03 Julai 2015

JIKA VAN PERSIE DAN FALCAO PERGI, SIAPA BAKAL MENGGANTIKAN MEREKA?

Ketika ramai penyokong-penyokong United sedang rancak membicarakan rumour perpindahan Sergio Ramos, Bastian Schweinsteiger, Nicolas Otamendi atau beberapa lagi prospek yang dikatakan berada dalam radar buruan kelab, saya pula masih menantikan siapakah penyerang paling hampir yang bakal ditandatangani Louis Van Gaal sepanjang musim panas ini.

Atau adakah beliau sudah berpuas hati dengan kejayaan mendapatkan tandatangan Memphis Depay yang juga merupakan penjaring terbanyak Eredivisie musim lalu untuk dijadikan sandaran bagi menggempur kubu pertahanan lawan di samping Wayne Rooney dan Robin Van Persie?

Disaat masa depan Van Persie di Old Trafford masih diperdebatkan, manakala Radamel Falcao pula hampir pasti menyarung jersi biru Chelsea, maka tidak hairanlah jika ada segelintir penyokong-penyokong United yang mula bimbang dengan kemungkinan kelab masih terus meletakkan beban memburu gol di bahu Rooney sebaik sepak mula musim baharu dimulakan nanti.

Seperti yang saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, jika Van Persie meninggalkan kelab manakala Falcao pula semakin menghampiri Stamford Bridge, hanya Rooney satu-satunya penyerang (tulen) paling berpengalaman dimiliki Van Gaal selaku sandaran utama di barisan hadapan.

Musim lalu, Rooney muncul penjaring terbanyak United dengan 14 gol (jumlah terendah sejak Frank Stapleton melakukannya pada 1982), manakala Van Persie pula meledak 10 gol selepas kerap keluar masuk dalam kesebelasan utama akibat kecederaan.

Jadi tidak hairanlah mengapa ada kebimbangan di kalangan penyokong-penyokong United tetang situasi terkini yang dihadapi kelab terutamanya apabila melihat musuh tradisi seperti Liverpool berjaya mendapatkan James Milner, Roberto Firmino, Adam Bogdan, Danny Ings, Joe Gomez manakala Nathaniel Clyne menjadi anggota terbaru The Reds.

Saya tidak mahu bercakap tentang kualiti pemain yang ditandatangani Brendan Rodgers kerana semua itu akan terjawab apabila saingan musim baharu bermula nanti tetapi pemain seperti Milner sudah membuktikan kualitinya ketika menyarung jersi Aston Villa, Manchester City dan skuad kebangsaan England.

Ketika ada segelintir penyokog-penyokong United yang mempertikaikan kualiti pemain-pemain baharu yang ditandatangani Rodgers di media sosial, saya pula lebih gemar melihat dari sudut betapa seriusnya beliau mempersiapkan The Reds bagi menghadapi cabaran musim baharu nanti.

Okey, lupakan apa yang sedang berlaku di Anfield kerana fokus pada kali ini ialah melihat penyerang mana yang bakal dibawa Van Gaal sebagai pengganti jika beliau berhasrat melepaskan Van Persie dan Falcao ke pasukan lain.

Kita perlu mengakui selain benteng pertahanan yang perlu diperkuatkan, jentera serangan United juga perlu diberikan suntikan baharu agar lebih tajam selepas melihat persembahan keseluruhan terutamanya dari Van Persie, Rooney dan Falcao sepanjang musim lalu.

Kombinasi Van Persie, Rooney dan Falcao masing-masing menyumbang 28 gol dari jumlah keseluruhan 62 gol yang dihasilkan United musim lalu (hanya dua gol mengatasi jumlah jaringan Sergio Aguero yang muncul penjaring terbanyak). Situasi ini memang membimbangkan walaupun pada awalnya saya jangkakan barisan serangan United bakal digeruni dengan kehadiran Falcao dari Monaco.

Entah apa sebabnya Falcao gagal memenuhi jangkaan awal. El Tigre nampaknya terpaksa bergelut untuk cuba menyesuaikan diri dengan corak permainan United dan tempo Liga Perdana yang tentunya jauh berbeza berbanding Primeira Liga (Portugal), La Liga (Sepanyol) dan Ligue 1 (Perancis).

Mungkin juga Falcao masih bergelut untuk cuba mengembalikan sentuhan penyudah tajamnya selepas pulih dari kecederaan lutut yang teruk hingga mengakibatkan beliau terlepas peluang menyarung jersi Colombia di pusingan akhir Piala Dunia 2014.

Tambah memburukkan keadaan buat United, Van Persie yang dianggap mesin gol ketika kelab menjulang kejuaraan liga ke-20 (musim 2012-13) juga berdepan masalah kecederaan hingga menjejaskan prestasinya sebagai antara penggempur disegani di atas padang. Prestasi Van Persie musim lalu jauh berbeza berbanding ketika beliau muncul penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2011/12 dan 2012/13.

Atas sebab itu maka tidak hairanlah jika tiba-tiba nama Harry Kane dilaporkan menjadi sasaran utama Van Gaal musim panas ini. Bukan hanya Kane, malah Karim Benzema juga dikatakan berada dalam radar buruan kelab meskipun Sir Alex Ferguson ketika eranya gagal mendapatkan tandatangan penyerang antarabangsa Perancis ini.

Jika bukan Kane ataupun Benzema sekalipun, saya berpendapat memang menjadi satu kemestian buat Van Gaal mendapatkan seorang penyerang baharu selepas apa yang dipamerkan barisan hadapan United sepanjang musim lalu. Apa yang diperlukan United ialah seorang penyerang yang memiliki kelajuan ketika bola beada dikaki dan pantas menghidu peluang terhidang di hadapan gawang lawan.

Kita pernah memiliki seorang penyerang seperti itu. Contoh yang saya maksudkan ialah Ruud Van Nistelrooy dan beliau masih diingati sejak kali terakhir menyarung jersi United pada 2006. Begitu juga dengan Javier Hernandez, supersub yang sering memberikan masalah kepada mana-mana pertahanan berpengalaman lawan setiap kali beliau diturunkan.

Kedua-dua mereka tidak memiliki skill kawalan bola memukau seperti Ronaldinho tetapi kelajuan yang mereka miliki dan kepantasan menyambar peluang di hadapan gawang sentiasa menjadi ancaman terbesar buat mana-mana pertahanan lawan.

Saya sentiasa mengingati bagaimana Van Nistelrooy menggunakan kepantasannya menewaskan Sylvain Legwinski, Andy Melville, Martin Djetou serta Abdesalam Ouaddou dari tengah padang dan kemudiannya mudah menolak bola masuk ke gawang Maik Taylor ketika United berdepan Fulham dalam aksi liga pada 22 Mac 2003.

Van Nistelrooy menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu, tetapi gol diminit ke 68 itu akan kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila. Van Nistelrooy antara penyerang terbaik United pernah saya saksikan dan sehingga kini saya masih menanti bilakah agaknya seorang penyerang yang memiliki killer instinct seperti beliau kembali menyarung jersi kelab.

Jika Van Gaal mahu mendapatkan seorang penyerang berpangalaman luas, pernah beraksi di pentas tertinggi saingan kelab-kelab Eropah atau memiliki berpuluh-puluh caps bersama skuad kebangsaan, pilihan utama sudah tentu terarah kepada Benzema atau Edinson Cavani. Bagaimanapun ada permata baharu di Ligue 1 yang sudah mula menarik perhatian banyak kelab-kelab utama Eropah. Siapa lagi kalau bukan Alexandre Lacazette (Olympique Lyon), penjaring terbanyak musim lalu dengan 27 gol.

Lacazette bukan sahaja merupakan seorang finisher yang cukup bagus ketika berada dalam petak penalti lawan, tetapi juga memiliki keupayaan melepaskan rembatan tepat dari jarak jauh. Kemampuan beliau melakukan gelecekan, umpanan dan `memegang’ bola adalah aset tambahan yang dimiliki penyerang ini.

Apa yang lebih menarik tentang pemain ini ialah kemampuan beliau bermain di sebelah kiri atau kanan dalam sistem 4-3-3 dengan meletakkan Nabil Fekir selaku penyerang tengah jika Hubert Fournier mahu melakukan sebarang perubahan taktikal dalam sistem permainan pasukannya.

Lacazette sudah membuktikan kemampuannya di Ligue 1 tetapi adakah beliau boleh melakukan perkara yang sama jika berhijrah ke Liga Perdana? Jawapan saya mudah, mana-mana pemain Perancis sebelum ini sudah membuktikannya. Thierry Henry, Emmanuel Petit, Patrick Vieira, Louis Saha, Eric Cantona, Steed Malbranque, Sylvain Distin, Samir Nasri, Bacary Sagna, David Ginola dan ramai lagi menjadi tonggak buat kelab masing-masing di Liga Perdana.

Jika sebahagian nama-nama yang saya sebutkan di atas berjaya beradaptasi dengan baik dengan suasana kehidupan di England dan corak permainan Liga Perdana hingga ada di antara mereka diangkat sebagai lagenda, saya yakin seorang lagi warga Perancis tidak bermasalah melakukan perkara yang sama.

Lacazette melakukan tugasnya dengan cukup cemerlang bersama Lyon di Ligue 1, menjaringkan banyak gol bukan hanya dari situasi terbuka tetapi juga kerana kemampuan beliau menyusup di belakang pertahanan lawan. Atas sebab itulah mengapa lagenda United sendiri, Louis Saha melabelkan pemain ini sebagai penyerang yang bijak mencuri dan mencari peluang.

Kehadiran Lacazette (jika Van Gaal berminat dan berjaya mendapatkan beliau) akan melengkapkan sistem permainan 4-3-3 yang sering digunakan pengendali ini penghujung musim lalu. Sepertimana yang anda tahu, Rooney menghabiskan sebahagian besar musim lalu dengan bergerak di belakang Van Persie dan kemudiannya beralih ke hadapan dalam sistem 4-3-3.

Rooney pada pandangan saya masih lagi penyerang yang tajam dan perlu dihormati di Liga Perdana, jadi keputusan Van Gaal kembali meletakkan kapten ini di hadapan satu keputusan yang tepat. Saya tidak pasti berapa lama Van Gaal akan terus meletakkan Rooney selaku penyerang tengah tetapi dengan United sendiri sudah memiliki Memphis Depay di sebelah kiri, Lacazette seperti yang saya katakan tadi akan melengkapkan sistem 4-3-3 Van Gaal.

Akhirnya persoalan paling besar adalah siapa penyerang yang bermain difikiran Van Gaal untuk beliau tandatangani bagi memberikan suntikan baharu di bahagian hadapan skuadnya dan juga sebagai pengganti kepada Van Persie serta Falcao (jika kedua-duanya dilepaskan ke pasukan lain)?

Jika Van Gaal memilih plan jangka panjang sebagai sandaran, Kane dan Lacazette adalah calon utama, tetapi jika beliau mahukan seorang penyerang yang memiliki pengalaman luas sepertimana Falcao dan Van Persie, saya yakin beliau akan meletakkan Benzema dan Cavani dalam radar buruannya. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

28 Jun 2015

JIKA TINGGALKAN SANTIAGO BERNABEU, KEMANA DESTINASI SERGIO RAMOS?

Sebagai penyokong Manchester United, bohong jika saya katakan bahawa saya tidak teruja ketika mendengar rumour tentang minat kelab terhadap Sergio Ramos. Secara tiba-tiba bukan Nicolas Otamendi atau Mats Hummels yang disebut-sebut semakin `hampir’ berpindah ke Old Trafford tetapi sebaliknya Ramos.

Ini semua berikutan ketidaktentuan masa depan pemain pertahanan tengah itu di Santiago Bernabeu selepas beliau dikatakan tidak gembira dan kecewa kerana tuntutannya untuk kontrak baharu yang lebih lumayan seolah-olah tidak diendahkan pihak pengurusan Real.

Mana-mana pengurus/jurulatih sudah tentu mahukan seorang pemain pertahanan sebagus Ramos membarisi barisan belakang pasukan mereka dan saya pasti Louis Van Gaal tidak terkecuali. Tidak dapat dinafikan bahawa Ramos merupakan salah seorang centre back terbaik di dunia ketika ini, tonggak di barisan belakang Real sejak bertahun-tahun serta lagenda buat Los Blancos dan skuad kebangsaan Sepanyol.

Sejak berakhirnya era Fernando Hierro selaku tulang belakang pertahanan Real, gergasi Sepanyol itu tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mencari pengganti setaraf apabila mereka berjaya mendapatkan tandatangan Ramos dari Sevilla pada musim panas 2005.

Meskipun gaya permainan Hierro dan Ramos berbeza (kerana Hierro lebih tenang ketika mengawal benteng) tetapi ada sebab mengapa Florentino Perez sanggup meleburkan wang kelab sebanyak €27 juta hanya semata-mata mahu mendapatkan khidmat Ramos yang ketika itu baru berusia 20 tahun.

Di Santiago Bernabeu, Ramos mewarisi jersi nombor 4 yang pernah digunakan Hierro dan 5 bulan kemudian beliau menjaringkan gol pertamanya untuk Real ketika berdepan Olympiacos dalam saingan Liga Juara-Juara. Ramos pemain pertahanan yang istimewa bukan sahaja kerana tackle agresifnya yang boleh mematikan serangan lawan tetapi juga kerana kemampuan beliau menjaringkan gol menerusi situasi bola mati.

Anda tentu masih ingat bukan gol penyamaan lewat permainan yang dihasilkan Ramos ketika berdepan Atletico Madrid dalam aksi finale Liga Juara-Juara tahun lalu (musim 2013/14)? Walaupun kemudiannya Gareth Bale, Marcelo dan Cristiano Ronaldo mengesahkan kejuaraan kesepuluh Liga Juara-Juara buat Real, namun saya menganggap gol Ramos lah yang sebenarnya membuka jalan buat mereka menggapai misi La Decima.

Selepas memenangi berbagai medal kejuaraan bersama Real, awan cerah rupa-rupanya tidak sentiasa menyelubungi karier Ramos hingga menyebabkan masa depan beliau bersama Los Blancos terus diperdebatkan. Tambah memburukkan lagi keadaan, hubungan beliau dengan Perez sejak kebelakangan ini juga dikatakan tidak harmoni, punca utama mengapa beliau dikatakan ingin meninggalkan Santiago Bernabeu.

Hubungan Ramos dengan pihak pengurusan Real dikatakan semakin membarah apabila kini timbul pula kemungkinan beliau sanggup berpaling tadah menyertai Barcelona yang juga merupakan musuh tradisi mereka. Jika bukan Nou Camp, destinasi lain yang dikatakan cukup berpotensi dituju Ramos tidak lain dan tidak bukan ialah Old Trafford.

Dengan Real sendiri menunjukkan minat yang tinggi terhadap David De Gea, saya menganggap khabar angin ini (perpindahan Ramos ke Old Trafford) memang ada asasnya. Mungkinkah Real akan menjadikan Ramos sebagai opsyen pertukaran jika Perez berhasrat mahu meletakkan De Gea sebagai pengganti jangka panjang Iker Casillas?

Rumour setiap kali jendela perpindahan pemain dibuka adalah perkara biasa, dan sebagai penyokong United, tentunya sangat menarik apabila kita mengetahui salah seorang pemain pertahanan tengah terbaik di dunia sperti Ramos dikaitkan dengan kelab. Kita tidak tahu apakah kesudahan `drama’ antara Ramos dan majikannya di Santiago Bernabeu tetapi rumour ini tetap menarik untuk diikuti.

Masih ingatkah anda `babak kecewa’ yang dilakonkan Ronaldo selepas beliau menjaringkan gol ketika berdepan Granada dalam saingan La Liga pada September 2012? Ketika ditanya wartawan sebaik tamat perlawanan mengapa beliau tidak meraikan jaringannya, Ronaldo hanya menjawab ringkas “sedih”. Reaksi Ronaldo itu segera menimbulkan persoalan tentang masa depannya sehingga ada pihak mengatakan bahawa beliau tidak gembira dan ingin meninggalkan Real.

Situasi terkini Ramos sama dengan apa yang dialami Ronaldo tiga tahun lalu. Semuanya disebabkan kontrak dan wang. Ronaldo tidak gembira kerana pihak pengurusan Real ketika itu membisu dalam soal kenaikan gaji dan mengharapkan tawaran kontrak lebih lumayan untuk beliau tandatangani, begitu juga dengan Ramos. Akhirnya `drama’ yang dilakonkan Ronaldo berjaya hingga memaksa Perez menghulurkan kontrak baharu lebih lumayan demi mengekalkan pemain terbaiknya itu di kota Madrid.

Kita tidak pasti adakah Ramos ingin mengulangi helah yang sama seperti apa yang pernah dilakukan Ronaldo atau beliau memang benar-benar kecewa dan ingin meninggalkan Real demi mencari cabaran baharu. Di kem Ramos sendiri, mereka menegaskan wang bukanlah masalah utama kerana apa yang berlaku sekarang ialah seolah-olah pemain ini seperti tidak dihargai pihak pengurusan Real hingga menyebabkan beliau kecewa.

Melihat kepada sumbangan yang sudah beliau berikan selama sembilan musim menyarung jersi Real, memang wajar Ramos menuntut lebih dari apa yang beliau terima sekarang. Walaupun armband ketua pasukan dipegang Iker Casillas, saya menganggap pemimpin sebenar di atas padang ialah Ramos. Tidak perlu memandang terlalu jauh. Lihat sahaja apa yang beliau tunjukkan di Estadio da Luz semasa finale Liga Juara-Juara tahun lalu.

Ketika pemain hebat seperti Ronaldo sendiripun kelihatan buntu dalam usaha menembusi benteng pertahanan Atletico dan hampir menyerah kalah, Ramos pula sentiasa lantang dan bersemangat menyuntik motivasi kepada rakan-rakan sepasukan hinggalah akhirnya beliau sendiri berjaya menyamakan kedudukan dipenghujung babak permainan. Jika bukan kerana Ramos, Perez pasti akan tertunduk di Estadio da Luz meratapi misi La Desima yang tidak kesampaian.

Atas sebab itulah mengapa saya katakan sosok individu bernama Sergio Ramos ini sebenarnya cukup penting buat Real. Ramos mungkin bukan pemain paling hebat pernah dimiliki Real tetapi beliau antara nama wajib yang perlu ada dalam kesebelasan utama sejak era Fabio Capello hinggalah Carlo Ancelotti.

Sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu, Ramos pernah bermain bersama-sama pemain hebat seperti Zinedine Zidane, Luis Figo, David Beckham dan terkini Ronaldo yang sedikit sebanyak membentuk karakternya sebagai pemain kelas dunia.

Saya yakin sekiranya jodoh Ramos bersama Real tidak berpanjangan, United sebenarnya tiada masalah memancing pemain itu beraksi di Old Trafford jika faktor wang mahu dijadikan ukuran. United mampu memenuhi tuntutan Ramos dan tidak rugi melabur untuk pemain pertahanan kelas dunia seperti beliau.

Walaupun Ramos sudah menjangkau usia 29 tahun, saya percaya beliau mampu memberikan aksi terbaiknya untuk tempoh tiga atau empat tahun, apatah lagi United sendiri memerlukan seorang pemain pertahanan berpengaruh sebagai pemimpin di barisan belakang.

Kualiti Ramos memang tidak perlu diragui, cuma apa yang sedikit membimbngkan kita ialah rekod disiplin beliau di atas padang. Sepanjang kariernya, Ramos sudah mengumpul koleksi 19 kad merah di mana tiga daripadanya diterima beliau ketika aksi El Classico dan dua pada aksi derby Madrid.

Akhir sekali kita tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku antara Ramos dan kelabnya sekarang (Real). Adakah memang benar beliau tidak lagi gembira di Santiago Bernabeu atau reaksi kecewa itu sekadar helah mahukan kontrak lebih lumayan diletakkan pihak pengurusan Real di atas meja untuk beliau tandatangani.

Seperti yang saya sebutkan di awal tadi, jika Ramos meletakkan faktor `kebahagiaan’ dan `kegembiraan’ di tempat teratas, pihak pengurusan Real wajib memastikan pemain ini terus bahagia dan gembira agar beliau terus kekal bermain untuk mereka. Jika sebaliknya, Ramos ketika ini sudah pasti ada pilihan dan destinasi mana yang ingin beliau tuju.

Walaupun saya teruja menanti kesudahan rumour perpindahan saga Ramos ke Old Trafford namun 80% dalam hati saya percaya beliau akan terus kekal menyarung jersi putih Real musim hadapan. Mungkin ini hanyalah mainan akhbar untuk melariskan jualan mereka atau mungkin juga memang sudah tiba saatnya Ramos mengucapkan `Adios’ kepada Madridista. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

20 Jun 2015

YANG DATANG, YANG PERGI DAN TAKTIKAL BAKAL DIGUNAKAN VAN GAAL

Memphis Depay muncul pemain pertama ditandatangani Louis Van Gaal dalam usaha memperkuatkan skuadnya bagi menghadapi saingan musim hadapan tetapi sepertimana anda, saya juga penuh yakin bahawa Depay bukanlah yang pertama dan terakhir kerana pasti akan ada beberapa lagi nama baharu yang bakal tiba sepanjang musim panas ini.

Tahun lalu, Van Gaal berbelanja besar membawa masuk 6 pemain baharu bagi menghadapi saingan musim 2014/15, situasi yang sebenarnya jarang berlaku ketika United di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan juga David Moyes. Ramai yang yakin situasi sama (Van Gaal berbelanja besar) bakal berulang sekali lagi jika diambilkira kenyataan Van Gaal bahawa beliau memerlukan tempoh dua tahun untuk United kembali bangkit sebagai kuasa bolasepak di England dan Eropah. Menambahkan lagi kehangatan, Robin Van Persie turut mendedahkan bahawa United bakal melakukan pelaburan besar hingga £200 juta bagi mendapatkan pemain-pemain ternama.

Musim lalu, nama-nama seperti Angel di Maria dan Radamel Falcao `menggoncang’ Old Trafford menerusi pembelian mega yang dilakukan Van Gaal. Keperluan mendapatkan pemain-pemain baharu menjadi semakin besar apabila United kembali beraksi di Liga Juara-Juara (jika melepasi pusingan kelayakan), jadi tidak hairanlah sekiranya kita akan sekali lagi melihat £100 atau £200 juta dibelanjakan Van Gaal sepanjang pasaran perpindahan pemain musim panas tahun ini dibuka. 

Musim lalu, sebanyak £170 juta dibelanjakan dimana hasilnya United berjaya merebut kembali slot ke Liga Juara-Juara selepas musim sebelumnya (2013/14) kelab sekadar menamatkan saingan liga di tangga ketujuh di bawah era Moyes.

Walaupun saya berpendapat United sepatutnya berada di kedudukan lebih baik (berbanding tangga keempat) selepas begitu banyak wang dibelanjakan musim lalu, tetapi selaku pengendali beliau tetap berjaya melaksanakan misi untuk membawa kelab kembali ke saingan Liga Juara-Juara selepas semusim sekadar beraksi di pentas domestik. 

Apakah dengan £200 juta yang digembar-gemburkan bakal dibelanjakan nanti akan menyaksikan trofi Liga Perdana musim (2015/16) kembali ke Old Trafford? Jika jawapannya `ya’, maka itulah harga yang terpaksa dibelanjakan pihak pengurusan khususnya pemilik kelab (keluarga Glazer) jika mereka mahu melihat koleksi di almari kejuaraan United bertambah.

Seperti yang saya sebutkan tadi, kita yakin Depay bukalah yang pertama dan terakhir kerana selepas berjaya mendapatkan tandatangan penjaring terbanyak Eredivisie ini, nama-nama seperti Nicolas Otamendi, Mats Hummels, Harry Kane dan Gareth Bale diletakkan media dalam senarai sasaran Van Gaal. 

Benteng pertahanan sudah pasti bakal menjadi fokus utama Van Gaal untuk diperkuatkan dan jika benar laporan media bahawa beliau mahu mendapatkan khidmat Otamendi dan Hummels, saya anggap itu adalah satu pilihan yang cukup bagus. 

Otamendi dilabel antara pertahanan tengah paling mempesonakan di La Liga musim lalu, jadi tidak hairanlah mengapa Valencia meletakkan tanda harga €47 juta kepada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Argentina itu.

Dengan laporan bahawa Otamendi meletakkan sasaran hanya Old Trafford destinasi yang ingin beliau tuju, peluang Van Gaal mendapatkan pemain pertahanan ini cukup cerah. Faktor adanya dua rakan senegara beliau (di Maria dan Rojo) dalam kem United juga saya kira bakal memudahkan lagi tugas Van Gaal mendapatkan tandatangan pemain ini. 

Selain Otamendi, minat United ke atas bintang antarabangsa Jerman dan juga nadi dibenteng pertahanan Borussia Dortmund, Mats Hummels masih belum padam apabila kelab sekali lagi dikaitkan dengan pemain berusia 26 tahun itu. 

Jika dulu, Jurgen Klopp muncul individu paling tegas cuba mengekalkan Hummels di Signal Iduna Park selama yang boleh, tetapi kini kelibat pengendali penuh karisma itu sudah tiada lagi. Tidak pasti adakah pengganti Klopp (Thomas Tuchel) akan melakukan pendekatan yang sama demi mengekalkan Hummels di Signal Iduna Park.

Tetapi harus diingat dengan Dortmund sendiri tidak akan beraksi di pentas Eropah (baik Liga Juara-Juara mahupun Liga Europa), amat menarik untuk kita saksikan adakah Tuchel mampu mengekalkan salah seorang pemain terbaik mereka dalam skuadnya sepertimana yang pernah dilakukan Klopp dulu. 

Van Gaal bukan sahaja memerlukan pertahanan tengah baharu, tetapi beliau juga nampaknya cuba mencari seorang pemain pertahanan kanan tulen selepas Antonio Valencia memikul tanggungjawab tersebut musim lalu menerusi sistem tiga pemain pertahanan yang digunakan beliau. 

Mutakhir ini, nama yang sering disebut-sebut menjadi sasaran Van Gaal ialah bek Monaco dan Brazil, Fabinho. Fabinho bagi saya adalah sasaran yang realistik untuk ditandatangani, bukan sahaja tentang soal harga dan bakat tetapi usia pemain itu sendiri yang masih muda (21 tahun).

Selain Fabinho ada beberapa lagi bek kanan yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford musim panas ini. 

Antaranya ialah Nathaniel Clyne dari Southampton, Gregory Van der Weil (PSG) dan Dani Alves (Barcelona). Beralih di bahagian tengah pula, saya yakin akan ada rombakan yang bakal dilakukan oleh Van Gaal dan sudah tentu fokus utama beliau ialah mencari pemain yang boleh membantu Michael Carrick. 

Siapakah pemain yang ideal untuk menemani Carrick di bahagian tengah? Untuk soalan ini, mungkin ada yang memilih Bastian Schweinsteiger sebagai calon pilihan berdasarkan spekulasi yang mengatakan bahawa United menunjukkan minat yang tinggi terhadap pemenang Piala Dunia 2014 ini. Bagaimanapun harus diingat bahawa Schweini sudah beusia 30 tahun, malah kondisi fizikalnya juga boleh dipertikaikan selepas kerap dilanda kecederaan.

Mungkin juga ramai di kalangan peminat-peminat United memasang impian mahu menyaksikan perpindahan Schweini ke Old Trafford direalisasikan selepas bertahun-tahun beliau dikaitkan dengan The Red Devils. Bagaimanapun saya tidak fikir Van Gaal akan melaburkan sejumlah wang bagi mendapatkan pemain yang sudah berumur dan diragui kecergasannya. 

Selain Schweini, Paul Pogba, Ilkay Gundogan dan Morgan Schneiderlin turut diberitakan menarik minat Van Gaal. Antara mereka bertiga (Pogba, Gundogan dan Schneiderlin), saya lebih teruja mahu menyaksikan kepulangan semula Pogba ke Old Trafford walaupun sedar nilai pemain antarabangsa Perancis itu sudah jauh melambung berbanding ketika beliau meninggalkan kelab pada 2012. 

Selepas muncul nadi di bahagian tengah Juventus selama tiga musim di Turin, kelibat Pogba diberitakan turut menjadi sasaran Florentino Perez yang mahu memperkasakan Real Madrid berikutan kegagalan mereka memenangi sebarang kejuaraan musim lalu.

Jika Perez mengarahkan Rafael Benitez menyertai perlumbaan mendapatkan khidmat Pogba, saya terpaksa mengakui bahawa peluang menyaksikan kepulangan semula pemain itu ke Old Trafford terlalu tipis. 

Ketika kita ghairah membicarakan siapa nama baharu yang bakal dibawa masuk, kita juga terpaksa mengakui akan ada beberapa pemain yang bakal meninggalkan kelab atas pelbagai faktor. Antonio Valencia, Radamel Falcao, Robin Van Persie, Jonny Evans, Rafael da Silva dan David De Gea antara nama yang dikaitkan akan menuju pintu keluar Old Trafford. 

Saya tidak gusar dengan prospek kehilangan De Gea kerana terdapat sejumlah penjaga gol bertaraf dunia yang sedia menggantikan tempat warga Sepanyol itu untuk ditugaskan mengawal gawang United. Keylor Navas, Hugo Lloris, Petr Cech, Fernando Muslera atau Samir Handanovic diyakini pengganti berpotensi jika De Gea berhasrat kembali semula ke La Liga.

Apa yang menggusarkan saya ialah siapa yang bakal menggantikan tempat Van Persie dan Falcao di barisan hadapan sekiranya benar kedua-dua pemain tidak akan dikekalkan di Theatre of Dreams. Setakat ini, kita hanya memiliki Wayne Rooney yang memiliki pengalaman luas selaku penyerang utama manakala James Wilson pula kemungkinan besar diletakkan dalam senarai pemain yang akan dipinjamkan bagi menimba pengalaman dan memberikan peluang buat bintang muda ini bermain dengan lebih kerap. 

Setakat ini kita hanya mendengar laporan yang sudahpun tersebar luas tentang minat United terhadap Karim Benzema dan Harry Kane. Jika Real Madrid berjaya mendapatkan khidmat penyerang prolifik Olympique Lyon (Alexandre Lacazette), peluang United mendapatkan Benzema agak cerah manakala sukar untuk meramal masa depan Kane di White Hart Lane kerana pendekatan Daniel Levy yang keberatan melepaskan bintang-bintang terbaiknya kepada kelab musuh domestik seperti United.

Adakah akan ada penyerang baharu yang bakal dibawa masuk untuk digandingkan bersama Rooney, atau Van Persie terus kekal bersama kelab sekaligus menidakkan rumours yang mengatakan bahawa beliau akan menuju ke Serie A atau Super Lig? 

Mungkinkah Benzema atau Kane atau mungkin sahaja Van Gaal bakal melakukan kejutan dengan menyertai perlumbaan bagi mendapatkan tandatangan Lacazette selaku gandingan baharu Rooney musim hadapan? Saya akan menunggu jawapan kepada semua persoalan ini dengan penuh sabar. 

Akhir sekali selepas semua urusan perpindahan pemain diselesaikan dan Van Gaal berjaya mendapatkan pemain-pemain yang beliau inginkan bagi menghadapi musim baharu, kita pastinya akan tertanya-tanya sistem, taktikal atau formasi apa yang bakal beliau gunakan nanti sesuai dengan gaya permainan pemain-pemain yang ada dalam skuadnya.

Musim lalu saya anggap sebagai musim eksperimen buat Van Gaal jika dilihat kepada formasi permainan yang beliau gunakan sepanjang musim. Dari sistem 3-5-2, beliau mengubah kepada 4-1-3-2 dan kemudiannya 4-1-4-1 bagi mencari sistem mana paling sesuai dengan keseimbangan pasukan. 

Saya berharap untuk musim hadapan beliau sudah menemui sistem mana paling sesuai dengan gaya permainan sebenar United. Andainya beliau berjaya memaksa Levy berpisah dengan Kane atau beliau berjaya mendaratkan Benzema, apakah akan berlaku lagi pertukaran dalam sistem permainan United? 

Sama ada Van Persie kekal atau tidak, atau Van Gaal berjaya mendapatkan penyerang baharu, saya yakin beliau akan sekali lagi melakukan perubahan kepada sistem permainan skuadnya.

Pembelian Depay bermakna Van Gaal juga mungkin beralih kepada sistem 4-3-3 dengan meletakkan penjaring terbanyak Eredivisie itu di sebelah kiri, Rooney di sebelah kanan dan Van Persie atau sesiapa sahaja selaku penyerang tengah. 

Walau sistem apapun yang beliau ingin gunapakai atau pemain mana yang beliau inginkan sepanjang pasaran perpindahan musim panas ini dibuka, saya cuma berharap pada musim keduanya di Old Trafford, Van Gaal berjaya meletakkan United kembali sebagai pasukan digeruni baik dalam saingan domestik mahupun Eropah. 

Tanpa sebarang kejuaraan atau lebih buruk lagi terkeluar dari zon empat teratas sebenarnya situasi yang terlalu asing buat kelab besar seperti United. Van Gaal sepatutnya berasa bertuah kerana masih kekal dikerusi pengurus meskipun tidak berjaya menghadiahkan sebarang trofi pada musim pertamanya di Old Trafford (jika diambilkira perbelanjaan besar yang sudah beliau laburkan musim panas tahun lalu).

Walau bagaimanapun seperti yang saya katakan di awal tadi, beliau tetap berjaya melaksanakan misi utamanya iaitu membawa United kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah selepas semusim di belenggu prestasi buruk ketika era singkat Moyes (2013/14). 

Dengan pengalaman luas yang dimiliki Van Gaal dan falsafah permainannya, saya yakin koleksi trofi kejuaraan akan bertambah di Theatre of Dreams musim hadapan. 

Musim kedua beliau selaku pengendali United, tiada lagi istilah `musim eksperimen’ kerana jika banyak wang yang terpaksa dilaburkan pihak pengurusan bagi persiapan menghadapi musim baharu, bermakna keluarga Glazer juga hanya mahukan trofi kejuaraan sebagai pulangan ke atas beratus juta pound wang yang sudah mereka laburkan. 

Jika United sekali lagi menamatkan musim mereka tanpa trofi, percayalah kedudukan Van Gaal pasti dalam bahaya tetapi saya harap perkara itu tidak akan berlaku. Selamat berjaya Van Gaal…Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

01 Disember 2014

DISEMBER DATANG LAGI....

Selepas bermula perlahan, Manchester United kini seolah-olah mula mendapat momentum apabila menang tiga perlawanan terakhir mereka menewaskan Crystal Palace, Arsenal dan Hull City. Sembilan mata maksimum dari tiga perlawanan dan paling penting United kini berjaya meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas. Menentang Crystal Palace dan Hull City, tiada alasan untuk United gagal memungut tiga mata manakala kemenangan ke atas Arsenal di gelanggang lawan pula saya anggap satu kemenangan yang cukup penting. Semoga kejayaan meraih tiga mata di Emirates menjadi tonik mujarab buat barisan Louis Van Gaal melakukan kebangkitan pada baki saingan musim ini.

Selepas dihidangkan dengan ujian getir berdepan Chelsea, Manchester City dan Arsenal dalam tempoh sebulan, kredibiliti barisan Van Gaal sekali lagi bakal teruji sepanjang Disember ini. Disember sentiasa hadir untuk memberikan ujian getir bukan sahaja kepada United malah semua pasukan di Liga Perdana.

Awal pagi Rabu nanti, Stoke City menjadi lawan pertama yang perlu dihadapi United Disember ini, dan seminggu selepas itu ujian getir bakal diberikan Southampton pula di Stadium St Mary. Southampton mengejutkan kita dengan prestasi bagus yang ditunjukkan mereka di awal musim hingga membolehkan anak-anak buah Ronald Koeman meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas.

Walaupun The Saints tewas 0-3 kepada Manchester City di gelanggang sendiri semalam, saya yakin mereka akan bangkit dan sebagai pengendali berpengalaman, Koeman sudah tentu tahu bagaimana mahu menyediakan skuad terbaiknya bagi berdepan United 9 Disember ini.

Akhirnya perlawanan blockbuster yang ditunggu-tunggu tiba jua pada 14 Disember nanti apabila Old Trafford bakal menerima pula kunjungan Liverpool, pasukan yang sentiasa dianggap seteru abadi United sampai bila-bila.

Walaupun berjaya meletakkan diri di kedudukan empat teratas, prestasi United sendiri sebenarnya belum benar-benar menyakinkan manakala Liverpool pula gagal mengulangi prestasi bagus yang mereka pamerkan musim lalu apabila sekadar berada ditangga ke-11 (ketika ini). Memang diakui prestasi Liverpool jauh tersasar berbanding apa yang telah mereka tunjukkan musim lalu, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh diperlekehkan. Sejarah perseteruan yang panjang menyebabkan Battle of the Reds ini sentiasa sengit dan penting buat kedua-dua pasukan, kerana bukan hanya tiga mata yang menjadi rebutan, tetapi maruah juga bakal menjadi pertaruhan.

Pemain-pemain dan penyokong-penyokong kedua-dua kelab faham benar tentang betapa pentingnya pertembungan ini hinggakan atmosphere ketika perlawanan baik di bangku penonton mahupun di tengah padang sentiasa tegang dan mendebarkan. Atas semua faktor itu, United wajib memenangi perlawanan ini tambahan pula ianya dilangsungkan di gelanggang sendiri.

Saya berharap ketika tibanya detik kunjungan Liverpool nanti, Van Gaal akan kembali mendapatkan khidmat beberapa pemain utama yang ketika ini masih dibelenggu kecederaan. Amat penting untuk menyaksikan pemain-pemain seperti Phil Jones, Angel di Maria, Daley Blind, Rafael da Silva dan Luke Shaw segera kembali beraksi di atas padang kerana ketika saingan liga memasuki fasa kedua nanti, United perlu terus mengorak langkah memungut sebanyak mata yang boleh bagi memastikan kelab kembali beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan.

Saya gembira melihat Marcos Rojo kembali bermain selepas pulih dari kecederaan bahu lebih awal dari yang dijangkakan kerana pengalaman dan kekuatan beliau di benteng pertahanan amat-amat diperlukan ketika Luke Shaw, Phil Jones dan Rafael da Silva masih berada di bilik rawatan.

Cukup senang juga apabila melihat kelibat Radamel Falcao di jentera serangan kerana sentuhan pemusnah El Tigre bakal menjadikan bahagian hadapan United lebih tajam. Lebih daripada itu, kehadiran semula Falcao juga saya anggap tepat pada waktunya ketika Robin Van Persie seperti sudah hilang sentuhan jaringan ketika berada di hadapan gawang lawan walaupun beliau menyumbang satu gol dan satu assist ketika berdepan Hull City Sabtu lalu.

Selepas direhatkan lebih sebulan kerana kecederaan betis, saya yakin Falcao sudah cukup cergas untuk aksi selama 90 minit jika Van Gaal mahu meletakkan beliau dalam kesebelasan utamanya. Melihat kepada kesungguhan yang dipamerkan Falcao walaupun hanya diturunkan selama 20 minit Sabtu lalu, beliau sebenarnya hanya perlukan masa dan sedikit tuah untuk kembali menggegar gawang lawan selepas kali terakhir melakukannya ketika berdepan Everton 5 Oktober lalu. Tempoh paling getir sepanjang bulan Disember ialah apabila setiap pasukan perlu beraksi tiga perlawanan dalam tempoh lapan hari. Bermula pada 20 Disember hinggalah 28 Disember, United dijadualkan berdepan Aston Villa (gelanggang lawan), Newcastle United (gelanggang sendiri) dan Tottenham Hotspurs (gelanggang lawan).

Dalam tempoh ini jugalah kita akan melihat ada pasukan-pasukan pilihan yang mula keciciran mata kerana hilang fokus, berlakunya perubahan pada kedudukan carta liga terutamanya yang membabitkan empat kelab di kelompok teratas dan paling menarik ialah calon yang bakal menjuarai liga musim ini sudah boleh dilihat sebaik Disember melabuhkan tirainya.

Sepertimana yang saya sebutkan sebelum ini, memenangi kejuaraan liga bukanlah misi yang perlu dilaksanakan Van Gaal pada musim pertamanya di Old Trafford. Misi paling penting buat Van Gaal ialah membawa kelab di kedudukan empat teratas di penghujung musim nanti kerana itu paling utama berbanding impian mahu melihat trofi Liga Perdana kembali ke Old Trafford.

Selepas mencipta sejarah dengan melakukan perbelanjaan besar musim panas lalu, tiada alasan untuk Van Gaal gagal membawa United kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan, apatah lagi harapan yang diletakkan penyokong-penyokong United ke atas beliau cukup besar berdasarkan pengalaman, pencapaian, kredibiliti dan wang yang sudah dibelanjakan warga Belanda itu.

Hanya ada satu cara jika United mahu kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara, iaitu mereka perlu lebih konsisten menghadapi baki saingan musim ini. Tiada cara dan jalan lain ke arah itu. Jika segalanya kembali normal (krisis kecederaan tidak lagi menghantui United) manakala pemain-pemain pula berjaya menyerap sistem dan gaya taktikal yang digunakan Van Gaal, percayalah United akan tampil berbeza berbanding apa yang mereka pamerkan di awal musim dan tanda-tanda itu sudah mula kelihatan sekarang.

Setakat 13 perlawanan ini, nampaknya hanya Chelsea yang betul-betul konsisten manakala tiga lagi kelab yang berada di kedudukan empat teratas musim lalu (Manchester City, Arsenal dan Liverpool) masih terumbang-ambing dalam mencari rentak. Melihat kepada prestasi semasa, Chelsea agak sukar untuk dihampiri tetapi tiada yang mustahil buat United dan pasukan-pasukan lain seperti Tottenham Hotspurs, Newcastle United dan kini Southampton meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas. Walau bagaimanapun, United sendiri tidak boleh terlalu bergantung kepada prestasi tidak menentu pencabar-pencabar yang lain untuk terus berada di kedudukan empat teratas kerana seperti yang saya katakan tadi, untuk kekal di kedudukan tersebut, Van Gaal wajib menjadikan United lebih konsisten.

Saya yakin United akan kembali bermain di Liga Juara-Juara musim hadapan, bukan kerana Arsenal, Liverpool, Manchester City atau Tottenham tidak konsisten tetapi kerana United sendiri pasukan yang jauh lebih bagus berbanding musim lalu. Paling menarik ialah United di bawah kendalian Van Gaal sudah menunjukkan kembali kemampuan mereka menewaskan kelab besar Liga Perdana saat mereka menewaskan Arsenal di Emirates minggu lalu. Kejayaan menundukkan Arsenal di Emirates tetap satu kejayaan yang besar walaupun saya akui anak-anak buah Arsene Wenger ketika ini tidak berada pada tahap terbaik mereka.

Arsenal punya kualiti yang bagus dan saya tetap menganggap bahawa mereka masih lagi antara kelab besar di England walaupun kedudukan mereka ketika ini di luar zon empat teratas. Menarik juga apabila memikirkan dalam situasi kelab berdepan prestasi tidak konsisten disamping krisis kecederaan yang melanda pemain-pemain utama, The Red Devils masih lagi mampu memaksa sebuah pasukan yang sedang berada di puncak prestasi seperti Chelsea berkongsi mata.

Kekalahan tipis 0-1 kepada Manchester City di Stadium Etihad pula sepatutnya tidak perlu disesalkan jika diambilkira faktor bahawa United bermain dengan sepuluh pemain selama lebih 50 minit. Ini bukan tentang soal berkongsi mata atau kekalahan tipis, kerana lebih daripada itu saya melihat semangat melawan sudah kembali menjelma dalam diri pemain-pemain di mana dua aksi (menentang Chelsea dan City) boleh menjadi rujukan terbaik.

Tidak salah juga rasanya jika saya katakan momentum baik yang dipamerkan United ketika ini turut dibantu prestasi semasa Wayne Rooney. Selepas mempamerkan ketajaman dalam aksi antarabangsa menentang Slovenia dan Scotland, Rooney meneruskan sentuhan pemusnahnya di pentas domestik pula dengan menjadikan gawang Arsenal dan Hull City sebagai sasaran beliau.

Di Emirates, Rooney adalah ancaman buat benteng pertahanan Arsenal ketika Van Persie mempamerkan antara aksi terburuknya saat berdepan kelab yang pernah beliau wakili selama lapan tahun itu. Sabtu lalu ketika melayan kunjungan Hull City, Rooney menambah koleksi jaringannya musim ini kepada 5 gol selepas berjaya menembusi gawang Alan McGregor untuk gol kedua United. Sebelum ini Rooney antara pemain yang teruk dikritik dan kritikan terhadap beliau semakin tajam mengingatkan kepada armband ketua pasukan yang ada dilengannya. Rooney berjaya mengharungi tempoh-tempoh sukarnya dengan cukup cemerlang dan akhirnya kritikan kini bertukar menjadi pujian. Sebagai pemain berpengalaman dan kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan pula, kelibat dan sumbangan Rooney di atas padang memang sentiasa menjadi fokus utama.

Selain Rooney, prestasi beberapa pemain lain seperti Daley Blind, Marouane Fellaini, Michael Carrick dan David de Gea juga menarik untuk diperkatakan. Paling menonjol ialah kelibat De Gea sebagai pemain terakhir di barisan belakang. De Gea sentiasa berada pada masa dan tempat yang tepat untuk menyelamatkan gawang United dari dibolosi dan itulah yang beliau lakukan dalam enam atau tujuh perlawanan terakhir.

Meskipun prestasinya di awal musim sedikit longgar, kini posisi De Gea selaku penjaga gol nombor 1 United nampaknya sukar digugat. Malah bukan itu sahaja, Iker Casillas juga mula merasakan bahawa beliau kini bukan lagi pilihan automatik untuk mengawal gawang Sepanyol.

Disember datang lagi dan sepertimana tahun-tahun sebelumnya, Disember sentiasa menghidangkan cabaran sukar, bukan hanya kepada United tetapi juga kepada mana-mana pasukan. Sepanjang Disember, konsistensi, ketahanan mental dan fizikal pemain-pemain bakal diuji menerusi jadual-jadual perlawanan ketat yang perlu mereka harungi.

Disember juga adalah pentas terbaik untuk kita melihat kemampuan sebenar Van Gaal serta barisan pemain-pemainnya dan jika mereka masih kekal di kelompok empat teratas sebaik Disember berakhir, pentas Liga Juara-Juara musim hadapan sedia menanti buat barisan The Red Devils kembali memperagakan aksi mereka.

United sudah berada di kelompok empat teratas, semoga dipenghujung musim nanti mereka masih kekal di dalam kelompok ini, kelompok yang sentiasa dihuni oleh kelab-kelab terbaik di England dan kelompok di mana United biasanya berada. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

26 November 2014

22 TAHUN YANG LALU....

Dalam dekad terakhir karier pengurusan Sir Alex Ferguson di Old Trafford, beliau telah melakukan beberapa pembelian hebat dengan membawa masuk pemain-pemain seperti Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan Ruud Van Nistelrooy. Itu fakta yang memang kita tidak boleh nafikan terutamanya selepas menyaksikan sumbangan yang diberikan pemain-pemain ini selama bertahun-tahun mereka menyarung jersi merah United. Ronaldo dari pemain yang langsung tidak dikenali semasa beliau ditandatangani Sir Alex, kemudiannya memukau mata penyokong-penyokong United menerusi kepantasan dan liuk lenggoknya dengan kawalan bola menarik ketika memecah benteng pertahanan lawan. Van Nistelrooy tiba dari PSV Eindhoven untuk menjadi mesin gol The Red Devils walaupun keputusan Sir Alex mendapatkan khidmat beliau pada mulanya diragui kerana kecederaan lutut serius yang dialami The Flying Dutchman sebelum itu.

Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic berjaya menghadirkan mimpi buruk selama bertahun-tahun kepada penyerang lawan menerusi gandingan ampuh mereka di benteng pertahanan manakala Wayne Rooney pula kini tonggak utama kelab menerusi peranannya sebagai ketua pasukan. Mereka yang saya sebutkan di atas adalah pemain-pemain hebat, lagenda kelab dan nama mereka sudahpun tertulis dengan tinta emas di dewan kemahsyuran United. Walau sehebat mana dan sebesar mana sumbangan mereka sepanjang menyarung jersi kelab, tiada seorangpun diantara mereka yang mampu menandingi `King’ Eric Cantona. Maaf andainya anda tidak setuju dengan apa yang saya katakan tetapi itulah kebenarannya. Saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan Cantona sebagai pembelian terbaik pernah dilakukan Sir Alex kerana sumbangan dan peranan yang beliau mainkan biarpun hanya 5 musim menyarung jersi United.

Ketika karier singkatnya di Elland Road, Cantona berjaya membantu Leeds United menjulang trofi kejuaraan liga pada musim 1991-92 hingga menyebabkan nama beliau tiba-tiba menjadi sebutan peminat-peminat bolasepak di England. Bagaimanapun Cantona sebenarnya bukanlah pilihan pertama Sir Alex ketika beliau cuba menandatangani pemain-pemain baharu bagi memperkuatkan skuadnya dalam menghadapi saingan musim 1992-93. Kekecewaan tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim sebelumnya kepada Leeds menyebabkan Sir Alex meletakkan Alan Shearer dan David Hirst dalam radar buruannya. Bagaimanapun Shearer kemudiannya memilih Blackburn Rovers manakala Hirst pula kekal bersama Sheffield Wednesday hingga 1997. Ketika Sir Alex masih tercari-cari seorang penyerang sebagus Shearer untuk diberikan tanggungjawab selaku penggempur skuadnya, Bill Fotherby (Pengarah Urusan Leeds) pula tiba-tiba menghubungi Martin Edwards untuk bertanyakan kemungkinan United mahu menjual Denis Irwin.

Irwin bukan untuk dijual tetapi kesempatan itu digunakan Sir Alex untuk bertanyakan kepada Fotherby tentang hasrat beliau mahu mendapatkan Cantona. Perbincangan berlangsung dimana akhirnya Leeds melepaskan Cantona ke United dengan nilai perpindahan sebanyak £1.2 juta. Kehadiran Cantona segera mencetuskan impak apabila beliau berjaya membantu kelab muncul pemenang pertama kejuaraan Liga Perdana. Kejayaan pada musim 1992-93 itu juga menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga United selepas kali terakhir barisan Sir Matt Busby menjulang kejuaraan tersebut pada musim 1966-67. Selama 5 musim Cantona berjaya membantu United menjulang 4 kejuaraan liga, 4 kejuaraan Piala FA dan 3 trofi Charity Shields selain menjaringkan 82 gol dari 185 penampilan. Lebih daripada itu, kehadiran Cantona menjadikan United kembali digeruni dan kembali mendominasi bolasepak England. Hari ini 26 November, genaplah 22 tahun Cantona ditandatangani Sir Alex dari Leeds United.


Cantona bukan sahaja berjaya merubah nasib United, bukan sahaja menjaringkan gol demi gol tetapi beliau juga adalah pemimpin sejati ketika di atas padang walaupun `kepala anginnya’ kadangkala sukar diramal. Meskipun kariernya bersama United hanya berjalan selama  5 musim, sumbangan keseluruhan Cantona terhadap kebangkitan kelab di awal era 90an tidak perlu disangsikan lagi. Hanya satu perkara yang saya kesalkan bila bercakap tentang Cantona, bukan kerana insiden tendangan kung fu ke atas Matthew Simmons yang menyebabkan beliau digantung selama 8 bulan, tetapi kekesalan saya ialah kerana beliau mengambil keputusan bersara terlalu awal. Pada usia 30 tahun, Cantona sebenarnya masih mampu bermain 3 atau 4 tahun lagi sambil terus mempamerkan kepintarannya di atas padang, bukan menggantung boot. Selepas persaraan si genius ini pada 1997, ada ramai pemain United yang berjaya mengatasi beliau dari segi koleksi medal kejuaraan dan statistik di atas padang, tetapi tanpa Cantona, adakah United akan berada pada kedudukan sekarang? Persoalan ini sebenarnya sukar dijawab tetapi Cantona jelas berada pada level beliau yang tersendiri, itu saya pasti. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

24 November 2014

KEJAYAAN DI EMIRATES, TITIK KEPADA KEBANGKITAN UNITED?

Gol yang beliau jaringkan di Stadium Emirates kelmarin mengukuhkan lagi reputasi Wayne Rooney sebagai igauan buat barisan Arsenal setiap kali beliau diturunkan berdepan skuad kendalian Arsene Wenger itu. Saya akui Rooney sedang dalam on fire dan juga sedang berada dalam `mood' yang baik ketika ini. Rooney menyempurnakan sepakan penalti ketika berdepan Slovenia dalam kempen kelayakan Euro 2016 yang memberikan gol penyamaan buat England dan tiga hari selepas itu, beliau sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila dua golnya ke gawang Scotland memberikan kemenangan 3-1 buat England ke atas musuh tradisi mereka itu. Ketika prestasi Robin Van Persie sedang diperhatikan manakala Radamel Falcao pula entah bila akan kembali semula menyertai kesebelasan utama, ketajaman Rooney dalam menyudahkan peluang memang ditagih.

Gol diminit ke 85 itu menjadikan jumlah jaringan Rooney ke gawang Arsenal bertambah kepada 13 gol, sekaligus menyaksikan beliau muncul pemain paling banyak membolosi gawang The Gunners berbanding mana-mana pemain dalam sejarah Liga Perdana. Entah apa sebabnya, Arsenal sentiasa `bermurah hati' menghadiahkan rekod demi rekod kepada Rooney setiap kali mereka berdepan kapten United dan England itu di atas padang.  Gol pertama Rooney di pentas Liga Perdana djaringkan beliau ke gawang David Seaman 12 tahun yang lalu dan gol itu juga menamatkan rekod tanpa kalah 30 perlawanan Arsenal. Walaupun selepas berpindah ke Old Trafford, kelibat Rooney masih lagi menghantui barisan pertahanan Arsenal. Jika jaringannya pada 19 Oktober 2002 (ketika bermain untuk Everton) menamatkan rekod 30 perlawanan tanpa kalah Arsenal, dua tahun selepas itu Rooney sekali lagi melakukan perkara yang sama.

Anda tentu masih ingat bukan perlawanan sengit United/Arsenal di Old Trafford pada 24 Oktober 2004 yang menamatkan perjalanan epik Invincibles (49 perlawanan tanpa kalah) The Gunners? Selain Ruud Van Nistelrooy, Rooney juga antara penjaring gol di sebalik kemenangan 2-0 yang dicatat United dalam perlawanan yang dicemari dengan insiden Battle of the Buffet itu. Jangan lupakan juga bahawa gol ke-100 Rooney di Liga Perdana juga dihasilkannya ketika berdepan Arsenal. Bagaimanapun sebelum perlawanan  di Stadium Emirates kelmarin, Rooney sebenarnya hanya mampu menjaringkan dua gol setiap kali berdepan Arsenal di gelanggang lawan, jadi tidak hairanlah juga mengapa saya sedikit bimbang memikirkan kemampuan jentera hadapan United sebelum berlangsungnya aksi minggu ke-12 ini. Untuk rekod, gol pertama Rooney di Stadium Emirates dijaringkan pada 22 Januari 2007 (United tewas 1-2) dan selepas itu beliau terpaksa menunggu selama tiga tahun untuk sekali lagi menggegarkan gawang Arsenal di gelanggang lawan.

Melihat kepada prestasi bagus yang dipamerkan Rooney ketika menyarung jersi England minggu lalu, saya agak optimis beliau mampu melakukan sesuatu biarpun Stadium Emirates sebelum ini sentiasa tidak berpihak kepadanya. Akhirnya semangat ketika bersama skuad The Three Lions diulangi Rooney kelmarin apabila beliau berjaya memimpin United menang perlawanan pertama mereka di luar Old Trafford musim ini dan lebih manis ia berlaku di Stadium Emirates, gelanggang yang sering memberikan masalah kepada beliau. Melihat kepada krisis kecederaan yang seperti tiada kesudahannya menimpa kelab ketika ini, ditambah pula dengan prestasi tidak konsisten sepanjang 11 perlawanan yang lalu, saya yakin tidak ramai di antara kita yang menaruh keyakinan bahawa United akan berjaya membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Emirates walaupun prestasi Arsenal sendiri sebenarnya turut menjadi topik perbualan utama penyokong-penyokong mereka setiap minggu.

Atas semua faktor yang saya sebutkan tadi, beban berat sebenarnya terpaksa dipikul Rooney bukan sahaja sebagai ketua pasukan, tetapi juga selaku pemain United paling senior di atas padang. Dalam erti kata lainnya, perlawanan menentang Arsenal menjadi antara ujian paling besar buat Rooney dalam membuktikan bahawa keputusan Van Gaal menyerahkan armband ketua pasukan kepada beliau satu keputusan yang tepat. Kelmarin beliau berjaya mengharungi ujian besar ini dengan cemerlang, bukan sahaja sebagai pemimpin kepada rakan-rakan sepasukan yang lain tetapi turut menjaringkan gol yang cukup penting kepada kelab. Ketika Arsenal ghairah mengasak bagi mencari jaringan penyamaan, gol kedua United menerusi Rooney itu saya anggap penamat kepada perjuangan lawan dalam usaha mereka mengelak dari menerima kekalahan pertama di gelanggang sendiri musim ini.

Ini mungkin keputusan yang tidak adil buat Arsenal terutamanya selepas menyaksikan mereka menguasai permainan di babak pertama dan mencipta peluang-peluang terbaik yang boleh menghasilkan gol. Mereka menguasai permainan tetapi United pula bermain dengan strategi dan taktik yang tepat untuk menang dan itulah yang berlaku kelmarin. Seperti biasa corak permainan menyerang Arsenal memang menarik untuk disaksikan dan seperti biasa juga, ketika mereka sibuk melancarkan serangan, mereka meninggalkan banyak ruang kosong di belakang hingga sering dihukum lawan menerusi serang balas pantas. Berbeza dengan United, Arsenal tidak memiliki pemain yang boleh ditugaskan untuk menutup ruang kosong di kawasan sendiri ketika mereka menyerang dan atas faktor itulah mengapa pentingnya pemain seperti Marouane Fellaini atau Daley Blind dalam sesebuah pasukan.

Saya tiada sebarang rungutan selepas melihat sumbangan keseluruhan Marouane Fellaini dan Michael Carrick di bahagian tengah terutamanya dalam menyaingi kelibat Jack Wilshere, Aaron Ramsey atau Mikel Arteta. Ketika Carrick sibuk merancang permainan dari bawah, Fellaini pula seperti biasa menjalankan tugasnya sebagai `perampas bola' dan `perosak tempo permainan lawan' dengan cukup berkesan. Fellaini memang tidak sekreatif Carrick atau Angel di Maria tetapi kekuatan fizikalnya amat diperlukan di bahagian tengah dan itulah yang dilakukannya setiap kali berdepan Wilshere kelmarin. Saya juga cukup tertarik dengan ketenangan Tyler Blackett dan Paddy McNair di benteng pertahanan ketika menangani kemaraan Alexis Sanchez serta Danny Welbeck walaupun Van Gaal sebenarnya melakukan perjudian cukup besar dengan kembali menggunakan sistem tiga pemain pertahanan.

Jika anda tanyakan kepada saya siapakah pemain yang paling banyak menyelamatkan United sejak akhir-akhir ini, jawapannya sudah tentu ialah David de Gea. Kecergasan De Gea pada mulanya dipersoalkan berikutan kecederaan yang dialami beliau ketika bersama skuad kebangsaan Sepanyol tetapi akhirnya nama bekas penjaga gol Atletico Madrid itu ada dalam kesebelasan utama Van Gaal di Stadium Emirates. Ketika berdepan Everton, tindakbalas hebatnya menafikan percubaan Leon Osman dan Brian Oveido memastikan United meraih tiga mata penuh di Old Trafford hinggakan Roberto Martinez tanpa ragu meletakkan De Gea sebagai pemain yang memberikan perbezaan kepada keputusan perlawanan di scoreboard. Saat berdepan Chelsea pula, De Gea sekali lagi muncul penyelamat apabila menafikan dua peluang terbaik dari Eden Hazard meskipun di penghujung perlawanan jaringan Robin Van Persie memastikan United memungut 1 mata.

Kelmarin ketangkasan De Gea sekali lagi menyebabkan barisan hadapan Arsenal buntu dalam usaha mereka menghasilkan jaringan biarpun dihidangkan dengan deretan peluang keemasan. Walaupun akhirnya beliau tewas menerusi rembatan voli Olivier Giroud di penghujung permainan, sumbangan keseluruhan De Gea di gawang sepanjang 90 minit aksi di Stadium Emirates memang tidak boleh dinafikan. Ketangkasannya menghalang beberapa peluang terbaik Arsenal di separuh masa pertama memberikan lebih keyakinan kepada Smalling, McNair dan Blackett ketika bertahan. De Gea jelas sedang menikmati prestasi terbaiknya, maka tidak hairanlah mengapa kedudukan Iker Casillas sebagai penjaga gol utama La Furia Roja sejak sekian lama mula tergugat. Ketepikan sebentar fakta bahawa penyudah tumpul barisan hadapan Arsenal antara faktor penyumbang kejayaan United membawa pulang tiga mata penuh dari London, kerana lebih daripada itu saya melihat ini kemenangan yang cukup penting. Penting bukan kerana United menewaskan Arsenal tetapi penting kerana ia merupakan kemenangan pertama The Red Devils di gelanggang lawan musim ini. Semoga  kemenangan ini juga bakal menjadi titik kebangkitan untuk United lebih konsisten selepas ini. Glory Glory Manchester United!!! - A.J