Tewas kepada seteru tradisi seperti Liverpool
memang menyakitkan bukan saja kepada pemain tapi juga kita sebagai peminat.
Satu-satunya perkara yang mungkin boleh membuat kita sedikit tersenyum di
sebalik kekalahan kelmarin ialah hakikat bahawa anak-anak buah David Moyes
bermain baik sepanjang 90 minit perlawanan di Anfield. United menguasai
sepenuhnya perlawanan tetapi gagal memadamkan kelebihan lawan setelah Daniel
Sturridge meletakkan tuan rumah dihadapan ketika permainan baru berlangsung 3
minit. Disiplin tinggi kesebelasan tuan rumah ketika bertahan menyukarkan barisan
penggempur United menembusi gawang lawan biarpun beberapa peluang terbaik diperolehi
terutama di babak kedua. Di sebalik penguasaan mutlak yang dipamerkan anak-anak
buah Moyes di Anfield, Liverpool sebenarnya berjaya mendedahkan kelemahan
sebenar kita sepanjang perlawanan, iaitu kurangnya kreativiti di bahagian
tengah. Entah apa sebabnya, jentera pihak pengurusan di bawah teraju Ed
Woodward (selaku Ketua Eksekutif) agak 'lesu' sepanjang pasaran perpindahan
pemain musim panas sejak dibuka Julai lalu, meskipun kita pada awalnya
disogokkan dengan berita-berita sensasi bahawa kelab bakal diperkuatkan dengan
beberapa bintang baru. Sebagai peminat yang jauhnya beribu batu dari kota
Manchester dan tidak pula mengetahui apa sebenarnya yang berlaku di sebalik
pintu pejabat Woodward, saya seboleh mungkin cuba mengelak dari melemparkan
sebarang telahan atau tuduhan melulu terhadap pengganti David Gill itu. Walau
bagaimanapun, dalam masa yang sama saya juga tidak dapat mengelak dari membuat
perbandingan kerja-kerja yang dilakukan Woodward setakat ini dengan Gill selaku
penyandang jawatan (Ketua Eksekutif) itu sebelum ini. Okey lupakan dulu tentang Woodward, dan kita kembali fokus
semula kepada kekurangan daya kreativiti di bahagian tengah yang jelas ketara
selepas kekalahan kepada Liverpool kelmarin. Michael Carrick dan Tom Cleverley digandingkan
bersama buat kali ketiga musim ini, tetapi cengkaman mereka di bahagian tengah
sepanjang perlawanan di Anfield sentiasa dibayangi kelibat Steven Gerrard dan Lucas
Leiva. Tambah menyukarkan lagi buat dua midfielder
kita itu, apabila Jordan Henderson, Philippe Coutinho dan Iago Aspas sering
berada pada tempat dan masa yang tepat dalam memberikan bantuan tambahan kepada
Gerrard dan Lucas baik ketika menyerang mahupun ketika mereka bertahan. Saya
akui, Carrick dan Cleverley bermain dengan begitu baik ketika berdepan Swansea
City dan Chelsea, tetapi ketika di Anfield, mereka akhirnya berdepan realiti
sebenar. Terima kasih kepada Henderson, Coutinho dan Aspas kerana telah
menyedarkan kita bahawa kesukaran yang dihadapi Carrick dan Cleverley sepanjang
perlawanan bukannya datang dari Gerrard atau Lucas tetapi sebaliknya dari
mereka bertiga. Semoga kekalahan di tangan Liverpool itu akan menjadi
pengajaran berguna buat Moyes dan pihak pengurusan khasnya Woodward bahawa
keperluan mendapatkan seorang pemain tengah patutnya diletakkan di kedudukan
paling atas sebaik jendela perpindahan pemain dibuka Julai lalu.
Perlawanan menentang Liverpool hanyalah aksi
ketiga liga musim ini dan saya berharap segala kekurangan ini segera diperbaiki
sebelum kunjungan ke Stadium Etihad 22 September ini. Cleverley memang saya akui antara produk
terbaik keluaran akademi United yang berjaya digilap dalam tempoh empat tahun
terakhir selain Welbeck. Tiada pertikaian bahawa jika Cleverley mampu
mengekalkan konsistensi pada permainannya, dia adalah tonggak masa depan kelab
di bahagian tengah. Pada usia 24 tahun, Cleverley boleh dianggap masih muda,
punya tenaga tidak terbatas dengan pergerakan-pergerakan tajam di bahagian
tengah padang. Bagaimanapun pada pandangan saya, Cleverley sebenarnya lebih
sesuai jika diletakkan dalam formasi tiga pemain tengah berbanding dua seperti
yang digunakan Moyes dalam tiga perlawanan awal liga setakat ini. Agak ketara
ketika di Anfield, Cleverley tenggelam berbanding rakan seposisinya Carrick
yang kelihatan lebih selesa memainkan peranannya semasa dalam keadaan defensive mahupun offensive. Selepas mengalami kecederaan panjang musim lalu, Cleverley
memulakan musim ini dengan penuh menyakinkan apabila diberi kepercayaan oleh
pengurus untuk bermain dalam kesebelasan utama pada tiga perlawanan awal. Walaupun
Cleverley seperti yang kita semua tahu merupakan anggota skuad kebangsaan
England, tetapi meletakkan harapan ke atas bahu seorang pemuda berusia 24 tahun
untuk mengemudi jentera tengah kelab sehingga pertengahan Mei tahun hadapan
adalah satu tanggungjawab yang terlalu berat buatnya. Aksi di Anfield
mendedahkan kekurangan sebenar kita, tetapi mujurlah perkara ini berlaku pada
aksi awal liga dan masih belum terlambat untuk diperbetulkan. Kejayaan kelab
menandatangani Marouane Fellaini dari Everton pada saat akhir sebelum jendela
perpindahan pemain ditutup mengubat sedikit kekecewaan saya selepas kekalahan
kepada Liverpool kelmarin. Fellaini antara pemain yang saya nantikan
kehadirannya di Old Trafford walaupun kebanyakkan peminat-peminat United yang
lain sebenarnya lebih mengharapkan agar kelab dapat membawa masuk Luka Modric
atau Mesut Ozil. Kehadiran Fellaini saya yakini mampu memberikan sesuatu yang
berbeza di bahagian tengah pasukan selepas melihat kemampuannya sepanjang lima musim
di Goodison Park. Usia Fellaini hanya setahun lebih tua berbanding Cleverley
tetapi dia jauh lebih berpengalaman jika diukur jumlah caps yang dikumpulnya bersama skuad kebangsaan Belgium dan jumlah
penampilannya bersama Everton sebelum ini. Salah seorang pemain yang saya
mahukan sudah berjaya ditandatangani, jadi sekurang-kurangnya saya bolehlah
melupakan kegagalan kelab membawa masuk nama-nama besar sebelum ini. Fellaini
bukanlah pembelian terdesak selepas kita tewas kepada Liverpool atau disebabkan
kita gagal mendapatkan beberapa bintang ternama sebelum ini. Fellaini juga
bukanlah pilihan terakhir kerana dia memang layak berada dalam barisan pemain The Red Devils kerana bakat, kualiti dan
kemampuan yang dimilikinya. Sir Alex Ferguson pernah berdepan kegagalan dalam
usahanya mendapatkan Fellaini akibat kedegilan Moyes melepaskan pemain itu,
tetapi kini peminat-peminat United sepatutnya gembira melihat kedegilan Moyes
akhirnya berjaya memaksa pihak pengurusan Everton membenarkan pemain itu
menyertai kita. Glory Glory Manchester United!!! – A.J.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan