28 April 2016

PELUANG LIMA PASUKAN MENGIRINGI LEICESTER DAN TOTTENHAM KE LIGA JUARA-JUARA MUSIM HADAPAN

Ketika Leicester City dan Tottenham Hotspurs masih berjuang bagi merebut kejuaraan liga musim ini (mungkin hingga ke perlawanan terakhir), Manchester City, Arsenal, Manchester United dan West Ham pula mengintai peluang merebut dua lagi slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Bagi Liverpool pula, meskipun peluang mereka untuk berada di kedudukan empat teratas kelihatan hampir mustahil, slot ke Liga Juara-Juara mampu dijangkau dengan syarat The Reds  mesti meletakkan diri mereka di St Jakob Park, Basel 18 Mei nanti dan menjulang kejuaraan Liga Europa di sana.

Jika anda lihat kedudukan carta liga setakat ini, City dan Arsenal memiliki peluang lebih besar untuk merebut dua lagi slot ke Liga Juara-Juara selepas masing-masing mengumpul 64 mata untuk berada di tangga ketiga dan keempat. Bagaimanapun peluang tetap masih terbuka buat United yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan disamping mereka juga perlu menang baki empat perlawanan liga musim ini. Berdepan Leicester City, Norwich City, West Ham dan Bournemouth, United tidak boleh melepaskan sebarang mata sambil berharap City dan Arsenal melakukan kesilapan saat akhir.

Selain Leicester dan Spurs, baki dua lagi kekosongan ke saingan Liga Juara-Juara masih menjadi rebutan antara City, Arsenal, United, West Ham dan Liverpool. Tiada sebarang kesilapan `bodoh’ boleh dilakukan kelima-lima pasukan jika mahu menyertai kelompok elit kelab-kelab Eropah yang beraksi di Liga Juara-Juara atau jika tidak mereka terpaksa menerima hakikat sekadar beraksi di saingan kasta dua (Liga Europa) musim hadapan. Dengan baki perlawanan yang tinggal, bagaimana peluang City, Arsenal, United, West Ham dan Liverpool merebut dua lagi slot sebagai wakil Liga Perdana ke Liga Juara-Juara? Untuk itu mari kita lihat peluang kelima-lima pasukan ini pada baki perlawanan mereka selepas ini.

MANCHESTER CITY

The Citizens berjaya mengharungi perlawanan ke-35 mereka dengan bergaya selepas membenam Stoke City 4-0 di Stadium Etihad. Baki tiga perlawanan mereka selepas ini ialah menentang Southampton, Arsenal dan Swansea City. Aksi menentang Arsenal satu-satunya perlawanan yang berlangsung di gelanggang mereka sendiri manakala Southampton pula bakal memberikan ujian getir di St Mary 1 Mei ini. Minggu hadapan menjadi minggu yang agak sibuk buat City kerana mereka bukan sahaja perlu berdepan cabaran sukar di St Mary tetapi empat hari selepas itu, giliran Real Madrid pula menanti mereka di Santiago Bernabeu dalam aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara.

Aksi di St Mary dan Santiago Bernabeu bakal menguji sejauh mana kekuatan mental dan fizikal anak-anak buah Pellegrini di penghujung musim tatkala mereka juga sedang bergelut mempertahankan kedudukan di kelompok empat teratas Liga Perdana. Jika nantinya mereka sukses melepasi halangan Southampton dan Real Madrid, saya tetap tertanya-tanya bagaimanakah kondisi barisan Pellegrini saat berdepan Arsenal, hanya tiga hari selepas aksi di Bernabeu berlangsung. Dengan 64 mata yang mereka miliki dan berada di tangga ketiga liga, City tidak perlu bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain. Apa yang perlu dilakukan City ialah meraih sembilan mata maksimum dari baki tiga aksi terakhir mereka.

ARSENAL

Daripada sebuah pasukan yang pada mulanya diramalkan mampu menjulang kejuaraan liga musim ini, Arsenal kini sebaliknya terpaksa bergelut mempertahankan kedudukan mereka di tangga keempat liga. Misi mereka untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara tersentak hasil dari keputusan seri yang diraih ketika menentang Sunderland di gelanggang lawan Ahad lalu. Hujung mingu ini, Arsenal akan menanti kunjungan Norwich City di Stadium Emirates dan sepertimana Sunderland yang mereka hadapi tempohari, The Canaries bimbingan Alex Neil juga dalam misi keluar dari zon penyingkiran.

Perjuangan untuk terus berada di Liga Perdana musim hadapan menjadikan pasukan seperti Sunderland dan Norwich cukup berbahaya bukan sahaja kepada Arsenal tetapi juga kepada mana-mana pasukan yang berdepan dengan mereka. Selepas keciciran mata di Stadium of Light, Arsenal pastinya tidak mahu perkara sama berulang di hadapan penyokong mereka sendiri kerana jika perkara itu berlaku sekali lagi, kedudukan tangga keempat liga milik mereka dalam bahaya. Sepertimana City, Arsenal juga tidak perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain dengan syarat mereka perlu menang kesemua baki tiga perlawanan mereka.

MANCHESTER UNITED

Saya berharap kejayaan layak ke pentas akhir Piala FA buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun menjadi suntikan moral tambahan kepada anak-anak buah Louis Van Gaal bagi merealisasikan misi layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Berbanding City dan Arsenal, United memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan di mana mereka perlu menangani Leicester City, Norwich City, West Ham dan Bournemouth pada baki aksi liga mereka selepas ini. Ada tiga perlawanan sukar yang perlu dihadapi United iaitu saat menanti kunjungan calon juara liga musim ini, Leicester City di Old Trafford, menentang Norwich dan West Ham di gelanggang lawan.

Cabaran getir buat United bermula Ahad ini apabila Leicester hadir di Old Trafford dengan misi mengesahkan kejuaraan liga mereka. Jika berhasil menunda perayaan kejuaraan The Foxes dengan menewaskan anak-anak buah Claudio Ranieri, Van Gaal masih perlu memikirkan cabaran yang bakal menanti mereka di Carrow Road dan Boleyn Ground. Norwich sepertimana yang saya sebutkan tadi boleh menjadi pasukan yang sangat berbahaya ketika misi untuk kekal di Liga Perdana menjadi keutamaan mereka. Jika Leicester dan Norwich berjaya ditumbangkan, United masih ada tugas besar yang perlu mereka selesaikan, iaitu menumbangkan West Ham di Boleyn Ground pula.

Sejak kali terakhir ditewaskan Bournemouth (3-4) dalam saingan liga 22 Ogos tahun lalu, tiada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan barisan kendalian Slaven Bilic itu (dalam aksi liga) di Boleyn Ground. Ditambah pula dengan fakta bahawa mereka juga dalam misi menempatkan diri di kedudukan empat teratas, aksi di Boleyn Ground 11 Mei ini pastinya sukar buat United. Melihat kepada senarai lawan yang bakal dihadapi selepas ini, laluan United untuk merebut salah satu tiket ke Liga Juara-Juara musim hadapan cukup sukar berbanding laluan City dan Arsenal. United memerlukan keajaiban untuk meraih sembilan mata ketika berdepan Leicester, Norwich dan West Ham sambil berharap City atau Arsenal tergelincir disaat akhir.

WEST HAM UNITED

Berbanding United, The Hammers memiliki baki perlawanan yang agak mudah dalam usaha mereka mengintai slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Meskipun mereka kini berada di tangga keenam liga, selain ketinggalan tiga mata di belakang United, peluang anak-anak buah Slaven Bilic menyingkirkan City atau Arsenal dari kedudukan empat teratas lebih baik berbanding United atau Liverpool. Dibantu dengan prestasi ampuh di gelanggang sendiri selain hanya perlu berdepan tiga pasukan yang tidak lagi memiliki sebarang misi pada baki saingan musim ini (West Brom, Swansea dan Stoke City), saya tidak akan menyalahkan Mark Noble sekiranya beliau sudah mula memasang angan-angan mengetuai rakan-rakan sepasukannya di pentas Liga Juara-Juara musim hadapan.

LIVERPOOL

Jika diambilkira pungutan mata dan kedudukan liga mereka setakat ini, Liverpool sepatutnya sudah melupakan sebarang hasrat untuk beraksi di Liga Juara-Juara musim hadapan. Bagaimanapun berbanding United dan West Ham, peluang The Reds untuk muncul wakil kelima dari Liga Perdana yang beraksi di Liga Juara-Juara lebih realistik. Semuanya kerana mereka kini sudah berada di peringkat separuh akhir Liga Europa. Jurgen Klopp tidak perlu mencongak keputusan baki perlawanan liga skuadnya dan pesaing-pesaing mereka kerana apa yang perlu beliau lakukan sekarang ialah membawa Liverpool mara ke final dan menjulang trofi Liga Europa di Basel nanti.

Jika menang kesemua baki empat perlawanan liga mereka sekalipun (menentang Swansea, Watford, Chelsea dan West Brom), peluang Liverpool meletakkan diri mereka di kedudukan empat teratas tetap sangat-sangat mustahil. Jadi jika saya berada di tempat Klopp, saya akan hanya memikirkan jalan pintas untuk beraksi di Liga Juara-Juara di mana jalan tersebut ialah dengan memenangi Liga Europa. Membawa Liverpool menjuarai Liga Europa lebih realistik buat Klopp berbanding meletakkan skuadnya di kedudukan empat teratas dalam carta liga. Kejayaan mereka menyingkirkan Borussia Dortmund di peringkat suku akhir meletakkan Liverpool calon pilihan mara ke Basel. Musim hadapan mungkin kita bakal menyaksikan giliran Liga Perdana pula menghantar lima wakil mereka ke saingan Liga Juara-Juara selepas La Liga melakukannya musim ini.

Glory Glory Manchester United!!! - AJ

18 April 2016

BUKAN SENSASI SEMUSIM

Baru berusia 18 tahun dan baru diketengahkan dalam skuad senior United musim ini oleh Louis Van Gaal. Bagaimanapun anak muda bernama Marcus Rashford ini tidak menunggu lama untuk mencetuskan sensasi menerusi gol-gol penting jaringannya buat The Red Devils. Ketika berdepan West Ham dalam perlawanan ulangan pusingan ke-6 Piala FA, Rashford sekali lagi menunjukkan kepada kita bahawa beliau adalah bintang masa depan di barisan hadapan United menerusi gol menarik di Boleyn Ground. Ketika golnya di Boleyn Ground masih menjadi topik bualan hangat penyokong-penyokong United, Rashford sekali lagi meledak dengan menjadikan gawang Brad Guzan pula sebagai bukti ketajaman penyudahnya.

Sejak melakukan debut untuk skuad senior, Rashford sudah menjaringkan tujuh gol, sekaligus muncul pemain paling produktif di hadapan gawang lawan jika diambilkira fakta bahawa beliau baru beraksi 12 perlawanan untuk United. Melihat kepada umurnya, beliau memang bakat muda yang luarbiasa atau mungkin juga tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Marcus Rashford adalah sensasi baharu di Old Trafford. Beliau mewarnai debut untuk United dengan dua gol ke gawang FC Midtjylland sekaligus menutup peluang kelab Denmark itu untuk melakar kejutan selepas menang pada perlawanan pertama.

Selang beberapa hari selepas itu, Rashford melakukan debut di Liga Perdana pula saat berdepan Arsenal di Old Trafford. Dan sekali lagi magis anak muda ini berterusan apabila beliau menjaringkan dua gol selain satu assist di sebalik kemenangan 3-2 United ke atas The Gunners. Kelmarin, gol Rashford ke gawang Villa pula bukan sahaja penting kepada survival United dalam memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, tetapi juga punya makna tersendiri dari segi statistik. Untuk rekod, gol jaringan Rashford itu menyaksikan beliau muncul pemain United paling banyak menjaringkan gol (3 gol) di babak pertama dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford musim ini.

Setakat ini (selain gol-gol jaringan Rashford), United hanya mampu menjaringkan tiga gol di babak pertama pada aksi yang dilangsungkan di Old Trafford, iaitu menerusi Memphis Depay (2 gol) dan satu gol sendiri oleh Kyle Walker ketika berdepan Tottenham Hotspurs pada aksi pertama liga. Gol ke gawang Villa juga merupakan gol keempat sumbangan Rashford dalam saingan liga dan lebih menariknya empat gol jaringannya dihasilkan hanya menerusi lima percubaan atau lebih tepatnya hanya sekali Rashford tersasar.

Rashford menjaringkan tujuh gol dalam semua peringkat kejohanan setakat ini dan jumlah tersebut menyaksikan beliau muncul pemain United paling banyak menjaringkan gol pada penampilan musim pertama bersama skuad senior yang bermain kurang dari 15 perlawanan. Anthony Martial yang mencetuskan sensasi dan rasa teruja kepada kita pada penampilan pertamanya memerlukan 21 perlawanan sebelum berhasil menjaringkan gol ketujuhnya untuk United. Selain dari statistik yang disebutkan tadi, Rashford juga mencatat rekod sebagai penjaring termuda United dalam sejarah pertembungan menentang Arsenal dan Derby Manchester.

Melihat kepada segala statistik dan rekod jaringannya setakat ini, tidak hairanlah mengapa kelibat Rashford menjadi sasaran buruan media di England. Saya berharap apa yang berlaku kepada Memphis Depay menjadi pengajaran berguna kepada Rashford. Sorotan media yang berlebihan menyaksikan Depay `raja di luar padang’ tetapi longlai di atas padang. Dahulu, Sir Alex Ferguson pernah mengenakan larangan tampil di hadapan media kepada Ryan Giggs di peringkat awal karier beliau bersama skuad senior. Saya berharap Van Gaal juga ada cara atau polisi sama yang pernah digunakan Sir Alex bagi melindungi pemain-pemain mudanya dari menjadi sasaran media.

Ketika ini media-media di England sudah mula melakukan gerak kerja bagi melariskan jualan akhbar mereka dengan menjadikan kemungkinan Rashford disenaraikan dalam skuad England ke kejohanan Euro 2016 sebagai tajuk utama. Perkara ini pantas mendapat reaksi Roy Hodgson yang tidak menolak kemungkinan membariskan Rashford dalam skuad Three Lions yang bakal beraksi di Perancis nanti. England memang pernah memberikan kesempatan buat beberapa pemain muda mereka tampil di kejohanan Euro sebelum ini, jadi jika Rashford tersenarai itu bukanlah sesuatu yang terlalu ganjil.

Pada usia 18 tahun, Wayne Rooney pernah diberikan peluang tampil pada kejohanan Euro 2004 manakala Alex Oxlade-Chamberlain pula dibawa di kejohanan Euro 2012. Jadi dengan prestasi semasa yang dipamerkan Rashford, tidak mustahil jika kali ini tiba pula giliran beliau diketengahkan England dalam kejohanan empat tahun sekali itu. Mungkin peluang tampil di Euro satu bentuk penghargaan kepada Rashford hasil dari prestasi cemerlang yang beliau pamerkan di peringkat kelab musim ini tetapi langkah menyenaraikan beliau dalam skuad kebangsaan dianggap langkah terburu-buru oleh lagenda Liverpool, Robbie Fowler.

Fowler lebih gemar melihat pemain muda seperti Rashford secara perlahan berkembang dari bawah sebelum matang dan kemudiannya disenaraikan dalam skuad senior kebangsaan. “Memang selama mewakili skuad remaja Manchester United rekodnya cukup fantastis dan catatan tersebut diteruskan bersama skuad senior. Bagaimanapun idea menyenaraikan beliau dalam skuad senior kebangsaan Jun nanti merupakan hal yang cukup gila. Biarkan dia berkembang terlebih dahulu dari musim ke musim dan selepas matang barulah difikirkan untuk menyenaraikan namanya ke skuad kebangsaan”, kata Fowler.

Mungkin ada kebenarannya apa yang dikatakan Fowler jika diambilkira perkembangan Oxlade-Chamberlain sejak diberikan peluang tampil di Euro 2012 oleh Hodgson. Meskipun dilabel sensasi baharu bolasepak England ketika itu hingga menjadi rebutan antara Unted dan Arsenal, Oxlade-Chamberlain tidak berkembang seiring dengan label `Pemain Paling Berbakat Di England’ yang pernah diletakkan ke atas beliau (kecederaan juga antara faktor yang menyekat berkembangan beliau). Kita tidak tahu adakah mental Rashford sekuat Rooney yang hingga kini menjadi sandaran England sejak tampil dalam skuad bimbingan Sven-Goran Eriksson di Euro 2004.

Jika bukan di Perancis Jun nanti, pentas apakah yang paling sesuai buat Rashford memperagakan bakat dan ketajamannya di peringkat antarabangsa selepas cemerlang dalam saingan domestik? Lebih kurang setahun dari sekarang, bakal berlangsung kejohanan Euro U-21 di mana skuad U-21 England kendalian Gareth Southgate berada dalam posisi terbaik untuk layak ke Poland. Melihat kepada prestasi semasa Rashford dalam saingan domestik bersama United, saya yakin nama beliau sudah tentu berada dalam perancangan Southgate sebagai opsyen tambahan bagi memperkuatkan jentera serangan skuadnya.

Baki tiga aksi kelayakan menentang Norway, Kazakhstan dan Bosnia Herzegovina adalah peluang terbaik buat Southgate menilai kemampuan sebenar Rashford selepas beliau mencetuskan sensasi untuk United. Bersaing dengan rakan-rakan hampir sebaya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad U-21 England pada pandangan saya lebih realistik berbanding meletakkan Rashford bersama kelompok pemain senior. Hodgson boleh membawa Rashford ke Perancis nanti atau membiarkan remaja ini membina keyakinan dalam kejohanan peringkat umur dahulu seperti kejohanan U-21 Eropah sebelum bersedia mengetuk pintu skuad senior kebangsaan.

Kehadiran Rashford bagi saya pengubat kepada musim `membingungkan’ United di era Van Gaal. Ketajaman beliau di hadapan gawang lawan mengingatkan saya kepada sederet penggempur-penggempur berbisa yang pernah menyarung jersi kelab sebelum ini. Saya berharap anak muda ini tidak tewas dengan sorotan dan perhatian berlebihan yang diberikan media terhadap beliau dan jika ada pemain yang mahu dijadikan contoh, Rashford tidak perlu memandang terlalu jauh kerana idola tersebut ada di hadapan matanya. Pemain yang saya maksudkan siapa lagi jika bukan Wayne Rooney.

Pada usia 18 tahun, Rooney seperti Rashford juga pernah mencetuskan sensasi. Perpindahannya dari Goodison Park ke Old Trafford 12 tahun yang lalu menjadikan beliau sebagai pemain remaja termahal dunia ketika itu. Rooney muncul remaja `paling dikehendaki’ media di England untuk melariskan jualan akhbar mereka namun segala tumpuan di luar padang tidak langsung menganggu rentaknya ketika di atas padang. Semangat meluap-luapnya setiap kali bermain dan sentiasa mahu meletakkan dirinya sebagai pilihan utama pengurus menjadikan Rooney kekal sebagai tonggak utama kelab bagi tempoh lebih dari sedekad.

Apa yang sudah disumbangkan Rooney sejak menyertai United cukup fantastis, jadi saya berharap Rashford dapat belajar dari sang kapten itu bagaimana cara beliau menguruskan karier profesionalnya bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar padang. Berharap jugalah semoga Rashford bukan sekadar sensasi semusim dan semoga apa yang berlaku kepada penyerang-penyerang muda United sebelum ini seperti Federico Macheda dan Giuseppe Rossi tidak menimpa beliau. Rashford sudah mencetuskan sensasi pada musim pertamanya bersama skuad senior tetapi ini hanyalah langkah permulaan dari langkah-langkah seterusnya yang bakal beliau atur.

Semoga 10 tahun dari sekarang saya masih mampu menyaksikan kelibat Marcus Rashford selaku penggempur dengan jersi merah United. Ketika itu Rashford bukan budak mentah seperti sekarang, kerana ketika itu beliau sudah jauh lebih berpengalaman. Semoga ketika itu namanya sudah sebaris dan seharum dengan barisan penggempur-penggempur lagenda United sebelum ini. Adakah 10 tahun dari sekarang Rashford mampu meletakkan dirinya sehebat Sir Bobby Charlton, Brian McClair, Mark Hughes, Eric Cantona, Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar-Solskjaer, Ruud Van Nistelrooy, Cristiano Ronaldo atau Wayne Rooney yang menjadi mesin gol buat United? Atau adakah beliau bakal menjadi satu lagi produk yang gagal sepertimana David Bellion, Macheda dan Rossi?

Kelmarin satu lagi catatan unik dihasilkan Rashford pada musim pertamanya di Liga Perdana bilamana gol tunggal jaringannya menyaksikan peluang Aston Villa kekal di Liga Perdana tertutup rapat. Agak aneh rasanya menyaksikan selepas ini tiada lagi kelibat The Villa, kelab yang sudah sekian lama beraksi di liga utama England (Liga Perdana), bahkan sebelum Rashford dilahirkan lagi. Dengan deretan rekod dan statistik unik yang sudah beliau cipta pada usia hanya 18 tahun, yakinlah bahawa Rashford bukan sensasi semusim….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

11 April 2016

MEMANG SUDAH DIJANGKA

Kekalahan yang memang sudah dijangka apatah lagi bila berdepan antara pasukan paling konsisten di Liga Perdana musim ini. Walaupun menang dua perlawanan sebelum ini (menentang Man City dan Everton), tidak banyak harapan yang boleh saya letakkan kepada anak-anak buah Louis Van Gaal apatah lagi bila mengingatkan bahawa Spurs berada dalam mood yang cukup baik untuk menamatkan kemarau 55 tahun tanpa kejuaraan liga sejak kali terakhir melakukannya pada 1961. Musim ini adalah peluang terbaik bagi Spurs untuk melakukannya (menjulang kejuaraan liga) dan jika gagal entah bila peluang sebaik ini akan datang lagi.

Jadi tidak hairanlah mengapa pada peringkat ini mereka begitu bermotivasi manakala United pula bagi saya hadir di tempat dan masa yang kurang tepat. Keputusannya anda sendiri dapat saksikan awal pagi tadi di mana Spurs akhirnya berjaya menamatkan penantian panjang selama 15 tahun dengan menewaskan United di White Hart Lane. Melihat jumlah gol di akhir perlawanan, situasi ini sememangnya agak asing bagi kita jika diambilkira rekod baik United setiap kali berdepan Spurs sebelum ini. Jika dilihat kepada statistik perlawanan pun, saya terpaksa mengakui bahawa United memang bermain dengan cukup buruk manakala lawan pula jelas kesebelasan yang jauh lebih bagus.

Walaupun mampu bertahan, tanda-tanda kehancuran sudah mula kelihatan sebaik Timothy Fosu-Mensah dikeluarkan kerana kecederaan diminit ke-68 dan dua minit selepas itu gol pertama lawan pun terhasil. Sebaik United kehilangan Fosu-Mensah, arus perlawanan sudah tidak lagi memihak kepada mereka dan dalam tempoh 10 minit selepas anak muda ini dikeluarkan, barisan hadapan Spurs berjaya menewaskan David De Gea sebanyak tiga kali. Sama seperti Marcus Rashford, Fosu-Mensah juga baru berusia 18 tahun tetapi prestasi yang dipamerkan beliau selama 68 minit di atas padang semalam bagi saya sesuatu yang luar biasa.

Sepanjang aksinya di atas padang, Fosu-Mensah melakukan lima tackle dan menang kesemuanya. Semalam, beliau pemain pertahanan United paling energik di hadapan De Gea, jadi tidak hairanlah mengapa kehilangannya begitu dirasai. Tidak hairan juga mengapa selepas United kehilangan beliau, Spurs berjaya menjaringkan tiga gol dan lebih menariknya kesemua gol tersebut dicipta dari sebelah kanan pertahanan, posisi yang dihuni Fosu-Mensah sebelum ini. Saya bukan mahu memperkecilkan kemampuan Matteo Darmian yang jauh lebih berpengalaman berbanding Fosu-Mensah, tetapi dalam menangani taktik counterpressing Spurs, United perlukan kekuatan fizikal dan kelajuan Fosu-Mensah berbanding pengalaman Darmian.

Jika kehilangan Fosu-Mensah saya anggap titik tolak kepada kekalahan besar semalam, jangan lupakan juga faktor bahawa ada beberapa pemain United yang bermain dibawah tahap sebenar. Agak aneh bila memikirkan Chris Smalling yang dianggap tonggak utama di benteng pertahanan dan pemain paling penting bagi United musim ini serba tidak menjadi di White Hart Lane. Statistik menunjukkan beliau melakukan lima tackle dan kelima-limanya gagal beliau menangi selain beberapa kesilapan mudah yang beliau lakukan hingga membahayakan pintu gol sendiri. Lihat bagaimana kegopohan beliau dalam perebutan bola tinggi hingga membuka peluang kepada gol pertama Spurs.

Selain Smalling, prestasi yang ditunjukkan Jesse Lingard dan Juan Mata juga turut mengecewakan saya. Bermain penuh selama 90 minit, Lingard gagal mencipta sebarang impak atau lebih tepatnya beliau sekadar `penumpang’ dalam kesebelasan United. Lingard gagal melakukan sebarang dribbles malah lebih dari itu tiada langsung percubaan tepat yang beliau lakukan bagi menguji Hugo Lloris di gawang lawan. Mata pula yang sering digunakan Van Gaal sebagai sayap kanan musim ini tidak memiliki kepantasan untuk memikul tugas di posisi tersebut. Sama seperti Lingard, tiada satu pun dribbles berjaya dilakukan Mata sepanjang 76 minit aksinya di atas padang.

Satu perkataan yang mungkin boleh saya gunakan bagi menggambarkan corak permainan United semalam ialah `MEMBOSANKAN’. Perkataan inilah yang sering digunakan penyokong-penyokong United bila berbincang di media sosial setiap kali selepas perlawanan dan itulah juga yang berlaku semalam. Saya akui menentang Spurs yang berada dalam mood terbaik dan di puncak prestasi mereka di White Hart Lane memang bukan tugas mudah. United pada pandangan saya cuba bermain selamat bagi mengimbangi taktik counterpressing lawan dengan cuba menguasai bola selama yang boleh. Hasilnya sepanjang perlawanan United hanya berjaya mencipta empat peluang jaringan gol, catatan kedua terendah berbanding kelab-kelab lain di Liga Perdana minggu ini.

Tidak seperti Spurs yang berani mengambil risiko dengan melakukan hantaran-hantaran dari bahagian tengah terus ke barisan serangan mereka, pemain-pemain United pula seperti biasa melakukan hantaran sesama sendiri dengan sekadar berlegar-legar di bahagian tengah dan akhirnya bola kembali ditolak ke belakang. Meskipun berisiko, Spurs sentiasa mencipta peluang-peluang bahaya di hadapan gawang lawan berbanding United yang cuba bermain selamat. Akhirnya meskipun cuba bermain selamat, United terpaksa menerima hakikat gawang mereka dibolosi tiga kali dalam tempoh hanya enam minit dan menelan kekalahan kali pertama dalam tempoh 15 tahun di White Hart Lane.

Ramai yang melabelkan permainan United di bawah kendalian Van Gaal sebagai membosan. Ya, suka atau tidak kita terpaksa mengakui akan kebenaran itu. Trademark permainan United menerusi gerakan-gerakan serang balas pantas dari sebelah sayap sudah lama hilang. Juga tiada lagi gerakan-gerakan kreatif dari bahagian tengah yang menghasilkan killer pass untuk disudahkan oleh barisan serangan sepertimana pernah dilakukan Paul Scholes dulu. Yang ada sekarang cumalah permainan possession football kebanggaan Van Gaal dengan pemain-pemain tengah lebih kerap bertukar hantaran sesama sendiri tanpa ada keinginan untuk mengambil risiko bagi memecah benteng pertahanan lawan.

Bukan sahaja gameplay yang diterapkan beliau dilabel sebagai membosankan malah keputusan-keputusan aneh Van Gaal di atas padang juga kerap mengundang seribu persoalan dan itulah yang berlaku semalam. Entah apa yang ada dalam fikiran beliau bila meletakkan Ashley Young sebagai penyerang di White Hart Lane. Di posisi yang terlalu asing buatnya, Young seperti hilang punca sepanjang separuh masa kedua bila beliau diminta menggantikan tempat Marcus Rashford. Sepanjang 45 minit, Young tidak langsung melakukan percubaan, mencipta peluang atau berpeluang melakukan diving, `senjata' yang cukup beliau gemari terutamanya bila berada di dalam petak penalti lawan.

Alasan beliau meletakkan Young sebagai penyerang ialah supaya pemain itu boleh melakukan banyak pergerakan-pergerakan tanpa bola. Aneh bukan kerana bukankah Anthony Martial dan Rashford sudah melakukan hal yang sama (strategi berlari tanpa bola) sepanjang separuh masa pertama? Akhir sekali walaupun pedih dengan kekalahan semalam, satu-satunya faktor yang boleh memujuk hati saya ialah bahawa United ditewaskan pasukan yang sedang berada di posisi menjulang kejuaraan. Kekalahan kepada Spurs sudah dijangka dan boleh diterima (walaupun 0-3 agak keterlaluan) berbanding jika United kalah kepada Aston Villa, Sunderland atau Newcastle United.

Dengan kekalahan ini juga, peluang buat United mengisi salah satu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan semakin tipis. Walaupun saya berharap ada keajaiban berlaku pada baki enam perlawanan United selepas ini, saya juga dalam masa yang sama perlu bersedia menerima hakikat bakal menyaksikan aksi United di peringkat Eropah musim hadapan pada awal pagi Jumaat. Gagal beraksi di Liga Juara-Juara satu kegagalan total kepada Van Gaal selepas beliau berbelanja besar dalam tempoh dua musim menerajui United. Jika nantinya saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Juara-Juara, saya berharap dalam masa yang sama saya juga akan mengucapkan selamat tinggal kepada Van Gaal….Glory Glory Manchester United!!! – A.J

10 April 2016

SI SERBA BOLEH YANG SELALU DILUPAKAN

Beliau bukanlah pemain pertahanan tengah tulen, tetapi bila kudratnya diperlukan Louis Van Gaal untuk diletakkan di posisi tersebut, Daley Blind tidak banyak merungut malah mampu memainkan peranan sebagai bek tengah dengan berkesan. Di pusingan akhir Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Brazil, Daley digunakan Van Gaal sebagai wingback (kiri) dalam sistem permainan 3-5-2 kegemaran beliau. Di Brazil dua tahun lalu, Daley memainkan peranannya dengan berkesan di posisi tersebut selain muncul antara tonggak penting di sebalik kejayaan Belanda mara ke peringkat separuh akhir.

Paling diingati sudah tentu hantaran kaki kirinya yang berjaya ditanduk masuk Robin Van Persie ke gawang Sepanyol ketika Belanda membelasah juara bertahan itu 5-1 pada aksi pertama peringkat kumpulan. Musim lalu Daley sering bertukar-tukar posisi sama ada bertindak selaku wing back dan juga pemain tengah bertahan mengikut kesesuaian sistem permainan yang diamalkan Van Gaal. Selain Michael Carrick, Blind antara pemain serba boleh yang ada dalam skuad United dan musim ini keserba bolehan Daley sekali lagi diuji bilamana beliau digandingkan bersama Chris Smalling pula selaku bek tengah.

Daley tidak memiliki susuk fizikal tegap sepertimana bek-bek tengah United sebelum ini selain hakikat bahawa beliau juga bukanlah seorang bek tengah tulen. Berbanding ayahnya (Danny Blind) yang memang cukup terkenal sebagai sweeper berpengaruh ketika zaman beliau sebagai pemain untuk Ajax dan skuad kebangsaan Belanda, Daley pula bermula sebagai pemain tengah bertahan di peringkat awal karier profesionalnya. Satu persamaan yang dimiliki Daley dan bapanya ialah kebolehan mereka bermain lebih dari satu posisi.

Selain dari seorang sweeper yang cukup disegani di zaman kemuncaknya, Danny juga boleh diletakkan sebagai bek kanan dan ada kalanya juga mampu memikul tugas sebagai pemain sayap. Begitu juga dengan Daley yang mampu berperanan sebagai wingback, pemain tengah bertahan dan kini diletakkan pula sebagai bek tengah untuk United. Prestasi bagus Daley di pusingan akhir Piala Dunia 2014 turut menyaksikan beliau diiktiraf antara fullback terbaik di kejohanan empat tahun sekali itu dan beliau akhirnya dibawa Van Gaal ke Old Trafford untuk memperkuatkan United musim lalu.

Peringkat awal karier Daley di Old Trafford, beliau kerap digunakan Van Gaal sebagai bek kiri ataupun pemain tengah bertahan tetapi sesuatu yang tidak dijangka berlaku musim ini. Kerana masalah kecederaan berulang yang menimpa Phil Jones dan Marcos Rojo, Van Gaal terpaksa mengubah posisi Daley sekali lagi. Kali ini beliau meletakkan pemain ini di posisi bek tengah pula bersama Smalling. Dengan ketinggian 5’ 11”, Daley seperti yang saya katakan tadi memang tidak memiliki fizikal yang kebiasaannya ada pada seorang pemain pertahanan tengah.

Jadi tidak hairanlah mengapa tindakan Van Gaal meletakkan beliau bersama Smalling diposisi yang pernah dihuni lagenda-lagenda pertahanan United menimbulkan persoalan di kalangan pemerhati dan penyokong-penyokong United sendiri. Melihat kepada susuk tubuhnya, Daley bukanlah lawan kepada penyerang-penyerang tegap di Liga Perdana seperti Graziano Pelle, Bafetimbi Gomis, Olivier Giroud atau Diego Costa. Walau bagaimanapun kekurangan itu diimbangi beliau menerusi kebolehan dalam melakukan hantaran dan menyusun serangan dari bawah.

Sebagai pemain yang pernah memiliki pengalaman bertindak selaku midfielder, Daley menjadikan diri beliau sedikit berbeza berbanding pemain-pemain pertahanan tengah yang lain. Bercakap tentang statistik beliau ketika melakukan hantaran, Daley berjaya mengatasi catatan Juan Mata dan juga Michael Carrick, iaitu dua pemain United yang beraksi di bahagian tengah. Dari 29 perlawanan, Daley berjaya melakukan 1,590 hantaran dengan ketepatan mencapai 84% manakala Mata pula dari 31 perlawanan melakukan 1,396 hantaran dengan ketepatan 89%.

Dengan adanya seorang pemain pertahanan tengah yang bagus dalam melakukan hantaran, sesebuah pasukan boleh membangunkan gerakan-gerakan ke kawasan lawan dari bawah dan itulah yang dilakukan Daley. Selain dari banyaknya jumlah hantaran yang sudah beliau lakukan, Daley juga cukup bagus ketika melakukan hantaran-hantaran jauh. Purata jarak hantaran jauh yang dilakukan Daley dalam setiap perlawanan ialah 22m berbanding pemain-pemain United yang lain seperti Mata (16m), Carrick (18m) dan Morgan Schneiderlin (17m).

Jika Daley kerap dan bagus dalam melakukan hantaran bagaimana pula dengan kemampuan beliau melakukan tackle, aset yang cukup diperlukan oleh seorang pemain pertahanan? Seperti yang saya katakan tadi, melihat kepada susuk tubuh yang dimiliki Daley, beliau memang tidak mampu menangani penyerang-penyerang tegap di Liga Perdana jika berlaku pertembungan fizikal. Bagaimanapun kekurangan itu sekali lagi dimbangi beliau menerusi kemampuan melakukan tackle ketika mematahkan serangan lawan.

Jika anda mengharapkan dapat melihat terjahan-terjahan keras sepertimana yang pernah dilakukan Vidic dan Ferdinand ketika mereka mengepalai benteng pertahanan United, anda patut kecewa kerana Daley bukanlah pemain seperti itu. Meskipun tidak memiliki fizikal yang tegap seperti Vidic dan Ferdinand, teknik Daley ketika melakukan tackle patut anda kagumi berdasarkan statistik yang dikeluarkan. Secara keseluruhannya Daley melakukan 113 tackle dalam aksi liga setakat ini dengan 58 daripadanya berjaya beliau menangi.

Bagi seorang pemain bukan bek tengah tulen seperti Daley, kerja-kerja yang dilakukan beliau di benteng pertahanan United setakat ini patut anda kagumi. Dan lebih mengagumkan ialah fakta bahawa statistik tersebut juga mengatasi catatan yang dilakukan bek-bek tengah tulen di Liga Perdana seperti Robert Huth, Laurent Kocielny dan Toby Alderweireld. Untuk rekod dari 32 perlawanan liga, Kocielny hanya berjaya memenangi 22 dari 98 tackle yang beliau lakukan manakala Huth dan Alderweireld masing-masing 27.

Melihat segala sumbangan dan peranan yang dimainkan beliau sejak tiba di Old Trafford musim lalu, jelaslah bahawa Daley memang antara pemain istimewa yang ada dalam skuad United bukan sahaja kerana bakatnya tetapi juga kerana versatility permainan yang beliau miliki. Agak aneh bagi saya bila melihat beliau sering dijadikan sasaran kritikan oleh penyokong-penyokong setiap kali United berdepan kekalahan tetapi dilupakan jika mereka menang dan bermain dengan baik. Mungkin itulah harga sebenar terpaksa dibayar oleh seorang wira yang tidak didendang seperti beliau.

Letakkanlah beliau di posisi manapun, Daley sentiasa sahaja memberikan komitmen jitu tanpa banyak rungutan. Meskipun dilahirkan bukan sebagai seorang pemain pertahanan tengah tulen, beliau sudah membuktikan bahawa beliau memang seorang pemain versatile apabila melaksanakan tanggungjawabnya sebagai rakan gandingan Smalling dengan cukup cemerlang. Melihat bagaimana cemerlangnya beliau merantai pergerakan Romelu Lukaku minggu lalu, saya terlupa bahawa Daley hanyalah `bidan terjun’ yang diletakkan Van Gaal sebagai bek tengah selepas beliau berdepan krisis kecederaan yang melibatkan pemain-pemain pertahanannya. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

30 Mac 2016

PEMAIN YANG DIJANGKA MENINGGALKAN OLD TRAFFORD MUSIM PANAS INI

99.9% saya yakin bahawa ada pengendali baharu yang bakal tiba di Old Trafford musim panas ini bagi menggantikan tempat Louis Van Gaal. Siapa individu tersebut saya tidak pasti kerana ia masih menjadi teka-teki yang sukar dijawab. Rumour tentang siapa pengurus baharu United umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Ramai penyokong yang sudah hilang sabar dan berharap Van Gaal segera mengosongkan pejabatnya di Old Trafford penghujung musim ini. Mungkin sahaja Jose Mourinho dilantik menggantikan beliau sepertimana yang digembar-gemburkan atau mungkin ada nama lain yang difikirkan pihak pengurusan lebih layak untuk duduk di kerusi panas selaku pengurus United.  

Jika benar tanggapan media bahawa Mourinho bakal melatih United musim hadapan, pastinya Ed Woodward akan sekali lagi sibuk memburu pemain yang disasarkan The Special One sepanjang jendela perpindahan pemain musim panas nanti. Pengurus baharu bukan sahaja mahukan pemain baharu yang difikirkan sesuai dengan taktikal permainan atau falsafah bolasepak anutan mereka, tetapi kedatangan pengurus baharu juga bakal menyaksikan beberapa pemain sedia ada terpaksa meninggalkan pasukan dan mencari kelab baharu.

Mungkin disebabkan faktor sering dibelenggu kecederaan, tidak lagi efektif, tiada dalam perancangan atau tidak lagi mampu memberikan sumbangan berkesan kepada kelab, pemain-pemain `yang tidak lagi diperlukan’ ini akhirnya terpaksa angkat kaki. Pemain datang dan pergi adalah lumrah dalam dunia bolasepak, dan suka atau tidak saban musim anda terpaksa menyaksikan pemain kegemaran anda meninggalkan kelab dan menyertai pasukan lain disebabkan faktor yang saya sebutkan tadi. Siapakah pemain yang bakal menjadi korban perancangan pengurus baharu United nanti?

Berdasarkan khabar-khabar angin yang bertiup kencang, saya senaraikan enam pemain yang digembar-gemburkan bakal meninggalkan Old Trafford musim panas nanti. Siapakah mereka?

MARCOS ROJO


Sejak ditandatangani Van Gaal musim lalu, Rojo tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau mampu menguasai posisi bek kiri untuk jangkamasa yang panjang. Pada usia yang sudah mencecah 26 tahun, Rojo sepatutnya mampu memainkan peranan penting dalam kesebelasan utama United tetapi itu tidak berlaku selepas hampir dua musim beliau berada di Old Trafford. Beliau kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah di benteng pertahanan dan jika benar Mourinho dilantik menggantikan tempat Van Gaal nanti, Rojo bakal berdepan masalah.

Sebagai seorang pengurus yang begitu mementingkan kekuatan di benteng pertahanan, nama Rojo saya jangka bakal terkeluar dari perancangan Mourinho musim hadapan. Dengan perkhabaran terbaru bahawa beliau ingin kembali semula ke kampung halamannya bagi menyertai Estudiantes yang juga merupakan `cinta pertamanya’, Rojo adalah nama paling atas yang saya jangka bakal meninggalkan Old Trafford sebaik musim ini berakhir.

ANTONIO VALENCIA



Ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Wigan Athletic pada musim panas 2009, Antonio Valencia pada mulanya diharapkan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo dek kerana kepantasan yang beliau miliki. Kehilangan Ronaldo memang dirasai, tetapi kehadiran Valencia menerusi kepantasan larian-lariannya dari sebelah tepi memberikan harapan bahawa beliau mampu menghadirkan mimpi ngeri buat bek kiri lawan dalam jangkamasa yang panjang.

Dari musim 2009-10 hingga 2012-13, Valencia memang sandaran utama United di posisi sayap kanan tetapi segalanya tampak tidak lagi menyebelahi beliau selepas itu. Musim 2014-15, Valencia menamatkan musim tersebut tanpa menjaringkan sebarang gol meskipun beliau beraksi 32 perlawanan liga untuk United. Masalah kecederaan yang berpanjangan menjejas prestasi Valencia dimana setakat ini beliau hanya beraksi enam perlawanan liga untuk United. Hampir pasti musim panas nanti akan ada nama lain yang bakal dibawa masuk untuk menggantikan tempat beliau.

PHIL JONES


Jones antara pemain kegemaran saya walaupun sejak kebelakangan ini beliau sering dijadikan sasaran kutukan peminat-peminat United. Saya kagum melihat attitude beliau di atas padang serta corak permainan kerasnya. Dan kerana corak permainan beliau yang keras jugalah penyebab utama mengapa Jones sering dilanda kecederaan. Ketika ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Blackburn Rovers pada 2011, Jones dianggap prospek masa depan United dan skuad kebangsaan England.

Pada usia 24 tahun, Jones masih memiliki tempoh yang panjang sebagai pemain dan dengan bakat yang beliau miliki agak malang sekiranya Jones terpaksa bersara di usia muda kerana kecederaan yang sering berulang. Meskipun baru menandatangani kontrak baru musim panas tahun lalu, agak sukar untuk membayangkan kita dapat menyaksikan lagi kelibatnya sebagai pemain United musim hadapan. Musim ini Jones hanya bermain sebanyak 12 perlawanan liga gara-gara kecederaan dan jika beliau mahu mengatasi masalah itu, Jones perlu mengubah corak permainannya.

ADNAN JANUZAJ


Wonderkid ini digembar-gemburkan bakal menjadi bintang besar di Old Trafford suatu hari nanti, tetapi prestasi semasa bersama skuad senior nampaknya tidak langsung menunjukkan tanda-tanda bahawa ramalan ini bakal menjadi kenyataan. Menyinar sebentar ketika era David Moyes selaku pengurus, Januzaj kemudiannya tercari-cari sentuhan sebenar yang pernah menyebabkan ramai pihak melabelkan beliau sebagai `Next George Best’. Musim ini Van Gaal menghantar beliau ke Signal Iduna Park untuk menimba pengalaman selepas gagal merebut tempat dalam skuad utama United tetapi langkah itu juga nampaknya tidak berhasil.

Bersama Borussia Dortmund, Januzaj hanya berjaya tampil sebanyak tiga kali sebagai starter hingga memaksa Van Gaal memanggil beliau kembali ke Old Trafford Januari lalu. Agak malang menyaksikan Januzaj gagal menggunakan sepenuhnya peluang bermain dibawah kendalian Thomas Tuchel, pengendali yang berjaya menjadikan Emerick Aubameyang penggempur digeruni di Bundesliga dan menyebabkan pemergian Jurgen Klopp tidak ditangisi penyokong-penyokong Die Borussen. Jika Januzaj dilepaskan pergi, saya berharap kesilapan sama ketika membiarkan Paul Pogba menyertai Juventus tidak berulang.

MAROUANE FELLAINI


 Ketika David Moyes menandatangani Fella dari Everton pada 2014, ramai penyokong United yang bersorak gembira menyambut kehadiran beliau. Bagaimanapun situasi sekarang sudah berputar 360° buat Fella di mana beliau kini bukan lagi wira tetapi sebaliknya nama yang tidak ingin disaksikan penyokong-penyokong dalam lineup United. Ketika beliau berada di Goodison Park, Fella merupakan pemain yang paling berbahaya dan perlu diawasi setiap kali United berdepan Everton. Bukan mudah menangani pemain yang memiliki fizikal seperti Fella, hinggakan pertahanan kelas dunia seperti Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand pun terpaksa bergelut setiap kali berdepan beliau.

Apa yang menyebabkan Fella sudah tidak lagi ditakuti pertahanan lawan sejak beliau menyertai United? Jawapan paling tepat kepada soalan ini mungkin datangnya dari bekas pemain United sendiri iaitu David May. Menurut May, Fella sebenarnya diletakkan di luar posisinya hingga menjejaskan sumbangan beliau kepada pasukan. Ketika bersama Everton, Fella lebih banyak digunakan bagi membantu serangan berbanding sekarang di mana posisi beliau agak jauh ke belakang. Mungkin ada benarnya pendapat May, tetapi apa yang pasti dengan prestasi dan sumbangan beliau setakat ini, Fella antara yang saya yakin bakal meninggalkan Old Trafford musim panas nanti.

WAYNE ROONEY


Jika mahu menikmati cabaran baharu dan buat duit sebelum bersara, inilah masanya untuk Wazza mengucapkan selamat tinggal kepada para Stretford Enders selepas 12 tahun menyarung jersi United. Sebelum ini pun, ada berita yang menyebut bahawa kelab-kelab kaya dari Liga Super China sedia menjadikan Wazza pemain yang menerima gaji paling mahal di dunia asalkan beliau sanggup beraksi di negara Tembok Besar itu. Melihat kepada prestasi, sumbangan dan statistik jaringannya yang semakin menurun, sukar untuk melihat Wazza terus kekal di Old Trafford musim hadapan walaupun beliau masih lagi dianggap tonggak kelab.

Kehadiran bintang penyerang muda seperti Marcus Rashford serta Anthony Martial juga seolah-olah petanda bahawa masa keemasan Wazza bersama United kian berada di penghujung. Pada usia yang bakal mencecah 31 tahun Oktober nanti, Wazza bukan lagi penyerang yang sama seperti lima atau enam tahun yang lalu. Dan ketika usia semakin menghambat kariernya, kita terpaksa mengakui bahawa United perlukan nafas baharu yang lebih segar untuk menerajui jentera serangan mereka. Wazza jenis pemain yang tidak gembira memegang watak pembantu atau sekadar memanaskan bangku simpanan, jadi jalan terbaik buat beliau ialah mencari kelab baharu yang mampu menawarkan tempat buatnya selaku watak utama.

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! - AJ

23 Mac 2016

KENALI LAGENDA: STEVE BRUCE

Steve Bruce mungkin nama tidak terkenal seperti David Beckham ataupun Cristiano Ronaldo tetapi jangan lupakan bahawa beliau merupakan salah seorang pemain dari generasi kebangkitan semula Manchester United di era 90’an. Dilahirkan pada 31 Disember 1960, Bruce yang kini bertugas selaku pengendali Hull City memulakan karier bolasepaknya bersama Gillingham sebelum menyertai Norwich City pada musim panas 1984. Jika bercakap tentang Bruce, ramai yang mengingati beliau sebagai kapten United pertama yang berjaya menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam tempoh 26 tahun pada musim 1992-93.

Bagaimanapun mungkin juga ramai yang tidak sedar bahawa Bruce hampir sahaja berhenti bermain bolasepak selepas tidak menerima mana-mana tawaran hinggalah Gllingham datang dengan tawaran kontrak di mana beliau kemudiannya menghabiskan tempoh selama lima tahun di Priestfield dan bermain lebih 200 perlawanan. Walaupun pada usia remaja Bruce bergelut mencari kelab yang mampu memberikan peluang buat beliau memperagakan bakatnya, tawaran Manchester United pada musim panas 1987 memang tidak dijangka dan tidak mampu untuk ditolak.

Walaupun ketika itu The Red Devils sentiasa dibayangi dominasi Liverpool, Arsenal, Everton dan Tottenham Hotspurs di pentas domestik, peluang menyertai kelab yang memiliki tradisi dan sejarah gemilang seperti Manchester United memang tidak harus dilepaskan. Debut Bruce untuk United berlaku pada 19 Disember 1987 ketika menentang Portsmouth di mana skuad Sir Alex Ferguson menang 2-1 dalam perlawanan itu. Bruce mengharungi musim 1987-88 dengan beraksi sebanyak 21 perlawanan dan berjaya membantu kelab menduduki tangga kedua liga yang juga merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lapan tahun.

Di Old Trafford, Bruce muncul antara tonggak penting buat barisan Sir Alex Ferguson dan bersama Gary Pallister beliau membentuk antara gandingan bek tengah terbaik pernah disaksikan dalam sejarah kelab. Bermula dengan kejayaan menjulang Piala FA pada 1990, Bruce kemudiannya berjaya mengumpul 12 medal kejuaraan bersama United sepanjang sembilan tahun beliau menyarung jersi United. Meskipun cemerlang di peringkat kelab, anehnya Bruce tidak pernah dipanggil menyarung jersi kebangsaan England dan pencapaian tertinggi beliau di pentas antarabangsa sekadar 1 caps untuk skuad England B.

Musim 1991-92, Bruce terpaksa berehat selama beberapa bulan kerana menjalani pembedahan hernia hingga menjejaskan pemburuan kejuaraan liga United. Di akhir musim, United tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraan kepada Leeds United yang ketika itu diperkuatkan Eric Cantona menerusi perbezaan hanya empat mata. Musim 1992-93, kemaraan United nyata sukar dibendung dan dengan kehadiran Eric Cantona, The Red Devils kendalian Sir Alex Ferguson akhirnya berjaya menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga mereka. Musim tersebut juga menyaksikan Bruce dilantik sebagai ketua pasukan selepas Bryan Robson berehat hampir separuh musim akibat kecederaan.

Dua gol yang dijaringkan Bruce menerusi tandukan ketika pertemuan menentang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 akan sentiasa dikenang penyokong-penyokong United sampai bila-bila. Kerana gol itulah United berjaya mengesahkan kejuaraan liga mereka sekaligus mengetepikan cabaran Aston Vila di tangga kedua. Bruce kemudiannya melakar sejarah baru buat dirinya apabila berjaya menjulang kejuaraan double pada musim 1993-94. Kejayaan menjulang kejuaraan liga dan Piala FA itu menyaksikan beliau muncul warga Inggeris pertama selepas Sir Bobby Charlton yang berjaya menjulang kejuaraan double sebagai kapten pasukan.

Reputasi Bruce bersama United menarik minat Jack Charlton selaku pengurus skuad Republik Ireland ketika itu untuk menawarkan beliau tempat dalam skuadnya. Bruce bagaimanapun terpaksa menolak dari mewakili negara kelahiran ibunya itu disebabkan peraturan kuota pemain asing di Liga Perdana (sebelum wujudnya Peraturan Bosman) yang boleh memberikan masakah kepada United dalam liga domestic dan hal ini didedahkan beliau dalam autobiografinya. Bruce terlepas aksi final Piala FA 1996 menentang Liverpool akibat kecederaan yang menyaksikan Eric Cantona mengetuai The Red Devils menjulang kejuaraan tersebut menerusi jaringan dramatik dimasa tambahan.

Pada usia 35 tahun, karier Bruce di Old Trafford berakhir apabila beliau memilih untuk menyertai Birmingham City pada musim panas 1996 meskipun masih memiliki baki setahun kontrak bersama United. Sepanjang kariernya sebagai pemain, Bruce memang cukup dikenali sebagai seorang pemain pertahanan yang keras tetapi tenang. Kemampuan menyerap tekanan dan memberikan motivasi kepada rakan-rakan sepasukan di atas padang menyebabkan Sir Alex tanpa ragu menyerahkan armband ketua pasukan kepada beliau selepas Bryan Robson meninggalkan kelab.

Sebagai pemain pertahanan tengah, kemampuan Bruce dalam menjaringkan gol juga cukup mengagumkan. Dari 309 aksi liganya untuk United, Bruce berjaya menjaringkan 36 gol, angka yang cukup banyak buat seorang pemain pertahanan seperti beliau. Dan sudah tentu seperti yang saya katakan tadi, dua gol beliau menerusi tandukan ke gawang Sheffield Wednesday pada 10 April 1993 pastinya antara momen yang tidak akan pernah saya lupakan jika bercakap tentang individu bernama Stephen Roger Bruce ini. Bermula pada 1987 dan berakhir pada 1996, tanpa ragu Bruce bukan sahaja antara bek tengah terbaik pernah saya saksikan menyarung jersi United, tetapi juga pemimpin sejati menerusi keterampilannya di atas padang.