Selepas berjuang sekian lama, Manchester
United akhirnya berjaya merebut posisi empat teratas hasil kemenangan 3-0 yang
diraih mereka ke atas Fulham di Craven Cottage semalam. Bermula dari kedudukan
keenam liga selepas Ole Gunnar Solskjaer mengambilalih posisi Jose Mourinho,
United memintas Arsenal untuk posisi tangga kelima 3 Februari lalu dan semalam
mereka memintas Chelsea pula untuk kedudukan tangga keempat.
Siapa sangka dua bulan lalu United berada 11
mata di belakang Chelsea, tetapi kini mereka berjaya menolak skuad bimbingan
Maurizio Sarri itu ke tangga kelima dengan kelebihan satu mata. Bagaimanapun Chelsea
masih memiliki kelebihan satu perlawanan dan sejauh mana United berjaya
mempertahankan posisi keempat liga ini bergantung kepada keputusan pertemuan
Manchester City dan Chelsea di Stadium Etihad tengah malam nanti.
Penggiliran
Pemain
Menyedari ada perlawanan lebih besar yang
perlu dihadapi United selepas ini (menentang Paris St Germain), Solskjaer
melakukan rombakan di benteng pertahanan dan barisan depan skuadnya. Di Craven
Cottage, Solskjaer menurunkan duet Chris Smalling dan Phil Jones selaku teraju
di bahagian tengah benteng pertahanannya manakala Diogo Dalot menggantikan Ashley
Young selaku bek kanan.
Di bahagian hadapan pula, tidak sepertimana
perlawanan-perlawanan sebelum ini, Solskjaer menggunakan Romelu Lukaku selaku
penggempur utama manakala Anthony Martial dan Juan Mata pula bergerak di
sebelah kiri dan kanan dalam formasi 4-3-3. Berbanding benteng pertahanan dan
hadapan, Solskjaer nampaknya masih memilih trio Nemanja Matic, Paul Pogba dan Ander
Herrera bagi mengisi posisi di bahagian tengah.
Catatan
Pogba
Dua gol yang dijaringkan Pogba ke gawang
Fulham semalam menyaksikan beliau sudah menjaringkan 11 gol dalam saingan liga
setakat ini. Jumlah 11 gol yang dijaringkan beliau itu juga menyaksikan Pogba
berjaya melepasi angka jaringan dua digit buat pertama kali sepanjang karier
profesionalnya.
Untuk rekod jumlah jaringan terbanyak yang
dihasilkan Pogba dalam saingan liga berlaku di Serie A pada musim 2014-15 dan
2015-16. Pada musim ketiganya bersama Juventus (2014-15), Pogba menjaringkan
lapan gol dan catatan sama diulangi beliau pada musim berikutnya.
Secara keseluruhan Pogba sudah menjaringkan
13 gol untuk United dalam semua kejohanan setakat ini. Dua lagi gol yang
dijaringkan beliau ialah pada saingan Liga Juara-Juara. Sudah tentu kebebasan
yang diberikan Solskjaer untuk beliau lebih
kerap bermain di petak penalti lawan antara faktor mengapa Pogba mampu
melepasi angka jaringan peribadi terbaiknya (dalam saingan liga) sebelum ini.
Gol
Solo Martial
Tidak dapat dinafikan antara pemain United
yang menikmati impak positif sejak kehadiran Solskjaer di Old Trafford ialah
Anthony Martial. Semalam Martial sekali lagi membuktikan potensi besarnya
sebagai antara tonggak masa hadapan United menerusi gol solo yang dijaringkannya
diminit ke-23.
Setakat ini Martial sudah menyumbangkan
sembilan gol untuk United dalam saingan liga musim ini, tetapi apa yang
menariknya ialah melihat bagaimana gol ke gawang Sergio Rico itu dihasilkan.
Gol menerusi larian solo seperti itu bukan sahaja perlukan skill, tetapi juga keseimbangan, kekuatan dan kepantasan.
Gol menerusi larian-larian seperti itu adalah
`trademark’ Martial kerana beliau bukan
sahaja memiliki teknik yang bagus tetapi juga kepantasan ketika melakukan larian. Sudah tentu gol kedua
United di Craven Cottage semalam turut mengingatkan saya kepada jaringan yang
dihasilkan Martial ke gawang Liverpool pada 12 September 2015, iaitu ketika beliau melakukan penampilan pertamanya untuk United.
Solskjaer
Masih Lagi `Unbeaten’
Sembilan perlawanan liga sudah diharungi
United di bawah kendalian Solskjaer dan sehingga kini mereka masih kekal dengan
rekod tanpa kalah. Hanya Burnley satu-satunya pasukan yang berjaya mencalar
rekod bersih Solskjaer selepas mereka berjaya mencuri satu mata dalam aksi yang
dilangsungkan di Old Trafford 30 Januari lalu.
Anda akan dilabel sebagai gila jika dua bulan
sebelumnya anda mengatakan bahawa United akan menamatkan saingan musim ini di
posisi empat teratas. Bagaimanapun segalanya berubah selepas kedatangan
Solskjaer kerana sejak kekalahan mengaibkan di Anfield, United kemudiannya mengutip
25 mata dari sembilan perlawanan terakhir mereka.
Satu keajaiban juga untuk melihat bagaimana sekelompok
pemain yang pada mulanya seperti hilang arah, tidak bernafsu dan tiada motivasi
kini muncul kepada barisan yang digeruni. Apa yang sudah dilakukan Solskjaer?
Jawapannya mudah. Tugas Solskjaer sejak 21 Disember lalu bukan sahaja
menggantikan posisi Mourinho tetapi yang lebih utama ialah mengembalikan
kegembiraan kepada pemain-pemainnya.
United di bawah kendalian Solskjaer bukan
sahaja berubah dari segi corak permainan mereka tetapi juga mood pemain ketika mereka
beraksi di atas padang. Ketika ditemubual Four
Four Two, Solskjaer berkata, “Ini bukan tentang soal bagaimana saya mahu
mempertahankan jawatan saya. Manchester United adalah tempat impian semua
orang. Tugas saya setidaknya hingga akhir musim ialah mengembalikan mood pemain”.
Waktu
Terbaik Hadapi PSG
United sedang menjalani `trend’ positif mereka di bawah kendalian Solskjaer menerusi
sembilan perlawanan liga tanpa kalah. Sudah tentu kemenangan di Craven Cottage
semalam selain posisi tangga keempat liga sebagai ganjaran bakal memberikan
suntikan motivasi tambahan kepada barisan `The
Red Devils’ ketika berdepan Paris St Germain, Rabu ini.
Dua jagoan Liga Perdana (Tottenham Hotspurs
dan Arsenal) berjaya ditangani Solskjaer, dan awal pagi Rabu nanti Thomas
Tuchel bersama barisan bintangnya pula hadir untuk memberikan ujian lebih getir
buat United. Usah dibuai keyakinan dengan cerita kecederaan Neymar dan Edinson
Cavani kerana gergasi Ligue 1 itu masih memiliki kualiti dalam barisan mereka menerusi
kehadiran Kylian Mbappe, Angel Di Maria, Julian Drexler, Adrien Rabiot dan
Gianluigi Buffon.
Rahsia di sebalik kebangkitan semula United
dalam tempoh dua bulan terakhir bukan hanya berkisar tentang taktikal yang
digunakan Solskjaer tetapi juga bagaimana beliau berjaya mengembalikan semula
senyuman di wajah pemain-pemainnya. Berbanding 11 aksi domestik sebelum ini, PSG
pula bakal menawarkan cabaran berbeza. Selepas tamat aksi di Old Trafford awal
pagi Rabu nanti adakah senyuman akan terus terukir di wajah barisan `The Red Devils’? Glory Glory Manchester
United!!! –Azhar
Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan