10 Februari 2019

TIGA MATA, TANGGA KEEMPAT DAN CABARAN DI PENTAS EROPAH




Selepas berjuang sekian lama, Manchester United akhirnya berjaya merebut posisi empat teratas hasil kemenangan 3-0 yang diraih mereka ke atas Fulham di Craven Cottage semalam. Bermula dari kedudukan keenam liga selepas Ole Gunnar Solskjaer mengambilalih posisi Jose Mourinho, United memintas Arsenal untuk posisi tangga kelima 3 Februari lalu dan semalam mereka memintas Chelsea pula untuk kedudukan tangga keempat.

Siapa sangka dua bulan lalu United berada 11 mata di belakang Chelsea, tetapi kini mereka berjaya menolak skuad bimbingan Maurizio Sarri itu ke tangga kelima dengan kelebihan satu mata. Bagaimanapun Chelsea masih memiliki kelebihan satu perlawanan dan sejauh mana United berjaya mempertahankan posisi keempat liga ini bergantung kepada keputusan pertemuan Manchester City dan Chelsea di Stadium Etihad tengah malam nanti.

Penggiliran Pemain

Menyedari ada perlawanan lebih besar yang perlu dihadapi United selepas ini (menentang Paris St Germain), Solskjaer melakukan rombakan di benteng pertahanan dan barisan depan skuadnya. Di Craven Cottage, Solskjaer menurunkan duet Chris Smalling dan Phil Jones selaku teraju di bahagian tengah benteng pertahanannya manakala Diogo Dalot menggantikan Ashley Young selaku bek kanan.

Di bahagian hadapan pula, tidak sepertimana perlawanan-perlawanan sebelum ini, Solskjaer menggunakan Romelu Lukaku selaku penggempur utama manakala Anthony Martial dan Juan Mata pula bergerak di sebelah kiri dan kanan dalam formasi 4-3-3. Berbanding benteng pertahanan dan hadapan, Solskjaer nampaknya masih memilih trio Nemanja Matic, Paul Pogba dan Ander Herrera bagi mengisi posisi di bahagian tengah.

Catatan Pogba

Dua gol yang dijaringkan Pogba ke gawang Fulham semalam menyaksikan beliau sudah menjaringkan 11 gol dalam saingan liga setakat ini. Jumlah 11 gol yang dijaringkan beliau itu juga menyaksikan Pogba berjaya melepasi angka jaringan dua digit buat pertama kali sepanjang karier profesionalnya.

Untuk rekod jumlah jaringan terbanyak yang dihasilkan Pogba dalam saingan liga berlaku di Serie A pada musim 2014-15 dan 2015-16. Pada musim ketiganya bersama Juventus (2014-15), Pogba menjaringkan lapan gol dan catatan sama diulangi beliau pada musim berikutnya.

Secara keseluruhan Pogba sudah menjaringkan 13 gol untuk United dalam semua kejohanan setakat ini. Dua lagi gol yang dijaringkan beliau ialah pada saingan Liga Juara-Juara. Sudah tentu kebebasan yang diberikan Solskjaer untuk beliau lebih  kerap bermain di petak penalti lawan antara faktor mengapa Pogba mampu melepasi angka jaringan peribadi terbaiknya (dalam saingan liga) sebelum ini.

Gol Solo Martial

Tidak dapat dinafikan antara pemain United yang menikmati impak positif sejak kehadiran Solskjaer di Old Trafford ialah Anthony Martial. Semalam Martial sekali lagi membuktikan potensi besarnya sebagai antara tonggak masa hadapan United menerusi gol solo yang dijaringkannya diminit ke-23.

Setakat ini Martial sudah menyumbangkan sembilan gol untuk United dalam saingan liga musim ini, tetapi apa yang menariknya ialah melihat bagaimana gol ke gawang Sergio Rico itu dihasilkan. Gol menerusi larian solo seperti itu bukan sahaja perlukan skill, tetapi juga keseimbangan, kekuatan dan kepantasan.

Gol menerusi larian-larian seperti itu adalah `trademark’ Martial kerana beliau bukan sahaja memiliki teknik yang bagus tetapi juga kepantasan ketika melakukan larian. Sudah tentu gol kedua United di Craven Cottage semalam turut mengingatkan saya kepada jaringan yang dihasilkan Martial ke gawang Liverpool pada 12 September 2015, iaitu ketika beliau melakukan penampilan pertamanya untuk United.

Solskjaer Masih Lagi `Unbeaten

Sembilan perlawanan liga sudah diharungi United di bawah kendalian Solskjaer dan sehingga kini mereka masih kekal dengan rekod tanpa kalah. Hanya Burnley satu-satunya pasukan yang berjaya mencalar rekod bersih Solskjaer selepas mereka berjaya mencuri satu mata dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford 30 Januari lalu.

Anda akan dilabel sebagai gila jika dua bulan sebelumnya anda mengatakan bahawa United akan menamatkan saingan musim ini di posisi empat teratas. Bagaimanapun segalanya berubah selepas kedatangan Solskjaer kerana sejak kekalahan mengaibkan di Anfield, United kemudiannya mengutip 25 mata dari sembilan perlawanan terakhir mereka.

Satu keajaiban juga untuk melihat bagaimana sekelompok pemain yang pada mulanya seperti hilang arah, tidak bernafsu dan tiada motivasi kini muncul kepada barisan yang digeruni. Apa yang sudah dilakukan Solskjaer? Jawapannya mudah. Tugas Solskjaer sejak 21 Disember lalu bukan sahaja menggantikan posisi Mourinho tetapi yang lebih utama ialah mengembalikan kegembiraan kepada pemain-pemainnya.

United di bawah kendalian Solskjaer bukan sahaja berubah dari segi corak permainan mereka tetapi juga mood pemain ketika mereka beraksi di atas padang. Ketika ditemubual Four Four Two, Solskjaer berkata, “Ini bukan tentang soal bagaimana saya mahu mempertahankan jawatan saya. Manchester United adalah tempat impian semua orang. Tugas saya setidaknya hingga akhir musim ialah mengembalikan mood pemain”.

Waktu Terbaik Hadapi PSG

United sedang menjalani `trend’ positif mereka di bawah kendalian Solskjaer menerusi sembilan perlawanan liga tanpa kalah. Sudah tentu kemenangan di Craven Cottage semalam selain posisi tangga keempat liga sebagai ganjaran bakal memberikan suntikan motivasi tambahan kepada barisan `The Red Devils’ ketika berdepan Paris St Germain, Rabu ini.

Dua jagoan Liga Perdana (Tottenham Hotspurs dan Arsenal) berjaya ditangani Solskjaer, dan awal pagi Rabu nanti Thomas Tuchel bersama barisan bintangnya pula hadir untuk memberikan ujian lebih getir buat United. Usah dibuai keyakinan dengan cerita kecederaan Neymar dan Edinson Cavani kerana gergasi Ligue 1 itu masih memiliki kualiti dalam barisan mereka menerusi kehadiran Kylian Mbappe, Angel Di Maria, Julian Drexler, Adrien Rabiot dan Gianluigi Buffon.

Rahsia di sebalik kebangkitan semula United dalam tempoh dua bulan terakhir bukan hanya berkisar tentang taktikal yang digunakan Solskjaer tetapi juga bagaimana beliau berjaya mengembalikan semula senyuman di wajah pemain-pemainnya. Berbanding 11 aksi domestik sebelum ini, PSG pula bakal menawarkan cabaran berbeza. Selepas tamat aksi di Old Trafford awal pagi Rabu nanti adakah senyuman akan terus terukir di wajah barisan `The Red Devils’? Glory Glory Manchester United!!! –Azhar Johar

07 Februari 2019

KENALI LAGENDA: KEANO....SI PEMARAH YANG TIADA GALANG GANTINYA




Siapakah kapten terbaik Manchester United sepanjang zaman? Secara peribadi dan tanpa ragu saya akan meletakkan Roy Keane sebagai pilihan. Pemain yang dilahirkan pada 10 Ogos 1971 di Cork, Ireland ini sangat dikenali menerusi gaya permainan beliau yang agresif. Di Old Trafford, Keano saya anggap kapten yang sangat fantastik bukan sahaja kerana gaya permainan beliau tetapi juga daya kepimpinannya sama ada di atas padang mahupun ketika di bilik persalinan.

Keano meninggalkan Old Trafford pada 2005 tetapi hingga kini sosok beliau ketika memimpin rakan-rakan sepasukan masih kuat melekat dibenak fikiran saya. Mulut lantangnya, perseteruan epik dengan Patrick Vieira serta terjahan-terjahan kerasnya menjadikan Keano pemain paling kontroversial sejak menyertai United dari 1993 hingga 2005. Keano adalah sosok pemain paling menakutkan tetapi dalam masa yang sama sentiasa dirindui penampilannya.

Zaman Remaja

Sejak kecil hinggalah usianya mencecah sembilan tahun, Keano sebenarnya menjadikan sukan tinju sebagai aktiviti nombor satu zaman kanak-kanaknya. Mungkin disebabkan postur tubuh badannya ketika itu dikatakan kurang ideal untuk menjadi seorang pemain bolasepak menyebabkan Keano lebih banyak menghabiskan masa di gimnasium tinju bandar kelahirannya.

Keano kemudiannya menyertai kelab bolasepak Rockmount AFC pada usia sembilan tahun, dan di sinilah bermulanya karier bolasepak beliau ketika zaman kanak-kanaknya. Selama lapan tahun beliau mengasah bakatnya bersama Rockmount, Keano akhirnya menyertai kelab separuh profesional Ireland, Cobh Ramblers pada 1989 selepas dipujuk pengurus pasukan remaja kelab tersebut, Eddie O’Rourke.

Dalam satu kejohanan peringkat remaja yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Ireland (FAI), penampilan Keano ketika berdepan Belvedere menarik perhatian Noel McCabe yang juga merupakan pencari bakat kelab Divisyen 1 Inggeris, Nottingham Forest. Selepas menjalani sesi `trial’ bersama Forest, Keano akhirnya ditawarkan kontrak untuk menyertai kelab yang berpangkalan di West Bridgford, Nottinghamshire itu pada musim panas 1990.

Kehidupan Di England

Penampilan pertama Keano untuk kelab baharunya berlaku dalam aksi pra-musim skuad bawah 21 tahun Forest ketika berdepan Haarlem di Belanda. Dalam perlawanan tersebut, Keano menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti sekaligus membuka jalan buat beliau tampil secara konsisten bersama skuad simpanan Forest.

Tertarik dengan perkembangan Keano bersama skuad simpanan, Brian Clough akhirnya memberikan penampilan pertama buat beliau dalam skuad utama Forest ketika mereka berdepan Liverpool di awal musim 1990-91. Gol jaringannya ke gawang Sheffield Wednesday pada 1991 pula merupakan gol pertama jaringan Keano dalam karier profesionalnya.

Secara perlahan-lahan Keano mula menjadi pilihan utama Clough di bahagian tengah sekaligus menyingkirkan Steve Hodge (yang juga merupakan pemain antarabangsa England) dari kesebelasan utama Forest. Sepanjang kempen Piala FA musim 1990-91 pula, Keano menjaringkan tiga gol untuk Forest tetapi malangnya mereka tewas (1-2) kepada Tottenham Hotspurs di pentas final.

Setahun kemudian, Keano sekali lagi kembali ke Wembley, kali ini dalam aksi final Piala Rumbelows (Piala Liga) pula, manakala lawan mereka kali ini ialah skuad Manchester United pimpinan Alex Ferguson. Bagaimanapun jaringan tunggal perlawanan oleh Brian McClair menyaksikan Forest sekali lagi terpaksa pulang ke Nottinghamshire dengan tangan kosong.

Prospek `Panas’

Kegagalan Keano membantu Forest menjulang trofi di dua pentas final tidak menghalang kelab-kelab ternama Inggeris untuk meletakkan beliau dalam radar sasaran pembelian mereka. Pada usia 22 tahun, Keano adalah antara prospek hangat ketika itu hingga menyaksikan Kenny Dalglish (pengurus Blackburn Rovers) secara terbuka mengeluarkan kenyataan tentang kemungkinan membawa beliau berpindah ke Lancashire.

Pada musim 1992-93, ketika masa depan beliau di Nottinghamshire semakin hangat diperdebatkan, Keano sebaliknya bersetuju menandatangani kontrak  baharu bersama Forest. Bagaimanapun terdapat klausa pelepasan dalam kontrak beliau yang membenarkan Keano berpindah sekiranya Forest tersingkir dari saingan divisyen utama bolasepak Inggeris. Di penghujung musim, klausa perpindahan Keano diaktifkan selepas Forest bersama-sama Middlesbrough dan Crystal Palace sah tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Ketika Fergie `Menculik’ Keano

Perkembangan itu menyaksikan Blackburn Rovers muncul kelab paling kehadapan dalam usaha mendapatkan khidmat Keano. Dalglish melayangkan tawaran sebanyak £4 juta kepada Forest dalam misi beliau mendaratkan Keano ke Lancashire. Bagaimanapun hasrat Dalglish untuk memperkenalkan Keano sebagai pemain baharunya di Ewood Park pada hari Jumaat tertangguh kerana masalah dokumentasi yang kurang lengkap.

Disebabkan cuti hujung minggu, Dalglish nampaknya terpaksa menunggu hingga hari Isnin dalam usaha beliau melengkapkan perpindahan Keano. Bagaimanapun 56 kilometer dari Ewood Park, kisah perpindahan Keano yang tertangguh itu akhirnya sampai ke telinga Alex Ferguson. Menyedari peluang untuk beliau menyelinap di sebalik masalah yang dialami Blackburn itu, Fergie membuat panggilan terus kepada Keano bagi menyatakan minat United terhadapnya.

Berbekalkan status selaku juara Liga Perdana serta sejarah gemilang yang dimiliki United, tawaran Fergie menyebabkan Keano akhirnya `berpaling tadah’. Keesokkan harinya beliau tiba di Old Trafford untuk menandatangani kontrak menyertai United. Menerusi nilai sebanyak £3.75 juta yang dibayar United kepada Forest, perpindahan Keano ke Old Trafford mencatatkan rekod perpindahan di England ketika itu.

Era Bermula

Bryan Robson, Paul Ince dan Mike Phelan antara inspirasi kejayaan kelab menjulang trofi liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun musim sebelumnya. Bagaimanapun Robson yang sudah berusia 36 tahun ketika itu berada di penghujung karier. Masalah kecederaan panjang yang melanda `Captain Marvel’ United itu membuka peluang buat Keano digandingkan bersama Ince di bahagian tengah.

Keano memilih waktu dan tempat yang tepat apabila beliau menjaringan dua gol pada penampilan pertamanya di gelanggang sendiri ketika United menewaskan Sheffield Wednesday (3-0) dalam saingan liga. Keano menamatkan musim pertamanya di Old Trafford (1993-94) dengan cemerlang menerusi 34 penampilan liga dan menjaringkan lima gol. Tambah manis musim tersebut juga menyaksikan United menjulang kejuaraan `doubles’ (Liga Perdana dan Piala FA) sekaligus medal kejuaraan pertama Keano dalam karier profesionalnya.

Kad Merah Pertama

Jika pada musim pertamanya di Old Trafford berjaya diharungi beliau dengan cemerlang, hal sebaliknya berlaku pada musim kedua Keano menyarung jersi United. Musim 1994-95 bukan sahaja menyaksikan United terpaksa menyerahkan trofi kejuaraan liga kepada Blackburn Rovers, malah mereka juga gagal mempertahankan kejuaran Piala FA selepas tewas kepada Everton (0-2) di pentas final.

Pada 12 April 1995, Keano mengutip kad merah pertamanya sejak menyertai United dalam aksi ulangan peringkat separuh akhir Piala FA menentang Crystal Palace. Tindakan beliau memijak Gareth Southgate dalam aksi yang dilangsungkan di Villa Park itu menyaksikan Keano bukan sahaja dilayangkan kad merah malah turut digantung tiga perlawanan. Ini merupakan kad merah pertama Keano dari 11 yang diterimanya sepanjang karier beliau bersama United.

Era Baharu

Selepas menyaksikan United gagal memenangi sebarang kejuaraan `major’ pada musim 1994-95, Fergie melakukan rombakan besar-besaran dalam skuadnya bagi menghadapi musim baharu. Langkah Fergie `meremajakan’ skuadnya menyaksikan pemain-pemain berpengalaman seperti Paul Ince, Andrei Kanchelskis dan Mark Hughes terpaksa angkat kaki meninggalkan Old Trafford.

Ketika keputusan Fergie mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi United dipandang sinis pengkritiknya, barisan muda The Red Devils yang dipacu pemain berpengalaman seperti Eric Cantona, Brian McClair, Steve Bruce, Keano dan Gary Pallister mengejutkan ramai pihak apabila mereka menamatkan musim 1995-96 dengan kejuaraan berganda (Liga Perdana dan Piala FA).

Tanggungjawab Baharu

Keano diberikan tanggungjawab sebagai kapten pasukan selepas Eric Cantona mengumumkan persaraan mengejut sebaik sahaja lagenda Perancis itu membantu United memenangi trofi kejuaraan liga pada musim 1996-97. Musim pertama Keano sebagai kapten bagaimanapun tidaklah indah kerana beliau hanya tampil dalam sembilan perlawanan awal liga.

Kecederaan ligamen yang dialami beliau ketika berdepan Leeds United mengakibatkan Keano terpaksa menamatkan kempen musim 1997-98 lebih awal dan hanya menyaksikan aksi United dari bangku penonton. Di penghujung musim, United tewas dalam perlumbaan merebut kejuaraa liga kepada Arsenal menerusi perbezaan hanya satu mata.

Ketika Arsenal di bawah pimpinan Arsene Wenger semakin ghairah mencabar kuasa United sebagai `Raja Bolasepak Inggeris’, kehilangan khidmat pemain berpengaruh seperti Keano di awal musim adalah satu tragedi buat kelab. Jadi tidak hairanlah mengapa ramai pihak berpendapat ketiadaan Keano antara punca mengapa United gagal memenangi sebarang kejuaraan musim tersebut.

Kembali Lebih Garang

Selepas pulih dari kecederaan, Keano kembali mengetuai rakan-rakan sepasukan bagi menghadapi kempen musim baharu (1998-99). Jika musim sebelumnya dianggap musim serba malang buat Keano sejak ketibaannya di Old Trafford pada 1993, musim 1998-99 pula adalah musim paling gemilang buat beliau. Ya...inilah musim paling gemilang dalam sejarah kelab apabila mereka berjaya memenangi kejuaraan `treble’, pencapaian yang masih gagal digapai oleh mana-mana kelab Inggeris hingga kini.

Selepas mengetuai United mengetepikan cabaran sengit Arsenal hingga ke perlawanan terakhir liga, Keano kemudiannya menjulang trofi Piala FA di Wembley pada 22 Mei 1999. Kejayaan mengatasi Newcastle United menerusi jaringan Teddy Sheringham dan Paul Scholes itu membolehkan Keano mengumpul medal kejuaraan Piala FA peribadi ketiganya. Empat hari selepas itu, United melengkap kejuaraan `treble’ mereka menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara di Nou Camp.

Di Nou Camp, Keano memang tidak beraksi kerana penggantungan. Tetapi tanpa gol jaringannya ke gawang Juventus yang kemudiannya meniupkan api kebangkitan United di Turin, barisan Fergie tidak akan berada di pentas final. Gol tandukkannya yang menewaskan Angelo Peruzzi diminit ke-24 itu mengubah arus perlawanan. Prestasi Keano dalam aksi yang dilangsungkan pada awal pagi 22 April 1999 itu turut dilabel sebagai persembahan terbaik beliau sepanjang karier profesionalnya.

Menamatkan Karier Haaland

Perseteruan panjang membabitkan Keano dan Patrick Vieira di atas padang sering mewarnai persaingan United dan Arsenal dipenghujung dekad 90an hinggalah awal era millennium. Bagaimanapun insiden paling terkenal membabitkan Keano ketika beraksi di atas padang ialah terjahan kerasnya ke atas Alf Inge Haaland pada aksi `Manchester Derby’ pada 2001.

Jika tendangan kung fu Eric Cantona meninggalkan bekas mendalam kepada Matthew Simmons, terjahan keras Keano ke atas Haaland pula menyebabkan pemain antarabangsa Norway itu bersara. Insiden pada 2001 itu berpunca dari dendam lama, dendam yang disimpan Keano sejak 1997 ketika Haaland masih menyarung jersi Leeds United.

Pada musim 1997-98, ketika aksi kesembilan liga menentang Leeds United, Keano mengalami kecederaan ligamen dalam percubaan beliau merebut bola dari kaki Haaland. Ketika Keano terbaring kesakitan, Haaland menghamburkan kata-kata kesat sambil menuduh Keano berpura-pura cedera bagi mengelakkan hukuman dari pengadil perlawanan.

Keano kemudiannya diusung keluar dan akhirnya terpaksa melupakan baki saingan musim tersebut. Selepas empat tahun menyimpan dendam, Keano melunaskannya pada 21 April 2001 saat United melayan kunjungan Manchester City di Old Trafford. Terjahan keras Keano tepat kelutut Haaland menyebabkan warga Norway itu terpaksa berehat panjang dan akhirnya bersara dua tahun kemudian.

Dalam autibiografi beliau, Keano mendedahkan bahawa beliau tidak pernah menyesal atas tindakan `ganasnya’ keatas Haaland. “Ada sebahagian penyesalan dalam hidup saya. Tetapi insiden dengan Haaland tidak termasuk di dalamnya”, kata Keano. Pendedahan berani Keano dalam autobiografinya berkaitan insiden dengan Haaland menyebabkan beliau digantung lima perlawanan dan dikenakan denda sebanyak £150,000 pada Ogos 2002.

Era Berakhir

Kecenderungan Keano mengkritik rakan-rakan sepasukan selain perang mulut yang berlaku antara beliau dan Fergie menjadi penyebab utama penyingkirannya pada 2005. “Dia membunuh semua orang. Darren Fletcher, Alan Smith dan Van der Sar semua menerimanya. Roy menjatuhkan mereka semua. Bahagian paling kuat pada tubuh Roy ialah lidahnya. Dia mampu melunturkan keyakinan mana-mana individu yang memiliki keyakinan diri tinggi dengan pantas menerusi kata-katanya”, dedah Fergie dalam autobiografinya yang diterbitkan pada 2013.

Meskipun berlaku konfrontasi antara Fergie dengan kaptennya itu, satu perlawanan testimonial telah diaturkan pada 2006 bagi menghargai jasa dan sumbangan Keano selama 12 tahun di Old Trafford. Pemergian Keano menurut Fergie menjadikan bilik persalinan United lebih santai tetapi dalam masa sama beliau kehilangan sosok pemimpin diatas padang yang tiada galang gantinya. Sejak pemergian Keano juga, United masih menunggu pemain seperti beliau...pemain “yang lebih rela mati keletihan daripada menderita kerana kekalahan”...Glory Glory Manchester United – Azhar Johar

02 Februari 2019

SELAMAT TINGGAL DAN TERIMA KASIH FELLA


Teka teki tentang masa depan Marouane Fellaini akhirnya terjawab apabila pemain antarabangsa Belgium itu sah meninggalkan Old Trafford untuk menyertai kelab China, Shandong Luneng. Tiba di Old Trafford dari Goodison Park pada musim panas 2013, Fellaini boleh dianggap `pembelian besar’ yang dilakukan David Moyes dalam usaha beliau menguatkan jentera tengah United ketika itu.

Anda boleh katakan apa sahaja tentang Fella, namun dalam masa yang sama kita juga terpaksa mengakui bahawa di bawah era Moyes, Louis Van Gaal dan kemudiannya Jose Mourinho, Fella boleh dianggap antara tonggak penting United di bahagian tengah. November tahun lalu, Fellaini menjaringkan gol penting di masa kecederaan ketika berdepan Young Boys sekaligus mengesahkan kemaraan United ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Gol itu bukan sahaja diraikan penuh emosi oleh Mourinho, malah warga Portugal itu turut memuji sumbangan Fella selepas tamat perlawanan yang dilangsungkan di Old Trafford itu. Jangan lupakan juga jaringan penyamaan yang dilakukannya ketika berdepan Derby County dalam saingan Piala Carabao September lalu. United bagaimanapun akhir disingkir barisan Frank Lampard selepas mereka tewas (7-8) menerusi penentuan sepakan penalti.

Peranan Fella

Fella tidak memiliki skill individu memukau seperti Diego Maradona, Lionel Messi ataupun Cristiano Ronaldo. Visi permainannya juga tidak sehebat Paul Scholes atau Andreas Iniesta tetapi Fella ialah pemain serbaguna yang dimiliki Moyes, Van Gaal dan Mourinho ketika era mereka mengendalikan United. Ketika United berdepan krisis kecederaan pemain pertahanan, Fella pernah ditugaskan Mourinho sebagai pertahanan tengah.

Ketika United berdepan kebuntuan dalam usaha menembusi pintu gol lawan, Fella sering diarahkan untuk berada dalam petak penalti lawan bagi menerima hantaran-hantaran tinggi kerana kekuatan yang dimilikinya dalam situasi perebutan bola di udara. Dalam peranan sebagai pemain `nombor 8’ pula, Van Gaal dan Mourinho mengakui bahawa kehadiran Fella memberikan keseimbangan kepada pasukan dalam situasi bertahan mahupun menyerang.

Statistik

Sepanjang kariernya di Old Trafford, Fella lebih kerap beroperasi sebagai `holding midfielder’ mahupun sebagai `central midfielder’. Walau bagaimanapun tugas Fella bukan sekadar berlegar-legar di bahagian tengah padang tetapi seperti yang saya sebutkan beliau juga kerap dilihat berlegar-legar di dalam petak penalti lawan bagi menerima hantaran-hantaran bola tinggi kerana fizikal yang dimilikinya.

Sesuai dengan falsafah bolasepah Mourinho, sepanjang musim 2016-17 Fella melakukan catatan aksi defensif yang cukup baik. Fella melakukan purata 2 terjahan (`tackle’), 1 `intercept’ serta 1.9 `clearance’ dalam setiap perlawanan. Dalam situasi bola tinggi pula, Fella memenangi 3.4 duel di udara dalam setiap perlawanan. Angka-angka tersebut menyaksikan Fella muncul pemain yang cukup banyak melakukan catatan defensif dalam skuad United.

Mourinho memerlukan seorang pemain yang mampu memanfaatkan peluang ketika hantaran-hantaran bola tinggi ditujukan terus ke arah pintu gol lawan, sama ada dalam situasi terbuka ataupun dalam situasi bola mati (`set piece’).  Kecenderungan Mourinho mengamalkan corak permainan terus (`direct’) inilah yang menjadi nilai tambah Fella dalam skuad United meskipun beliau bukanlah seorang pemain yang menarik untuk disaksikan aksinya di tengah padang.

Turun Status

Jun tahun lalu, Fella menandatangani lanjutan kontrak selama dua tahun yang menyaksikan beliau kekal di Old Trafford hingga 2020. Fella jelas sangat gembira dengan kontrak baharu itu meskipun ada segelintir penyokong-penyokong mahukan beliau pergi. Bagaimanapun kegembiraan Fella tidak bertahan lama kerana enam bulan selepas itu, Mourinho dipecat kerana prestasi buruk yang dipamerkan United sepanjang 17 perlawanan awal liga.

Daripada pemain tonggak di era Mourinho, status Fella berubah kepada `pemanas bangku simpanan’ sebaik Ole Gunnar Solskjaer mengambilalih teraju pengendali. Situasi ini jelas tidak menggembirakan Fella, jadi tidak hairanlah mengapa sejak penghujung Disember lalu khabar angin tentang penghijrahan Fella bertiup kencang. Pernah diberitakan bakal menyertai Juventus tetapi kini Fella memilih China sebagai destinasi meneruskan kariernya.

United Lebih Baik Tanpa Fella?

Pada Januari 2018, Barney Ronay yang juga merupakan jurnalis Guardian menulis bahawa United skuad yang lebih bagus tanpa Fella. Benarkah begitu? Alasan Ronay cukup mudah kerana selama lima tahun sebelum kedatangan Fella, United berjaya memenangi kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara. Bagaimanapun selepas lima musim Fella berada di Old Trafford, United ketandusan kejuaraan dua trofi tersebut.

Dan selama lima musim United ketandusan gelaran Liga Perdana serta Liga Juara-Juara, Fella pula menjadi antara pemain sandaran utama Moyes, Van Gaal dan Mourinho. Di era tiga pengurus ini, Fella bukan sahaja sering diberikan kepercayaan tampil dalam perlawanan-perlawanan besar malah kelibatnya juga sering digunakan ketika pasukan dalam situasi genting. Contoh terbaik bagaimana anda melihat aksinya di final Liga Europa berdepan Ajax Amsterdam.

Ketika Ajax yang dibarisi pemain-pemain muda lebih banyak menguasai bola, Mourinho pula mengamalkan pendekatan permainan lebih `direct’ dengan menjadikan kepala Fella sebagai sasaran hantaran-hantaran bola tinggi. Fella pemain yang sangat patuh, berdisiplin dalam taktikal, licik, tidak ragu-ragu melakukan `kerja-kerja kotor’ demi kepentingan pasukan dan sentiasa bersedia memberikan komitmen 100% ketika di atas padang.

Selain dari kemampuannya memainkan peranan dalam posisi nombor 6 dan 8, Fella juga mampu melaksanakan tugasnya dengan berkesan jika beliau diarahkan untuk bermain di posisi nombor 9 atau 10. Kemampuan beliau memainkan peranan sebagai pemain nombor 9 dan 10 menyaksikan Fella berjaya menjaringkan tujuh gol pada musim 2014-15 ketika kelab di bawah kendalian Van Gaal.

Dalam soal sumbangan beliau kepada pasukan, kata-kata Roberto Martinez yang juga merupakan pengurus skuad kebangsaan Belgium mungkin gambaran paling tepat mengapa Fella dianggap sosok penting selama lima musim beliau berada di Old Trafford. “Sebagai pemain, kesungguhannya ketika beraksi di atas padang sangat mengagumkan. Dia bermain seolah-olah inilah perlawanan terakhirnya dan esok hari dunia akan berakhir”, kata Martinez.

Nasib Berbeza

Berbanding Mourinho yang lebih menekankan corak permainan lebih `direct’, Solskjaer pula memilih pendekatan bolasepak lebih moden dalam taktikal permainannya. Sejak dikendalikan Solskjaer, United sudah mengharungi sembilan perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan (menang lapan dan seri satu).

Kini menurut penganalisis bolasepak dan para penyokong United, permainan `The Red Devils’ di bawah arahan Solskjaer jauh lebih enak ditonton menerusi pendekatan bolasepak moden manakala `counter attack’ mereka pula lebih tersusun dan sistematik. Tidak sepertimana Moyes, Van Gaal dan Mourinho, corak permainan menarik United yang dibina Solskjaer ini tanpa menggunakan khidmat Fella.

Sejak posisi Mourinho diambilalih Solskjaer, Fella cuma tampil selama 31 minit dari sembilan aksi setakat ini. Beliau cuma bermain selama tiga minit ketika United menewaskan Cardiff City (5-1) dalam saingan liga, manakala 28 minit lagi ketika Solskjaer menurunkannya dalam saingan Piala FA menentang Reading di Old Trafford (United menang 2-0).

Pilih Jalan Terbaik

Ketika mendapati dirinya bukan lagi pilihan Solskjaer dalam mengisi senarai kesebelasan utama United, langkah terbaik yang perlu dilakukan Fella ialah mencari jalan keluar. Secara peribadi saya berpendapat Fella masih punya kualiti untuk terus kekal di Old Trafford tapi dalam masa yang sama gaya permainan yang diterapkan Solskjaer tidak memungkinkan untuk beliau membarisi kesebelasan utama United.

Di era Moyes, Van Gaal dan Mourinho, Fella merupakan pemain yang sangat berdisiplin dalam mengadaptasi taktikal mereka di atas padang. Kekuatan fizikalnya digunakan beliau ketika bertahan mahupun menyerang tetapi United di bawah kendalian Solskjaer memerlukan seorang pemain yang memiliki teknik serta berkemahiran di bahagian tengah. Lebih tepatnya Fella lebih cocok dalam gaya permainan Mourinho berbanding Solskjaer.

Terima Kasih Fella

Fella merupakan personaliti yang baik, disenangi rakan dan dikatakan antara suara paling lantang di bilik persalinan ketika era Moyes, Van Gaal dan Mourinho. Sepanjang lima musim penglibatan beliau di Old Trafford, Fella tidak pernah mengeluh dan sentiasa menjadi opsyen alternatif pengurus dalam situasi genting atau ketika pasukan memerlukan gol.

Tanpa golnya ke gawang Celta Vigo di peringkat separuh akhir, United tidak akan berada di final dan menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali dalam sejarah kelab. Juga jangan lupakan gol-gol penting yang dijaringkan Fella buat United terutama sekali gol-gol yang dijaringkannya di penghujung babak perlawanan.

Saya akan mengingati Fella bukan hanya kerana fesyen rambutnya, tetapi saya juga akan mengingati Fella kerana beliau adalah simbol kebergantungan Moyes, Van Gaal dan Mourinho ketika mereka berada dalam situasi panik. Siapa lagi paling diharapkan mereka bagi menyudahkan peluang dalam situasi bola tinggi ketika pasukan sedang ketinggalan atau ketika mereka perlukan gol kemenangan? Hanya Fella....Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

30 Januari 2019

BERAKHIRNYA RENTETAN KEMENANGAN UNITED




Perjalanan epik lapan kemenangan berturut-turut (dalam semua kejohanan) Manchester United pasca pemecatan Jose Mourinho berakhir awal pagi tadi di tangan Burnley, kelab yang kini berada di tangga ke-15 liga. Meskipun pada mulanya United diramal mampu meneruskan momentum kemenangan mereka, namun Burnley akhirnya menunjukkan kepada kita bahawa ada beberapa aspek yang perlu diperbaiki Ole Gunnar Solskjaer dalam skuadnya jika beliau mahu meletakkan United di kelompok empat teratas akhir musim nanti.

Keputusan ini tidak menepati ramalan kita tetapi tetap ada sisi positif yang ditunjukkan barisan United walaupun mereka terpaksa bangkit di penghujung perlawanan. Seri menentang kelab yang memiliki kelebihan empat mata dari zon penyingkiran bukanlah sesuatu yang ingin kita lihat terutamanya apabila terpaksa berjaga di awal pagi. Bagaimanapun sangat menarik juga apabila melihat bagaimana barisan `The Red Devils’ melakukan kebangkitan dalam tempoh sembilan minit terakhir selepas Chris Wood menjaringkan gol kedua pelawat di minit ke-81.

Kesilapan Solskjaer?

Berbanding lapan perlawanan sebelum ini, Solskjaer sebaliknya melakukan pendekatan berbeza dalam aksi yang dilangsungkan awal pagi tadi. Dalam formasi 4-1-4-1 yang digunakan beliau, Solskjaer meletakkan Romelu Lukaku selaku penggempur tunggal di bahagian hadapan. Keputusan Solskjaer menggunakan seorang penyerang menyebabkan United hilang ketajaman ketika berada di dalam kotak penalti lawan.

Keputusan Solskjaer meletakkan Jesse Lingard di bangku simpanan ketika Anthony Martial tiada dalam senarai pemain juga menimbulkan tanda tanya. Berbanding meletakkan Lingard sebagai `starter’, Solskjaer sebaliknya memilih Andreas Pereira dalam senarai kesebelasan utamanya. United hilang sedikit kreativiti di bahagian tengah malah kesilapan yang dilakukan Pereira membuka ruang buat Ashley Barnes menjaringkan gol pertama pelawat di minit ke-51.

Hal Positif

Bukan mudah untuk mana-mana pasukan bangkit dari ketinggalan dua gol ketika masa sebenar perlawanan berbaki sembilan minit sebelum ditamatkan. Sebaik Chris Wood menjaringkan gol kedua pelawat di minit ke-81, saya menjangkakan tidak banyak yang mampu dilakukan pemain-pemain United dalam usaha mereka untuk cuba mengelak dari menerima kekalahan pertama di era Solskjaer.

Bagaimanapun agak luar biasa apabila melihat bagaimana anak-anak buah Solskjaer bangkit selepas itu terutamanya dalam tempoh tiga minit terakhir masa sebenar perlawanan. Kekuatan mental, semangat juang dan cara mereka memadam defisit dua gol lawan ketika tempoh permainan semakin singkat sangat mengagumkan.

Bermula dari sepakan penalti Paul Pogba di minit ke-87, tekanan demi tekanan yang dilakukan ke atas benteng lawan akhirnya memaksa mereka melakukan kesilapan hingga membolehkan Victor Lindelof menjaringkan gol penyamaan (di minit ke-90+2). Mungkin jika tempoh perlawanan masih berbaki sekurang-kurangnya lima minit, saya yakin United mampu memburu gol ketiga.

Mengulas tentang hal tersebut Solskjaer berkata, “Ketika berjalan ke sini (bilik sidang media) saya terpaksa berhenti beberapa kali kerana staff kami. Mereka banyak bercakap tentang semangat juang, mental dan cara kami bangkit. Saya tetap berpuas hati dengan satu mata walaupun kami sepatutnya menamatkan perlawanan ini dengan tiga mata”.

Sumpahan `Fergie Time’

Tatkala pasukannya sedang mendahului 2-1 dan ketika Martin Atkinson mengangkat papan waktu yang menunjukkan tambahan masa lima minit perlawanan, Sean Dyche merasakan sesuatu yang tidak enak bakal berlaku. Pengurus berusia 47 tahun itu faham benar bahawa United memiliki sejarah yang cukup panjang dalam melakukan kebangkitan, terutamanya ketika perlawanan memasuki fasa tempoh lima minit masa kecederaan.

Ketika kelab di bawah kendalian Sir Alex Ferguson, United sangat akrab dengan tambahan waktu lima minit. Ketika fasa inilah mereka kerap melakukan kebangkitan dalam usaha menyelamatkan mata-mata penting atau menjaringkan gol-gol kemenangan. “Ketika tambahan lima minit diberikan, suasana mula menjadi luar biasa. Kami tahu sejarahnya iaitu `Fergie Time’. Anda boleh merasakan penyokong-penyokong mereka mula bangkit”, kata Dyche.

Akhirnya kebimbangan Dyche menjadi kenyataan kerana selepas dua minit masa tambahan berjalan, Victor Lindelof menjaringkan gol penyamaan sekaligus menamatkan impian pelawat untuk menamatkan rekod tanpa kalah United di bawah kendalian Solskjaer. Mujurlah United sudah kehabisan waktu untuk memburu gol ketiga kerana jika tidak keputusan di akhir perlawanan awal pagi tadi mungkin berbeza.

Pelajaran Berguna

United gagal memenangi perlawanan ini tetapi dalam masa yang sama mereka juga tidak kalah. Secara keseluruhannya, United tidak bermain dengan baik sepanjang tempoh 60 hingga 70 minit pertama perlawanan. Tidak sepertimana perlawanan-perlawanan sebelumnya, barisan kendalian Solskjaer kurang agresif, hilang kreativiti di bahagian tengah serta tumpul ketika berada dalam petak penalti lawan. Semoga Kesilapan yang dilakukan pemain muda seperti Andreas Pereira selain kegagalan Marcus Rashford menyudah peluang dalam situasi terbuka di babak pertama menjadi pengajaran berguna buat mereka.

Secara tepatnya, United perlu memulakan perlawanan dengan lebih agresif berbanding apa yang mereka tampilkan awal pagi tadi. Sepanjang babak pertama mereka bermain seolah-olah sedang mendahului lawan dan hanya mula memberikan `response’ selepas jaringan Ashley Barnes terhasil. Meskipun kemampuan United melakukan kebangkitan merupakan hal yang positif namun kegagalan mengutip tiga mata dalam perlawanan yang sepatutnya mereka menangi bukanlah sesuatu yang bagus. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

26 Januari 2019

REKOD SEMPURNA UNITED DI BAWAH SOLSKJAER BERTERUSAN




Arsenal menguasai bola tetapi Manchester United muncul pemenang di akhir perlawanan. Itulah senario yang berlaku di Stadium Emirates awal pagi tadi. Kekalahan ini juga menyaksikan hanya Liga Europa merupakan satu-satunya sasaran realistik buat Arsenal untuk mereka menamatkan musim ini dengan sekurang-kurangnya satu kejuaraan pada musim pertama Unai Emery di Stadium Emirates.

Bagi United pula, ini merupakan kemenangan kelapan berturut-turut mereka dalam semua kejohanan pasca pemecatan Jose Mourinho sekaligus membolehkan barisan Ole Gunnar Solskjaer melangkah ke pusingan kelima. Kesabaran menanti peluang ketika lawan menguasai bola adalah kunci kemenangan United di mana hasilnya mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Alexis Sanchez (minit ke-31) dan Jesse Lingard (minit ke-33).

Bagaimanapun di penghujung babak pertama perlawanan, Arsenal berjaya mengecilkan defisit jaringan gol menerusi sentuhan penyudah Pierre Emerick Aubamenyang di minit ke-43. Di babak kedua perlawanan, meskipun Arsenal meneruskan penguasaan bola mereka, gol jaringan Anthony Martial (diminit ke-82) akhirnya menamatkan sebarang usaha `The Gunners’ cuba menyelamatkan kempen mereka dalam saingan Piala FA musim ini.

Taktikal

Tiada keputusan lain selain kemenangan tambahan pula mereka beraksi di gelanggang sendiri. Itulah misi utama Arsenal awal pagi tadi. Bersandarkan kepada kekuatan di bahagian serangan menerusi ketajaman Pierre Emerick Aubamenyang dan Alexandre Lacazette, Unai Emery menggunakan formasi 4-3-1-2 dengan meletakkan dua pemain itu di bahagian hadapan. Sebagai sokongan, Emery menggunakan trio Aaron Ramsey, Alex Iwobi dan Lucas Torreira di belakang ketika mereka menyerang.

Di kem United pula, Ole Gunnar Solskjaer melakukan perubahan dengan meletakkan Marcus Rashford dan Anthony Martial di bangku simpanan. Untuk perlawanan ini beliau meletakkan gandingan Jesse Lingard, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez selaku trio di jentera serangan menerusi formasi 4-3-3. Di bahagian tengah, Solskjaer sekali lagi menjadikan Paul Pogba sebagai titik transisi permainan United daripada bertahan kepada menyerang.

Arsenal Dihukum Dengan Cara Klasik United

Sejak dari dahulu lagi kita mengenali United sebagai sebuah pasukan yang sangat berbahaya dengan corak permainan `counter attack’ mereka. United dan `counter attack’ memang sangat sinonim dan itulah yang membunuh Arsenal awal pagi tadi. Meskipun Arsenal memiliki 63% penguasaan bola tetapi United menunjukkan bahawa mereka pasukan yang lebih efektif ketika menyerang.

Sepanjang perlawanan, United melepaskan lapan percubaan di mana empat daripadanya merupakan percubaan tepat manakala Arsenal pula melepaskan lima percubaan tepat ke arah Sergio Romero dari 13 tembakan yang mereka lakukan. Melihat kepada tiga gol yang dijaringkan United awal pagi tadi mengingatkan saya kepada tipikal gaya permainan mereka selama bertahun-tahun di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.

Maaf buat penyokong-penyokong Arsenal jika saya katakan bahawa permainan United lebih tersusun biarpun barisan kendalian Unai Emery mencatatkan peratus penguasaan bola yang lebih tinggi. Sangat menarik kerana anda bukan sahaja dapat menyaksikan bagaimana United sangat berbahaya dalam `counter attack’ tetapi juga kerja keras yang mereka lakukan ketika bertahan.

Pemain Terbaik

Ada beberapa pemain United yang layak diberikan pujian di sebalik kemenangan ke atas Arsenal awal pagi tadi. Victor Lindelof, Ander Herrera, Paul Pogba dan Jesse Lingard antara yang menyinar tetapi secara peribadi saya memilih Romelu Lukaku sebagai pemain terbaik perlawanan. Meskipun kemampuan beliau sebagai penggempur sering dipertikaikan namun awal pagi tadi sumbangan Lukaku menerusi dua `assist’ yang dilakukannya membolehkan United menyingkirkan Arsenal.

Sepanjang perlawanan, Lukaku lebih kerap bergerak di sebelah kanan bagi membolehkan Jesse Lingard memainkan peranan sebagai penyerang tengah. Mengulas tentang tindakan beliau mengarahkan Lukaku bergerak di sebelah kanan, Solskjaer berkata, “Peranan selaku penyerang sayap bukanlah asing buat Lukaku. Saya pernah menyaksikan beliau melakukannya di Everton. Kami tahu beliau sangat kuat dalam `duel’ di udara tapi kami kurang mendapat peluang melakukan hantaran-hantaran silang. Beliau melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam menarik pertahanan lawan dan memberikan dua `assist’.

Gaya Berbeza

Perlawanan ini berlaku dalam masa yang kurang tepat buat Arsenal. Meskipun pada awalnya barisan `The Gunners’ diramalkan mampu menamatkan rentetan tujuh kemenangan United di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dalam semua kejohanan, hal sebaliknya berlaku di Stadium Emirates awal pagi tadi. Pasca pemecatan Jose Mourinho, United berubah secara drastik dari segi corak permainan dan juga penampilan pemain-pemain di atas padang.

Petr Cech yang pintu golnya dibolosi tiga kali mengakui bahawa aspek paling paling berbeza ketika beliau melihat penampilan terkini United ialah keyakinan tinggi dimiliki pemain-pemainnya. Selain daripada itu beliau juga menilai United sebagai sebuah barisan yang sangat berbahaya ketika menyerang dan kental saat bertahan. “Satu hal yang jelas mereka kini lebih bebas bermain dan memiliki keyakinan diri yang tinggi ketika menyerang. Jadi tidak hairanlah jika mereka menang perlawanan demi perlawanan”, kata Cech.

Ada benarnya apa yang dikatakan Cech itu kerana sejak United ditangani Solskjaer, mereka sudah merakamkan lapan kemenangan berturut-turut, menjaringkan 22 gol, manakala pintu gol mereka pula cuma dibolosi lima kali. Arsenal menanti kunjungan United dalam motivasi yang tinggi berikutan kejayaan mereka membenam Chelsea (2-0) minggu lalu. Bagaimanapun United kini bukanlah barisan yang sama ketika mereka berjaya mencuri satu mata pada aksi liga yang dilangsungkan di Old Trafford 6 Disember lalu. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar