Ronado, Mesut Ozil, David Silva dan Sergio Kun Aguero.
United memang memerlukan nafas baru di bahagian tengah pertahanan mereka
terutama jika melihat situasi Nemanja Vidic yang kerap dibelenggu kecederaan
jangka panjang dalam tempoh dua musim terakhir ini, manakala Rio Ferdinand pula
tidak mungkin mampu bermain setiap minggu dengan usianya yang bakal menjangkau
35 tahun. Ketika ini United memang memiliki pelapis untuk mengisi posisi pertahanan
tengah dengan adanya Jonny Evans, Phil Jones dan Chris Smalling tetapi Sir Alex
tidak boleh menolak hakikat bahawa beliau tetap perlukan seorang pemain kelas
dunia di posisi tersebut.
LEIGHTON
BAINES
Seiring dengan keperluan memperkuatkan
bahagian pertahanan tengah, posisi bek kiri dijangka menjadi perhatian utama
Sir Alex musim hadapan. Patrice Evra akan menyambut ulang tahun kelahirannya
yang ke-32 Mei ini dan kita perlu menerima hakikat bahawa bintang Perancis itu
tidak setangkas dulu. Meskipun Evra masih dominan menguasai posisinya, tetapi
ramai pihak menganggap penampilan pemain itu semakin goyah dan kurang konsisten
musim ini. Pertemuan menentang Reading Disember lalu boleh dijadikan contoh
terbaik bagaimana rapuhnya Evra apabila sering dibolosi Hal Robson-Kanu.
Meskipun United menang 4-3 dalam perlawanan itu tetapi dibolosi lawan yang
berada di dasar liga dengan tiga gol adalah sesuatu yang agak gila. Apakah Evra
sudah hampir menuju penghujung kariernya? Jika benar sudah tiba masanya untuk
Sir Alex melakukan perubahan pada posisi tersebut musim depan. Alexander
Buttner mempamerkan aksi cemerlang setiap kali diturunkan tetapi dia masih
memerlukan semusim dua lagi untuk betul-betul bersedia mengambil alih
sepenuhnya posisi Evra. Salah seorang pemain yang dikaitkan dengan United bagi
menggantikan tempat Evra ialah Leighton Baines. United dikatakan pernah cuba
mendapatkan Baines Disember lalu dengan tawaran 15 juta Pound tetapi David
Moyes enggan melepaskan tonggak pasukannya itu memandangkan Everton ketika itu berada
dalam posisi baik memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan. Kualiti Baines hampir
sama seperti Evra di mana dia tidak ragu-ragu naik ke bahagian atas ketika
menyerang dan memiliki terjahan-terjahan kemas. Baines adalah antara pemain
England paling cemerlang dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan secara
beransur-ansur mula merampas tempat Ashley Cole dalam kesebelasan utama Three Lions.
JAMES
RODRIGUEZ
Pemain sayap Colombia ini dianggap salah satu
bakat paling menyerlah dalam bolasepak Eropah ketika ini. Pemain berusia 21
tahun ini sudah menjaringkan sembilan gol dari 18 penampilan liga untuk Porto
musim ini. Dengan kemungkinan Nani akan meninggalkan Old Trafford musim panas
ini, Sir Alex nampaknya amat memerlukan pemain baru di bahagian sayap. United
dilaporkan akan menawarkan kepada Porto Nani dan Anderson sebagai pertukaran
bagi mendapatkan Rodriguez yang dikatakan bernilai 36 juta Pound itu. Nilai
Rodriguez di pasaran perpindahan naik mendadak dari 24 juta Pound selepas aksi
cemerlang dipamerkannya bersama Porto dalam saingan domestik dan Eropah. Pada
usia baru mencecah 21 tahun, dia sudah mengumpul 10 caps untuk skuad kebangsaan
Colombia dan menjaringkan dua gol di peringkat antarabangsa. Rodriguez memiliki
skil menggelecek, kreatif, kawalan bola mempersonakan dan rembatan padu hingga
ada pihak mula membandingkan dirinya dengan bekas bintang United, Cristiano
Ronaldo, satu pengiktirafan tinggi untuk pemain muda sepertinya.
VICTOR
WANYAMA
Wanyama sudah dikaitkan dengan United sejak
Januari lalu selepas kelibat Sir Alex dikesan menyaksikan perlawanan Celtic
menentang Dundee United. Seolah-olah menyedari tujuan kedatangan Sir Alex
semata-mata mahu menyaksikan kelibatnya, Wanyama beraksi cemerlang dan
menjaringkan satu gol untuk kelabnya dalam perlawanan itu. Wanyama antara
pemain Celtic paling berpengaruh ketika The
Hoops mengejutkan Barcelona dalam saingan peringkat kumpulan Liga
Juara-Juara dan membantu kelab itu layak ke pusingan kalah mati (16 pasukan). Lihat
saja bagaimana Wanyama mematikan pergerakan licik Lionel Messi dalam perlawanan
itu dan tanpa rasa gentar menyaingi kelibat Andres Iniesta dan Xavi Hernandez
di bahagian tengah. Menyedari bintangnya menjadi perhatian kelab-kelab besar
Eropah, Neil Lennon cuba habis-habisan mengikatkan pemain itu dengan kontrak
baru namun sehingga kini masih tiada kesepakatan dicapai. United dikatakan
serius memantau perkembangan pemain itu dan akan berada di barisan hadapan bagi
mendapatkan Wanyama sebaik pasaran perpindahan pemain dibuka musim panas ini. Sir
Alex memang memerlukan pemain yang `kuat’ di bahagian tengah pasukannya sejak
era penguasaan Roy Keane berakhir dan Wanyama adalah calon terbaik mengisi
posisi tersebut.
ROBERT
LEWANDOWSKI
Lewandowski antara nama paling kerap
disebut-sebut akan berhijrah ke Old Trafford sejak kebelakangan ini. Penyerang
Poland itu adalah mesin gol buat Borussia Dortmund musim lalu apabila
menjaringkan 30 gol dari 47 penampilan. Musim ini Lewandowski lebih tajam
apabila sudah menjaringkan 29 gol dari 40 penampilan, jadi tidak hairanlah
mengapa media meniupkan khabar angin betapa Sir Alex begitu mengagumi
penampilannya. Disember lalu Sir Alex dilaporkan mula mengintai kemungkinan
untuk mendapatkan khidmat Lewandowski selepas pemain itu mengatakan dia tidak
akan memperbaharui kontraknya bersama Dortmund. Lewandowski adalah antara
penyerang yang bakal menjadi buruan kelab-kelab ternama sebaik pasaran
perpindahan pemain dibuka dan Jurgen Klopp juga mulai sedar dia tidak berupaya menghalang
pemergian pemain berusia 24 tahun itu yang pernah meluahkan hasratnya bermain
di England. Jika Sir Alex serius mahu membawa Lewandowski ke Old Trafford,
beliau nampaknya terpaksa bersaing dengan Bayern Munich yang turut mengintai
peluang membawa pemain itu ke Allianz Arena. Mungkin ramai pihak mengatakan
United tidak perlu mendapatkan penyerang baru memandangkan mereka sudah memiliki
Robin Van Persie, Wayne Rooney, Javier Hernandez dan Danny Welbeck di barisan
hadapan. Bagaimanapun mereka juga perlu sedar bahawa Welbeck masih perlukan
masa untuk berkembang di mana dia hanya menjaringkan satu gol dari 22 penampilan
liga untuk United musim ini, manakala Van Persie pula akan mencecah usia 30
tahun Ogos ini. Masa depan Rooney juga masih belum dapat dipastikan setakat ini
terutamanya jika diambilkira minat yang begitu mendalam ditunjukkan gergasi
Perancis, Paris St Germain terhadapnya. Kurangnya peluang tampil dalam
perlawanan-perlawanan liga musim ini menyaksikan masa depan Hernandez juga
menjadi persoalan meskipun Sir Alex baru-baru ini menegaskan bintang Mexico itu
tidak akan dijual.
Selepas kegagalan di pentas Eropah disusuli penyingkiran
dari saingan Piala FA oleh Chelsea, kini hanya trofi liga bakal mengubati
kekecewaan United musim ini. Kekalahan terbaru kepada Manchester City dalam
saingan liga Selasa lalu mendedahkan kepincangan barisan The Red Devils terutamanya di bahagian tengah, manakala Sergio
Aguero memberikan tamparan kepada benteng pertahanan apabila dia menjaringkan
gol kemenangan City dalam tempoh hanya lapan minit selepas dimasukkan selaku
pemain gantian. Roberto Mancini sudah melaungkan amaran bahawa mereka akan
merampas semula trofi liga musim depan dan dengan limpahan wang yang banyak,
pengendali itu tentunya akan melakukan beberapa pembelian baru musim panas ini.
Saingan semakin sengit musim demi musim dan jika Sir Alex memasang impian mahu
mengulangi pencapaian gemilang United musim 1998-99, beliau memerlukan skuad
yang besar untuk menghadapi jadual saingan domestik yang ketat dan dalam masa
yang sama memburu kegemilangan di pentas Eropah. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan