Sebaik sahaja Manchester United tewas 1-2 di
Stadium of Light kelmarin (kekalahan ketiga mereka dalam tempoh enam hari),
sepantas kilat kempen “Pecat Moyes” dilancarkan pengkritik-pengkritiknya.
Bermula di England, kempen di laman sosial itu tersebar dengan begitu pantas ke
seluruh dunia dalam tempoh hanya 24 jam, begitulah hebatnya kuasa teknologi
maklumat. Tidak sukar untuk meneka mengapa kelompok penyokong-penyokong ini
begitu marah selepas mereka melihat kedudukan kelab yang terumbang-ambing di
carta liga, tersingkir pada saingan Piala FA dan tewas kepada pasukan tercorot
dalam saingan Piala Liga. Memang benar masih ada peluang untuk melangkah ke
pentas akhir kerana perlawanan kedua (separuh akhir) Piala Liga akan
berlangsung di Old Trafford 23 Januari ini tetapi penyokong-penyokong nampaknya
tidak dapat menerima hakikat bahawa kelab tercorot pun sudah mampu menewaskan
United. Menambah luka yang ada, Gus Poyet (pengurus Sunderland) selepas
perlawanan begitu lantang mengatakan bahawa jurang antara pasukannya dengan
United semakin mengecil malah yakin mereka mampu melakukan kejutan di Old
Trafford pada perlawanan kedua nanti. Saya hanya mampu tersenyum mendengar
komen Poyet, kerana dalam situasi sekarang kita tidak boleh menyalahkan beliau dan
mengakui bahawa United sendiri sudah
tidak segarang seperti musim lalu atau musim-musim sebelumnya. Siapakah yang
harus dipersalahkan atas prestasi lembab United ketika ini? Kumpulan Anti Moyes
sudah tentu meletakkan seluruh kesalahan di bahu beliau, jadi tidak hairanlah
mengapa mereka mahu warga Scotland itu segera dipecat. Nampaknya mereka (kumpulan
Anti Moyes) sudah bosan dengan kekalahan demi kekalahan yang dialami kelab.
Mereka juga tidak mahu lagi mendengar alasan demi alasan yang keluar dari mulut
pengendali itu setiap kali anak-anak buahnya menamatkan perlawanan dengan
tangan kosong. Mereka seakan sudah jelak mendengar bahawa mereka perlu bersabar
kerana kelab sedang dalam proses peralihan selepas berakhirnya era 27 tahun Sir
Alex Ferguson.
Laman sosial menjadi pentas buat kumpulan Anti
Moyes melepaskan kemarahan mereka manakala kumpulan Pro Moyes pula ada hujah
mereka sendiri mengapa pengendali itu perlu diberikan masa dan peluang. Jika
sepuluh tahun dahulu, sebarang perdebatan hanya rancak dilangsungkan di kedai
kopi, kini sempadan tidak lagi terbatas. Kempen yang dilancarkan (sama ada Pro atau Anti Moyes) cepat merebak
ke seluruh dunia dan negara kita tidak terkecuali menerima tempiasnya. Maka
'bertempurlah' dua kumpulan ini mempertahankan pendapat masing-masing di pentas
laman sosial. Memang benar ada beberapa kesilapan yang dilakukan Moyes pada
peringkat awal kariernya di Old Trafford (saya sudah sebutkan dalam
artikel-artikel sebelumnya) dan saya faham mengapa kebanyakkan
penyokong-penyokong begitu kecewa dengan prestasi hambar United ketika ini.
Selepas bertahun-tahun diiktiraf sebagai antara kelab terbaik di dunia,
kejatuhan mendadak seperti ini sudah tentu sukar diterima kebanyakkan
penyokong-penyokong. Bukan mahu mengungkit sejarah lama, tetapi sejarah juga
adakalanya perlu disingkap kembali sebagai pelajaran dan juga pengajaran. Selepas
Sir Matt Busby mengemudi United meraih kejuaraan liga 46 tahun yang lalu dan
kemudiannya bersara setahun kemudian, berapa lama masa yang diambil kelab untuk
kembali menjulang trofi liga? Dalam tempoh tersebut juga (1967 hingga 1993), United hanya mampu
memenangi lima kejuaraan (Piala FA 1977, 1983, 1985 dan 1990) serta Piala Liga
(1992). Situasi yang dialami Moyes ketika ini sebenarnya hampir sama dengan apa
yang dilalui Wilf McGuiness ketika beliau dilantik menggantikan tempat Sir Matt
44 tahun yang lalu. McGuiness boleh saya katakan mewarisi sebilangan besar
pemain hebat dari Sir Matt dengan adanya nama-nama seperti Tony Dunne, Nobby
Stiles, Alex Stepney, Bobby Charlton, Dennis Law dan George Best.
United di bawah kendalian McGuiness sekadar
menamatkan saingan liga di tangga kelapan musim (1969-70) hingga memaksa Sir
Matt kembali dari persaraan musim berikutnya. Kehadiran semula Sir Matt tetap
gagal menyelamatkan United dari terus menuju zaman suram apabila kelab sekali
lagi menamatkan saingan liga di tangga kelapan hinggalah akhirnya terjerumus ke
Divisyen 2 pada 1974. Saya tidak nafikan persaraan Sir Alex meninggalkan kesan
psikologi yang besar kepada bekas pemain-pemainnya jadi ada kemungkinan faktor
itu menyumbang kepada kemerosotan United. Hampir sebahagian besar pemain United
sudah bersama Sir Alex selama sepuluh tahun atau lebih, jadi bukan mudah buat
pemain-pemain ini menyesuaikan diri dengan corak latihan dan taktikal yang
digunakan pengurus baru. Pencapaian gemilang yang dilakar Sir Matt dan Sir Alex
sudah tentu menyebabkan mana-mana pengganti mereka berdepan kesukaran serta
tekanan dan itulah yang dihadapi McGuiness, Frank O’Farrell, Tommy Docherty,
Dave Sexton, Ron Atkinson dan sekarang Moyes pula. Saya setuju andai anda
mengatakan bahawa Moyes sepatutnya tidak berdepan sebarang masalah kerana
beliau mewarisi skuad juara dari Sir Alex tetapi dalam masa yang sama juga kita perlu bersikap adil dengan mengakui bahawa ada pemain-pemain senior yang
sudah berada di penghujung karier. Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Patrice
Evra antara yang saya maksudkan manakala pemain-pemain muda yang lain seperti
Danny Welbeck, Adnan Januzaj, David de Gea, Phil Jones, Rafael da Silva, Tom
Cleverley dan Chris Smalling adalah tonggak masa depan kelab. Mungkin ketika
ini hanya Wayne Rooney, Robin Van Persie dan Michael Carrick yang betul-betul
boleh dikategorikan sebagai pemain kelas dunia dalam skuad Moyes sementara
Antonio Valencia, Nani, Anderson dan Ashley Young sering berdepan masalah
prestasi tidak konsisten.
Dengan segala macam masalah yang dihadapi
Moyes bermula dari krisis kecederaan key
playernya, kekosongan yang ditinggalkan Paul Scholes masih belum terisi serta
penurunan prestasi beberapa pemain senior, beliau sepatutnya meratapi kegagalannya
mendapatkan nama-nama besar sepanjang jendela perpindahan musim panas dibuka.
Tambah memburukkan keadaan, Marouane Fellaini masih belum mampu menyesuaikan
diri dengan kelab baru meskipun dia pernah bekerjasama dengan Moyes selama lima
tahun di Goodison Park. Selaku pengendali, Moyes memang perlu bertanggungjawab
atas prestasi turun naik kelab ketika ini namun mencaci dan mengeluarkan
kata-kata kesat terhadap beliau di laman sosial bukanlah tindakan yang bijak dan
tidak akan menterbalikkan semula keputusan perlawanan yang lalu. Rujuk semula
komentar Peter Schmeichel di Dailymail ketika beliau ditanya tentang prestasi
tidak bermaya bekas kelab yang pernah diwakilinya selama lapan tahun itu. “Untuk
menjadi pemain Manchester United, prestasi anda perlu berada di level
tertinggi, mental perlu kuat dan harus bangga sebagai pemain Manchester United.
Saya lihat ada lima atau enam pemain yang kurang serius dan kami tidak pernah
mempunyai pemain yang tidak serius”, kata Schmeichel. Benarkah dakwaan
Schmeichel? "Every single one of us stand by David Moyes", itulah rangkap nyanyian (chant) penyokong-penyokong United di Stadium of Light tanda mereka masih teguh menyokong Moyes dari
belakang. Saya akui bahawa suara mereka tidak mewakili berjuta-juta lagi
penyokong-penyokong United di luar sana tetapi dalam keadaan sukar seperti
sekarang, meletakkan tekanan berlebihan kepada pengurus bukanlah satu tindakan
bijak. Semasa pra musim, Moyes begitu yakin dengan kekuatan skuad yang
dimilikinya tetapi selepas melihat pencabar-pencabar lain jauh di hadapan,
beliau perlu merenung semula kata-kata yang dilemparkannya sebelum ini. Sekali
lagi saya sebutkan bahawa kegagalan beliau menandatangani pemain kelas dunia
sepanjang musim panas lalu adalah kesilapan paling besar yang dilakukan beliau
di peringkat awal kariernya sebagai pengurus United. Anda boleh mengkritik
tetapi bukan mencaci, jadi dalam kumpulan manakah anda berada? Anti Moyes atau
Pro Moyes? Tentang nasib beliau, biarkan sahaja pihak pengurusan kelab
menentukannya kerana mereka lebih arif. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan