Nick Powell antara pemain yang ditandatangani
Sir Alex Ferguson ketika beliau memasuki musim terakhirnya sebagai pengendali
Manchester United. Powell di datangkan Sir Alex dari kelab yang beraksi di League One, Crewe Alexandra musim panas
tahun lalu, menandatangani kontrak selama empat tahun dengan nilai perpindahan
sebanyak £6 juta. Mungkin ramai yang tidak tahu, Powell merupakan pemain tengah
menyerang (attacking midfielder) pertama ditandatangani Sir Alex dalam
tempoh lima tahun sejak beliau membawa masuk Anderson dari FC Porto pada 2007.
Ferguson tertarik dengan penampilan bakat muda berusia 19 tahun itu selepas dia
menjaringkan 16 gol untuk Crewe (dalam semua kejohanan) pada musim 2011/12 yang
juga merupakan musim pertamanya sebagai pemain profesional. Sebelum berjaya
mengikat pemain itu, Sir Alex diberitakan menghantar pasukan peninjaunya untuk
memantau aksi Powell bersama Crewe selama berbulan-bulan, dan usaha beliau
akhirnya berbayar apabila bakat muda itu memilih Old Trafford sebagai destinasi
seterusnya walapun Chelsea, Everton dan Arsenal turut cuba memberikan saingan. Pada
15 September 2012, Powell mencipta impak pada penampilan pertamanya dalam
saingan Liga Perdana apabila menyumbangkan satu gol di sebalik kemenangan 4-0
kelab ke atas Wigan Athletic selepas masuk menggantikan Ryan Giggs di minit
ke-71. Musim ini, David Moyes menghantar Powell ke Wigan sebagai pemain
pinjaman untuk menimba pengalaman disamping beroleh peluang beraksi dengan
lebih kerap dalam kesebelasan utama.
Selepas melihat kelab gagal mendapatkan pemain
tengah baharu seperti Thiago Alcantara, Cecs Fabregas dan Ander Herrera
sepanjang pasaran perpindahan musim panas dibuka, tindakan menghantar pemain
muda seperti Powell ke kelab lain bagi menimba pengalaman adalah satu keputusan
yang tepat. Seperti yang anda tahu, kelab ketika di bawah kendalian Sir Alex
sudahpun melakukan perkara yang sama apabila beliau pernah menghantar Danny
Welbeck, Tom Cleverley, Michael Keane, Ben Amos, Jesse Lingard dan beberapa
lagi pemain muda sebagai pemain pinjaman. Powell dianggap antara bakat muda
berpotensi dalam bolasepak England dan apa yang perlu dilakukan ke atas pemain
muda sepertinya ialah diberikan peluang tampil dengan lebih kerap bersama skuad
utama. Bersama United peluang itu memang sukar diperolehi, jadi Wigan atau
kelab-kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan terutamanya mampu menawarkan peluang
buat pemain muda seperti Powell beraksi dalam perlawanan-perlawanan kompetitif
setiap minggu. Peluang beraksi bersama Wigan di Liga Kejuaraan sepatutnya
digunakan sepenuhnya pemain itu untuk mengasahkan bakat dan ketajamannya
sebagai perancang tengah. Mungkin ramai yang memperkecilkan aksi di Liga
Kejuaraan, tetapi di sana sebenarnya ramai pemain-pemain berkaliber yang tidak
mendapat peluang beraksi dengan kelab-kelab Liga Perdana akibat limpahan
pemain-pemain dari luar, memilih untuk menabur bakti bersama-sama kelab-kelab
di 'divisyen dua' England itu. Apa yang penting, Powell kini dibimbing Owen
Coyle yang memang sudah kita kenali kewibawaannya di samping peluang bermain
bersama midfielder lebih
berpengalaman seperti Shaun Maloney, Jordi Gomez dan Jean Beausejour. Saya
yakin, Powell di bawah asuhan Coyle mampu menjadi pemain yang lebih bagus dan
peluang beraksi dalam perlawanan kompetitif dengan lebih kerap akan membantu
perkembangannya.
Siapa tahu, dengan bakat dan kualiti yang ada
padanya, Powell mampu memainkan peranan penting dalam membantu The Latics kembali semula beraksi di
saingan elit Liga Perdana musim depan. Selepas penghijrahan James McCarthy ke
Everton, Coyle memang memerlukan seorang pemain tengah baru bagi mengisi
kekosongan yang ditinggalkan pemain antarabangsa Republik Ireland itu. Sejak
menyertai Wigan dari Hamilton Academical pada 2009, karier McCarthy berkembang
dengan cukup bagus di DW Stadium, jadi saya berharap barisan kejurulatihan The Latics di bawah Coyle mampu
melakukan perkara yang sama ke atas Powell. Pada usia 19 tahun, Powell saya
anggap tonggak masa depan kelab untuk mengisi bahagian tengah kerana dia bukan
sahaja seorang pengumpan yang bagus tetapi juga kemampuannya ketika menyusun
gerakan dan membuka permainan sepertimana yang telah dibuktikannya bersama
Crewe dulu. Jangan lupakan juga bahawa Powell turut memiliki kebolehan
melakukan percubaan jarak jauh, kualiti yang turut ada pada lagenda kita, Paul
Scholes. Anda tentu masih ingat rembatannya dari luar petak penalti menerjah
gawang Wigan musim lalu, manakala ketika beraksi di League Two, Powell pernah menjaringkan gol menarik ke gawang
Gillingham dari jarak 35 meter.
Sudah tentu selepas menyaksikan beberapa midfielder yang disasarkan sepanjang
pasaran perpindahan musim panas gagal ditandatangani, kelab akan memburu
beberapa nama baru untuk menguatkan bahagian tengah Januari ini ataupun Jun
nanti. Bagaimanapun dengan adanya pemain muda berbakat seperti Powell, akan
menambahkan lagi kekuatan kelab secara keseluruhannya selain meluaskan pilihan
Moyes di bahagian tengah. Powell memiliki segala ciri-ciri dan kualiti yang
diperlukan untuk menjadikan dia pemain bintang suatu hari nanti, cuma apa yang
diperlukannya sekarang ialah mengutip pengalaman sebanyak mungkin dan bermain
dalam perlawanan kompetitif dengan lebih kerap. Saya tidak pasti Powell pemain
United keberapa yang dipinjamkan ke Wigan tetapi Cleverley juga pernah
diletakkan di sana selama semusim sebelum kembali semula ke Old Trafford pada
musim panas 2011. Sebaik sahaja menamatkan tempoh pinjamannya bersama Wigan dan
kembali ke Old Trafford, Cleverley menjadi pemain yang lebih bagus dan matang
hingga berjaya menarik perhatian Sir Alex untuk meletakkannya dalam kesebelasan
utama. Prestasi cemerlangnya bersama kelab juga mengundang perhatian pengurus
England ketika itu, Fabio Capello untuk menyenaraikan Cleverley dalam skuad
kebangsaan. Cleverley berjaya mengharungi tempoh sebagai pemain pinjaman
bersama Wigan dengan cemerlang dan saya juga berharap Powell mampu melakukan
perkara yang sama dan kembali ke Old Trafford sebagai pemain yang jauh lebih
bagus. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan