16 Januari 2014

MENANTI PEWARIS NOMBOR 7 SETERUSNYA


Johnny Berry, George Best, Steve Coppel, Bryan Robson, Eric Cantona, David Beckham, Cristiano Ronaldo, Michael Owen dan Antonio Valencia adalah pemain dari era berbeza tetapi mereka memilki satu persamaan iaitu pernah menyarung jersi lagenda dan paling terkenal di Manchester United…nombor 7. Mungkin disebabkan tidak sanggup memikul beban besar selepas diberikan kepercayaan oleh Sir Alex Ferguson untuk menyarung jersi keramat tersebut musim lalu, Valencia kembali menggunakan nombor kegemarannya (25) musim ini. Valencia pemain terakhir menggunakan jersi nombor 7 dan musim ini tiada mana-mana pemain diberi kepercayaan oleh David Moyes untuk mewarisi jersi keramat tersebut. Saya sukakan Valencia kerana kerja kerasnya di atas padang, pantas dan tidak mudah mengalah tetapi kualiti itu sebenarnya masih tidak cukup untuk dia diberikan penghormatan sebagai pewaris jersi nombor 7 dari lagenda-lagenda sebelumnya. Begitu juga Owen, di mana kehadirannya di Old Trafford  pada 2009 menyebabkan saya begitu teruja. Pada usia 30 tahun dan dengan masalah kecederaan lutut yang sering membelenggunya, Owen ketika itu saya anggap sudah berada di penghujung karier tetapi kehadirannya empat tahun lalu tetap disambut gembira majoriti penyokong-penyokong United. Saya pada mulanya berharap kehadiran Owen juga mampu memberikan impak kepada barisan serangan United sebagaimana fenomena yang pernah dicetuskan Henrik Larsson pada 2007. Kecederaan akhirnya membataskan penampilan Owen dan sepanjang tiga musim di Old Trafford dia juga lebih banyak digunakan sebagai supersub sebelum menyertai Stoke City pada 2012. Owen dan Valencia adalah dua penyarung terakhir jersi nombor 7 namun mereka berdua juga bolehlah dianggap gagal meneruskan legasi lagenda-lagenda yang pernah menggunakan jersi tersebut sebelumnya.

Selepas Valencia kini saya tertunggu-tunggu siapakah pemain yang layak untuk menyarung jersi keramat tersebut. Prestasi yang ditunjukkan Adnan Januzaj menjadikan dia sebagai pilihan paling hangat untuk diberikan tanggungjawab menyarung jersi nombor 7. Penampilan Januzaj mengingatkan kita kepada Cristiano Ronaldo ketika detik awal kariernya di Old Trafford, jadi tidak hairanlah mengapa perbandingan mula dibuat antara kedua-dua pemain ini. Pencapaian Januzaj masih terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan pemenang Balon d’Or 2013 itu tetapi dia (Januzaj) memiliki segala kriteria dan potensi untuk menjadi pewaris seterusnya jersi nombor 7 United. Dengan usia yang baru mencecah 18 tahun, perjalanan Januzaj dalam dunia bolasepak masih panjang dan jika dia mahu mengikuti jejak lagenda-lagenda nombor 7 United terdahulu banyak 'kerja' yang perlu dilakukannya. Januzaj memiliki bakat semulajadi hebat untuk muncul pemain ternama dunia suatu hari nanti tetapi dia perlu menajamkan lagi skill permainannya selain meningkatkan kekuatan fizikal dalam berdepan cabaran lasak bolasepak England. Jika aspek ini berjaya diperbaikinya, percayalah dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi nama Adnan Januzaj akan muncul pemain paling digeruni dalam dunia bolasepak khasnya di Liga Perdana Inggeris. Kemahirannya di atas padang sering dibandingkan dengan Ronaldo, 'kesombongannya' mengingatkan saya kepada Cantona manakala hantaran-hantaran lintangnya mengimbas kembali memori sepanjang 10 tahun Beckham di Old Trafford. Jadi tidak hairanlah mengapa penyokong-penyokong United begitu teruja menanti aksi remaja ini setiap hujung minggu. Selepas sekian lama sejak Ronaldo melakukan debut untuk United 11 tahun lalu, pemain dengan bakat hebat seperti Januzaj akhirnya muncul sebagai pengganti untuk sekali lagi memberikan keterujaan yang sama kepada saya.

Apa yang menyebabkan kelibat Januzaj begitu dinantikan setiap minggu ialah kerana kemampuannya meningkatkan tahap permainan dari satu perlawanan ke satu perlawanan hingga menjadikan dia pemain United yang paling sukar diramal. United sendiri sebenarnya memiliki beberapa pemain yang mempunyai kualiti untuk menyarung jersi nombor 7, namun saya tidak pasti adakah Michael Carrick atau Wayne Rooney umpamanya sanggup menanggalkan jersi nombor 16 dan 10 kegemaran mereka untuk menjadi pewaris seterusnya jersi nombor 7? Saya rasa tidak.  Sebelas tahun lalu, Ronaldo pada mulanya memilih nombor 28 (nombor yang digunakannya ketika bersama Sporting Lisbon), tetapi Sir Alex sebaliknya mahukan dia mewarisi nombor 7 dari Beckham. Ketika ramai pihak menjangkakan pemain semuda Ronaldo bakal berdepan tekanan kerana nombor 7 yang terdapat di belakang jersinya, pemenang Balon d’Or sebanyak dua kali itu sebaliknya mempamerkan aksi mengagumkan dari perlawanan pertamanya (menentang Bolton Wanderers) hinggalah yang terakhir di pentas final Liga Juara-Juara 2009 menentang Barca. Saya percaya jika Moyes mengambil keputusan menyerahkan jersi nombor 7 kepada Januzaj nanti, pemain muda itu sudah bersedia memikul tanggungjawab besar yang diletakkan di atas bahunya. Valencia mengalah kerana merasakan nombor 7 terlalu besar buat dirinya hingga menjejaskan prestasinya di atas padang, tetapi jika anda mahu menjadi pemain 'besar' suatu hari nanti, anda juga perlu memiliki jiwa yang besar. Lagenda seperti Best, Robson, Cantona, Beckham dan Ronaldo bukan sahaja dianugerahkan dengan bakat bolasepak yang hebat tetapi turut memiliki jiwa yang besar. Saya percaya Januzaj juga memiliki segala kriteria yang diperlukan untuk diangkat sebagai lagenda kelab suatu hari nanti.  Apa yang perlu dilakukan Moyes ialah melindungi bakat hebat ini sebaik mungkin sebagaimana yang dilakukan Sir Alex terhadap Ronaldo dahulu. Siapakah pewaris jersi nombor 7 seterusnya? Calon paling hampir sudah tentu Januzaj tetapi anda mungkin punya pilihan sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

13 Januari 2014

BUKAN KIRI ATAU KANAN...TETAPI DI TENGAH



David Moyes memuji penampilan Adnan Januzaj sebaik melihat barisan pemainnya kembali meraih kemenangan selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut. Kemenangan 2-0 yang dicatat ke atas Swansea City semalam memastikan United menebus semula kekalahan di tangan kelab Wales itu dalam saingan pusingan ketiga Piala FA, 2 Januari lalu. Jika Moyes memuji penampilan Januzaj, saya pula lebih tertarik dengan sumbangan Shinji Kagawa terutamanya di babak kedua perlawanan. Babak pertama berlangsung sedikit hambar tetapi perubahan besar berlaku di babak kedua, terima kasih atas pertukaran taktikal yang dilakukan Moyes dengan memindahkan Januzaj ke sebelah kiri manakala Kagawa pula bertindak di belakang Danny Welbeck selaku penyerang utama. Ketika The Swans lebih gemar bermain secara possession football di babak pertama hingga menyukarkan United mengatur gerakan, perubahan taktikal di babak kedua penting bagi memastikan lawan pulang dengan tangan kosong pada kunjungan kedua mereka di Old Trafford dalam tempoh enam hari. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Kagawa antara pemain yang berjaya menghidupkan permainan United di babak kedua menerusi visi permainan dan gerakan-gerakan yang diilhamkannya. Apa yang dipamerkan Kagawa (sepanjang babak kedua) semalam mengingatkan saya kembali kepada aksinya ketika bersama Borussia Dortmund dulu. Itulah Kagawa yang sebenarnya, pemain yang pernah diangkat sebagai antara perancang terbaik di Bundesliga. Meskipun dia dikenali sebagai pemain serba boleh dengan kemampuan bertindak di sebelah kiri atau kanan, bukan rahsia lagi bahawa posisi paling ideal buat bintang antarabangsa Jepun itu ialah bergerak di belakang penyerang atau lebih tepatnya sebagai playmaker. Ketiadaan Wayne Rooney yang masih dibelenggu kecederaan satu rahmat buat Kagawa sekaligus membuka peluang buatnya memainkan peranan di posisi kegemarannya itu sepanjang 45 minit babak kedua berlangsung.

Kagawa tampak begitu selesa menggerakkan jentera serangan United menerusi bahagian tengah berbanding jika dia diletakkan di sebelah kiri atau kanan. Saya tidak nafikan bersama skuad kebangsaan Jepun, Kagawa sering diletakkan di sebelah kiri dan mampu memainkan peranannya dengan berkesan di posisi tersebut. Persoalannya mengapa prestasi yang sama gagal diterjemahkan Kagawa ketika mewakili kelab jika dia diletakkan di posisi sayap kiri atau kanan? Jawapannya tempo pantas permainan di Liga Perdana berbanding pentas antarabangsa memerlukan seorang pemain sayap yang mampu bergerak pantas sama ada dalam situasi offensive ataupun defensive. Jadi pemain seperti Kagawa bukanlah pilihan yang sesuai untuk diletakkan di kedua-dua bahagian sayap ketika dia kembali menyarung jersi kelab. Sebaik sahaja Moyes melakukan perubahan taktikal di babak kedua menentang Swansea semalam, Kagawa menggunakan sepenuhnya kesempatan itu untuk menikmati aksi di posisi kegemarannya itu. Sepanjang 45 minit, Kagawa terlibat dengan banyak gerakan-gerakan menyerang, menggunakan sepenuh kreativitinya ketika menyusun gerakan, sering membuka peluang buat Welbeck dan bijak memecah benteng pertahanan lawan. Agak malang Kagawa gagal menyempurnakan peluang terhidang di penghujung permainan selepas menerima umpanan Rafael da Silva menerusi satu serang balas pantas, jika tidak sudah tentu itu akan melengkapkan lagi malam cemerlang buatnya. Saya tidak pasti bagaimanakah nasib Kagawa jika Rooney kembali semula dalam kesebelasan utama United. Selepas cemerlang bertindak sebagai playmaker sepanjang 45 minit permainan semalam, adakah Moyes akan terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk memikul tugas sebagai pemain 'nombor 10' pada perlawanan-perlawanan selepas ini? Persembahan Kagawa semalam sepatutnya membuka mata Moyes bahawa posisi paling ideal buatnya ialah di belakang penyerang, bukan di sebelah kiri atau kanan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J.

10 Januari 2014

PRO ATAU ANTI? DI MANAKAH ANDA BERADA?


Sebaik sahaja Manchester United tewas 1-2 di Stadium of Light kelmarin (kekalahan ketiga mereka dalam tempoh enam hari), sepantas kilat kempen “Pecat Moyes” dilancarkan pengkritik-pengkritiknya. Bermula di England, kempen di laman sosial itu tersebar dengan begitu pantas ke seluruh dunia dalam tempoh hanya 24 jam, begitulah hebatnya kuasa teknologi maklumat. Tidak sukar untuk meneka mengapa kelompok penyokong-penyokong ini begitu marah selepas mereka melihat kedudukan kelab yang terumbang-ambing di carta liga, tersingkir pada saingan Piala FA dan tewas kepada pasukan tercorot dalam saingan Piala Liga. Memang benar masih ada peluang untuk melangkah ke pentas akhir kerana perlawanan kedua (separuh akhir) Piala Liga akan berlangsung di Old Trafford 23 Januari ini tetapi penyokong-penyokong nampaknya tidak dapat menerima hakikat bahawa kelab tercorot pun sudah mampu menewaskan United. Menambah luka yang ada, Gus Poyet (pengurus Sunderland) selepas perlawanan begitu lantang mengatakan bahawa jurang antara pasukannya dengan United semakin mengecil malah yakin mereka mampu melakukan kejutan di Old Trafford pada perlawanan kedua nanti. Saya hanya mampu tersenyum mendengar komen Poyet, kerana dalam situasi sekarang kita tidak boleh menyalahkan beliau dan mengakui  bahawa United sendiri sudah tidak segarang seperti musim lalu atau musim-musim sebelumnya. Siapakah yang harus dipersalahkan atas prestasi lembab United ketika ini? Kumpulan Anti Moyes sudah tentu meletakkan seluruh kesalahan di bahu beliau, jadi tidak hairanlah mengapa mereka mahu warga Scotland itu segera dipecat. Nampaknya mereka (kumpulan Anti Moyes) sudah bosan dengan kekalahan demi kekalahan yang dialami kelab. Mereka juga tidak mahu lagi mendengar alasan demi alasan yang keluar dari mulut pengendali itu setiap kali anak-anak buahnya menamatkan perlawanan dengan tangan kosong. Mereka seakan sudah jelak mendengar bahawa mereka perlu bersabar kerana kelab sedang dalam proses peralihan selepas berakhirnya era 27 tahun Sir Alex Ferguson.

Laman sosial menjadi pentas buat kumpulan Anti Moyes melepaskan kemarahan mereka manakala kumpulan Pro Moyes pula ada hujah mereka sendiri mengapa pengendali itu perlu diberikan masa dan peluang. Jika sepuluh tahun dahulu, sebarang perdebatan hanya rancak dilangsungkan di kedai kopi, kini sempadan tidak lagi terbatas. Kempen yang dilancarkan  (sama ada Pro atau Anti Moyes) cepat merebak ke seluruh dunia dan negara kita tidak terkecuali menerima tempiasnya. Maka 'bertempurlah' dua kumpulan ini mempertahankan pendapat masing-masing di pentas laman sosial. Memang benar ada beberapa kesilapan yang dilakukan Moyes pada peringkat awal kariernya di Old Trafford (saya sudah sebutkan dalam artikel-artikel sebelumnya) dan saya faham mengapa kebanyakkan penyokong-penyokong begitu kecewa dengan prestasi hambar United ketika ini. Selepas bertahun-tahun diiktiraf sebagai antara kelab terbaik di dunia, kejatuhan mendadak seperti ini sudah tentu sukar diterima kebanyakkan penyokong-penyokong. Bukan mahu mengungkit sejarah lama, tetapi sejarah juga adakalanya perlu disingkap kembali sebagai pelajaran dan juga pengajaran. Selepas Sir Matt Busby mengemudi United meraih kejuaraan liga 46 tahun yang lalu dan kemudiannya bersara setahun kemudian, berapa lama masa yang diambil kelab untuk kembali menjulang trofi liga? Dalam tempoh tersebut  juga (1967 hingga 1993), United hanya mampu memenangi lima kejuaraan (Piala FA 1977, 1983, 1985 dan 1990) serta Piala Liga (1992). Situasi yang dialami Moyes ketika ini sebenarnya hampir sama dengan apa yang dilalui Wilf McGuiness ketika beliau dilantik menggantikan tempat Sir Matt 44 tahun yang lalu. McGuiness boleh saya katakan mewarisi sebilangan besar pemain hebat dari Sir Matt dengan adanya nama-nama seperti Tony Dunne, Nobby Stiles, Alex Stepney, Bobby Charlton, Dennis Law dan George Best.

United di bawah kendalian McGuiness sekadar menamatkan saingan liga di tangga kelapan musim (1969-70) hingga memaksa Sir Matt kembali dari persaraan musim berikutnya. Kehadiran semula Sir Matt tetap gagal menyelamatkan United dari terus menuju zaman suram apabila kelab sekali lagi menamatkan saingan liga di tangga kelapan hinggalah akhirnya terjerumus ke Divisyen 2 pada 1974. Saya tidak nafikan persaraan Sir Alex meninggalkan kesan psikologi yang besar kepada bekas pemain-pemainnya jadi ada kemungkinan faktor itu menyumbang kepada kemerosotan United. Hampir sebahagian besar pemain United sudah bersama Sir Alex selama sepuluh tahun atau lebih, jadi bukan mudah buat pemain-pemain ini menyesuaikan diri dengan corak latihan dan taktikal yang digunakan pengurus baru. Pencapaian gemilang yang dilakar Sir Matt dan Sir Alex sudah tentu menyebabkan mana-mana pengganti mereka berdepan kesukaran serta tekanan dan itulah yang dihadapi McGuiness, Frank O’Farrell, Tommy Docherty, Dave Sexton, Ron Atkinson dan sekarang Moyes pula. Saya setuju andai anda mengatakan bahawa Moyes sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah kerana beliau mewarisi skuad juara dari Sir Alex tetapi dalam masa yang sama juga kita perlu bersikap adil dengan mengakui bahawa ada pemain-pemain senior yang sudah berada di penghujung karier. Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Patrice Evra antara yang saya maksudkan manakala pemain-pemain muda yang lain seperti Danny Welbeck, Adnan Januzaj, David de Gea, Phil Jones, Rafael da Silva, Tom Cleverley dan Chris Smalling adalah tonggak masa depan kelab. Mungkin ketika ini hanya Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Michael Carrick yang betul-betul boleh dikategorikan sebagai pemain kelas dunia dalam skuad Moyes sementara Antonio Valencia, Nani, Anderson dan Ashley Young sering berdepan masalah prestasi tidak konsisten.

Dengan segala macam masalah yang dihadapi Moyes bermula dari krisis kecederaan key playernya, kekosongan yang ditinggalkan Paul Scholes masih belum terisi serta penurunan prestasi beberapa pemain senior, beliau sepatutnya meratapi kegagalannya mendapatkan nama-nama besar sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka. Tambah memburukkan keadaan, Marouane Fellaini masih belum mampu menyesuaikan diri dengan kelab baru meskipun dia pernah bekerjasama dengan Moyes selama lima tahun di Goodison Park. Selaku pengendali, Moyes memang perlu bertanggungjawab atas prestasi turun naik kelab ketika ini namun mencaci dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap beliau di laman sosial bukanlah tindakan yang bijak dan tidak akan menterbalikkan semula keputusan perlawanan yang lalu. Rujuk semula komentar Peter Schmeichel di Dailymail ketika beliau ditanya tentang prestasi tidak bermaya bekas kelab yang pernah diwakilinya selama lapan tahun itu. “Untuk menjadi pemain Manchester United, prestasi anda perlu berada di level tertinggi, mental perlu kuat dan harus bangga sebagai pemain Manchester United. Saya lihat ada lima atau enam pemain yang kurang serius dan kami tidak pernah mempunyai pemain yang tidak serius”, kata Schmeichel. Benarkah dakwaan Schmeichel? "Every single one of us stand by David Moyes", itulah rangkap nyanyian (chant) penyokong-penyokong United di Stadium of Light tanda mereka masih teguh menyokong Moyes dari belakang. Saya akui bahawa suara mereka tidak mewakili berjuta-juta lagi penyokong-penyokong United di luar sana tetapi dalam keadaan sukar seperti sekarang, meletakkan tekanan berlebihan kepada pengurus bukanlah satu tindakan bijak. Semasa pra musim, Moyes begitu yakin dengan kekuatan skuad yang dimilikinya tetapi selepas melihat pencabar-pencabar lain jauh di hadapan, beliau perlu merenung semula kata-kata yang dilemparkannya sebelum ini. Sekali lagi saya sebutkan bahawa kegagalan beliau menandatangani pemain kelas dunia sepanjang musim panas lalu adalah kesilapan paling besar yang dilakukan beliau di peringkat awal kariernya sebagai pengurus United. Anda boleh mengkritik tetapi bukan mencaci, jadi dalam kumpulan manakah anda berada? Anti Moyes atau Pro Moyes? Tentang nasib beliau, biarkan sahaja pihak pengurusan kelab menentukannya kerana mereka lebih arif. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

06 Januari 2014

KESABARAN GLAZER SEDANG DIUJI?


Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Old Trafford kini bukan lagi “Pentas Impian” buat barisan The Red Devils selepas Swansea City muncul pasukan kelima mengaibkan mereka di gelanggang keramat itu musim ini. “Theatre of Dreams” yang dahulunya pernah menyebabkan lawan gerun setiap kali berkunjung ke sini kini bukan lagi mimpi buruk buat pasukan pelawat tetapi sebaliknya bertukar kepada 'lubuk' untuk lawan meraih kemenangan. Dalam artikel sebelum ini, saya ada menyebut bahawa kita sepatutnya sudah boleh melupakan sebarang impian untuk menyaksikan kelab mempertahankan kejuaraan Liga Perdana berikutan prestasi turun naik yang dipamerkan anak-anak buah David Moyes dalam saingan liga, jadi kejohanan kalah mati seperti Piala Liga dan Piala FA adalah peluang terbaik untuk menjulang trofi domestik musim ini. Bagaimanapun malangnya, satu prospek kejuaraan sudahpun terlepas dari buruan berikutan kekalahan 1-2 kepada Swansea City di pusingan ketiga Piala FA awal pagi tadi. Sepertimana anda, saya juga kecewa selepas menyaksikan kelab tersingkir dari saingan Piala FA kerana pada awalnya saya berharap barisan The Red Devils menggunakan perlawanan ini untuk bangkit kembali dari kekalahan kepada Spurs Khamis lalu. Dua kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri dalam tempoh tiga hari bukanlah perkara yang bagus untuk menghadapi permulaan tahun baru. Sudah tentu juga ini bukanlah situasi yang kita bayangkan sepanjang tempoh enam bulan sejak bekas pengendali Everton itu mewarisi jawatan yang ditinggalkan oleh Sir Aex Ferguson. Selepas Everton, Newcastle dan Tottenham melakar sejarah mereka apabila mencatatkan kemenangan pertama di Old Trafford sejak sekian lama, kini tiba pula giliran The Swans. Tidak sukar untuk membayangkan mengapa Michael Laudrup begitu gembira sebaik berakhirnya perlawanan awal pagi tadi kerana barisan bimbingannya bukan sahaja berjaya merebut slot ke pusingan keempat Piala FA tetapi ini merupakan kemenangan pertama The Swans ke atas United di Old Trafford dalam tempoh 83 tahun.

Old Trafford sama seperti Santiago Bernabeu dan Nou Camp di mana ia merupakan gelanggang kebanggaan buat kelab besar yang memiliki sejarah serta tradisi gemilang, jadi menang di sini (Old Trafford) sudah tentu satu kejayaan manis buat mana-mana pasukan pelawat. Jika Real dan Barca sukar ditewaskan ketika beraksi di gelanggang sendiri, lain pula halnya dengan United di bawah kendalian Moyes musim ini. Moyes sekali lagi menyalahkan tuah yang tidak menyebelahi pasukannya kerana gagal layak ke pusingan keempat (Piala FA) tambahan pula apabila melihat Fabio da Silva dilayangkan kad merah selepas hanya empat minit masuk menggantikan Rio Ferdinand. Tidak adil juga untuk meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu Moyes apatah lagi beliau gagal menurunkan skuad terbaiknya berikutan masalah kecederaan yang melanda Robin Van Persie, Wayne Rooney dan Michael Carrick selain empat lagi pemain regular. 'Kekosongan' di bahagian tengah sekali lagi disebut sebagai punca utama tumbangnya United awal pagi tadi, tetapi Moyes tidak boleh berterusan menggunakan alasan 'tiada tuah' setiap kali pasukannya berdepan kekalahan. Perlu diakui bahawa persembahan keseluruhan barisan bimbingannya setakat ini tidak langsung menggambarkan bahawa inilah barisan yang sama menjulang kejuaraan liga musim lalu dengan kelebihan 11 mata. Ketepikan dahulu alasan bahawa United sedang mengharungi tempoh peralihan di bawah 'regim' Moyes kerana persembahan yang dipamerkan pemain-pemainnya setakat ini langsung tidak menggambarkan bahawa mereka sedang menyarung jersi Manchester United. Setiap musim bayangan sebenar kelab mana bakal muncul juara liga biasanya dapat dilihat pada bulan Januari dan dengan kedudukan sekarang apakah tepat ramalan beberapa pemerhati bolasepak bahawa United akan menamatkan saingan musim ini di tangga ketujuh?

Sebolehnya saya berharap agar ramalan ini akan tersasar tetapi melihat kepada persembahan konsisten yang dipamerkan pesaing-pesaing lain seperti Arsenal, Man City, Liverpool, Chelsea, Tottenham dan Everton, misi menghuni kelompok empat terbaik sukar digapai jika diambilkira prestasi terkini United. Satu-satunya harapan saya ialah semoga United terus mempamerkan prestasi terpuji di pentas Liga Juara-Juara selepas mereka begitu cemerlang menjuarai peringkat kumpulan dengan rekod tanpa kalah. Bukan mahu memperkecilkan keupayaan Olympiakos, tetapi peluang diundi bertemu pasukan bukan pilihan sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk menempah tiket ke suku akhir. Masih belum terlewat untuk Moyes menyelamatkan musim pertamanya di Old Trafford kerana beliau masih ada kejuaraan yang realistik untuk dimenangi, iaitu Piala Liga. Tolak ketepi prestij trofi ini jika mahu dibandingkan dengan kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA kerana Piala Liga perlu dimenangi Moyes bagi meredakan beban tekanan yang dipikulnya. Awal pagi Rabu nanti, Moyes berpeluang memulihkan sedikit kredibiliti beliau yang tercalar apabila mengetuai The Red Devils ke Stadium of Light untuk berdepan Sunderland dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga. Empat hari kemudian, United beroleh kesempatan untuk membalas dendam kekalahan mereka di pentas Piala FA kepada Swansea apabila kedua-dua pasukan bakal bertembung sekali lagi di Old Trafford (kali ini dalam saingan liga pula). Dalam tempoh beberapa hari ini, misi utama yang perlu dilaksanakan Moyes dan barisan pemainnya ialah mencipta keputusan baik pada dua perlawanan menentang Sunderland dan Swansea. Jika sebaliknya berlaku (keputusan buruk terus dicatat United), saya percaya Moyes sebenarnya sedang menguji kesabaran keluarga Glazer. Setakat ini Moyes beruntung kerana masih ramai penyokong-penyokong teguh di belakangnya tetapi jika keputusan-keputusan perlawanan terus tidak menyebelahi United, Glazer selaku pemilik kelab sudah tentu terpaksa membuat keputusannya sendiri. Penyokong-penyokong nampaknya masih boleh bersabar berdepan situasi ini, tetapi persoalannya sekarang bolehkah keluarga Glazer melakukan perkara yang sama? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

05 Januari 2014

JANUARI...PENENTU HALATUJU UNITED?


“Tidak Bernasib Baik”, mungkin itulah ayat paling lunak untuk mententeramkan hati selepas melihat Tottenham Hotspurs muncul pasukan keempat menewaskan Manchester United di Old Trafford musim ini. Ketika empat kelab teratas mencatatkan kemenangan dalam perlawanan masing-masing, United sebaliknya memilih jalan sukar apabila tewas buat kali keenam sekaligus semakin jauh ditinggalkan Arsenal selaku pendahulu liga. Menguasai 62% perlawanan tidak menjamin tiga mata berada dalam genggaman kerana sedikit kealpaan ketika rancak menyerang dan tiada tuah dalam menyudah peluang terhidang menyebabkan kita terpaksa berputih mata sekali lagi. Memang benar, beberapa keputusan pengadil perlawanan boleh dipertikaikan tetapi pengurus dan barisan pemain-pemain perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas sebarang keputusan negatif yang diraih mereka dalam sesuatu perlawanan. Selepas dihidangkan dengan keputusan baik dalam enam perlawanan terakhir, Spurs menyebabkan kita kembali berpijak di bumi nyata sekaligus menyedarkan kita bahawa barisan kendalian Moyes bakal berdepan jalan lebih berliku pada baki saingan selepas ini. Januari akan menjadi bulan penting buat survival perjuangan The Red Devils kerana ada beberapa perlawanan penting yang perlu mereka harungi sepanjang bulan ini. Bermula dengan aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Swansea City hari ini, dua hari kemudian United akan berkunjung pula ke Stadium of Light bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga menentang Sunderland.

Marco Reus
Aksi liga menentang Swansea City pada hujung minggu hadapan (12 Januari) wajib digunakan sepenuhnya untuk kembali meraih kemenangan sebelum berdepan ujian lebih getir di Stamford Bridge seminggu selepas itu. Januari juga bakal menyaksikan jendela perpindahan pemain kembali dibuka namun saya tidak mahu terlalu menaruh harapan untuk melihat Marco Reus, Koke atau Ander Herrera menjejakkan kakinya ke Old Trafford seperti yang digembar-gemburkan. Selepas menyaksikan prestasi kurang konsisten yang dipamerkan The Red Devils setakat ini, ketibaan satu atau dua pemain baharu perlu untuk menambah apa yang kurang dalam pasukan. Bagaimanapun pasaran perpindahan musim panas lalu sepatutnya sudah mengajar kita bahawa spekulasi-spekulasi yang dimainkan cuma enak untuk dendangan telinga dan menyedapkan hati, tidak lebih dari itu. Anda boleh senaraikan seberapa banyak pemain yang akan dibeli Moyes Januari ini, tetapi saya lebih gemar melihat beliau menggunakan sepenuhnya aset yang ada bagi menghadapi baki saingan musim ini. Jika bahagian tengah kurang menyengat, panggil semula Nick Powell pulang ke Old Trafford daripada beliau membelanjakan wang mendapatkan seorang lagi pemain dari Everton (Ross Barkley). Sir Alex Ferguson jarang terlibat dalam pasaran perpindahan pemain bulan Januari kerana beliau tahu tidak banyak impak yang mampu dilakukan muka-muka baharu ketika saingan kompetitif sudah memasuki separuh musim. Dalam tempoh tujuh tahun, hanya sekali Sir Alex membawa masuk pemain baharu di pertengahan musim iaitu pada 2006 ketika beliau menandatangani Patrice Evra (dari AS Monaco) dan Nemanja Vidic (dari Spartak Moscow).

Musim lalu, Sir Alex menang dalam perebutan mendapatkan Wilfired Zaha (pada bulan Januari) tetapi membiarkan pemain itu menghabiskan musim terakhirnya bersama Crystal Palace di Liga Kejuaraan. Walau bagaimanapun jika Moyes benar-benar serius mahu memperkuatkan pasukan bagi menghadapi baki musim ini, keutamaan yang perlu beliau letakkan di tempat teratas ialah mendapatkan seorang pemain tengah, pemain sayap dan juga bek tengah, tiga posisi yang sering diperdebatkan sebagai titik paling lemah dalam skuad beliau. Tiga pemain baharu ditandatangani sekaligus? Kedengarannya seperti agak melampau tetapi itulah realiti sebenarnya jika kita mahu melihat United kembali digeruni lawan. Dengan beberapa pemain utama masih berada di bilik rawatan, Moyes memiliki skuad yang tampak 'usang' dan perlu diperbaiki, jadi sudah tentu penyokong-penyokong berharap agar beliau terlibat secara serius sepanjang jendela perpindahan pemain musim sejuk dibuka. Sambil itu kita juga berharap agar key player seperti Rafael, Phil Jones, Robin Van Persie, Marouane Fellaini dan Wayne Rooney segera sembuh kerana kelab tidak mampu kehilangan mereka untuk tempoh lebih lama. Dalam keadaan sekarang kelab tidak boleh kehilangan khidmat pemain-pemain penting ini, dan Spurs sudah membuktikan bagaimana tanpa mereka (kecuali Rooney) United mampu dikalahkan biarpun The Red Devils menguasai hampir keseluruhan perlawanan. Kekalahan kepada Spurs kelmarin menguatkan lagi andaian saya bahawa kita sepatutnya sudah boleh melupakan sebarang impian untuk mempertahankan trofi Liga Perdana jika mengambilkira kedudukan (dalam carta liga) dan prestasi kelab ketika ini.

Bagaimanapun saya masih menaruh harapan kelab mampu menjulang sekurang-kurangnya satu trofi di penghujung musim kerana kita masih berada dalam saingan pada tiga lagi kejohanan (Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA). Paling hampir digapai sudah tentu Piala Liga di mana ketika ini United sudahpun berada di pentas separuh akhir, manakala di pentas Liga Juara-Juara pula kelab berpeluang cerah melangkah ke suku akhir selepas diundi berdepan Olympiakos di pusingan kalah mati 16 pasukan. Selepas tamat perlawanan menentang Spurs, Moyes mengatakan bahawa beliau hanya akan mendapatkan pemain baharu jika perlu. Namun selepas melihat kedudukan kelab dalam saingan liga dan panjangnya senarai kecederaan yang ada ditangan beliau, kebanyakkan dari kita sudah tentu berharap agar usaha mendapatkan pemain baharu menjadi agenda utama beliau sepanjang Januari ini. Jika berjaya melangkah ke pentas akhir Piala Liga, layak ke pusingan keempat Piala FA dan berada di kelompok empat teratas carta liga, saya anggap itu satu pencapaian bagus buat Moyes dan pemain-pemainnya sepanjang Januari ini. Ringkasnya, bulan Januari akan menjadi tempoh paling baik untuk kita menilai halatuju sebenar kelab pada baki saingan musim ini. Jika segalanya berjalan lancar dan menyebelahi Moyes, saya percaya kelab akan melangkah ke bulan Februari dengan lebih menyakinkan. Saya tidak terkejut sekiranya United menang di Stamford Bridge tetapi tewas kepada Swansea City dan Cardiff City pada aksi di gelanggang sendiri, kerana itulah wajah Manchester United di bawah kendalian Moyes musim ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J