Dalam tempoh tiga musim terakhir selepas
persaraan Sir Alex Ferguson, United dianggap bukan lagi pasukan yang
menakutkan, manakala Liverpool pula selama lebih dua dekad masih menanti
kejuaraan liga pertama mereka sejak Alan Hansen muncul kapten terakhir The Reds yang berjaya menjulang trofi
tersebut 27 tahun lalu.
Ya...selepas Sir Alex mengumumkan
persaraannya, kedudukan tangga keempat dalam carta liga (musim 2014-15) adalah
pencapaian terbaik yang dilakar United dalam tempoh tiga musim terakhir selain
kejuaraan Piala FA yang dimenangi mereka musim lalu.
Di Anfield pula, Brendan Rodgers hampir
sahaja muncul pengurus pertama yang berjaya menjulang kejuaraan liga sejak
kejayaan Kenny Dalglish pada 1990, namun kesilapan demi kesilapan yang
dilakukan barisan pemainnya dalam beberapa perlawanan terakhir menyaksikan The Reds sekadar menamatkan musim
2013-14 di tangga kedua.
Penguasaan United selama lebih dua dekad
sepanjang era pengurusan Sir Alex amat menyesakkan nafas penyokong-penyokong
Liverpool, tetapi jangan lupakan bahawa perkara yang sama juga berlaku kepada
(penyokong-penyokong United) ketika mereka melihat kelab dari Merseyside itu
mendominasi liga Inggeris dari era 70an hinggalah penghujung 80an.
Aib kerana pernah tersingkir ke Divisyen 2
dan kemudiannya terpaksa pula menyaksikan Bill Shankly, Bob Paisley, Joe Fagan serta
Kenny Dalglish silih berganti membawa Liverpool keluar sebagai juara Liga
Divisyen 1 England memang menyakitkan bagi generasi penyokong United ketika
itu.
Jika Bill Shankly menjadikan misi menamatkan
penguasaan United sebagai motivasi utamanya sepanjang tempoh 15 tahun beliau
berada di Anfield (1959-1974), begitu jugalah halnya dengan Sir Alex. Janji
pertama yang diikrarkan Sir Alex pada hari pertama beliau memulakan tugasnya
sebagai pengurus di Old Trafford ialah menamatkan penguasaan Liverpool dari
puncak hierarki bolasepak Inggeris.
Trofi Piala FA (edisi 1990) merupakan
kejuaraan pertama yang berjaya United menangi di bawah kendalian Sir Alex dan
pada tahun yang sama juga Liverpool buat kali terakhir menjulang kejuaraan
liga. United di bawah kendalian Sir Alex selepas itu tidak lagi menoleh ke
belakang bila mereka menjulang kejuaraan demi kejuaraan baik di peringkat
domestik mahupun Eropah
Dari era Busby
Babes hinggalah ke Fergie Fledglings
dan kini giliran Jose Mourinho serta Jurgen Klopp pula menyambung perseteruan
lama. Meskipun Chelsea dan Manchester City menambahkan lagi rancaknya
persaingan dalam perebutan kejuaraan liga dalam tempoh 13 tahun terakhir, North-West Derby tetap menjadi tajuk
bualan hangat penyokong United dan Liverpool saban tahun.
Biar apapun status dua kelab ini, saya tidak
pernah meragui untuk mengatakan bahawa pertemuan United dan Liverpool sentiasa
menjadi 'acara besar' dalam kalendar bolasepak Inggeris. 16 Januari ini tepat
jam 12.00 tengah malam, United dan Liverpool sekali lagi bakal bertembung bagi
meneruskan perseteruan mereka menerusi aksi
North-West Derby edisi ke-171.
North-West
Derby sentiasa dinanti dengan penuh debar dan teruja kerana
permusuhan dua kelab paling berjaya dalam sejarah bolasepak Inggeris ini sudah
menjadi `darah daging’ selama berdekad. Meskipun Liga Perdana memiliki beberapa
perlawanan derby yang tidak kurang
menarik untuk ditonton, North-West Derby
pada pandangan saya tetap berada dalam kelas tersendiri dan tiada bandingannya.
Ketika aksi North-West Derby edisi ke-171 semakin hampir, gendang perang juga
sudah mula dipalu. Entah sekadar perang psikologi atau memang benar, Mourinho mengatakan
bahawa aksi separuh akhir pertama Piala Liga menentang Hull City tempohari
lebih penting berbanding pertemuan menentang Liverpool.
Mungkin ada kebenarannya kerana Piala Liga
adalah pentas terbaik dan kejuaraan paling hampir buat Mourinho menghadiahkan
trofi kejohanan kompetitif pertamanya sebagai pengendali di Old Trafford. Bagaimanapun
itu juga tidak bermakna Mourinho meremehkan North-West
Derby kali ini kerana jika menang United berpeluang melonjak di kedudukan
kelompok empat teratas.
Rekod `head to head’ antara Mourinho dan
Klopp memang tidak memihak kepada beliau kerana dari enam pertemuan antara
mereka, Mourinho cuma menang sekali, seri dua kali dan tewas tiga kali. Bagaimanapun
melihat kepada `trend’ positif yang
ditampilkan United sejak kebelakangan ini, saya yakin rekod buruk Mourinho
ketika berdepan Klopp mampu beliau perbaiki.
Melihat kepada perseteruan yang panjang
antara kedua-dua kelab, North-West Derby
akan sentiasa menjadi perlawanan yang penting buat United mahupun Liverpool sejak
dulu, sekarang dan masa-masa mendatang. Ini bukan tentang tiga mata yang
ditawarkan, tetapi juga misi yang perlu disempurnakan dan maruah yang perlu
dipertahankan.
Jika El
Clasico menjadi daya tarikan di La Liga, Der Klassiker di Bundesliga dan Le
Classique di Ligue 1, North-West
Derby pula adalah hari penting dalam bolasepak Inggeris. Chelsea serta
Manchester City muncul kelab besar dalam tempoh 13 tahun terakhir tetapi Liverpool
adalah lawan yang istimewa dan kemenangan ke atas mereka merupakan kemenangan
yang istimewa.
Anda mungkin boleh berbahas, berbalas ejekan
atau sindiran dengan para Kopites
tetapi dalam masa yang sama juga anda perlu mengakui bahawa tanpa Liverpool
anda akan `kesunyian’, begitu juga sebaliknya kerana tanpa United mereka akan
`berjalan sendirian’...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan