13 Julai 2016

£100 JUTA...BERBALOIKAH DIBELANJAKAN UNTUK POGBA?

Berakhir sudah kejohanan Euro 2016 dan ini juga bermakna tumpuan peminat-peminat bolasepak seluruh dunia kembali terarah kepada persiapan pra musim kelab kesayangan masing-masing sebelum bermulanya musim kompetitif 2016-17. Perpindahan pemain tentunya menjadi topik paling panas yang dibincangkan peminat-peminat bolasepak baik di media sosial mahupun di kedai kopi setiap kali mereka berkumpul.

Bagi penyokong-penyokong United, isu kemungkinan kembalinya Paul Pogba ke Old Trafford menjadi pilihan utama untuk mereka bincangkan dan sama ada benar atau tidak kelab sanggup membelanjakan hingga £100 juta bagi memaksa Juventus mengembalikan semula pemain antarabangsa Perancis itu mungkin bakal terjawab tidak lama lagi. Dengan reputasi yang sudah dibinanya sejak meninggalkan Old Trafford pada 2012, tidak hairanlah mengapa ramai penyokong United mengharapkan agar Pogba kembali menyarung jersi The Red Devils.

Pogba kini bukan lagi pemain yang sama ketika beliau dijual ke Juventus empat tahun lalu kerana beliau kini antara nama besar yang menjadi buruan kelab-kelab besar Eropah. Tentunya berita tentang kelab mana yang bakal beliau sertai antara berita yang paling diikuti dan pastinya jika Juventus setuju menjual beliau, perpindahan Pogba ke mana-mana kelab akan menjadi perpindahan saga musim panas ini.

Semuanya bermula selepas Beppe Marotta (CEO Juventus) mengeluarkan kenyataan bahawa kelabnya terpaksa menolak tawaran beberapa kelab yang berminat mendapatkan tandatangan Pogba dengan harga £60 juta. Spekulasi perpindahan Pogba bertambah menarik apabila Barcelona diberitakan sanggup membayar £68 juta untuk mendapatkan khidmatnya namun segera dinafikan pemain itu yang mengatakan bahawa beliau mahu kekal bersama Juve.

Selepas Barca dan Manchester City, Real Madrid pula muncul menyertai perlumbaan mendapatkan khidmat Pogba namun juara Eropah itu diberitakan terpaksa menarik diri atas alasan kekurangan dana. Benar atau tidak Real menarik diri atas alasan kewangan itu soal kedua, kerana bagi saya agak pelik bila memikirkan kelab yang sering memecah rekod perpindahan dunia membatalkan hasrat mereka mendapatkan pemain yang dihajati atas alasan kekurangan dana.

Jika Pogaba sendiri menolak kemungkinan perpindahan ke Barcelona dan Manchester City manakala Real pula terpaksa menarik diri (atas alasan kewangan), United kini muncul satu-satunya kelab yang paling berkemungkinan untuk disertai Pogba jika beliau mahu meninggalkan Juve. Jika benar bahawa United sanggup berbelanja hingga £100 juta hanya untuk seorang pemain bernama Paul Pogba, peluang kita mahu melihat kembali kelibat pemain ini menyarung jersi kelab agak cerah.

Nilai sebanyak £100 juta untuk hanya seorang pemain memang jumlah yang besar untuk dibelanjakan, ditambah pula dengan kemungkinan United meletakkan Juan Mata serta Memphis Depay sebagai sebahagian perjanjian pertukaran saya kira bakal menggiurkan Juve. Wang bukan sekadar faktor yang memainkan peranan jika United serius mahukan Pogba kerana peluang kelab mendapatkan kembali pemain ini sebenarnya turut bergantung kepada Mino Raiola (agen Pogba).

Hubungan baik antara Raiola dan pihak pengurusan kelab menyaksikan perpindahan Zlatan Ibrahimovic serta Henrikh Mkhitaryan berjaya direalisasikan dan saya percaya faktor Raiola bakal memainkan peranannya sekali lagi dalam hal perpindahan Pogba. Selepas sukses menghantar dua klien ke Old Trafford, tentunya ramai penyokong-penyokong United sedang menanti akan adakah pemain ketiga di bawah kendalian Raiola yang bakal menyertai Ibra dan Miki selepas ini?

Saya akui Pogba pemain yang berbakat, punya reputasi dan paling penting usianya yang masih muda. Pogba memang antara nama yang wajar United tandatangani namun tetap timbul persoalan adakah wang sebanyak £100 juta berbaloi dibelanjakan untuk mendapatkan kembali khidmatnya? Prestasi Pogba sepanjang kejohanan Euro boleh dikategorikan sebagai bagus. Beliau antara pemain muda yang agak menonjol dalam kejohanan kali ini selain Joshua Kimmich dan Renato Sanches.

Bersama Blaise Matuidi, Pogba dominan menguasai bahagian tengah Perancis, hal yang saya kira sangat bagus bila mengingatkan fakta bahawa beliau baru berusia 23 tahun. Malangnya Pogba gagal membantu Perancis menjulang trofi Euro di gelanggang sendiri selepas tewas kepada Portugal di pentas final. Penampilan Pogba di Stade de France tempohari juga kurang meninggalkan kesan kepada Perancis berbanding aksinya pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Di pihak lawan, kelibat William Carvalho dan Renato Sanches jauh lebih menonjol berbanding Pogba. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Carvalho dan Sanches berjaya meneutralkan segala kreativiti serta visi permainan Pogba di bahagian tengah Perancis hingga menyebabkan beliau `tenggelam’ hampir sepanjang perlawanan. Dan kegagalan Pogba menyerlah di final kali ini juga dikatakan antara penyebab mengapa Perancis gagal mengulangi pencapaian skuad kendalian Roger Lemerre pada edisi 16 tahun lalu.

Selain medal sebagai naib juara Euro, sumbangan satu assist dan satu gol antara catatan yang boleh kita ingat jika mahu bercakap tentang penampilan sulung Pogba di kejohanan kali ini. Prestasi Pogba di Stade de France tempohari tentunya menimbulkan persoalan adakah wang £100 juta layak dibayar kepada Juventus jika United mahukan tandatangan beliau? Apatah lagi nilai ini juga bakal meletakkan Pogba sebagai pemain termahal dunia, mengatasi jumlah yang pernah dibayar Real Madrid ketika mereka menandatangani Gareth Bale tiga tahun lalu.

Agak tidak adil untuk Pogba dihakimi hanya bersandarkan pada aksi beliau di final Euro kali ini. Sudah tentu juga hanya satu perlawanan di pentas final bukanlah kayu ukur yang sesuai untuk kualiti seorang pemain bernama Paul Pogba ini dinilai. Sejak `dibuang’ Sir Alex Ferguson empat tahun lalu, Pogba berkembang dari seorang pemain muda yang kecewa kerana gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan United kepada pemain dengan kualiti kelas dunia.

Pengalaman bermain bersama pemain tengah kelas dunia seperti Andrea Pirlo dan Arturo Vidal menjadikan Pogba pemain yang lebih matang berbanding usianya. Maaf jika saya katakan, sekiranya beliau tidak meninggalkan Old Trafford empat tahun lalu, Pogba tidak akan berada di kedudukan di mana beliau berada sekarang. Meskipun ditinggalkan Pirlo dan Vidal serentak, kehilangan dua pemain terbaik mereka itu tidak begitu dirasai Juve bila Pogba pula mengambilalih penguasaan di bahagian tengah skuad Old Lady.

Pogba secara purata melakukan 1,129.5 ketepatan hantaran (passes completed), 34.7 key passes dan 5.75 assist semusim, manakala musim lalu pula beliau muncul pemain paling banyak melakukan assist di Serie A dengan (12 assist).  Jika fakta itu masih belum cukup untuk Pogba dinilai bagaimana pula dengan 28 gol yang beliau jaringkan sepanjang empat musim bersama Juve, iaitu jumlah jaringan paling banyak yang dihasilkan oleh seorang pemain tengah bertahan.

Pada usia yang masih muda, Pogba sudah menjadi antara anggota penting dalam skuad juara Serie A itu di mana sejak ketibaannya di Turin, beliau berjaya membantu Juve menjulang empat kejuaraan Scudetto berturut-turut. Jangan lupakan juga peranan yang dimainkan Pogba hingga Juve berjaya melangkah ke pentas akhir saingan Liga Juara-Juara edisi 2014-15 yang juga merupakan final pertama mereka dalam tempoh 12 tahun.

Sebelum bermulanya Euro 2016, prestasi Pogba di peringkat kelab bolehlah dianggap cukup luarbiasa dan pada usia yang masih muda, masih banyak ruang dan masa untuk beliau meningkat sebelum muncul pemain yang lebih hebat. Jadi dalam erti kata lainnya tidak adil penilaian dilakukan ke atas Pogba hanya menerusi satu kejohanan yang cuma berlangsung dalam tempoh empat tahun sekali itu.

Saya pernah sebutkan tadi bahawa bakat serta reputasi yang dimiliki Pogba menyebabkan beliau antara pemain yang perlu United tandatangani. Bagaimanapun dari segi jumlah wang sebanyak £100 juta yang perlu dibayar untuk mendapatkan khidmatnya, saya agak berbelah bahagi. Kehadiran pemain yang punya kualiti serta reputasi seperti Pogba memang diperlukan jika United mahu kembali memenangi kejuaraan liga dan untuk mendapatkan seorang pemain kelas dunia seperti beliau kelab perlu berbelanja besar.

Mungkin ada pendapat yang mengatakan wang £100 juta sepadan untuk seorang pemain yang memiliki potensi besar, berkeperibadian baik, tonggak kepada skuad kebangsaan negaranya dan ada masa depan yang fantastis setidak-tidaknya untuk tempoh sepuluh tahun lagi. Namun di sisi lain pula saya beranggapan bahawa wang sebanyak £100 juta hanya untuk seorang pemain terlalu tinggi untuk dibelanjakan.

Pada pandangan saya, adalah lebih bagus wang sebanyak itu dibelanjakan United untuk mendapatkan dua atau tiga pemain yang hampir sebagus Pogba dan sudah tentu ada pemain di luar sana yang boleh dijadikan alternatif sekiranya United mengambil keputusan berpaling dari beliau. Dalam hal ini saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan Stan Collymore (bekas penyerang Liverpool) bahawa United tidak perlu memecahkan rekod dunia hanya kerana mahu membawa kembali Pogba ke Old Trafford.

Jika bukan Pogba siapa pemain yang sepatutnya United tandatangani? Menurut Collymore, United tidak perlu meneropong terlalu jauh hingga ke Serie A kerana pilihan terbaik sudah ada di depan mata dan pemain yang beliau maksudkan ialah N’Golo Kante dan Dimitri Payet. Kante saya anggap pembelian paling berbaloi yang dilakukan oleh mana-mana kelab Liga Perdana musim lalu manakala Payet pula sudah membuktikan kualitinya sebagai pemain tengah dalam aspek mencipta peluang.

Paling penting kedua-dua pemain ini (Kante dan Payet) sudah membuktikan keberkesanan peranan mereka di Liga Perdana untuk kelab masing-masing. Meskipun Pogba sudah diiktiraf antara pemain tengah terbaik dunia, Kante dan Payet pula saya yakini mampu memberikan impak segera kepada penampilan United musim depan. Kombinasi Kante dan Payet merupakan pakej lengkap buat United dan dengan anggaran nilai terkini kedua-dua mereka, wang £100 juta sebenarnya masih lagi berbaki andainya dua pemain ini berjaya ditandatangani. Jadi masih berbaloikan nilai £100 juta untuk seorang bernama Paul Pogba??? Terserah pada pendapat masing-masing…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

05 Julai 2016

PENGHARGAAN UNTUK SANG LAGENDA

Baik kawan mahupun lawan, sama ada anda penyokong United atau tidak, anda akhirnya terpaksa mengakui bahawa Ryan Giggs adalah pemain yang pastinya sukar dicari ganti selepas beliau bersara pada 2014. Semasa bergelar pemain United, Giggsy memiliki koleksi medal kejuaraan paling banyak dalam sejarah bolasepak England. Sejak memulakan kariernya bersama United pada 1990 hinggalah detik terakhirnya sebagai pemain, Giggs sudah memenangi 13 medal kejuaraan Liga Perdana, tiga Piala FA, empat Piala Liga, sembilan Perisai Komuniti, satu Piala Super UEFA, satu Piala Antara Benua dan dua Liga Juara-Juara selain pengiktirafan-pengiktirafan individu yang diterimanya dari berbagai pihak.

Ketika zaman remajanya, Giggs sudah memberikan gambaran awal kepada pemerhati-pemerhati bolasepak bahawa dia akan menjadi bintang besar satu hari nanti apabila muncul pemain pertama memenangi anugerah Pemain Remaja Terbaik Tahunan England selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 1992 dan 1993. Sejak melakukan penampilan pertamanya bersama United ketika menentang Everton pada 2 Mac 1991, nama Giggs sudah tercatat sebagai satu-satunya pemain yang berjaya menjaringkan gol selama 21 musim berturut-turut di Liga Perdana. Di peringkat antarabangsa, Giggs mengumpul 64 caps bersama skuad kebangsaan Wales dan diberi penghormatan memakai lilitan ketua pasukan ketika skuad Great Britain bertanding buat pertama kalinya dalam acara bolasepak di Olimpik London 2012 (4 caps).

Ketika usia beliau mencecah 40 tahun, Giggs masih lagi tidak henti-henti mencipta pencapaian unik dalam kariernya. Giggs melakukan penampilan ke-1000 dalam karier profesionalnya pada 6 Mac 2013 saat United berdepan Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara. Di atas padang, prestasi serta komitmen beliau sebagai pemain memang tiada tandingan dan sehingga kini saya masih tercari-cari pemain mana yang layak untuk dibandingkan dengan Giggs….jawapannya `Tiada’. Kehidupan luar padang zaman muda Giggs juga sebenarnya lebih `aman’ berbanding kehidupan pemain muda sekarang yang penuh gemerlap. Mungkin ini faktor yang menyebabkan Giggs mampu bertahan dan bermain di peringkat tertinggi hingga keusia mencecah 40 tahun.

PERJALANAN KARIER GIGGS

1990: Giggs menjalani trial bersama United pada Julai dan menandatangani kontrak profesional pada bulan Disember.

1991: Diusia 17 tahun, Giggs melakukan penampilan pertama untuk United pada 2 Mac ketika berdepan Everton sebagai pemain gantian. Dua bulan kemudian Giggs menjaringkan gol kemenangan ke atas Manchester City di Old Trafford. Prestasi bagus yang dipamerkan Giggs mendorong beliau dipanggil menyertai skuad kebangsaan Wales. Pada usia 17 tahun 322 hari Giggs muncul pemain termuda Wales yang bermain untuk skuad kebangsaan ketika berdepan Jerman di Nuremberg pada bulan Oktober. UEFA Super Cup pula merupakan trofi pertama yang berjaya dimenangi Giggs bersama United selepas mereka menewaskan Red Star Belgrade.

1992: Membantu United menjulang Piala Liga dan dianugerahkan sebagai Pemain Muda Terbaik Tahunan musim tersebut (1991-92).

1993: Membantu United menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga selain berjaya mempertahankan anugerah Pemain Muda Terbaik Tahunan untuk musim kedua berturut-turut.

1994: Memenangi double menerusi kejayaan menjulang kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA

1996: Sekali lagi berjaya memenangi kejuaraan double (Liga Perdana dan Piala FA).

1997: Menjulang kejuaraan Liga Perdana buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun. Pada bulan Oktober pula Giggs menjaringkan gol ketika United menewaskan Juventus (3-2) dalam aksi Liga Juara-Juara.

1999: Menjaringkan gol kemenangan United ke atas Arsenal pada pertemuan ulangan separuh akhir Piala FA di Villa Park. Gol itu juga dianggap gol paling ikonik dari Giggs yang kekal diingati hingga kini. Musim 1998-99 juga merupakan musim paling gemilang dalam karier Giggs apabila beliau berjaya memenangi kejuaraan treble (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara).

2000: Memenangi kejuaraan Liga Perdana buat kali keenam dalam tempoh lapan tahun.

2001: Menambah koleksi kejuaraan Liga Perdana ketujuh dan secara keseluruhan Giggs sudah memenangi 12 medal kejuaraan sepanjang tempoh sepuluh tahun menyarung jersi United. Pada bulan Julai, Giggs menandatangani kontrak baharu yang menyaksikan beliau kekal selama lima tahun lagi di Old Trafford.

2002: Pada 23 Ogos, Giggs menjaringkan gol ke-100 untuk United ketika berdepan Chelsea dalam saingan liga.

2003: Membantu United merampas kembali kejuaraan Liga Perdana dari Arsenal.

2004: United menamatkan saingan liga (musim 2003-04) di tangga ketiga namun Giggs berjaya membantu kelab menjulang Piala FA selepas mereka menewaskan Milwall 3-0 di final.

2007: Selepas dua musim gagal menjulang trofi liga, Giggs kembali berada di atas podium apabila berjaya membantu United merampas kejuaraan Liga Perdana dari Chelsea. Ini juga merupakan kejuaraan liga kesembilan buat Giggs. Pada 30 Mei, atas pandangan yang diberikan Sir Alex Ferguson, Giggs mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan Wales pada usia 33 tahun. Giggs kemudiannya dianugerahkan pingat OBE (Order of the British Empire) pada 11 Disember atas segala jasa yang beliau curahkan dalam arena bolasepak.

2008: Pada 11 Mei, Giggs tampil buat kali ke-758 ketika berdepan Wigan Athletic sekaligus menyamai rekod penampilan Sir Bobby Charlton. United juga berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana (2007-08) sekaligus koleksi kesepuluh buat Giggs. Pada 21 Mei pula, Giggs memecahkan rekod penampilan Sir Bobby selepas beliau masuk sebagai pemain gantian ketika berdepan Chelsea di final Liga Juara-Juara. Giggs juga antara penyumbang gol dalam penentuan sepakan penalti pada aksi yang dilangsungkan di Moscow itu. Ini juga merupakan kejuaraan Liga Juara-Juara kedua buat Giggs.

2009: Pada 26 April, Giggs dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan dan pada 16 Mei beliau berjaya membantu United mempertahankan kejuaraan liga buat kali ketiga berturut-turut, sekaligus menambah koleksi kejuaraan liga peribadi beliau buat kali kesebelas.

2010: Pada bulan Februari, Giggs berjaya memenangi Piala Liga selepas United menewaskan Aston Villa 2-1 di perlawanan akhir.

2011: Giggs merakamkan penampilan ke-600 dalam saingan liga untuk United ketika berdepan Tottenham Hotspurs di White Hart Lane. Giggs kemudiannya memadam rekod Sir Bobby selepas beliau tampil dalam perlawanan liga ke-607 ketika berdepan Liverpool.

2012: Pada bulan Februari, Giggs melakukan penampilan ke-900 dalam karier profesionalnya ketika United menewaskan Norwich 2-1.

2013: Gol yang dijaringkan Giggs ke gawang Everton pada 10 Februari menyaksikan beliau muncul satu-satunya pemain yang tidak pernah gagal menjaringkan gol di Liga Perdana setiap musim. Pada 5 Mac pula, beliau merakamkan penampilan ke-1000 ketika berdepan Real Madrid dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara. Musim tersebut (2012-13) juga menyaksikan Giggs berjaya menjulang trofi Liga Perdana buat kali ke-13.

2014: Selepas David Moyes dipecat, Giggs dilantik sebagai pengurus sementara pada 22 April dan beliau sempat mengendalikan United dalam empat perlawanan terakhir. Di akhir musim Giggs mengumumkan persaraan sebagai pemain dan dilantik sebagai penolong dalam staf kejurulatihan di era Louis Van Gaal.

KATA-KATA TENTANG GIGGS DARI TOKOH BOLASEPAK DUNIA

SEPP BLATTER

“Pencapaiannya sungguh mengagumkan dan dia pemain yang luar biasa. Sebagai individu yang berkecimpung dalam dunia bolasepak saya sukar mempercayai. Bukan mudah untuk mana-mana pemain bermain 1000 perlawanan atau lebih 600 perlawanan untuk sebuah pasukan yang sama. Itu sungguh hebat. Giggs bermain bolasepak dengan hatinya dan Manchester United adalah tempatnya”.

SIR ALEX FERGUSON

“Apa lagi perkataan yang saya tidak pernah perkatakan tentang Ryan. Sebagai pemain dia memang mengagumkan dan sebagai manusia dia adalah luar biasa. Dia memiliki tenaga yang fantastis untuk bermain bolasepak dan saya bersyukur dapat menyaksikannya bermain. Dia sudah menjaringkan gol di saingan liga selama 23 musim berturut-turut. Dalam dunia bolasepak moden perkara seperti ini sangat-sangat mengagumkan. Prestasinya bersama kami musim ini membuktikan kemampuan dan cintanya terhadap bolasepak tidak pernah surut. Saya gembira dia bersetuju menyambung kontraknya”.

PAUL SCHOLES

“Saya pernah bermain dengan ramai pemain hebat di kelab ini. Namun jika saya terpaksa memilih siapa di antara mereka yang paling hebat, tentunya pilihan saya ialah Giggsy. Di atas padang, dia mampu melakukan segalanya”.

GIANFRANCO ZOLA

“Dia sungguh luarbiasa. Satu-satunya kekurangan dan kesilapan yang saya lihat dilakukan Giggs ialah dia bermain untuk kelab yang salah. Dia sepatutnya bermain untuk kami (Chelsea)”.

ROBERTO MANCINI

“Bagi saya Giggs adalah salah seorang pemain terbaik dunia. Dia bukannya pemain yang muda tetapi tetap bermain dengan bagus. Dia pemain yang fantastis”.

JOHAN CRYUFF

“Eric Cantona adalah pemain hebat, tetapi dia tidak sehebat Ryan Giggs”.

GARY LINEKER

“Rekodnya sungguh menakjubkan. Jumlah trofi yang dimenanginya, jumlah perlawanan yang dimainkannya serta gol-gol yang dirancang dan diciptanya sangat mengagumkan. Dia adalah profesional tulen yang selalunya menampilkan permainan kelas tertinggi setiap saat”.

ALESSANDRO DEL PIERO

“Hanya dua orang pemain yang boleh membuatkan saya menangis setiap kali menonton permainan mereka. Yang pertama adalah Diego Maradona dan yang kedua adalah Ryan Giggs”.

BERAKHIRNYA IKATAN GIGGS DAN UNITED

Selepas 26 tahun menjalin ikatan dengan Manchester United, Giggs akhirnya mengambil keputusan meninggalkan kelab untuk mencari cabaran baharu. Sama ada benar atau tidak kehadiran Jose Mourinho mempengaruhi keputusan Giggs meninggalkan kelab itu persoalan yang masih samar. Selepas lebih dua dekad menyaksikan aksinya di atas padang sebagai pemain dan juga pembantu pengurus, ketiadaan Giggs musim depan pastinya dirasai. Sebagai pemain Giggs sudah membuktikan kehebatannya menerusi segala statistik dan medal kejuaraan yang beliau menangi.

Jika medal kejuaraan mahu dijadikan ukuran menilai kehebatan seseorang pemain, saya percaya Giggs sudah melangkauinya. Hebatnya Giggs bukan hanya kerana kelincahan beliau merobek pertahanan lawan tetapi juga kerana rekod disiplinnya. Saya percaya individu sehebat Giggs boleh `hidup’ di mana-mana pun destinasi yang beliau pergi. Mungkin ketika ini United bukan lagi tempat sesuai untuk beliau tetapi satu hari nanti saya percaya Giggs akan kembali semula ke tempat di mana beliau bermula.

Dan saya masih percaya bahawa satu hari nanti saya akan melihat kelibat Giggs memberikan arahan kepada pemain-pemainnya dari tepi padang…bukan lagi sebagai pembantu tetapi sebagai pengurus United. Hingga detik itu tiba, biarkan sahaja beliau pergi menimba ilmu dan pengalaman untuk menjadi pengurus/jurulatih yang lebih bagus. United adalah tempat untuk beliau dan percayalah sejauh manapun beliau pergi, pasti satu hari nanti Giggs akan pulang semula ke pangkuan kelab. Beliau akan pulang sebagai individu yang lebih besar dan bersedia menguruskan kelab sebesar Manchester United…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

03 Julai 2016

APA YANG MAMPU DITAWARKAN IBRA DAN MIKI?

Manchester United bakal memiliki senjata baharu di bahagian hadapan selepas Zlatan Ibrahimovic (Ibra) mengesahkan bahawa beliau akan menyarung jersi The Red Devils musim depan melalui perpindahan percuma. Selain Ibra, United juga dikatakan sudah berjaya memeterai perjanjian dengan Borussia Dortmund bagi mendapatkan khidmat Henrikh Mkhitaryan (Miki) untuk menambah lebih variasi di bahagian tengah mereka. Beberapa hari lalu pengesahan Ibra tentang kelab mana yang bakal beliau sertai selepas meninggalkan Paris Saint Germain menamatkan segala spekulasi masa depan kapten Sweden ini yang sudah berlarutan hampir dua bulan.

Walaupun dikategorikan sebagai `kuda tua’ ketajaman Ibra di hadapan gawang lawan tidak langsung menampakan bahawa beliau sudahpun berusia 34 tahun apabila meledak 50 gol untuk PSG dalam semua peringkat kejohanan musim lalu. Bagi Miki pula, beliau bolehlah saya katakan sebagai sasaran paling dikehendaki Jose Mourinho selepas muncul antara pemain paling berpengaruh di Signal Iduna Park menerusi kreativiti dan visi permainannya saat menggerakan jentera tengah Dortmund. Dengan kontrak yang hanya berbaki setahun, Dortmund tiada jalan lain selain terpaksa melepaskan seorang lain pemain terbaik mereka selepas pemergian Mats Hummels dan Ilkay Gundogan.

Ketajaman Ibra selaku penggempur dan kreativiti Miki menggerakan jentera tengah memang tidak perlu dinafikan jika dilihat sumbangan mereka untuk PSG dan Dortmund musim lalu. Namun tetap ada persoalan apa yang mampu ditawarkan dua pemain ini untuk United musim depan terutamanya selepas melihat beberapa pembelian yang dianggap gagal dalam tempoh tiga musim terakhir ini. Untuk meredakan sedikit kebimbangan (jika ada), mari kita lihat perbandingan statistik Ibra dan Miki dengan pemain United yang beraksi di bahagian tengah dan serangan seperti (Wayne Rooney, Anthony Martial dan Juan Mata) sepanjang musim lalu.

MINIT BERMAIN

Sepanjang musim lalu, Ibra bermain selama 4,144 minit manakala catatan minit bermain Miki pula yang paling tinggi berbanding Ibra, Rooney (3,491 minit), Martial (4,128 minit) dan Mata (4,084 minit) apabila beliau bermain selama 4,383 minit. Bermain 50 perlawanan semusim terutamanya bagi pemain yang sudah berusia seperti Ibra menunjukkan tahap sebenar kecergasan mereka. Catatan minit bermain yang tinggi bukan sekadar menunjukkan kondisi sebenar fizikal Ibra dan Miki, tetapi apa yang lebih penting ialah United tidak membazirkan wang dengan menandatangani `kuda tempang’.

JUMLAH GOL

Tidak dinafikan bahawa Ibra dan Miki menjalani musim yang cukup sukses bersama kelab masing-masing musim lalu dan kedua-dua mereka juga cukup produktif dalam menghasilkan gol. Ibra merupakan penjaring terbanyak Ligue 1 dengan 38 gol dari 31 perlawanan manakala Miki pula menjaringkan 11 gol dari 31 aksi di Bundesliga. Dalam semua peringkat kejohanan pula, Ibra menjaringkan 50 gol manakala Miki menyumbang 23 gol untuk Dortmund.

Ironinya tiada mana-mana pemain United yang mampu mengatasi jumlah jaringan Ibra ataupun Miki (dalam semua kejohanan). Malah kombinasi jaringan yang dihasilkan Rooney (15 gol), Martial (17 gol) dan Mata (10 gol) tetap gagal menyamai jumlah jaringan yang disumbangkan Ibra untuk PSG musim lalu. Jika statistik ini mampu diteruskan Ibra dan Miki, anda sepatutnya sudah tidak perlu risau dengan kemampuan United membolosi pintu gol lawan musim depan.

ASSIST

Menjaringkan gol bukan satu-satunya bakat yang ada pada Ibra dan Miki. Meskipun punya killer instinct yang tajam di hadapan gawang lawan, Ibra dan Miki juga memiliki kemampuan yang cukup bagus dalam melakukan assist. Sebagai pemain tengah, Miki memang sepatutnya banyak melakukan assist dan itulah yang beliau lakukan ketika bersama Dortmund musim lalu. Keseluruhannya Miki menyumbang 26 assist dalam aksi Bundesliga manakala Ibra pula menyumbang 18 assist di Ligue 1, jumlah yang cukup mengagumkan buat seorang penyerang seperti beliau. Dalam skuad United musim lalu pula, Mata muncul pemain paling banyak melakukan assist (9), diikuti Martial (8) dan Rooney (6).

MENCIPTA PELUANG

Jika sumbangan assist masih belum cukup membuatkan anda yakin dengan kemampuan Ibra dan Miki mengubah nasib United musim depan, bagaimana pula dengan kemampuan mereka mencipta peluang jaringan gol. Jika assist dihitung apabila umpanan mereka disudahkan dengan jaringan gol oleh rakan-rakan sepasukan, mencipta peluang pula sebenarnya lebih rumit kerana pemain perlu terlibat membangunkan serangan dari bawah.

Dalam hal ini Miki menduduki tangga teratas selepas beliau mencipta 136 peluang jaringan gol untuk rakan-rakannya di Dortmund. Tidak hairanlah dengan kreativiti permainan yang beliau miliki, Miki mampu melakukan catatan tersebut manakala Mata pula berada di tangga kedua dengan mencipta 95 peluang, Ibra (69), Martial (60) dan Rooney (57). Saya agak teruja menantikan kerja-kerja yang bakal dilakukan Miki di bahagian tengah United musim depan selepas melihat jumlah assist dan kemampuan beliau dalam mencipta peluang.

MAMPUKAH IBRA DAN MIKI MENGUBAH NASIB UNITED?

Dalam hal ini, saya agak optimis yang United akan kembali memberikan cabaran kepada seteru-seteru mereka di Liga Perdana terutamanya selepas kedatangan Mourinho yang menggantikan tempat Louis Van Gaal. Mourinho sepertimana yang anda tahu merupakan seorang yang angkuh dan tidak suka berada di pihak yang kalah. Selepas disingkirkan Chelsea musim lalu, Mourinho tentunya mahu membuktikan bahawa beliau masih lagi antara pengurus berpengaruh dalam dunia bolasepak Inggeris dan faktor ini pastinya membuatkan beliau sedikit berbeza berbanding kehadirannya di England pada 2004 dan 2013.

Dengan beberapa pembelian bijak yang sudah dan bakal beliau lakukan, saya percaya United akan kembali digeruni dan bermain dengan cara sepatutnya Manchester United bermain. Kehadiran pemain kreatif seperti Miki dan dibantu pula dengan ketajaman serta pengalaman luas Ibra di barisan hadapan, yakinlah bahawa United musim depan bukan lagi skuad yang boleh dijadikan bahan ejekan penyokong lawan. Sebelum mereka menendang bola buat pertama kalinya dalam perlawanan kompetitif sebagai pemain United, apa kata biarkan dahulu statistik berbicara tentang siapa itu Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitaryan…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

26 Jun 2016

MENGAPA UNITED MAHUKAN MIKI?

Kehadiran Jose Mourinho bermakna Manchester United juga bakal mengalami pembaharuan dalam barisan pemain mereka bagi menghadapi saingan kompetitif musim depan. Selepas berjaya mendaratkan Eric Bailly dari Villareal yang bakal memantapkan benteng pertahanan skuadnya, Mourinho kini mengalihkan pula perhatiannya kepada sosok seorang playmaker yang boleh memberikan lebih variasi kepada gaya permainan skuadnya. Untuk itu pemburuan seterusnya terarah pula ke Signal Iduna Park dan pemain yang dikatakan berada dalam radar buruan United siapa lagi jika bukan playmaker Borussia DortmundHenrikh Mkhitaryan.

Mino Raiola yang juga merupakan agen pemain ini khabarnya lebih memilih United berbanding `menghantar’ kliennya itu ke Stadium Emirates dan jika ini benar, kita bakal mendengar khabar gembira dalan tempoh terdekat. Memandangkan kontrak Miki (panggilan akrab beliau) hanya berbaki setahun dan beliau sudah pun menolak tawaran kontrak baharu, tiada apa yang mampu dilakukan Dortmund selain menjual pemain antarabangsa Armenia ini jika tidak mahu kehilangan khidmatnya secara percuma.

Melihat kepada situasi terkini, United nampaknya berada selangkah di hadapan Arsenal, musuh domestik yang turut berminat memburu tandatangan kapten Armenia ini. Wenger mahukan Miki bagi menggantikan kekosongan dtinggalkan Tomas Rosicky yang khabarnya tidak akan dikekalkan di Stadium Emirates. Jika segalanya berjalan lancar dan Miki akhirnya rasmi bergelar pemain United, pasti anda tertanya-tanya apa yang menyebabkan Mourinho mahukan pemain ini terbabit dalam revolusi yang bakal beliau lakukan di Old Trafford musim hadapan?

Di bawah kendalian Thomas Tuchel, Miki muncul pemain yang lebih bagus berbanding ketika Dortmund di bawah arahan Jurgen Klopp. Ternyata skill individu, kepantasan, ketepatan umpanan dan kebolehan melakukan percubaan jarak jauh yang menjadi kelebihan beliau tidak sesuai dengan falsafah permainan gegenpressing yang dianuti Klopp. Meskipun musim lalu gagal memenangi sebarang trofi bersama Dortmund, Miki antara nama wajib yang ada dalam kesebelasan Tuchel apabila beliau tampil sebanyak 51 perlawanan (dalam semua kejohanan), menjaringkan 23 gol dan mencipta 30 assist.

Melihat kepada statistik jaringannya, jelaslah bahawa peranan Miki bukan sekadar seorang playmaker yang bertindak mengatur permainan dan membuka ruang buat rakan-rakan tetapi beliau juga boleh menjadi opsyen tambahan dalam menghasilkan gol. Jika berjaya ditandatangani, kehadiran beliau saya harapkan mampu menyelesaikan masalah kebuntuan gol yang dihadapi United selain membantu meringankan beban Wayne Rooney yang menghabiskan sebahagian besar musim lalu dengan beraksi di bahagian tengah.

Memiliki kelajuan, kemahiran teknikal yang sangat bagus, killer instinct yang tajam di hadapan gawang lawan serta boleh berperanan lebih dari satu posisi menjadikan Miki antara nama panas dalam pasaran perpindahan pemain kali ini. Dalam skuad Dortmund musim lalu, selain boleh bertindak sebagai playmaker, Miki juga sebenarnya boleh diletakkan sebagai pemain sayap dan bermain di belakang penyerang jika berlaku sebarang perubahan taktikal dalam permainan.

Mungkin inilah faktor penting yang mendorong mengapa United atau lebih tepatnya Mourinho mahu meletakkan nama Miki dalam skuadnya musim hadapan. Bukan hanya kerana memiliki visi permainan yang bagus dan semua kelebihan yang saya sebutkan di atas, tetapi seorang utility player seperti Miki memang cukup digemari Mourinho. Anda sudah tentu dapat meneka bagaimana gaya permainan United di bawah arahan Mourinho dan sudah tentu kelajuan serta visi permainan Miki bakal menjadikan beliau watak utama jika United mahu bermain dengan corak serang balas pantas.

Jika perpindahan Miki ke Old Trafford berjaya direalisasikan, pastinya akan ada pemain yang terpaksa pergi bagi memberikan laluan kepada beliau kerana itu lumrah dalam bolasepak. Siapakah mereka yang bakal terkeluar dari perancangan Mourinho selepas ketibaan Miki, itu masih belum dapat dipastikan kerana saya lebih berminat melihat `plan B’ dari The Special One jika beliau gagal menandatangani pemain Dortmund itu. Setakat ini pilihan yang digembar-gemburkan jika Miki gagal ditandatangani ialah kemungkinan United beralih kepada winger VfL Woflsburg, Julian Draxler.

Draxler memang tidak memiliki visi permainan seperti Miki, tetapi kemampuan bintang muda Jerman ini menyusup masuk ke jantung pertahanan lawan dari sebelah tepi menarik minat Mourinho. Bersama Wolfsburg, Draxler bemain sebagai sayap kiri yang memerlukan beliau banyak melakukan hantaran, gelecekan dan melepaskan percubaan ke arah pintu gol lawan. Untuk rekod, statistik peratusan ketepatan hantaran beliau mencapai 83%, 61% ketepatan percubaan ke arah pintu gol lawan, menyumbang lima assist, menjaringkan enam gol, mencipta 36 peluang jaringan gol manakala peratusan kejayaan beliau melakukan gelecekan mencapai 71.25% dari 23 aksi Bundesliga.

Bagaimanapun segalanya masih samar meskipun United dikatakan kelab paling hampir yang bakal disertai Miki jika beliau meninggalkan Dortmund. Persoalan paling besar sekarang bukannya berapa jumlah wang yang terpaksa dibayar United jika mereka mahukan Miki, tetapi adakah Dortmund sedia melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka selepas Mats Hummels dan Ilkay Gundogan meninggalkan Signal Iduna Park? Jika nantinya Dortmund terpaksa melepaskan seorang lagi pemain terbaik mereka, biarlah kali ini Old Trafford pula menjadi destinasi yang dituju pemain itu. Dan jika Miki mahu mengucapkan selamat tinggal kepada Signal Iduna Park biarlah Old Trafford pula mengucapkan “Selamat Datang” kepada beliau….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

19 Jun 2016

SELAIN IBRA, PENYERANG MANA YANG PATUT DIBURU MANCHESTER UNITED

Penyokong-penyokong United nampaknya terpaksa menunggu hingga berakhirnya kejohanan Euro 2016 sebelum mengetahui destinasi sebenar yang bakal dituju Zlatan Ibrahimovic musim hadapan. Minggu lalu, Ibrahimovic (selepas ini saya sebut sebagai Ibra) sudah memberitahu media bahawa sebarang keputusan berkaitan masa depannya akan hanya diketahui umum sebaik tamatnya kejohanan Euro 2016 atau setidak-tidaknya hingga kempen Sweden di Perancis berakhir.

Meskipun sudah berusia 34 tahun, Ibra masih dianggap antara penyerang kelas atas. Jadi tidak hairanlah sebarang berita tentang spekulasi masa depan beliau menjadi tumpuan ramai dan dinanti dengan penuh minat. The Red Devils antara kelab yang begitu kerap dikaitkan dengan Ibra selepas ikatannya dengan Paris Saint Germain tamat, tambahan pula beliau sendiri tidak menolak kemungkinan untuk beraksi di Liga Perdana musim hadapan.

United bukan satu-satunya kelab besar yang mahu mendapatkan khidmat Ibra kerana kini Bayern Munich turut diberitakan mengintai peluang mendapatkan tandatangan beliau sebagai pengganti Robert Lewandowski (sekiranya penyerang Poland ini mahu meninggalkan Allianz Arena). Jika benar Bayern Munich mahu `kacau daun’, peratusan untuk menyaksikan Ibra menyarung jersi United musim depan bakal kian menurun.

Saya bukanlah peminat tegar Ibra, tetapi saya percaya pemain yang punya kualiti seperti beliau masih layak bermain untuk kelab besar seperti United meskipun beliau bukanlah pilihan jangka panjang atas faktor usianya. Bagaimanapun sekiranya United gagal mendapatkan Ibra, masih ada pilihan lain yang boleh dipertimbangkan untuk mengepalai jentera serangan kelab musim hadapan. Jadi siapakah mereka?

GONZALO HIGUAIN

Pilihan pertama saya sudah tentu terarah kepada penyerang yang beraksi di Serie A iaitu Gonzalo HIguain. Tiga musim bermain untuk Napoli, El Pipita sukses meledak 71 gol untuk kelab berpangkalan di Naples itu atau purata 23 gol setiap musim. Berbanding Ibra, Higuain enam tahun lebih muda dan tidak kurang hebatnya ketika melakukan penyudah di hadapan gawang lawan. Bukan saya mahu meremehkan kualiti milik Napoli, tetapi penyerang sebagus Higuain sepatutnya bermain di kelab yang lebih besar dan kembali memenangi trofi utama sepertimana yang belau pernah nikmati ketika bersama Real Madrid dulu.

Di Serie A, Higuain saya yakin tidak akan mampu memenangi medal kejuaraan liga kerana dominasi berterusan Juventus yang entah bila akan ada penamatnya. Jalan terbaik jika beliau mahu kembali berada di atas podium sebagai seorang juara, Higuain perlu meninggalkan kota Naples dan menyertai kelab yang mampu menawarkan beliau prospek menjulang trofi utama. Memiliki susuk fizikal dan ketinggian yang bagus (1.84m), Higuain saya yakin tidak berdepan masalah untuk bermain di Liga Perdana tambahan pula beliau memang jenis penyerang yang tidak gentar beradu kekuatan fizikal ketika berdepan pertahanan lawan.

KARIM BENZEMA

Kedengarannya agak mustahil bagi United mendapatkan Benzema kerana sudah tentu Real Madrid tidak akan mudah melepaskan penyerang yang saban musim menghasilkan lebih 20 gol untuk mereka. Benzema dan United ibarat cinta yang masih tidak kesampaian kerana penyerang inilah yang begitu diinginkan Sir Alex Ferguson sejak beliau masih bermain untuk Olympique Lyonnais lagi. Melihat kepada kisah silam Benzema yang beberapa kali menolak lamaran Sir Alex, kemungkinan untuk menyaksikan beliau menyarung jersi kelab memang sukar.

Bagaimanapun kehadiran Jose Mourinho selaku pengendali di Old Trafford musim hadapan mampu mengubah persepsi Benzema terhadap United. Mourinho pernah bekerjasama dengan Benzema ketika beliau mengendalikan Real selama dua musim (2010-2013), dan faktor ini boleh dijadikan senjata buat United memikat pemain berdarah Algeria ini. Benzema merupakan seorang modern striker yang bukan sahaja tajam dalam menyudahkan peluang tetapi juga rajin mendapatkan bola dari bawah dan kemudiannya mengatur serangan. Pada usia 28 tahun, Benzema memang dalam on fire dan inilah penyerang yang sepatutnya diburu United.

ROBERT LEWANDOWSKI

Kenyataan Lewandowski bahawa beliau sedia bermain di Liga Perdana musim hadapan bakal menghangatkan lagi pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Jika Ed Woodward mahu dirinya dipuja dan diangkat sebagai wira oleh penyokong-penyokong United, inilah masa yang tepat untuk beliau lakukan. Tandatangani Lewandowski, nescaya imej buruk Woodward di mata penyokong-penyokong selama ini akan segera terpadam. Tidak keterlaluan jika saya katakan Lewandowski merupakan type penyerang yang diinginkan oleh mana-mana pengurus/jurulatih bolasepak di dunia.

Bagusnya Lewandowski bukan hanya kerana kemampuan beliau menjaringkan gol tetapi beliau juga seorang dribbler yang baik dan mahir `menyimpan bola’. Di Signal Iduna Park dan kemudiannya di Allianz Arena, Lewandowski sudah membuktikan bahawa beliau memang seorang penyerang yang serba lengkap. Boleh bertindak sebagai target man, memiliki naluri penyudah yang tajam, kuat dalam perebutan bola tinggi dan mampu menterjemahkan peluang kecil kepada jaringan gol merupakan sebab utama mengapa beliau wajib diburu United.

EDINSON CAVANI

Musim depan Paris Saint Germain sudahpun kehilangan sentuhan Ibra di barisan hadapan, dan saya yakin mereka juga tidak bersedia untuk kehilangan seorang lagi penyerang berbisa mereka. Bagaimanapun dengan sokongan kewangan yang kukuh, PSG boleh mendapatkan penyerang kelas dunia bagi menggantikan tempat Ibra dan jika itu berlaku, peluang United mendapatkan Cavani cukup cerah. Cavani wajib berada dalam radar buruan United kerana kemampuan El Matador menjaringkan gol dari pelbagai sudut, bijak meletakkan dirinya di kedudukan yang tepat dan cekap menghidu peluang terhidang.

SIAPAKAH PILIHAN MOURINHO?

Melihat kepada trend Mourinho sejak beliau menguruskan Chelsea, kemudiannya Inter Milan, Real Madrid dan kembali semula ke Stamford Bridge, anda mungkin sudah mendapat bayangan type penyerang mana yang beliau gemari. Mourinho pada pandangan saya gemar menggunakan penyerang yang tegap dan kuat untuk mengepalai jentera serangan pasukannya. Didier Drogba, Diego Milito, Goran Pandev, Karim Benzema, Gonzalo Higuain dan Diego Costa antara penyerang yang pernah bermain di bawah kendalian Mourinho.

Higuain dan Benzema pernah ada pengalaman beraksi di bawah kendalian Mourinho, jadi `sejarah silam’ mungkin boleh mendorong mereka untuk kembali bekerjasama dengan The Special One. Sukar untuk United memancing keluar Benzema dari Santiago Bernabeu tetapi kemungkinan untuk mereka mendapatkan Higuain lebih realistik. Kedua-dua mereka saban musim menjaring lebih 20 gol untuk kelab masing-masing, jadi amat menarik untuk melihat sebarang kemungkinan jika United berjaya menandatangani mereka.

Di Bundesliga pula kenyataan yang dikeluarkan Lewandowski bahawa beliau sedia berhijrah ke Liga Perdana sepatutnya meletakkan Ed Woodward dalam mode paling bersedia bagi membawa penyerang prolifik ini ke Old Trafford. Higuain, Benzema dan Lewandowski pada pandangan saya jenis penyerang yang disukai Mourinho tetapi jangan sesekali perkecilkan kemampuan seorang clinical striker yang mampu menyudahkan peluang dalam pelbagai situasi seperti Cavani,

Meskipun terkenal sebagai pengurus yang mementingkan kekuatan ketika bertahan, Mourinho tidak akan pernah sesekali membiarkan jentera serangan pasukannya tumpul. Beliau pernah meletakkan FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam semusim di liga masing-masing. Jadi pastinya amat menarik untuk melihat penyerang mana yang bakal beliau bawa masuk bagi menambah sengat jentera serangan United. Adakah penggempur itu Zlatan Ibrahimovic? Tidak semestinya….Glory Glory Manchester United!!! - AJ 

09 Jun 2016

3 PERTAHANAN YANG DIJANGKA MENINGGALKAN UNITED SELEPAS KEDATANGAN BAILLY

Manchester United rasmi mendapatkan tandatangan bekas centre back Villareal, Eric Bailly dengan nilai perpindahan £30 juta, sekaligus muncul pemain baru pertama yang ditandatangani di bawah era regim Jose Mourinho. Ketika tumpuan kebanyakkan penyokong-penyokog United lebih terarah kepada kemungkinan perpindahan Zlatan Ibrahimovic dari Parc des Princes ke Old Trafford, khabar tentang minat United terhadap pertahanan berasal dari Ivory Coast ini turut sama bertiup kencang.

Akhirnya ketika Ibrahimovic masih lagi bermain teka-teki tentang masa depan beliau, United pantas menandatangani Bailly walaupun khabarnya kelibat pemain berusia 22 tahun ini turut diintai Pep Guardiola. Menerusi akaun Twitter rasmi kelab, Bailly diikat dengan kontrak 4 tahun. Walaupun hanya sekali dua pernah menyaksikan aksi Bailly bersama Villareal di kaca TV, kejayaan United menandatangani beliau tetap menggembirakan saya.

Selepas berakhirnya era Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic di jantung pertahanan United, saya memang merindui aksi seorang pertahanan tengah dengan fizikal tegap, kental, ada kepantasan serta memiliki corak permainan keras. Selama dua musim di bawah kendalian Louis Van Gaal, satu-satunya pemain pertahanan tengah tulen yang beraksi konsisten hampir setiap minggu ialah Chris Smalling. Sementara Phil Jones dan Marcos Rojo yang sesekali di letakkan sebagai pasangan Smalling sering berdepan masalah kecederaan dan konsistensi.

Mujurlah Van Gaal memiliki opsyen lain dengan adanya pemain serba boleh seperti Daley Blind yang menghabiskan sebahagian besar kariernya di Old Trafford di posisi pertahanan tengah. Dengan nilai £30 juta yang dibelanjakan Mourinho untuk mendapatkan Bailly, sudah pasti beliau mahukan pemain ini menjadi rakan gandingan kepada Smalling. Dan sudah tentu kedatangan Bailly juga merupakan satu isyarat berakhirnya karier beberapa pemain pertahanan yang dijangka bakal meninggalkan Old Trafford musim panas ini. Siapakah mereka?


DALEY BLIND

Nama teratas yang saya jangkakan bakal meninggalkan Old Trafford selepas kedatangan Bailly ialah Daley Blind. Meskipun gandingan beliau bersama Smalling menyaksikan gawang United cuma dibolosi 35 gol dari 38 aksi liga, khabar angin tentang kemungkinan Blind meninggalkan kelab semakin bertiup kencang. Ditukar posisinya dari pemain tengah bertahan kepada pertahanan tengah, Blind melaksanakan tugasnya dengan cukup bagus menerusi kemampuan membaca permainan lawan dan ketika melakukan tackle.

Purata 2.8 tackle yang dilakukan Blind dalam setiap perlawanan merupakan catatan terbaik berbanding mana-mana pemain pertahanan United musim lalu (2015-16). Memiliki ketinggian 1.8m dan fizikal yang kurang tegap adalah kelemahan ketara Blind selaku pertahanan tengah. Jadi beliau bukanlah seorang pertahanan tengah boleh diharapkan dalam situasi perebutan bola di udara. Kegagalan beliau menangani penyerang-penyerang tegap di Liga Perdana dalam situasi bola tinggi sering disebut sebagai kelemahan paling ketara di barisan belakang United.

PHIL JONES

Meskipun pada awalnya dianggap pemain muda paling berpotensi ketika era Sir Alex Ferguson, karier Jones kian meredup gara-gara kecederaan berulang yang beliau alami hampir setiap musim. Musim lalu Jones sekali lagi banyak menghabiskan masanya di bilik rawatan berbanding aksi di tengah padang. Dan disebabkan masalah kecederaanlah Jones saya jangka bakal diletakkan Mourinho dalam senarai pemain yang akan dijual musim panas ini. Agak malang apabila memikirkan kecederaan akhirnya membunuh potensi pemain yang pada mulanya digembar-gemburkan sebagai kapten masa depan skuad kebangsaan England ini.

MARCOS ROJO

Kehadiran beliau di Old Trafford pada musim panas 2014 disambut dengan gembira oleh penyokong-penyokong United tambahan pula `Rojo’ dalam bahasa Sepanyol bermaksud merah. Prestasi bagus yang beliau pamerkan bersama skuad kebangsaan Argentina di pusingan akhir Piala Dunia 2014 menarik minat Van Gaal untuk mendapatkan tandatangan pemain ini. Sepertimana Jones, Rojo sering berdepan masalah kecederaan manakala kemampuan beliau menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana juga sering diperdebatkan penyokong-penyokong.

Komentar beliau secara terbuka tentang keinginan untuk pulang semula ke Estudiantes yang juga merupakan kelab zaman remajanya menguatkan lagi desas-desus bahawa Rojo bakal meninggalkan Old Trafford. Sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah dan dengan Mourinho pula yang cukup mementingkan kekuatan di barisan belakang, penyokong-penyokong yang sebelumnya mahukan beliau pergi sudah boleh memasang angan-angan menyaksikan Rojo menyarung jersi pasukan lain musim hadapan.

FASA AKHIR

Melihat kepada situasi yang dialami Blind, Jones dan Rojo, kedatangan Mourinho dan pembelian Bailly yang dilakukan pengendali itu bolehlah dianggap sebagai fasa akhir karier tiga pemain ini (Blind, Jones dan Rojo) di Old Trafford. Bolos 35 gol sepanjang aksi liga musim lalu memang satu statistik yang cukup mengagumkan terutamanya bila memikirkan bahawa Blind sendiri bukanlah seorang centre back semulajadi selain krisis kecederaan yang menimpa barisan belakang United.

Bailly merupakan type pertahanan tengah yang menepati selera Mourinho. Walaupun masih muda, Bailly sudah memiliki pengalaman antarabangsa bersama skuad kebangsaan menerusi 15 caps dan tunjang Villarreal sebelum ini dibenteng pertahanan. Ada fizikal yang sesuai sebagai seorang centre back, memiliki kekuatan ketika mencabar penyerang lawan dalam situasi 1 lawan 1, pantas serta berkemahiran membangunkan serangan dari bawah menerusi kemampuan melakukan dribble. Cuma kadangkala pemain muda seperti beliau agak gopoh dan kerap melakukan kesilapan mudah.

Menonton aksi Bailly di Youtube mengingatkan saya kembali kepada sosok Rio Ferdinand ketika zaman kemuncaknya. Rio seorang pertahanan tengah penuh bergaya, kuat, keras permainannya, berkemahiran dan cukup berkeyakinan ketika bola berada dikakinya. Rio bukan sekadar igauan ngeri kepada penyerang lawan menerusi terjahan-terjahan keras dan tepatnya tetapi kemampuan beliau `bermain-main’ dengan penyerang lawan di kawasan sendiri menunjukkan betapa tingginya tahap keyakinan yang dimiliki lagenda ini.

Adakah Bailly centre back yang saya tunggu selama ini selepas berakhirnya era Rio di Old Trafford? Untuk soalan itu, saya terpaksa menunggu hingga bermula musim kompetitif 2016-17 nanti. Tapi apa yang pastinya Mourinho mendapatkan beliau kerana berasakan Bailly cocok dengan sistem permainan yang ingin dibangunkannya untuk United. Dan sudah pasti kedatangan Bailly juga bakal mengakibatkan beberapa pemain di barisan belakang terpaksa memberikan laluan kepada beliau. Bergantung sama ada mereka menyertai kelab lain atau memerhati dari tepi padang selaku pemain simpanan…Glory Glory Manchester United!!! - AJ