02 Januari 2018

`MISI WAJIB MENANG’ DI GOODISON PARK YANG BERJAYA DISEMPURNAKAN




Selepas tiga keputusan seri berturut-turut, Manchester United akhir kembali meraih tiga mata penuh dalam aksi Liga Perdana. Kemenangan (2-0) yang dilakar mereka ke atas Everton di Goodison Park menyaksikan barisan Jose Mourinho kembali ke posisi tangga kedua liga selepas mengumpul 47 mata dari 22 perlawanan. Bagaimanapun Chelsea berpeluang memintas kembali kedudukan United sekiranya mereka berjaya menewaskan Arsenal di gelanggang lawan dalam aksi yang bakal dilangsungkan awal pagi Khamis ini.

Berkunjung ke Goodison Park dalam keadaan skuad yang boleh dianggap pincang tanpa peledak utama bukanlah satu situasi yang bagus, tambahan pula mereka sangat perlukan kemenangan selepas tiga keputusan seri yang dicatatkan sebelum ini. Hukuman penggantungan tiga perlawanan yang dikenakan ke atas Ashley Young kerana menyiku Dusan Tadic juga seolah-olah satu petanda awal bahawa barisan Mourinho bakal mengharungi tempoh 90 minit yang penuh berliku.

Bagaimanapun kebimbangan kita akhirnya terlerai selepas jaringan Anthony Martial dan Jesse Lingard memastikan United meraih tiga mata penuh dalam aksi yang `wajib mereka menangi’ itu. Tanpa Lukaku, Mourinho mengubah formasi 4-2-3-1 yang sering digunakannya kepada 4-3-3 dimana Anthony Martial, Jesse Lingard dan Juan Mata membentuk trio di barisan hadapan. 

Dalam formasi ini (4-3-3), Martial yang sebelumnya sering digunakan Mourinho sebagai penyerang sayap kini bertindak selaku penyerang tengah manakala di bahagian tengah pula beliau menggandingkan Nemanja Matic, Ander Herrera dan Paul Pogba. Dalam formasi ini, sangat menarik melihat Pogba lebih banyak bergerak di sisi kiri di mana hasilnya beliau menyumbang dua bantuan gol yang disudahkan Martial dan Lingard.

Posisi dan Peranan Pogba...

Seperti yang saya sebutkan di atas, sepanjang 90 minit aksi di Goodison Park, Mourinho mengarahkan Pogba untuk lebih banyak bergerak di sisi kiri walaupun beliau sebenarnya memulakan permainan sebagai pemain nombor 10. Biarpun Pogba tidak memiliki kelajuan yang bagus untuk melakukan larian-larian dari sebelah tepi namun hantaran-hantaran yang dilakukannya sering menembusi garisan pertahanan Everton.

Apa yang dapat anda lihat dalam dua atau tiga perlawanan terakhir membuktikan bahawa Pogba merupakan pemain serba boleh dan multi posisi. Ketika Lingard bergerak ke tengah, Pogba pula akan beralih mengisi posisi di sebelah kiri. Kerjasama baik yang ditunjukkan Pogba dan Lingard akhirnya menyaksikan gol kedua terhasil sekaligus menamatkan sebarang sisa-sisa perjuangan Everton untuk cuba memaksa United berkongsi mata.

Everton Lawan `Favourite’ Untuk United...

Kekalahan terbaru yang dialami Everton awal pagi tadi menyaksikan The Toffees tewas 35 perlawanan dalam sejarah pertemuan mereka menentang United di Liga Perdana. Jumlah ini juga menyaksikan United muncul pasukan paling banyak menewaskan Everton sejak format Liga Perdana diperkenalkan berbanding mana-mana kelab Inggeris yang lain. Pada pertemuan pertama yang dilangsungkan di Old Trafford 17 September lalu, United menewaskan Everton (4-0) hasil jaringan Antonio Valencia, Henrikh Mkhitaryan, Romelu Lukaku dan Anthony Martial.

Sudah 435 Hari Pogba Tidak Tewas...

Menurut catatan yang dikeluarkan Opta, kemenangan yang dilakar United di Goodison Park awal pagi tadi menyaksikan Pogba sudah mengharungi 435 hari tanpa sebarang kekalahan dalam aksi liga. Kekalahan terakhir Pogba dalam saingan liga berlaku pada 23 Oktober 2016 ketika United tewas (0-4) kepada Chelsea dalam aksi yang dilangsungkan di Stamford Bridge. Dan itu juga bermakna sejak kekalahan besar di Stamford Bridge, Pogba sudah bermain 34 perlawanan di mana beliau berjaya membantu United menang 21 perlawanan dan 13 keputusan seri.

Lingard Sedang `On Fire’...

Dari seorang pemain yang sering memegang watak pengganti di babak kedua, Jesse Lingard tiba-tiba muncul antara pemain paling penting buat United sejak kebelakangan ini. Gol kedua United yang dijaringkan Lingard di Goodison Park menyaksikan beliau sudah menjaringkan 6 gol sejak Disember sekaligus muncul pemain kedua paling produktif selepas Harry Kane (8 gol) di Liga Perdana.

Lingard bukan lagi seorang pemain yang kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika bola berada di kakinya tetapi penampilan beliau kini lebih menyakinkan. Apa yang membuatkan penampilan Lingard di atas padang tiba-tiba berubah? Menurut Lingard keputusan Mourinho meletakkan beliau sebagai penyerang sayap antara sebab utama peningkatan prestasinya.

United Masih `Ok’ Tanpa Lukaku...

Sepanjang babak pertama aksi di Goodison Park, skrip hampir sama diperlihatkan United ketika mereka dipaksa berkongsi mata dalam tiga perlawanan sebelumnya. Tanpa Lukaku dan Ibrahimovic yang tersisih akibat kecederaan, mereka buntu dalam usaha menembusi benteng pertahanan Everton. Namun secara perlahan-lahan United mula mendapat rentak dan menerusi kepantasan yang dimiliki pemain-pemain di barisan hadapan, benteng pertahanan lawan mula goyah.

Hasilnya 12 minit selepas babak kedua disambung, Martial meledak gol pertama untuk meletakkan United di hadapan. Ketika lawan mula memberikan tekanan demi tekanan dalam usaha mereka mencari gol penyamaan, Lingard pula memilih detik yang tepat untuk menamatkan sebarang usaha barisan The Toffees memaksa United berkongsi mata menerusi gol kedua diminit ke-81. Dua gol yang menembusi gawang Jordan Pickford itu membuktikan bahawa United boleh bermain dengan baik meskipun mereka turun tanpa peledak utama.

Permulaan Tahun Baharu Yang Bagus...

Kemenangan yang diraih awal pagi tadi merupakan langkah permulaan tahun baharu yang bagus buat barisan United. Selepas sekadar mengutip tiga mata dari tiga perlawanan penghujung tahun lalu, United sebenarnya berdepan misi yang cukup getir di Goodison Park dalam usaha mereka untuk kembali meraih kemenangan.

Saya sendiri pada mulanya menganggap bahawa tiga mata yang mahu dikutip di Goodison Park merupakan satu `misi mustahil’ memandangkan United berkunjung ke sana dengan skuad pincang ditambah pula dengan jadual yang cukup padat. Menurut Mourinho, apa yang dipamerkan barisan pemainnya awal pagi tadi tidak langsung menunjukkan bahawa mereka keletihan.

Selepas perlawanan Mourinho berkata: “Ini bukan kerja pemain yang sedang keletihan dengan jadual terburuk yang anda berikan kepada kami. Selepas gol pertama, Everton memberikan reaksi tetapi kami tetap mengawal perlawanan. Tanpa Lukaku, kami terpaksa mengubah permainan kami dan saya gembira dengan hasilnya”.

Selepas tiga keputusan seri berturut-turut, kemenangan ke atas Everton memang sangat-sangat melegakan. Sehingga 16 Januari ini, kita boleh melupakan buat seketika aksi Liga Perdana kerana tumpuan kini beralih ke saingan Piala FA pula dengan Derby County lawan yang bakal cuba dilepasi United.

Apapun keputusan diakhir perlawanan menentang Derby County nanti, United sebenarnya sudah melepasi tempoh getir akibat jadual yang padat. Dan sudah tentu ketika saingan liga disambung semula pada 16 Januari nanti, kita mahu melihat United terus melakar kemenangan dengan menjadikan Stoke City pula mangsa seterusnya...Glory Glory Manchester United!!!

01 Januari 2018

BERAPA BANYAK WANG LAGI YANG PERLU DIBELANJAKAN MOURINHO UNTUK SAINGI CITY?




Tiga keputusan seri berturut-turut dan kini ketinggalan pula 15 mata di belakang Manchester City selaku pendahulu liga. Jadi apa yang perlu dilakukan United selepas ini? Jawapannya...lupakan sahaja sebarang peluang untuk menyaingi City dalam perebutan kejuaraan liga dan fokus untuk mengekalkan kedudukan di tangga kedua hingga akhir musim selain cuba memenangi kejuaraan Piala FA serta mara sejauh mungkin dalam saingan Liga Juara-Juara.

Gagal mengutip tiga mata penuh selepas Leicester City yang kekurangan seorang pemain menjaringkan gol penyamaan lewat permainan memang menyakitkan. Tuah nampaknya terus menjauhi United apabila dua hari selepas itu giliran Burnley pula memaksa barisan kendalian Jose Mourinho berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan terikat (2-2) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford 26 Disember lalu.

Keputusan di akhir perlawanan menentang Burnley memang tidak menepati keinginan kita (penyokong-penyokong United) untuk melihat kelab kembali bangkit meraih kemenangan selepas mereka pulang dengan hanya satu mata dari King Power Stadium. Aksi di Old Trafford 26 Disember lalu itu juga mungkin berakhir dengan lebih buruk jika tidak kerana jaringan penyamaan lewat permainan dari Jesse Lingard.

Awal pagi kelmarin (31 Disember), United akhirnya menutup tirai 2017 dengan satu lagi keputusan seri selepas mereka diikat Southampton (0-0). Ini merupakan keputusan seri kedua berturut-turut di Old Trafford sekaligus menyaksikan mereka cuma mampu mengutip tiga mata dari tiga perlawanan terakhir liga. Kecewa?...Ya anda sepatutnya berasa kecewa kerana keputusan seri menentang Southampton itu juga menyaksikan kedudukan United di tangga kedua kini dipintas Chelsea.

United Bukan Pasukan Yang Besar?...

Dalam sidang media beliau selepas tamat aksi menentang Burnley, Mourinho berkata: “Ada perbezaan yang signifikan antara kelab besar dengan pasukan yang besar. Sememangnya itu dua perkara yang berbeza”. Menurut Mourinho lagi, United sebenarnya masih dalam fasa membangunkan semula pasukan bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka.

Mourinho menekankan bahawa terdapat jurang besar antara kesebelasan yang dimilikinya berbanding barisan Pep Guardiola yang kini gah di tangga teratas liga. Menurut beliau, City disebut kesebelasan besar bukan kerana sejarah yang dimiliki mereka tetapi kerana perbelanjaan besar yang dikeluarkan pihak pengurusan The Cityzens bagi memantapkan pasukan.

"Manchester City membeli pemain bek sayap dengan harga seorang penyerang. Jadi ketika anda bercakap tentang kelab besar, dalam masa yang sama anda juga sebenarnya bercakap tentang sejarah kelab tersebut," kata Mourinho. Menyentuh tentang jumlah sebanyak £300 juta yang sudah beliau belanjakan sepanjang dua musim di Old Trafford, Mourinho berkata:

“Jumlah itu masih belum mencukupi. Harga pemain yang diletakkan untuk kelab besar memang berbeza berbanding kelab lain. Masalahnya sekarang kelab besar dihukum oleh pasaran kerana sejarah mereka, bukan disebabkan mereka kelab yang kaya. Buat masa ini pemain-pemain saya sudah melakukan apa yang mampu mereka lakukan dan mereka melakukannya dengan baik”.

The Cityzens Yang Lebih Lengkap...

Sama seperti Mourinho, musim ini juga merupakan musim kedua Pep Guardiola di kota Manchester. Musim lalu Mourinho berjaya menghadiahkan tiga kejuaraan untuk United (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) manakala Guardiola pula sekadar berpuashati menerusi pencapaian meletakkan City di tangga ketiga liga. Jadi musim lalu bolehlah dianggap sebagai musim yang sukses buat Mourinho berbanding Guardiola pada tahun pertama mereka di kelab masing-masing.

Bagaimanapun musim ini City di bawah kendalian Guardiola tampil dengan watak berbeza. Ketika saingan liga  memasuki fasa kedua, City kelihatan seperti kesebelasan yang hampir mustahil untuk dikalahkan oleh mana-mana lawan domestik mereka. Sejak kali terakhir Everton berjaya mengikat mereka dalam pertembungan yang dilangsungkan di Stadium Etihad 21 Ogos lalu, City sudah merakamkan 17 kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.

Melihat kepada konsistensi yang dipamerkan barisan The Cityzens, jurang 14 mata yang berjaya mereka cipta selaku pendahulu hampir mustahil untuk dipintas oleh mana-mana pesaing yang lain. Jurang mata yang terlalu besar selain prestasi konsisten dipamerkan barisan Guardiola meletakkan mereka sebagai calon tunggal menjulang kejuaraan liga musim ini. Apa yang dilakukan Guardiola hinggakan City muncul kesebelasan hampir sempurna musim ini?

Menurut David Weiner (jurnalis Fox Sports), rahsia di sebalik suksesnya perjalanan City musim ini ialah kerana pembelian bijak yang dilakukan Guardiola selepas gagal pada musim pertama beliau di Stadium Etihad. Bermula di posisi paling belakang, Guardiola membawa masuk Ederson Moraes selepas beliau kurang berpuashati dengan prestasi yang dipamerkan Claudio Bravo sepanjang musim lalu. Akhirnya Ederson memenuhi harapan beliau hingga menyaksikan gawang City sukar dibolosi.

Di benteng pertahanan, Guardiola memperkuatkan posisi tersebut dengan membawa masuk Kyle Walker, Benjamin Mendy dan Danilo. Walker yang sudah melakukan 18 penampilan (liga) untuk City saya anggap pembelian paling berbaloi yang dilakukan Guardiola musim ini dalam usahanya memantapkan benteng pertahanan The Cityzens. Kembalinya John Stones pada prestasi sebenar pula menyaksikan Guardiola memiliki begitu banyak pilihan di benteng pertahanannya.

Berbanding Guardiola, Mourinho pula menandatangani Eric Bailly (musim lalu) dan Victor Lindelof dalam usahanya meningkatkan kualiti di garisan pertahanan United. Bailly mampu beradaptasi dengan baik dalam dunia bolasepak Inggeris selepas semusim bersama United namun graf kemajuan Lindelof yang ditandatangani Mourinho dari Benfica Julai lalu pula bergerak agak perlahan. Di sisi bek kiri tiada pembelian baharu dilakukan Mourinho di mana Luke Shaw, Matteo Darmian, Ashley Young dan Daley Blind silih berganti mengisi posisi tersebut.

Dalam tempoh dua musim dilantik sebagai pengendali United, Mourinho dilihat agak agresif dalam usaha beliau memantapkan jentera tengah menerusi rekod dunia yang dicipta hasil dari pembelian Paul Pogba. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudiannya menandatangani Henrikh Mkhitaryan dari Borussia Dortmund bagi menambah kreativiti di bahagian tengah. Musim ini pula, Mourinho membawa masuk Nemanja Matic bagi memastikan bahagian tengah skuadnya lebih kompetitif berbanding musim lalu.

Walau bagaimanapun secara jujurnya saya juga terpaksa mengakui bahawa barisan tengah yang dimiliki Mourinho masih gagal menandingi Kevin De Bruyne, David Silva dan Raheem Sterling yang tampil memukau musim ini. Ketiga-tiga mereka memang bukan pembelian yang dilakukan Guardiola tetapi dengan kehadiran Ilkay Gundogan dan Bernardo Silva, City memiliki squad depth yang lebih berkualiti hinggakan prestasi mereka kekal konsisten meskipun ketika Guardiola melakukan penggiliran pemain.

Di bahagian hadapan pula, City memiliki lebih banyak opsyen selaku penjaring tanpa terlalu bergantung kepada kelibat Sergio Aguero menerusi kehadiran Leroy Sane dan Gabriel Jesus. Setakat ini gabungan kedua-dua pemain ini sudah menyumbang 14 gol untuk City. Berbanding City, United pula nampaknya terlalu bergantung kepada sentuhan Zlatan Ibrahimovic (musim lalu) dan kini Romelu Lukaku selaku peledak utama. Bagaimanapun prestasi terpuji yang dipamerkan Jesse Lingard dan Anthony Martial musim ini tetap kredit yang bagus untuk United.

United Perlu Bangkit...

Tiga keputusan seri berturut-turut bukanlah terlalu buruk berbanding tiga kekalahan berturut-turut tetapi enam mata yang tercicir dari tiga perlawanan terakhir juga menyaksikan United bukan sahaja ketinggalan 15 mata di belakang City tetapi kedudukan tangga kedua mereka kini dirampas Chelsea. Di belakang pula, Liverpool semakin menghampiri selepas mereka merakamkan dua kemenangan berturut-turut dari tiga aksi terakhir yang menyaksikan barisan Jurgen Klopp cuma dibezakan tiga mata dengan United.

United bakal memulakan aksi pertama mereka ditahun baru di Goodison Park dan sudah tentu perlawanan menentang Everton ini merupakan perlawanan yang wajib dimenangi oleh kesebelasan Mourinho nanti selepas tiga keputusan seri yang dicatatkan mereka penghujung tahun lalu. Misi mengejar City mungkin sudah boleh dilupakan namun kini perebutan untuk kedudukan tangga kedua liga bakal menjadi lebih menarik membabitkan lima pasukan (United, Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Spurs). Jika ada keajaiban kita mungkin juga boleh menyaksikan Burnley mencelah.

Saya tidak tahu bagaimanakah caranya Mourinho mengatasi masalah krisis di posisi penyerang tengah yang dihadapinya berikutan kecederaan yang dialami Lukaku dan Ibra. Sama ada Marcus Rashford atau Martial yang bakal digunakan beliau selaku penyerang tengah, Mourinho perlu membangkitkan kembali semangat barisan pemain-pemainnya agar tidak terus tercicir. Mungkinkah akan ada pembelian baharu yang bakal dilakukan Mourinho Januari ini bagi menjadikan skuadnya lebih kompetitif?

Saya berharap jika hal itu berlaku (United membeli pemain baharu), Mourinho mampu melakukan pembelian yang tepat sepertimana ketika Guardiola melakukan pelaburan bijak ke atas Ederson, Gabriel Jesus, Kyle Walker, Leroy Sane dan Kevin De Bruyne. Guardiola sudah menghabiskan £416 juta dalam usahanya menjadikan City skuad hampir sempurna, jadi saya tidak terkejut jika Mourinho turut melakukan hal yang sama. Jika bukan Januari ini, Mourinho pasti melakukannya pada musim panas nanti...Glory Glory Manchester United!!!

16 Disember 2017

ADAKAH JANUARI BAKAL MENJADI BULAN YANG SIBUK BUAT MOURINHO?




Kekalahan kepada Manchester City Isnin lalu (11 Disember) bukan sahaja menyaksikan United ketinggalan 11 mata di belakang jiran sekota mereka tetapi turut memberikan isyarat jelas kepada Jose Mourinho bahawa ada beberapa posisi yang perlu beliau perkuatkan sebaik jendela perpindahan pemain pertengahan musim dibuka Januari ini. Saya yakin kekalahan menyakitkan kepada City juga bakal menyaksikan penglibatan secara aktif United dalam mendapatkan pemain-pemain sasaran mereka sepanjang Januari ini.

Dengan saingan pusingan kalah mati Liga Juara-Juara akan berlangsung pada Februari ini serta perlumbaan mengejar kejuaraan liga yang pada pandangan saya masih lagi terbuka walaupun City mencipta jurang yang cukup luas, saya fikir Mourinho tidak akan berdiam diri dalam usaha mendapatkan beberapa pemain baharu bagi memperkasakan skuadnya. Untuk itu Mourinho diramalkan meletakkan posisi bek kiri, attacking midfielder dan central midfielder sebagai fokus utama untuk beliau perkuatkan.

Bek Kiri...

Dalam tempoh dua hingga tiga musim terakhir, Ashley Young, Matteo Darmian, Daley Blind, Marcos Rojo dan Luke Shaw antara nama yang pernah dan sering digunakan untuk mengisi posisi sebagai pertahanan kiri. Namun tiada satu pun di antara mereka mampu menguasai posisi tersebut secara dominan sebagaimana Antonio Valencia yang berada di posisi berlawanan.

Sepanjang tempoh tersebut juga, Louis Van Gaal dan kini Mourinho belum menemukan pemain yang layak untuk diletakkan di posisi pertahanan kiri secara tetap. Dari nama-nama yang disebutkan di atas, hanya Shaw sahaja boleh dianggap sebagai pertahanan kiri tulen, namun masa depan beliau sering diperdebatkan kerana kurangnya minit bermain sejak ketibaan Mourinho.

Rojo juga boleh memainkan peranan sebagai pertahanan kiri di mana posisi tersebut bukanlah asing buat beliau ketika menyarung jersi skuad kebangsaan. Bagaimanapun di Old Trafford, Rojo kini lebih selesa dan dikenali kerana aksi ampuhnya di posisi pertahanan tengah ketika dipasangkan sama ada bersama Chris Smalling, Eric Bailly, Phil Jones atau Victor Lindelof.

Bagi Blind dan Darmian pula, mereka antara pemain yang kini sedang menghitung hari-hari terakhir bersama kelab. Blind merupakan pemain serba boleh kerana kemampuan beliau beraksi sebagai pertahanan kiri, tengah dan juga pemain tengah bertahan namun sering berdepan isu stamina selain kekuatan fizikalnya turut diragui, begitu juga Darmian yang berdepan isu sama.

Untuk segala masalah di atas, Mourinho melihat kelibat Danny Rose sebagai kunci yang membuka kepada jalan penyelesaian. Jika Rose dijadikan sasaran, United juga diberitakan sanggup melepaskan Shaw kepada Spurs sebagai pertukaran. Keinginan tinggi Rose untuk menjulang trofi kejuaraan tampak sukar disekat Spurs dan Old Trafford merupakan antara destinasi terbaik untuk beliau tuju bagi menenuhi impiannya.

Attacking Midfielder...

Ketika Henrikh Mkhitryan mahu bersemuka dengan Mourinho bagi membincangkan masa depan beliau bersama kelab, apakah akan ada sebarang kemungkinan untuk kita menyaksikan seorang perancang baharu di bawa masuk Januari ini? Saya tidak pernah meragui kualiti yang dimiliki Mikhi tapi kita juga perlu mengakui bahawa bintang Armenia ini nampaknya masih belum mampu menyesuaikan dirinya dengan gaya bolasepak Inggeris sejak tiba di Old Trafford Julai tahun lalu.

Di awal musim, Mikhi muncul antara pemain United paling menyerlah ketika beliau diberikan peranan sebagai playmaker oleh Mourinho menerusi bantuan-bantuan gol serta peluang-peluang jaringan yang diciptanya. Dari seorang pemain yang memiliki kreativiti tinggi serta visi permainan menarik, prestasi Mikhi kemudiannya turun secara mendadak. Ketiadaan Pogba yang terpaksa berehat panjang kerana masalah hamstring antara faktor yang menyumbang kepada bungkamnya prestasi Mikhi.

Kurangnya sokongan dari bahagian tengah (terutamanya sepanjang ketiadaan Pogba) menyebabkan kreativiti dan visi permainan Mikhi terbantut. Ketika lawan berjaya mematikan setiap pergerakan Mikhi, bekalan hantaran-hantaran berkualiti untuk Romelu Lukaku juga semakin berkurangan lantas menjejaskan produktiviti warga Belgium itu selaku pembekal gol buat United. Untuk rekod, kali terakhir Mikhi mencipta bantuan gol ialah pada 26 Ogos lalu ketika berdepan Leicester City di Old Trafford. 

Jika Mourinho mahu mengekalkan Mikhi, meletakkan pemain ini kembali ke posisinya sebagai penyerang sayap adalah opsyen terbaik. Jika itu berlaku siapa yang bakal dibawa masuk untuk bertindak selaku pemain tengah menyerang? Mesut Ozil ialah calon paling hangat dan menjadi buah mulut penyokong-penyokong United sejak kebelakangan ini. Malah pada Oktober lalu Mourinho sendiri tampak yakin mampu menjalinkan semula kerjasamanya dengan playmaker Jerman itu.

Melepaskan Ozil ketika jendela perpindahan musim sejuk dibuka adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan Arsenal berbanding hilang khidmat pemain ini secara percuma musim panas nanti. Faktor Mourinho menyaksikan United antara kelab yang memiliki potensi paling besar dalam mendapatkan tandatangan Ozil memandangkan sejarah kerjasama yang pernah terjalin antara mereka ketika di Santiago Bernabeu dari 2010 hingga 2013.

Central Midfielder...

Masih wajar diberikan perhatian meskipun posisi ini bukan keutamaan paling atas untuk Mourinho perbaiki memandangkan beliau sudah memiliki pemain sekaliber Paul Pogba. Mourinho berjaya menemui gandingan ideal buat Pogba menerusi kehadiran Nemanja Matic tetapi United jelas bergelut di bahagian tengah ketika bekas pemain termahal dunia itu tersisih akibat kecederaan.

Meskipun Mourinho memiliki nama-nama lain seperti Ander Herrera, Marouane Fellaini serta potensi besar yang dimiliki Scott McTominay sebagai pengganti, kreativiti serta visi permainan Pogba ketika merancang gerakan sukar ditebus. Hal ini bukan andaian kerana kesemua kekalahan yang dialami United dalam saingan liga setakat ini berlaku ketika Pogba tidak bermain.

United sebenarnya tidak perlu menandatangani pemain baharu di posisi ini kerana mereka memiliki pilihan untuk memanggil Andreas Pereira pulang dari Stadium Mestalla. Pemain muda yang memiliki potensi besar ini sangat dikenali kerana kemampuan beliau melakukan hantaran-hantaran jauh yang tepat, bijak menyusun gerakan manakala kelajuan yang dimilikinya membolehkan United mengubah transisi bertahan kepada menyerang dengan pantas.

Kemungkinan Yang Bakal Berlaku...

Saya yakin terdapat potensi yang sangat besar untuk kita melihat United `terjun’ dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini. Kekalahan kepada City merupakan isyarat paling jelas kepada Mourinho bahawa beliau perlu memperkasakan beberapa posisi dalam skuadnya jika mahu melihat United kekal dalam misi menghambat pendahulu carta liga itu pada baki aksi saingan musim ini.

Mesut Ozil dan Danny Rose antara nama yang sering disebut-sebut punya potensi besar untuk di bawa ke Old Trafford Januari ini, namun dalam masa sama sebarang kemungkinan lain juga boleh berlaku. Joao Mario antara pemain yang dikatakan mampu memberi dimensi baharu di bahagian tengah United hingga Mourinho diberitakan sanggup meletakkan Mikhi sebagai pertukaran dalam misinya membawa pemain ini keluar dari San Siro.

Ozil, Rose dan Joao Mario antara pemain yang disasarkan Mourinho tetapi tidak mungkin untuk United membawa masuk tiga pemain baharu di pertengahan musim. Ketika kedudukan City masih berpotensi untuk dikejar, pusingan kalah mati Liga Juara-Juara yang bakal menanti serta trofi domestik (Piala FA dan Piala Liga) yang boleh dimenangi, tiada apa yang lebih menggembirakan Mourinho selain berjaya mendapatkan salah seorang pemain sasarannya Januari ini...Glory Glory Manchester United!!! 

11 Disember 2017

CITY YANG SEMAKIN MENJAUH....WAJARKAH UNITED KIBARKAN BENDERA PUTIH?




Perlawanan yang menarik tapi berakhir dengan kekecewaan. Itu mungkin rumusan paling tepat bagi menggambarkan apa yang berlaku sepanjang 90 minit aksi Manchester Derby di Old Trafford awal pagi tadi (11 Disember). Selepas mengharungi 40 perlawanan di gelanggang sendiri tanpa kalah, rekod kebal United di Old Trafford akhirnya ditamatkan City selepas barisan Pep Guardiola mengulangi pencapaian sama yang dilakukan mereka musim lalu menerusi kemenangan 2-1 yang dilakar mereka.

Seperti diramalkan sebelum perlawanan, United membiarkan bola dikuasai City sambil sesekali cuba mencari ruang untuk melakukan serang balas pantas. Menerusi pendekatan tersebut, United cuma mampu melepaskan percubaan pertama mereka ke arah gawang City menerusi Chris Smalling di minit ke-44, seminit selepas David Silva meletakkan pelawat di depan. Tiga minit selepas percubaan Smalling, kesilapan yang dilakukan Fabian Delph akhirnya memberikan ruang buat Marcus Rashford menyamakan kedudukan.

Tanpa Pogba United Kalah...

Tiga kekalahan yang dialami United musim ini (di tangan Huddersfield Town, Chelsea dan City) berlaku semasa ketiadaan Paul Pogba. Tanpa Pogba, United hilang kreativiti di bahagian tengah dalam melakukan gerakan kerana Nemanja Matic dan Ander Herrera lebih cenderung melepaskan umpanan-umpanan terus ke bahagian hadapan atau ke sisi kedua-dua sayap.

Pogba akan terlepas dua lagi perlawanan selepas ini, jadi penting bagi Jose Mourinho mencari jalan untuk memastikan United boleh `hidup’ tanpa Pogba ketika mereka berdepan Bournemouth dan West Bormwich Albion nanti. Kehilangan sentuhan Pogba sangat dirasai sepanjang aksi menentang City meskipun selaku pengganti Herrera sudah melaksanakan tanggungjawab beliau dengan sebaik mungkin.

United Lebih Bagus Ketika Mereka Ketinggalan...

Sepanjang babak pertama, City menguasai 72% penguasaan bola berbanding United (28%). Statistik ini sudah cukup menggambarkan betapa barisan Guardiola tampil lebih dominan meskipun mereka bermain di gelanggang lawan. United akhirnya bermain dengan baik dan mula tampil menyerang sebaik David Silva menjaringkan gol pembukaan pelawat di minit ke-43.

Selepas membiarkan City menguasai permainan selama 43 minit, United akhirnya mula memberikan tekanan kepada lawan sepanjang tempoh empat minit baki babak pertama (termasuk dua minit tambahan masa) dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Di awal babak kedua, skrip hampir sama berulang sekali lagi. City masih menguasai permainan dan memegang penguasaan bola hingga menyaksikan United hanya mampu melepaskan percubaan pertama mereka 14 minit selepas babak kedua di sambung. Itu pun selepas City kembali di depan menerusi gol jaringan Nicolas Otamendi.

Selepas ketinggalan buat kali kedua, tiada apa yang mampu dilakukan United kecuali terus memberikan tekanan kepada lawan. Hasilnya mereka melepaskan lima percubaan ke arah gawang lawan. Peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan hadir di penghujung permainan namun percubaan jarak dekat Romelu Lukaku diselamatkan Ederson.

Lukaku Gagal Menyerlah Dalam Perlawanan Besar...

Dalam formasi 4-2-3-1, seperti biasa Lukaku memainkan peranan sebagai target man sambil disokong trio Marcus Rashford, Jesse Lingard dan Anthony Martial di belakangnya. Sepanjang perlawanan Lukaku antara pemain United yang saya lihat bekerja cukup keras di atas padang. Bagaimanapun pendekatan permainan yang digunakan United menyaksikan beliau gagal memberikan impak sekaligus dilihat agak tenggelam sepanjang permainan.

Sepanjang babak pertama, Lukaku cuma menyentuh bola sebanyak lima kali manakala sepanjang tempoh 90 minit permainan pula beliau cuma mampu melepaskan dua percubaan. Fungsi utama Lukaku dalam perlawanan ini sebenarnya lebih kepada penyambung gerakan-gerakan serang balas United terutamanya menerusi duel di udara. Taktik ini tidak berjalan lancar dan tambah malang kesilapan yang dilakukan beliau mengakibatkan gol kedua City terhasil.

Penampilan Lukaku sepanjang 90 minit perlawanan mengesahkan lagi reputasi beliau sebagai `kaki buli pasukan kerdil’. Meskipun beliau sebenarnya memiliki catatan yang baik ketika berdepan City sebelum ini, Lukaku jelas gagal menyerlah dalam aksi Manchester Derby pertamanya. Gagal menjaringkan sebarang gol serta satu bantuan gol, itulah catatan beliau ketika berdepan lima kelab besar Liga Perdana yang lain (Liverpool, Chelsea, Tottenham Hotspurs, Arsenal dan City).

Guardiola Yang Lebih Unggul...

Kekalahan terbaru yang dialami United kepada City bukan sahaja menghentikan perjalanan 40 perlawanan tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri tetapi turut memanjangkan rekod buruk Mourinho ketika berdepan Guardiola. Lebih setahun lalu, City muncul pasukan terakhir yang berjaya menewaskan United di Old Trafford dan kini mereka juga muncul pasukan pertama yang berjaya menamatkan rentetan 40 aksi tanpa kalah barisan Mourinho di gelanggang sendiri.

Bagi Mourinho dan Guardiola, aksi awal pagi tadi merupakan pertembungan ke-20 membabitkan mereka selaku pengendali. Dari jumlah tersebut, Mourinho hanya mampu menewaskan skuad bimbingan Guardiola sebanyak empat kali, seri tujuh dan tewas sembilan kali. Kemenangan City di Old Trafford awal pagi tadi juga menyaksikan Guardiola muncul individu paling banyak menewaskan Mourinho di atas padang berbanding mana-mana pengendali.

Bendera Putih...

Penting buat United untuk memenangi Manchester Derby kali ini kerana sebarang keputusan akan menyaksikan City selesa di hadapan selaku pendahulu. Kini hasil kemenangan yang diraih The Cityzens menyaksikan mereka berjaya melebarkan jurang kepada 11 mata di tangga teratas liga. Menyaksikan kepada penampilan konsisten barisan Guardiola setakat ini, sukar buat mana-mana pencabar yang lain untuk mengejar atau sekurang-kurangnya memberikan tekanan kepada mereka.

Antonio Conte awal-awal lagi sudah mengibarkan bendera putih selepas kekalahan yang dialami skuadnya kepada West Ham, jadi wajarkah Mourinho melakukan hal yang sama selepas menyaksikan United kini ketinggalan 11 mata di belakang City? Sejujurnya masih terlalu awal untuk meletakkan City selaku juara baharu Liga Perdana kerana masih ada 22 perlawanan liga yang perlu diharungi kesemua pasukan.

Segala kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh lima bulan sebelum saingan liga berakhir, jadi berharaplah agar City tidak terus konsisten seperti sekarang. Jika Guardiola berjaya mengekalkan City selaku pasukan yang sukar dikalahkan, tugas buat mana-mana pencabar lain mengejar mereka menjadi tugas yang hampir mustahil dilaksanakan. Mourinho yang sangat terkenal dengan `aroma’ optimisme dalam diri beliau juga mengakui akan hakikat itu.

Jika Mourinho mendapati City tidak lagi mampu dikejar, misi untuk mengekalkan kedudukan United ditangga kedua bakal menjadi misi yang wajib disempurnakan beliau. Selain dari itu masih ada tiga lagi kejuaraan (Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA) yang boleh dijadikan sasaran, jadi nasihat saya kepada anda, bawa bertenang dan nikmati sahaja baki saingan musim ini.

Mungkin buat masa ini City kelihatan seperti barisan yang hampir sempurna dan mustahil untuk dikejar, tetapi saya masih percaya bahawa keajaiban boleh berlaku pada bila-bila masa. Jika keajaiban yang kita harapkan tidak berlaku, pasrah saja bahawa musim ini bukan musimnya untuk United kembali menjulang kejuaraan liga selepas kemarau selama empat tahun. Jika Conte sudah mengibar bendera putih, saya berharap Mourinho pula tidak begitu...Glory Glory Manchester United!!!

09 Disember 2017

IBU SEGALA PERLAWANAN ATAU SATU LAGI AKSI BLOCKBUSTER YANG MEMBOSANKAN




Penguasaan dua kelab Manchester dalam saingan liga musim ini bakal menyaksikan aksi Manchester Derby yang dilangsungkan di Old Trafford Isnin ini perlawanan terbesar dan menarik dalam sejarah perseteruan membabitkan Manchester United dan Manchester City. Pertembungan ke-152 dalam sejarah kedua-dua kelab itu juga menjadi pentas terbaik buat United kembali mengejar dan mencantas kelebihan lapan mata yang dimiliki skuad The Citizens itu selaku pendahulu carta liga.

Kunjungan City ke Old Trafford kali ini berbekal keyakinan cukup tinggi selaku calon utama menjulang kejuaraan liga selepas mereka mengharungi 15 perlawanan liga tanpa kalah. Hanya Everton muncul satu-satunya pasukan yang berjaya memaksa The Citizens berkongsi mata selepas terikat 1-1 pada aksi yang dilangsungkan di Stadium Etihad 21 Ogos lalu. Bagi United pula, empat kemenangan dari empat aksi terakhir (liga) mereka satu isyarat yang kuat bahawa City bakal berdepan `gelora besar’ sepanjang tempoh 90 minit di Old Trafford nanti.

Aksi Barisan Mahal...

United dan City sudah menghabis ratusan juta Pound dalam usaha mereka memperkuatkan barisan masing-masing terutamanya dalam tempoh dua musim terakhir. Manchester Derby kali ini juga dikatakan perlawanan termahal dalam sejarah bolasepak jika diambilkira nilai keseluruhan kesebelasan pemain yang dimiliki kedua-dua kelab. Dianggarkan kesebelasan kedua-dua pasukan yang bakal beraksi nanti bernilai £650 juta.

Rekod Aguero...

Kevin De Bruyne, David Silva dan Gabriel Jesus antara pemain City yang pastinya menjadi sorotan dalam perlawanan ini namun saya meletakkan Sergio Aguero sebagai pemain yang perlu diberikan `perhatian istimewa’ oleh benteng pertahanan United. Sejak ditandatangani City pada 2011, Aguero sudah meledak empat gol dari tiga penampilannya di Old Trafford.

Empat gol yang diledak Aguero di Old Trafford berlaku dalam pertemuan liga pada musim 2011/12 (menang 6-1), musim 2012/13 (menang 2-1) dan musim 2014/15 (kalah 2-4). Bagaimanapun Aguero tidak diturunkan dalam dua kunjungan terakhir City di Old Trafford (dalam saingan liga) kerana masalah kecederaan dan penggantungan.

Trend Positif Lukaku...

Jika Aguero memiliki rekod jaringan yang baik ketika berdepan United di Old Trafford, kita juga sebenarnya boleh mengharapkan `trend’ sama ditampilkan Romelu Lukaku. Satu gol yang dijaringkan Lukaku ketika Everton membelasah City (4-0) dalam aksi yang dilangsungkan di Goodison Park musim lalu sebenarnya melanjutkan `trend’ positif beliau setiap kali berdepan skuad The Citizens.

Secara keseluruhan, Lukaku sudah menjaringkan tujuh gol dan mencipta lima bantuan gol dari 12 aksi menentang City. Musim lalu dalam dua aksi menentang Everton (di Etihad dan di Goodison Park), Guardiola menurunkan John Stones dalam usaha City menghentikan Lukaku namun tetap tidak berhasil menyekat beliau dari membocori pintu gol mereka.

Untuk derby kali ini sangat menarik untuk kita lihat siapa pemain yang bakal ditugaskan Guardiola bagi merantai pergerakan Lukaku. Nicolas Otamendi dan Vincent Kompany antara pilihan yang dimiliki Guardiola. Dua pemain ini merupakan pemain pertahanan berpengalaman tetapi mereka juga dikatakan memiliki kelemahan dalam situasi perebutan bola di udara yang boleh dimanfaatkan Lukaku.

Siapa Pengganti Pogba?...

United akan mengharungi tiga perlawanan tanpa kelibat Pogba bermula dengan aksi `Manchester Derby’ kerana layangan kad merah yang diterimanya ketika berdepan Arsenal Ahad lalu. Satu tugas sukar buat Mourinho dalam memilih siapa pemain paling layak dan sesuai bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pogba di bahagian tengah United.

Dalam stok simpanannya, Mourinho memiliki Marouane Fellaini dan Ander Herrera, dua calon yang saya anggap paling tepat untuk digandingkan bersama Nemanja Matic nanti. Memandangkan Fellaini tidak beraksi dalam dua perlawanan (liga) terakhir United selain tahap kecergasannya masih diragui, saya fikir Herrera adalah calon paling berpotensi untuk diletakkan bersama Matic di bahagian tengah.

City Bukanlah Terlalu Sempurna...

Saya akui musim ini City muncul pasukan paling menarik untuk disaksikan aksi mereka di atas padang. Menerusi sentuhan Guardiola, City mempamerkan corak hantaran-hantaran pendek yang menarik persis Barcelona ketika mereka dibawah kendalian beliau. 13 kemenangan berturut-turut tampak seperti mereka pasukan yang sempurna tetapi tanda-tanda `keretakkan’ sudah mula terlihat dalam tiga penampilan (liga) terakhir mereka.

Meskipun tewas, Huddersfield Town, Southampton dan West Ham yang menjadi tiga lawan terakhir City berjaya mendedahkan kelemahan sebenar barisan Guardiola. Apa sebenarnya yang berlaku dalam tiga perlawanan tersebut? Tiga kelab yang berada di kelompok pertengahan dan bawahan liga itu sebenarnya berjaya menunjukkan kepada lawan-lawan City selepas ini cara terbaik bagaimana gawang Ederson boleh dibolosi.

Ketika berdepan Huddersfield, Southampton dan West Ham, gawang City dibolosi tiga kali di mana dua dari tiga gol yang dilepaskan Ederson berpunca dari sepakan sudut. Ketika berdepan Southampton, gol yang dijaringkan Oriol Romeu merupakan gol padang, tetapi sepanjang perlawanan terdapat dua peluang keemasan yang dilepaskan Wesley Hoedt dan Virgil Van Dijk dicipta dari situasi sepakan sudut.

Kelemahan City Yang Boleh Dimafaatkan United...

Tiga gol yang membolosi gawang City dari tiga aksi liga terakhir mereka termasuk peluang yang dilepaskan Hoedt berpunca dari gerakan dan hantaran dari sisi kiri. Mungkinkah David Wagner, Mauricio Pellegrino dan David Moyes berjaya mengesan sisi kiri City sebagai titik lemah yang boleh dimanfaatkan mereka? Jika andaian ini benar, Mourinho juga mungkin boleh meniru pendekatan yang digunakan Wagner, Pellegrino dan Moyes dalam aksi Manchester Derby nanti.

Mungkin juga menyedari bahawa kelemahan City dalam menangani hantaran-hantaran silang, Guardiola mengarahkan pemain-pemainnya untuk cuba meminimakan lawan dari melakukan hantaran-hantaran tersebut terus ke dalam petak penalti mereka. Menurut statistik yang dikeluarkan WhoScored, City hanya membenarkan lawan melakukan purata sembilan hantaran silang ke kubu mereka dalam setiap perlawanan.

Apa yang menariknya United pula merupakan kesebelasan yang mengutamakan gerakan-gerakan dari sisi tepi ketika melancarkan serangan. Dari statistik yang dikeluarkan WhoScored juga, United melepaskan purata 22 hantaran silang per perlawanan sekaligus muncul pasukan ketiga di belakang Spurs (24) dan West Ham (22). Ketika beraksi di gelanggang sendiri pula, purata hantaran-hantaran silang yang dilakukan United meningkat kepada 28 kali per perlawanan.

Statistik tersebut tidak terhenti setakat ini sahaja kerana United juga muncul antara pasukan yang cukup mahir dalam memanfaatkan peluang dari sepakan sudut. Empat gol yang dijaringkan United dari sepakan sudut meletakkan mereka di tangga ketiga di belakang Stoke City dan Leicester City sebagai barisan yang pakar dalam menyempurnakan peluang dari situasi tersebut.

Bagaimana pula kejayaan United dalam memanfaatkan peluang ketika mereka dihadiahkan sepakan percuma? Setakat ini United berjaya menjaringkan empat gol dari situasi sepakan percuma di mana tiga daripadanya adalah menerusi tandukan. Lapan gol yang dijaringkan United menerusi sepakan sudut dan percuma menyaksikan mereka muncul pasukan paling banyak menjaringkan gol dari situasi bola mati setakat ini.

Apa Yang Bakal Berlaku Nanti...

Ketajaman jentera serangan City memang menggerunkan selepas mereka meledak 46 gol dari 15 perlawanan atau purata tiga gol per perlawanan. Di bahagian belakang pula, 10 gol yang dilepaskan benteng pertahanan mereka menyaksikan City muncul pasukan kedua paling kurang dibolosi selepas United. Sepertimana musim lalu, City di bawah kendalian Guardiola mementingkan penguasaan bola dalam permainan mereka tetapi musim ini mereka tampak lebih menggila.

Purata 66.4% penguasaan bola dalam setiap perlawanan menerusi umpanan-umpanan pendek memang menjadi kekuatan kepada permainan City di mana hasilnya 36 dari 46 gol yang mereka jaringkan berlaku dalam situasi permainan terbuka. Lebih tepatnya The Citizens tidak bergantung kepada hantaran-hantaran silang atau jauh untuk menjaringkan gol tetapi sebaliknya setiap peluang dimanfaatkan menerusi umpanan-umpanan pendek di depan petak penalti lawan.

Melihat kepada pendekatan dan falsafah bolasepak Mourinho, saya yakin United akan membiarkan City menguasai bola dalam aksi derby nanti. Sekali lagi disiplin ketika bertahan sambil melakukan serang balas pantas ketika berpeluang bakal menjadi tunjang kepada permainan United. Statistik memang menceritakan kebenaran kerana dari enam kelab tangga teratas liga, United muncul pasukan yang memiliki peratus penguasaan bola paling rendah (52% per perlawanan).

Melihat kepada pendekatan kedua-dua pengendali, saya berharap agar anda tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk menyaksikan pertarungan Manchester Derby kali ini sebagai pertarungan yang epik. City menerusi pendekatan permainan possession football yang diterapkan Guardiola adalah lawan paling sempurna bagi menguji sejauh mana kebalnya United dalam mempertahankan rekod 40 perlawanan tanpa kalah mereka di Old Trafford.

Huddersfield, Southampton dan West Ham berjaya mendedahkan kelemahan City, kini terpulang kepada United untuk membuktikan bahawa barisan Guardiola bukanlah terlalu sempurna untuk berdepan kekalahan pertama mereka. Jika mahu menang, Mourinho perlu memastikan bukan sahaja benteng pertahanannya kental menyerap asakan tetapi beliau juga perlu berani mengarahkan pemainnya untuk keluar menyerang...Glory Glory Manchester United!!!

07 Disember 2017

“SESIAPA PUN TIDAK GEMBIRA BERTEMU UNITED”




Manchester United akhirnya mara ke pusingan kalah mati (16 pasukan) Liga Juara-Juara selepas jaringan Romelu Lukaku dan Marcus Rashford menyaksikan mereka memadam kelebihan awal CSKA Moscow untuk menang (2-1) di Old Trafford awal pagi semalam (6 Disember). Kemenangan ini juga menyaksikan United mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara Kumpulan A selepas memungut 15 mata manakala wakil Switzerland (FC Basel) di posisi kedua.

Kemenangan yang diraih ke atas CSKA Moscow itu juga menyaksikan United berjaya melebarkan catatan rekod tanpa kalah mereka ketika beraksi di Old Trafford. Sejak kekalahan kepada Manchester City dalam saingan liga 10 September 2016 yang lalu, United sudah mengharungi 40 perlawanan (dalam semua kejohanan) di Old Trafford tanpa sebarang kekalahan.

Jumlah ini juga sebenarnya melangkaui catatan 37 perlawanan tanpa kalah di gelanggang sendiri yang pernah dilakar barisan Sir Alex Ferguson pada 2011. Bagaimanapun 40 perlawanan tanpa kalah di Old Trafford bukanlah catatan peribadi terbaik Jose Mourinho kerana semasa di Stamford Bridge, beliau berjaya membawa Chelsea mengharungi 60 perlawanan tanpa kalah ketika mereka beraksi di gelanggang sendiri.

United Dengan Sistem Tiga Pertahanan...

Meletakkan tiga pemain pertahanan bukanlah pendekatan yang asing untuk United kerana di era Louis Van Gaal, beliau sering menggunakan formasi 3-5-2 sebagai pilihan utama. Dalam tiga perlawanan terakhir, Mourinho memilih untuk meletakkan tiga pemain pertahanan menerusi formasi 3-4-3 atau 3-4-1-2 pilihan beliau. Menerusi pendekatan menggunakan sistem tiga pemain pertahanan, United menang tiga perlawanan terakhir mereka (menewaskan Watford, Arsenal dan CSKA Moscow).

Pendekatan menggunakan tiga pemain pertahanan sebenarnya bukanlah asing juga buat Mourinho kerana ketika masih di Bernabeu, skema tiga pemain pertahanan sering digunakan beliau terutamanya ketika berdepan lawan yang meletakkan dua pemain di barisan hadapan. Taktik ini berhasil dan sesuai dengan falsafah bolasepak Mourinho yang mengutamakan serang balas pantas kerana ia sangat efisien dalam menghasilkan gol dan solid ketika bertahan.

Tiga Aksi Tanpa Pogba dan Kembalinya Shaw...

Berdepan CSKA Moscow merupakan aksi terakhir Paul Pogba untuk United sebelum beliau mula menjalani penggantungan tiga perlawanan akibat layangan kad merah yang diterimanya ketika berdepan Arsenal Ahad lalu. Sudah tentu ketiadaan Pogba sebagai penggerak jentera tengah akan dirindui saat United menerima kunjungan Manchester City hujung minggu ini.

United akan merindui visi permainan tinggi Pogba yang setakat ini sudah menyumbang enam bantuan gol hanya menerusi 12 penampilan (dalam semua kejohanan). Catatan ini juga menyamai pencapaian yang dilakukan beliau sepanjang musim lalu dari keseluruhan 51 penampilan untuk United. Selain Pogba, Luke Shaw juga antara pemain yang menonjol di sebalik kemenangan United ke atas CSKA Moscow.

Selepas berehat panjang, Shaw seolah-olah mahu membuktikan kemampuan sebenarnya kepada Mourinho menerusi prestasi cemerlang yang ditampilkan bek kiri itu. Mengikut statistik sepanjang babak pertama, Shaw muncul pemain United paling banyak menyentuh bola di kawasan lawan (4 kali), dan jumlah ini dua kali ganda mengatasi catatan yang dilakukan Romelu Lukaku.

Mengulas tentang prestasi Shaw, Mourinho berkata: “Kerja-kerja yang dilakukan Shaw dalam situasi offensif sangat-sangat bagus. Dia menunggu waktu yang begitu lama untuk kembali bermain. Tidak mudah untuk memberikan peluang kepada pemain yang tidak bermain selama berbulan-bulan. Sejujurnya saya berpuashati dengan prestasi Shaw”.

Meneka Lawan United Di Pusingan Kalah Mati...

Antara kriteria utama undian yang bakal dilangsungkan Isnin ini (11 Disember) mensyaratkan tiada sebarang pertembungan sesama kelab senegara di pusingan kalah mati nanti. Ini bermakna kita sudah boleh mengeluarkan Liverpool, Manchester City, Spurs dan Chelsea dari senarai selain FC Basel (yang berada sekumpulan dengan United dalam saingan peringkat kumpulan).

Selaku juara Kumpulan A, United juga berjaya mengelak dari diundi bertemu dengan juara kumpulan yang lain (Paris St Germain, Roma, Barcelona dan Besiktas). Jadi kelab mana yang bakal berdepan United di pusingan kalah mati nanti? Jawapannya ialah sama ada Real Madrid, FC Porto, Shakhtar Donetsk, Sevilla, Juventus atau Bayern Munich (selaku runner up di peringkat kumpulan).

Jika boleh memilih sudah pasti kita mahu menyaksikan United berdepan Shakhtar Donetsk atau Sevilla terlebih dahulu, namun kemungkinan untuk United diundi berdepan gergasi Eropah seperti Real Madrid, Juventus atau Bayern Munich juga sangat besar. Dalam situasi sekarang, tiada apa yang mampu dilakukan Mourinho selain menanti hasil keputusan undian sebelum mengetahui siapa lawan sebenar barisan kendaliannya nanti.

Siapapun Tidak Gembira Bertemu United...

Ketika takdir United bakal ditentukan Isnin ini, Mourinho tampak seperti `tidak kisah’ dengan lawan mana yang bakal dihadapi barisan pemainnya di pusingan kalah mati (16 pasukan) nanti. Selepas kembali semula ke saingan tertinggi kelab-kelab Eropah dan mara ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan, United perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk kembali bertempur dengan barisan elit Eropah yang lain.

Sepertimana Mourinho, saya yakin Zinedine Zidane, Jupp Heynckes dan Massimiliano Allegri juga waspada dengan sebarang kemungkinan barisan kendalian mereka diundi berdepan United. Saya sangat tertarik dengan kata-kata Mourinho dalam satu sidang media bahawa sesiapa pun tidak akan gembira jika mereka terpaksa bertemu United.

Ya....selaku antara kelab elit Eropah, United juga wajar dihormati serta ditakuti. Untuk itu barisan The Red Devils juga sewajarnya bersedia berdepan sebarang kemungkinan untuk dipertemukan dengan Real Madrid, Bayern Munich atau Juventus. Percayalah bahawa Zidane, Heynckes atau Allegri pasti tidak akan gembira sekiranya takdir menentukan bahawa barisan kendalian mereka terpaksa bertemu United...Glory Glory Manchester United!!!