Masih ingatkah anda apa yang berlaku pada
awal pagi 28 September 2004? Hari di mana seorang anak muda yang ketika itu
baru berusia 18 tahun mencetuskan impak pada penampilan pertamanya untuk
Manchester United menerusi tiga gol yang dijaringkannya ke gawang Fenerbahce.
Sebagai penyokong United, itu antara momen
terbaik pernah saya saksikan. Cukup mengagumkan bila melihat bagaimana mudahnya seorang pemain yang ketika itu baru berusia 18 tahun menewaskan Rustu Recber, penjaga gol berpengalaman
dan dianggap antara yang terbaik pernah dilahirkan Turki.
Sejak itu, Wayne Rooney tidak henti-henti
mengagumkan kita menerusi penampilannya di atas padang, gol-gol yang
dijaringkannya dan rekod-rekod yang sudah diciptanya. Rooney ketika era Sir
Alex Ferguson merupakan pemain yang sangat-sangat penting buat kelab, hinggakan
kehadirannya di atas padang mampu meningkatkan peratusan kemenangan United
dalam satu-satu perlawanan.
Jadi tidak hairanlah mengapa pada 2010 dan
2012 ketika khabar angin bertiup kencang bahawa Rooney ingin meninggalkan Old
Trafford mencetuskan keributan yang bukan sedikit kepada kelab dan juga penyokong-penyokong. Bagaimanapun
beliau akhirnya melakukan pusingan `U’ selepas ditawarkan kontrak baharu yang
menyaksikan Rooney kekal bersama United hingga sekarang.
Semalam, Rooney menjaringkan gol ke-249 nya
untuk United ketika berdepan Reading dalam saingan Piala FA sekaligus menyamai
rekod Sir Bobby Charlton sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa kelab. Lebih
manis pencapaian Rooney ini dlakukan beliau hanya menerusi 543 perlawanan
berbanding Charlton (758 perlawanan).
Menyamai pencapaian sepanjang masa milik
Charlton tidak akan menjamin tempat untuk Rooney berada dalam kesebelasan utama
United selepas ini, malah masa depannya bersama kelab musim depan terus
menimbulkan tandatanya dan perdebatan di kalangan penyokong.
Perkhabaran bahawa United bakal melakukan
satu lagi pembelian sensasi dengan membawa masuk Antoine Greizmann musim panas
ini menghangatkan lagi perdebatan sama ada Rooney akan terus kekal atau mungkin
ini menjadi musim terakhirnya di Old Trafford.
Jika semasa era Sir Alex, Rooney adalah
pesona utama dan pemain yang tiada gantinya untuk United, kini gemilang yang
pernah dicipta beliau semakin pudar sejak kedatangan Jose Mourinho.
Perlahan-lahan Rooney semakin tersisih apatah lagi selepas melihat prestasi
bagus yang dipamerkan Juan Mata, Henrikh Mkhitaryan, Paul Pogba dan Zlatan
Ibrahimovic sejak kebelakangan ini.
Dari 20 aksi liga setakat ini, Rooney hanya
bermain sebanyak 14 perlawanan. Dari jumlah tersebut beliau hanya diturunkan
selama 90 minit dalam dua perlawanan, enam perlawanan bermula di bangku
simpanan dan enam perlawanan lagi beliau dikeluarkan sebelum permainan tamat. Kali
terakhir Rooney bermain penuh selama 90 minit ialah pada 18 September lalu ketika
United tewas 1-3 kepada Watford.
Agak menyedihkan bila menyaksikan seorang ikon
dan lagenda kelab seperti Rooney kini semakin tersisih dan dilupakan.
Bagaimanapun saya berpendapat kedatangan Mourinho bukanlah penyebab karier
Rooney semakin terancam kerana petanda pengakhiran masa-masa gemilang beliau di
Old Trafford sudah terlihat sejak dua musim terakhir.
Sepanjang tempoh tersebut (dua musim
terakhir), Rooney tidak lagi segarang Rooney yang pernah kita kenali dahulu. Bukan
sahaja jumlah jaringan gol yang dihasilkannya semakin menurun dari musim ke
musim malah sumbangan assist beliau turut
semakin berkurangan.
Musim lalu, Rooney terpaksa menunggu selama
dua bulan sebelum berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam saingan liga
manakala musim ini beliau hanya mampu menjaringkan satu gol. Banyaknya pilihan
sama ada di bahagian tengah mahupun serangan penyebab mengapa Rooney bukan lagi
pilihan utama untuk memulakan aksi dalam kesebelasan utama Mourinho.
Di bahagian hadapan Rooney kini mungkin
sekadar pilihan keempat di belakang Zlatan Ibrahimovic, Marcus Rashford dan
Anthony Martial manakala di posisi tengah pula, Mourinho sudah memiliki trio
Michael Carrick, Ander Herrera dan Paul Pogba selain Juan Mata serta Henrikh
Mhitaryan yang lebih beliau percayai.
Memang sukar buat pemain yang memiliki
sejarah gemilang cukup panjang dan dianggap ikon di Old Trafford berdepan
situasi genting seperti ini. Bagaimanapun akhirnya kita terpaksa mengakui bahawa
kepentingan kelab harus diberikan keutamaan berbanding sikap sentimental kerana
Mourinho ada sebab yang kuat meletakkan Rooney dibangku simpanan pasukannya.
Melihat kepada situasi sekarang saya tidak
yakin Rooney masih berada dalam perancangan Mourinho musim depan, jadi jalan
terbaik untuk beliau ialah berpindah ke pasukan lain. Pada usia 31 tahun,
Rooney masih mampu bermain di peringkat tertinggi atau setidak-tidaknya
mengikut jejak lagenda-lagenda bolasepak dunia yang lain dengan menyertai Liga
Bolasepak Amerika (MLS).
Rooney yang dahulunya pernah dianggap tiada
saingan dalam kesebelasan utama United meskipun Cristiano Ronaldo, Carlos
Tevez, Dimitar Berbatov dan Robin Van Persie datang silih berganti, kini mendapati
dirinya semakin terpinggir. Walau bagaimanapun tiada apa yang perlu dibuktikan
Rooney kerana namanya sudah tertulis dengan tinta emas sebagai ikon dan lagenda
di Old Trafford.
Kini pemain yang lebih 12 tahun lalu pernah
mencetuskan sensasi menerusi tiga gol jaringannya ke gawang Rustu Recber kian
berada di penghujung kariernya bersama United. Walau ke mana pun destinasi
Rooney selepas ini, saya tidak akan pernah melupakan momen di awal pagi 28
September 2004, detik di mana seorang anak muda memberitahu kepada kita bahawa
beliau adalah lagenda United seterusnya...Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan