15 Ogos 2017

APA YANG BOLEH ANDA SAKSIKAN DI SEBALIK KEMENANGAN BESAR UNITED KE ATAS WEST HAM?



Pada mulanya saya menjangkakan bahawa West Ham United mampu memberikan kesukaran kepada barisan Jose Mourinho  pada aksi sulung kedua-dua kelab dalam saingan liga di Old Trafford Ahad lalu. Menerusi kualiti dimiliki Joe Hart, Pablo Zabaleta dan Javier Hernandez yang ditambah Slaven Bilic dalam skuadnya di samping aset sedia ada dimiliki mereka, saya percaya The Hammers antara pasukan yang mampu melakar kejutan musim ini.

Bagaimanapun hal sebaliknya berlaku apabila Bilic terpaksa melihat bagaimana penjaga gol sekelas Hart terpaksa mengutip bola di gawang sendiri sebanyak empat kali selepas Romelu Lukaku, Anthony Martial dan Paul Pogba silih berganti membocori pintu gol mereka. Di akhir perlawanan Bilic hilang kata-kata sambil berharap barisan pemainnya tidak terbawa-bawa dengan kekalahan besar yang dialami mereka di awal musim itu.

Menerusi persembahan terpuji yang dipamerkan barisan United tempohari, saya percaya mereka kini adalah barisan yang mampu mencabar kejuaraan liga secara serius berbanding musim-musim sebelumnya pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Masih terlalu awal untuk mendabik dada tetapi aksi sepanjang 90 minit ketika United membolosi pintu gol Joe Hart sebanyak empat kali menjanjikan kepada kita bahawa musim 2017/18 bakal menjadi musim yang indah buat kelab.

Selain statistik 54% penguasaan bola, sebelas sepakan sudut, empat percubaan tepat, enam percubaan tersasar dan empat gol yang dijaringkan United, ada beberapa hal menarik yang dapat anda saksikan sepanjang tempoh 90 minit pertembungan ke 117 dalam sejarah kedua-dua kelab tersebut. Sudah pasti paling mencuri tumpuan ialah kelibat Nemanja Matic dalam menggerakan jentera tengah dan ketajaman Romelu Lukaku selaku penggempur utama.

Sukarnya Menghentikan Lukaku...

Dua gol yang dijaringkan bekas penggempur Everton itu ke gawang Joe Hart menyaksikan Lukaku sudah meledak 11 gol dari 11 penampilan beliau ketika berdepan West Ham. Sepanjang bersama West Bromwich, Everton dan kini United, barisan pertahanan West Ham nampaknya masih tiada jawapan bagaimana mahu menghentikan Lukaku dari terus membocori pintu gol mereka.

Menjaringkan gol pada penampilan pertama dalam saingan liga untuk kelab besar seperti United dan dilakukan pula di hadapan penyokong-penyokong sendiri tentunya impian buat mana-mana penyerang. Ahad lalu Lukaku melakukan bukan sekali tetapi dua kali, jadi tidak hairanlah mengapa beliau melabelkan aksi di Old Trafford itu sebagai `mimpi menjadi kenyataan’.

Mikhi Yang Menjanjikan Lebih Kreativiti Di Bahagian Tengah...

Di Signal Iduna Park, Henrikh Mkhitaryan membina reputasi beliau sebagai antara pengumpan terbaik di Eropah. Musim terakhirnya bersama Borussia Dortmund, Mikhi menyumbangkan 15 assist, mencipta 67 peluang jaringan gol dan menjaringkan 11 gol dari 31 penampilan di Bundesliga.

Pernah dilabel sebagai `pembelian yang gagal’ oleh para pengkritiknya, Mikhi akhirnya membuktikan mengapa Mourinho sanggup bekerja keras membawa beliau keluar dari Signal Iduna Park menerusi peranan besar yang dimainkannya hingga menyaksikan United menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab.

Penampilan pertama Mikhi pada musim baharu (2017/18) menjanjikan bahawa beliau akan menawarkan lebih kreativiti di bahagian tengah United musim ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Mikhi ialah `pusat kreativiti’ United sepanjang penampilan beliau di atas padang ketika berdepan West Ham.

Dua assist sumbangan beliau selain pergerakan-pergerakan bijaknya dengan atau tanpa bola menyaksikan Mikhi antara pemain United paling menyerlah di atas padang. Mourinho mahukan barisan pemainnya menjaringkan lebih banyak gol musim ini dan untuk itu anda mungkin bakal menyaksikan Mikhi memainkan peranan lebih besar pada musim keduanya bersama kelab.   

Matic Yang Menyempurnakan Bahagian Tengah...

Tidak perlu menunggu lama untuk beradaptasi dengan corak permainan kelab baharu dan beliau juga tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk menambat hati penyokong-penyokong United. Bermula dengan aksi pra musim menentang Sampdoria, kemudiannya ketika berdepan Real Madrid di Piala Super UEFA dan kini Matic meneruskan pula prestasi terpujinya dalam saingan liga.

Sepanjang perlawanan menentang West Ham, statistik menunjukkan beliau melakukan 87 sentuhan bola, 59 hantaran tepat, 1 clearance, 1 intercept dan 4 tackle. Menurut Jermaine Jenas (bekas pemain Newcastle United), kehadiran Matic bukan sahaja memberikan United kekuatan tambahan ketika bertahan malah beliau juga menawarkan lebih banyak opsyen ketika menyerang.

Prestasi Matic di awal musim bukanlah sesuatu yang mengejutkan mengambilkira bahawa beliau antara pemain yang sangat berpengalaman dalam saingan Liga Perdana selepas dua kali bersama Chelsea dari tahun 2009 hingga 2011 dan 2014 hingga 2017. Jadi tidak salah juga jika Ray Wilkins mengatakan bahawa keputusan Chelsea melepaskan Matic ke Old Trafford umpama menyerahkan kejuaraan mereka kepada United.

Martial dan Rashford Yang Memeningkan Mourinho...

Persembahan Rashford di sisi kiri dalam skema formasi 4-2-3-1 United memang sangat mengagumkan. Ketepikan statistik Rashford sepanjang 80 minit penampilannya di atas padang kerana Pablo Zabaleta ialah individu dan lawan paling tepat dalam menilai prestasi keseluruhan pemain muda ini.

Menurut Zabaleta, Rashford antara lawan paling sukar pernah dihadapinya berikutan kepantasan dan skill kawalan bola bagus yang dimiliki beliau. Pelbagai usaha yang dilakukan Zabaleta untuk menghentikan Rashford tetap gagal menghalang lulusan akademi United itu dari terus berleluasa masuk ke kawasan bahaya pasukannya.

Keputusan Mourinho mengeluarkan Rashford ketika tempoh sebenar permainan berbaki 10 minit sebelum ditamatkan rupa-rupanya tidak menghentikan `derita’ Zabaleta. Kehadiran Anthony Martial biarpun cuma sempat beraksi selama kira-kira 10 minit di atas padang meninggalkan impak yang bukan sedikit kepada perlawanan itu.

Diminit ke-87 Martial menyempurnakan umpanan yang dilakukan Henrikh Mkhitaryan untuk gol ketiga United dan tiga minit selepas itu giliran beliau pula mencipta assist yang berjaya disudahkan Paul Pogba sekaligus melengkapkan kemenangan besar United ke atas West Ham.

Untuk satu slot di posisi sayap kiri bakal menjadi perebutan sengit antara dua pemain muda ini (Rashford dan Martial) dan berdasarkan prestasi semasa mereka, Mourinho pastinya berdepan pilihan sukar dalam memilih siapa paling layak untuk diletakkan dalam kesebelasan utama skuadnya.

Kemenangan Penting...

Menang perlawanan pertama liga sangat penting kepada permulaan musim baharu buat mana-mana kelab dan United tidak terkecuali. Musim lalu United juga menang perlawanan pertama mereka (menewaskan AFC Bournemouth) tetapi persembahan keseluruhan barisan Mourinho ketika membenam West Ham dua hari lalu lebih menyakinkan.

Persembahan keseluruhan yang teratur, bijak memanipulasi kelemahan lawan dan peningkatan prestasi beberapa pemain seperti Pogba, Mikhi, Martial dan Fellaini menjanjikan bahawa Mourinho kini memiliki skuad yang cukup kompetitif untuk bersaing di liga domestik dan juga Eropah.

Cara bagaimana jaringan yang dihasilkan mereka ketika berdepan West Ham juga mengingatkan saya kepada tipikal gol-gol United di era Fergie. Lihat bagaimana mereka menggerakkan bola dengan pantas ke bahagian hadapan setiap kali serangan dilancarkan, manakala peluang terhidang pula akan cuba disudahkan secepat yang boleh. Glory Glory Manchester United!!!

12 Ogos 2017

RAMALAN `LINE UP’ TERBAIK UNITED UNTUK MUSIM 2017/18




Setakat ini tiga pemain baru berjaya ditandatangani Jose Mourinho bagi menambah kekuatan skuadnya dalam menghadapi cabaran musim 2017/18. Victor Lindelof di benteng pertahanan, Nemanja Matic yang disebut-sebut sebagai pengganti ideal kepada Michael Carrick dan Romelu Lukaku yang bakal memainkan peranan utama selaku penggempur di bahagian hadapan merupakan tiga pemain yang berjaya diburu Mourinho setakat ini.

Meskipun berpuashati dengan kerja-kerja yang dilakukan Ed Woodward selepas beliau berjaya mendapatkan Lindelof, Lukaku dan Matic, Mourinho dilaporkan masih memburu seorang lagi pemain bagi melengkapkan kuota empat pemain baharu sepertimana yang diinginkannya. Mengambilkira aset sedia ada selain jangkaan bahawa kelab gagal menandatangani pemain baharu keempat, inilah kesebelasan utama terbaik yang djangka bakal diturunkan Mourinho pada musim 2017/18 nanti.

Penjaga Gol...

Musim lalu catatan clean sheet beliau menurun berbanding musim sebelumnya (14 berbanding 15 pada musim 2015/16), namun tiada siapa yang mampu menafikan bahawa David De Gea merupakan antara penjaga gol terbaik pernah mengawal gawang United. Tindak balas refleks pantasnya ketika menyelamatkan percubaan lawan meletakkan beliau sebagai penjaga gol paling menarik untuk disaksikan aksinya.

De Gea nampaknya akan kekal mendominasi posisinya sebagai penjaga gol utama pilihan Mourinho meskipun United turut memiliki pilihan hampir setaraf yang ada dalam diri Sergio Romero di bangku simpanan mereka. Untuk seorang pemain yang selama tiga tahun berturut-turut tersenarai dalam `Team of the Season’ Liga Perdana, anda nampaknya tiada pilihan lain selain terus mengharapkan keajaiban sepasang tangan De Gea sebagai penyelamat pintu gol United.

Pertahanan Kanan...

Antonio Valencia masih tiada pencabar untuk perebutan posisi pertahanan kanan berikutan penampilan konsistennya sepanjang musim lalu. Dari seorang pemain yang disebut-sebut bakal meninggalkan kelab ketika Mourinho memulakan hari pertamanya sebagai pengendali, Valencia kini bertukar kepada pemain yang tidak tergantikan tempatnya dalam kesebelasan utama United.

Kehadiran Romelu Lukaku bakal menjadikan Valencia pemain yang sangat penting dalam kesebelasan Mourinho kerana hantaran-hantaran silangnya dari sebelah kanan boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh bekas penggempur Everton itu yang memang cukup terkenal menerusi kepakarannya dalam menyudahkan peluang di udara.

Pertahanan Tengah (Lindelof & Bailly)...

Walaupun penampilannya masih belum `sempurna’ untuk menggalas tugas sebagai peneraju benteng tengah United, saya percaya hanya masa dan kemampuan beradaptasi bersama kelab baharu dengan pantas bakal menjadikan Victor Lindelof pemain pertahanan tengah yang lebih bagus berbandng aksi sepanjang pra musimnya.

Kombinasi beliau bersama Eric Bailly saling melengkapi antara satu sama lain dan dijangka bakal memainkan peranan penting dalam melindungi De Gea di pintu gol. Duet dua pemain ini mengingatkan kita kembali kepada pasangan unggul Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic yang pernah mengawal benteng pertahanan tengah United ketika era gemilang mereka.

Lindelof dan Bailly sepertimana anda tahu memiliki kelajuan, kualiti hantaran serta kawalan bola yang bagus, jadi sudah tentu jenis pertahanan seperti ini sangat berguna bagi menjayakan strategi serang balas pantas atau melakukan `build up’ dari belakang. Selain itu masih ada Marcos Rojo sebagai pilihan tetapi buat masa ini saya lebih memilih kombinasi Lindelof/Bailly sebagai calon utama mengisi posisi pertahanan tengah.

Pertahanan Kiri...

Tidak sepertimana yang digembar-gemburkan media, Matteo Darmian sebaliknya masih kekal sebagai pemain United malah diturunkan Mourinho ketika skuadnya berdepan Real Madrid dalam perlawanan merebut Piala Super UEFA, Rabu lalu.

Musim lalu beliau melakukan 12 penampilan penuh (dari 18 aksi liga) untuk United dan dengan kecederaan panjang yang membelenggu Luke Shaw, Darmian bakal menjadi pilihan utama di posisi pertahanan kiri.

Dengan Antonio Valencia yang memiliki lebih naluri menyerang di sebelah kanan, Darmian pula menawarkan keseimbangan menerusi kemampuan bertahan beliau di sebelah kiri pertahanan United.

Pemain Tengah Bertahan...

Di Philip II Arena, Nemanja Matic sudah membuktikan mengapa kelab sanggup membayar £35 juta untuk mendapatkan khidmatnya. Kukuh dalam melindungi benteng pertahanan ketika bertahan serta kerja kerasnya dalam memberikan sokongan di barisan hadapan ketika menyerang menjadikan penampilan pertama Matic dalam perlawanan kompetitif untuk United menjadi bualan selepas tamat aksi menentang Real Madrid di Skopje.

Jika penampilan Matic sepanjang 90 minit aksi menentang Real boleh dijadikan ukuran, kebimbangan di kalangan penyokong-penyokong United tentang siapa pemain yang paling layak menggantikan posisi Michael Carrick sepatutnya sudah berakhir. Bagi seorang pemain yang terpaksa berlatih sendirian hampir sepanjang tempoh pra musim, penampilan terpuji Matic ketika berdepan Real menjanjikan kepada kita bahawa bahagian tengah United bakal lebih kompak menerusi kehadirannya.

Pemain Tengah (Centre Midfielder)...

Pertembungan menentang Chelsea pada 16 April lalu akan sentiasa diingati sebagai aksi terbaik pernah dipamerkan United pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Sudah tentu watak paling menonjol di sebalik kemenangan 2-0 United ke atas juara Liga Perdana itu ialah Ander Herrera, pemain yang sering anda lihat terlibat dalam `pertempuran’ di mana-mana bahagian padang sepanjang 90 minit aksi yang berlangsung di Old Trafford itu.

Dalam perlawanan itu, Herrera bukan sahaja berjaya melaksanakan tugasnya dengan berkesan ketika merantai setiap pergerakan Eden Hazard, malah turut terlibat dengan kedua-dua gol United menerusi umpanannya yang berjaya disudahkan Marcus Rashford dan gol yang dijaringkannya di babak kedua.

Herrera merupakan seorang centre midfielder yang boleh melaksanakan tugas bertahan dan menyerang dengan baik kerana memiliki defensive discipline yang tinggi serta visi permainan yang bagus. Jangan lupakan juga dengan kemampuan beliau untuk bertindak selaku pemain tengah bertahan jika Mourinho mahu menggunakan double pivot dalam sistem permainan United.

Pemain Tengah Menyerang...

Gelaran sebagai pemain termahal dunia yang disandangkannya menjadikan prestasi Paul Pogba dalam setiap perlawanan diperhatikan secara teliti. Jadi tidak hairanlah mengapa musim lalu penampilan beliau di atas padang sering dijadikan sasaran kritikan sama ada oleh penyokong sendiri mahupun penganalisa bolasepak meskipun secara keseluruhannya prestasi Pogba bukanlah terlalu buruk.

Musim ini Pogba diramalkan bakal lebih menyerlah berikutan adanya Nemanja Matic yang membolehkan beliau memainkan peranannya sebagai pemain tengah menyerang dengan lebih bebas dan berkesan. Tanpa terbeban dengan kerja-kerja bertahan (berikutan adanya Matic), kita bakal menyaksikan potensi sebenar Pogba selaku pemegang watak nombor 10 United.

Sayap Kanan Dan Kiri (Mkhitaryan & Rashford)...

Pada mulanya beliau disebut-sebut sebagai pembelian yang gagal namun Henrikh Mkhitaryan secara perlahan-lahan membuktikan bahawa beliau antara pemain United paling menyerlah musim lalu. Memiliki kelajuan, kawalan bola yang bagus serta bijak mencipta peluang menjadikan peranan Mikhi begitu penting terutamanya dalam kempen Liga Europa United. Mungkin aksi menentang Real boleh dijadikan rujukan terbaik tentang siapa yang bakal dipilih Mourinho untuk menggalas tugas di posisi sayap kanan.

Dengan andaian bahawa Ivan Perisic atau Gareth Bale tidak akan mendarat di Old Trafford, Marcus Rashford dan Anthony Martial merupakan pilihan terbaik untuk mengisi posisi sayap kiri United. Rashford antara pemain United yang memiliki skill kawalan bola mempesonakan selain dianugerahkan dengan kelajuan untuk menghuru-harakan pertahanan lawan serta lebih konsisten berbanding Martial. Jadi saya memilih Rashford berbanding Martial sebagai pemegang watak utama di posisi sayap kiri.

Penyerang...

Ketiadaan Zlatan Ibrahimovic dan kembalinya Wayne Rooney ke Goodison Park menjadikan Romelu Lukaku sebagai sandaran utama bagi menggempur kubu pertahanan lawan. United perlukan seorang penggempur yang mampu menjaringkan 20 atau 30 gol semusim secara konsisten dan atas sebab itulah mengapa Lukaku dibawa dari Everton dengan nilai sebanyak £75 juta.

Besar, kuat, bagus dalam perebutan bola di udara dan laju...inilah jenis penyerang yang sangat digemari Mourinho. Jika diambilkira aksi pra musim beliau bersama United, Lukaku nampaknya sudah beradaptasi dengan baik sejak ketibaanya di Old Trafford sebulan lalu. Dengan sokongan rakan-rakan yang lebih berkualiti di belakangnya, Lukaku sepatutnya tidak berdepan masalah untuk terus meletakkan diri beliau dalam kelompok penggempur paling digeruni di Liga Perdana.

Bersedialah Untuk Musim Baharu...

Sama ada United berhasil atau tidak mendapatkan `pemain keempat’ sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, saya percaya Mourinho dan barisan pemainnya sudah bersedia untuk berdepan dengan cabaran musim baharu. Untuk musim kedua beliau di Old Trafford, misi utama yang perlu disempurnakan Mourinho bukan lagi meletakkan kelab di posisi empat teratas tetapi membawa kembali trofi Liga Perdana pulang ke Old Trafford selepas kali terakhir Sir Alex Ferguson melakukannya empat tahun lalu.

Tambahan tiga pemain baharu (Lindelof. Lukaku dan Matic) di samping aset sedia ada yang dimiliki Mourinho diharap mampu menjadikan United pasukan yang jauh lebih kuat dan digeruni berbanding musim lalu. Musim ini cabaran lebih besar menanti Mourinho dengan kembalinya kelab ke saingan Liga Juara-Juara selain misi untuk cuba membawa trofi Liga Perdana keluar dari Stamford Bridge. Adakah United perlukan tempoh dua tahun lagi untuk kembali ke zaman gemilang mereka sepertimana yang di sebut Mourinho baru-baru ini? Saya berharap kita tidak perlu menunggu selama itu...Glory Glory Manchester United!!!

09 Ogos 2017

KEKALAHAN DI SKOPJE...PERMULAAN YANG BAGUS UNTUK MUSIM BARU UNITED?



Manchester United memulakan musim kompetitif mereka dengan kekalahan selepas tewas 1-2 kepada juara Eropah, Real Madrid dalam perebutan Piala Super UEFA di Skopje awal pagi tadi. Walaupun sedikit kecewa dengan kekalahan tersebut namun prestasi barisan United sepanjang 90 minit aksi di Philip II Arena itu sebenarnya jauh lebih bagus berbanding ketika mereka menjulang trofi Liga Europa di Stockholm Mei lalu.

Meskipun terdapat beberapa kelemahan terutamanya koordinasi di benteng pertahanan dan bahagian tengah yang masih longgar, saya percaya Mourinho memiliki skuad yang lebih bagus berbanding apa yang beliau miliki musim lalu. Real muncul pemenang tetapi United juga membuktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk muncul antara pencabar terkuat di pentas Liga Juara-Juara menerusi persembahan terpuji di babak kedua.

Kesilapan Strategi Mourinho?

Walaupun Real muncul pasukan yang lebih dominan terutamanya di pertengahan babak pertama perlawanan namun United kembali bangkit memberikan tekanan di babak kedua. Bagaimanapun ada sedikit perdebatan tentang keputusan Mourinho menggunakan formasi 3-5-2 menerusi penggunaan dua wing back yang dimainkan Antonio Valencia dan Jesse Lingard di babak pertama.

Gerakan-gerakan yang dilakukan Lingard dan Valencia berjaya dineutralkan oleh dua full back agresif lawan (Dani Carvajal serta Marcelo) hingga menyaksikan United gagal mengembangkan permainan mereka. Kekerapan Valencia dan Lingard untuk naik ke atas juga akhirnya mendedahkan United kepada serang balas pantas lawan yang sering dimulakan sama ada oleh Carvajal atau Marcelo.

Dari sudut lain pula sistem permainan yang digunakan Mourinho ini juga menyaksikan Paul Pogba lebih banyak melakukan kerja-kerja bertahan di babak pertama berbanding tugas utama beliau dalam menyusun gerakan serangan ketika situasi ofensif. Mujurlah perubahan segera dilakukan Mourinho di babak kedua apabila beliau kembali menggunakan formasi 4-3-3 yang menyaksikan Marcus Rashford sentiasa memberikan ancaman dari sebelah kiri.

Prestasi Lindelof Yang Perlu Dibimbangkan

Pada aksi pra musim beliau menghadiahkan sepakan penalti kepada Real dan awal pagi tadi kegagalannya mengawal Casemiro membolehkan pemain itu menjaringkan gol pertama lawan. Ketepikan sebentar tentang perdebatan sama ada Casemiro berada dalam posisi offside ataupun tidak kerana sebagai pemain yang digambarkan bakal memikul peranan utama di benteng tengah United musim ini, Lindelof nampaknya perlu bekerja lebih keras meningkatkan aspek permainannya serta koordinasi bersama rakan lain di bahagian belakang menjelang sepak mula musim baru.

Matic...Pembelian Yang Berbaloi

Nemanja Matic tidak perlu menunggu terlalu lama untuk membuktikan kepada penyokong-penyokong United bahawa beliau bakal memainkan peranan besar di bahagian tengah The Red Devils musim ini menerusi prestasi terpuji sepanjang 90 minit aksinya di Philip II Arena awal pagi tadi.

Berdepan trio terbaik lawan yang dibarisi Casemiro, Luca Modric dan Toni Kroos di bahagian tengah, Matic menunjukkan kepada kita mengapa Mourinho sanggup membayar sebanyak £35 juta untuk khidmat seorang pemain yang sudah pun berusia 29 tahun seperti beliau.

Kerja kerasnya membantu benteng pertahanan ketika Real mengasak hebat di babak pertama atau ketika mengalirkan bola ke hadapan ketika ada kesempatan untuk menyerang menjadikan beliau pemain terbaik United di atas padang selain memberikan keseimbangan kepada permainan barisan Mourinho.

Menerusi statistik yang dikeluarkan WhoScored.Com, Matic melakukan empat terjahan bersih, satu intercept dan dua kali clearance dalam situasi bertahan manakala ketika menyerang pula beliau melepaskan satu percubaan tepat, melakukan dua key passes dan peratusan ketepatan hantarannya pula mencapai 87.8%.

Jangan Pernah Remehkan Fellaini

Jika Matic memainkan peranannya dengan sangat berkesan sebagai `generator’ di bahagian tengah, kemasukkan Fellaini di babak kedua pula mengubah corak permainan United. Keputusan Mourinho memasukkan beliau di minit ke-56 menyaksikan barisan belakang Real terdesak dalam menangani kekuatan fizikal yang dimiliki Fella terutamanya dalam situasi perebutan bola tinggi.

Dalam perlawanan ini, Mourinho melakukan hal yang sama sepertimana beliau lakukan musim lalu iaitu menggunakan ketinggian dan kekuatan Fella untuk memporak-perandakan pertahanan lawan menerusi hantaran-hantaran bola tinggi yang ditujukan terus ke arah kepala pemain berambut afro itu.

Meskipun diakui bahawa Fella bukanlah pemain yang menarik untuk disaksikan aksinya, namun dalam masa yang sama kita juga perlu mengakui bahawa beliau merupakan senjata `tambahan’ yang dimiliki Mourinho jika pengendali itu mendapati barisan hadapannya buntu dalam usaha memecah kekebalan benteng pertahanan lawan.

Kehadirannya di atas padang selama 34 minit menjadikan United barisan yang lebih berbahaya dan berbeza berbanding penampilan mereka di babak pertama. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa keberadaan Fella berjaya memecah fokus benteng pertahanan Real sekaligus membuka ruang lebih luas buat Romelu Lukaku bergerak hingga membolehkan bekas penyerang Everton itu menewaskan Keylor Navas di minit ke-62.

Selepas Tamat Perlawanan...

Menghadiahkan medal naib juara kepada penyokong mungkin satu cara Mourinho mahu segera melupakan kekalahan yang dialami skuadnya kepada juara Eropah itu. Selepas tamat perlawanan, Mourinho menegaskan bahawa fokus beliau kini tertumpu sepenuhnya dalam menghadapi musim baru yang panjang.

Hujung minggu ini, United bakal berdepan West Ham di Old Trafford dan sudah tentu kemenangan sulung di gelanggang sendiri dalam saingan liga menjadi misi pertama yang perlu disempurnakan barisan pemainnya. Kekalahan kepada Real perlu segera dilupakan kerana ia hanyalah langkah permulaan United sebelum menghadapi kempen musim baru.

Melihat kepada penampilan United sepanjang 90 minit aksi di Philip II Arena, percayalah bahawa Mourinho kini memiliki skuad yang berbeza dan lebih kuat untuk berdepan cabaran musim 2017/18. Adakah beliau sudah berpuashati dengan barisan pemain dan kekuatan skuad yang dimilikinya? Saya fikir tidak kerana mungkin ada lagi pemain baru yang bakal dibawa masuk untuk melengkapkan `kuota’ empat pemain sepertimana diinginkan beliau...Glory Glory Manchester United!!!

04 Ogos 2017

SEBAGUS MANAKAH MATIC UNTUK MENGISI POSISI `NOMBOR 6’ UNITED?


Pada usia yang sudah menjangkau 36 tahun, musim 2017/18 mungkin menjadi musim terakhir buat Michael Carrick di Old Trafford sejak `maestro’ di bahagian tengah United itu ditandatangani Sir Alex Ferguson dari Tottenham Hotspurs pada 2006 bagi mengisi posisi yang ditinggalkan Roy Keane. Dan sejak itu jugalah Carrick sudah memainkan peranan yang cukup besar selaku penggerak jentera tengah United ketika era Fergie, David Moyes, Louis Van Gaal dan kini Jose Mourinho.

Mencari pengganti Carrick yang sudah di penghujung karier merupakan misi penting Mourinho sepanjang jendela perpindahan musim panas ini dibuka, jadi tidak hairanlah selain Nemanja Matic, beliau sebelumnya turut dilaporkan mengintai peluang untuk mendapatkan tandatangan Eric Dier atau Fabinho bagi menggalas tugas sebagai `jeneral padang’ United yang baharu. Pengesahan bahawa United berjaya mendapatkan khidmat Matic akhirnya menamatkan segala teka teki berhubung pemain mana yang bakal menggantikan posisi Carrick.

Adakah Harga Matic Terlalu Mahal?

United dilaporkan membayar £35 juta (tidak termasuk £5 juta bonus tambahan) kepada Chelsea bagi membolehkan Matic kembali bekerjasama dengan Mourinho di Old Trafford. Mungkin harga tersebut dinilai terlalu mahal oleh sesetengah pihak untuk seorang pemain yang sudah berusia 29 tahun, namun jika diambilkira statistik serta peranan yang telah beliau mainkan sepanjang bersama Chelsea, wang sebanyak £35 juta adalah harga yang sepadan untuk seorang pemain seperti Matic.

Apa Kelebihan Yang Ada Pada Matic?

Keputusan Antonio Conte menandatangani Ngolo Kante musim lalu menyebabkan ramai pihak meramalkan Matic bakal tersisih dari kesebelasan Chelsea. Bagaimanapun hal sebaliknya berlaku apabila Matic berjaya melakukan 35 penampilan liga di mana 23 daripadanya beliau diturunkan Conte selama 90 minit.

Mengapa Matic masih dianggap sosok penting di bahagian tengah sedangkan Chelsea sudah memiliki Kante? Jawapannya mungkin dapat anda perolehi menerusi statistik yang dikeluarkan oleh SportExtra. Menurut SportExtra, Matic muncul pemain paling banyak melakukan kombinasi terjahan dan intercept sejak Januari 2014 berbanding mana-mana pemain tengah yang beraksi di Liga Perdana.

Musim lalu kualiti bertahannya menyaksikan Matic melakukan 37 kali terjahan bersih, 55 kali intercept dan 49 kali clearance manakala dalam situasi ofensif pula peratusan ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 88%, mencipta 27 peluang jaringan gol, menyumbang 7 bantuan gol (assist) dan menjaringkan 1 gol.

Melihat kepada peranan yang sudah dimainkan Matic di sebalik kejayaan Chelsea menjulang kejuaraan liga pada musim 2014/15 dan 2016/17, maka tidak hairanlah mengapa Conte lebih gemar menggunakan kombinasi Matic/Kante di bahagian tengah skuadnya.

Pogba dan Herrera Bakal Lebih Bebas

Pembelian Matic pada pandangan saya memang direncanakan Mourinho bagi membolehkan Pogba lebih bebas bergerak di hadapan. Musim lalu ramai pihak yang kecewa dengan prestasi Pogba meskipun beliau kembali semula ke Old Trafford sebagai pemain termahal dunia. Ketika bersama Juventus, prestasi Pogba memang sangat mengagumkan namun hal yang sama tidak mampu beliau ulangi selepas kembali semula ke pangkuan kelab.

Mobiliti Carrick di atas padang yang semakin menurun kerana faktor usia menyebabkan Herrera terpaksa bermain agak jauh di bahagian belakang sekaligus menyaksikan efektiviti Pogba di kawasan lawan juga terbatas kerana kurangnya bantuan rakan di bahagian tengah. Jadi kehadiran Matic diharapkan mampu melengkapkan pakej United di bahagian tengah menerusi kombinasi beliau dengan Herrera dan Pogba.

Musim ini dengan adanya Matic, anda mungkin dapat saksikan Herrera akan jauh lebih agresif memainkan peranannya di sisi kanan manakala Pogba pula akan lebih berleluasa di sisi kiri bahagian tengah. Secara teknikalnya, Matic memiliki kualiti yang lebih bagus berbanding Fellaini (maaf bukan saya mahu menidakkan kemampuan Fella) serta lebih atletik berbanding Carrick dan sudah tentu juga Mourinho sangat arif tentang hal tersebut.

Menurut Mourinho sukar untuk mana-mana pemain lawan merebut bola dari kakinya dan meskipun postur tubuhnya hampir sama besar dengan Fellaini, Matic memiliki lebih kelajuan berbanding pemain antarabangsa Belgium itu. Meskipun peratusan ketepatan hantaran yang dilakukan Carrick mengatasi Matic, tetapi pemain antarabangsa Serbia itu bakal menawarkan corak permainan lebih fizikal di bahagian tengah United berbanding sebelumnya.

Sangat menarik sebenarnya apabila memikirkan apa yang mampu ditawarkan Matic dan Herrera ketika membentuk gandingan di bahagian tengah United kerana `energy’ yang dimiliki kedua-dua pemain ini dalam permainan mereka. Saya fikir Matic dan Herrera juga mampu menjadi pasangan yang ideal jika Mourinho mahu meletakkan dua pemain tengah bertahan dalam sistem permainan United (menerusi formasi 4-2-3-1).

Adakah Matic Pemain `Nombor 6’ Yang Ideal?

Matic beraksi buat pertama kali sebagai pemain United dalam aksi pra musim mereka ketika berdepan Sampdoria di Dublin kelmarin. United menang perlawanan yang berlangsung di Stadium Aiva itu tetapi apa yang menariknya ialah menyaksikan prestasi keseluruhan beliau di atas padang.

Meskipun perlawanan pra musim bukanlah kayu ukur sesuai untuk menilai prestasi seorang pemain, namun aksi terpuji yang dipamerkan Matic bakal menjanjikan kepada kita bahawa bahagian tengah United akan lebih kompak menjelang bermulanya musim baharu nanti.

Selama 45 minit aksi Matic di Stadium Aiva, peratusan ketepatan hantarannya mencapai 87% (lebih tinggi dari Pogba yang mencatatkan 76.2%) selain beberapa kali berjaya melakukan intercept dan mematahkan serangan lawan. Menurut Mourinho, itulah gaya sebenar permainan Matic yang `sederhana’ tetapi bijak.

“Itulah Matic. Menurut pandangan saya dia bermain dengan sangat baik di posisinya (sebagai pemain tengah bertahan). Dia pemain yang genius kerana mampu membuatkan pasukan bermain dengan mudah, bola sentiasa bergerak dan pemain pula sentiasa berlari”.

Adakah kedatangan Matic menandakan bahawa pencarian United untuk pemain yang mampu menggalas peranan sebagai `pemain nombor 6’ sudah berakhir? Ya, saya harap begitu dan saya juga berharap agar di Old Trafford, Matic mampu mengulangi prestasi gemilangnya ketika membantu Chelsea muncul juara liga pada musim 2014/15 dan 2016/17.

Anda boleh labelkan beliau sebagai `Ball Winner’, `Holding Midfielder’ atau apa sahaja tetapi saya hanya mahu melihat Matic yang sama ketika beliau bersama Chelsea. Pemain yang sangat rajin ketika menyokong gerakan serangan dua `wide forward’ mereka (Eden Hazard dan Pedro/Willain) ketika menyerang selain kukuh dalam melindungi Gary Cahill, David Luiz dan Cesar Azpilicueta ketika bertahan.

Musim lalu si `generator’ ini tenggelam dek sorotan berlebihan yang terarah kepada kelibat Eden Hazard, Diego Costa, Ngolo Kante malah Marcos Alonso tetapi di kalangan penyokong Chelsea mereka juga tahu bahawa Matic antara pemain penting yang menggerakan jentera The Blues. Jadi tidak hairanlah mengapa ada di kalangan rakan-rakan saya (penyokong Chelsea) yang masih kehairanan dengan tindakan Conte melepaskan Matic kepada seteru domestik mereka.

Bersama United, Matic bakal diletakkan di posisi terbaiknya dan semoga beliau akan menjadi antara `box to box midfielder’ yang menakutkan di Liga Perdana. Di Stamford Bridge kemampuan Matic sudah terbukti menerusi dua medal kejuaraan yang berjaya dimenanginya dan kini giliran Theatre of Dreams pula menjadi pentas untuk beliau memperagakan kehebatannya...”Selamat Datang Nemanja Matic”. Glory Glory Manchester United!!!

13 Julai 2017

ADAKAH POTENSI LUKAKU JAWAPAN KEPADA KETUMPULAN JENTERA SERANGAN UNITED?




Beberapa hari lalu Manchester United akhirnya mengesahkan bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat Romelu Lukaku dari Everton, sekaligus menamatkan semua spekulasi tentang masa depan penyerang antarabangsa Belgium itu. Walaupun sempat dilaporkan bakal menyertai semula Chelsea, Lukaku akhirnya memilih Old Trafford sebagai destinasi terbarunya, sesuai dengan keinginan beliau untuk bermain di Liga Juara-Juara dan memenangi medal kejuaraan.

Sebaik sahaja saingan musim 2016-17 berakhir, Lukaku muncul antara `buruan panas’ yang sering dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Zlatan Ibrahimovic selain Antoine Griezmann, Alvaro Morata dan Andrea Belotti. Meskipun ketajaman Lukaku selaku penggempur sudah terbukti di Liga Perdana, namun tetap ada berdebatan tentang keupayaan beliau untuk mengetuai jentera serangan United musim depan.

Statistik Jaringan...

Lukaku sudah membuktikan kemampuan beliau di Liga Perdana dan turut diakui antara penyerang yang produktif dalam menghasilkan gol. Sejak dipinjamkan ke West Bromwich Albion pada musim 2012/13, beliau bertukar dari pemain yang dianggap gagal memenuhi jangkaan ketika bersama Chelsea kepada sandaran utama Everton dalam memburu jaringan.

53 gol dari 110 penampilan liga sudah cukup buat Lukaku membuka mata mana-mana kelab besar untuk mendapatkan khidmatnya hinggakan Antonio Conte juga diberitakan turut tertarik untuk membawa beliau pulang semula ke Stamford Bridge bagi menggantikan posisi Diego Costa. Dalam tempoh lima musim terakhir juga, beliau berhasil menjaringkan 85 gol, hanya 14 gol di belakang Sergio Aguero.

Type Penyerang Kegemaran Mourinho...

Sepertimana yang anda tahu, Mourinho sangat dikenali sebagai seorang pengurus yang sangat cenderung memilih penyerang yang memiliki kelajuan dan kekuatan fizikal untuk diletakkan di barisan hadapan skuadnya. Untuk itu, Lukaku memiliki ciri-ciri penyerang yang menepati kehendak dan selera Mourinho. Lukaku juga boleh dikategorikan sebagai penyerang konvensional menerusi pendekatan permainan ofensif beliau.

Jarang sekali anda dapat saksikan Lukaku bergerak melebar hingga ke bahagian sayap atau berada terlalu jauh dari kawasan petak penalti lawan. Mungkin ada yang menggambarkan beliau sebagai `agak pemalas’ tetapi menurut Kevin Campbell (bekas pemain Arsenal dan Everton), gaya penyerang seperti inilah sebenarnya yang sangat dimahukan Mourinho untuk membolehkan beliau menerapkan kembali corak serang balas pantas dalam permainan United.

Kualiti United Bakal Menjadikan Lukaku Lebih Kejam...

Dengan kualiti pemain yang dimiliki Everton, musim lalu Lukaku masih mampu menjaringkan 25 gol untuk barisan kendalian Ronald Koeman. Jadi secara logiknya cuba bayangkan apa yang mampu beliau lakukan untuk United musim depan. Bukan niat saya mahu meremehkan Everton, tetapi di United Lukaku kini dikelilingi rakan-rakan sepasukan yang lebih berkualiti.

Dengan adanya pemain-pemain yang memiliki kreativiti seperti Henrikh Mkhitaryan, Juan Mata dan Ander Herrera serta visi permainan tinggi yang dimiliki Paul Pogba dan Michael Carrick, Lukaku sepatutnya tidak berdepan masalah untuk terus meletakkan dirinya selaku peledak digeruni di Liga Perdana. Kempen pra musim United sepatutnya digunakan beliau dengan sebaik mungkin untuk beradaptasi dan memahami karakter permainan rakan-rakan sepasukannya.

Jawapan Kepada Ketumpulan Jentera Serangan United?...

Musim lalu United kelihatan sangat bergantung kepada sentuhan pemusnah Zlatan Ibrahimovic hinggakan jika Ibra buntu dalam misi menembusi pintu gol lawan, United juga berdepan kemungkinan besar gagal menamatkan perlawanan dengan tiga mata penuh. Ketumpulan jentera serangan juga menyaksikan banyaknya  keputusan seri yang dicatatkan mereka terutama ketika berdepan kelab-kelab pertengahan liga seperti Stoke City, Hull City, Bournemouth, West Bromwich, Swansea dan Southampton.

Akhirnya 15 keputusan seri yang dicatatkan United sepanjang saingan liga musim lalu menjejaskan misi Mourinho untuk meletakkan kelab di posisi empat teratas pada musim pertamanya di Old Trafford. Kedatangan Lukaku dipercayai mampu menjadikan United lebih bebahaya ketika mereka menyerang menerusi kepantasan dan ketajaman yang dimiliki penyerang berusia 24 tahun itu. Dari musim ke musim, produktiviti Lukaku dalam menghasilkan gol meningkat seiring dengan peningkatan usia dan pengalaman beliau beraksi di Liga Perdana.

Lukaku 11 tahun lebih muda berbanding Ibra, jadi sudah tentu juga beliau memiliki kelajuan yang lebih tinggi berbanding legenda Sweden itu. Faktor inilah yang saya kira bakal memberikan perbezaan besar kepada gaya serangan United musim depan. Sepertimana kata Campbell tadi, kelajuan yang dimiliki Lukaku membolehkan Mourinho menerapkan kembali corak permainan serang balas pantas dalam DNA permainan United, faktor yang sudah hilang dalam tempoh tiga atau empat musim terakhir sejak persaraan Sir Alex Ferguson.

Yang Dibimbangi Tentang Lukaku...

Bermain untuk kelab besar seperti United tentunya sangat berbeza berbanding ketika beliau menyarung jersi West Bromwich ataupun Everton. Meskipun beliau sudah mengharungi musim-musim yang fantastis di Liga Perdana menerusi statistik jaringan yang dilakukannya, ramai pihak mempersoalkan tentang kekuatan sebenar mental Lukaku. Di Liga Perdana, bisa Lukaku sebagai penggempur sudah terbukti, tetapi bagaimana pula dengan kemampuan beliau bermain di tahap lebih tinggi seperti Liga Juara-Juara?

Selain dari itu pergerakan beliau juga dikatakan mudah dibaca pertahanan lawan dan sebagai contoh terbaik lihat bagaimana mudahnya Marcos Rojo membungkam setiap gerakan yang dilakukan Lukaku ketika United dan Everton bertemu musim lalu. Dari segi teknik individu, Rene Meulensteen menyarankan agar Lukaku memperbaiki lagi aspek kawalan bola terutamanya ketika melakukan sentuhan pertama dan hal yang sama turut diutarakan Steve Clarke, individu yang bertanggungjawab membawa beliau beraksi di West Bromwich.

Kesimpulan Akhir...

Keputusan kelab untuk tidak mengekalkan Ibra meninggalkan ruang yang sangat besar di bahagian hadapan dan untuk itu harapan tinggi kini diletakkan di bahu Lukaku bagi memikul tugas selaku penggempur utama. Ibra merupakan penyerang yang lebih lengkap tetapi United sebenarnya perlukan seorang penyerang yang mampu menjaringkan 20 gol semusim secara konsisten.

Jadi atas sebab itulah mengapa Mourinho sanggup berbelanja lebih £70 juta untuk mendapatkan khidmat Lukaku. Beberapa bulan lalu beliau sudah menyatakan keinginannya untuk menyertai kelab besar, bermain di Liga Juara-Juara dan memenangi medal kejuaraan. Jadi keputusan Lukaku meninggalkan Goodison Park selepas empat musim berada di sana bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Pada usia 24 tahun, Lukaku masih punya banyak waktu untuk berkembang sebelum muncul penyerang yang jauh lebih bagus berbanding sekarang. Dan tiada yang lebih baik untuk melihat seorang pemain muda seperti beliau memiliki keinginan besar untuk lebih sukses. Semoga keinginan tinggi beliau itu diterjemahkannya menerusi prestasi gemilang di atas padang.

Ujian sulung untuk Lukaku akan hadir pada 8 Ogos nanti saat United dan Real Madrid berdepan antara satu sama lain bagi merebut trofi Piala Super UEFA. Jadi sangat menarik untuk kita melihat bagaimanakah caranya nanti beliau melepasi kekangan pertahanan kelas dunia seperti Sergio Ramos dan Raphael Varane di Philip II Arena...Glory Glory Manchester United!!!

11 Julai 2017

BERAKHIRNYA `KISAH CINTA’ MANCHESTER UNITED DAN WAYNE ROONEY




Jika ditanya siapa penyerang terbaik United dalam tempoh 17 tahun terakhir, saya tanpa ragu akan menamakan Wayne Rooney sebagai pilihan. Sejak beliau ditandatangani Sir Alex Ferguson pada 2004, Rooney sudah memenangi kesemua kejuaraan yang dipertandingkan baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Dan sudah tentu juga gelaran sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa kelab yang disandang beliau `hampir mustahil’ untuk dipecahkan oleh mana-mana penyerang United selepas ini.

Selepas 13 musim menyarung jersi The Red Devils, meletakkan dirinya sebagai antara penggempur terbaik pernah disaksikan di Old Trafford dan selama bertahun-tahun juga bertindak sebagai nadi kepada jentera serangan United, jodoh Rooney bersama kelab akhirnya menemui titik nokhtah. Ketika mendapati dirinya kian terpinggir dari kesebelasan utama United selepas posisinya diambil alih oleh pemain yang lebih muda, Rooney memilih untuk pulang semula ke Goodison Park, pentas di mana beliau memulakan langkahnya sebagai pemain profesional.

Nasib Rooney Sudah Dijangka...

Jun lalu Roy Keane mengatakan bahawa adalah `gila’ jika Rooney memilih untuk terus kekal di Old Trafford selepas beliau hanya melakukan enam penampilan penuh dari 25 aksinya untuk United sepanjang saingan liga musim lalu dan sebagai penyokong juga, saya percaya anda sudah boleh menjangkakan nasib Rooney selepas beliau seolah-olah seperti sudah terkeluar dari perancangan Jose Mourinho.

Ketika statistik jaringan beliau semakin menurun dari musim ke musim, ketika tempatnya mula diambil alih penyerang muda yang jauh lebih pantas seperti Marcus Rashford dan ketika penguasaan beliau dalam senarai kesebelasan utama United semakin hilang, tiada apa yang mampu dilakukan Rooney selain memilih untuk pergi.

Pulang Ke Everton Adalah Pilihan Terbaik...

Beberapa tahun lalu, Rooney pernah menegaskan bahawa hanya Everton kelab yang beliau ingin wakili di Liga Perdana sekiranya beliau meninggalkan United suatu hari nanti. Memandangkan bahawa Everton merupakan kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya dan di Goodison Park-lah beliau membina reputasinya sebagai antara prospek paling dikehendaki ketika zaman remajanya, memilih untuk menyarung semula jersi The Toffees selepas 13 tahun adalah satu langkah yang tepat.

Sekarang Rooney sudah kembali semula ke pangkuan Everton, dan sudah tentu juga beliau bakal memainkan peranan penting kepada perancangan Ronald Koeman dalam misi menghadiahkan kejuaraan buat kelab dari Merseyside itu manakala penyokong Everton juga nampaknya sangat teruja menyambut kepulangan semula Rooney selepas 13 tahun beliau meninggalkan Goodison Park. Pengalaman yang dimiliki Rooney selama beliau `membesar’ di Old Trafford bakal menjadi aset penting kepada misi pemburuan kejuaraan Everton di era Koeman.

Hilangnya Seorang Pemain Yang Sangat Fleksibel...

Pemergian Rooney juga sebenarnya menyaksikan kelab kehilangan sentuhan seorang pemain yang sangat fleksibel ketika di atas padang. Ketika kemuncak gandingan 2R (Rooney dan Ronaldo) mendominasi pentas Liga Perdana, Rooney sering diarahkan Sir Alex untuk lebih banyak bergerak di sebelah kiri bagi memberikan laluan buat Ronaldo menguasai posisi sebagai penyerang tengah.

Dalam tempoh lima musim terakhir kariernya di Old Trafford terutamanya sejak ketibaan Robin Van Persie dari Arsenal, peranan Rooney secara perlahan-lahan bertukar dari pemegang watak pemain nombor 9 kepada pemain tengah menyerang. Faktor ini akhirnya turut mempengaruhi statistik jaringan beliau dalam saingan liga yang semakin menurun dari musim ke musim.

Sikap Rooney Yang Begitu Mengagumkan...

Perlu diakui bahawa Rooney antara nama besar yang pernah beraksi untuk kesebelasan utama United dalam sejarah kelab. Dari sudut bilangan trofi yang sudah beliau menangi bersama United pula, tiada apa yang perlu Rooney buktikan lagi kepada para pengkritiknya. Begitu juga statistik jaringannya selama 13 musim beliau berada di Old Trafford. Begitupun Rooney masih sama sepertimana Rooney yang saya lihat sejak beliau menendang bola buat pertama kali sebagai pemain United.

Beliau tidak suka digantikan apatah lagi memegang watak sebagai pengganti. Bagi Rooney bermain selama 90 minit, berlari ke setiap sudut padang, melakukan `tackle’, membuka ruang kepada rakan, menghidu aroma rumput ketika perlawanan dan menjaringkan gol adalah nikmat yang tidak terkira berbanding sekadar memerhatikan aksi rakan-rakan sepasukan dari tepi padang. Lihat juga bagaimana reaksi beliau selepas berjaya menjaringkan gol ke 250-nya untuk United ketika berdepan Stoke City, 21 Januari lalu.

Gol penyamaan jaringan beliau ke gawang Stoke City itu membolehkan Rooney memecahkan rekod jaringan Sir Bobby Charlton sekaligus meletakkan namanya sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa kelab. Bagi mana-mana pemain, menjaringkan 250 gol untuk kelab seperti United tentunya sesuatu yang perlu diraikan tetapi tidak bagi Rooney. Tiada perayaan berlebihan, tetapi sebaliknya beliau mengarahkan rakan sepasukan menyegerakan permainan apatah lagi United ketika itu memerlukan tambahan gol untuk memenangi perlawanan.

Momen Indah Yang Ditinggalkan Rooney...

Saya memilih detik 28 September 2004 sebagai momen paling indah bila bercakap tentang Rooney. Hatrik pada penampilan pertama menentang Fenerbahce oleh seorang pemain muda seperti beliau dan dilakukan pula dalam saingan Liga Juara-Juara merupakan momen yang sangat mengagumkan dan kekal diingati hingga sekarang. Tiga gol ke gawang Rustu Recber itu juga membolehkan Rooney memahat namanya sebagai penjaring hatrik termuda dalam sejarah saingan Liga Juara-Juara.

Selain dari itu tiada siapapun di kalangan penyokong United boleh melupakan gol jaringan `anti graviti’ yang dilakukan Rooney ketika berdepan Manchester City pada 2011. Ketika keputusan perlawanan masih terikat 1-1, dan ketika tempoh sebenar permainan berbaki 12 minit untuk ditamatkan, Rooney menyambut hantaran silang Nani menerusi teknik sepakan gunting yang sama sekali gagal diselamatkan Joe Hart. Gol itu merupakan gol yang ikonik dan imej Rooney ketika melakukan jaringan tersebut masih tidak jemu untuk ditatap hingga sekarang.

Terputusnya Sebuah Ikatan...

Ikatan 13 tahun antara Rooney dan United akhir terputus selepas beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Goodison Park dan menyertai semula Everton. Tujuh tahun lalu beliau mencetuskan panik di kalangan penyokong-penyokong United bila mengumumkan ingin meninggalkan kelab. Bagaimanapun Rooney kemudiannya melakukan pusingan U apabila memilih untuk terus kekal bersama United dan menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun lagi.

Selepas tujuh tahun, tiada apa yang mampu menghalang Rooney untuk pergi kerana beliau perlukan minit bermain yang lebih banyak berbanding apa yang dinikmatinya musim lalu. Untuk itu berpindah adalah jalan terbaik dan Everton adalah kelab paling ideal untuk beliau sertai. Pulang semula ke Everton dan menamatkan kariernya bersama kelab yang beliau cintai ketika zaman kanak-kanaknya adalah cara paling indah yang boleh dilakukan Rooney di penghujung kerjaya profesionalnya.


Di United pula, beliau akan sentiasa dikenang sebagai antara pemain terhebat pernah disaksikan dalam sejarah kelab. Ramai yang mengharapkan agar Rooney menamatkan kariernya di Old Trafford tetapi perkara itu nampaknya tidak berlaku. Seorang pejuang tulen seperti Rooney tidak betah melihat `pertempuran’ dari luar padang, jadi untuk berlaku adil biarkan sahaja beliau mencari haluan baharu. Untuk tempoh selama 13 tahun yang sangat mengagumkan, terima kasih buat anda sang legenda dan semoga anda terus sukses di sana...Glory Glory Manchester United!!!