Selain Wayne Rooney dan Anderson, Nani juga
adalah antara pemain yang paling disebut-sebut bakal meninggalkan kelab musim
panas ini berikutan prestasi tidak konsisten dipamerkannya sejak ditandatangani
dari Sporting Lisbon pada 2007. Bagaimanapun selepas tempoh pasaran perpindahan
pemain ditutup, ketiga-tiganya masih kekal sebagai pemain United, malah Nani
menjadi pemain pertama musim ini ditawarkan dengan lanjutan kontrak baru. Dalam
tempoh enam musim di Old Trafford, Nani dianggap gagal menepati potensi yang
diharapkan biarpun Sir Alex Ferguson ketika itu berjaya memujuk pihak
pengurusan agar mengeluarkan dana sebanyak €25 juta untuk mendapatkan
khidmatnya. Berbeza dengan rakan senegaranya, Cristiano Ronaldo yang begitu
sukses hingga diangkat sebagai lagenda oleh peminat-peminat United, Nani
sebaliknya berdepan prestasi turun naik dan terpaksa pula berhempas pulas
merebut tempatnya dalam kesebelasan utama sejak kehadiran Ashley Young pada
2011. Nani pada pandangan saya antara pemain sayap yang cukup berbakat,
dianugerahkan skill kawalan bola serta menggelecek yang menarik dan kepantasan
persis rakan senegaranya Ronaldo, tetapi masalah utamanya ialah konsistensi.
Saya pernah menyebut bahawa jika kena pada 'harinya' Nani secara tiba-tiba
boleh menjadi pemain sayap yang cukup berbahaya, tetapi jika anda berharap agar
Nani mampu mengekalkan rentaknya setiap minggu, saya nasihatkan anda agar
memadamkan sahaja hasrat itu. Selepas menyumbang 10 gol (dalam semua kejohanan)
pada musim 2010/11 dan 2011/12, Nani dibelenggu prestasi tidak menentu musim
lalu disamping masalah kecederaan yang dihadapinya. Kesilapan yang dilakukannya
pada penghujung perlawanan ketika menentang Chelsea dalam kempen Piala Liga hingga
membenarkan lawan menyamakan kedudukan menimbulkan kemarahan Sir Alex (United
tewas 4-5 selepas masa tambahan). Jangan lupakan juga insiden pergaduhannya
dengan pemain muda David Petrucci di padang latihan serta kenyataan yang
dikeluarkannya kepada media sebelum berlangsungnya kejohanan Euro 2012 (bahawa
dia meragui masa depannya bersama kelab) meningkatkan lagi keyakinan saya
bahawa karier Nani di Old Trafford bakal berakhir musim panas ini.
Seperti yang saya sebutkan di atas, Nani
adalah pemain berbakat, jadi tidak hairanlah mengapa Juventus, Arsenal dan
Paris St Germain menunjukkan minat yang tinggi untuk mendapatkan tandatangannya
ketika masa depannya bersama kelab dibahaskan ramai pihak. Saya tidak pasti
jika Sir Alex masih menerajui kelab, bagaimanakah agaknya dengan nasib Nani,
namun selepas berdepan prestasi tidak menentu sepanjang musim lalu, ditawarkan
dengan kontrak baru selama lima tahun bolehlah dianggap sebagai bonus paling
besar buat pemain berusia 26 tahun itu. Sepanjang tempoh dia berada di Old
Trafford, Nani sudah memenangi empat kejuaraan liga, Piala Liga, Liga Juara-Juara
dan Kejuaraan Kelab Dunia FIFA. Persoalannya sekarang adakah kontrak 5 tahun
yang diberikan kepadanya sekaligus menyaksikan Nani kekal di kelab hingga Jun
2018 berbaloi dengan apa yang sudah disumbangkannya setakat ini? Kita tidak
tahu apa yang ada dalam fikiran Moyes dan perancangan yang ingin dilakukannya,
mungkin juga beliau masih berharap Nani mampu menghasilkan keajaiban sekaligus
menepati label yang pernah diberikan kepadanya dahulu iaitu sebagai pengganti
Ronaldo. Musim 2010/11 saya anggap sebagai musim terbaik Nani sepanjang dia
menyarung jersi United hingga diiktiraf antara pemain terbaik di Old Trafford di
sebalik kejayaan kelab menjulang trofi liga buat kali ke-19. Nani sepertimana
yang kita tahu sudahpun berusia 26 tahun, waktu di mana pemain-pemain mula
memasuki gerbang puncak karier mereka, jadi saya melihat keputusan pihak
pengurusan melanjutkan kontraknya selama lima tahun lagi sebagai langkah
berisiko. Saya merindui prestasi yang ditunjukkan Nani tiga musim lalu, di mana
ketika itu dia antara pemain sayap terbaik dan berbahaya di Liga Perdana. Kepantasannya
melarikan bola dari sebelah tepi, memiliki kebolehan melakukan percubaan dari
sudut sukar, sentuhan pertama yang cukup bagus dan kebolehannya menyusup masuk
ke kawasan pertahanan lawan menerusi larian-larian mengelirukan sudah hilang
sepanjang musim lalu. Statistik musim lalu menunjukkan Nani hanya beroleh empat
kesempatan disenaraikan sebagai starter
oleh Sir Alex, melepaskan hanya empat percubaan tepat ke arah pintu gol lawan
dari sepuluh aksinya dalam semua kejohanan, jauh dari prestasi sebenar yang
pernah dipamerkannya tiga musim lalu. Lebih memburukkan keadaan apabila dia
ditimpa kecederaan pada Januari hingga menyebabkan penampilannya pada baki
saingan musim lalu semakin terbatas.
Mungkin anda berpendapat tidak adil untuk
kita menghukum Nani berdasarkan persembahannya sepanjang musim lalu, apatah
lagi dia juga ditimpa masalah kecederaan ketika saingan liga memasuki fasa
kedua. Bagaimanapun pepatah dalam bolasepak sering menyebut “Statistik tidak
pernah berbohong”, dan statistik juga menunjukkan bahawa dari 228 penampilan
dalam semua kejohanan sejak dia menyertai United pada 2007, Nani menjaringkan 51
gol, menyumbangkan 55 assist, melepaskan
525 percubaan dengan 191 darinya tepat ke sasaran. Adakah anda fikir sumbangan itu
memadai buat seorang pemain sayap yang sudah memasuki musim ketujuhnya bersama
kelab? Meskipun prestasi Nani meningkat selepas Ronaldo meninggalkan Old
Trafford (terutama jika diukur pada prestasinya di musim 2010/11), saya fikir
label yang pernah diletakkan kepadanya sebagai pengganti kepada antara ikon yang
pernah menyarung jersi nombor 7 kelab sudah jauh tersasar. Bagaimanapun saya
tidak pernah meragui sebarang perancangan kelab dan percaya Moyes selaku
pengendali berpengalaman lebih tahu apa yang mampu beliau lakukan bagi
menggunakan sepenuhnya segala kelebihan dan kebolehan yang ada pada Nani demi
kebaikan pasukan. Jika Moyes mampu mengembalikan Nani kepada prestasi
terbaiknya, saya anggap kontrak baru yang diberikan kepada pemain itu adalah
sesuatu yang berbaloi. Moyes pengendali yang berkaliber, dan beliau sudah
membuktikannya di Goodison Park selama sebelas musim di sana. Jadi saya berharap
beliau mampu menggilap semula potensi dan kualiti yang ada pada Nani sekaligus
meletakkan pemain itu antara tonggak utama pasukan musim ini. Jika Nani kembali
ke prestasi terbaiknya di bawah kendalian Moyes, keputusan mengekalkan pemain
itu selama lima tahun lagi di Old Trafford adalah perjudian paling bijak
berbanding membeli pemain baru. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak meragui
sebarang perancangan yang ingin diatur Moyes, cuma sedikit pelik apabila
melihat seorang pemain yang prestasinya musim lalu merosot, dibelenggu kecederaan,
terlepas aksi pra musim dan konsistensinya masih diragui sudahpun
menandatangani lanjutan kontrak baru selama lima tahun. Hanya satu harapan saya
sebagai peminat, semoga kontrak baru ini mencetuskan semula kebangkitan Nani sekaligus
membuktikan bahawa perjudian yang dilakukan kelab ke atasnya berbaloi. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan