11 Ogos 2016

TUJUH PERPINDAHAN `UNIK' YANG MEMBABITKAN MANCHESTER UNITED


Beberapa hari lalu Paul Pogba secara rasmi diumumkan sebagai pemain Manchester United, dan secara rasmi juga perpindahan beliau memecah rekod dunia yang sebelumnya dipegang Gareth Bale. Perpindahan Pogba dianggap unik bukan sahaja kerana beliau pulang semula ke Old Trafford selepas meninggalkan kelab empat tahun lalu tetapi juga kerana harga yang terpaksa dibayar United untuk mendapatkan kembali khidmatnya.

Pogba sudah mencetuskan sensasi dalam musim perpindahan pemain kali ini menerusi rekod dunia yang diciptanya, tetapi United sebenarnya sudahpun mencatatkan beberapa cerita unik lama sebelum kedatangan semula Pogba. Ada unsur-unsur dramatik, pengkhianatan serta mengejutkan di sebalik perpindahan-perpindahan unik yang saya senaraikan di bawah dan mungkin juga kisah mereka lebih menarik berbanding perpindahan sensasi Pogba. Apa sebenarnya yang berlaku ketika itu?

Billy Meredith (1907)

Pemain kebangsaan Wales ini berhijrah dari Manchester City ke United ketika beliau masih berada dalam tempoh penggantungan 18 bulan yang dikenakan oleh The Citizens. Hukuman penggantungan ke atas Billy ini dikenakan atas tuduhan mengatur keputusan perlawanan pada 1905. Berbaki tujuh bulan sebelum hukuman penggantungannya berakhir, Billy mengambil keputusan berpindah ke Old Trafford pada usia 32 tahun. Beliau bermain untuk United selama 15 tahun sekaligus muncul pemain tertua pernah bermain untuk kelab. Gandingan Billy bersama Sandy Turnbull membantu United memenangi dua kejuaraan liga, satu Piala FA dan dua Perisai Komuniti.

Albert Pape (1925)

Perpindahan unik ini terjadi pada 1925 ketika Pape masih bermain untuk Clapton Orient dan mungkin inilah kisah pengkhianatan paling sensasi dalam sejarah bolasepak. Pape menyertai The Red Devils hanya dalam tempoh beberapa jam sebelum kelabnya menentang United di Old Trafford. Ketika sampai di kota Manchester, Pape secara rasmi menyertai United di mana segala urusan perjanjian dan kontrak berjaya diselesaikan oleh pihak FA. Luka di pihak Orient bertambah parah bila Pape menjaringkan satu gol untuk membantu United menewaskan kelab lamanya, 4-2.

Hugh McLenahan (1927)

Dua tahun setelah perpindahan menarik Pape, berlaku lagi perpindahan unik di Old Trafford, kali melibatkan pemain tengah Stockport County, Hugh McLenahan.  United tidak perlu mengeluarkan wang yang besar bagi mendapatkan tandatangan McLenahan tetapi kelab sebaliknya hanya memberikan satu peti sejuk yang penuh berisi aiskrim sebagai pertukaran. Hal ini dilakukan sebagai bantuan kepada Stockport yang ketika itu mengalami masalah kewangan serius.

TommyTaylor (1953)

Sir Matt Busby tertarik mendapatkan penyerang muda Barnsley, Tommy Taylor yang berjaya menjaringkan 26 gol dari 44 perlawanan liga. Bagaimanapun perpindahan Taylor tertangguh kerana Sir Matt beranggapan nilai £30,000 terlalu mahal. Selepas melakukan sesi tawar menawar yang panjang dan rumit, Barnsley akhirnya setuju melepaskan Taylor dengan nilai £29,999 manakala baki £1 lagi diberikan kepada seorang pelayan yang menuangkan teh bernama Lily Wilby sebagai tip. Sepanjang kariernya bersama United, Taylor menjaringkan 131 gol dari 191 penampilan sebelum terkorban dalam Tragedi Munich 1958.

Stan Crowther (1958)

Stan Crowther sebenarnya sedang bersiap menonton perlawanan United di Old Trafford. Bagaimanapun semasa dalam perjalanan menuju ke stadium, Eric Houghton (pengurus Aston Villa) berjaya memujuk Crowther supaya menyertai United yang ketika itu mengalami krisis kekurangan pemain selepas Tragedi Munich. Setiba di Manchester, Crowther menandatangani kontrak bersama United dan kemudiannya diturunkan dalam kesebelasan utama.

Lou Macari (1973)

Pada Januari 1973, Liverpool tertarik mendapatkan Macari dari Celtic. Sebelum majlis menandatangani kontrak dilakukan, Macari telah dijemput dalam satu majlis sebagai tetamu kehormat Bill Shankly yang turut disertai penolong pengurus United, Paddy Crerand. Ketika itulah Crerand berjaya memujuk Macari supaya membatalkan hasratnya bermain untuk Liverpool dan menyertai United. Akhirnya Macari menyertai United di mana sepanjang kariernya di Old Trafford beliau bermain 404 perlawanan, menjaringkan 97 gol dan memenangi Piala FA pada 1977.

Eric Cantona (1992)

Perpindahan Eric Cantona dari Leeds ke Manchester mungkin perpindahan paling sensasi pernah dilakukan Sir Alex. Bermula dengan niat Bill Fotherby (Pengerusi Leeds United ketika itu) yang menghubungi Martin Edwards bagi menyatakan minat mereka untuk mendapatkan khidmat Dennis Irwin akhirnya bertukar kepada perpindahan Cantona dari Elland Road ke Old Trafford. Meletakkan Irwin dengan status `Tidak Dijual’, Sir Alex sebaliknya melakukan tawaran balas bagi mendapatkan khidmat Cantona dan hanya beberapa hari selepas itu `King Eric’ menyertai United secara rasmi.

United Masih Lagi Lubuk Pemain Ternama

Selain perpindahan yang saya senaraikan di atas, terdapat beberapa lagi perpindahan yang agak `unik’ membabitkan United. Antaranya kejayaan kelab mendapatkan khidmat Roy Keane yang sebenarnya hanya selangkah lagi menuju ke Ewood Park. Selain itu `pengkhianatan’ dilakukan John Obi Mikel tetap kekal dalam ingatan bilamana beliau disaat akhir memilih menyertai Chelsea walaupun sudah diperkenalkan kepada media sebagai pemain United.


Walaupun berdepan tempoh suram dalam tiga musim terakhir selepas persaraan Sir Alex, United tetap berjaya menarik beberapa pemain kelas dunia menyarung jersi kelab. Radamel Falcao, Angel Di Maria, Juan Mata dan Bastian Schweinsteiger antara nama besar yang berjaya dibawa masuk hinggalah kemuncaknya bila kelab memecah rekod perpindahan dunia menerusi kepulangan semula Pogba. Seperti yang dinyatakan The Guardian, Manchester United masih lagi pentas terbaik untuk pemain kelas dunia memperagakan aksi mereka, dari dahulu hingga sekarang...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

05 Ogos 2016

JOSE MOURINHO...SEORANG YANG ISTIMEWA ATAU `PRAGMATIS' BOLASEPAK

Saingan kompetitif United musim depan akan bermula dengan aksi menentang Leicester City bagi merebut trofi Perisai Komuniti, Ahad ini. Perlawanan menentang juara Liga Perdana itu juga akan menjadi gambaran awal kepada kita bagaimanakah corak permainan United di bawah kendalian Jose Mourinho nanti. Adakah falsafah bolasepak Mourinho sesuai dengan tradisi United dan kehendak penyokong-penyokong mereka atau adakah pemainan United akan `kaku’ di bawah kendalian beliau?

Umum mengetahui bahawa strategi `parkir bas’ cukup terkenal bila anda bercakap tentang sosok bernama Jose Mourinho, tetapi adakah benar bahawa beliau memang seorang pengurus yang `pragmatis’ dalam menerapkan taktikal permainan pasukannya? Belum pun lagi pemain-pemain United menyepak bola dalam perlawanan kompetitif pertama mereka di bawah kendalian Mourinho, ramai juga penyokong-penyokong yang mula bimbangkan gaya menyerang The Red Devils akan terjejas akibat dari falsafah permainan defensive Mourinho.

Perlantikan Mourinho sebagai pengurus United menimbulkan pro dan kontra baik di kalangan lagenda kelab ataupun penyokong-penyokong sendiri. Ada pihak yang gembira menyambut kedatangan Mourinho tetapi bukan sedikit juga yang merasakan bahawa corak permainan United akan `beku’ di bawah kendalian beliau. Memang saya akui Mourinho merupakan seorang pengurus yang cukup mementingkan kekuatan benteng pertahanan skuad yang beliau kendalikan dan hal ini sudah terbukti saat beliau berada di Estadio do Dragao hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge.

Bukankah dahulu Sir Alex pernah berkata bahawa “Attack wins you games, defence wins you titles”, jadi tiada salahnya jika ketajaman menyerang turut diimbangi dengan kekuatan ketika bertahan. Bagaimanapun itu juga tidak bermakna bahawa Mourinho terlalu obses dalam hal bertahan hingga mengabaikan aspek menyerang. Buktinya? Pada 2002, sebaik beliau dilantik menggantikan Octavio Machado di Esdatio do Dragao di pertengahan musim, FC Porto di bawah kendalian beliau menjaringkan 35 gol dari 15 perlawanan.

FC Porto di bawah kendalian Mourinho muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol di Premeira Liga selama dua musim berturut-turut (musim 2002-03 dan 2003-04). Selain itu, mereka juga menjaringkan 20 gol ketika menjuarai saingan Liga Juara-Juara (musim 2003-04). Selepas Mourinho berpindah ke Stamford Bridge pada 2004 pula, barisan hadapan Chelsea yang diterajui Didier Drogba menjaringkan 208 gol dalam tempoh tiga musim untuk berada di belakang Arsenal dan United selaku pasukan paling produktif di hadapan gawang lawan dalam saingan liga.

Sepertimana ketika beliau di Premiera Liga dan Liga Perdana, Mourinho juga berjaya menjadikan barisan hadapan Inter Milan sebagai mesin gol digeruni selepas beliau berpindah ke Serie A dan kemudiannya di La Liga bersama Real Madrid. Dua musim berturut-turut Inter muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol di Serie A manakala di La Liga pula jentera hadapan Real Madrid yang diketuai Cristiano Ronaldo menghasilkan 223 gol (mengatasi Barcelona dengan 209 gol dalam tempoh dua musim).

121 gol yang dijaringkan kesebelasan Real sepanjang musim 2011-12 menyaksikan mereka mencipta rekod sebagai pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah La Liga bagi tempoh semusim. Dan paling manis Real bukan sahaja berjaya mengatasi Barcelona, pasukan yang dilabel memiliki corak permainan paling menarik didunia dari segi jumlah jaringan gol, tetapi mereka juga berjaya menjulang kejuaraan La Liga pada musim kedua Mourinho di Santiago Bernabeu.

Jika anda bercakap tentang seorang pengurus yang cenderung menggunakan gaya permainan bertahan membosan semata-mata mahukan kemenangan, Mourinho pada pandangan saya bukanlah seperti itu. FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid di bawah kendalian beliau memang memiliki kekuatan ketika bertahan tetapi dalam masa yang sama turut memiliki ketajaman ketika menyerang. Sejak 2000 hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge sebelum beliau dipecat, Mourinho sudah mengharungi 513 perlawanan liga dalam kariernya.

Dari 513 perlawanan itu, skuad yang Mourinho kendalikan sudah menjaringkan 1,053 gol atau purata 2.09 gol setiap perlawanan. Memang benar kita sering melihat Mourinho meletakkan tujuh hingga lapan pemain di kawasan sendiri ketika bertahan hinggakan istilah `parkir bas’ sudah cukup sinonim dengan beliau. Bagaimanapun melihat kepada statistik yang saya sebutkan tadi, adakah adil untuk label `pragmatis’, `anti football’ atau yang sewaktu dengannya terus diletakkan ke atas Mourinho selepas ini?

Anda mungkin sudah ada jawapan untuk soalan di atas, tetapi sebagai salah seorang pengurus/jurulatih berprofil tinggi dalam dunia bolasepak, Mourinho tentunya mahukan hasil terbaik buat pasukannya sebaik tamat tempoh 90 minit permainan. Anda tidak boleh samakan apa yang dilakukan Diego Simeone bersama Atletico dengan apa yang sudah dilakukan Mourinho ketika bersama Benfica, Uniao Leiria, FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan kembali semula ke Chelsea.

Ada yang melabelkan Simeone sebagai pakar taktikal dan genius bolasepak menerusi corak permainan defensif dan counter attack yang beliau terapkan dalam permainan Atletico hingga membolehkan mereka menyingkirkan Barcelona dan Bayern Munich dalam laluan ke final Liga Juara-Juara musim lalu. Ya, Atletico memang berjaya menerusi taktik Diego’s Wall yang sering membuatkan jentera serangan terbaik dunia hampa bila berdepan mereka, tetapi dalam masa yang sama mereka juga sebenarnya sangat minima dalam menghasilkan gol.

Bayangkan dalam tempoh dua musim terakhir saingan La Liga, mereka hanya menjaringkan 130 gol, hampir separuh dari jaringan yang dihasilkan Real Madrid dan Bercelona walaupun dalam tempoh tersebut mereka berada di kedudukan ketiga. Jadi jangan samakan permainan `membosankan’ Atletico dengan apa yang diterapkan Mourinho terutamanya ketika beliau mengendalikan FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid. Contoh paling hampir dan terbaik ialah bagaimana permainan Chelsea di bawah kendalian Mourinho ketika mereka menjuarai trofi Liga Perdana musim 2014-15.

Siapa sangka Chelsea ketika itu bermain secara terbuka biarpun Mourinho dilabel sebagai seorang pengurus yang `pragmatis’. Sepanjang musim 2014-15, Chelsea menjaringkan 73 gol untuk berada di belakang Manchester City selaku pasukan yang paling banyak menjaringkan gol di Liga Perdana. Keupayaan mereka menjaringkan banyak gol tetap diimbangi dengan kekuatan di benteng pertahanan bilamana The Blues mencatatkan 17 clean sheet dan gawang mereka pula hanya dibolosi sebanyak 32 kali.

Mourinho antara salah seorang jurulatih/pengurus berprofil tinggi dalam dunia bolasepak hari ini dan fakta ini dibuktikan beliau menerusi jumlah trofi yang sudah beliau menangi di setiap kelab yang beliau sertai sebelum ini. Menyaksikan statistik jaringan FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid ketika mereka di bawah kendalian beliau, saya agak hairan mengapa selama ini Mourinho sering dilabel sebagai seorang yang `pragmatis’.

Kejayaan Mourinho selama ini sebenarnya bukan kerana taktik bertahan, serang balas pantas atau kemampuan barisan hadapan pasukannya menjaringkan banyak gol, tetapi kerana bagaimana bijaknya beliau menyesuaikan plan permainanan pasukannya dengan kekuatan lawan yang bakal beliau hadapi. Maka atas sebab itulah walaupun skuad kendalian beliau kadangkala dilihat bermain secara defensif namun mereka tetap berupaya menjaringkan banyak gol setiap musim.

Pemecatan beliau musim lalu mungkin meninggalkan sedikit titik hitam dalam kariernya, namun hal itu tetap tidak akan memadam hakikat bahawa nama Jose Mourinho dan kejuaraan umpama teman yang akrab. Mourinho mungkin bukan pilihan yang sempurna untuk United, tetapi dengan mentaliti juara dan sedikit sikap angkuh yang ada dalam dirinya, saya percaya beliau akan menjadikan nama Manchester United kembali dihormati dan digeruni.

Adakah Mourinho benar-benar seorang `Yang Istimewa’ sepertimana didakwa beliau di hadapan wartawan pada 2004? Atau adakah beliau memang seorang yang `pragmatis’, sanggup mengorbankan permainan bolasepak menarik hanya semata-mata kerana mahukan kemenangan? Jika nantinya beliau berjaya membawa kelab kembali menjuarai trofi Liga Perdana sambil barisan hadapan United pula menjadi igauan ngeri pertahanan lawan, ketika itu terpulanglah kepada anda untuk menilai sama ada Mourinho benar-benar `Istimewa’ atau beliau memang seorang yang `Pragmatis’…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

01 Ogos 2016

BONNIE...PEMAIN YANG PATUT DIBERIKAN KEUTAMAAN UNTUK UNITED TANDATANGANI

Saya tidak pernah menyaksikan aksi Giacinto Fachetti, Claudio Gentile, Tarcisio Burgnish atau Giovanni Trapattoni secara langsung kerana ketika era kegemilangan mereka sebagai pemain, saya mungkin baru belajar merangkak. Walaupun tidak pernah menyaksikan mereka bermain, tetapi kini saya tahu mereka antara pemain pertahanan terbaik pernah Itali lahirkan. Ya, dari dulu hingga kini Itali memang tidak pernah ketandusan bakat-bakat hebat yang membarisi benteng pertahanan skuad Gli Azzurri terutamanya di posisi pertahanan tengah.

Saya beruntung kerana sempat menyaksikan bagaimana tenangnya Franco Baresi saat mengawal benteng Itali dan AC Milan ketika zaman gemilang beliau, kerasnya corak permainan tapi penuh taktikal milik Guiseppe Bergomi, gaya permainan Alessandro Nesta yang penuh elegan, Fabio Cannavaro yang bertubuh kecil tapi cukup dinamik dan Marco Materazzi yang tiada belas kasihan ketika mengasak pemain lawan. Pemain-pemain inilah antara sebahagian pertahanan tengah terbaik Itali yang pernah saya saksikan aksi mereka, baik ketika mereka bermain untuk kelab ataupun ketika menyarung jersi biru skuad kebangsaan.

Walaupun Itali terkandas di peringkat suku akhir kejohanan Euro 2016 yang lalu, hakikat yang perlu kita akui ialah bahawa mereka memiliki antara barisan pertahanan terbaik dalam kejohanan empat tahun sekali itu. Itali ada Andrea Barzagli dan Giorgio Chiellini yang kaya pengalaman tetapi Leonardo Bonucci pada pandangan saya paling menonjol di benteng pertahanan mereka. Bukan hanya memiliki kekuatan di udara dan bijak melakukan terjahan bersih, Bonucci juga sering dilihat memainkan peranannya membangunkan serangan dari bawah.

Lihat bagaimana umpanan cantik yang beliau lakukan hingga terhasilnya gol pertama Itali jaringan Emanuele Giaccherini ketika berdepan Belgium dalam kejohanan Euro 2016 yang lalu. Bonnie disenaraikan antara salah seorang ball-playing centre back terbaik di Eropah dan faktor ini sebenarnya didorong dari pengalaman beliau yang pernah bermain di bahagian tengah. Memiliki keyakinan yang cukup tinggi ketika bola berada di kakinya, Bonnie juga mengakui bahawa beliau melakukan latihan menggelecek secara persendirian setiap kali tamat sesi latihan baik bersama Juventus mahupun ketika bersama skuad kebangsaan.

Kejayaan Itali melangkah hingga ke peringkat suku akhir kejohanan Euro 2016 meskipun pada mulanya diberikan gambaran buruk oleh media mereka sendiri memang agak mengejutkan. Dibarisi dengan pemain-pemain yang sudah berusia, Itali digambarkan sebagai kereta yang sudah usang dan diramalkan bakal pulang awal. Bagaimanapun dengan Bonnnie mengawal benteng pertahanan sambil dibantu dua lagi rakan sepasukannya dari Juventus (Chiellini dan Barzagli), Itali membuktikan bahawa mereka masih layak dihormati.

Aksi heroic Bonucci ketika berdepan Bayern Munich dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim lalu juga mengundang pujian Pep Guardiola. Dengan masalah kecederaan yang sering melanda Vincent Kompany sejak kebelakangan ini, Guardiola memang memerlukan seorang pemain berkebolehan seperti Bonnie untuk diletakkan di benteng pasukannya. Jadi tidak hairanlah mengapa kini anda sering mendengar laporan bahawa City antara kelab yang begitu berminat membawa keluar Bonnie dari Turin.

Melihat kepada penampilan Bonnie ketika ini siapa sangka bahawa perpindahan beliau ke Turin pada 2010 pernah dikecam hebat oleh penyokong-penyokong Juventus sendiri. Nilai sebanyak €15 juta yang terpaksa dibayar Juventus bagi mendapatkan khidmatnya dianggap terlalu tinggi untuk seorang pemain pertahanan `kelas pertengahan’ seperti beliau. Seperti dijangka musim pertamanya di Turin bukanlah mudah buat Bonnie dan beliau dianggap titik paling lemah di barisan belakang Juventus pimpinan Luigi Delneri.

Sering melakukan kesilapan mudah ketika melakukan hantaran dan tidak berada di posisi yang betul ketika bertahan seolah-olah mengiyakan segala kritikan yang dilemparkan ke atas beliau sebelum ini. Bagaimanapun nasib Bonnie berubah selepas kedatangan Antonio Conte yang menggantikan posisi Delneri. Conte menyedari bahawa kelemahan ketara Bonnie ialah dalam aspek man to man marking dan sistem empat pertahanan yang digunakan Delneri menyebabkan penampilan Bonnie kelihatan sangat buruk di atas padang.

Di sebalik kelemahan yang ada, Conte sebaliknya melihat Bonnie memiliki kekuatan dalam aspek melakukan hantaran, kuat di udara dan punya visi permainan yang bagus. Bonnie menurut Conte calon bek terbaik Itali seterusnya, generasi pemain yang bakal meneruskan legasi cattenaccio tetapi lahir dalam bentuk yang lebih moden dan matang. Conte membuktikan kebenaran kata-kata beliau menerusi sistem tiga pertahanan yang beliau gunakan selepas mengambil alih pengurusan dari Delneri.

Menerusi formasi 3-5-2 yang digunakan Conte, Bonnie diapit Chiellini serta Barzagli dan kini peranannya lebih seperti seorang sweeper, kadangkala berkongsi tugas dengan Andrea Pirlo sebagai deep lying midfielder yang bertindak mengawal tempo permainan, melakukan hantaran jauh ke hadapan dan wajib berada di kawasan penalti lawan dalam situasi bola mati. Hasilnya penampilan beliau kini jauh berbeza dan benarlah tanggapan Conte bahawa peranan Bonnie sebenarnya lebih menyerlah dalam sistem tiga pertahanan.

Di bawah kendalian Conte, Juventus yang bertukar kepada sistem tiga pertahanan berjaya menjulang kejuaraan Scudetto lima musim berturut-turut, selain sering berada di kelompok tiga teratas kelab yang memiliki barisan pertahanan terbaik di Eropah. “Mungkin kedengaran sedikit angkuh, tetapi Gianluigi Buffon, Giorgio Chiellini, Andrea Barzagli dan saya adalah kombinasi barisan belakang terbaik di dunia. Statistik tidak akan pernah berbohong”, kata Bonnie selepas kejayaan membenam Sepanyol di Euro 2016.

Juventus telah mengubah karakter Bonnie dari seorang pemain muda yang kerap melakukan kesilapan mudah kepada `tembok’ kukuh di barisan belakang mereka dan mungkin kini antara pertahanan tengah terbaik Itali sepanjang zaman. Di bawah kendalian Massimiliano Allegri, permainan Juventus lebih variasi dengan menggunakan tiga, empat atau lima pertahanan sekaligus. Jadi tidak hairanlah mengapa gawang mereka hanya dibolosi 40 gol (dalam semua kejohanan), yang juga merupakan jumlah kedua terendah selepas Barcelona dalam saingan di Eropah.

Jika enam tahun dulu kedatangannya ke Turin disambut dengan kritikan-kritikan hebat, kini Bonnie adalah nama besar untuk skuad Old Lady. Posisinya kini tidak tergantikan oleh mana-mana pemain, baik Chiellini mahupun Barzagli yang berbeza type permainan apatah lagi Angelo Ogbonna yang diletakkan sebagai pelapis beliau. Biarpun Conte sudah pergi dan Allegri pula mengambil alih, satu hakikat yang masih tidak berubah ialah Bonnie kekal sebagai pemain penting untuk Juventus.

Di bawah kendalian Allegri, meskipun Juventus bertukar dari formasi 3-5-2 kepada 4-3-1-2 yang menggunakan empat pertahanan, Bonnie tetap berjaya menyesuaikan diri hasil dari pengalaman dan kematangannya sebagai pemain. Bonnie mengakui kini tidak lagi berdepan masalah bermain dalam sistem empat pertahanan berbanding ketika peringkat awal kedatangannya ke Turin namun tetap berpendapat formasi 3-5-2 akan lebih menyerlahkan potensi beliau.

Bonnie membuktikan kata-katanya bahawa beliau memang tidak bermasalah walaupun Juventus menggunakan sistem empat pemain menerusi statistik yang dicatatkannya sepanjang musim lalu. Jumlah gol, pintasan hantaran, clearance dan bentesan yang dilakukan merupakan jumlah tertinggi sepanjang kariernya dan yang tertinggi berbanding mana-mana pemain pertahanan Juventus. Hal ini sebenarnya sedikit sebanyak dibantu oleh corak permainan Juventus yang lebih variasi di bawah kendalian Allegri.

Meskipun 4-3-1-2 menjadi formasi pilihan utama Allegri, sistem permainan Juventus akan segera berubah kepada 3-5-2 ketika mereka dalam mode menyerang. Ketika inilah Bonnie akan mara lebih jauh ke hadapan meninggalkan gandingan Rugani/Barzagli atau Barzagli/Chiellini di belakang. Beliau sering menjadi pemain pertama yang memulakan serangan Juventus menerusi kemampuan menyusun gerakan dan melakukan hantaran-hantaran jauh ke kawasan lawan.

12 gol dari 198 perlawanan liga tentulah jumlah yang banyak untuk seorang pemain pertahanan tengah dan naluri menyerang yang dimiliki Bonnie melengkapkan lagi pakej beliau sebagai salah seorang centre back terbaik dunia ketika ini. Kemampuan membangunkan gerakan dari bawah yang cukup mengagumkan dan ketatnya beliau mengawal benteng ketika bertahan hingga berjaya membantu Juventus mencatat rekod clean sheet di Serie A (tidak dibolosi sepuluh perlawanan berturut-turut atau lebih tepatnya 974 minit) menjadi penyebab mengapa United patut meletakkan Bonnie dalam radar buruan mereka.

Sehingga kini saya masih menanti akan kesudahan khabar-khabar angin tentang minat United terhadap Bonnie. Jika beliau sudah bosan dengan dominasi berterusan Juventus di Serie A dan mahukan cabaran baharu, Liga Perdana adalah `medan peperangan' seterusnya yang patut beliau sertai. Secara jujurnya saya lebih gemar melihat pemain pertahanan kelas dunia seperti Bonnie dibawa masuk bagi memperkuatkan benteng United berbanding menjadikan Paul Pogba sebagai pemain termahal dunia…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

24 Julai 2016

ROSES DERBY YANG SEMAKIN DILUPAKAN

Manchester United dan Liverpool memang diakui memiliki sejarah perseteruan yang panjang, bermula dari era revolusi perindustrian di Britain hinggalah sekarang. Pertembungan antara dua kelab yang memiliki sejarah dan tradisi paling gemilang di tanah Inggeris itu sentiasa dinantikan penuh minat oleh pemerhati dan peminat bolasepak dunia. Selain Liverpool, United juga perlu menangani cabaran yang datang dari musuh domestik mereka yang lain seperti Arsenal, Chelsea dan jiran sekota mereka, Manchester City.

Momen paling diingati jika bercakap tentang perseteruan United dan Arsenal pula sudah tentu berlaku di terowong pemain pada10 Oktober 2004. Insiden yang cukup dikenali dengan gelaran Pizza Gate atau Battle of the Buffet itu berlaku sebaik perjalanan epik Invincibles Arsenal dihentikan menerusi jaringan Ruud Van Nistelrooy dan Wayne Rooney masih tetap segar dalam ingatan biarpun sudah hampir 12 tahun berlalu.

Permusuhan Manchester Derby pula diterjemahkan Roy Keane menerusi terjahan kerasnya akibat dendam lama yang menamatkan terus kerjaya Alf Inge Haaland sebagai pemain bolasepak profesional. Selepas pulih dari kecederaan itu, Haaland cuba untuk kembali bermain tetapi kesan kecederaan parah dari hentakan boot Keano menyebabkan beliau akhirnya menyerah dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada karier profesionalnya pada usia 31 tahun.

Kehadiran Roman Abramovich yang menyuntik dana beratus juta Pound ke Stamford Bridge pula menyaksikan Chelsea muncul kuasa baharu bolasepak Inggeris sekaligus menghadirkan cabaran yang bukan sedikit buat United. Ditambah pula dengan perlantikan Jose Mourinho yang penuh karakter itu sebagai pengurus The Blues, Chelsea berjaya menamatkan dominasi United dan Arsenal apabila mereka menjulang kejuaraan liga dua musim berturut-turut (2004-05 dan 2005-06).

Andai ditanya kelab manakah musuh nombor satu United? Anda pastinya akan mendengar jawapan yang beragam dan pelbagai dari kalangan rakan-rakan penyokong United yang lain. Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City adalah nama yang akan selalu anda dengar sekiranya soalan ini ditanyakan kepada mereka. Rekod pertemuan silam, jumlah trofi yang dikumpul, persaingan dalam liga, wang dan aspek geografi menjadi penyebab mengapa anda memilih Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City sebagai musuh nombor satu United.

Tetapi bagaimana pula jika anda tanyakan soalan kepada penyokong-penyokong Leeds United tentang kelab manakah yang mereka letakkan sebagai musuh nombor satu mereka? Untuk soalan ini, saya yakin hanya ada satu nama yang akan keluar dari mulut mereka iaitu Manchester United. Mengapa United? Jawapannya ialah kerana sejarah silam yang berlaku di abad ke-15. Apa yang berlaku di England di abad ke-15? Okey mari kita buka kembali buku sejarah.

Perang Dua Wilayah

Perseteruan antara wilayah Lancashire dan Yorkshire di abad ke-15 berakhir dengan peperangan yang dikenali sebagai War of the Roses (Lancashire menggunakan mawar merah sebagai lambang mereka manakala Yorkshire pula menggunakan mawar putih). Rupa-rupanya peperangan antara dua wilayah yang berlaku beratus tahun dahulu akhirnya membawa kepada tercetusnya permusuhan abadi di atas padang bolasepak membabitkan dua kelab Inggeris iaitu Manchester United dan Leeds United.

Persaingan Matt Busby & Don Revie

Dekad 60an boleh dikatakan persaingan di liga Inggeris berkisar kepada perseteruan antara United dan Leeds. Sejarah silam peperangan yang pernah berlaku antara wilayah Lancashire dan Yorkshire turut terbawa-bawa hingga ketengah padang setiap kali United dan Leeds bertemu. Perkelahian, kekasaran melampau dan provokasi sesama pemain antara adegan wajib yang ada setiap kali berlangsungnya Roses Derby (atau disebut juga sebagai Roses Rivalry).

Di era itu (60an) kedua-dua kelab memiliki barisan yang seimbang tetapi dengan adanya pemain-peman seperti George Best, Bobby Charlton dan Dennis Law, skuad United kendalian Sir Matt dianggap lebih glamour berbanding Leeds. Bagaimanapun ketika era 60an memasuki fasa penghujung, Leeds di bawah asuhan Revie dianggap pasukan lebih kuat berbanding United menerusi kualiti yang ada pada Jack Charlton, Billy Bremmer dan Norman Hunter.

Selepas Era Matt Busby & Don Revie

Ketegangan perseteruan antara United dan Leeds mula kendur di awal dekad 70an selepas berakhirnya era Sir Matt manakala Revie pula meninggalkan Elland Road selepas dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan England. Zaman malap yang dihadapi United selepas ditinggalkan Sir Matt dan Leeds juga menerima tempias yang sama selepas pemergian Revie menyaksikan edisi-edisi Roses Derby tidak lagi sepanas dekad sebelumnya.

Bagaimanapun ketegangan dan persaingan antara kedua-dua kelab di atas padang yang kian kendur tidak langsung mempengaruhi rasa benci yang masih menebal di kalangan penyokong-penyokong kedua-dua pasukan. Di era 70an ketika semangat hooliganisme dalam bolasepak sedang memuncak, kes pertempuran penyokong membabitkan Red Army (United) dan Service Crew (Leeds) turut mencatatkan jumlah tertinggi berbanding mana-mana perlawanan derby dan menjadi cerita paling terkenal di bumi Inggeris.

Perpindahan Pemain Tonggak

Permusuhan antara United dan Leeds bukan sahaja melibatkan saingan di atas padang dan pertempuran penyokong di luar padang tetapi juga melibatkan hal kesebelasan mana yang lebih baik. 14 tahun sebelum Eric Cantona berpindah dari Elland Road ke Old Trafford, United menandatangani dua pemain penting Leeds hampir serentak dan pemain yang saya maksudkan ialah Joe Jordan serta Gordon McQueen.

Perpindahan Jordan dan McQueen memanaskan lagi api permusuhan antara United dan Leeds apatah lagi McQueen selepas itu mengeluarkan kenyataan bahawa “99% pemain ingin bermain untuk Manchester United dan 1% lagi adalah pembohong”. Kenyataan McQueen itu menimbulkan kemarahan penyokong-penyokong Leeds kerana hanya seminggu sebelumnya dalam satu temubual dengan Shoot Magazine, beliau mengatakan ingin bermain untuk Leeds sepanjang kariernya.

Ketika luka dari perpindahan Jordan dan McQueen masih berbekas, penyokong-penyokong Leeds terpaksa menyaksikan seorang lagi idola di Elland Road berpindah ke kelab paling dibenci mereka. Dengan `restu’ yang diberikan Bill Fotherby (Pengerusi Leeds ketika itu), Eric Cantona akhirnya berpindah ke Old Trafford pada musim panas 1992 biarpun musim sebelumnya beliau mengetuai Leeds menewaskan United dalam perebutan kejuaraan liga.

Sepertimana pentingnya peranan yang dimainkan beliau ketika membantu Leeds menjulang kejuaraan liga, begitu jugalah yang dilakukan Cantona di Old Trafford. Cantona meneruskan sentuhan magisnya apabila beliau berjaya membantu The Red Devils menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga. Menyaksikan pemain yang sebelumnya dianggap sebagai dewa membantu musuh nombor satu mereka menjulang kejuaraan liga menambahkan lagi rasa benci penyokong-penyokong Leeds terhadap United.

Jika dahulunya beliau dijulang sebagai wira tetapi kini Cantona dianggap petualang pula oleh penyokong-penyokong Leeds. Jadi tidak hairanlah mengapa setiap kali beliau kembali ke Elland Road, Cantona akan diberikan sambutan yang cukup `meriah’ oleh mereka-mereka yang dahulu pernah memujanya. Cantona rupa-rupanya bukanlah yang terakhir kerana selepas itu ada lagi bintang Leeds yang berpaling tadah.

Perpindahan pemain tonggak masih lagi menjadi penyebab mengapa api permusuhan antara kedua-dua kelab kekal marak. Sepuluh tahun selepas perpindahan sensasi Cantona dari Elland Road ke Old Trafford, kini tiba giliran Rio Ferdinand pula melakukan hal yang sama. Perpindahan Ferdinand pada 2002 menjadikan beliau muncul pemain pertahanan termahal dunia dan mencatat rekod perpindahan British ketika itu.

Dua tahun kemudian giliran Alan Smith pula melukakan hati penyokong-penyokong Leeds apabila beliau mengambil keputusan menyertai Ferdinand di Old Trafford. Smith yang cukup terkenal dengan kebiasaan beliau mencium badge Leeds setiap kali berjaya menjaringkan gol pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan sesekali menyertai United. Perpindahan Smith membuktikan kebenaran kata-kata McQueen bahawa “99% pemain ingin bermain untuk Manchester United dan 1% lagi adalah pembohong”.

`Nyanyian Ewood Park’

Apa yang berlaku di Ewood Park pada 1994 adalah contoh terbaik sejauh mana tahap kebencian penyokong-penyokong Leeds terhadap United. Ketika upacara bertafakur bagi menghormati kematian Sir Matt Busby dilakukan sebelum sepak mula, segelintir penyokong-penyokong Leeds yang berada di Ewood Park sebaliknya bertindak memecah kesunyian dengan melaungkan chantThere’s only one Don Revie, one Don Revie….”

Berbeza dengan Sir Matt yang dianggap lagenda dan antara pengurus paling berjaya dalam sejarah bolasepak Britain, lain pula halnya dengan layanan yang diterima oleh Revie. Meskipun berjaya dua kali membawa Leeds muncul juara liga Divisyen 1 (1968-69 &1973-74) selain Piala FA dan Piala Liga, Revie dikritik kerana corak permainan keras yang diterapkan dalam permainan pasukannya hinggakan barisan Leeds diberikan gelaran Dirty Leeds.

Hingga saat kematian beliau akibat kanser pada 1989, media-media Inggeris ketika itu masih tetap memberikan gambaran buruk terhadap Revie. Penyokong-penyokong Leeds menganggap lagenda mereka itu tidak diberikan layanan yang adil dan penghormatan selayaknya berbanding apa yang diterima Sir Matt. Perseteruan silam ketika era Busby Babes dan Revie Boys selain layanan double standard yang diberikan warga bolasepak Britain kepada Revie berbanding Sir Matt akhirnya mencetus `Nyanyian Ewood Park’ pada 1994.

Gelora Yang Semakin Reda

Pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua kelab berlaku pada 20 September 2011 dalam saingan Piala Liga di Elland Road. Kemenangan 3-0 yang dilakar United menerusi dua jaringan Michael Owen dan satu gol sumbangan Ryan Giggs bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika diambilkira status kedua-dua kelab. Ketika itu United dalam prestasi bagus dan mereka adalah pendahulu carta Liga Perdana manakala Leeds pula sekadar berada di tangga ketujuh Liga Kejuaraan.

Jurang darjat yang kian dalam antara kedua-dua kelab pernah bermusuhan ini menyaksikan Roses Derby tidak lagi sepanas ketika era 60an hingga 90an. Aksi di Elland Road lima tahun lalu membuktikan kebenaran bahawa gelora Roses Derby yang berpunca dari perang antara dua wilayah ratusan tahun dahulu kini semakin reda. Meskipun begitu penyokong-penyokong United tidak pernah melupakan sejarah perseteruan yang membabitkan United dan Leeds.

Chant dari penyokong-penyokong United yang menyebut tentang Leeds masih berkumandang di Theatre of Dreams sebagai tanda bahawa mereka menghargai nilai perseteruan yang pernah berlaku antara dua kelab Lancashire dan Yorkshire itu sebelum ini. Ketika ramai yang kini memilih Liverpool, Arsenal, Chelsea dan Manchester City sebagai musuh nombor satu United, mereka terlupa bahawa perseteruan United dan Leeds lama dahulu pernah menyebabkan bolasepak England `huru-hara’.

Roses Derby hanya mampu dirindukan untuk disaksikan aksinya serta mungkin tidak akan berlaku dalam waktu terdekat memandang United dan Leeds kini berada dalam kasta yang berbeza. Ketika generasi baharu penyokong-penyokong United disogokkan dengan sensasi Manchester Derby, generasi terdahulu pula mungkin masih merindui ketegangan dan hangatnya Roses Derby. Semoga suatu hari nanti permusuhan antara United dan Leeds akan kembali memanaskan bolasepak Inggeris, sebuah pertarungan yang bukan hanya membabitkan pemain ditengah padang tetapi juga pertarungan melibatkan harga diri dan tradisi antara United’s Red Army dan Leeds Service Crew…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

17 Julai 2016

INILAH EMPAT PASANGAN PERTAHANAN TENGAH TERBAIK PERNAH BERAKSI UNTUK UNITED DARI DEKAD 70an HNGGA SEKARANG

Sir Alex Ferguson pernah menyebut bahawa “Menyerang memberikan anda kemenangan dalam perlawanan, tetapi pertahanan memberikan anda kejuaraan”. Apa yang disebut beliau ini ada kebenarannya jika diambilkira fakta bahawa ketajaman jentera serangan skuadnya turut diimbangi dengan kekentalan di benteng pertahanan. Pada musim 2007-08, tatkala Cristiano Ronaldo bermaharajalela di hadapan gawang lawan menerusi 31 gol yang dihasilkannya, benteng pertahanan United yang diterajui Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand pula hanya membenarkan gawang mereka dibolosi sebanyak 22 kali.

Meskipun jumlah tersebut masih gagal memecah rekod pasukan paling kurang dibolosi dalam semusim milik Chelsea (gawang The Blues hanya dibolosi 15 gol pada musim 2004-05), United tetap menamatkan musim tersebut dengan bergaya. Musim 2007-08 menyaksikan United berjaya memenangi kejuaraan liga buat kali ke-17 dan mereka kemudiannya melengkapkan antara musim paling gemilang dalam sejarah kelab apabila menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga di Moscow.

Pesona milik Dennis Viollet, Jack Rowley, George Best, Bobby Charlton, Denis Law, Eric Cantona, Andy Cole, Dwight Yorke, Teddy Sheringham, Ole Gunnar Solskjaer, Ruud Van Nistelrooy, Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan Robin Van Persie akan sentiasa diingati sebagai antara penggempur terbaik pernah disaksikan menyarung jersi merah United. Tetapi dalam pada itu jangan lupakan juga mereka yang berada di barisan belakang, mereka yang ditugaskan merantai pergerakan penyerang lawan dan mereka yang diamanahkan untuk memastikan agar gawang sendiri tidak dibolosi.

Selama berdekad, bukan sedikit pemain-pemain pertahanan terbaik yang pernah membarisi benteng pertahanan United dan mereka juga turut memainkan peranan penting di sebalik suksesnya pencapaian kelab di peringkat domestik mahupun Eropah. Dari masa kesemasa, benteng United sentiasa diisi oleh pemain-pemain pertahanan yang hebat dan kehadiran pemain-pemain seperti Steve Bruce, Gary Pallister, Jaap Stam, Ronny Johnsen, Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic membantu Manchester United menjadi kelab paling sukses di Liga Perdana.

Jika Viollet, Rowley, Best, Charlton, Law, Cantona, Cole, Yorke, Sheringham, Solskjaer, Van Nistelrooy, Ronaldo, Rooney, Berbatov dan Van Persie pernah menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana benteng pertahanan lawan, bagaimana pula dengan kombinasi pertahanan tengah terbaik yang pernah disaksikan dalam sejarah kelab? Kali ini mari kita imbas kembali mereka-mereka yang pernah dibentuk untuk menjadi gandingan pertahanan tengah terbaik buat United, gandingan yang pernah menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana penyerang lawan dari dekad 70an hinggalah ke era Sir Alex Ferguson.

MARTIN BUCHAN & GORDON MCQUEEN

Di penghujung dekad 70an, zaman ketika kelab berada di era kemelesetan, United masih mampu melahirkan gandingan pertahanan tengah yang digeruni dalam saingan liga. Gandingan yang saya maksudkan ialah Martin Buchan dan Gordon McQueen. Buchan sebenarnya tiba lebih awal di Old Trafford berbanding McQueen selepas beliau ditandatangani Tommy Docherty dari Aberdeen pada 1972. Dari saat beliau ditandatangani, Buchan pernah digandingkan bersama Jim Holton dan Brian Greenhoff hinggalah akhirnya beliau menemui gandingan serasi selepas ketibaan McQueen.

McQueen dibawa masuk oleh Dave Sexton dari Leeds United pada 1978 dan gandingan beliau bersama Buchan dianggap saling melengkapi antara satu sama lain kerana kedua-duanya memiliki tipikal permainan yang berbeza. McQueen pertahanan tinggi lampai, memiliki kekuatan ketika perebutan bola tinggi dan lawan sepadan untuk mana-mana penyerang tinggi lampai ketika itu. Buchan pula ada kepantasan dan bijak meletakkan diri di posisi yang tepat ketika bertahan. Era gandingan Buchan dan McQueen berakhir pada 1983 selepas prestasi Buchan mula menurun dan beliau kemudiannya menyertai Oldham Athletic.

STEVE BRUCE & GARY PALLISTER

Selepas mencuba ramai pemain untuk membentuk pertahanan tengah yang ampuh, Sir Alex Ferguson akhirnya menemui pasangan sesuai untuk beliau letakkan di jantung pertahanan skuadnya. Steve Bruce dan Gary Pallister antara watak penting di sebalik kejayaan United menjulang kejuaraan Piala FA pada 1990 dan anggota dari skuad yang berjaya menamatkan kemarau 26 tahun kejuaraan liga pada 1993. Mereka jugalah antara perintis saat bermulanya kembali era kegemilangan kelab selepas berdepan tempoh suram lebih dari dua dekad.

Berbanding Buchan dan McQueen, Bruce serta Pallister memiliki type permainan hampir sama. Keras ketika mengasak, bijak membaca tempo serangan lawan, kuat di udara dan sukar dilepasi. Pallister bagi saya bukti awal ketajaman Sir Alex Ferguson dalam mengesan bakat terbaik untuk dibawa masuk bagi menguatkan skuadnya. Hadir pada 1989 dari Middlesbrough, Pallister tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mencetuskan impak menerusi gandingannya bersama Bruce.

Gandingan Bruce dan Pallister bermain lebih 600 perlawanan, dan hingga kini pun mereka sentiasa menjadi kayu ukur terbaik buat mana-mana pemain pertahanan tengah United.  Mereka adalah contoh pemain yang bermain dengan `hati’, yang memberikan segala-galanya untuk kelab ketika berada di atas padang. Jika Bruce cukup terkenal sebagai pertahanan yang tiada kompromi menerusi asakan-asakan kerasnya dan kuat dalam perebutan bola di udara, Pallister pula memang dikenali sebagai pertahanan yang sukar dilepasi dan mampu membangunkan serangan dari bawah.

RONNY JOHNSEN & JAAP STAM

Ramai di antara kita yang mungkin tidak mengenali Martin Buchan dan Gordon McQueen (termasuk saya) kecuali generasi penyokong-penyokong United yang dilahirkan di era 60an dan sebelumnya. Tetapi jika anda tidak mengenali siapa itu Ronny Johnsen dan Jaap Stam anda bukanlah penyokong Manchester United sejati. Gandingan Johnsen dan Stam adalah bukti kekebalan pertahanan United dan juga saksi saat bersejarah ketika kelab menjulang kejuaraan Treble pada 1999. Johnsen tiba di Old Trafford dua tahun lebih awal berbanding Stam yang ditandatangani Sir Alex dari PSV Eindhoven pada 1998.

Meskipun baru digandingkan, Johnsen dan Stam tidak memerlukan masa yang lama untuk membentuk gandingan ampuh di benteng pertahanan United selepas berakhirnya era Bruce dan Pallister. Jika anda mengatakan bahawa final Liga Juara-Juara 1999 di Nou Camp sebagai momen terbaik untuk Johnsen dan Stam diingati, saya pula berpendapat sebaliknya. Saya memilih momen di Turin pada 22 April 1999 sebagai antara prestasi terbaik pernah dipamerkan Johnsen dan Stam ketika mereka ditugaskan mengawal benteng pertahanan United.

Meskipun pada mulanya membenarkan Fillipo Inzaghi dua kali menembusi gawang United, mereka kemudiannya berjaya memastikan benteng kekal kebal biarpun Juve melakukan pelbagai cara selepas kedudukan terikat 2-2. Gol Andy Cole memadam terus sebarang harapan Juve untuk melangkah ke final, tetapi kelibat Johnsen dan Stam perlu diakui antara watak penting di sebalik kejayaan United mencipta laluan ke Nou Camp dan merakamkan kemenangan pertama mereka di bumi Itali ketika menewaskan Juventus dalam perlawanan itu.

Era gandingan Johnsen dan Stam berakhir selepas Stam dijual secara drastik ke Lazio pada 2001 hanya menerusi satu panggilan telefon yang dibuat oleh Sir Alex. Walaupun hanya tiga musim sempat bersama, anda tidak sekali-kali boleh menafikan peranan penting yang dimainkan Johnsen dan Stam terutamanya disebalik kejayaan gemilang musim 1998-99. Sepertimana pentingnya peranan Beckham, Keane, Schmeichel, Scholes, Neville, Giggs, Sheringham, Cole, Yorke dan Solskjaer ketika itu, begitu jugalah pentingnya peranan Johnsen dan Stam selaku jeneral di benteng United.

RIO FERDINAND & NEMANJA VIDIC

Tanpa berselindung, Didier Drogba mengakui bahawa kombinasi Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic merupakan lawan paling sukar pernah beliau hadapi. Selama lapan musim dari 2004 hingga 2012 Drogba mengetuai jentera serangan Chelsea, selama itu jugalah beliau perlu berdepan dengan kombinasi dua pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan dalam saingan Liga Perdana. Selepas bertahun-tahun terpaksa berdepan Ferdinand dan Vidic, penilaian Drogba bagi saya adalah kayu ukur paling tepat jika anda mahu bercakap tentang kemampuan sebenar milik dua lagenda United itu.

Jika Buchan dan McQueen saling melengkapi antara satu sama lain, Ferdinand dan Vidic pula kombinasi pertahanan tengah paling lengkap pernah di saksikan dalam sejarah kelab. Kedua-duanya memiliki corak permainan yang keras tanpa kompromi, jaguh dalam perebutan bola tinggi, bijak membaca tipu muslihat penyerang lawan, pantas, berkeyakinan tinggi dan paling penting kehadiran mereka sentiasa menghadirkan mimpi ngeri kepada mana-mana penyerang lawan.

Ferdinand terlebih dahulu tiba di Old Trafford selepas beliau ditandatangani dari Leeds United pada 2002. Pengalaman bermain sebagai penyerang ketika zaman remajanya sedikit sebanyak membentuk karakter Ferdinand sebagai seorang centre back. Jadi tidak hairanlah mengapa Ferdinand memiliki teknik kawalan bola yang bagus, punya keyakinan tinggi ketika bola berada dikakinya dan dilabel sebagai pertahanan tengah paling bergaya ketika zaman kemuncaknya. Dan bukanlah sesuatu yang menghairankan juga bila anda melihat bagaimana beliau mampu `bermain-main’ dengan penyerang lawan di kawasan sendiri hasil dari teknik kawalan bola yang beliau miliki.

Sebelum kehadiran Vidic, Ferdinand sering digandingkan bersama Mikael Silvestre tetapi empat tahun selepas itu dunia mula menyaksikan kombinasi pertahanan tengah terbaik dibentuk bila Sir Alex menandatangani Vidic dari Spartak Moscow pada 2006. Vidic diberikan gelaran `The Serbian Terminator’ kerana gaya permainan keras tanpa kompromi yang dimilikinya. Vidic adalah contoh pertahanan klasik yang bermain dalam era bolasepak moden, keras ketika melakukan tackle, sukar dilepasi dan sentiasa bersedia mengawal zon permainannya.

Kenyataan bahawa Ferdinand dan Vidic sebagai kombinasi pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan bukan hanya bersandarkan kepada statistik mereka di atas padang tetapi juga jumlah medal kejuaraan yang sudah mereka menangi. Bersama United, Ferdinand memenangi 17 medal kejuaraan manakala Vidic pula 15 dan kemuncak pencapaian mereka tentunya ketika menjulang trofi Liga Juara-Juara di Moscow pada 2008. Mereka sekali lagi berjaya membantu United ke pentas final Liga Juara-Juara musim berikutnya tetapi tewas kepada Barca dalam aksi yang berlangsung di Rome.

SIAPA PENYAMBUNG LEGASI SETERUSNYA?

Selepas berakhirnya era Ferdinand dan Vidic, kelab masih tercari-cari pengganti yang mampu meneruskan kesinambungan kehebatan pemain-pemain pertahanan tengah sebelum ini. Chris Smalling yang pernah bermain ketika era Sir Alex kekal sebagai pengganti berpotensi, tetapi beliau perlukan seorang rakan gandingan yang mampu meletakkan kombinasi mereka sebaris dengan gandingan Buchan/McQueen, Bruce/Pallister, Johnsen/Stam dan Ferdinand/Vidic. Smalling juga saya yakini akan kekal antara tonggak United untuk musim-musim akan datang biarpun kelab kini diterajui Jose Mourinho.

Reputasi Mourinho yang gemar membina pasukannya berteraskan kekuatan di benteng pertahanan bakal menyaksikan perubahan di barisan belakang skuad United musim depan. Sebagai langkah permulaan, beliau menandatangani Eric Bailly dari Villareal Jun lalu bagi membentuk kombinasi bersama Smalling di posisi pertahanan tengah. Bersandarkan kepada bakat dan potensi yang dimiliki Smalling serta Bailly, besar kemungkinan kita bakal menyaksikan satu lagi kombinasi `maut’ di benteng pertahanan United dilahirkan. Adakah Smalling/Bailly bakal meneruskan legasi yang ditinggalkan Buchan/McQueen, Bruce/Pallister, Johnsen/Stam dan Ferdinand/Vidic? Berikan sahaja mereka masa untuk membuktikannya…Glory Glory Manchester United!!! - AJ