Ketika
ramai penyokong-penyokong United sedang rancak membicarakan rumour perpindahan Sergio Ramos, Bastian
Schweinsteiger, Nicolas Otamendi atau beberapa lagi prospek yang dikatakan
berada dalam radar buruan kelab, saya pula masih menantikan siapakah penyerang
paling hampir yang bakal ditandatangani Louis Van Gaal sepanjang musim panas
ini.
Atau
adakah beliau sudah berpuas hati dengan kejayaan mendapatkan tandatangan
Memphis Depay yang juga merupakan penjaring terbanyak Eredivisie musim lalu untuk dijadikan sandaran bagi menggempur kubu
pertahanan lawan di samping Wayne Rooney dan Robin Van Persie?
Disaat
masa depan Van Persie di Old Trafford masih diperdebatkan, manakala Radamel
Falcao pula hampir pasti menyarung jersi biru Chelsea, maka tidak hairanlah
jika ada segelintir penyokong-penyokong United yang mula bimbang dengan kemungkinan
kelab masih terus meletakkan beban memburu gol di bahu Rooney sebaik sepak mula
musim baharu dimulakan nanti.
Seperti
yang saya sebutkan dalam artikel sebelum ini, jika Van Persie meninggalkan
kelab manakala Falcao pula semakin menghampiri Stamford Bridge, hanya Rooney
satu-satunya penyerang (tulen) paling berpengalaman dimiliki Van Gaal selaku
sandaran utama di barisan hadapan.
Musim
lalu, Rooney muncul penjaring terbanyak United dengan 14 gol (jumlah terendah
sejak Frank Stapleton melakukannya pada 1982), manakala Van Persie pula meledak
10 gol selepas kerap keluar masuk dalam kesebelasan utama akibat kecederaan.
Jadi
tidak hairanlah mengapa ada kebimbangan di kalangan penyokong-penyokong United
tetang situasi terkini yang dihadapi kelab terutamanya apabila melihat musuh
tradisi seperti Liverpool berjaya mendapatkan James Milner, Roberto Firmino,
Adam Bogdan, Danny Ings, Joe Gomez manakala Nathaniel Clyne menjadi anggota
terbaru The Reds.
Saya
tidak mahu bercakap tentang kualiti pemain yang ditandatangani Brendan Rodgers
kerana semua itu akan terjawab apabila saingan musim baharu bermula nanti
tetapi pemain seperti Milner sudah membuktikan kualitinya ketika menyarung
jersi Aston Villa, Manchester City dan skuad kebangsaan England.
Ketika
ada segelintir penyokog-penyokong United yang mempertikaikan kualiti
pemain-pemain baharu yang ditandatangani Rodgers di media sosial, saya pula
lebih gemar melihat dari sudut betapa seriusnya beliau mempersiapkan The Reds bagi menghadapi cabaran musim
baharu nanti.
Okey,
lupakan apa yang sedang berlaku di Anfield kerana fokus pada kali ini ialah
melihat penyerang mana yang bakal dibawa Van Gaal sebagai pengganti jika beliau
berhasrat melepaskan Van Persie dan Falcao ke pasukan lain.
Kita
perlu mengakui selain benteng pertahanan yang perlu diperkuatkan, jentera
serangan United juga perlu diberikan suntikan baharu agar lebih tajam selepas
melihat persembahan keseluruhan terutamanya dari Van Persie, Rooney dan Falcao
sepanjang musim lalu.
Kombinasi
Van Persie, Rooney dan Falcao masing-masing menyumbang 28 gol dari jumlah
keseluruhan 62 gol yang dihasilkan United musim lalu (hanya dua gol mengatasi
jumlah jaringan Sergio Aguero yang muncul penjaring terbanyak). Situasi ini
memang membimbangkan walaupun pada awalnya saya jangkakan barisan serangan
United bakal digeruni dengan kehadiran Falcao dari Monaco.
Entah
apa sebabnya Falcao gagal memenuhi jangkaan awal. El Tigre nampaknya terpaksa bergelut untuk cuba menyesuaikan diri
dengan corak permainan United dan tempo Liga Perdana yang tentunya jauh berbeza
berbanding Primeira Liga (Portugal), La Liga (Sepanyol) dan Ligue 1 (Perancis).
Mungkin
juga Falcao masih bergelut untuk cuba mengembalikan sentuhan penyudah tajamnya
selepas pulih dari kecederaan lutut yang teruk hingga mengakibatkan beliau
terlepas peluang menyarung jersi Colombia di pusingan akhir Piala Dunia 2014.
Tambah
memburukkan keadaan buat United, Van Persie yang dianggap mesin gol ketika
kelab menjulang kejuaraan liga ke-20 (musim 2012-13) juga berdepan masalah
kecederaan hingga menjejaskan prestasinya sebagai antara penggempur disegani di
atas padang. Prestasi Van Persie musim lalu jauh berbeza berbanding ketika
beliau muncul penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2011/12 dan 2012/13.
Atas
sebab itu maka tidak hairanlah jika tiba-tiba nama Harry Kane dilaporkan
menjadi sasaran utama Van Gaal musim panas ini. Bukan hanya Kane, malah Karim
Benzema juga dikatakan berada dalam radar buruan kelab meskipun Sir Alex
Ferguson ketika eranya gagal mendapatkan tandatangan penyerang antarabangsa
Perancis ini.
Jika
bukan Kane ataupun Benzema sekalipun, saya berpendapat memang menjadi satu
kemestian buat Van Gaal mendapatkan seorang penyerang baharu selepas apa yang
dipamerkan barisan hadapan United sepanjang musim lalu. Apa yang diperlukan
United ialah seorang penyerang yang memiliki kelajuan ketika bola beada dikaki
dan pantas menghidu peluang terhidang di hadapan gawang lawan.
Kita
pernah memiliki seorang penyerang seperti itu. Contoh yang saya maksudkan ialah
Ruud Van Nistelrooy dan beliau masih diingati sejak kali terakhir menyarung
jersi United pada 2006. Begitu juga dengan Javier Hernandez, supersub yang sering memberikan masalah
kepada mana-mana pertahanan berpengalaman lawan setiap kali beliau diturunkan.
Kedua-dua
mereka tidak memiliki skill kawalan
bola memukau seperti Ronaldinho tetapi kelajuan yang mereka miliki dan
kepantasan menyambar peluang di hadapan gawang sentiasa menjadi ancaman
terbesar buat mana-mana pertahanan lawan.
Saya
sentiasa mengingati bagaimana Van Nistelrooy menggunakan kepantasannya
menewaskan Sylvain Legwinski, Andy Melville, Martin Djetou serta Abdesalam
Ouaddou dari tengah padang dan kemudiannya mudah menolak bola masuk ke gawang Maik
Taylor ketika United berdepan Fulham dalam aksi liga pada 22 Mac 2003.
Van
Nistelrooy menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu, tetapi gol diminit ke 68
itu akan kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila. Van Nistelrooy antara
penyerang terbaik United pernah saya saksikan dan sehingga kini saya masih
menanti bilakah agaknya seorang penyerang yang memiliki killer instinct seperti beliau kembali menyarung jersi kelab.
Jika
Van Gaal mahu mendapatkan seorang penyerang berpangalaman luas, pernah beraksi
di pentas tertinggi saingan kelab-kelab Eropah atau memiliki berpuluh-puluh caps bersama skuad kebangsaan, pilihan
utama sudah tentu terarah kepada Benzema atau Edinson Cavani. Bagaimanapun ada
permata baharu di Ligue 1 yang sudah
mula menarik perhatian banyak kelab-kelab utama Eropah. Siapa lagi kalau bukan
Alexandre Lacazette (Olympique Lyon), penjaring terbanyak musim lalu dengan 27
gol.
Lacazette
bukan sahaja merupakan seorang finisher
yang cukup bagus ketika berada dalam petak penalti lawan, tetapi juga memiliki
keupayaan melepaskan rembatan tepat dari jarak jauh. Kemampuan beliau melakukan
gelecekan, umpanan dan `memegang’ bola adalah aset tambahan yang dimiliki
penyerang ini.
Apa
yang lebih menarik tentang pemain ini ialah kemampuan beliau bermain di sebelah
kiri atau kanan dalam sistem 4-3-3 dengan meletakkan Nabil Fekir selaku
penyerang tengah jika Hubert Fournier mahu melakukan sebarang perubahan
taktikal dalam sistem permainan pasukannya.
Lacazette
sudah membuktikan kemampuannya di Ligue 1
tetapi adakah beliau boleh melakukan perkara yang sama jika berhijrah ke Liga
Perdana? Jawapan saya mudah, mana-mana pemain Perancis sebelum ini sudah
membuktikannya. Thierry Henry, Emmanuel Petit, Patrick Vieira, Louis Saha, Eric
Cantona, Steed Malbranque, Sylvain Distin, Samir Nasri, Bacary Sagna, David
Ginola dan ramai lagi menjadi tonggak buat kelab masing-masing di Liga
Perdana.
Jika
sebahagian nama-nama yang saya sebutkan di atas berjaya beradaptasi dengan baik
dengan suasana kehidupan di England dan corak permainan Liga Perdana hingga ada
di antara mereka diangkat sebagai lagenda, saya yakin seorang lagi warga
Perancis tidak bermasalah melakukan perkara yang sama.
Lacazette
melakukan tugasnya dengan cukup cemerlang bersama Lyon di Ligue 1, menjaringkan banyak gol bukan hanya dari situasi terbuka
tetapi juga kerana kemampuan beliau menyusup di belakang pertahanan lawan. Atas
sebab itulah mengapa lagenda United sendiri, Louis Saha melabelkan pemain ini
sebagai penyerang yang bijak mencuri dan mencari peluang.
Kehadiran
Lacazette (jika Van Gaal berminat dan berjaya mendapatkan beliau) akan
melengkapkan sistem permainan 4-3-3 yang sering digunakan pengendali ini
penghujung musim lalu. Sepertimana yang anda tahu, Rooney menghabiskan
sebahagian besar musim lalu dengan bergerak di belakang Van Persie dan
kemudiannya beralih ke hadapan dalam sistem 4-3-3.
Rooney
pada pandangan saya masih lagi penyerang yang tajam dan perlu dihormati di Liga
Perdana, jadi keputusan Van Gaal kembali meletakkan kapten ini di hadapan satu
keputusan yang tepat. Saya tidak pasti berapa lama Van Gaal akan terus
meletakkan Rooney selaku penyerang tengah tetapi dengan United sendiri sudah
memiliki Memphis Depay di sebelah kiri, Lacazette seperti yang saya katakan
tadi akan melengkapkan sistem 4-3-3 Van Gaal.
Akhirnya
persoalan paling besar adalah siapa penyerang yang bermain difikiran Van Gaal
untuk beliau tandatangani bagi memberikan suntikan baharu di bahagian hadapan
skuadnya dan juga sebagai pengganti kepada Van Persie serta Falcao (jika
kedua-duanya dilepaskan ke pasukan lain)?
Jika
Van Gaal memilih plan jangka panjang sebagai sandaran, Kane dan Lacazette
adalah calon utama, tetapi jika beliau mahukan seorang penyerang yang memiliki
pengalaman luas sepertimana Falcao dan Van Persie, saya yakin beliau akan
meletakkan Benzema dan Cavani dalam radar buruannya. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan