12 September 2013

ADAKAH KITA CUKUP KOMPETITIF UNTUK BERSAING MUSIM INI?



Tiga perlawanan sudahpun dilangsungkan dalam saingan liga setakat ini, di mana Manchester United kini mengumpul empat mata hasil dari satu kemenangan, satu seri dan satu kalah, sekaligus meletakkan mereka di tangga ketujuh liga. Selepas tewas kepada Liverpool 1 September lalu, saya tidak sabar menanti perlawanan menentang Crystal Palace hujung minggu ini di gelanggang sendiri kerana banyak elemen yang bakal ditawarkan dalam perlawanan keempat liga kali ini. Marouane Fellaini menjadi nama yang paling disebut-sebut peminat-peminat United  sepanjang dua minggu ini selepas pemain antarabangsa Belgium itu menandatangani kontrak secara rasmi pada 2 September lalu. Fellaini akhirnya menawarkan sedikit keresahan majoriti peminat-peminat United selepas kegagalan kelab menandatangani nama-nama besar sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Kehadiran bekas pemain tengah Everton itu di Old Trafford tetap disambut gembira peminat-peminat United meskipun sehingga kini masih terdapat perbahasan pro dan kontra yang ditimbulkan kalangan peminat dan penganalisa bolasepak selepas dia secara rasmi ditandatangani kelab. Fellaini adalah elemen utama yang dinantikan pada pertembungan United-Palace kerana sepertimana lazimnya, peminat-peminat dari pasukan manapun sudah tentu begitu teruja menanti aksi sulung dari seorang pemain yang baru tiba di kelab. Jika Fellaini diturunkan, apakah agaknya taktikal dan formasi yang bakal digunakan David Moyes bagi menyesuaikan gaya permainan pemain itu dengan rakan-rakan sepasukan yang lain. Selain elemen Fellaini, saya juga ternanti-nanti bagaimanakah nasib Shinji Kagawa dalam perancangan taktikal dan formasi Moyes nanti. Kagawa seperti yang anda tahu tidak mendapat peluang beraksi pada tiga perlawanan awal United setakat ini atas alasan kurang cergas, tetapi penampilannya dalam dua perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Jepun cukup menarik perhatian.

Meskipun tidak mendapat peluang beraksi bersama kelab setakat ini, Kagawa nampaknya tidak terganggu apabila menampilkan aksi cemerlang bersama Samurai Blue ketika mereka mencatat kemenangan ke atas Guatemala dan Ghana. Selepas melihat kualiti yang ditunjukkan Kagawa dalam dua perlawanan itu, tidak salah rasanya jika peminat-peminat menuntut agar Moyes meletakkan nama pemain itu dalam kesebelasan utamanya hujung minggu ini. Lupakan dulu tentang Fellaini, Kagawa dan pertemuan menentang Palace kerana apa yang ingin kita fokuskan di sini ialah kemampuan kelab bersaing sepanjang musim ini dengan barisan pemain yang ada. Walaupun berat hati, kita terpaksa mengakui bahawa kelab gagal sepanjang jendela perpindahan pemain dibuka berikutan beberapa prospek yang disasarkan terlepas dari genggaman. Kita tidak tahu di manakah silapnya hinggakan kelab gagal mendapatkan pemain-pemain kelas dunia (kecuali Fellaini) musim panas ini, selain kekalutan saat akhir dalam menangani perpindahan Fabio Coentrao dan Ander Herrera. Kini timbul pertanyaan di kalangan peminat adakah skuad yang dimiliki Moyes ketika ini cukup kompetitif dan mampu bersaing dengan pencabar-pencabar lain yang dilihat berbelanja besar bagi meningkatkan kekuatan skuad masing-masing. Jika dinilai pada tiga perlawanan awal setakat ini, saya yakin dengan kemampuan skuad yang ada dalam mengharungi musim kompetitif yang panjang. Kekalahan kepada Liverpool bukan disebabkan prestasi buruk yang ditunjukkan pemain-pemain, tetapi lebih kepada faktor tuah selepas kita bermain dengan begitu baik dan menguasai lawan sepanjang 90 minit permainan. Bagi menilai kemampuan pasukan dalam mengharungi cabaran musim ini terutama selepas jendela perpindahan ditutup, mari kita lihat kekuatan pemain yang dimiliki Moyes secara kasar posisi demi posisi.

BELAKANG

Di bahagian paling belakang, kita tidak perlu meragui tentang keupayaan David de Gea mengawal gawang meskipun di awal kemunculannya sebagai pengganti Edwin Van der Sar, dia dikritik hebat akibat kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukannya. Walaupun pada mulanya ada suara-suara sinis mengatakan bahawa De Gea bakal senasib dengan Massimo Taibi, penjaga gol muda Sepanyol itu akhirnya bangkit perlahan-lahan dan membuktikan perjudian Sir Alex Ferguson membawanya dari Atletico Madrid bagi menggantikan 'Si Tangan Emas' Van Der Sar berbaloi. De Gea berjaya menyesuaikan dirinya dengan corak permainan bolasepak Inggeris yang lebih mementingkan aspek kekuatan fizikal dan tidak syak lagi dia antara penjaga gol terbaik di Liga Perdana ketika ini. Persembahan cemerlangnya mengawal gawang United musim lalu meletakkan De Gea antara calon yang disenaraikan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan. Di posisi back four pula kita nampaknya masih lagi menyandarkan harapan kepada gandingan musim lalu, cuma Rafael da Silva tercicir dalam tiga perlawanan awal akibat masalah kecederaan. Rafa adalah tonggak utama di sebelah kanan pertahanan United dan persembahannya sepanjang musim lalu membuktikan bahawa dia semakin matang dalam memikul beban sebagai pewaris posisi yang ditinggalkan Gary Neville. Pada usia 23 tahun, Rafa nampaknya bakal menguasai posisi bek kanan untuk tempoh yang panjang dan persembahannya ketika mengekang pergerakan Cristiano Ronaldo dalam saingan Liga Juara-Juara adalah antara aksi terbaik yang dipamerkannya musim lalu. Saya berharap Rafa segera sembuh dan kembali menguatkan benteng pertahanan kerana dia adalah antara nama wajib yang sepatutnya ada dalam kesebelasan utama pasukan. Di posisi berlawanan, Patrice Evra masih lagi pemain 'bergaya' walaupun sudah menjangkau usia 32 tahun.

Meskipun permainannya sedikit merosot musim lalu, Evra masih lagi pemain penting buat kelab musim ini, di mana dalam tiga perlawanan lalu dia berjaya menjelmakan kembali gaya permainan ketika zaman kemuncaknya. Evra jarang diberikan peluang rehat ketika kelab di bawah kendalian Sir Alex dan saya berharap sebagai antara pemain veteran dalam pasukan, Evra mampu mengekalkan kualiti permainannya selain tidak ditimpa kecederaan serius kerana dia adalah satu-satunya pilihan utama di posisi bek kiri. Orang kuat di bahagian pertahanan tengah nampaknya masih lagi menjadi milik Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic biarpun masing-masing sudah melewati usia 30 tahun. Rio adalah sebahagian dari kekuatan bahagian belakang kelab sepanjang tempoh sedekad dan meskipun sudah berusia 34 tahun, saya percaya Rio akan tetap menjadi salah seorang pemain penting dalam perancangan Moyes asalkan dia kekal cergas dan tidak ditimpa sebarang kecederaan. Kecederaan panjang yang dialami kapten pasukan, Vidic sepanjang dua musim terakhir agak merisaukan peminat-peminat. Bagaimanapun dalam tiga perlawanan lalu, Vidic bermain penuh selama 90 minit mengetuai barisan The Red Devils dengan cukup cemerlang sekaligus menepis keraguan awal tentang tahap kecergasannya. Chris Smalling, Phil Jones, Alexander Buttner, Fabio da Silva dan Jonny Evans adalah pilihan lain di bahagian belakang jika Rio, Vida, Rafa dan Evra mengalami kecederaan atau mengalami penurunan prestasi secara mendadak. Jones dan Smalling merupakan pemain versatile kerana kemampuan mereka bermain sebagai pertahanan tengah, bek kiri dan kanan serta bahagian tengah dan faktor itu sudah tentu satu bonus tambahan buat kelab.

TENGAH

Sejak menyertai United dari FC Porto pada 2007, Anderson hanya bemain penuh 90 minit sebanyak 18 kali. Kita mungkin boleh meletakkan Ando dalam kategori 'pembelian yang gagal', tetapi keupayaan pemain dari Brazil itu kekal di Old Trafford selama enam musim memang menakjubkan saya. Mungkin juga di bawah pengurusan baru, Ando dapat menemui semula potensi dirinya yang hilang atau Moyes boleh menggilap semula bakat pemain itu untuk membolehkan beliau meletakkan Ando antara pemain utama musim ini di bahagian tengah. Jika ada peminat-peminat meletakkan Ando dalam kategori 'pembelian yang gagal' berbeza pula dengan lagenda hidup United, Ryan Giggs. Pada usia mencecah 40 tahun, musim ini mungkin menjadi musim terakhir Giggs bermain sebelum mengikut jejak rakan-rakan seangkatannya dengan menggantung but. Giggs adalah nama besar dalam sejarah kelab namun saya percaya tindakan Moyes menurunkannya dalam tiga perlawanan awal setakat ini bukan dipengaruhi alasan sentimental, tetapi lebih kepada apa yang mampu diberikannya kepada pasukan selain pengalaman luasnya. Pada usia sekarang Giggs mungkin tidak mampu bermain setiap minggu tetapi kebolehan dan pengalaman yang ada padanya boleh digunakan pada saat-saat genting.  "Wira yang tidak didendang", itulah ungkapan paling sesuai buat Michael Carrick. Musim lalu, Carrick muncul pemain tengah paling konsisten buat kelab malah ada yang melabelkan dirinya sebagai bakat tengah terbaik England selepas Paul Scholes. Carrick sudah memainkan peranan besar di bahagian tengah kelab sejak berpindah dari Tottenham Hotspurs tujuh tahun lalu tetapi agak menghairankan apabila namanya sering tercicir dari kesebelasan utama skuad kebangsaan. Keputusan terbaru Roy Hodgson tidak menurunkan langsung Carrick ketika mereka mencatat keputusan seri berdepan Ukraine dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 mengundang kritikan bekas pemain antarabangsa Jerman, Dietmar Hamann.

Saya tidak ambil pusing apa yang berlaku kepada skuad kebangsaan England, cuma saya berharap Carrick akan terus konsisten dalam menjana bahagian tengah kelab musim ini, kerana tidak syak lagi bahawa dia adalah nadi utama The Red Devils di posisi tersebut. Rakan segandingan Carrick, Tom Cleverley pula nampaknya masih memerlukan waktu untuk membolehkannya muncul watak utama selaku penjana di bahagian tengah. Saya tidak meragukan bakat yang ada pada Cleverley, tetapi pada usia 24 tahun, dia nampaknya masih gagal mengekalkan tahap konsistensi pada permainannya. Kecederaan juga menjadi masalah buat dirinya terutama dalam tempoh dua musim terakhir namun jika dia kekal cergas dan mampu mengekalkan prestasi terbaiknya, saya percaya Cleverley bakal menguasai bahagian tengah untuk kelab dan skuad kebangsaan di masa hadapan. Selain Fellaini, nama Shinji Kagawa paling disebut-sebut peminat-peminat United berikutan tindakan Moyes tidak menurunkan pemain anratabangsa Jepun itu dalam tiga perlawanan awal. Moyes memberikan alasan pemain tengah itu masih belum cergas sepenuhnya tetapi Kagawa mengejutkan ramai pihak apabila bermain dua perlawanan antarabangsa untuk skuad kebangsaan dalam tempoh seminggu, malah menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Ghana kelmarin. Di bawah kendalian Sir Alex, Kagawa sering digunakan disebelah kiri dalam formasi 4-2-3-1. Hatrik yang dihasilkannya ke gawang Norwich City musim lalu membuktikan kualiti sebenar pemain itu untuk bersaing merebut tempatnya dalam kesebelasan utama kelab. Jika itupun masih belum cukup buat Moyes mempertimbangkan kemungkinan untuk beliau menurunkan Kagawa, persembahan bekas playmaker Borussia Dortmund itu dalam dua perlawanan terkini bersama skuad kebangsaan Jepun sepatutnya menjadi rujukan terbaik. Kini saya dan pastinya anda juga ternanti-nanti apakah Moyes akan meletakkan Kagawa dalam lineup skuadnya ketika berdepan Crystal Palace hujung minggu ini.

Kehadiran Fellaini musim panas ini bakal memberikan saingan lebih sengit di bahagian tengah terutamanya kepada Cleverley dan Ando. Fellaini seperti yang kita ketahui merupakan pemain tengah yang bagus di mana dia bukan sahaja boleh bertindak sebagai pemain tengah menyerang tetapi juga boleh memainkan peranan di belakang penyerang utama, fungsi yang sering dipikulnya ketika bersama Everton musim lalu. Fellaini berjaya di Goodison Park dan kini masanya telah tiba untuk kita melihat adakah dia sesuai dengan corak permainan United di bawah kendalian Moyes. Di posisi sayap pula kita memiliki nama-nama seperti Nani, Ashley Young, Antonio Valencia dan terbaharu Wilfried Zaha. Nani baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun, jadi saya berharap kontrak baru itu akan menjadikan dia lebih bermotivasi dalam meningkatkan prestasinya. Selama enam tahun di Old Trafford, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Nani masih belum mampu menyakinkan kita bahawa dia adalah pilihan utama di sebelah sayap kiri atau kanan. Semuanya disebabkan masalah utama pemain itu sendiri, iaitu gagal bermain secara konsisten selain masalah kecederaan yang membataskan penampilannya sepanjang musim lalu. Nani pemain berbakat dan semoga dia dapat membuktikan kepada kita bahawa langkah pihak pengurusan mengekalkannya sehingga 2018 adalah satu keputusan tepat. Selain Nani, Young turut menjadi tumpuan ramai berikutan persembahan turun naiknya sejak ditandatangani dari Aston Villa dua tahun lalu. Sehingga kini, Young saya kira gagal memberikan sumbangan bermakna kepada kelab meskipun dia adalah pemain atarabangsa England malah kualitinya ketika bertahan turut dibahaskan ramai pihak. Saya berharap muka baharu seperti Zaha mampu memberikan cabaran kepada Young atau Nani dalam perebutan slot di sebelah tepi sekaligus memberikan pilihan lebih luas buat Moyes di posisi tersebut. Jika diambilkira persembahan yang dipamerkan Valencia dua musim lalu, dia sepatutnya sudah menjadi antara key player pasukan ketika ini. Agak malang persembahan Valencia tidak menentu sepanjang musim lalu, mungkin juga disebabkan dia dibebani dengan jersi lagenda nombor 7 yang disarungnya hingga menganggu prestasinya di atas padang. Musim ini Valencia kembali menyarung jersi nombor 25, dan saya berharap 'beban' yang dipikulnya sepanjang musim lalu terlerai sekaligus membolehkan dia kembali keprestasi terbaik seperti yang pernah dipamerkannya dua musim lalu.

HADAPAN

Ini bukanlah permulaan musim baharu yang bagus buat Wayne Rooney terutamanya selepas tercetusnya berita sensasi bahawa dia mahu meninggalkan Old Trafford. Rooney hanya diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan pembukaan menentang Swansea City, bermain selama 90 minit ketika melayan kunjungan Chelsea namun terlepas aksi menentang Liverpool di Anfield kerana mengalami kecederaan di kepala pada sesi latihan. Apa pun yang berlaku dan kontroversi yang dicetuskannya, tidak ragu-ragu untuk saya katakan bahawa Rooney masih lagi antara tonggak utama pasukan. Persembahannya ketika menentang Chelsea sudah cukup membuktikan komitmen pemain itu bersama kelab dan saya berharap kemelut yang berlaku sebelum ini segera diselesaikan dan dia menandatangani kontrak baru. Hanya waktu akan menentukan adakah Rooney akan terus komited bersama kelab atau tidak. Berbeza dengan Rooney, pemain yang sering menjadi pilihan Sir Alex di penghujung musim lalu iaitu Danny Welbeck pula memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila dia menjaringkan dua gol pada pertemuan pertama liga menentang Swansea City. Di pentas antarabangsa, Welbeck juga membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan dua gol ketika berdepan Moldova dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2014, 6 September lalu. Welbeck memiliki semua ciri-ciri yang diperlukan untuk muncul penyerang digeruni suatu hari nanti, cuma apa yang diperlukannya sekarang ialah lebih tenang dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan. Jika mahu membandingkan nasib Javier Hernandez dengan Welbeck musim lalu, jelaslah bahawa Hernandez kurang bernasib baik berbanding rakannya di bahagian serangan itu. Meskipun menyumbang 9 gol musim lalu, Hernandez hanya digunakan sebanyak 9 kali sebagai starter dari keseluruhan 22 penampilan liga berbanding Welbeck (13 kali sebagai starter).

Hernandez dibandingkan dengan lagenda sebelumnya, Ole Gunnar Solskjaer bukan disebabkan mereka memiliki persamaan iaitu sering bermula dari bangku simpanan tetapi juga kerana ketajaman naluri pembunuh mereka ketika di hadapan gawang lawan. Hernandez mungkin berada di belakang Welbeck ketika di bawah kendalian Sir Alex, tetapi saya tidak pernah ragu-ragu untuk meletakkannya sebagai finisher hebat berbanding penyerang England itu terutama jika dinilai rekod jaringannya berbanding Welbeck musim lalu. Akhir sekali fokus kita terarah kepada penjaring terbanyak dua musim berturut-turut, siapa lagi kalau bukan Robin Van Persie. Musim lalu, ramai yang mengatakan bahawa faktor Van Persie menjadi penyumbang besar atas kejayaan kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20. Apa yang boleh dikatakan lagi tentang Van Persie, selain kemampuannya menjaringkan gol dari pelbagai sudut, cekap menghidu peluang, sering berada di tempat dan masa yang tepat untuk menyudahkan hantaran rakan dan ancaman buat mana-mana penjaga gol apabila dia menggunakan kaki kirinya ketika mengambil sepakan percuma. Van Persie bukan hanya setakat mesin gol tetapi juga pengumpan yang bagus apabila statistik musim lalu menunjukkan dia menghasilkan 8 assist, hanya kurang satu dari sumbangan yang dilakukan Steven Gerrard untuk Liverpool. Selepas terpaksa menanti selama 6 tahun sejak Ruud Van Nistelrooy meninggalkan Old Trafford, kita akhirnya dapat menyaksikan kembali seorang finisher hebat menyarung jersi kelab dan apa yang menariknya, kedua-dua individu hebat ini berasal dari negara yang sama, iaitu Belanda. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

10 September 2013

MENGASAH KUALITI DI DW STADIUM


Nick Powell antara pemain yang ditandatangani Sir Alex Ferguson ketika beliau memasuki musim terakhirnya sebagai pengendali Manchester United. Powell di datangkan Sir Alex dari kelab yang beraksi di League One, Crewe Alexandra musim panas tahun lalu, menandatangani kontrak selama empat tahun dengan nilai perpindahan sebanyak £6 juta. Mungkin ramai yang tidak tahu, Powell merupakan pemain tengah menyerang (attacking midfielder) pertama ditandatangani Sir Alex dalam tempoh lima tahun sejak beliau membawa masuk Anderson dari FC Porto pada 2007. Ferguson tertarik dengan penampilan bakat muda berusia 19 tahun itu selepas dia menjaringkan 16 gol untuk Crewe (dalam semua kejohanan) pada musim 2011/12 yang juga merupakan musim pertamanya sebagai pemain profesional. Sebelum berjaya mengikat pemain itu, Sir Alex diberitakan menghantar pasukan peninjaunya untuk memantau aksi Powell bersama Crewe selama berbulan-bulan, dan usaha beliau akhirnya berbayar apabila bakat muda itu memilih Old Trafford sebagai destinasi seterusnya walapun Chelsea, Everton dan Arsenal turut cuba memberikan saingan. Pada 15 September 2012, Powell mencipta impak pada penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana apabila menyumbangkan satu gol di sebalik kemenangan 4-0 kelab ke atas Wigan Athletic selepas masuk menggantikan Ryan Giggs di minit ke-71. Musim ini, David Moyes menghantar Powell ke Wigan sebagai pemain pinjaman untuk menimba pengalaman disamping beroleh peluang beraksi dengan lebih kerap dalam kesebelasan utama.

Selepas melihat kelab gagal mendapatkan pemain tengah baharu seperti Thiago Alcantara, Cecs Fabregas dan Ander Herrera sepanjang pasaran perpindahan musim panas dibuka, tindakan menghantar pemain muda seperti Powell ke kelab lain bagi menimba pengalaman adalah satu keputusan yang tepat. Seperti yang anda tahu, kelab ketika di bawah kendalian Sir Alex sudahpun melakukan perkara yang sama apabila beliau pernah menghantar Danny Welbeck, Tom Cleverley, Michael Keane, Ben Amos, Jesse Lingard dan beberapa lagi pemain muda sebagai pemain pinjaman. Powell dianggap antara bakat muda berpotensi dalam bolasepak England dan apa yang perlu dilakukan ke atas pemain muda sepertinya ialah diberikan peluang tampil dengan lebih kerap bersama skuad utama. Bersama United peluang itu memang sukar diperolehi, jadi Wigan atau kelab-kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan terutamanya mampu menawarkan peluang buat pemain muda seperti Powell beraksi dalam perlawanan-perlawanan kompetitif setiap minggu. Peluang beraksi bersama Wigan di Liga Kejuaraan sepatutnya digunakan sepenuhnya pemain itu untuk mengasahkan bakat dan ketajamannya sebagai perancang tengah. Mungkin ramai yang memperkecilkan aksi di Liga Kejuaraan, tetapi di sana sebenarnya ramai pemain-pemain berkaliber yang tidak mendapat peluang beraksi dengan kelab-kelab Liga Perdana akibat limpahan pemain-pemain dari luar, memilih untuk menabur bakti bersama-sama kelab-kelab di 'divisyen dua' England itu. Apa yang penting, Powell kini dibimbing Owen Coyle yang memang sudah kita kenali kewibawaannya di samping peluang bermain bersama midfielder lebih berpengalaman seperti Shaun Maloney, Jordi Gomez dan Jean Beausejour. Saya yakin, Powell di bawah asuhan Coyle mampu menjadi pemain yang lebih bagus dan peluang beraksi dalam perlawanan kompetitif dengan lebih kerap akan membantu perkembangannya.

Siapa tahu, dengan bakat dan kualiti yang ada padanya, Powell mampu memainkan peranan penting dalam membantu The Latics kembali semula beraksi di saingan elit Liga Perdana musim depan. Selepas penghijrahan James McCarthy ke Everton, Coyle memang memerlukan seorang pemain tengah baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain antarabangsa Republik Ireland itu. Sejak menyertai Wigan dari Hamilton Academical pada 2009, karier McCarthy berkembang dengan cukup bagus di DW Stadium, jadi saya berharap barisan kejurulatihan The Latics di bawah Coyle mampu melakukan perkara yang sama ke atas Powell. Pada usia 19 tahun, Powell saya anggap tonggak masa depan kelab untuk mengisi bahagian tengah kerana dia bukan sahaja seorang pengumpan yang bagus tetapi juga kemampuannya ketika menyusun gerakan dan membuka permainan sepertimana yang telah dibuktikannya bersama Crewe dulu. Jangan lupakan juga bahawa Powell turut memiliki kebolehan melakukan percubaan jarak jauh, kualiti yang turut ada pada lagenda kita, Paul Scholes. Anda tentu masih ingat rembatannya dari luar petak penalti menerjah gawang Wigan musim lalu, manakala ketika beraksi di League Two, Powell pernah menjaringkan gol menarik ke gawang Gillingham dari jarak 35 meter.

Sudah tentu selepas menyaksikan beberapa midfielder yang disasarkan sepanjang pasaran perpindahan musim panas gagal ditandatangani, kelab akan memburu beberapa nama baru untuk menguatkan bahagian tengah Januari ini ataupun Jun nanti. Bagaimanapun dengan adanya pemain muda berbakat seperti Powell, akan menambahkan lagi kekuatan kelab secara keseluruhannya selain meluaskan pilihan Moyes di bahagian tengah. Powell memiliki segala ciri-ciri dan kualiti yang diperlukan untuk menjadikan dia pemain bintang suatu hari nanti, cuma apa yang diperlukannya sekarang ialah mengutip pengalaman sebanyak mungkin dan bermain dalam perlawanan kompetitif dengan lebih kerap. Saya tidak pasti Powell pemain United keberapa yang dipinjamkan ke Wigan tetapi Cleverley juga pernah diletakkan di sana selama semusim sebelum kembali semula ke Old Trafford pada musim panas 2011. Sebaik sahaja menamatkan tempoh pinjamannya bersama Wigan dan kembali ke Old Trafford, Cleverley menjadi pemain yang lebih bagus dan matang hingga berjaya menarik perhatian Sir Alex untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama. Prestasi cemerlangnya bersama kelab juga mengundang perhatian pengurus England ketika itu, Fabio Capello untuk menyenaraikan Cleverley dalam skuad kebangsaan. Cleverley berjaya mengharungi tempoh sebagai pemain pinjaman bersama Wigan dengan cemerlang dan saya juga berharap Powell mampu melakukan perkara yang sama dan kembali ke Old Trafford sebagai pemain yang jauh lebih bagus. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

08 September 2013

SEMOGA PERJUDIAN KE ATAS NANI BERBALOI


Selain Wayne Rooney dan Anderson, Nani juga adalah antara pemain yang paling disebut-sebut bakal meninggalkan kelab musim panas ini berikutan prestasi tidak konsisten dipamerkannya sejak ditandatangani dari Sporting Lisbon pada 2007. Bagaimanapun selepas tempoh pasaran perpindahan pemain ditutup, ketiga-tiganya masih kekal sebagai pemain United, malah Nani menjadi pemain pertama musim ini ditawarkan dengan lanjutan kontrak baru. Dalam tempoh enam musim di Old Trafford, Nani dianggap gagal menepati potensi yang diharapkan biarpun Sir Alex Ferguson ketika itu berjaya memujuk pihak pengurusan agar mengeluarkan dana sebanyak €25 juta untuk mendapatkan khidmatnya. Berbeza dengan rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo yang begitu sukses hingga diangkat sebagai lagenda oleh peminat-peminat United, Nani sebaliknya berdepan prestasi turun naik dan terpaksa pula berhempas pulas merebut tempatnya dalam kesebelasan utama sejak kehadiran Ashley Young pada 2011. Nani pada pandangan saya antara pemain sayap yang cukup berbakat, dianugerahkan skill kawalan bola serta menggelecek yang menarik dan kepantasan persis rakan senegaranya Ronaldo, tetapi masalah utamanya ialah konsistensi. Saya pernah menyebut bahawa jika kena pada 'harinya' Nani secara tiba-tiba boleh menjadi pemain sayap yang cukup berbahaya, tetapi jika anda berharap agar Nani mampu mengekalkan rentaknya setiap minggu, saya nasihatkan anda agar memadamkan sahaja hasrat itu. Selepas menyumbang 10 gol (dalam semua kejohanan) pada musim 2010/11 dan 2011/12, Nani dibelenggu prestasi tidak menentu musim lalu disamping masalah kecederaan yang dihadapinya. Kesilapan yang dilakukannya pada penghujung perlawanan ketika menentang Chelsea dalam kempen Piala Liga hingga membenarkan lawan menyamakan kedudukan menimbulkan kemarahan Sir Alex (United tewas 4-5 selepas masa tambahan). Jangan lupakan juga insiden pergaduhannya dengan pemain muda David Petrucci di padang latihan serta kenyataan yang dikeluarkannya kepada media sebelum berlangsungnya kejohanan Euro 2012 (bahawa dia meragui masa depannya bersama kelab) meningkatkan lagi keyakinan saya bahawa karier Nani di Old Trafford bakal berakhir musim panas ini.

Seperti yang saya sebutkan di atas, Nani adalah pemain berbakat, jadi tidak hairanlah mengapa Juventus, Arsenal dan Paris St Germain menunjukkan minat yang tinggi untuk mendapatkan tandatangannya ketika masa depannya bersama kelab dibahaskan ramai pihak. Saya tidak pasti jika Sir Alex masih menerajui kelab, bagaimanakah agaknya dengan nasib Nani, namun selepas berdepan prestasi tidak menentu sepanjang musim lalu, ditawarkan dengan kontrak baru selama lima tahun bolehlah dianggap sebagai bonus paling besar buat pemain berusia 26 tahun itu. Sepanjang tempoh dia berada di Old Trafford, Nani sudah memenangi empat kejuaraan liga, Piala Liga, Liga Juara-Juara dan Kejuaraan Kelab Dunia FIFA. Persoalannya sekarang adakah kontrak 5 tahun yang diberikan kepadanya sekaligus menyaksikan Nani kekal di kelab hingga Jun 2018 berbaloi dengan apa yang sudah disumbangkannya setakat ini? Kita tidak tahu apa yang ada dalam fikiran Moyes dan perancangan yang ingin dilakukannya, mungkin juga beliau masih berharap Nani mampu menghasilkan keajaiban sekaligus menepati label yang pernah diberikan kepadanya dahulu iaitu sebagai pengganti Ronaldo. Musim 2010/11 saya anggap sebagai musim terbaik Nani sepanjang dia menyarung jersi United hingga diiktiraf antara pemain terbaik di Old Trafford di sebalik kejayaan kelab menjulang trofi liga buat kali ke-19. Nani sepertimana yang kita tahu sudahpun berusia 26 tahun, waktu di mana pemain-pemain mula memasuki gerbang puncak karier mereka, jadi saya melihat keputusan pihak pengurusan melanjutkan kontraknya selama lima tahun lagi sebagai langkah berisiko. Saya merindui prestasi yang ditunjukkan Nani tiga musim lalu, di mana ketika itu dia antara pemain sayap terbaik dan berbahaya di Liga Perdana. Kepantasannya melarikan bola dari sebelah tepi, memiliki kebolehan melakukan percubaan dari sudut sukar, sentuhan pertama yang cukup bagus dan kebolehannya menyusup masuk ke kawasan pertahanan lawan menerusi larian-larian mengelirukan sudah hilang sepanjang musim lalu. Statistik musim lalu menunjukkan Nani hanya beroleh empat kesempatan disenaraikan sebagai starter oleh Sir Alex, melepaskan hanya empat percubaan tepat ke arah pintu gol lawan dari sepuluh aksinya dalam semua kejohanan, jauh dari prestasi sebenar yang pernah dipamerkannya tiga musim lalu. Lebih memburukkan keadaan apabila dia ditimpa kecederaan pada Januari hingga menyebabkan penampilannya pada baki saingan musim lalu semakin terbatas.

Mungkin anda berpendapat tidak adil untuk kita menghukum Nani berdasarkan persembahannya sepanjang musim lalu, apatah lagi dia juga ditimpa masalah kecederaan ketika saingan liga memasuki fasa kedua. Bagaimanapun pepatah dalam bolasepak sering menyebut “Statistik tidak pernah berbohong”, dan statistik juga menunjukkan bahawa dari 228 penampilan dalam semua kejohanan sejak dia menyertai United pada 2007, Nani menjaringkan 51 gol, menyumbangkan 55 assist, melepaskan 525 percubaan dengan 191 darinya tepat ke sasaran. Adakah anda fikir sumbangan itu memadai buat seorang pemain sayap yang sudah memasuki musim ketujuhnya bersama kelab? Meskipun prestasi Nani meningkat selepas Ronaldo meninggalkan Old Trafford (terutama jika diukur pada prestasinya di musim 2010/11), saya fikir label yang pernah diletakkan kepadanya sebagai pengganti kepada antara ikon yang pernah menyarung jersi nombor 7 kelab sudah jauh tersasar. Bagaimanapun saya tidak pernah meragui sebarang perancangan kelab dan percaya Moyes selaku pengendali berpengalaman lebih tahu apa yang mampu beliau lakukan bagi menggunakan sepenuhnya segala kelebihan dan kebolehan yang ada pada Nani demi kebaikan pasukan. Jika Moyes mampu mengembalikan Nani kepada prestasi terbaiknya, saya anggap kontrak baru yang diberikan kepada pemain itu adalah sesuatu yang berbaloi. Moyes pengendali yang berkaliber, dan beliau sudah membuktikannya di Goodison Park selama sebelas musim di sana. Jadi saya berharap beliau mampu menggilap semula potensi dan kualiti yang ada pada Nani sekaligus meletakkan pemain itu antara tonggak utama pasukan musim ini. Jika Nani kembali ke prestasi terbaiknya di bawah kendalian Moyes, keputusan mengekalkan pemain itu selama lima tahun lagi di Old Trafford adalah perjudian paling bijak berbanding membeli pemain baru. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak meragui sebarang perancangan yang ingin diatur Moyes, cuma sedikit pelik apabila melihat seorang pemain yang prestasinya musim lalu merosot, dibelenggu kecederaan, terlepas aksi pra musim dan konsistensinya masih diragui sudahpun menandatangani lanjutan kontrak baru selama lima tahun. Hanya satu harapan saya sebagai peminat, semoga kontrak baru ini mencetuskan semula kebangkitan Nani sekaligus membuktikan bahawa perjudian yang dilakukan kelab ke atasnya berbaloi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J.

06 September 2013

MENILAI KEKUATAN LIMA PENCABAR KEJUARAAN SELEPAS JENDELA PERPINDAHAN PEMAIN DITUTUP



Jendela perpindahan pemain musim panas sudahpun ditutup dengan rasminya kelmarin dan sepertimana yang sering berlaku pada tahun-tahun sebelumnya, detik-detik akhir musim ini juga tidak terkecuali dari kejutan-kejutan sensasi yang melibatkan perpindahan 'tidak dijangka'. Fokus kali ini sebenarnya lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti perpindahan pemain yang melibatkan pencabar-pencabar kejuaraan di Liga Perdana, tetapi dalam masa yang sama saya juga ingin berkongsi beberapa fakta membabitkan kelab-kelab di luar England sepanjang pasaran perpindahan pemain dibuka sejak Julai lalu. Gareth Bale sepertimana yang anda ketahui mencipta rekod dunia baharu selepas perpindahannya dari White Hart Lane ke Santiago Bernabeu diumumkan secara rasmi membabitkan nilai mencecah £88 juta. Real Madrid muncul kelab yang mencatat rekod pembelian termahal tetapi mereka sebenarnya berada di tangga kedua (di belakang AS Monaco) sebagai kelab paling boros berbelanja sepanjang musim panas ini. Kelab yang baru kembali semula  ke saingan Ligue 1 itu menghabiskan £145 juta untuk membeli lapan pemain baru dan pembelian paling sensasi mereka tentunya melibatkan perpindahan Radamel Falcao dari Atletico Madrid dengan nilai mencecah £52 juta. Tiga kelab Liga Perdana berada dalam kelompok sepuluh pasukan paling boros berbelanja dengan Tottenham Hotspurs (£105 juta) berada di kedudukan ketiga, Manchester City (£100 juta) di kedudukan keempat dan Chelsea (£68.5 juta) di tangga kelapan. Lima lagi tempat diisi oleh, Shaktar Donetsk (£59 juta) di tangga kesepuluh, Dinamo Moscow (£69 juta) di tangga kesembilan, Barcelona (£61.6 juta) ditangga kelapan, Napoli (£75 juta) di tangga keenam dan PSG (£80 juta) di tangga kelima. Melihat kerakusan kelab-kelab di atas berbelanja sepanjang musim panas ini terutamanya pesaing-pesaing United dari Liga Perdana seperti Chelsea, Manchester City dan Tottenham tentunya agak menggerunkan kita. Bagaimanapun saya percaya kita tidak perlu terbawa-bawa dengan sentimen bahawa kelab perlu melakukan perkara yang sama (berbelanja besar) jika ingin mempertahankan kejuaraan liga yang kita menangi musim lalu atau memberikan cabaran serius dalam kempen Liga Juara-Juara. David Moyes mewarisi skuad juara dari Sir Alex Ferguson dengan purata umur pemain-pemain dari skuad utama ialah 26.5 tahun.

Eric Lamela
Apa yang perlu dilakukan Moyes ialah menggilap bakat-bakat muda yang ada seperti Wilfried Zaha, Guillermo Varela, Adnan Januzaj, dan Jesse Lingard, manakala langkah beliau meletakkan Nick Powell di Wigan Athletic dan Angelo Henriquez bersama Real Zaragoza hingga Jun 2014 sebagai pemain pinjaman adalah satu keputusan yang tepat. Mengeluarkan belanja untuk pemain baru bertujuan menambah apa yang kurang dalam pasukan, bukannya merombak hampir keseluruhan struktur pasukan. Kita memang sudah lama sedar bahawa musim ini kekuatan di bahagian tengah perlu dipertingkatkan berikutan persaraan Paul Scholes, masalah kesihatan berpanjangan Darren Fletcher yang tiada kesudahannya, prestasi turun naik Anderson manakala Tom Cleverley pula pada pandangan saya belum bersedia sepenuhnya memikul tanggungjawab menjana bahagian tengah untuk keseluruhan musim. Jadi keputusan kelab memberikan cek bernilai £27 juta kepada Everton untuk khidmat Marouane Fellaini bagi mengukuhkan jentera tengah adalah satu langkah berbaloi biarpun jumlah itu tidak meletakkan kita dalam kelompok 10 kelab berbelanja mewah musim panas ini. Meskipun hanya Fellaini satu-satunya nama besar yang berjaya ditandatangani sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, saya tidak pernah meragui kemampuan kelab dalam berdepan cabaran pencabar-pencabar kejuaraan domestik khasnya City, Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Spurs. Ini musim pertama Moyes selaku pengendali kelab, jadi berikan beliau peluang membentuk pasukan mengikut acuan dan kehendaknya sendiri selepas begitu lama kita dimanjakan dengan deretan trofi demi trofi yang dihadiahkan Sir Alex kepada kita. Spurs mengejutkan ramai pihak apabila mereka berada di tangga teratas kelab England yang berbelanja besar musim ini dengan membawa masuk tujuh pemain baru (Erik Lamela, Roberto Soldado, Paulinho, Christian Eriksen, Etienne Capoue, Vlad Chiriches dan Nacer Chadli). Walaupun kehilangan Gareth Bale, kekecewaan peminat-peminat Spurs terubat selepas melihat kelab mereka mengatasi jiran-jiran kota London yang lain seperti Arsenal dan Chelsea dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Sejak pasaran dibuka, Andre Villas-Boas seperti tidak mahu berhenti berbelanja, tambahan pula wang hasil penjualan Bale hampir mampu menampung kembali keseluruhan dana yang mereka keluarkan bagi mendapatkan tujuh pemain itu.

Willain
Walaupun Arsene Wenger mengatakan bahawa kesemua pemain yang dibeli Spurs tidak berkualiti, tetapi faktor bahawa mereka memiliki keseimbangan di semua bahagian dengan adanya pemain-pemain baru ini meletakkan Spurs antara pencabar yang perlu diberikan perhatian musim ini. Chelsea pula sepertimana yang kita ketahui sejak 2004 antara kelab yang sering berbelanja besar setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka. Pembelian Willain dari kelab Russia, Anzhi Makachkala dengan nilai £33.4 juta menjadi bukti kekuatan kewangan mereka tetapi perpindahan paling besar buat The Blues bukanlah melibatkan pemain di tengah padang tetapi kepulangan semula Jose Mourinho ke Stamford Bridge. Mourinho merupakan pengendali paling disayangi peminat-peminat Chelsea dan dihormati pemain-pemain seniornya. Saya percaya kepulangan pengendali itu ke Stamford Bridge mampu menyatukan semula pemain-pemain yang berpecah, manakala kualiti warga Portugal itu sebagai pengendali tidak perlu dipertikaikan lagi. Sukar untuk meneka apa yang cuba dilakukan Mourinho ke atas pasukannya, terutama selepas melihat beliau meletakkan pemain-pemain seperti Victor Moses dan Romelu Lukaku sebagai pemain pinjaman dan membawa masuk penyerang veteran Samuel Eto’o. Bagaimanapun Mourinho memiliki barisan antara yang terbaik di Eropah ketika ini dengan adanya bintang-bintang baru seperti Andre Schurrle, Marco Van Ginkel dan Willian. Jadi peminat-peminat Chelsea sudah tentu meletakkan harapan tinggi ke atas skuad yang dimiliki Mourinho musim ini. Liverpool nampaknya bermula baik musim ini selepas mengharungi tiga perlawanan yang meletakkan mereka di tangga teratas liga. Tindakan pantas Brendan Rodgers yang segera menutup masalah kecederaan di bahagian belakang dengan membeli Mamadou Sakho dan Tiago Ilori wajar dipuji selain keputusannya yang enggan terikut-ikut dengan 'kegilaan' pasukan-pasukan lain dalam memancing bintang-bintang baru. Apa yang paling penting ialah kemampuannya mengekalkan penyerang bermasalah, Luis Suarez meskipun bintang antarabangsa Uruguay itu pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan Arsenal. Persembahan Daniel Sturridge di bahagian hadapan setakat ini wajar diberikan pujian manakala bintang-bintang baru mereka seperti Phillipe Coutinho dan Iago Aspas bermain dengan begitu baik setakat ini. The Reds pada pandangan saya jelas pasukan berbeza musim ini jika dibandingkan dengan prestasi mereka dua atau tiga musim sebelum ini, jadi tidak hairanlah mengapa mereka berada di tangga teratas liga ketika ini.

Mesut Ozil
Di pihak jiran kita pula, saya terpaksa mengakui bahawa Manuel Pellegrini cukup bijak memasang strategi dalam pasaran perpindahan pemain kali ini. Ketika kelab-kelab lain masih berkira-kira pemain mana yang mereka inginkan bagi menguatkan pasukan, Pellegrini awal-awal lagi sudah menandatangani Alvaro Negredo, Jesus Navas dan Fernandinho. Jadi beliau hanya memerhatikan dari jauh segala kekalutan yang melanda ketika pesaing-pesaingnya berada dalam keadaan 'panik' memburu pemain-pemain sasaran pada saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup. Satu-satunya masalah yang dihadapi Pellegrini ialah krisis kecederaan yang menimpa kapten pasukan, Vincent Kompany dan Micah Richards. Bagaimanapun masalah itu segera diatasinya apabila beliau menandatangani Martin Demichelis dari Atletico Madrid. Pellegrini mungkin nampak sedikit rileks, tetapi jangan lupakan bahawa mereka mengeluarkan belanja sebanyak £100 juta untuk membeli pemain-pemain berkualiti. Sebagai antara kelab besar di England, City saya lihat semakin matang dalam mengharungi cabaran dari pesaing-pesaingnya dan mereka bukannya lagi 'budak kaya' yang berbelanja sesuka hati sepertimana yang kita kenali dulu. Spurs menggegarkan kota London menerusi wang yang mereka laburkan musim ini, tetapi Arsenal selaku pesaing setempat nampaknya tidak mahu sekadar berpeluk tubuh. Langkah Arsene Wenger menandatangani Mesut Ozil dengan nilai £40 juta merupakan satu keputusan paling besar pernah dilakukannya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini selain dari tindakan beliau menjual Robin Van Persie kepada United tahun lalu. Selepas teruk dikritik kerana polisi berbelanja secara berhemah yang diamalkannya, sikap peminat-peminat Arsenal terhadap Wenger berubah secara drastik berikutan kehadiran Ozil di Stadium Emirates. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Ozil adalah bintang paling besar yang berjaya dibawa beraksi ke Liga Perdana musim ini. Kehadiran Ozil sudah tentu menjadikan barisan tengah Arsenal antara paling digeruni selepas mereka turut memiliki Santi Cazorla, Jack Wilshere, Mikel Arteta dan Thomas Rosicky. Melihat barisan tengah yang dimiliki Wenger, ada yang mengatakan bahawa selepas ini lawan-lawan Arsenal terpaksa menunggu lama sebelum mendapat giliran menguasai semula bola. Melihat kekuatan pada bahagian tengah The Gunners ketika ini, Oliver Giroud dan Lukas Podolski sudah tentu bakal 'dimanjakan' dengan umpanan-umpanan berkualiti dari mereka biarpun pada awalnya kem Arsenal dikecewakan dengan kegagalan mendapatkan Gonzalo Higuain dan Luis Suarez.

Marouane Fellaini
Akhir sekali fokus kita beralih pula kepada juara musim lalu dan kelab yang kita sokong, Manchester United. Pasaran perpindahan kali ini bolehlah saya kategorikan sebagai paling 'mengelirukan' buat peminat-peminat United. Di peringkat awal kita didendangkan dengan berita-berita lunak bahawa beberapa bintang ternama seperti Thiago Alcantara, Cecs Fabregas, Gareth Bale, Kevin Strootman, Cristiano Ronaldo serta beberapa nama lagi berada dalam radar kelab dan hampir menyertai pasukan. Bagaimanapun sasaran yang digembar-gemburkan gugur satu persatu, manakala Moyes pula sedaya mungkin berusaha mempertahankan Wayne Rooney dari berhijrah selepas dia diberitakan kurang gembira dengan watak pembantu yang dimainkannya sejak musim lalu. Kelab diakui gagal mendapatkan pemain yang dikaitkan dengan mereka sebelum ini tetapi keupayaan Moyes terus mengekalkan Rooney di Old Trafford wajar diberikan pujian. Saya tidak tahu berapa lama Rooney mampu dipertahankan, tetapi sehingga Januari ini kita sekurang-kurangnya masih boleh menggunakan segala potensi dan kualiti yang ada pada penyerang antarabangsa England itu dalam pasukan. Saya akui kata-kata Moyes bahawa kita memiliki skuad juara, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa pesaing-pesaing lain sedang meningkatkan kekuatan mereka dan cuba mengatasi kedudukan kelab secara perlahan-lahan. Percayalah jika kelab tidak bergerak dan berpuashati dengan kekuatan yang ada, pesaing-pesaing lain tidak memerlukan masa yang lama untuk mengatasi kekuatan kita. Dengan segala kekalutan yang berlaku terutama pada saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup, bolehlah kita simpulkan bahawa sepanjang Jun hingga Ogos adalah tempoh yang sukar buat kelab. Walaupun diselubungi kekalutan dan kritikan, saya tetap yakin dan percaya bahawa skuad yang dimiliki Moyes ketika ini adalah skuad yang kompetitif dan mampu bersaing bagi merebut sebarang kejuaraan. Fellaini ditandatangani Moyes kerana beliau ingin meningkatkan kekuatan skuadnya dan saya percaya dengan pemain yang memiliki kualiti seperti Fellaini, The Red Devils bakal menjadi barisan yang lebih berbahaya…PERCAYALAH. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

04 September 2013

FELLAINI, PENYELAMAT KEPADA KEGAGALAN KELAB DALAM PASARAN PERPINDAHAN PEMAIN


Kisah perpindahan Marouane Fellaini dari Goodison Park ke Old Trafford nampaknya masih hangat diperkatakan peminat-peminat Manchester United. Dari deretan bintang-bintang ternama yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, hanya Fellaini dan wonderkid FC Zurich, Saidy Janko berjaya ditandatangani kelab, itupun ketika jendela perpindahan pemain musim panas hampir ditutup. Bagi saya 'drama' perpindahan Fellaini agak dramatik tetapi masih belum mampu mengatasi skrip perpindahan saat akhir Dimitar Berbatov dari White Hart Lane pada 2008. Kejayaan kelab mendapatkan khidmat Fellaini agak melegakan peminat-peminat United walaupun ada dikalangan mereka kurang bersetuju dengan penyertaan bekas pemain tengah Everton itu. Tidak perlu saya jelaskan lagi di sini mengapa saya gembira Fellaini menyertai kelab (sila rujuk artikel sebelum ini), dan saya percaya keputusan David Moyes menandatangani pemain itu adalah satu keputusan yang tepat. Sebagai individu yang pernah bekerjasama selama lima tahun dengan pemain itu, Moyes sudah tentu lebih arif bagaimana beliau mahu menggunakan kelebihan milik Fellaini dalam taktikal dan formasi yang bakal diterapkannya nanti. Lupakan dulu tentang 'kelesuan' Ketua Eksekutif yang baru (Ed Woodward) dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini dan tindakan 'bijaknya' mendapatkan Fellaini pada harga £27 juta sedangkan kelab boleh menandatangani pemain itu pada harga lebih rendah (ketika Fellaini masih berada dalam klausa pelepasan). Sejujurnya musim ini kita bukan sahaja kehilangan sentuhan Sir Alex Ferguson di tepi padang tetapi peminat-peminat juga nampaknya sudah mula meratapi kehilangan David Gill dari pejabat Ketua Eksekutif. Satu-satunya faktor yang mungkin boleh membuatkan kita sedikit berkompromi ialah memikirkan bahawa ini adalah tugasan musim panas pertama Woodward selaku Ketua Eksekutif selepas beliau menggantikan tempat Gill yang menyertai FA England. Sebagai peminat United, saya berharap kecelaruan dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini akan menjadi panduan dan pengajaran berguna kepada Woodward dalam menjalankan tugasnya ketika jendela perpindahan musim sejuk dibuka Januari nanti (itupun jika kelab berhasrat menandatangani pemain baru).

Sepertimana yang saya sebutkan tadi, kejayaan kelab menandatangani Fellaini pada saat akhir agak melegakan, kerana pada ketika ini keperluan untuk menguatkan bahagian tengah menjadi keutamaan paling atas buat Moyes. Ada pihak secara sinis mengatakan bahawa keputusan pihak pengurusan mendapatkan Fellaini pada saat akhir (sebelum jendela perpindahan pemain ditutup) disebabkan ingin menutup kegagalan mereka mendapatkan beberapa bintang yang disasarkan sebelum ini. Saya tidak menyalahkan mereka yang berpandangan sedemikian kerana sepanjang bulan Jun hingga Ogos, kita disogokkan dengan berita-berita sensasi bahawa Cristiano Ronaldo, Gareth Bale, Thiago Alcantara dan Cecs Fabregas berada dalam radar dan semakin hampir menyertai kelab. Waktu tidak berputar ke belakang di mana hari demi hari tempoh jual beli pemain di pasaran musim panas yang dibuka sejak Julai kian menuju detik terakhir hingga menimbulkan suasana 'panik' di kalangan peminat-peminat. Selepas melihat Alcantara menyertai Bayern Munich, Fabregas kekal di Nou Camp, Bale meninggalkan England untuk menyertai Real Madrid, impian ramai peminat mahu menyaksikan kepulangan Ronaldo ke Old Trafford entah bila akan berlaku manakala pencabar-pencabar lain pula semakin kuat dengan kehadiran bintang-bintang baru mereka, maka fahamlah saya mengapa Woodward menjadi sasaran kemarahan peminat. Bagaimanapun untuk melabelkan Fellaini sebagai pembelian terdesak atau meletakkan tanggapan bahawa pembeliannya untuk menutup kegagalan pihak pengurusan menandatangani pemain-pemain yang disasarkan sebelum ini sesuatu yang saya anggap agak keterlaluan. Saya lebih suka menganggap Fellaini sebagai penyelamat kerana kualiti serta bakat yang ada pada dirinya dan dia sememangnya layak berada dalam barisan The Red Devils. Jika peminat-peminat yang terlalu emosi meletakkan Woodward sebagai sasaran kemarahan mereka, saya tidak ambil peduli kerana apa yang penting bagi saya ialah keputusan yang diraih kelab dalam setiap perlawanan mereka. Saya berharap Fellaini dapat membuktikan kepada sesetengah pengkritiknya bahawa dia adalah pilihan tepat bagi menambah kekuatan di bahagian tengah dan pembeliannya bukan sekadar sandiwara belakang tabir pihak pengurusan dalam menutup kelemahan mereka.

Jika anda mengharapkan seorang pemain tengah kreatif, kita sebenarnya sudahpun memiliki pemain seperti itu dalam pasukan dengan adanya Shinji Kagawa, jadi pemain dengan kekuatan fizikal seperti Fellaini amat diperlukan kelab bagi memberikan lebih tekanan kepada barisan tengah dan pertahanan lawan selain berfungsi sebagai targetman dalam situasi bola mati. Sepanjang tempoh pasaran perpindahan pemain dibuka, Moyes sudah menegaskan berulang kali bahawa beliau gembira dengan skuad yang dimilikinya dan tidak bimbang jika kelab gagal menandatangani pemain baru. Bagaimanapun kekalahan kepada Liverpool di Anfield menimbulkan sedikit rasa 'panik' di kalangan peminat dan kehadiran Fellaini memang tepat pada masanya ketika ramai pihak meletakkan kelonggaran di bahagian tengah sebagai sebab utama mengapa kita gagal di Anfield. Ketibaan Fellaini sebenarnya tetap gagal memuaskan hati kebanyakan peminat terutamanya selepas mereka melihat pencabar-pencabar gelaran seperti Manchester City, Chelsea, Tottenham Hotspurs dan Arsenal meningkatkan skuad mereka dengan pemain-pemain bertaraf dunia. Bagaimanapun suka saya mengingatkan bahawa Fellaini bukanlah midfielder sebarangan kerana dia antara pemain tengah terbaik Liga Perdana terutamanya dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Mungkin nama Fellaini tidak sehebat Ozil atau Fabregas hanya disebabkan dia bermain dengan kelab sederhana seperti Everton, tetapi yakinlah bahawa dia adalah pemain 'besar' yang berjaya ditandatangani kelab pada harga yang cukup munasabah berbanding jika kita terpaksa mengeluarkan lebih dari £40 juta untuk mendapatkan Ozil atau Fabregas. Berkaitan kecelaruan dalam urusan perpindahan saat akhir melibatkan Ander Herrera dan Fabio Coentrao, kita tidak mengetahui perkara sebenar kecuali menerusi laporan-laporan dari media di sana. Ada banyak versi diterbitkan media tetapi itu semua tidak penting bagi saya kerana tumpuan selepas ini ialah ingin menyaksikan bagaimana Moyes menggunakan sepenuhnya kualiti milik Fellaini dalam meningkatkan kekuatan pasukan. Jika kelab masih berminat memburu tandatangan Herrera dan Coentrao, mereka masih boleh melakukannya Januari nanti tetapi bermula hujung minggu hadapan (14 September), mari kita lupakan segala kekalutan yang berlaku dan menikmati permainan Manchester United bersama pemain baru mereka, Marouane Fellaini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

03 September 2013

MAROUANE FELLAINI....BUKAN PILIHAN TERAKHIR


Selepas menanti sekian lama, Marouane Fellaini akhirnya sah menjadi milik Manchester United hanya beberapa jam sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Dari deretan senarai pemain yang digembar-gemburkan media berada dalam radar kelab sebelum ini, hanya perpindahan Fellaini dapat direalisasikan tetapi itu sudah cukup membuatkan saya gembira. Meskipun menerima khabar germbira bahawa kelab berjaya menandatangani Fellaini, dalam masa yang sama saya juga sebenarnya berasa sedikit 'cemburu' melihat kejayaan Arsenal mendapatkan Mesut Ozil. Sebagai peminat pasukan kebangsaan Jerman, Ozil sudah tentu antara pemain yang paling saya minati selain Bastian Schweinsteiger, jadi keputusannya menyertai The Gunners selaku pesaing domestik United sedikit mengecewakan saya. Bagaimanapun, jika difikirkan secara logik, kelab memang tidak memerlukan Ozil kerana kita sebenarnya sudahpun memiliki 'Ozil' dalam pasukan. 'Ozil' yang saya maksudkan siapa lagi kalau bukan Shinji Kagawa. Ozil dan Kagawa memiliki gaya permainan yang hampir sama, jadi keputusan Moyes yang enggan bersaing bagi mendapatkan pemain itu (Ozil) dari Real Madrid bagi saya adalah satu tindakan yang bijak dan wajar. Apa yang perlu dilakukan sekarang hanyalah menunggu Kagawa kembali cergas sepenuhnya sambil menanti impak yang bakal dilakukan pemain antarabangsa Jepun itu. Mengenai perpindahan Fellaini ke Old Trafford, £27 juta yang terpaksa dikeluarkan pihak pengurusan bagi memaksa Everton melepaskan pemain tengah itu adalah sesuatu yang pada saya cukup berbaloi. Fellaini sudah membuktikan mengapa Sir Alex Ferguson berminat mendapatkan khidmatnya sebelum ini menerusi sumbangan besar yang diberikannya sejak berhijrah ke Goodison Park dari Standard Liege pada 2008. Ketika itu David Moyes berjaya memaksa pihak pengurusan Everton mengeluarkan dana sebanyak £15 juta (satu jumlah yang besar buat kelab seperti Everton) bagi mendapatkan tandatangan Fellaini kerana beliau sedar akan segala kualiti dan potensi yang ada pada pemain itu. Tidak perlu diperincikan secara panjang lebar di sini tentang sumbangan yang diberikan Fellaini kepada Everton sejak 2008, tetapi cukuplah rasanya sekadar melihat statistik yang dihasilkan pemain itu sepanjang dua musim terakhir. Dari 31 penampilan liga (musim lalu), Fellaini menjaringkan 11 gol, menyumbangkan enam assist  dan melepaskan 60% percubaan tepat ke sasaran. Sebagai pemain tengah menyerang, fungsi Fellaini di atas padang tidak hanya terbatas dalam situasi offensive tetapi juga ketika defensive. Musim 2011/12, Fellaini muncul pemain kedua paling banyak melakukan terjahan di Liga Perdana selain mencatat penguasaan bola selama 190 minit. Memiliki ketinggian 1.94 meter menyebabkan Fellaini kadangkala dilihat pemain paling tinggi ketika di atas padang. Aset ini (ketinggiannya) sudah tentu berguna buat Fellaini ketika di udara di mana statistik musim lalu menunjukkan dia memenangi 77% perebutan bola di udara. Jadi tidak hairanlah kebanyakkan gol-gol Fellaini dihasilkannya menerusi tandukan selain muncul pemain Everton paling diawasi benteng pertahanan lawan dalam situasi bola mati.

Saya percaya selepas ini, tugas Ashley Young atau Antonio Valencia dalam mencari sasaran ketika melakukan hantaran lintang lebih mudah kerana Fellaini sudah sedia menanti di kawasan penalti lawan. Di bawah kendalian Roberto Martinez, Fellaini diletakkan sedikit ke dalam bagi melindungi benteng pertahanan selain memberikan bantuan tambahan kepada Leon Osman kerana bekas pengendali Wigan Athletic itu lebih gemar meletakkan Ross Barkley di belakang Nikica Jelavic. Saya kurang pasti apakah dalam tempoh tidak sampai dua minggu sudah memadai buat Moyes menurunkan Fellaini dalam kesebelasan utama untuk digandingkan bersama Carrick di bahagian tengah. Bagaimanapun, saya berpendapat lawan seperti Crystal Palace adalah medan terbaik untuk beliau menguji keserasian gandingan Carrick/Fellaini sebelum kita berdepan satu lagi perlawanan besar menentang Manchester City di Stadium Etihad 22 September ini. Seperti yang saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, kejayaan kelab mendapatkan Fellaini pada saat akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup bukanlah bermakna dia pilihan terakhir atau satu pembelian terdesak yang dilakukan Moyes. Kekalahan kepada Liverpool menyedarkan kita bahawa mengharapkan gandingan Carrick dan Tom Cleverley terus mengemudi bahagian tengah bukanlah satu perjudian bijak ketika pesaing-pesaing lain ghairah memantapkan pasukan masing-masing. Bukanlah saya mahu menidakkan kemampuan Carrick dan Cleverley menjana jentera tengah pasukan tetapi dalam satu-satu perlawanan kadangkala kita memerlukan faktor 'kelainan' bagi memerangkap lawan. Di Anfield, Moyes tidak memiliki kelebihan itu kerana rata-rata pemain Liverpool seperti Gerrard dan Lucas Leiva sudah memahami dan cukup masak dengan gaya permainan Carrick serta Cleverley. Jadi sudah tentu Brendan Rodgers memiliki kelebihan sangat besar dalam perlawanan itu dengan adanya Iago Aspas dan Phillipe Coutinho yang mana kebolehan sebenar dan gaya permainan mereka menjadi 'rahsia' yang tidak diketahui barisan The Red Devils. Saya percaya, jika di Anfield kita kekurangan faktor 'kelainan', tetapi kini kita sudah memiliki kelainan yang di perlukan dengan adanya Fellaini dalam pasukan. Lupakan sahaja sama ada Fellaini sasaran utama atau tidak (dalam pasaran perpindahan pemain musim panas) kerana apa yang penting adalah sumbangan yang bakal diberikannya kepada pasukan selepas ini. Selepas menyaksikan kekalahan di Anfield, saya akhirnya lega kelab berjaya membawa Fellaini sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Pemain seperti Fellaini mampu menjadi aset berharga kepada mana-mana pasukan tetapi itu bukanlah alasan buat pengendali berpengalaman seperti Moyes mengejarnya secara membabi buta. Jika anda bertanya mengapa Fellaini ditandatangani pada saat akhir, individu yang paling layak menjawabnya ialah Moyes. Saya yakin jika gagal mendapatkan Fellaini sekarang, Moyes tetap akan melakukannya Januari nanti, tetapi apa yang lebih penting ialah kelab berhasil mendapatkan seorang pemain yang mereka inginkan pada harga yang sesuai. Walaupun hanya seorang pemain baru melangkah ke Old Trafford sebaik jendela perpindahan pemain ditutup, saya lebih daripada gembira kerana yang seorang itu ialah Marouane Fellaini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

KITA KURANG KREATIVITI DI BAHAGIAN TENGAH?


Tewas kepada seteru tradisi seperti Liverpool memang menyakitkan bukan saja kepada pemain tapi juga kita sebagai peminat. Satu-satunya perkara yang mungkin boleh membuat kita sedikit tersenyum di sebalik kekalahan kelmarin ialah hakikat bahawa anak-anak buah David Moyes bermain baik sepanjang 90 minit perlawanan di Anfield. United menguasai sepenuhnya perlawanan tetapi gagal memadamkan kelebihan lawan setelah Daniel Sturridge meletakkan tuan rumah dihadapan ketika permainan baru berlangsung 3 minit. Disiplin tinggi kesebelasan tuan rumah ketika bertahan menyukarkan barisan penggempur United menembusi gawang lawan biarpun beberapa peluang terbaik diperolehi terutama di babak kedua. Di sebalik penguasaan mutlak yang dipamerkan anak-anak buah Moyes di Anfield, Liverpool sebenarnya berjaya mendedahkan kelemahan sebenar kita sepanjang perlawanan, iaitu kurangnya kreativiti di bahagian tengah. Entah apa sebabnya, jentera pihak pengurusan di bawah teraju Ed Woodward (selaku Ketua Eksekutif) agak 'lesu' sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas sejak dibuka Julai lalu, meskipun kita pada awalnya disogokkan dengan berita-berita sensasi bahawa kelab bakal diperkuatkan dengan beberapa bintang baru. Sebagai peminat yang jauhnya beribu batu dari kota Manchester dan tidak pula mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pintu pejabat Woodward, saya seboleh mungkin cuba mengelak dari melemparkan sebarang telahan atau tuduhan melulu terhadap pengganti David Gill itu. Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama saya juga tidak dapat mengelak dari membuat perbandingan kerja-kerja yang dilakukan Woodward setakat ini dengan Gill selaku penyandang jawatan (Ketua Eksekutif) itu sebelum ini. Okey lupakan dulu  tentang Woodward, dan kita kembali fokus semula kepada kekurangan daya kreativiti di bahagian tengah yang jelas ketara selepas kekalahan kepada Liverpool kelmarin. Michael Carrick dan Tom Cleverley digandingkan bersama buat kali ketiga musim ini, tetapi cengkaman mereka di bahagian tengah sepanjang perlawanan di Anfield sentiasa dibayangi kelibat Steven Gerrard dan Lucas Leiva. Tambah menyukarkan lagi buat dua midfielder kita itu, apabila Jordan Henderson, Philippe Coutinho dan Iago Aspas sering berada pada tempat dan masa yang tepat dalam memberikan bantuan tambahan kepada Gerrard dan Lucas baik ketika menyerang mahupun ketika mereka bertahan. Saya akui, Carrick dan Cleverley bermain dengan begitu baik ketika berdepan Swansea City dan Chelsea, tetapi ketika di Anfield, mereka akhirnya berdepan realiti sebenar. Terima kasih kepada Henderson, Coutinho dan Aspas kerana telah menyedarkan kita bahawa kesukaran yang dihadapi Carrick dan Cleverley sepanjang perlawanan bukannya datang dari Gerrard atau Lucas tetapi sebaliknya dari mereka bertiga. Semoga kekalahan di tangan Liverpool itu akan menjadi pengajaran berguna buat Moyes dan pihak pengurusan khasnya Woodward bahawa keperluan mendapatkan seorang pemain tengah patutnya diletakkan di kedudukan paling atas sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Julai lalu.

Perlawanan menentang Liverpool hanyalah aksi ketiga liga musim ini dan saya berharap segala kekurangan ini segera diperbaiki sebelum kunjungan ke Stadium Etihad 22 September ini.  Cleverley memang saya akui antara produk terbaik keluaran akademi United yang berjaya digilap dalam tempoh empat tahun terakhir selain Welbeck. Tiada pertikaian bahawa jika Cleverley mampu mengekalkan konsistensi pada permainannya, dia adalah tonggak masa depan kelab di bahagian tengah. Pada usia 24 tahun, Cleverley boleh dianggap masih muda, punya tenaga tidak terbatas dengan pergerakan-pergerakan tajam di bahagian tengah padang. Bagaimanapun pada pandangan saya, Cleverley sebenarnya lebih sesuai jika diletakkan dalam formasi tiga pemain tengah berbanding dua seperti yang digunakan Moyes dalam tiga perlawanan awal liga setakat ini. Agak ketara ketika di Anfield, Cleverley tenggelam berbanding rakan seposisinya Carrick yang kelihatan lebih selesa memainkan peranannya semasa dalam keadaan defensive mahupun offensive. Selepas mengalami kecederaan panjang musim lalu, Cleverley memulakan musim ini dengan penuh menyakinkan apabila diberi kepercayaan oleh pengurus untuk bermain dalam kesebelasan utama pada tiga perlawanan awal. Walaupun Cleverley seperti yang kita semua tahu merupakan anggota skuad kebangsaan England, tetapi meletakkan harapan ke atas bahu seorang pemuda berusia 24 tahun untuk mengemudi jentera tengah kelab sehingga pertengahan Mei tahun hadapan adalah satu tanggungjawab yang terlalu berat buatnya. Aksi di Anfield mendedahkan kekurangan sebenar kita, tetapi mujurlah perkara ini berlaku pada aksi awal liga dan masih belum terlambat untuk diperbetulkan. Kejayaan kelab menandatangani Marouane Fellaini dari Everton pada saat akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup mengubat sedikit kekecewaan saya selepas kekalahan kepada Liverpool kelmarin. Fellaini antara pemain yang saya nantikan kehadirannya di Old Trafford walaupun kebanyakkan peminat-peminat United yang lain sebenarnya lebih mengharapkan agar kelab dapat membawa masuk Luka Modric atau Mesut Ozil. Kehadiran Fellaini saya yakini mampu memberikan sesuatu yang berbeza di bahagian tengah pasukan selepas melihat kemampuannya sepanjang lima musim di Goodison Park. Usia Fellaini hanya setahun lebih tua berbanding Cleverley tetapi dia jauh lebih berpengalaman jika diukur jumlah caps yang dikumpulnya bersama skuad kebangsaan Belgium dan jumlah penampilannya bersama Everton sebelum ini. Salah seorang pemain yang saya mahukan sudah berjaya ditandatangani, jadi sekurang-kurangnya saya bolehlah melupakan kegagalan kelab membawa masuk nama-nama besar sebelum ini. Fellaini bukanlah pembelian terdesak selepas kita tewas kepada Liverpool atau disebabkan kita gagal mendapatkan beberapa bintang ternama sebelum ini. Fellaini juga bukanlah pilihan terakhir kerana dia memang layak berada dalam barisan pemain The Red Devils kerana bakat, kualiti dan kemampuan yang dimilikinya. Sir Alex Ferguson pernah berdepan kegagalan dalam usahanya mendapatkan Fellaini akibat kedegilan Moyes melepaskan pemain itu, tetapi kini peminat-peminat United sepatutnya gembira melihat kedegilan Moyes akhirnya berjaya memaksa pihak pengurusan Everton membenarkan pemain itu menyertai kita. Glory Glory Manchester United!!! – A.J.