Setakat ini tiga pemain baru berjaya
ditandatangani Jose Mourinho bagi menambah kekuatan skuadnya dalam menghadapi
cabaran musim 2017/18. Victor Lindelof di benteng pertahanan, Nemanja Matic
yang disebut-sebut sebagai pengganti ideal kepada Michael Carrick dan Romelu
Lukaku yang bakal memainkan peranan utama selaku penggempur di bahagian hadapan
merupakan tiga pemain yang berjaya diburu Mourinho setakat ini.
Meskipun berpuashati dengan kerja-kerja yang
dilakukan Ed Woodward selepas beliau berjaya mendapatkan Lindelof, Lukaku dan
Matic, Mourinho dilaporkan masih memburu seorang lagi pemain bagi melengkapkan
kuota empat pemain baharu sepertimana yang diinginkannya. Mengambilkira aset sedia
ada selain jangkaan bahawa kelab gagal menandatangani pemain baharu keempat, inilah
kesebelasan utama terbaik yang djangka bakal diturunkan Mourinho pada musim
2017/18 nanti.
Penjaga
Gol...
Musim lalu catatan clean sheet beliau menurun berbanding musim sebelumnya (14
berbanding 15 pada musim 2015/16), namun tiada siapa yang mampu menafikan
bahawa David De Gea merupakan antara penjaga gol terbaik pernah mengawal gawang
United. Tindak balas refleks pantasnya ketika menyelamatkan percubaan lawan
meletakkan beliau sebagai penjaga gol paling menarik untuk disaksikan aksinya.
De Gea nampaknya akan kekal mendominasi
posisinya sebagai penjaga gol utama pilihan Mourinho meskipun United turut
memiliki pilihan hampir setaraf yang ada dalam diri Sergio Romero di bangku
simpanan mereka. Untuk seorang pemain yang selama tiga tahun berturut-turut
tersenarai dalam `Team of the Season’
Liga Perdana, anda nampaknya tiada pilihan lain selain terus mengharapkan
keajaiban sepasang tangan De Gea sebagai penyelamat pintu gol United.
Pertahanan
Kanan...
Antonio Valencia masih tiada pencabar untuk
perebutan posisi pertahanan kanan berikutan penampilan konsistennya sepanjang
musim lalu. Dari seorang pemain yang disebut-sebut bakal meninggalkan kelab
ketika Mourinho memulakan hari pertamanya sebagai pengendali, Valencia kini
bertukar kepada pemain yang tidak tergantikan tempatnya dalam kesebelasan utama
United.
Kehadiran Romelu Lukaku bakal menjadikan
Valencia pemain yang sangat penting dalam kesebelasan Mourinho kerana
hantaran-hantaran silangnya dari sebelah kanan boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh
bekas penggempur Everton itu yang memang cukup terkenal menerusi kepakarannya
dalam menyudahkan peluang di udara.
Pertahanan
Tengah (Lindelof & Bailly)...
Walaupun penampilannya masih belum `sempurna’
untuk menggalas tugas sebagai peneraju benteng tengah United, saya percaya hanya
masa dan kemampuan beradaptasi bersama kelab baharu dengan pantas bakal
menjadikan Victor Lindelof pemain pertahanan tengah yang lebih bagus berbandng
aksi sepanjang pra musimnya.
Kombinasi beliau bersama Eric Bailly saling
melengkapi antara satu sama lain dan dijangka bakal memainkan peranan penting
dalam melindungi De Gea di pintu gol. Duet dua pemain ini mengingatkan kita
kembali kepada pasangan unggul Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic yang pernah mengawal
benteng pertahanan tengah United ketika era gemilang mereka.
Lindelof dan Bailly sepertimana anda tahu
memiliki kelajuan, kualiti hantaran serta kawalan bola yang bagus, jadi sudah
tentu jenis pertahanan seperti ini sangat berguna bagi menjayakan strategi
serang balas pantas atau melakukan `build
up’ dari belakang. Selain itu masih ada Marcos Rojo sebagai pilihan tetapi
buat masa ini saya lebih memilih kombinasi Lindelof/Bailly sebagai calon utama
mengisi posisi pertahanan tengah.
Pertahanan
Kiri...
Tidak sepertimana yang digembar-gemburkan
media, Matteo Darmian sebaliknya masih kekal sebagai pemain United malah
diturunkan Mourinho ketika skuadnya berdepan Real Madrid dalam perlawanan
merebut Piala Super UEFA, Rabu lalu.
Musim lalu beliau melakukan 12 penampilan
penuh (dari 18 aksi liga) untuk United dan dengan kecederaan panjang yang
membelenggu Luke Shaw, Darmian bakal menjadi pilihan utama di posisi pertahanan
kiri.
Dengan Antonio Valencia yang memiliki lebih naluri
menyerang di sebelah kanan, Darmian pula menawarkan keseimbangan menerusi
kemampuan bertahan beliau di sebelah kiri pertahanan United.
Pemain
Tengah Bertahan...
Di Philip II Arena, Nemanja Matic sudah
membuktikan mengapa kelab sanggup membayar £35 juta untuk mendapatkan
khidmatnya. Kukuh dalam melindungi benteng pertahanan ketika bertahan serta
kerja kerasnya dalam memberikan sokongan di barisan hadapan ketika menyerang
menjadikan penampilan pertama Matic dalam perlawanan kompetitif untuk United
menjadi bualan selepas tamat aksi menentang Real Madrid di Skopje.
Jika penampilan Matic sepanjang 90 minit aksi
menentang Real boleh dijadikan ukuran, kebimbangan di kalangan
penyokong-penyokong United tentang siapa pemain yang paling layak menggantikan
posisi Michael Carrick sepatutnya sudah berakhir. Bagi seorang pemain yang
terpaksa berlatih sendirian hampir sepanjang tempoh pra musim, penampilan
terpuji Matic ketika berdepan Real menjanjikan kepada kita bahawa bahagian
tengah United bakal lebih kompak menerusi kehadirannya.
Pemain
Tengah (Centre Midfielder)...
Pertembungan menentang Chelsea pada 16 April
lalu akan sentiasa diingati sebagai aksi terbaik pernah dipamerkan United pasca
persaraan Sir Alex Ferguson. Sudah tentu watak paling menonjol di sebalik
kemenangan 2-0 United ke atas juara Liga Perdana itu ialah Ander Herrera,
pemain yang sering anda lihat terlibat dalam `pertempuran’ di mana-mana
bahagian padang sepanjang 90 minit aksi yang berlangsung di Old Trafford itu.
Dalam perlawanan itu, Herrera bukan sahaja
berjaya melaksanakan tugasnya dengan berkesan ketika merantai setiap pergerakan
Eden Hazard, malah turut terlibat dengan kedua-dua gol United menerusi
umpanannya yang berjaya disudahkan Marcus Rashford dan gol yang dijaringkannya
di babak kedua.
Herrera merupakan seorang centre midfielder yang boleh
melaksanakan tugas bertahan dan menyerang dengan baik kerana memiliki defensive discipline yang tinggi serta
visi permainan yang bagus. Jangan lupakan juga dengan kemampuan beliau untuk
bertindak selaku pemain tengah bertahan jika Mourinho mahu menggunakan double pivot dalam sistem permainan
United.
Pemain
Tengah Menyerang...
Gelaran sebagai pemain termahal dunia yang
disandangkannya menjadikan prestasi Paul Pogba dalam setiap perlawanan
diperhatikan secara teliti. Jadi tidak hairanlah mengapa musim lalu penampilan
beliau di atas padang sering dijadikan sasaran kritikan sama ada oleh penyokong
sendiri mahupun penganalisa bolasepak meskipun secara keseluruhannya prestasi
Pogba bukanlah terlalu buruk.
Musim ini Pogba diramalkan bakal lebih menyerlah
berikutan adanya Nemanja Matic yang membolehkan beliau memainkan peranannya
sebagai pemain tengah menyerang dengan lebih bebas dan berkesan. Tanpa terbeban
dengan kerja-kerja bertahan (berikutan adanya Matic), kita bakal menyaksikan
potensi sebenar Pogba selaku pemegang watak nombor 10 United.
Sayap
Kanan Dan Kiri (Mkhitaryan & Rashford)...
Pada mulanya beliau disebut-sebut sebagai
pembelian yang gagal namun Henrikh Mkhitaryan secara perlahan-lahan membuktikan
bahawa beliau antara pemain United paling menyerlah musim lalu. Memiliki
kelajuan, kawalan bola yang bagus serta bijak mencipta peluang menjadikan
peranan Mikhi begitu penting terutamanya dalam kempen Liga Europa United. Mungkin
aksi menentang Real boleh dijadikan rujukan terbaik tentang siapa yang bakal
dipilih Mourinho untuk menggalas tugas di posisi sayap kanan.
Dengan andaian bahawa Ivan Perisic atau
Gareth Bale tidak akan mendarat di Old Trafford, Marcus Rashford dan Anthony Martial
merupakan pilihan terbaik untuk mengisi posisi sayap kiri United. Rashford
antara pemain United yang memiliki skill kawalan bola mempesonakan selain
dianugerahkan dengan kelajuan untuk menghuru-harakan pertahanan lawan serta
lebih konsisten berbanding Martial. Jadi saya memilih Rashford berbanding
Martial sebagai pemegang watak utama di posisi sayap kiri.
Penyerang...
Ketiadaan Zlatan Ibrahimovic dan kembalinya
Wayne Rooney ke Goodison Park menjadikan Romelu Lukaku sebagai sandaran utama bagi
menggempur kubu pertahanan lawan. United perlukan seorang penggempur yang mampu
menjaringkan 20 atau 30 gol semusim secara konsisten dan atas sebab itulah
mengapa Lukaku dibawa dari Everton dengan nilai sebanyak £75 juta.
Besar, kuat, bagus dalam perebutan bola di
udara dan laju...inilah jenis penyerang yang sangat digemari Mourinho. Jika
diambilkira aksi pra musim beliau bersama United, Lukaku nampaknya sudah
beradaptasi dengan baik sejak ketibaanya di Old Trafford sebulan lalu. Dengan
sokongan rakan-rakan yang lebih berkualiti di belakangnya, Lukaku sepatutnya tidak
berdepan masalah untuk terus meletakkan diri beliau dalam kelompok penggempur
paling digeruni di Liga Perdana.
Bersedialah
Untuk Musim Baharu...
Sama ada United berhasil atau tidak mendapatkan
`pemain keempat’ sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup, saya
percaya Mourinho dan barisan pemainnya sudah bersedia untuk berdepan dengan
cabaran musim baharu. Untuk musim kedua beliau di Old Trafford, misi utama yang
perlu disempurnakan Mourinho bukan lagi meletakkan kelab di posisi empat
teratas tetapi membawa kembali trofi Liga Perdana pulang ke Old Trafford
selepas kali terakhir Sir Alex Ferguson melakukannya empat tahun lalu.
Tambahan tiga pemain baharu (Lindelof. Lukaku
dan Matic) di samping aset sedia ada yang dimiliki Mourinho diharap mampu
menjadikan United pasukan yang jauh lebih kuat dan digeruni berbanding musim
lalu. Musim ini cabaran lebih besar menanti Mourinho dengan kembalinya kelab ke
saingan Liga Juara-Juara selain misi untuk cuba membawa trofi Liga Perdana
keluar dari Stamford Bridge. Adakah United perlukan tempoh dua tahun lagi untuk
kembali ke zaman gemilang mereka sepertimana yang di sebut Mourinho baru-baru
ini? Saya berharap kita tidak perlu menunggu selama itu...Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan