23 Januari 2019

`THE SPECIAL ONE' YANG TIDAK LAGI ISTIMEWA?




Kira-kira 15 tahun yang lalu bertempat di Arena AufSchalke, Jose Mourinho menggoncang dunia bolasepak menerusi kemampuan beliau mengemudi FC Porto menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah buat kali kedua dalam sejarah kelab gergasi dari Portugal itu.

Setahun sebelum kejayaan di Gelsenkirchen itu, Mourinho sudahpun  memberikan petanda bahawa beliau bakal muncul antara pengurus berprofil tinggi menerusi kejayaan membawa FC Porto menjulang trofi UEFA Cup (sekarang Liga Europa).

Kejayaan Mourinho dan skuad bimbingannya menewaskan AS Monaco di Arena AufSchalke itu tiket buat beliau mengetuk pintu ke saingan liga lebih elit berbanding Primeira Liga. Beliau akhirnya memilih untuk menjadi sebahagian anggota reformasi Roman Abramovich di Stamford Bridge bagi mencabar dominasi Manchester United dan Arsenal di Liga Perdana.

Yang Istimewa

Mourinho memang diakui merupakan salah seorang antara jurutaktik terbaik di dunia ketika zaman keemasannya selaku pengendali. Di Stamford Bridge, beliau bukan sahaja berjaya meletakkan Chelsea sebagai kuasa baharu bolasepak Inggeris malah sering membuatkan lagenda seperti Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger bungkam setiap kali United atau Arsenal berdepan skuad kendaliannya.

Di penghujung musim 2004-05, John Terry menjulang trofi kejuaraan Liga Perdana sekaligus menandakan berakhirnya kemarau 50 tahun kejuaraan liga buat kuasa baharu bolasepak Inggeris dari kota London itu. Dibantu pemain-pemain berbakat besar seperti Arjen Robben, Frank Lampard, Didier Drogba, Ricardo Carvalho, Claude Makelele dan John Terry, Chelsea menerusi sentuhan magis Mourinho mengekalkan mahkota kejuaraan liga musim berikutnya (2005-06).

Sentuhan emas Mourinho bukan sekadar melakar taktik di atas padang tetapi kemampuan beliau meningkatkan tahap permainan pemain-pemain seperti Deco, Joe Cole, John Terry dan Frank Lampard menguatkan lagi hujah mengapa beliau layak dilabel sebagai `The Special One’. Chelsea ketika itu bukan sahaja barisan yang sangat dicemburui tetapi sukar untuk ditewaskan oleh mana-mana pencabar mereka.

Meskipun dua kejuaraan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Liga selain Perisai Komuniti berjaya beliau hadiah kepada `The Blues’, pencapaian itu nampaknya tidak mampu memuaskan hati Roman Abramovich berikutan kegagalan mereka memenangi trofi Liga Juara-Juara. Selepas `rumours’ demi `rumours’ bertiup kencang tentang pemecatan Mourinho, beliau akhirnya `dipaksa’ meninggalkan Stamford Bridge pada September 2007.

Hampir setahun menganggur, Mourinho kemudiannya dinamakan sebagai pengganti Roberto Mancini selaku pengendali baharu Inter Milan. Pemecatan dari kerusi panas di Stamford Bridge rupa-rupanya tidak pernah memudarkan sentuhan magis Mourinho. Musim pertama di San Siro, beliau mengemudi `I Nerazzurri’ mengekalkan kejuaraan Serie A buat musim ketiga berturut-turut sekaligus mengekalkan kesinambungan kejuaraan kelab tersebut bersama Mancini dua musim sebelumnya.

Musim kedua di San Siro bertambah manis buat Mourinho kerana kali ini beliau berjaya mengemudi Inter menjulang kejuaraan `Treble’ (Serie A, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara). Kejayaan `Treble’ ini mengesahkan lagi status Mourinho selaku antara jurutaktik terbaik dunia, lantas menarik minat Florentino Perez untuk mendapatkan khidmatnya di Santiago Bernabeu dalam usaha beliau menamatkan dominasi tiga musim Barcelona di La Liga.

Medal kejuaraan dan Mourinho umpama besi dan magnet, kerana di Sepanyol beliau berjaya memenuhi impian Perez untuk menamatkan kemarau tiga tahun Real tanpa kejuaraan liga menerusi kejayaan mengemudi `Los Blancos’ menjulang trofi La Liga pada musim 2011-12. Mourinho melengkapkan dua musim di Santiago Bernabeu menerusi kejayaan menjulang trofi La Liga, Copa del Rey dan Supercoppa de Espana sebelum kembali semula ke Stamford Bridge.

Stamford Bridge Tidak Lagi Seperti Dulu

Mourinho kembali semula menyertai `cinta hatinya’ selepas enam tahun beliau meninggalkan Stamford Bridge. Pada Jun 2013, beliau dinamakan selaku pengurus Chelsea menggantikan posisi Rafa Benitez. Jika sembilan tahun lalu beliau berjaya mengemudi Chelsea menjulang trofi Liga Perdana tapi kini Stamford Bridge tidak lagi `indah’ buatnya.

Chelsea di bawah kendalian Mourinho cuma mampu menamatkan musim 2013-14 di tangga ketiga liga, empat mata di belakang Manchester City selaku juara. Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, mereka disingkir Atletico Madrid di peringkat separuh akhir.

Belajar dari kegagalan musim pertama sejak beliau kembali semula ke Stamford Bridge, Mourinho sekali lagi meletakkan dirinya sebagai pemenang apabila berjaya mengemudi Chelsea menjuarai trofi Liga Perdana buat kali kelima dalam sejarah kelab. Kejayaan pada musim 2014-15 itu dilengkapkan beliau menerusi kejayaan dinobatkan selaku Pengurus Terbaik musim tersebut.

Selepas kejayaan mengemudi Chelsea menjulang trofi liga, Mourinho diberikan lanjutan kontrak selama empat tahun yang menyaksikan beliau kekal di Stamford Bridge hingga 2019. Bagaimanapun langit di Stamford Bridge kembali suram buat Mourinho. Kontrak lumayan nampaknya gagal memotivasikan beliau untuk menjadikan Chelsea terus digeruni.

Selepas tewas sembilan dari 16 perlawanan Liga Perdana, Chelsea akhirnya mengumumkan pemecatan Mourinho pada Disember 2015. Pencapaian Chelsea dalam 16 perlawanan awal liga (2015-16) itu merupakan rekod terburuk sepanjang karier Mourinho sebagai pengurus lantas menamatkan kisah cinta epik beliau bersama skuad `The Blues’ itu.

Bergelut Di Old Trafford

Sangat mengujakan bila pihak pengurusan Manchester United mengumumkan perlantikan Mourinho sebagai pengganti Louis Van Gaal. Melihat kepada rekod silam serta kredibiliti Mourinho, ramai penyokong percaya bahawa beliau adalah individu paling tepat bagi mengembalikan semula kegemilangan selepas persaraan Sir Alex Ferguson.

Ketika ekspektasi tinggi diletakkan di atas bahu beliau dalam usaha mengembalikan kegemilangan United, Mourinho berjaya menanganinya dengan baik apabila beliau berjaya menamatkan musim pertamanya di Old Trafford (2016-17) dengan menghadiahkan tiga trofi (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) dalam kabinet kejuaraan kelab.

Bagaimanapun United menamatkan musim 2017-18 iaitu musim kedua Mourinho sebagai pengendali di Old Trafford tanpa sebarang kejuaraan. United menamatkan saingan liga di tangga kedua, 19 mata di belakang Manchester City selaku juara selain tewas 0-1 kepada Chelsea di pentas akhir Piala FA. Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, perjalanan United terkandas di pusingan kalah mati 16 pasukan selepas mereka disingkir Sevilla menerusi aggregat 1-2.

Skrip musim 2015-16 seolah-olah berulang dalam kerjaya Mourinho cuma kali ini ia berlaku di Old Trafford pula. Sepertimana Chelsea (pada musim 2015-16), United memulakan musim 2018-19 dengan sangat buruk. Meskipun berjaya menewaskan Leicester City (2-1) pada perlawanan pembukaan, United kemudiannya tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Brighton & Hove Albion dan Tottenham Hotspurs.

Kekalahan 0-3 kepada Spurs di Old Trafford merupakan kekalahan di gelanggang sendiri terburuk yang dialami Mourinho sepanjang kariernya. Tiga mata yang dikutip United dari tiga perlawanan awal liga pula merupakan permulaan terburuk mereka dalam tempoh 26 tahun. Kekalahan 1-3 kepada Liverpool di Anfield 17 Disember lalu akhirnya menamatkan sisa-sisa perjuangan Mourinho dan beliau akhirnya ditunjukkan pintu keluar dari Old Trafford.

Sentuhan Yang Semakin Hilang

Terima kasih untuk tiga trofi yang beliau hadiahkan pada musim pertamanya di Old Trafford. Selain daripada itu Mourinho nampaknya gagal memberikan impak sepertimana ketika beliau mula-mula tiba di England 15 tahun lalu. Beliau memenangi medal kejuaraan Liga Perdana ketiganya bersama Chelsea empat tahun lalu namun sentuhan magis Mourinho sebenarnya mula pudar sejak beliau menyertai Real Madrid pada 2010.

Di Santiago Bernabeu beliau tidak lagi dihormati pemain hinggakan arahannya sering diingkari. Begitu juga selepas beliau kembali semula ke Stamford Bridge. Musim terakhirnya bersama `The Blues’ beliau mengkritik pemain-pemainnya secara terbuka hingga kemuncaknya beberapa bintang Chelsea `tiada hati’ lagi untuk bermain di bawah arahannya. Suasana tidak harmoni dalam kem Chelsea menyumbang kepada penurunan prestasi mereka yang akhirnya menyebabkan Mourinho dipecat.

Di Old Trafford Mourinho melakukan kesilapan sama. Musim pertama diharungi dengan cemerlang menerusi tiga trofi yang berjaya dimenangi. Musim kedua United menduduki tangga kedua liga, satu pencapaian yang menurut Mourinho patut dibanggakan. Musim ketiga segala-galanya tidak menjadi buat Mourinho. Permulaan buruk dalam saingan liga, gaya permainan yang membosankan, hilang kawalan di bilik persalinan dan mengkritik pemain secara terbuka menyebabkan Mourinho tidak lagi dihormati sebilangan besar pemainnya.

Akibatnya Mourinho terpaksa membayar harga yang mahal apabila reputasinya sekali lagi tercalar selepas pihak pengurusan United mengambil keputusan untuk memecatnya. Lebih malang pemain-pemain seperti Henrikh Mkhitaryan, Eric Bailly, Victor Lindelof, Fred, Paul Pogba, Alexis Sanchez, Diogo Dalot dan Romelu Lukaku gagal menyerlahkan potensi sebenar mereka ketika bermain di bawah arahannya.

Kembalilah Jose

Pemecatan ini saya harap bukanlah pengakhiran buat Mourinho. Untuk seorang pengurus berprofil tinggi seperti beliau serta karakter yang dimilikinya, saya berharap Mourinho akan kembali mewarnai kancah bolasepak suatu hari nanti. Mungkin juga ada sesuatu yang boleh beliau pelajari di sebalik kegagalannya ketika bersama Chelsea dan United sebelum melakukan kemunculan semula.

Kegagalan Mourinho bukan sahaja berkisar tentang taktikal yang diaturnya di atas padang tetapi juga faktor yang berlaku di luar padang. Perbalahan dengan pemain, mengkritik pemain secara terbuka, tidak lagi dihormati, gagal memotivasikan pemain serta hilang kawalan di bilik persalinan akhirnya menyumbang kepada kemerosotan prestasi keseluruhan pasukan.

Dalam buku hasil nukilan Sir Alex Ferguson berjudul `Leading’, beliau ada menyebut bahawa seorang pengurus itu boleh dianggap `sudah mati’ jika pemain mula mengambil keputusan `tidak lagi bermain untuk mereka’. Menurut Sir Alex lagi, definisi `mati’ itu ialah apabila seorang pengurus gagal memotivasikan pemain untuk mengikuti arahannya. Ya...itulah yang berlaku kepada Mourinho ketika di Stamford Bridge dan kemudiannya Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

20 Januari 2019

UNITED KEMBALI `HIDUP’ DI TANGAN OLE




Agak lama saya `bersara’ dari memperkatakan tentang Manchester United dalam ruangan ini. Selain dari kesibukkan tugas seharian yang menyebabkan saya `melupakan’ seketika barisan The Red Devils ini, prestasi tidak bermaya mereka hampir sepanjang separuh musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho juga antara penyebab utama mengapa saya `bersara’ buat seketika.

Okey....lupakan seketika mimpi buruk yang berlaku sepanjang 17 aksi United (dalam saingan liga) di bawah era Mourinho musim ini kerana selepas kekalahan (1-3) yang menyakitkan kepada Liverpool di Anfield 17 Disember lalu, United sudah merakamkan enam kemenangan berturut-turut dalam saingan liga sekaligus menghidupkan kembali misi `top four’ di akhir musim nanti.

Semalam Ole Gunnar Solskjaer merakam sejarah baharu buat kelab selepas kemenangan ke atas Brighton & Hove Albion meletakkan beliau selaku individu pertama yang merakam enam kemenangan berturut-turut pada penampilan pertama selaku pengendali di Old Trafford. 18 mata yang dikutip dari enam kemenangan ini juga menyaksikan United semakin menghampiri Chelsea selaku penghuni tangga keempat liga menerusi perbezaan hanya tiga mata.

Bangkitnya United Di Tangan Ole

Ketika United mencatatkan kemenangan ke atas Cardiff City, Huddersfield Town, Bournemouth dan Newcastle United, bukan sedikit di kalangan kita yang masih bersikap `skeptical’ tentang kemampuan Ole mengambilalih kerusi panas yang ditinggalkan Mourinho. Ujian sebenar tentang kemampuan beliau akhirnya hadir minggu lalu ketika Ole membawa skuadnya ke Wembley berdepan Tottenham Hotspurs.

Jika skuad Cardiff City, Huddersfield Town, Bournemouth dan Newcastle United dikatakan bukan ukuran sebenar kemampuan Ole selaku pengurus, Spurs di bawah pimpinan Mauricio Pochettino pula adalah cabaran sebaliknya. Dalam beberapa musim terakhir, Spurs di era Pochettino sentiasa muncul secara konsisten selaku pencabar kejuaran liga. Jadi sudah tentu mereka adalah kayu ukur terbaik dalam menilai kemampuan dan idealogi bolasepak Ole.

Sebelum aksi di Wembley itu berlangsung, saya cuma mengharapkan agar United mampu mencuri satu mata dari tangan Spurs berdasarkan reputasi terkini yang dimiliki barisan Pochettino itu. Namun sebaliknya berlaku kerana sebaik sahaja Mike Dean meniup wisel penamat, gol tunggal jaringan Marcus Rashford di minit ke-44 membolehkan United membawa pulang tiga mata berharga dari Wembley.

Sejak kekalahan (1-3) kepada Liverpool Disember lalu dan sejak Mourinho dipecat selepas kekalahan itu, United tiba-tiba berubah di tangan Ole. Daripada corak permainan defensive yang sering diterapkan Mourinho, Ole menjadikan United kepada skuad yang bermain secara terbuka dan menyerang. Di bawah kendalian beliau juga, pemain-pemain seperti Paul Pogba, Anthony Martial, Victor Lindelof, Ander Herrera dan Marcus Rashford kembali menyinar.

Apa Rahsia Ole?

Ketika beliau masih bergelar sebagai pemain, Ole melakukan 366 penampilan sepanjang tempoh 11 tahun kariernya di Old Trafford. Dari jumlah tersebut, 150 perlawanan Ole bermain selaku pemain gantian. Dari penampilan pertamanya bersama United pada 1996 hinggalah yang terakhir pada 2007, Ole berjaya menjaringkan 126 gol dimana dari jumlah tersebut 29 gol dihasilkan beliau ketika masuk sebagai pemain gantian.

Apa yang lebih menariknya, statistik juga menunjukkan bahawa 33 gol yang dijaringkan Ole berlaku dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan, jadi tidak hairanlah mengapa beliau sangat terkenal dengan label `Supersub’. Label `Supersub’ nampaknya masih kekal melekat dalam diri Ole meskipun beliau kita sudah meninggalkan alam sebagai pemain untuk bergelar pengurus.

Sepertimana ketika era beliau sebagai pemain, Ole masih melakukan kebiasaan yang sama iaitu sentiasa menganalisa kelemahan pertahanan lawan dari bangku simpanan. Atas sebab itulah anda dapat melihat mengapa Mike Phelan lebih kerap memberikan arahan dari tepi padang dalam setiap perlawanan manakala Ole pula lebih selesa memerhati dari jauh.

Kembalinya Mike Phelan, sosok penting di belakang tabir disebalik kecemerlang kelab ketika era Sir Alex Ferguson juga antara faktor kebangkitan semula United. Kredit juga patut diberikan kepada Kieran McKenna, Michael Carrick dan Mark Dempsey (selaku pembantu) selain Paul Brand (juru analisis) yang turut memainkan peranan penting di belakang Ole.

Ole Bangkitkan Pogba Dari `Tidur’

Tidak dapat dinafikan bahawa pemain United paling menonjol pasca pemecatan Mourinho ialah Paul Pogba. Ketika berdepan Spurs, hantaran kelas dunia yang dilakukan Pogba membolehkan Marcus Rashford menjaringkan gol tunggal perlawanan. Mungkin aksi di Wembley itu antara momen terbaik untuk kita bercakap tentang kebangkitan semula Pogba.

Pogba kini mengakui beliau sangat selesa beraksi di bawah arahan Ole kerana falsafah bolasepak moden yang diterapkan lagenda Norway itu berbanding sebelumnya. Menerusi falsafah bolasepak yang lebih bertahan ketika era Mourinho, Pogba gagal menampilkan karakter sebenar permainannya hinggakan prestasi bekas pemain termahal dunia itu sering dijadikan sasaran kritikan.

Ole memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Pogba ketika di atas padang, atau lebih tepatnya bintang Perancis itu kini lebih kerap berada di kotak penalti lawan berbanding melakukan tugas-tugas defensif ketika United di bawah arahan Mourinho. “Sukar untuk bermain dalam taktikal sebelum ini kerana saya lebih gemar menyerang dan kurang bagus ketika bertahan”, kata Pogba selepas tamat perlawanan menentang Spurs.

Angka Melawan Angka

Saya akui bahawa kemenangan ke atas kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga seperti Cardiff City, Huddersfield Town, Bournemouth, Newcastle United dan Brighton & Hove Albion bukanlah kayu ukur sebenar jika mahu bercakap tentang kemampuan Ole selaku pengendali. Bagaimanapun bolasepak juga bukan sekadar dinilai dari keputusan di akhir perlawanan atau gol yang dijaringkan tetapi lebih dari itu.

Adakah United di tangan Ole skuad yang lebih baik berbanding ketika era Mourinho? Untuk itu mari kita lihat statistik berikut berdasarkan dari enam perlawanan liga. Di bawah arahan Mourinho, United menguasai purata 53.2% penguasaan bola dalam setiap perlawanan, manakala penguasaan bola mereka di kawasan final third lawan pula mencapai 47.4%.

United di bawah kendalian Ole pula mencatatkan purata 67.9% penguasan bola manakala penguasaan bola mereka di kawasan final third lawan pula mencapai 68.4%. Dari segi ketepatan hantaran pula, peratusan ketepatan hantaran United naik dari 81.9% kepada 86.8% sejak Ole mengambilalih kuasa dan paling menarik peratusan ketepatan hantaran di final third meningkat dari 78.1% kepada 83.5%.

Sudah tentu penguasaan bola yang lebih kerap di kawasan lawan pastinya membolehkan United mencipta lebih banyak peluang jaringan gol. Untuk itu dari lima perlawanan pertama Ole selaku pengendali, United mencipta peluang jaringan gol setiap 6.3 minit berbanding 7.5 minit ketika era Mourinho. Catatan ini juga menyaksikan United muncul selaku barisan paling kerap mencipta peluang jaringan gol berbanding mana-mana pesaing di Liga Perdana.

Dari segi melakukan percubaan ke arah gawang lawan pula, United melakukan 12.7 percubaan per perlawanan ketika dibawah kendalian Mourinho manakala statistik ini meningkat kepada 15 (percubaan) di bawah Ole. Purata ketepatan percubaan yang dilakukan juga meningkat dari 5.8 per perlawanan sebelumnya kepada 8.5.

Penguasaan bola, peluang-peluang jaringan yang dicipta dan ketepatan percubaan ke arah gawang lawan akhirnya turut menyumbang kepada peningkatan ratio gol United dalam setiap perlawanan. Berbanding ketika era Mourinho, United cuma mampu menjaringkan 1.7 gol per perlawanan namun kini ratio tersebut meningkat kepada 3.5 gol per perlawanan.

Ole Individu Yang Tepat?

Kecuali kejayaan beliau mengemudi Molde menjuarai Tippeligaen dan Norway Cup, Ole tidak memiliki `medal kejuaraan besar’ yang boleh beliau banggakan sepanjang karier kejurulatihannya sejak 2011 hingga kini. Bagaimanapun hingga setakat aksi menentang Brighton & Hove Albion semalam, Ole sudah melakukan tugasnya dengan sangat baik malah lebih penting pemain-pemain turut menyenangi beliau.

Baik ketika bertahan mahupun ketika menyerang, United kini mempamerkan corak permainan jauh lebih menarik berbanding ketika era Mourinho, malah perlawanan pertama Ole selaku pengurus United disudahi dengan kemenangan besar (5-1) ke atas Cardiff City. Siapa sangka lima gol yang membolosi pintu gol Niel Etheridge itu mengulangi pencapaian sama dilakukan barisan Fergie ketika mereka diikat (5-5) saat berdepan West Bromwich Albion pada Mei 2013.

Ole bukanlah pengurus berprofil tinggi sepertimana Mourinho tetapi pendekatan beliau yang memberikan kebebasan kepada para pemainnya ketika beraksi di atas padang menyaksikan United kembali kepada azali mereka iaitu bermain bolasepak menyerang yang seronok untuk ditonton. United kini bermain lebih terbuka, lebih berani ketika menyerang malah lebih menarik mereka juga tidak lagi segan silu memberikan tekanan kepada lawan ketika kehilangan bola.

Ole diberikan tanggungjawab menguruskan United buat sementara hingga penghujung musim, namun apa yang beliau lakukan hingga aksi semalam sangat menakjubkan. Sebelum ketibaan beliau, United ketinggalan 11 mata di belakang kelab tangga keempat liga, namun kini jurang tersebut mengecil kepada tiga mata sahaja.


Satu kejayaan besar jika United mampu menamatkan saingan liga di posisi empat teratas mengambilkira `kerosakan’ yang berlaku dalam pasukan sebelum ini. Malah satu keajaiban besar juga jika United mampu menamatkan saingan musim ini dengan satu trofi kejuaraan dan jika itu berlaku mengapa peluang tidak diberikan sahaja kepada Ole untuk terus menerajui kelab musim depan?...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar 

06 Januari 2018

DARI PEMAIN YANG PERNAH DIREMEHKAN KINI MENJELMA SEBAGAI `DEWA PENYELAMAT’




“Jesse Lingard”...inilah nama yang sering meniti di bibir penyokong-penyokong Manchester United sejak kebelakangan ini. Prestasi turun naik yang dipamerkan beliau sebelum ini menyebabkan Lingard dan kritikan tidak dapat dipisahkan tetapi sejak Disember tahun lalu situasi bertukar sebaliknya. Dari seorang pemain yang sering teragak-agak dalam mengambil keputusan ketika bola berada di kakinya, kini Lingard melalui musim terbaiknya sejak melakukan penampilan pertama bersama skuad utama pada 2011.

Awal pagi tadi (6 Januari), Lingard sekali lagi membuktikan bahawa beliau kini antara pemain penting dalam kesebelasan Jose Mourinho selepas jaringannya diminit ke-84 membantu United mara ke pusingan keempat Piala FA. Ketika Derby County berjaya bertahan dengan baik sambil dibantu faktor tuah yang menyaksikan empat percubaan United singgah di tiang dan palang gol, Lingard akhirnya muncul memecah kebuntuan di penghujung permainan sebelum Romelu Lukaku membunuh permainan menerusi gol jaringannya diminit ke-90.

Gol yang dijaringkan Lingard awal pagi tadi turut menyaksikan beliau sudah meledak 11 gol dalam semua kejohanan untuk United musim ini. Menurut catatan Opta, 11 gol yang dijaringkan Lingard setakat ini turut mengatasi jumlah jaringan beliau dalam tempoh dua musim (2015-16 dan 2016-17). Ketika saingan liga masih berbaki 16 perlawanan, selain fakta bahawa United masih dalam persaingan di kejohanan Piala FA dan Liga Juara-Juara, saya yakin koleksi gol Lingard musim ini tidak akan terhenti setakat angka 11.

Hadir Pada Waktu Yang Tepat...

Ketika barisan hadapan United dijadikan sorotan kritikan, mereka sebenarnya diselamatkan Lingard menerusi prestasi terpuji yang dipamerkan lulusan akademi United itu. Setakat ini Lingard sudah meledak lapan gol dari dari 10 penampilan terakhirnya selain menyumbangkan dua bantuan gol (assist). Penampilan impresif beliau sejak kebelakangan ini juga menjadi jawapan terbaik kepada persoalan yang dilemparkan pengkritiknya tentang kewajaran kelab melanjutkan kontrak beliau hingga 2021 pada April tahun lalu.

Prestasi terpuji yang dipamerkan Lingard sudah tentu mengundang perhatian ramai dan individu paling lega dengan penampilan terkini beliau siapa lagi jika bukan Mourinho. Menurut Mourinho, Lingard antara segelintir pemain yang lambat menyinar meskipun beliau kini sudah berada di usia matang sebagai pemain. Dan kerana prestasi terpuji yang dipamerkan Lingard juga menyebabkan Mourinho tidak terlalu memikirkan penyerang mana yang patut beliau beli Januari ini meskipun United berdepan krisis kecederaan penyerang utama mereka.

Mengulas tentang penampilan terkini Lingard, Mourinho berkata: “Beberapa pemain tidak mampu melakukan kebangkitan seperti itu. Mereka biasanya berubah dari pemain yang memiliki potensi besar kepada pemain sederhana. Tetapi Lingard melakukan kebangkitan dalam kariernya. Dia lebih konsisten, mampu beradaptasi dan kini lebih memahami permainan. Dia melakukan perkara yang tepat dalam kariernya”. Apa yang dikatakan Mourinho mudah difahami kerana sepanjang usia remajanya, Lingard lebih banyak menghabiskan kariernya sebagai pemain pinjaman.

Leicester City, Birmingham City, Brighton & Hove Albion serta Derby County antara destinasi yang pernah dituju Lingard sebagai pemain pinjaman dari 2012 hingga 2015. Dan sepanjang tempoh tesebut juga Lingard gagal menyerlahkan potensi sebenar beliau sebagai bintang dalam pembikinan sebelum kembali semula ke Old Trafford. Tempat Lingard bukan di Leicester City, Birmingham City, Brighton & Hove Albion atau Derby County kerana beliau memang ditakdirkan untuk menyinar bersama United, kelab yang disertainya sejak usia tujuh tahun.

Hampir Sertai Liverpool...

Menceritakan detik awal zaman kanak-kanaknya, Lingard mendedahkan bahawa beliau sebenarnya hampir menyertai Liverpool ketika bermain untuk kelab tempatan, Penketh United. “Ketika saya masih bermain untuk kelab tempatan, Mike Glenie (pencari bakat United) datang untuk menyaksikan permainan saya. Beliau kemudiannya bercakap dengan datuk saya untuk menawarkan `trial’ bersama United. Dalam masa yang sama, Liverpool juga datang dengan tawaran mereka jadi saya harus memilih. Saya masih muda ketika itu tetapi hati saya untuk United”, ujar Lingard dalam satu ditemubual dengan MUTV pada 2015.

Masalah Fizikal...

Pada usia tujuh tahun, Lingard menyertai akademi United dan sejak itu beliau berjaya memenangi beberapa kejuaraan peringkat umur. Walaupun begitu, Lingard juga sebenarnya berdepan kesukaran untuk bersaing bersama rakan-rakan sebaya kerana faktor fizikal beliau yang agak kecil. Bersama-sama Larnell Cole, adik beradil Will dan Michael Keane, Sam Johnstone, Ravel Morrison dan Ryan Tunnicliffe, beliau berjaya memenangi kejuaraan FA Youth Cup dan Reserves League.

Bagaimanapun medal kejuaraan itu tetap gagal melayakkan beliau menyertai skuad U-18 United gara-gara faktor fizikal. Di bawah pengawasan Warren Joyce (bekas jurulatih skuad simpanan United), Lingard menjalani latihan intensif dalam usaha beliau memantapkan fizikalnya. Ketika ketinggiannya mula bertambah, karier Lingard juga mula bersinar hingga akhinrya menyaksikan beliau disenaraikan ke dalam skuad simpanan United.

Lebih Baik Dari Memphis Depay...

Kedatangan Memphis Depay yang digembar-gemburkan sebagai bintang masa depan bolasepak Belanda sebenarnya turut memberikan tempias kepada karier Lingard bersama kelab. Kejayaan Louis Van Gaal mendaratkan Memphis ke Old Trafford pada musim panas 2015 dianggap permulaan kepada revolusi kelab pasca persaraan Sir Alex Ferguson. Sebagai pemain yang kerap menghabiskan sebahagian besar karier di zaman remajanya selaku pemain pinjaman, siapalah Lingard ketika itu jika mahu dibandingkan dengan Memphis.

Keputusan Van Gaal `menganugerahkan’ Memphis dengan jersi keramat nombor 7 menguatkan lagi andaian awal bahawa inilah pemain yang mampu menggantikan posisi Cristiano Ronaldo selaku `winger’ paling menakutkan pernah beraksi di Theatre of Dreams. Bagaimanapun jangkaan awal majoriti penyokong United terhadap potensi Memphis meleset jauh. Sepanjang dua musim di Old Trafford, Memphis yang pada mulanya dilabel sebagai `Next Cristiano Ronaldo’ bertukar kepada bahan candaan khalayak penyokong-penyokong United.

Berbanding Memphis, Lingard pula berjaya menambat perhatian Van Gaal selepas beliau diberikan peluang untuk melakukan penampilan dalam kesemua 18 perlawanan terakhir liga United di musim 2015-16. Dari segi kemampuan individu, Memphis yang usianya dua tahun lebih muda berbanding Lingard jelas lebih unggul. Menurut statistik yang dikeluarkan Opta, Memphis memiliki kemampuan menggelecek lebih bagus di mana secara purata beliau mampu melepasi lawan dua kali ganda berbanding Lingard dalam setiap perlawanan.

Begitu juga dalam hal ketepatan ketika melakukan percubaan di mana Memphis mencatatkan 44% ketepatan percubaan berbanding Lingard (25%). Bagaimanapun angka di atas sebenarnya dipengaruhi dengan pola permainan United ketika Memphis bermain. Dengan adanya Memphis di atas padang, pusat gerakan United sering bermula dari sebelah kiri hingga menyaksikan strategi permainan mereka juga mudah dibaca lawan. Apa pula yang berlaku ketika Van Gaal menurunkan Lingard? Jawapannya mudah...permainan United lebih bervariasi.

Kehadiran Lingard tidak bermakna corak permainan United juga berubah 100% kerana kecenderungan untuk mereka melakukan gerakan-gerakan dari sisi kiri tetap ada. Berbanding Memphis, Lingard bukanlah jenis pemain yang memaksa diri untuk melakukan gelecekan atau melakukan percubaan dalam situasi kurang tepat. Meskipun dikatakan tidak memiliki kemahiran individu sebagus Memphis, Lingard dilihat lebih unggul dalam soal berfikir sebelum mengambil sebarang keputusan segera ketika di atas padang.

Taktik permainan Van Gaal memerlukan pemain untuk cepat berfikir sebelum mengambil sebarang keputusan dan itulah kelebihan yang ada pada diri Lingard berbanding Memphis. Kecenderungan Memphis untuk melakukan gelecekan-gelecekan sia-sia hingga menyebabkan United sering kehilangan penguasaan bola selain percubaan-percubaan liarnya menyaksikan warga Belanda ini mula tersisih dari kesebelasan utama. Pengakhiran karier Memphis di Old Trafford akhirnya tiba sebaik Mourinho mengambilalih posisi Van Gaal selaku pengendali United.

Ramalan Fergie...

Apa yang berlaku kepada Lingard sekarang sebenarnya sudah dihidu Sir Alex Ferguson enam tahun lalu. Tujuh gol yang sudah dijaringkannya dalam saingan liga musim ini menyebabkan mulut pengkritik beliau terdiam buat seketika. Dan awal pagi tadi Lingard sekali lagi membuktikan betapa pentingnya peranan beliau menerusi gol yang dijaringkannya ke gawang Derby County meskipun Scott Carson bermain baik sepanjang perlawanan.

Meskipun di peringkat awal kariernya bersama kelab sumbangan Lingard kerap diremehkan, namun satu-satunya individu yang kekal percaya bahawa beliau bakal muncul pemain penting buat United suatu hari nanti ialah Sir Alex Ferguson. Setahun sebelum Fergie memutuskan untuk bersara lima tahun lalu, beliau sempat memberikan pendapatnya tentang potensi dalam diri Lingard.

Umpama sebuah ramalan Fergie berkata: “Jesse Lingard masih berusia 19 tahun (ketika itu). Menyertai skuad muda kami dan kemudiannya berkembang seperti Jean Tigana untuk Perancis. Dia (Tigana) tidak akan pernah diberikan perhatian hingga usianya 24 tahun dan saya fikir hal yang sama bakal berlaku kepada Lingard”. Melihat kepada lonjakan karier Lingard sejak kebelakangan ini, apa yang diungkapkan Fergie enam tahun lalu kini sudah menampakkan kebenarannya.

Jangan Jadi Seperti Mereka...

Ada seorang pemain yang perjalanan kariernya mirip seperti Lingard dan pemain yang saya maksudkan ialah Chirstopher Mark Eagles atau lebih dikenali sebagai Chris Eagles. Siapakah Chris Eagles? Eagles merupakan bekas lulusan akademi United yang pada peringkat awal kariernya pernah diramal punya potensi untuk muncul pemain utama di Old Trafford suatu hari nanti. Namun akhirnya pada usia 32 tahun, Eagles kini cuma beraksi untuk kelab bawahan Liga Perdana Scotland.

Sama seperti Lingard, Eagles turut menghabiskan sebahagian besar karier zaman remajanya sebagai pemain pinjaman untuk Watford, Sheffield Wednesday, kembali semula ke Watford dan Nijmegen di Eredivisie. Gagal mencapai potensi awal yang diletakkan dibahunya, Eagles kemudian dilepaskan ke Burnley pada 2008. Begitu juga halnya yang berlaku kepada Tom Cleverley, Danny Welbeck, Ravel Morrison serta adik beradik Will dan Michael Keane.

Buat masa sekarang Lingard sudah mula menunjukkan tanda-tanda benarnya `ramalan’ Fergie enam tahun lalu dan semoga beliau juga mampu menjadi seperti Jean Tigana, pemain yang pada mulanya diremehkan tetapi menjelma kepada watak penting dalam bolasepak Perancis. Selepas melihat lonjakan prestasinya sejak kebelakangan ini, masih adakah di kalangan anda yang mahukan supaya Lingard dijual? Glory Glory Manchester United!!!

02 Januari 2018

`MISI WAJIB MENANG’ DI GOODISON PARK YANG BERJAYA DISEMPURNAKAN




Selepas tiga keputusan seri berturut-turut, Manchester United akhir kembali meraih tiga mata penuh dalam aksi Liga Perdana. Kemenangan (2-0) yang dilakar mereka ke atas Everton di Goodison Park menyaksikan barisan Jose Mourinho kembali ke posisi tangga kedua liga selepas mengumpul 47 mata dari 22 perlawanan. Bagaimanapun Chelsea berpeluang memintas kembali kedudukan United sekiranya mereka berjaya menewaskan Arsenal di gelanggang lawan dalam aksi yang bakal dilangsungkan awal pagi Khamis ini.

Berkunjung ke Goodison Park dalam keadaan skuad yang boleh dianggap pincang tanpa peledak utama bukanlah satu situasi yang bagus, tambahan pula mereka sangat perlukan kemenangan selepas tiga keputusan seri yang dicatatkan sebelum ini. Hukuman penggantungan tiga perlawanan yang dikenakan ke atas Ashley Young kerana menyiku Dusan Tadic juga seolah-olah satu petanda awal bahawa barisan Mourinho bakal mengharungi tempoh 90 minit yang penuh berliku.

Bagaimanapun kebimbangan kita akhirnya terlerai selepas jaringan Anthony Martial dan Jesse Lingard memastikan United meraih tiga mata penuh dalam aksi yang `wajib mereka menangi’ itu. Tanpa Lukaku, Mourinho mengubah formasi 4-2-3-1 yang sering digunakannya kepada 4-3-3 dimana Anthony Martial, Jesse Lingard dan Juan Mata membentuk trio di barisan hadapan. 

Dalam formasi ini (4-3-3), Martial yang sebelumnya sering digunakan Mourinho sebagai penyerang sayap kini bertindak selaku penyerang tengah manakala di bahagian tengah pula beliau menggandingkan Nemanja Matic, Ander Herrera dan Paul Pogba. Dalam formasi ini, sangat menarik melihat Pogba lebih banyak bergerak di sisi kiri di mana hasilnya beliau menyumbang dua bantuan gol yang disudahkan Martial dan Lingard.

Posisi dan Peranan Pogba...

Seperti yang saya sebutkan di atas, sepanjang 90 minit aksi di Goodison Park, Mourinho mengarahkan Pogba untuk lebih banyak bergerak di sisi kiri walaupun beliau sebenarnya memulakan permainan sebagai pemain nombor 10. Biarpun Pogba tidak memiliki kelajuan yang bagus untuk melakukan larian-larian dari sebelah tepi namun hantaran-hantaran yang dilakukannya sering menembusi garisan pertahanan Everton.

Apa yang dapat anda lihat dalam dua atau tiga perlawanan terakhir membuktikan bahawa Pogba merupakan pemain serba boleh dan multi posisi. Ketika Lingard bergerak ke tengah, Pogba pula akan beralih mengisi posisi di sebelah kiri. Kerjasama baik yang ditunjukkan Pogba dan Lingard akhirnya menyaksikan gol kedua terhasil sekaligus menamatkan sebarang sisa-sisa perjuangan Everton untuk cuba memaksa United berkongsi mata.

Everton Lawan `Favourite’ Untuk United...

Kekalahan terbaru yang dialami Everton awal pagi tadi menyaksikan The Toffees tewas 35 perlawanan dalam sejarah pertemuan mereka menentang United di Liga Perdana. Jumlah ini juga menyaksikan United muncul pasukan paling banyak menewaskan Everton sejak format Liga Perdana diperkenalkan berbanding mana-mana kelab Inggeris yang lain. Pada pertemuan pertama yang dilangsungkan di Old Trafford 17 September lalu, United menewaskan Everton (4-0) hasil jaringan Antonio Valencia, Henrikh Mkhitaryan, Romelu Lukaku dan Anthony Martial.

Sudah 435 Hari Pogba Tidak Tewas...

Menurut catatan yang dikeluarkan Opta, kemenangan yang dilakar United di Goodison Park awal pagi tadi menyaksikan Pogba sudah mengharungi 435 hari tanpa sebarang kekalahan dalam aksi liga. Kekalahan terakhir Pogba dalam saingan liga berlaku pada 23 Oktober 2016 ketika United tewas (0-4) kepada Chelsea dalam aksi yang dilangsungkan di Stamford Bridge. Dan itu juga bermakna sejak kekalahan besar di Stamford Bridge, Pogba sudah bermain 34 perlawanan di mana beliau berjaya membantu United menang 21 perlawanan dan 13 keputusan seri.

Lingard Sedang `On Fire’...

Dari seorang pemain yang sering memegang watak pengganti di babak kedua, Jesse Lingard tiba-tiba muncul antara pemain paling penting buat United sejak kebelakangan ini. Gol kedua United yang dijaringkan Lingard di Goodison Park menyaksikan beliau sudah menjaringkan 6 gol sejak Disember sekaligus muncul pemain kedua paling produktif selepas Harry Kane (8 gol) di Liga Perdana.

Lingard bukan lagi seorang pemain yang kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika bola berada di kakinya tetapi penampilan beliau kini lebih menyakinkan. Apa yang membuatkan penampilan Lingard di atas padang tiba-tiba berubah? Menurut Lingard keputusan Mourinho meletakkan beliau sebagai penyerang sayap antara sebab utama peningkatan prestasinya.

United Masih `Ok’ Tanpa Lukaku...

Sepanjang babak pertama aksi di Goodison Park, skrip hampir sama diperlihatkan United ketika mereka dipaksa berkongsi mata dalam tiga perlawanan sebelumnya. Tanpa Lukaku dan Ibrahimovic yang tersisih akibat kecederaan, mereka buntu dalam usaha menembusi benteng pertahanan Everton. Namun secara perlahan-lahan United mula mendapat rentak dan menerusi kepantasan yang dimiliki pemain-pemain di barisan hadapan, benteng pertahanan lawan mula goyah.

Hasilnya 12 minit selepas babak kedua disambung, Martial meledak gol pertama untuk meletakkan United di hadapan. Ketika lawan mula memberikan tekanan demi tekanan dalam usaha mereka mencari gol penyamaan, Lingard pula memilih detik yang tepat untuk menamatkan sebarang usaha barisan The Toffees memaksa United berkongsi mata menerusi gol kedua diminit ke-81. Dua gol yang menembusi gawang Jordan Pickford itu membuktikan bahawa United boleh bermain dengan baik meskipun mereka turun tanpa peledak utama.

Permulaan Tahun Baharu Yang Bagus...

Kemenangan yang diraih awal pagi tadi merupakan langkah permulaan tahun baharu yang bagus buat barisan United. Selepas sekadar mengutip tiga mata dari tiga perlawanan penghujung tahun lalu, United sebenarnya berdepan misi yang cukup getir di Goodison Park dalam usaha mereka untuk kembali meraih kemenangan.

Saya sendiri pada mulanya menganggap bahawa tiga mata yang mahu dikutip di Goodison Park merupakan satu `misi mustahil’ memandangkan United berkunjung ke sana dengan skuad pincang ditambah pula dengan jadual yang cukup padat. Menurut Mourinho, apa yang dipamerkan barisan pemainnya awal pagi tadi tidak langsung menunjukkan bahawa mereka keletihan.

Selepas perlawanan Mourinho berkata: “Ini bukan kerja pemain yang sedang keletihan dengan jadual terburuk yang anda berikan kepada kami. Selepas gol pertama, Everton memberikan reaksi tetapi kami tetap mengawal perlawanan. Tanpa Lukaku, kami terpaksa mengubah permainan kami dan saya gembira dengan hasilnya”.

Selepas tiga keputusan seri berturut-turut, kemenangan ke atas Everton memang sangat-sangat melegakan. Sehingga 16 Januari ini, kita boleh melupakan buat seketika aksi Liga Perdana kerana tumpuan kini beralih ke saingan Piala FA pula dengan Derby County lawan yang bakal cuba dilepasi United.

Apapun keputusan diakhir perlawanan menentang Derby County nanti, United sebenarnya sudah melepasi tempoh getir akibat jadual yang padat. Dan sudah tentu ketika saingan liga disambung semula pada 16 Januari nanti, kita mahu melihat United terus melakar kemenangan dengan menjadikan Stoke City pula mangsa seterusnya...Glory Glory Manchester United!!!

01 Januari 2018

BERAPA BANYAK WANG LAGI YANG PERLU DIBELANJAKAN MOURINHO UNTUK SAINGI CITY?




Tiga keputusan seri berturut-turut dan kini ketinggalan pula 15 mata di belakang Manchester City selaku pendahulu liga. Jadi apa yang perlu dilakukan United selepas ini? Jawapannya...lupakan sahaja sebarang peluang untuk menyaingi City dalam perebutan kejuaraan liga dan fokus untuk mengekalkan kedudukan di tangga kedua hingga akhir musim selain cuba memenangi kejuaraan Piala FA serta mara sejauh mungkin dalam saingan Liga Juara-Juara.

Gagal mengutip tiga mata penuh selepas Leicester City yang kekurangan seorang pemain menjaringkan gol penyamaan lewat permainan memang menyakitkan. Tuah nampaknya terus menjauhi United apabila dua hari selepas itu giliran Burnley pula memaksa barisan kendalian Jose Mourinho berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan terikat (2-2) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford 26 Disember lalu.

Keputusan di akhir perlawanan menentang Burnley memang tidak menepati keinginan kita (penyokong-penyokong United) untuk melihat kelab kembali bangkit meraih kemenangan selepas mereka pulang dengan hanya satu mata dari King Power Stadium. Aksi di Old Trafford 26 Disember lalu itu juga mungkin berakhir dengan lebih buruk jika tidak kerana jaringan penyamaan lewat permainan dari Jesse Lingard.

Awal pagi kelmarin (31 Disember), United akhirnya menutup tirai 2017 dengan satu lagi keputusan seri selepas mereka diikat Southampton (0-0). Ini merupakan keputusan seri kedua berturut-turut di Old Trafford sekaligus menyaksikan mereka cuma mampu mengutip tiga mata dari tiga perlawanan terakhir liga. Kecewa?...Ya anda sepatutnya berasa kecewa kerana keputusan seri menentang Southampton itu juga menyaksikan kedudukan United di tangga kedua kini dipintas Chelsea.

United Bukan Pasukan Yang Besar?...

Dalam sidang media beliau selepas tamat aksi menentang Burnley, Mourinho berkata: “Ada perbezaan yang signifikan antara kelab besar dengan pasukan yang besar. Sememangnya itu dua perkara yang berbeza”. Menurut Mourinho lagi, United sebenarnya masih dalam fasa membangunkan semula pasukan bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka.

Mourinho menekankan bahawa terdapat jurang besar antara kesebelasan yang dimilikinya berbanding barisan Pep Guardiola yang kini gah di tangga teratas liga. Menurut beliau, City disebut kesebelasan besar bukan kerana sejarah yang dimiliki mereka tetapi kerana perbelanjaan besar yang dikeluarkan pihak pengurusan The Cityzens bagi memantapkan pasukan.

"Manchester City membeli pemain bek sayap dengan harga seorang penyerang. Jadi ketika anda bercakap tentang kelab besar, dalam masa yang sama anda juga sebenarnya bercakap tentang sejarah kelab tersebut," kata Mourinho. Menyentuh tentang jumlah sebanyak £300 juta yang sudah beliau belanjakan sepanjang dua musim di Old Trafford, Mourinho berkata:

“Jumlah itu masih belum mencukupi. Harga pemain yang diletakkan untuk kelab besar memang berbeza berbanding kelab lain. Masalahnya sekarang kelab besar dihukum oleh pasaran kerana sejarah mereka, bukan disebabkan mereka kelab yang kaya. Buat masa ini pemain-pemain saya sudah melakukan apa yang mampu mereka lakukan dan mereka melakukannya dengan baik”.

The Cityzens Yang Lebih Lengkap...

Sama seperti Mourinho, musim ini juga merupakan musim kedua Pep Guardiola di kota Manchester. Musim lalu Mourinho berjaya menghadiahkan tiga kejuaraan untuk United (Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa) manakala Guardiola pula sekadar berpuashati menerusi pencapaian meletakkan City di tangga ketiga liga. Jadi musim lalu bolehlah dianggap sebagai musim yang sukses buat Mourinho berbanding Guardiola pada tahun pertama mereka di kelab masing-masing.

Bagaimanapun musim ini City di bawah kendalian Guardiola tampil dengan watak berbeza. Ketika saingan liga  memasuki fasa kedua, City kelihatan seperti kesebelasan yang hampir mustahil untuk dikalahkan oleh mana-mana lawan domestik mereka. Sejak kali terakhir Everton berjaya mengikat mereka dalam pertembungan yang dilangsungkan di Stadium Etihad 21 Ogos lalu, City sudah merakamkan 17 kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.

Melihat kepada konsistensi yang dipamerkan barisan The Cityzens, jurang 14 mata yang berjaya mereka cipta selaku pendahulu hampir mustahil untuk dipintas oleh mana-mana pesaing yang lain. Jurang mata yang terlalu besar selain prestasi konsisten dipamerkan barisan Guardiola meletakkan mereka sebagai calon tunggal menjulang kejuaraan liga musim ini. Apa yang dilakukan Guardiola hinggakan City muncul kesebelasan hampir sempurna musim ini?

Menurut David Weiner (jurnalis Fox Sports), rahsia di sebalik suksesnya perjalanan City musim ini ialah kerana pembelian bijak yang dilakukan Guardiola selepas gagal pada musim pertama beliau di Stadium Etihad. Bermula di posisi paling belakang, Guardiola membawa masuk Ederson Moraes selepas beliau kurang berpuashati dengan prestasi yang dipamerkan Claudio Bravo sepanjang musim lalu. Akhirnya Ederson memenuhi harapan beliau hingga menyaksikan gawang City sukar dibolosi.

Di benteng pertahanan, Guardiola memperkuatkan posisi tersebut dengan membawa masuk Kyle Walker, Benjamin Mendy dan Danilo. Walker yang sudah melakukan 18 penampilan (liga) untuk City saya anggap pembelian paling berbaloi yang dilakukan Guardiola musim ini dalam usahanya memantapkan benteng pertahanan The Cityzens. Kembalinya John Stones pada prestasi sebenar pula menyaksikan Guardiola memiliki begitu banyak pilihan di benteng pertahanannya.

Berbanding Guardiola, Mourinho pula menandatangani Eric Bailly (musim lalu) dan Victor Lindelof dalam usahanya meningkatkan kualiti di garisan pertahanan United. Bailly mampu beradaptasi dengan baik dalam dunia bolasepak Inggeris selepas semusim bersama United namun graf kemajuan Lindelof yang ditandatangani Mourinho dari Benfica Julai lalu pula bergerak agak perlahan. Di sisi bek kiri tiada pembelian baharu dilakukan Mourinho di mana Luke Shaw, Matteo Darmian, Ashley Young dan Daley Blind silih berganti mengisi posisi tersebut.

Dalam tempoh dua musim dilantik sebagai pengendali United, Mourinho dilihat agak agresif dalam usaha beliau memantapkan jentera tengah menerusi rekod dunia yang dicipta hasil dari pembelian Paul Pogba. Tidak cukup dengan itu, beliau kemudiannya menandatangani Henrikh Mkhitaryan dari Borussia Dortmund bagi menambah kreativiti di bahagian tengah. Musim ini pula, Mourinho membawa masuk Nemanja Matic bagi memastikan bahagian tengah skuadnya lebih kompetitif berbanding musim lalu.

Walau bagaimanapun secara jujurnya saya juga terpaksa mengakui bahawa barisan tengah yang dimiliki Mourinho masih gagal menandingi Kevin De Bruyne, David Silva dan Raheem Sterling yang tampil memukau musim ini. Ketiga-tiga mereka memang bukan pembelian yang dilakukan Guardiola tetapi dengan kehadiran Ilkay Gundogan dan Bernardo Silva, City memiliki squad depth yang lebih berkualiti hinggakan prestasi mereka kekal konsisten meskipun ketika Guardiola melakukan penggiliran pemain.

Di bahagian hadapan pula, City memiliki lebih banyak opsyen selaku penjaring tanpa terlalu bergantung kepada kelibat Sergio Aguero menerusi kehadiran Leroy Sane dan Gabriel Jesus. Setakat ini gabungan kedua-dua pemain ini sudah menyumbang 14 gol untuk City. Berbanding City, United pula nampaknya terlalu bergantung kepada sentuhan Zlatan Ibrahimovic (musim lalu) dan kini Romelu Lukaku selaku peledak utama. Bagaimanapun prestasi terpuji yang dipamerkan Jesse Lingard dan Anthony Martial musim ini tetap kredit yang bagus untuk United.

United Perlu Bangkit...

Tiga keputusan seri berturut-turut bukanlah terlalu buruk berbanding tiga kekalahan berturut-turut tetapi enam mata yang tercicir dari tiga perlawanan terakhir juga menyaksikan United bukan sahaja ketinggalan 15 mata di belakang City tetapi kedudukan tangga kedua mereka kini dirampas Chelsea. Di belakang pula, Liverpool semakin menghampiri selepas mereka merakamkan dua kemenangan berturut-turut dari tiga aksi terakhir yang menyaksikan barisan Jurgen Klopp cuma dibezakan tiga mata dengan United.

United bakal memulakan aksi pertama mereka ditahun baru di Goodison Park dan sudah tentu perlawanan menentang Everton ini merupakan perlawanan yang wajib dimenangi oleh kesebelasan Mourinho nanti selepas tiga keputusan seri yang dicatatkan mereka penghujung tahun lalu. Misi mengejar City mungkin sudah boleh dilupakan namun kini perebutan untuk kedudukan tangga kedua liga bakal menjadi lebih menarik membabitkan lima pasukan (United, Chelsea, Liverpool, Arsenal dan Spurs). Jika ada keajaiban kita mungkin juga boleh menyaksikan Burnley mencelah.

Saya tidak tahu bagaimanakah caranya Mourinho mengatasi masalah krisis di posisi penyerang tengah yang dihadapinya berikutan kecederaan yang dialami Lukaku dan Ibra. Sama ada Marcus Rashford atau Martial yang bakal digunakan beliau selaku penyerang tengah, Mourinho perlu membangkitkan kembali semangat barisan pemain-pemainnya agar tidak terus tercicir. Mungkinkah akan ada pembelian baharu yang bakal dilakukan Mourinho Januari ini bagi menjadikan skuadnya lebih kompetitif?

Saya berharap jika hal itu berlaku (United membeli pemain baharu), Mourinho mampu melakukan pembelian yang tepat sepertimana ketika Guardiola melakukan pelaburan bijak ke atas Ederson, Gabriel Jesus, Kyle Walker, Leroy Sane dan Kevin De Bruyne. Guardiola sudah menghabiskan £416 juta dalam usahanya menjadikan City skuad hampir sempurna, jadi saya tidak terkejut jika Mourinho turut melakukan hal yang sama. Jika bukan Januari ini, Mourinho pasti melakukannya pada musim panas nanti...Glory Glory Manchester United!!!