Jendela perpindahan pemain musim panas
sudahpun ditutup dengan rasminya kelmarin dan sepertimana yang sering berlaku pada
tahun-tahun sebelumnya, detik-detik akhir musim ini juga tidak terkecuali dari
kejutan-kejutan sensasi yang melibatkan perpindahan 'tidak dijangka'. Fokus
kali ini sebenarnya lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti perpindahan pemain
yang melibatkan pencabar-pencabar kejuaraan di Liga Perdana, tetapi dalam masa
yang sama saya juga ingin berkongsi beberapa fakta membabitkan kelab-kelab di
luar England sepanjang pasaran perpindahan pemain dibuka sejak Julai lalu. Gareth
Bale sepertimana yang anda ketahui mencipta rekod dunia baharu selepas
perpindahannya dari White Hart Lane ke Santiago Bernabeu diumumkan secara rasmi
membabitkan nilai mencecah £88 juta. Real Madrid muncul kelab yang mencatat
rekod pembelian termahal tetapi mereka sebenarnya berada di tangga kedua (di
belakang AS Monaco) sebagai kelab paling boros berbelanja sepanjang musim panas
ini. Kelab yang baru kembali semula ke
saingan Ligue 1 itu menghabiskan £145 juta untuk membeli lapan pemain baru dan
pembelian paling sensasi mereka tentunya melibatkan perpindahan Radamel Falcao
dari Atletico Madrid dengan nilai mencecah £52 juta. Tiga kelab Liga Perdana
berada dalam kelompok sepuluh pasukan paling boros berbelanja dengan Tottenham
Hotspurs (£105 juta) berada di kedudukan ketiga, Manchester City (£100 juta) di
kedudukan keempat dan Chelsea (£68.5 juta) di tangga kelapan. Lima lagi tempat
diisi oleh, Shaktar Donetsk (£59 juta) di tangga kesepuluh, Dinamo Moscow (£69
juta) di tangga kesembilan, Barcelona (£61.6 juta) ditangga kelapan, Napoli
(£75 juta) di tangga keenam dan PSG (£80 juta) di tangga kelima. Melihat
kerakusan kelab-kelab di atas berbelanja sepanjang musim panas ini terutamanya
pesaing-pesaing United dari Liga Perdana seperti Chelsea, Manchester City dan
Tottenham tentunya agak menggerunkan kita. Bagaimanapun saya percaya kita tidak
perlu terbawa-bawa dengan sentimen bahawa kelab perlu melakukan perkara yang
sama (berbelanja besar) jika ingin mempertahankan kejuaraan liga yang kita
menangi musim lalu atau memberikan cabaran serius dalam kempen Liga
Juara-Juara. David Moyes mewarisi skuad juara dari Sir Alex Ferguson dengan
purata umur pemain-pemain dari skuad utama ialah 26.5 tahun.
Eric Lamela |
Apa yang perlu dilakukan Moyes ialah
menggilap bakat-bakat muda yang ada seperti Wilfried Zaha, Guillermo Varela,
Adnan Januzaj, dan Jesse Lingard, manakala langkah beliau meletakkan Nick
Powell di Wigan Athletic dan Angelo Henriquez bersama Real Zaragoza hingga Jun
2014 sebagai pemain pinjaman adalah satu keputusan yang tepat. Mengeluarkan
belanja untuk pemain baru bertujuan menambah apa yang kurang dalam pasukan,
bukannya merombak hampir keseluruhan struktur pasukan. Kita memang sudah lama
sedar bahawa musim ini kekuatan di bahagian tengah perlu dipertingkatkan
berikutan persaraan Paul Scholes, masalah kesihatan berpanjangan Darren
Fletcher yang tiada kesudahannya, prestasi turun naik Anderson manakala Tom
Cleverley pula pada pandangan saya belum bersedia sepenuhnya memikul
tanggungjawab menjana bahagian tengah untuk keseluruhan musim. Jadi keputusan kelab
memberikan cek bernilai £27 juta kepada Everton untuk khidmat Marouane Fellaini
bagi mengukuhkan jentera tengah adalah satu langkah berbaloi biarpun jumlah itu
tidak meletakkan kita dalam kelompok 10 kelab berbelanja mewah musim panas ini.
Meskipun hanya Fellaini satu-satunya nama besar yang berjaya ditandatangani
sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, saya tidak pernah meragui kemampuan
kelab dalam berdepan cabaran pencabar-pencabar kejuaraan domestik khasnya City,
Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Spurs. Ini musim pertama Moyes selaku
pengendali kelab, jadi berikan beliau peluang membentuk pasukan mengikut acuan
dan kehendaknya sendiri selepas begitu lama kita dimanjakan dengan deretan
trofi demi trofi yang dihadiahkan Sir Alex kepada kita. Spurs mengejutkan ramai
pihak apabila mereka berada di tangga teratas kelab England yang berbelanja
besar musim ini dengan membawa masuk tujuh pemain baru (Erik Lamela, Roberto
Soldado, Paulinho, Christian Eriksen, Etienne Capoue, Vlad Chiriches dan Nacer
Chadli). Walaupun kehilangan Gareth Bale, kekecewaan peminat-peminat Spurs
terubat selepas melihat kelab mereka mengatasi jiran-jiran kota London yang
lain seperti Arsenal dan Chelsea dalam pasaran perpindahan pemain musim panas
ini. Sejak pasaran dibuka, Andre Villas-Boas seperti tidak mahu berhenti
berbelanja, tambahan pula wang hasil penjualan Bale hampir mampu menampung kembali
keseluruhan dana yang mereka keluarkan bagi mendapatkan tujuh pemain itu.
Willain |
Walaupun Arsene Wenger mengatakan bahawa
kesemua pemain yang dibeli Spurs tidak berkualiti, tetapi faktor bahawa mereka
memiliki keseimbangan di semua bahagian dengan adanya pemain-pemain baru ini
meletakkan Spurs antara pencabar yang perlu diberikan perhatian musim ini.
Chelsea pula sepertimana yang kita ketahui sejak 2004 antara kelab yang sering
berbelanja besar setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka. Pembelian
Willain dari kelab Russia, Anzhi Makachkala dengan nilai £33.4 juta menjadi
bukti kekuatan kewangan mereka tetapi perpindahan paling besar buat The Blues bukanlah melibatkan pemain di
tengah padang tetapi kepulangan semula Jose Mourinho ke Stamford Bridge.
Mourinho merupakan pengendali paling disayangi peminat-peminat Chelsea dan
dihormati pemain-pemain seniornya. Saya percaya kepulangan pengendali itu ke
Stamford Bridge mampu menyatukan semula pemain-pemain yang berpecah, manakala
kualiti warga Portugal itu sebagai pengendali tidak perlu dipertikaikan lagi.
Sukar untuk meneka apa yang cuba dilakukan Mourinho ke atas pasukannya,
terutama selepas melihat beliau meletakkan pemain-pemain seperti Victor Moses
dan Romelu Lukaku sebagai pemain pinjaman dan membawa masuk penyerang veteran
Samuel Eto’o. Bagaimanapun Mourinho memiliki barisan antara yang terbaik di
Eropah ketika ini dengan adanya bintang-bintang baru seperti Andre Schurrle,
Marco Van Ginkel dan Willian. Jadi peminat-peminat Chelsea sudah tentu meletakkan
harapan tinggi ke atas skuad yang dimiliki Mourinho musim ini. Liverpool
nampaknya bermula baik musim ini selepas mengharungi tiga perlawanan yang
meletakkan mereka di tangga teratas liga. Tindakan pantas Brendan Rodgers yang
segera menutup masalah kecederaan di bahagian belakang dengan membeli Mamadou
Sakho dan Tiago Ilori wajar dipuji selain keputusannya yang enggan terikut-ikut
dengan 'kegilaan' pasukan-pasukan lain dalam memancing bintang-bintang baru.
Apa yang paling penting ialah kemampuannya mengekalkan penyerang bermasalah,
Luis Suarez meskipun bintang antarabangsa Uruguay itu pernah dikaitkan dengan
perpindahan ke Real Madrid dan Arsenal. Persembahan Daniel Sturridge di
bahagian hadapan setakat ini wajar diberikan pujian manakala bintang-bintang
baru mereka seperti Phillipe Coutinho dan Iago Aspas bermain dengan begitu baik
setakat ini. The Reds pada pandangan
saya jelas pasukan berbeza musim ini jika dibandingkan dengan prestasi mereka
dua atau tiga musim sebelum ini, jadi tidak hairanlah mengapa mereka berada di
tangga teratas liga ketika ini.
Mesut Ozil |
Di pihak jiran kita pula, saya terpaksa
mengakui bahawa Manuel Pellegrini cukup bijak memasang strategi dalam pasaran
perpindahan pemain kali ini. Ketika kelab-kelab lain masih berkira-kira pemain
mana yang mereka inginkan bagi menguatkan pasukan, Pellegrini awal-awal lagi
sudah menandatangani Alvaro Negredo, Jesus Navas dan Fernandinho. Jadi beliau
hanya memerhatikan dari jauh segala kekalutan yang melanda ketika
pesaing-pesaingnya berada dalam keadaan 'panik' memburu pemain-pemain sasaran
pada saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup. Satu-satunya masalah yang
dihadapi Pellegrini ialah krisis kecederaan yang menimpa kapten pasukan,
Vincent Kompany dan Micah Richards. Bagaimanapun masalah itu segera diatasinya
apabila beliau menandatangani Martin Demichelis dari Atletico Madrid.
Pellegrini mungkin nampak sedikit rileks, tetapi jangan lupakan bahawa mereka
mengeluarkan belanja sebanyak £100 juta untuk membeli pemain-pemain berkualiti.
Sebagai antara kelab besar di England, City saya lihat semakin matang dalam
mengharungi cabaran dari pesaing-pesaingnya dan mereka bukannya lagi 'budak kaya'
yang berbelanja sesuka hati sepertimana yang kita kenali dulu. Spurs
menggegarkan kota London menerusi wang yang mereka laburkan musim ini, tetapi
Arsenal selaku pesaing setempat nampaknya tidak mahu sekadar berpeluk tubuh.
Langkah Arsene Wenger menandatangani Mesut Ozil dengan nilai £40 juta merupakan
satu keputusan paling besar pernah dilakukannya dalam tempoh beberapa tahun
kebelakangan ini selain dari tindakan beliau menjual Robin Van Persie kepada
United tahun lalu. Selepas teruk dikritik kerana polisi berbelanja secara
berhemah yang diamalkannya, sikap peminat-peminat Arsenal terhadap Wenger berubah
secara drastik berikutan kehadiran Ozil di Stadium Emirates. Tidak keterlaluan
jika saya katakan bahawa Ozil adalah bintang paling besar yang berjaya dibawa
beraksi ke Liga Perdana musim ini. Kehadiran Ozil sudah tentu menjadikan
barisan tengah Arsenal antara paling digeruni selepas mereka turut memiliki
Santi Cazorla, Jack Wilshere, Mikel Arteta dan Thomas Rosicky. Melihat barisan
tengah yang dimiliki Wenger, ada yang mengatakan bahawa selepas ini lawan-lawan
Arsenal terpaksa menunggu lama sebelum mendapat giliran menguasai semula bola.
Melihat kekuatan pada bahagian tengah The
Gunners ketika ini, Oliver Giroud dan Lukas Podolski sudah tentu bakal
'dimanjakan' dengan umpanan-umpanan berkualiti dari mereka biarpun pada awalnya
kem Arsenal dikecewakan dengan kegagalan mendapatkan Gonzalo Higuain dan Luis
Suarez.
Marouane Fellaini |
Akhir sekali fokus kita beralih pula kepada juara
musim lalu dan kelab yang kita sokong, Manchester United. Pasaran perpindahan
kali ini bolehlah saya kategorikan sebagai paling 'mengelirukan' buat
peminat-peminat United. Di peringkat awal kita didendangkan dengan
berita-berita lunak bahawa beberapa bintang ternama seperti Thiago Alcantara,
Cecs Fabregas, Gareth Bale, Kevin Strootman, Cristiano Ronaldo serta beberapa
nama lagi berada dalam radar kelab dan hampir menyertai pasukan. Bagaimanapun
sasaran yang digembar-gemburkan gugur satu persatu, manakala Moyes pula sedaya
mungkin berusaha mempertahankan Wayne Rooney dari berhijrah selepas dia
diberitakan kurang gembira dengan watak pembantu yang dimainkannya sejak musim
lalu. Kelab diakui gagal mendapatkan pemain yang dikaitkan dengan mereka
sebelum ini tetapi keupayaan Moyes terus mengekalkan Rooney di Old Trafford
wajar diberikan pujian. Saya tidak tahu berapa lama Rooney mampu dipertahankan,
tetapi sehingga Januari ini kita sekurang-kurangnya masih boleh menggunakan
segala potensi dan kualiti yang ada pada penyerang antarabangsa England itu
dalam pasukan. Saya akui kata-kata Moyes bahawa kita memiliki skuad juara,
tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa pesaing-pesaing lain
sedang meningkatkan kekuatan mereka dan cuba mengatasi kedudukan kelab secara
perlahan-lahan. Percayalah jika kelab tidak bergerak dan berpuashati dengan
kekuatan yang ada, pesaing-pesaing lain tidak memerlukan masa yang lama untuk
mengatasi kekuatan kita. Dengan segala kekalutan yang berlaku terutama pada
saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup, bolehlah kita simpulkan bahawa
sepanjang Jun hingga Ogos adalah tempoh yang sukar buat kelab. Walaupun
diselubungi kekalutan dan kritikan, saya tetap yakin dan percaya bahawa skuad
yang dimiliki Moyes ketika ini adalah skuad yang kompetitif dan mampu bersaing
bagi merebut sebarang kejuaraan. Fellaini ditandatangani Moyes kerana beliau
ingin meningkatkan kekuatan skuadnya dan saya percaya dengan pemain yang
memiliki kualiti seperti Fellaini, The
Red Devils bakal menjadi barisan yang lebih berbahaya…PERCAYALAH. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan