Sudah
menjangkau usia 35 tahun, tetapi Zlatan Ibrahimovic masih mampu memperagakan
aksi persis pemain yang berusia sepuluh tahun lebih muda. Walaupun ramai yang
sangsi dengan kemampuan beliau semasa peringkat awal kehadirannya di Old
Trafford, Ibra membuktikan kata-katanya sebelum ini bahawa 35 cumalah sekadar
angka.
Gol demi gol
yang sudah dijaringkannya menyebabkan United terlihat seperti sangat bergantung
kepada Ibra dalam misi menembusi pintu gol lawan. Walaupun saya mengakui bahawa
Ibra antara penggempur terbaik di Eropah tetapi prestasi yang dipamerkan beliau
setakat ini sejak berpindah dari Parc des Princes sangat-sangat mengejutkan
saya.
Musim lalu
beliau menjaringkan 50 gol dari 51 penampilan untuk PSG tetapi umum juga
mengakui bahawa Ligue 1 dan Liga Perdana adalah pentas yang sangat berbeza (malah
Ibra sendiri mengakuinya). Dengan tempo permainan pantas Liga Perdana, saya
juga pada mulanya agak sangsi adakah Ibra pada usia 35 tahun mampu memberikan
impak sama sepertimana yang beliau lakukan di Ligue 1.
Gol pertama
pada penampilan pertama dalam aksi Liga Perdana, itulah yang dilakukan Ibra
ketika berdepan Bournemouth 14 Ogos lalu. Walaupun pernah pada suatu ketika
Ibra gagal menjaringkan sebarang gol dalam tempoh sebulan, beliau akhirnya kembali
meledak menerusi sembilan gol yang sudah dihasilkannya sejak aksi menentang
Swansea 6 November lalu.
Setakat ini
Ibra merupakan pemain United paling banyak diturunkan Jose Mourinho menerusi 28
penampilan dalam semua kejohanan. Gol demi gol yang dijaringkannya dan peranan
yang dimainkan Ibra di atas padang seolah-olah menunjukkan bahawa United tidak
mampu kehilangan khidmatnya walaupun hanya untuk satu perlawanan.
Keghairahan
ketika di atas padang, semangat meluap-luapnya serta peranan vitalnya dalam
membantu rakan-rakan sepasukan ketika membangunkan serangan, menguasai bola dan
mencipta peluang seperti tidak pernah pudar dalam diri Ibra.
Begitu juga
dengan naluri pembunuhnya kerana beliau benar-benar seorang penyerang sejati
yang bijak meletakkan dirinya di kedudukan dan masa yang tepat bagi menyudahkan
peluang terbuka. Sebagai contoh terbaik, lihat bagaimana penyudah dramatik yang
disempurnakannya ketika berdepan Crystal Palace 14 Disember lalu.
Sebelum
bersara dari arena bolasepak antarabangsa, Ibra merupakan kapten skuad
kebangsaan Sweden. Di Paris St Germain pula walaupun beliau tidak memakai armband ketua pasukan tetapi kepimpinannya
di atas padang tetap terserlah hinggakan Laurent Blanc menyifatkan Ibra sebagai
pemimpin sejati.
Sama ada di
padang latihan mahupun ketika perlawanan, Ibra ialah jenis lead by example. Sejak berakhirnya era Roy Keane, United juga
sebenarnya kehilangan seorang pemimpin berpengaruh di atas padang. United
perlukan semula `keangkuhan’ dan gaya kepimpinan Keane atau Cantona di atas
padang dan itulah yang diberikan Ibra sejak ketibaannya di Old Trafford.
Keangkuhan
Ibra memang ketara, hinggakan pada suatu ketika beliau pernah meminta pihak
pengurusan PSG menggantikan menara Eiffel dengan patung dirinya sebagai
pengikitrafan terhadap segala sumbangannya untuk kelab dari kota Paris itu
walaupun dalam nada gurauan.
Saya tidak
menafikan kemampuan Nemanja Vidic dan kemudiannya Wayne Rooney sebagai ketua
pasukan, tetapi sukar mahu mencari seorang pemain yang mampu mendorong dan
mempengaruhi rakan-rakan sepasukannya supaya bermain dengan baik. Eric Cantona
dan Keane adalah contoh pemain yang saya maksudkan.
Situasi
(penerimaan penyokong) ketika peringkat awal kedatangan Ibra di Old Trafford
sebenarnya mirip dengan apa yang berlaku di Parc des Princes pada musim panas
2012. Ketika beliau menyertai PSG pada 2012 dari AC Milan, Ibra sudahpun
berusia 31 tahun.
Ada yang secara
sinis mengatakan Carlo Ancelotti `hilang akal’ ketika beliau mengambil
keputusan menandatangani seorang penyerang `tua’ seperti Ibra. Bagaimanapun
Ibra membuktikan kebenaran kata-katanya sendiri bahawa dirinya umpama wine merah, semakin berusia semakin
tinggi kualitinya.
Di Ligue 1,
Ibra terus mengagumkan peminat bolasepak menerusi gol-gol sensasi yang
dijaringkannya untuk PSG. Musim pertamanya di Parc des Princes, Ibra membantu
PSG memenangi kembali kejuaraan Ligue 1 selepas kali terakhir Les Parisiens menjulang trofi tersebut
pada 1994.
Tiga musim
seterusnya, Ibra dan PSG mendominasi Ligue 1 secara total, hinggalah akhirnya
beliau mengambil keputusan mencari cabaran baharu dengan menyertai United musim
panas lalu menerusi perpindahan percuma.
Sepertimana
yang berlaku di Parc des Princes pada 2012, kedatangan Ibra juga pada awalnya menimbulkan
keraguan yang bukan sedikit di kalangan penyokong-penyokong United.
Ada sebab
mengapa terdapat sebahagian penyokong-penyokong United meragui kemampuan Ibra
kerana berbanding 2012, beliau kini empat tahun lebih tua. Bagaimanapun Ibra
sekali lagi membuktikan kebenaran kata-katanya bahawa 35 cumalah angka
semata-mata.
Ketajaman
penyudahnya, kemampuan beliau dalam mencipta peluang, pengalaman luas yang
dimilikinya dan bagaimana beliau mampu menyuntik motivasi tambahan kepada
rakan-rakan disekelilingnya menjadi penyebab kenapa kehadiran Ibra begitu
penting dalam misi United kembali berada dalam kelompok pesaing kejuaraan liga.
Anda boleh berbicara
apa saja tentang Ibra, dari kehebatannya di atas padang, gol-gol sensasinya
atau sikap angkuhnya. Namun satu kebenaran yang tidak boleh dinafikan ialah sejak
kedatangan `Si Angkuh’ ini United kembali dihormatii, kembali mencabar dan
paling penting kembali kepada tradisi lama mereka iaitu bermain menyerang,
menyerang dan menyerang (dalam hal ini terima kasih juga kepada Mourinho).
Selepas persaraan
Cantona (1997) dan pemergian Roy Keane pada 2005, saya terpaksa menunggu selama
11 tahun sebelum dapat menyaksikan semula seorang pemain yang dapat
mengembalikan semula keangkuhan The Red
Devils. Akhirnya Ibra datang dan mengingatkan kita kembali bahawa United dahulunya
kelab yang angkuh dan perlu terus bersikap angkuh.
Satu-satunya
perkara yang sedikit saya sesali bila bercakap tentang `Si Angkuh’ ini ialah
beliau datang ke Old Trafford ketika sudah berada dalam tempoh-tempoh terakhir
kariernya. Berapa lama lagi Ibra mampu bermain itu bukan persoalannya kerana
buat masa ini selagi beliau masih menyarung jersi United, saya cadangkan kepada
anda supaya nikmati sahaja keangkuhan, kejutan dan magis yang sering
dilakukannya di tengah padang...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan