13 Januari 2017

LIVERPOOL....SETERU YANG ISTIMEWA DAN AKAN SENTIASA MENJADI LAWAN YANG ISTIMEWA

Dalam tempoh tiga musim terakhir selepas persaraan Sir Alex Ferguson, United dianggap bukan lagi pasukan yang menakutkan, manakala Liverpool pula selama lebih dua dekad masih menanti kejuaraan liga pertama mereka sejak Alan Hansen muncul kapten terakhir The Reds yang berjaya menjulang trofi tersebut 27 tahun lalu.

Ya...selepas Sir Alex mengumumkan persaraannya, kedudukan tangga keempat dalam carta liga (musim 2014-15) adalah pencapaian terbaik yang dilakar United dalam tempoh tiga musim terakhir selain kejuaraan Piala FA yang dimenangi mereka musim lalu.  

Di Anfield pula, Brendan Rodgers hampir sahaja muncul pengurus pertama yang berjaya menjulang kejuaraan liga sejak kejayaan Kenny Dalglish pada 1990, namun kesilapan demi kesilapan yang dilakukan barisan pemainnya dalam beberapa perlawanan terakhir menyaksikan The Reds sekadar menamatkan musim 2013-14 di tangga kedua.

Penguasaan United selama lebih dua dekad sepanjang era pengurusan Sir Alex amat menyesakkan nafas penyokong-penyokong Liverpool, tetapi jangan lupakan bahawa perkara yang sama juga berlaku kepada (penyokong-penyokong United) ketika mereka melihat kelab dari Merseyside itu mendominasi liga Inggeris dari era 70an hinggalah penghujung 80an.

Aib kerana pernah tersingkir ke Divisyen 2 dan kemudiannya terpaksa pula menyaksikan Bill Shankly, Bob Paisley, Joe Fagan serta Kenny Dalglish silih berganti membawa Liverpool keluar sebagai juara Liga Divisyen 1 England memang menyakitkan bagi generasi penyokong United ketika itu.

Jika Bill Shankly menjadikan misi menamatkan penguasaan United sebagai motivasi utamanya sepanjang tempoh 15 tahun beliau berada di Anfield (1959-1974), begitu jugalah halnya dengan Sir Alex. Janji pertama yang diikrarkan Sir Alex pada hari pertama beliau memulakan tugasnya sebagai pengurus di Old Trafford ialah menamatkan penguasaan Liverpool dari puncak hierarki bolasepak Inggeris.

Trofi Piala FA (edisi 1990) merupakan kejuaraan pertama yang berjaya United menangi di bawah kendalian Sir Alex dan pada tahun yang sama juga Liverpool buat kali terakhir menjulang kejuaraan liga. United di bawah kendalian Sir Alex selepas itu tidak lagi menoleh ke belakang bila mereka menjulang kejuaraan demi kejuaraan baik di peringkat domestik mahupun Eropah

Dari era Busby Babes hinggalah ke Fergie Fledglings dan kini giliran Jose Mourinho serta Jurgen Klopp pula menyambung perseteruan lama. Meskipun Chelsea dan Manchester City menambahkan lagi rancaknya persaingan dalam perebutan kejuaraan liga dalam tempoh 13 tahun terakhir, North-West Derby tetap menjadi tajuk bualan hangat penyokong United dan Liverpool saban tahun.

Biar apapun status dua kelab ini, saya tidak pernah meragui untuk mengatakan bahawa pertemuan United dan Liverpool sentiasa menjadi 'acara besar' dalam kalendar bolasepak Inggeris. 16 Januari ini tepat jam 12.00 tengah malam, United dan Liverpool sekali lagi bakal bertembung bagi meneruskan perseteruan mereka menerusi aksi North-West Derby edisi ke-171.

North-West Derby sentiasa dinanti dengan penuh debar dan teruja kerana permusuhan dua kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak Inggeris ini sudah menjadi `darah daging’ selama berdekad. Meskipun Liga Perdana memiliki beberapa perlawanan derby yang tidak kurang menarik untuk ditonton, North-West Derby pada pandangan saya tetap berada dalam kelas tersendiri dan tiada bandingannya.

Ketika aksi North-West Derby edisi ke-171 semakin hampir, gendang perang juga sudah mula dipalu. Entah sekadar perang psikologi atau memang benar, Mourinho mengatakan bahawa aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Hull City tempohari lebih penting berbanding pertemuan menentang Liverpool.

Mungkin ada kebenarannya kerana Piala Liga adalah pentas terbaik dan kejuaraan paling hampir buat Mourinho menghadiahkan trofi kejohanan kompetitif pertamanya sebagai pengendali di Old Trafford. Bagaimanapun itu juga tidak bermakna Mourinho meremehkan North-West Derby kali ini kerana jika menang United berpeluang melonjak di kedudukan kelompok empat teratas.

Rekod `head to head’ antara Mourinho dan Klopp memang tidak memihak kepada beliau kerana dari enam pertemuan antara mereka, Mourinho cuma menang sekali, seri dua kali dan tewas tiga kali. Bagaimanapun melihat kepada `trend’ positif yang ditampilkan United sejak kebelakangan ini, saya yakin rekod buruk Mourinho ketika berdepan Klopp mampu beliau perbaiki.

Melihat kepada perseteruan yang panjang antara kedua-dua kelab, North-West Derby akan sentiasa menjadi perlawanan yang penting buat United mahupun Liverpool sejak dulu, sekarang dan masa-masa mendatang. Ini bukan tentang tiga mata yang ditawarkan, tetapi juga misi yang perlu disempurnakan dan maruah yang perlu dipertahankan.

Jika El Clasico menjadi daya tarikan di La Liga, Der Klassiker di Bundesliga dan Le Classique di Ligue 1, North-West Derby pula adalah hari penting dalam bolasepak Inggeris. Chelsea serta Manchester City muncul kelab besar dalam tempoh 13 tahun terakhir tetapi Liverpool adalah lawan yang istimewa dan kemenangan ke atas mereka merupakan kemenangan yang istimewa.

Anda mungkin boleh berbahas, berbalas ejekan atau sindiran dengan para Kopites tetapi dalam masa yang sama juga anda perlu mengakui bahawa tanpa Liverpool anda akan `kesunyian’, begitu juga sebaliknya kerana tanpa United mereka akan `berjalan sendirian’...Glory Glory Manchester United!!!

10 Januari 2017

IBRA...`SI ANGKUH’ YANG MENYEBABKAN UNITED KEMBALI DIHORMATI

Sudah menjangkau usia 35 tahun, tetapi Zlatan Ibrahimovic masih mampu memperagakan aksi persis pemain yang berusia sepuluh tahun lebih muda. Walaupun ramai yang sangsi dengan kemampuan beliau semasa peringkat awal kehadirannya di Old Trafford, Ibra membuktikan kata-katanya sebelum ini bahawa 35 cumalah sekadar angka.

Gol demi gol yang sudah dijaringkannya menyebabkan United terlihat seperti sangat bergantung kepada Ibra dalam misi menembusi pintu gol lawan. Walaupun saya mengakui bahawa Ibra antara penggempur terbaik di Eropah tetapi prestasi yang dipamerkan beliau setakat ini sejak berpindah dari Parc des Princes sangat-sangat mengejutkan saya.

Musim lalu beliau menjaringkan 50 gol dari 51 penampilan untuk PSG tetapi umum juga mengakui bahawa Ligue 1 dan Liga Perdana adalah pentas yang sangat berbeza (malah Ibra sendiri mengakuinya). Dengan tempo permainan pantas Liga Perdana, saya juga pada mulanya agak sangsi adakah Ibra pada usia 35 tahun mampu memberikan impak sama sepertimana yang beliau lakukan di Ligue 1.

Gol pertama pada penampilan pertama dalam aksi Liga Perdana, itulah yang dilakukan Ibra ketika berdepan Bournemouth 14 Ogos lalu. Walaupun pernah pada suatu ketika Ibra gagal menjaringkan sebarang gol dalam tempoh sebulan, beliau akhirnya kembali meledak menerusi sembilan gol yang sudah dihasilkannya sejak aksi menentang Swansea 6 November lalu.

Setakat ini Ibra merupakan pemain United paling banyak diturunkan Jose Mourinho menerusi 28 penampilan dalam semua kejohanan. Gol demi gol yang dijaringkannya dan peranan yang dimainkan Ibra di atas padang seolah-olah menunjukkan bahawa United tidak mampu kehilangan khidmatnya walaupun hanya untuk satu perlawanan.

Keghairahan ketika di atas padang, semangat meluap-luapnya serta peranan vitalnya dalam membantu rakan-rakan sepasukan ketika membangunkan serangan, menguasai bola dan mencipta peluang seperti tidak pernah pudar dalam diri Ibra.

Begitu juga dengan naluri pembunuhnya kerana beliau benar-benar seorang penyerang sejati yang bijak meletakkan dirinya di kedudukan dan masa yang tepat bagi menyudahkan peluang terbuka. Sebagai contoh terbaik, lihat bagaimana penyudah dramatik yang disempurnakannya ketika berdepan Crystal Palace 14 Disember lalu.

Sebelum bersara dari arena bolasepak antarabangsa, Ibra merupakan kapten skuad kebangsaan Sweden. Di Paris St Germain pula walaupun beliau tidak memakai armband ketua pasukan tetapi kepimpinannya di atas padang tetap terserlah hinggakan Laurent Blanc menyifatkan Ibra sebagai pemimpin sejati.

Sama ada di padang latihan mahupun ketika perlawanan, Ibra ialah jenis lead by example. Sejak berakhirnya era Roy Keane, United juga sebenarnya kehilangan seorang pemimpin berpengaruh di atas padang. United perlukan semula `keangkuhan’ dan gaya kepimpinan Keane atau Cantona di atas padang dan itulah yang diberikan Ibra sejak ketibaannya di Old Trafford.

Keangkuhan Ibra memang ketara, hinggakan pada suatu ketika beliau pernah meminta pihak pengurusan PSG menggantikan menara Eiffel dengan patung dirinya sebagai pengikitrafan terhadap segala sumbangannya untuk kelab dari kota Paris itu walaupun dalam nada gurauan.

Saya tidak menafikan kemampuan Nemanja Vidic dan kemudiannya Wayne Rooney sebagai ketua pasukan, tetapi sukar mahu mencari seorang pemain yang mampu mendorong dan mempengaruhi rakan-rakan sepasukannya supaya bermain dengan baik. Eric Cantona dan Keane adalah contoh pemain yang saya maksudkan.

Situasi (penerimaan penyokong) ketika peringkat awal kedatangan Ibra di Old Trafford sebenarnya mirip dengan apa yang berlaku di Parc des Princes pada musim panas 2012. Ketika beliau menyertai PSG pada 2012 dari AC Milan, Ibra sudahpun berusia 31 tahun.

Ada yang secara sinis mengatakan Carlo Ancelotti `hilang akal’ ketika beliau mengambil keputusan menandatangani seorang penyerang `tua’ seperti Ibra. Bagaimanapun Ibra membuktikan kebenaran kata-katanya sendiri bahawa dirinya umpama wine merah, semakin berusia semakin tinggi kualitinya.

Di Ligue 1, Ibra terus mengagumkan peminat bolasepak menerusi gol-gol sensasi yang dijaringkannya untuk PSG. Musim pertamanya di Parc des Princes, Ibra membantu PSG memenangi kembali kejuaraan Ligue 1 selepas kali terakhir Les Parisiens menjulang trofi tersebut pada 1994.

Tiga musim seterusnya, Ibra dan PSG mendominasi Ligue 1 secara total, hinggalah akhirnya beliau mengambil keputusan mencari cabaran baharu dengan menyertai United musim panas lalu menerusi perpindahan percuma.

Sepertimana yang berlaku di Parc des Princes pada 2012, kedatangan Ibra juga pada awalnya menimbulkan keraguan yang bukan sedikit di kalangan penyokong-penyokong United.

Ada sebab mengapa terdapat sebahagian penyokong-penyokong United meragui kemampuan Ibra kerana berbanding 2012, beliau kini empat tahun lebih tua. Bagaimanapun Ibra sekali lagi membuktikan kebenaran kata-katanya bahawa 35 cumalah angka semata-mata.

Ketajaman penyudahnya, kemampuan beliau dalam mencipta peluang, pengalaman luas yang dimilikinya dan bagaimana beliau mampu menyuntik motivasi tambahan kepada rakan-rakan disekelilingnya menjadi penyebab kenapa kehadiran Ibra begitu penting dalam misi United kembali berada dalam kelompok pesaing kejuaraan liga.

Anda boleh berbicara apa saja tentang Ibra, dari kehebatannya di atas padang, gol-gol sensasinya atau sikap angkuhnya. Namun satu kebenaran yang tidak boleh dinafikan ialah sejak kedatangan `Si Angkuh’ ini United kembali dihormatii, kembali mencabar dan paling penting kembali kepada tradisi lama mereka iaitu bermain menyerang, menyerang dan menyerang (dalam hal ini terima kasih juga kepada Mourinho).

Selepas persaraan Cantona (1997) dan pemergian Roy Keane pada 2005, saya terpaksa menunggu selama 11 tahun sebelum dapat menyaksikan semula seorang pemain yang dapat mengembalikan semula keangkuhan The Red Devils. Akhirnya Ibra datang dan mengingatkan kita kembali bahawa United dahulunya kelab yang angkuh dan perlu terus bersikap angkuh.

Satu-satunya perkara yang sedikit saya sesali bila bercakap tentang `Si Angkuh’ ini ialah beliau datang ke Old Trafford ketika sudah berada dalam tempoh-tempoh terakhir kariernya. Berapa lama lagi Ibra mampu bermain itu bukan persoalannya kerana buat masa ini selagi beliau masih menyarung jersi United, saya cadangkan kepada anda supaya nikmati sahaja keangkuhan, kejutan dan magis yang sering dilakukannya di tengah padang...Glory Glory Manchester United!!!

08 Januari 2017

MUNGKINKAH INI MUSIM TERAKHIR ROONEY DI OLD TRAFFORD?

Masih ingatkah anda apa yang berlaku pada awal pagi 28 September 2004? Hari di mana seorang anak muda yang ketika itu baru berusia 18 tahun mencetuskan impak pada penampilan pertamanya untuk Manchester United menerusi tiga gol yang dijaringkannya ke gawang Fenerbahce.

Sebagai penyokong United, itu antara momen terbaik pernah saya saksikan. Cukup mengagumkan bila melihat bagaimana mudahnya seorang pemain yang ketika itu baru berusia 18 tahun menewaskan Rustu Recber, penjaga gol berpengalaman dan dianggap antara yang terbaik pernah dilahirkan Turki.

Sejak itu, Wayne Rooney tidak henti-henti mengagumkan kita menerusi penampilannya di atas padang, gol-gol yang dijaringkannya dan rekod-rekod yang sudah diciptanya. Rooney ketika era Sir Alex Ferguson merupakan pemain yang sangat-sangat penting buat kelab, hinggakan kehadirannya di atas padang mampu meningkatkan peratusan kemenangan United dalam satu-satu perlawanan.

Jadi tidak hairanlah mengapa pada 2010 dan 2012 ketika khabar angin bertiup kencang bahawa Rooney ingin meninggalkan Old Trafford mencetuskan keributan yang bukan sedikit kepada kelab  dan juga penyokong-penyokong. Bagaimanapun beliau akhirnya melakukan pusingan `U’ selepas ditawarkan kontrak baharu yang menyaksikan Rooney kekal bersama United hingga sekarang.

Semalam, Rooney menjaringkan gol ke-249 nya untuk United ketika berdepan Reading dalam saingan Piala FA sekaligus menyamai rekod Sir Bobby Charlton sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa kelab. Lebih manis pencapaian Rooney ini dlakukan beliau hanya menerusi 543 perlawanan berbanding Charlton (758 perlawanan).

Menyamai pencapaian sepanjang masa milik Charlton tidak akan menjamin tempat untuk Rooney berada dalam kesebelasan utama United selepas ini, malah masa depannya bersama kelab musim depan terus menimbulkan tandatanya dan perdebatan di kalangan penyokong.

Perkhabaran bahawa United bakal melakukan satu lagi pembelian sensasi dengan membawa masuk Antoine Greizmann musim panas ini menghangatkan lagi perdebatan sama ada Rooney akan terus kekal atau mungkin ini menjadi musim terakhirnya di Old Trafford.

Jika semasa era Sir Alex, Rooney adalah pesona utama dan pemain yang tiada gantinya untuk United, kini gemilang yang pernah dicipta beliau semakin pudar sejak kedatangan Jose Mourinho. Perlahan-lahan Rooney semakin tersisih apatah lagi selepas melihat prestasi bagus yang dipamerkan Juan Mata, Henrikh Mkhitaryan, Paul Pogba dan Zlatan Ibrahimovic sejak kebelakangan ini.

Dari 20 aksi liga setakat ini, Rooney hanya bermain sebanyak 14 perlawanan. Dari jumlah tersebut beliau hanya diturunkan selama 90 minit dalam dua perlawanan, enam perlawanan bermula di bangku simpanan dan enam perlawanan lagi beliau dikeluarkan sebelum permainan tamat. Kali terakhir Rooney bermain penuh selama 90 minit ialah pada 18 September lalu ketika United tewas 1-3 kepada Watford.

Agak menyedihkan bila menyaksikan seorang ikon dan lagenda kelab seperti Rooney kini semakin tersisih dan dilupakan. Bagaimanapun saya berpendapat kedatangan Mourinho bukanlah penyebab karier Rooney semakin terancam kerana petanda pengakhiran masa-masa gemilang beliau di Old Trafford sudah terlihat sejak dua musim terakhir.

Sepanjang tempoh tersebut (dua musim terakhir), Rooney tidak lagi segarang Rooney yang pernah kita kenali dahulu. Bukan sahaja jumlah jaringan gol yang dihasilkannya semakin menurun dari musim ke musim malah sumbangan assist beliau turut semakin berkurangan.

Musim lalu, Rooney terpaksa menunggu selama dua bulan sebelum berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam saingan liga manakala musim ini beliau hanya mampu menjaringkan satu gol. Banyaknya pilihan sama ada di bahagian tengah mahupun serangan penyebab mengapa Rooney bukan lagi pilihan utama untuk memulakan aksi dalam kesebelasan utama Mourinho.

Di bahagian hadapan Rooney kini mungkin sekadar pilihan keempat di belakang Zlatan Ibrahimovic, Marcus Rashford dan Anthony Martial manakala di posisi tengah pula, Mourinho sudah memiliki trio Michael Carrick, Ander Herrera dan Paul Pogba selain Juan Mata serta Henrikh Mhitaryan yang lebih beliau percayai.

Memang sukar buat pemain yang memiliki sejarah gemilang cukup panjang dan dianggap ikon di Old Trafford berdepan situasi genting seperti ini. Bagaimanapun akhirnya kita terpaksa mengakui bahawa kepentingan kelab harus diberikan keutamaan berbanding sikap sentimental kerana Mourinho ada sebab yang kuat meletakkan Rooney dibangku simpanan pasukannya.

Melihat kepada situasi sekarang saya tidak yakin Rooney masih berada dalam perancangan Mourinho musim depan, jadi jalan terbaik untuk beliau ialah berpindah ke pasukan lain. Pada usia 31 tahun, Rooney masih mampu bermain di peringkat tertinggi atau setidak-tidaknya mengikut jejak lagenda-lagenda bolasepak dunia yang lain dengan menyertai Liga Bolasepak Amerika (MLS).

Rooney yang dahulunya pernah dianggap tiada saingan dalam kesebelasan utama United meskipun Cristiano Ronaldo, Carlos Tevez, Dimitar Berbatov dan Robin Van Persie datang silih berganti, kini mendapati dirinya semakin terpinggir. Walau bagaimanapun tiada apa yang perlu dibuktikan Rooney kerana namanya sudah tertulis dengan tinta emas sebagai ikon dan lagenda di Old Trafford.

Kini pemain yang lebih 12 tahun lalu pernah mencetuskan sensasi menerusi tiga gol jaringannya ke gawang Rustu Recber kian berada di penghujung kariernya bersama United. Walau ke mana pun destinasi Rooney selepas ini, saya tidak akan pernah melupakan momen di awal pagi 28 September 2004, detik di mana seorang anak muda memberitahu kepada kita bahawa beliau adalah lagenda United seterusnya...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

05 Januari 2017

POGBA YANG MULA DIGERUNI LAWAN

Pulang semula ke Old Trafford dengan memikul beban di bahu selaku pemain termahal dunia, malah prestasinya di peringkat awal bersama Manchester United selepas perpindahan sensasi itu juga menimbulkan perdebatan sama ada berbaloikah kelab mengeluarkan perbelanjaan sebanyak £89.3 juta hanya semata-mata mahu menagih kembali khidmatnya?

Kembali semula ke Liga Perdana selepas empat musim bergelumang dengan sepak terajang Serie A, tentu bukan mudah buat pemain muda seperti Pogba. Jadi tidak hairanlah mengapa di awal musim kita melihat Pogba sedikit bergelut dalam usahanya menyesuaikan diri dengan corak serta tempo permainan bolasepak Inggeris.

Ketika ramai pihak mula sinis dan mempersoalkan kewajaran tindakan United menjadikan Pogba sebagai pemain termahal dunia berdasarkan prestasi semasa di awal musim, lain pula halnya dengan Jose Mourinho. Mourinho percaya beliau hanya perlukan sedikit masa, strategi yang tepat dan meletakkan Pogba di posisi yang betul sebelum dunia dapat menyaksikan semula potensi besar yang dimiliki pemain berusia 23 tahun ini.

Di peringkat awal, Mourinho menggunakan formasi 4-2-3-1 di mana peranan sebagai double pivot dimainkan Pogba dan Marouane Fellaini. Jiwa permainan Pogba ialah jiwa menyerang, bukannya melakukan `kerja-kerja jahat’ di belakang kerana pakar dalam melakukan tugas tersebut ialah Ander Herrera atau Fellaini.

Naluri Pogba yang gemar maju ke depan menyebabkan beliau sering meninggalkan posisinya di belakang dan ruang kosong itu pula sering dimanfaatkan lawan. Mujur kerana selain Fellaini, Mourinho masih memiliki ramai pemain yang boleh memainkan peranan sebagai pemain tengah bertahan dan salah satunya ialah Michael Carrick.

Kehadiran semula Carrick membolehkan Pogba lebih bebas bergerak ke depan, menikmati peranannya sebagai pemain tengah yang lebih cenderung menyerang malah kadangkala kelibatnya sering dilihat berada di posisi pemain nombor 10.

Akhirnya secara perlahan-lahan Pogba mula menunjukkan potensi sebenarnya dan menjawab persoalan mengapa United sanggup berbelanja besar demi membawa beliau pulang semula beraksi di Old Trafford.

Dari 19 penamplan liga yang dilakukan Pogba setakat ini, beliau sudah menjaringkan 4 gol, menyumbang 3 assist dan mencipta 37 peluang jaringan gol manakala peratusan ketepatan hantaran yang dilakukannya pula mencapai 85%.

Melihat kepada prestasi terkini Pogba, Mourinho tanpa berselindung meramalkan pemainnya itu bakal memenangi anugerah Ballon d’Or suatu hari nanti, itupun jika kriteria pemilihan pemenang tidak terlalu menitikberatkan jumlah gol yang dihasilkan seorang pemain seperti sekarang.

Buat masa ini Mourinho sudah melakukan tindakan yang tepat dengan membiarkan Pogba lebih bebas bermain. Membiarkan beliau melakukan tugas yang digemarinya iaitu masuk ke kawasan bahaya lawan, melancarkan serangan, melakukan umpanan-umpanan kepada rakan atau melakukan percubaan-percubaan dari jauh.

Pada usia yang masih muda, Pogba kini sudah meletakkan dirinya dalam kelompok pemain tengah terbaik dunia. Melihat kepada perjalanan kariernya yang masih panjang dan banyak lagi potensi dalam dirinya yang belum kita lihat, bayangkan apa yang mampu dilakukan Pogba dalam tempoh setahun atau dua lagi.

Jika diawal musim harga yang terpaksa dibayar United untuk mendapatkan kembali khidmatnya dijadikan bahan ejekan, kini persepsi terhadap Pogba sudah berubah 360º. Malah sejak kebelakangan ini sudah terdengar suara-suara kebimbangan dari pihak lawan bila mereka berbicara tentang kemampuan Pogba yang lebih menakutkan di masa akan datang.

Saya tidak mahu memikirkan adakah Pogba akan memenangi Ballon d’Or suatu hari nanti, kerana buat masa ini saya lebih gemar menyaksikan apa yang mampu dilakukan beliau selepas ini. Pada usia 23 tahun Pogba sudah mencetuskan rasa bimbang kepada lawan, jadi fikirkan apa yang mampu dilakukan beliau ketika berusia 24, 25, 26 atau 27 tahun nanti...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

03 Januari 2017

SATU LAGI TUGAS CEMERLANG YANG DILAKUKAN MARCUS RASHFORD

Sabtu lalu, Marcus Rashford masuk sebagai pemain gantian ketika United sedang ketinggalan 0-1 kepada Middlesbrough. Berbekalkan kelajuan serta teknik kawalan bola yang bagus, larian-larian dilakukan Rashford dari sebelah kiri sering memberikan masalah kepada Calum Chambers yang ditugaskan menghalang anak muda berusia 19 tahun ini dari terus menceroboh masuk ke dalam petak penalti pasukannya.

13 minit selepas Rashford dimasukkan, United berjaya membolosi gawang Victor Valdes sebanyak dua kali sekaligus memastikan tiga mata penuh berjaya dikutip di Old Trafford. Rashford memang tidak terlibat dengan dua gol tersebut tetapi kehadiran beliau sepanjang 18 minit di atas padang berjaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Awal pagi tadi Rashford sekali lagi masuk sebagai pemain gantian, kali ini beliau diturunkan Jose Mourinho lebih awal (minit ke-58) selepas menyaksikan kesukaran yang dihadapi barisan pemainnya dalam usaha menembusi kubu West Ham. Hanya lima minit selepas kehadiran Rashford di atas padang, United berjaya memecah kebuntuan hasil dari umpanannya yang berjaya disudahkan Juan Mata.

West Ham sentiasa sahaja menjadi lawan yang sukar buat United terutamanya bila mereka bertemu dalam perlawanan-perlawanan liga, dan awal pagi tadi The Hammers sekali lagi membuktikan kebenaran tersebut. Selepas buntu selama 58 minit, United perlukan pemain yang mampu memberikan perbezaan di mana tugas itu sekali lagi diberikan Mourinho kepada Rashford.

Sama seperti ketika berdepan Boro, Rashford sekali lagi diberikan peranan untuk bergerak di sebelah kiri. Kali ini lawan yang bakal beliau hadapi ialah Havard Nordtveit, bek kanan West Ham yang sebelumnya berjaya mengekang pergerakan Jesse Lingard. Di London Stadium, Rashford sekali lagi melaksanakan tugasnya dengan cukup cemerlang.

Setiap kali beliau menuju ke kawasan penalti lawan dengan bola dikakinya, anda boleh saksikan bagaimana kesukaran yang dihadapi pertahanan West Ham untuk menghentikannya. Sepanjang tempoh 32 minit aksinya awal pagi tadi, Rashford mencatatkan peratus ketepatan hantaran sebanyak 96%, mencipta tiga peluang jaringan gol, satu percubaan dan satu assist.

Selepas perlawanan di London Stadium, ada pihak melabelkan assist yang dilakukan Rashford umpama satu `karya seni’. Saya tidak mahu terlalu berlebihan memuji persembahan beliau tetapi selepas menyaksikan semula gerakan yang dilakukannya hingga terhasil gol jaringan Mata, saya akhirnya bersetuju dengan dakwaan tersebut.

Sukar dipercayai bila menyaksikan seorang pemain yang baru berusia 19 tahun melakukan larian dengan bola dari tepi padang, masuk ke dalam petak penalti lawan, memancing dua pemain yang jauh lebih berpengalaman supaya mengejarnya dan kemudian memperdayakan mereka sebelum melakukan umpanan kepada rakan untuk disudahkan.

Buat masa ini tiada penghargaan yang lebih besar diperlukan Rashford selain kepercayaan dari seorang pengurus. Dan penghargaan paling besar yang diberikan kepada anak muda ini ialah apabila Mourinho berkata “Tiada sebab saya mahu mendapatkan penyerang baharu kerana saya sudah memiliki Marcus Rashford”...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

01 Januari 2017

MOURINHO YANG BERJAYA MENIUPKAN KEMBALI API PERJUANGAN DALAM DIRI BARISAN THE RED DEVILS

Jose Mourinho menyebut “Keadilan akhirnya datang kembali”, manakala Paul Pogba pula mengatakan “Inilah keindahan bolasepak” selepas Manchester United bangkit secara dramatik ketika mereka menewaskan Middlesbrough 2-1 semalam, sekaligus menutup tirai 2016 dengan lima kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.

Bermula dengan keputusan kontroversi Lee Mason membatalkan jaringan Zlatan Ibrahimovic, percubaan Pogba yang terkena tiang dan penalti yang sepatutnya diberikan kepada Marcus Rashford di babak kedua, United tampak seperti bakal berdepan satu lagi kekalahan di gelanggang sendiri musim ini.

Meskipun mendominasi penguasaan bola (66%) sepanjang 90 minit perlawanan serta melepaskan 32 percubaan, kegagalan menyempurnakan beberapa peluang selain prestasi bagus yang ditunjukkan Victor Valdes di gawang lawan menyebabkan United terpaksa begelut sebelum berjaya mengutip tiga mata penuh.

Sebaik Grant Leadbitter menjaringkan gol pendahuluan lawan diminit ke-67, saya fikir tuah memang tidak mengiringi United pada aksi terakhir mereka di tahun 2016, tambahan pula bila mengingatkan fakta bahawa Boro tidak pernah tewas dalam enam aksi mereka di penghujung tahun sejak 2009.

Bagaimanapun United akhirnya bangkit memadam kelebihan lawan menerusi dua gol dalam tempoh dua minit di penghujung perlawanan menerusi jaringan Anthony Martial dan Paul Pogba. Mendominasi permainan, semangat fantastis yang ditunjukkan pemain dan diakhiri pula dengan dua gol ke gawang lawan memang pengakhiran yang sempurna buat penyokong sebagai penutup tahun 2016.

Sudah tentu kemenangan semalam juga merupakan hadiah yang cukup istimewa sempena ulang tahun ke-75 Sir Alex Ferguson. Menyaksikan cara United bermain semalam terutamanya dalam tempoh 20 minit terakhir mengingatkan kita kepada semangat juang yang sama pernah ditunjukkan barisan The Red Devils ketika era beliau sebagai pengurus.

Aksi menentang Boro semalam antara aksi paling menarik pernah saya saksikan musim ini, dan aksi semalam juga mengingatkan saya kepada kebangkitan-kebangkitan dramatik yang pernah dipamerkan United ketika era Sir Alex. Masih terlalu awal untuk kita menilai prestasi Mourinho, tetapi sejak kedatangan beliau ke Old Trafford, api perjuangan dalam `tubuh’ Manchester United kembali menyala.

Tiga musim selepas Sir Alex mengumumkan persaraannya, laungan keramat “Never give up or say die” yang sering mengiringi perjuangan barisan pemainnya turut ikut pergi bersama beliau. Sejak itu juga United bukan sahaja tidak lagi bermain sepertimana mereka sepatutnya bermain, tetapi mereka juga tidak lagi dihormati dan ditakuti lawan.

Bagaimanapun semalam saya menyaksikan watak United yang cukup berbeza berbanding tiga musim sebelumnya. United sepanjang aksi semalam ialah barisan United yang penuh semangat, tidak kenal lelah, angkuh dan penuh keazaman, persis barisan The Red Devils ciptaan Sir Alex. Barisan pemain yang suatu ketika dahulu pernah menghadirkan rasa gerun kepada setiap lawan mereka sejak detik awal hinggalah ke detik akhir perlawanan...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

29 Disember 2016

MANCHESTER UNITED YANG BERBEZA KETIKA CARRICK DI ATAS PADANG

Anda boleh katakan apa sahaja tentang Michael Carrick....”wira tidak didendang”, “pemain yang sering dilupakan kehadirannya” atau apa sahaja. Bagaimanapun satu fakta yang tidak boleh diketepikan sejak beliau menyarung jersi Manchester United buat pertama kali pada 2006 ialah betapa pentingnya peranan yang dimainkan Carrick dalam era 4 pengurus berbeza di Old Trafford.

Musim ini walaupun pada awalnya Carrick tampak seperti bukan pilihan utama Mourinho di bahagian tengah namun beliau kembali di atas padang dan membuktikan kepada kita bahawa United masih lagi sangat-sangat perlukan sentuhan dan ketenangannya dalam mengawal tempo permainan.

Anda memuja Zlatan Ibrahimovic kerana ketajamannya dalam menyudahkan peluang, Paul Pogba kerana kekuatan serta tekniknya dan Ander Herrera kerana kemampuannya merosakkan tempo permainan lawan, tetapi United adalah skuad yang berbeza jika Carrick berada di atas padang.

Benarkah begitu? Jadi sebagai buktinya biarkan sahaja statistik berbicara. Musim ini tanpa kelibat Carrick, United hanya mampu menang 35.7% dari perlawanan-perlawanan mereka dalam semua kejohanan atau mengutip purata 1.35 mata satu perlawanan (5 kali menang, 4 seri dan 5 kekalahan).

Bagaimanapun sejak kembalinya Carrick dalam kesebelasan utama, peratusan kemenangan United meningkat kepada 85.7% dengan purata 2.71 mata yang berjaya dikutip dalam setiap perlawanan. Statistik ini diambil dari 12 kemenangan, 2 keputusan seri dan tanpa kalah ketika Carrick bermain sejak beliau tampil buat pertama kali ketika menentang Leicester City September lalu.

Carrick sudah menghampiri penghujung karier tetapi United nampaknya seperti tidak boleh kehilangan sentuhannya di atas padang. Selepas kelab menghabiskan ratusan juta Pound dalam tempoh tiga musim terakhir, mereka nampaknya masih lagi bergantung harap kepada pemain yang sudah berusia seperti Carrick.

Kini timbul kebimbangan jika sesuatu berlaku kepada Carrick, siapa pemain yang sesuai dan mampu menggantikan tempatnya. Mencari pengganti pemain berkaliber seperti beliau bukanlah tugas yang mudah dan sementara itu berharaplah agar sesuatu yang buruk tidak menimpa `Mr Indispensable’ ini... Glory Glory Manchester United!!! - AJ