Tiga perlawanan sudahpun dilangsungkan dalam
saingan liga setakat ini, di mana Manchester United kini mengumpul empat mata
hasil dari satu kemenangan, satu seri dan satu kalah, sekaligus meletakkan
mereka di tangga ketujuh liga. Selepas tewas kepada Liverpool 1 September lalu,
saya tidak sabar menanti perlawanan menentang Crystal Palace hujung minggu ini
di gelanggang sendiri kerana banyak elemen yang bakal ditawarkan dalam
perlawanan keempat liga kali ini. Marouane Fellaini menjadi nama yang paling
disebut-sebut peminat-peminat United
sepanjang dua minggu ini selepas pemain antarabangsa Belgium itu
menandatangani kontrak secara rasmi pada 2 September lalu. Fellaini akhirnya
menawarkan sedikit keresahan majoriti peminat-peminat United selepas kegagalan
kelab menandatangani nama-nama besar sepanjang pasaran perpindahan pemain musim
panas ini. Kehadiran bekas pemain tengah Everton itu di Old Trafford tetap
disambut gembira peminat-peminat United meskipun sehingga kini masih terdapat perbahasan
pro dan kontra yang ditimbulkan kalangan peminat dan penganalisa bolasepak
selepas dia secara rasmi ditandatangani kelab. Fellaini adalah elemen utama
yang dinantikan pada pertembungan United-Palace kerana sepertimana lazimnya,
peminat-peminat dari pasukan manapun sudah tentu begitu teruja menanti aksi
sulung dari seorang pemain yang baru tiba di kelab. Jika Fellaini diturunkan,
apakah agaknya taktikal dan formasi yang bakal digunakan David Moyes bagi
menyesuaikan gaya permainan pemain itu dengan rakan-rakan sepasukan yang lain.
Selain elemen Fellaini, saya juga ternanti-nanti bagaimanakah nasib Shinji
Kagawa dalam perancangan taktikal dan formasi Moyes nanti. Kagawa seperti yang
anda tahu tidak mendapat peluang beraksi pada tiga perlawanan awal United
setakat ini atas alasan kurang cergas, tetapi penampilannya dalam dua
perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Jepun cukup menarik perhatian.
Meskipun tidak mendapat peluang beraksi
bersama kelab setakat ini, Kagawa nampaknya tidak terganggu apabila menampilkan
aksi cemerlang bersama Samurai Blue
ketika mereka mencatat kemenangan ke atas Guatemala dan Ghana. Selepas melihat
kualiti yang ditunjukkan Kagawa dalam dua perlawanan itu, tidak salah rasanya
jika peminat-peminat menuntut agar Moyes meletakkan nama pemain itu dalam
kesebelasan utamanya hujung minggu ini. Lupakan dulu tentang Fellaini, Kagawa
dan pertemuan menentang Palace kerana apa yang ingin kita fokuskan di sini
ialah kemampuan kelab bersaing sepanjang musim ini dengan barisan pemain yang
ada. Walaupun berat hati, kita terpaksa mengakui bahawa kelab gagal sepanjang
jendela perpindahan pemain dibuka berikutan beberapa prospek yang disasarkan
terlepas dari genggaman. Kita tidak tahu di manakah silapnya hinggakan kelab
gagal mendapatkan pemain-pemain kelas dunia (kecuali Fellaini) musim panas ini,
selain kekalutan saat akhir dalam menangani perpindahan Fabio Coentrao dan
Ander Herrera. Kini timbul pertanyaan di kalangan peminat adakah skuad yang
dimiliki Moyes ketika ini cukup kompetitif dan mampu bersaing dengan
pencabar-pencabar lain yang dilihat berbelanja besar bagi meningkatkan kekuatan
skuad masing-masing. Jika dinilai pada tiga perlawanan awal setakat ini, saya
yakin dengan kemampuan skuad yang ada dalam mengharungi musim kompetitif yang
panjang. Kekalahan kepada Liverpool bukan disebabkan prestasi buruk yang
ditunjukkan pemain-pemain, tetapi lebih kepada faktor tuah selepas kita bermain
dengan begitu baik dan menguasai lawan sepanjang 90 minit permainan. Bagi
menilai kemampuan pasukan dalam mengharungi cabaran musim ini terutama selepas
jendela perpindahan ditutup, mari kita lihat kekuatan pemain yang dimiliki
Moyes secara kasar posisi demi posisi.
BELAKANG
Di bahagian paling belakang, kita tidak perlu
meragui tentang keupayaan David de Gea mengawal gawang meskipun di awal
kemunculannya sebagai pengganti Edwin Van der Sar, dia dikritik hebat akibat
kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukannya. Walaupun pada mulanya ada suara-suara
sinis mengatakan bahawa De Gea bakal senasib dengan Massimo Taibi, penjaga gol
muda Sepanyol itu akhirnya bangkit perlahan-lahan dan membuktikan perjudian Sir
Alex Ferguson membawanya dari Atletico Madrid bagi menggantikan 'Si Tangan
Emas' Van Der Sar berbaloi. De Gea berjaya menyesuaikan dirinya dengan corak
permainan bolasepak Inggeris yang lebih mementingkan aspek kekuatan fizikal dan
tidak syak lagi dia antara penjaga gol terbaik di Liga Perdana ketika ini.
Persembahan cemerlangnya mengawal gawang United musim lalu meletakkan De Gea
antara calon yang disenaraikan untuk anugerah Pemain Terbaik Tahunan. Di posisi
back four pula kita nampaknya masih
lagi menyandarkan harapan kepada gandingan musim lalu, cuma Rafael da Silva
tercicir dalam tiga perlawanan awal akibat masalah kecederaan. Rafa adalah
tonggak utama di sebelah kanan pertahanan United dan persembahannya sepanjang
musim lalu membuktikan bahawa dia semakin matang dalam memikul beban sebagai
pewaris posisi yang ditinggalkan Gary Neville. Pada usia 23 tahun, Rafa
nampaknya bakal menguasai posisi bek kanan untuk tempoh yang panjang dan
persembahannya ketika mengekang pergerakan Cristiano Ronaldo dalam saingan Liga
Juara-Juara adalah antara aksi terbaik yang dipamerkannya musim lalu. Saya berharap
Rafa segera sembuh dan kembali menguatkan benteng pertahanan kerana dia adalah
antara nama wajib yang sepatutnya ada dalam kesebelasan utama pasukan. Di
posisi berlawanan, Patrice Evra masih lagi pemain 'bergaya' walaupun sudah
menjangkau usia 32 tahun.
Meskipun permainannya sedikit merosot musim
lalu, Evra masih lagi pemain penting buat kelab musim ini, di mana dalam tiga
perlawanan lalu dia berjaya menjelmakan kembali gaya permainan ketika zaman
kemuncaknya. Evra jarang diberikan peluang rehat ketika kelab di bawah
kendalian Sir Alex dan saya berharap sebagai antara pemain veteran dalam pasukan,
Evra mampu mengekalkan kualiti permainannya selain tidak ditimpa kecederaan
serius kerana dia adalah satu-satunya pilihan utama di posisi bek kiri. Orang
kuat di bahagian pertahanan tengah nampaknya masih lagi menjadi milik Rio
Ferdinand dan Nemanja Vidic biarpun masing-masing sudah melewati usia 30 tahun.
Rio adalah sebahagian dari kekuatan bahagian belakang kelab sepanjang tempoh
sedekad dan meskipun sudah berusia 34 tahun, saya percaya Rio akan tetap
menjadi salah seorang pemain penting dalam perancangan Moyes asalkan dia kekal
cergas dan tidak ditimpa sebarang kecederaan. Kecederaan panjang yang dialami
kapten pasukan, Vidic sepanjang dua musim terakhir agak merisaukan
peminat-peminat. Bagaimanapun dalam tiga perlawanan lalu, Vidic bermain penuh selama
90 minit mengetuai barisan The Red Devils
dengan cukup cemerlang sekaligus menepis keraguan awal tentang tahap kecergasannya.
Chris Smalling, Phil Jones, Alexander Buttner, Fabio da Silva dan Jonny Evans
adalah pilihan lain di bahagian belakang jika Rio, Vida, Rafa dan Evra
mengalami kecederaan atau mengalami penurunan prestasi secara mendadak. Jones
dan Smalling merupakan pemain versatile kerana
kemampuan mereka bermain sebagai pertahanan tengah, bek kiri dan kanan serta
bahagian tengah dan faktor itu sudah tentu satu bonus tambahan buat kelab.
TENGAH
Sejak menyertai United dari FC Porto pada
2007, Anderson hanya bemain penuh 90 minit sebanyak 18 kali. Kita mungkin boleh
meletakkan Ando dalam kategori 'pembelian yang gagal', tetapi keupayaan pemain
dari Brazil itu kekal di Old Trafford selama enam musim memang menakjubkan
saya. Mungkin juga di bawah pengurusan baru, Ando dapat menemui semula potensi
dirinya yang hilang atau Moyes boleh menggilap semula bakat pemain itu untuk
membolehkan beliau meletakkan Ando antara pemain utama musim ini di bahagian
tengah. Jika ada peminat-peminat meletakkan Ando dalam kategori 'pembelian yang
gagal' berbeza pula dengan lagenda hidup United, Ryan Giggs. Pada usia mencecah
40 tahun, musim ini mungkin menjadi musim terakhir Giggs bermain sebelum
mengikut jejak rakan-rakan seangkatannya dengan menggantung but. Giggs adalah
nama besar dalam sejarah kelab namun saya percaya tindakan Moyes menurunkannya
dalam tiga perlawanan awal setakat ini bukan dipengaruhi alasan sentimental,
tetapi lebih kepada apa yang mampu diberikannya kepada pasukan selain
pengalaman luasnya. Pada usia sekarang Giggs mungkin tidak mampu bermain setiap
minggu tetapi kebolehan dan pengalaman yang ada padanya boleh digunakan pada
saat-saat genting. "Wira yang tidak
didendang", itulah ungkapan paling sesuai buat Michael Carrick. Musim
lalu, Carrick muncul pemain tengah paling konsisten buat kelab malah ada yang
melabelkan dirinya sebagai bakat tengah terbaik England selepas Paul Scholes.
Carrick sudah memainkan peranan besar di bahagian tengah kelab sejak berpindah
dari Tottenham Hotspurs tujuh tahun lalu tetapi agak menghairankan apabila
namanya sering tercicir dari kesebelasan utama skuad kebangsaan. Keputusan
terbaru Roy Hodgson tidak menurunkan langsung Carrick ketika mereka mencatat
keputusan seri berdepan Ukraine dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2014
mengundang kritikan bekas pemain antarabangsa Jerman, Dietmar Hamann.
Saya tidak ambil pusing apa yang berlaku
kepada skuad kebangsaan England, cuma saya berharap Carrick akan terus
konsisten dalam menjana bahagian tengah kelab musim ini, kerana tidak syak lagi
bahawa dia adalah nadi utama The Red
Devils di posisi tersebut. Rakan segandingan Carrick, Tom Cleverley pula
nampaknya masih memerlukan waktu untuk membolehkannya muncul watak utama selaku
penjana di bahagian tengah. Saya tidak meragukan bakat yang ada pada Cleverley,
tetapi pada usia 24 tahun, dia nampaknya masih gagal mengekalkan tahap
konsistensi pada permainannya. Kecederaan juga menjadi masalah buat dirinya
terutama dalam tempoh dua musim terakhir namun jika dia kekal cergas dan mampu
mengekalkan prestasi terbaiknya, saya percaya Cleverley bakal menguasai
bahagian tengah untuk kelab dan skuad kebangsaan di masa hadapan. Selain
Fellaini, nama Shinji Kagawa paling disebut-sebut peminat-peminat United
berikutan tindakan Moyes tidak menurunkan pemain anratabangsa Jepun itu dalam
tiga perlawanan awal. Moyes memberikan alasan pemain tengah itu masih belum
cergas sepenuhnya tetapi Kagawa mengejutkan ramai pihak apabila bermain dua
perlawanan antarabangsa untuk skuad kebangsaan dalam tempoh seminggu, malah
menjaringkan gol penyamaan ketika menentang Ghana kelmarin. Di bawah kendalian
Sir Alex, Kagawa sering digunakan disebelah kiri dalam formasi 4-2-3-1. Hatrik
yang dihasilkannya ke gawang Norwich City musim lalu membuktikan kualiti sebenar
pemain itu untuk bersaing merebut tempatnya dalam kesebelasan utama kelab. Jika
itupun masih belum cukup buat Moyes mempertimbangkan kemungkinan untuk beliau
menurunkan Kagawa, persembahan bekas playmaker
Borussia Dortmund itu dalam dua perlawanan terkini bersama skuad kebangsaan
Jepun sepatutnya menjadi rujukan terbaik. Kini saya dan pastinya anda juga
ternanti-nanti apakah Moyes akan meletakkan Kagawa dalam lineup skuadnya ketika berdepan Crystal Palace hujung minggu ini.
Kehadiran Fellaini musim panas ini bakal
memberikan saingan lebih sengit di bahagian tengah terutamanya kepada Cleverley
dan Ando. Fellaini seperti yang kita ketahui merupakan pemain tengah yang bagus
di mana dia bukan sahaja boleh bertindak sebagai pemain tengah menyerang tetapi
juga boleh memainkan peranan di belakang penyerang utama, fungsi yang sering dipikulnya
ketika bersama Everton musim lalu. Fellaini berjaya di Goodison Park dan kini
masanya telah tiba untuk kita melihat adakah dia sesuai dengan corak permainan
United di bawah kendalian Moyes. Di posisi sayap pula kita memiliki nama-nama
seperti Nani, Ashley Young, Antonio Valencia dan terbaharu Wilfried Zaha. Nani
baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun, jadi saya
berharap kontrak baru itu akan menjadikan dia lebih bermotivasi dalam
meningkatkan prestasinya. Selama enam tahun di Old Trafford, tidak keterlaluan
jika saya katakan bahawa Nani masih belum mampu menyakinkan kita bahawa dia
adalah pilihan utama di sebelah sayap kiri atau kanan. Semuanya disebabkan
masalah utama pemain itu sendiri, iaitu gagal bermain secara konsisten selain
masalah kecederaan yang membataskan penampilannya sepanjang musim lalu. Nani
pemain berbakat dan semoga dia dapat membuktikan kepada kita bahawa langkah
pihak pengurusan mengekalkannya sehingga 2018 adalah satu keputusan tepat. Selain
Nani, Young turut menjadi tumpuan ramai berikutan persembahan turun naiknya
sejak ditandatangani dari Aston Villa dua tahun lalu. Sehingga kini, Young saya
kira gagal memberikan sumbangan bermakna kepada kelab meskipun dia adalah
pemain atarabangsa England malah kualitinya ketika bertahan turut dibahaskan
ramai pihak. Saya berharap muka baharu seperti Zaha mampu memberikan cabaran
kepada Young atau Nani dalam perebutan slot di sebelah tepi sekaligus
memberikan pilihan lebih luas buat Moyes di posisi tersebut. Jika diambilkira
persembahan yang dipamerkan Valencia dua musim lalu, dia sepatutnya sudah
menjadi antara key player pasukan
ketika ini. Agak malang persembahan Valencia tidak menentu sepanjang musim
lalu, mungkin juga disebabkan dia dibebani dengan jersi lagenda nombor 7 yang
disarungnya hingga menganggu prestasinya di atas padang. Musim ini Valencia
kembali menyarung jersi nombor 25, dan saya berharap 'beban' yang dipikulnya
sepanjang musim lalu terlerai sekaligus membolehkan dia kembali keprestasi
terbaik seperti yang pernah dipamerkannya dua musim lalu.
HADAPAN
Ini bukanlah permulaan musim baharu yang
bagus buat Wayne Rooney terutamanya selepas tercetusnya berita sensasi bahawa
dia mahu meninggalkan Old Trafford. Rooney hanya diletakkan di bangku simpanan
pada perlawanan pembukaan menentang Swansea City, bermain selama 90 minit
ketika melayan kunjungan Chelsea namun terlepas aksi menentang Liverpool di
Anfield kerana mengalami kecederaan di kepala pada sesi latihan. Apa pun yang
berlaku dan kontroversi yang dicetuskannya, tidak ragu-ragu untuk saya katakan
bahawa Rooney masih lagi antara tonggak utama pasukan. Persembahannya ketika
menentang Chelsea sudah cukup membuktikan komitmen pemain itu bersama kelab dan
saya berharap kemelut yang berlaku sebelum ini segera diselesaikan dan dia
menandatangani kontrak baru. Hanya waktu akan menentukan adakah Rooney akan
terus komited bersama kelab atau tidak. Berbeza dengan Rooney, pemain yang
sering menjadi pilihan Sir Alex di penghujung musim lalu iaitu Danny Welbeck
pula memulakan musim ini dengan langkah kanan apabila dia menjaringkan dua gol
pada pertemuan pertama liga menentang Swansea City. Di pentas antarabangsa,
Welbeck juga membuktikan ketajamannya apabila menjaringkan dua gol ketika
berdepan Moldova dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2014, 6 September lalu.
Welbeck memiliki semua ciri-ciri yang diperlukan untuk muncul penyerang
digeruni suatu hari nanti, cuma apa yang diperlukannya sekarang ialah lebih
tenang dalam menyudahkan peluang di hadapan gawang lawan. Jika mahu
membandingkan nasib Javier Hernandez dengan Welbeck musim lalu, jelaslah bahawa
Hernandez kurang bernasib baik berbanding rakannya di bahagian serangan itu. Meskipun menyumbang 9 gol musim lalu, Hernandez hanya digunakan sebanyak 9 kali sebagai starter dari keseluruhan 22 penampilan
liga berbanding Welbeck (13 kali sebagai starter).
Hernandez dibandingkan dengan lagenda
sebelumnya, Ole Gunnar Solskjaer bukan disebabkan mereka memiliki persamaan
iaitu sering bermula dari bangku simpanan tetapi juga kerana ketajaman naluri
pembunuh mereka ketika di hadapan gawang lawan. Hernandez mungkin berada di
belakang Welbeck ketika di bawah kendalian Sir Alex, tetapi saya tidak pernah
ragu-ragu untuk meletakkannya sebagai finisher
hebat berbanding penyerang England itu terutama jika dinilai rekod jaringannya
berbanding Welbeck musim lalu. Akhir sekali fokus kita terarah kepada penjaring
terbanyak dua musim berturut-turut, siapa lagi kalau bukan Robin Van Persie.
Musim lalu, ramai yang mengatakan bahawa faktor Van Persie menjadi penyumbang
besar atas kejayaan kelab menjulang trofi liga buat kali ke-20. Apa yang boleh
dikatakan lagi tentang Van Persie, selain kemampuannya menjaringkan gol dari
pelbagai sudut, cekap menghidu peluang, sering berada di tempat dan masa yang
tepat untuk menyudahkan hantaran rakan dan ancaman buat mana-mana penjaga gol
apabila dia menggunakan kaki kirinya ketika mengambil sepakan percuma. Van
Persie bukan hanya setakat mesin gol tetapi juga pengumpan yang bagus apabila statistik
musim lalu menunjukkan dia menghasilkan 8 assist,
hanya kurang satu dari sumbangan yang dilakukan Steven Gerrard untuk Liverpool.
Selepas terpaksa menanti selama 6 tahun sejak Ruud Van Nistelrooy meninggalkan
Old Trafford, kita akhirnya dapat menyaksikan kembali seorang finisher hebat menyarung jersi kelab dan apa yang menariknya,
kedua-dua individu hebat ini berasal dari negara yang sama, iaitu Belanda.
Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan