Johnny Berry, George Best, Steve Coppel, Bryan
Robson, Eric Cantona, David Beckham, Cristiano Ronaldo, Michael Owen dan
Antonio Valencia adalah pemain dari era berbeza tetapi mereka memilki satu
persamaan iaitu pernah menyarung jersi lagenda dan paling terkenal di
Manchester United…nombor 7. Mungkin disebabkan tidak sanggup memikul beban
besar selepas diberikan kepercayaan oleh Sir Alex Ferguson untuk menyarung
jersi keramat tersebut musim lalu, Valencia kembali menggunakan nombor
kegemarannya (25) musim ini. Valencia pemain terakhir menggunakan jersi nombor 7
dan musim ini tiada mana-mana pemain diberi kepercayaan oleh David Moyes untuk mewarisi
jersi keramat tersebut. Saya sukakan Valencia kerana kerja kerasnya di atas
padang, pantas dan tidak mudah mengalah tetapi kualiti itu sebenarnya masih
tidak cukup untuk dia diberikan penghormatan sebagai pewaris jersi nombor 7
dari lagenda-lagenda sebelumnya. Begitu juga Owen, di mana kehadirannya di Old
Trafford pada 2009 menyebabkan saya
begitu teruja. Pada usia 30 tahun dan dengan masalah kecederaan lutut yang
sering membelenggunya, Owen ketika itu saya anggap sudah berada di penghujung
karier tetapi kehadirannya empat tahun lalu tetap disambut gembira majoriti
penyokong-penyokong United. Saya pada mulanya berharap kehadiran Owen juga mampu
memberikan impak kepada barisan serangan United sebagaimana fenomena yang
pernah dicetuskan Henrik Larsson pada 2007. Kecederaan akhirnya membataskan
penampilan Owen dan sepanjang tiga musim di Old Trafford dia juga lebih banyak
digunakan sebagai supersub sebelum
menyertai Stoke City pada 2012. Owen dan Valencia adalah dua penyarung terakhir
jersi nombor 7 namun mereka berdua juga bolehlah dianggap gagal meneruskan
legasi lagenda-lagenda yang pernah menggunakan jersi tersebut sebelumnya.
Selepas Valencia kini saya tertunggu-tunggu
siapakah pemain yang layak untuk menyarung jersi keramat tersebut. Prestasi
yang ditunjukkan Adnan Januzaj menjadikan dia sebagai pilihan paling hangat
untuk diberikan tanggungjawab menyarung jersi nombor 7. Penampilan Januzaj
mengingatkan kita kepada Cristiano Ronaldo ketika detik awal kariernya di Old
Trafford, jadi tidak hairanlah mengapa perbandingan mula dibuat antara
kedua-dua pemain ini. Pencapaian Januzaj masih terlalu jauh jika mahu dibandingkan
dengan pemenang Balon d’Or 2013 itu tetapi dia (Januzaj) memiliki segala
kriteria dan potensi untuk menjadi pewaris seterusnya jersi nombor 7 United.
Dengan usia yang baru mencecah 18 tahun, perjalanan Januzaj dalam dunia
bolasepak masih panjang dan jika dia mahu mengikuti jejak lagenda-lagenda
nombor 7 United terdahulu banyak 'kerja' yang perlu dilakukannya. Januzaj
memiliki bakat semulajadi hebat untuk muncul pemain ternama dunia suatu hari
nanti tetapi dia perlu menajamkan lagi skill
permainannya selain meningkatkan kekuatan fizikal dalam berdepan cabaran lasak
bolasepak England. Jika aspek ini berjaya diperbaikinya, percayalah dalam
tempoh dua atau tiga tahun lagi nama Adnan Januzaj akan muncul pemain paling
digeruni dalam dunia bolasepak khasnya di Liga Perdana Inggeris. Kemahirannya
di atas padang sering dibandingkan dengan Ronaldo, 'kesombongannya'
mengingatkan saya kepada Cantona manakala hantaran-hantaran lintangnya mengimbas
kembali memori sepanjang 10 tahun Beckham di Old Trafford. Jadi tidak hairanlah
mengapa penyokong-penyokong United begitu teruja menanti aksi remaja ini setiap
hujung minggu. Selepas sekian lama sejak Ronaldo melakukan debut untuk United 11 tahun lalu, pemain dengan bakat hebat seperti
Januzaj akhirnya muncul sebagai pengganti untuk sekali lagi memberikan
keterujaan yang sama kepada saya.
Apa yang menyebabkan kelibat Januzaj begitu
dinantikan setiap minggu ialah kerana kemampuannya meningkatkan tahap permainan
dari satu perlawanan ke satu perlawanan hingga menjadikan dia pemain United yang
paling sukar diramal. United sendiri sebenarnya memiliki beberapa pemain yang
mempunyai kualiti untuk menyarung jersi nombor 7, namun saya tidak pasti adakah
Michael Carrick atau Wayne Rooney umpamanya sanggup menanggalkan jersi nombor
16 dan 10 kegemaran mereka untuk menjadi pewaris seterusnya jersi nombor 7?
Saya rasa tidak. Sebelas tahun lalu,
Ronaldo pada mulanya memilih nombor 28 (nombor yang digunakannya ketika bersama
Sporting Lisbon), tetapi Sir Alex sebaliknya mahukan dia mewarisi nombor 7 dari
Beckham. Ketika ramai pihak menjangkakan pemain semuda Ronaldo bakal berdepan
tekanan kerana nombor 7 yang terdapat di belakang jersinya, pemenang Balon d’Or
sebanyak dua kali itu sebaliknya mempamerkan aksi mengagumkan dari perlawanan
pertamanya (menentang Bolton Wanderers) hinggalah yang terakhir di pentas final
Liga Juara-Juara 2009 menentang Barca. Saya percaya jika Moyes mengambil
keputusan menyerahkan jersi nombor 7 kepada Januzaj nanti, pemain muda itu
sudah bersedia memikul tanggungjawab besar yang diletakkan di atas bahunya.
Valencia mengalah kerana merasakan nombor 7 terlalu besar buat dirinya hingga
menjejaskan prestasinya di atas padang, tetapi jika anda mahu menjadi pemain
'besar' suatu hari nanti, anda juga perlu memiliki jiwa yang besar. Lagenda
seperti Best, Robson, Cantona, Beckham dan Ronaldo bukan sahaja dianugerahkan
dengan bakat bolasepak yang hebat tetapi turut memiliki jiwa yang besar. Saya
percaya Januzaj juga memiliki segala kriteria yang diperlukan untuk diangkat sebagai
lagenda kelab suatu hari nanti. Apa yang
perlu dilakukan Moyes ialah melindungi bakat hebat ini sebaik mungkin
sebagaimana yang dilakukan Sir Alex terhadap Ronaldo dahulu. Siapakah pewaris
jersi nombor 7 seterusnya? Calon paling hampir sudah tentu Januzaj tetapi anda
mungkin punya pilihan sendiri. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan