Kekalahan kepada Manchester City awal pagi
tadi menyaksikan rentetan kemenangan Manchester United dalam aksi liga sejak
November tahun lalu berakhir. Sejak tewas kepada Real Madrid dalam saingan Liga
Juara-Juara 6 Mac lalu, United berdepan aksi tidak konsisten ketika perjalanan
liga menuju penghujung musim di mana mereka tewas dua perlawanan, seri dua kali
dan mencatat hanya satu kemenangan. Kekalahan ketiga United dalam aksi liga
musim ini menyaksikan jurang mata yang dimiliki mereka selaku pendahulu
mengecil kepada 12 mata tetapi United masih kekal selaku pilihan utama
merangkul trofi liga ketika saingan berbaki tujuh perlawanan untuk diharungi.
Meskipun ketika ini United masih tampak selesa menerajui takhta liga tetapi
barisan The Red Devils sebenarnya
tetap perlu merenung kembali kegagalan musim lalu di mana mereka kehilangan
lapan mata dari baki enam perlawanan terakhir sehingga menyaksikan City berjaya
memintas di penghujung musim. Nampaknya masih banyak kerja yang perlu dilakukan
Sir Alex Ferguson terhadap skuadnya dan pemain-pemain pula perlu kembali fokus kepada
misi mereka menjulang trofi liga buat kali ke-20. Kekalahan kepada City awal
pagi tadi sebenarnya menimbulkan persoalan di kalangan penganalisis bolasepak
terutamanya tentang taktikal yang digunakan Sir Alex sejak kebelakangan ini. Saya
tidak mahu mempertikaikan sebarang keputusan Sir Alex dalam memilih kesebelasan
utama pasukannya dalam setiap perlawanan kerana siapalah saya untuk
melakukannya. Di sini saya cuma mahu memetik sedikit ulasan oleh Neil Ashton
dari Daily Mail yang mempersoalkan tindakan Sir Alex menggunakan bintang
veteran Ryan Giggs selama 90 minit sedangkan beliau memiliki Shinji Kagawa dan Nani
di bangku simpanan. Ketika Sir Alex masih menyandarkan harapan kepada kudrat
Giggs menjana bahagian tengah pasukannya, Mancini pula bertindak dengan mengeluarkan
Samir Nasri dan memasukkan Aguero untuk meningkatkan tekanan kepada benteng
pertahanan United. Hasilnya selepas lapan minit dimasukkan, Aguero menjaringkan
gol kemenangan City dan di akhir perlawanan Mancini tersenyum puas menuai
hasilnya.
Ketika tempoh permainan sebenar berbaki 10
minit untuk ditamatkan, Sir Alex akhirnya memasukkan Antonio Valencia (minit
ke-80), Javier Hernandez (minit ke-85) dan Shinji Kagawa (minit ke-90) untuk memburu
gol penyamaan tetapi tiada apa yang mampu dilakukan ketiga-tiga pemain ini dalam
tempoh sesingkat itu. United sebenarnya perlukan ketajaman Kagawa dan tenaga
ketika melancarkan serangan milik Tom Cleverley dalam perlawanan ini, namun
agak malang kerana kedua-duanya sekadar menjadi pemerhati dari tepi padang. Mungkin
disebabkan faktor baru pulih dari kecederaan, persembahan Rooney agak berkarat
manakala Giggs pula bukanlah pemain yang sama seperti sepuluh tahun dahulu
menyebabkan United sukar memberikan ancaman menerusi bahagian tengah. Ketika
saingan musim ini semakin hampir menuju garis penamat, persembahan United pula
dilihat semakin pincang tetapi mujurlah mereka memiliki `deposit’ besar dalam
simpanan mereka hingga agak mustahil City mampu memadam kelebihan 12 mata yang
dimiliki anak-anak buah Sir Alex. Yaya Toure begitu bergaya menguasai bahagian
tengah sekaligus mendedahkan bahawa United sebenarnya perlukan seorang pemain
yang boleh memimpin posisi tersebut. Adalah diharapkan agar perlawanan
menentang City awal pagi tadi menjadi perlawanan terakhir Giggs diletakkan selaku
pemain tengah kerana itu bukanlah posisi yang sesuai buatnya. Giggs sudah
digunakan Sir Alex sebagai pemain tengah dalam dua perlawanan besar (menentang
Madrid dan City) dan perlu diakui bahawa aksinya awal pagi tadi antara yang terburuk
dipamerkannya musim ini. Musim panas ini, Sir Alex perlu bergerak pantas
mendapatkan pemain baru di bahagian tengah memandangkan Paul Scholes semakin menghampiri
garis persaraan, Darren Fletcher pula nampaknya tidak akan pulih dari masalah kesihatannya
manakala prestasi Anderson pula seolah-olah sudah statik dan hanya keajaiban
sahaja mampu menjadikan Ando sebagai pemain tengah yang lebih bagus. Memang
pahit untuk menerima kekalahan tetapi lebih pahit lagi untuk menerima
kebenaran. Lupakan segera kekalahan kepada City dan kembali fokus kepada
pertemuan menentang Stoke City hujung minggu ini. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Statistik Perlawanan United-City:
Gol: 1 - 2
Percubaan: 15 – 10
Percubaan Tepat: 5 – 3
Penguasaan Bola: 45% - 55%
Kekasaran: 13 – 20
Sepakan Sudut: 9 – 4
Offside: 3 – 1
Kad Kuning: 3 – 5
Kad Merah: 0 – 0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan