15 April 2019

UNITED PERLUKAN `ANJING GILA' JIKA MAHU KALAHKAN BARCA




Manchester United akan berdepan ujian getir di Nou Camp dalam misi mereka memadam defisit satu gol pada aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona awal pagi Rabu ini. Ada yang mengatakan bahawa misi di Catalan nanti bakal menjadi misi mustahil buat barisan Ole Gunnar Solskjaer, jadi untuk melaksanakan misi mustahil ini Solskjaer perlukan kesebelasan terbaik jika United mahu mengulangi pencapaian ketika mereka melakukan comeback saat menyingkirkan Paris St Germain di Paris 7 Mac lalu.

Jika saya dipaksa memilih satu nama yang tidak boleh tercicir dari kesebelasan utama yang bakal diturunkan di Nou Camp nanti, saya akan meletakkan nama Scott McTominay sebagai pilihan. McTominay antara pemain paling menyerlah dalam kesebelasan United pada aksi pusingan pertama menentang Barca Khamis lalu, terutama menerusi kombinasi beliau bersama Fred yang membentuk double pivot  di bahagian tengah. Sangat mengagumkan apabila melihat seorang pemain yang baru berusia 22 tahun tampil tanpa rasa takut ketika berdepan perlawanan besar dan kesebelasan unggul seperti Barca.

Dewasa Berbanding Usia

United tewas dalam aksi pertama yang dilangsungkan di Old Trafford itu, tetapi mungkin satu-satunya perkara yang boleh membuatkan Solskjaer tersenyum selepas tamat perlawanan ialah melihat prestasi terpuji yang dipamerkan McTominay sepanjang 90 minit aksinya di atas padang. Penampilan McTominay sepanjang perlawanan langsung tidak menggambarkan bahawa beliau baru berusia 22 tahun terutama menerusi kerja keras dan energy yang ditunjukkan beliau dalam permainannya.

Sebelum aksi pertama itu berlangsung, ramai pihak khuatir dengan kemampuan United menghentikan pergerakan Lionel Messi tambahan pula benteng pertahanan antara sektor yang sering diperdebatkan sebagai titik kelemahan mereka musim ini. Kelicikan La Pulga sering menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana benteng pertahanan lawan, tetapi di Old Trafford tempohari Messi tidak bermain sepertimana biasa.

Selain pelanggaran keras yang dilakukan Chris Smalling ke atasnya, satu-satunya momen yang ditinggalkan Messi selepas tamat perlawanan pusingan pertama itu ialah penglibatan beliau hingga terhasilnya gol tunggal perlawanan menerusi jaringan sendiri Luke Shaw. Kegagalan Messi berfungsi sepertimana biasa sebenarnya turut dibantu penampilan terpuji McTominay yang sentiasa bersedia menyekat pergerakan kapten Barca itu setiap kali bola berada dikakinya.

“Scott McTominay fantastis. Dia masih muda tetapi setiap kali dia bermain untuk kami dia sentiasa meningkat. Dia atlet yang luar biasa, sentiasa memenangi pertarungan-pertarungan di atas padang dan memiliki sepasang kaki yang pantas. Kehadirannya membuatkan kami kuat di bahagian tengah”, kata Solskjaer selepas tamat perlawanan. Menurut catatan Squawka, McTominay sukses melakukan 100% tackle bersih dan menang dalam setiap pertarungan bola tinggi, manakala peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya pula mencapai 80%.

United Perlukan `Anjing Gila’

Penampilan terpuji yang dipamerkan McTominay turut mendapat perhatian istimewa dari Jose Mourinho. Menurut Mourinho, McTominay adalah penyebab mengapa Barca gagal mempamerkan permainan terbaik mereka pada aksi pertama tempohari. Dipetik dari Football Espana, Mourinho berkata, “Barcelona tidak menjadi seperti Barcelona. Saya fikir pemain yang bertanggungjawab melakukannya ialah Scott McTominay. Di bahagian tengah dia seperti `anjing gila’, tetapi dalam konteks yang positif. Dia tiada sebarang rasa takut dan sentiasa memberikan tekanan-tekanan yang sangat keras kepada mana-mana pemain lawan”.

Pentas Liga Juara-Juara bukanlah saingan yang asing buat McTominay. Musim lalu dalam aksi pusingan pertama 16 pasukan, Mourinho menurunkan McTominay dalam kesebelasan utamanya ketika berdepan Sevilla di gelanggang lawan. Meskipun perlawanan berkesudahan seri 0-0, United bermain di bawah par dalam perlawanan itu. Mereka bukan sahaja kalah dalam penguasaan bola malah cuma mampu melepaskan 6 percubaan ke arah gawang lawan (berbanding 25 oleh Sevilla). Bagaimanapun selepas tamat perlawanan, Mourinho memeluk seorang wartawan yang bertanyakan tentang prestasi McTominay kepada beliau dalam sidang media.

“Saya fikir memang wajar anda bertanyakan tentang prestasinya. Dia pemain yang fantastis dan dia bermain dengan baik dalam perlawanan ini. Dia memberikan masalah kepada Ever Banega sepanjang perlawanan. Dia selesa ketika bola berada di kakinya, manakala corak permainanya pula sangat simple”, kata Mourinho. Jika dilihat kepada statistik McTominay dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan itu, penampilan beliau bukanlah terlalu luar biasa. Lalu apa yang menyebabkan Mourinho begitu teruja bila bercakap tentang pemain kelahiran Lancaster berusia 22 tahun ini?

Jawapannya ialah kerana McTominay sangat berdisiplin dalam melaksanakan taktikal dan arahan yang dikeluarkan Mourinho. Ketika berdepan Sevilla, Mourinho menggunakan trio Nemanja Matic, Ander Herrera dan McTominay di bahagian tengah manakala Paul Pogba bermula dari bangku simpanan. McTominay tidak memiliki teknik permainan sebagus Pogba, jadi sudah tentu keputusan Mourinho meletakkan nama pemain muda ini dalam senarai kesebelasan utamanya di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan bukanlah untuk menggantikan peranan Pogba.

Mourinho memang ada tujuan berbeza kerana hal ini boleh anda lihat dari catatan defensif yang dilakukan McTominay. Walaupun gagal melakukan sebarang tackle bersih, McTominay berhasilkan melakukan satu intercept dan tiga clearance sepanjang perlawanan, manakala postur tubuhnya yang tinggi digunakan beliau untuk memenangi tiga perebutan bola tinggi. Catatan ini bukanlah catatan yang impresif tetapi point utama Mourinho ketika itu ialah beliau mahu meminimakan gerakan-gerakan ofensif dari Ever Banega atau Steven N’Zonzi menerusi kehadiran McTominay di bahagian tengah.

Jangkaan Di Nou Camp

Jika musim lalu di Stadium Ramon Sanchez-Pizjuan, Mourinho menggunakan McTominay bagi membayangi setiap pergerakan Ever Banega di bahagian tengah, perkara yang sama juga akan dilakukan Solskjaer saat berdepan Barca di Nou Camp nanti. Di Old Trafford Khamis lalu, McTominay sudah melaksanakan plan taktikal Solskjaer dengan berkesan menerusi disiplin permainan tinggi yang dipamerkan pemain muda ini ketika beliau membayangi setiap pergerakan yang cuba dilakukan Lionel Messi.

Ketika United berdepan `misi mustahil’ untuk melepasi halangan Barca, di bahu McTominay juga kita berharap agar beliau mampu meneutralkan magis Messi. Sama ada berjaya atau tidak United melepasi halangan Barca akan hanya kita ketahui selepas tamat aksi di Nou Camp nanti. Tetapi satu perkara yang pasti ialah para Stretford Enders bakal menyaksikan prospek jangka panjang di bahagian tengah United menerusi kualiti yang ada dalam diri McTominay, anak muda yang tiada rasa gentar biarpun terpaksa berdepan dengan pemain sehebat Lionel Messi...Glory Glory Manchester United!!! -  Azhar Johar

13 April 2019

MENILAI PELUANG UNITED MENAMATKAN SAINGAN DI POSISI EMPAT TERATAS




Selepas tewas kepada Barcelona dalam aksi pusingan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Khamis lalu, tumpuan United kini kembali terarah kepada misi mereka untuk merebut salah satu slot dalam posisi empat teratas liga. Sementara Manchester City dan Liverpool akan meneruskan perlumbaan mereka bagi merebut kejuaraan liga, persaingan sengit membabitkan United, Chelsea, Arsenal dan Tottenham dalam perebutan dua lagi slot di posisi empat teratas pula bakal mewarnai minggu-minggu terakhir kempen saingan Liga Perdana musim ini. Ketika artikel ini ditulis, United, Arsenal dan Spurs sudah mengharungi 32 perlawanan liga dengan masing-masing mengutip 61, 63 dan 64 mata.

Chelsea di tangga ketiga pula mengumpul 66 mata namun barisan Maurizio Sarri itu bermain lebih satu perlawanan. Jarak mata yang begitu rapat membabitkan empat pasukan ini menjadikan persaingan pada minggu-minggu terakhir saingan liga semakin mendebarkan tatkala penyokong-penyokong mereka mula mencongak kelab mana yang bakal merebut dua lagi slot untuk aksi saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Untuk itu mari kita lihat peluang empat pasukan ini (United, Spurs, Chelsea dan Arsenal) dalam perlumbaan mereka untuk merebut slot empat teratas pada baki saingan liga selain lawan yang bakal mereka hadapi.

Chelsea

Meskipun berada di posisi ketiga liga dengan 66 mata yang mereka kutip, Chelsea sudah bermain lebih satu perlawanan berbanding tiga lagi pesaing mereka. Berbanding United, Spurs dan Arsenal, peluang Chelsea untuk menamatkan saingan liga musim ini di posisi empat teratas sedikit rumit kerana skuad The Blues itu bakal berdepan Liverpool dan United di gelanggang lawan pada baki lima perlawanan liga mereka selepas ini.

Ketika Liverpool memasang impian mahu menamatkan kemarau panjang 29 tahun tanpa kejuaraan liga, manakala United pula meletakkan tiket beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan sebagai misi yang wajib disempurnakan, anda boleh bayangkan ujian getir yang bakal dihadapi barisan Maurizio Sarri itu ketika mereka turun beraksi di Anfield dan Old Trafford nanti.

Penampilan kurang konsisten Chelsea musim ini juga antara musuh utama yang mampu menggagalkan hasrat mereka beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan (kecuali jika mereka menjulang trofi Liga Europa). Mereka menang dua perlawanan terakhir di gelanggang sendiri menentang Brighton & Hove Albion dan West Ham, tetapi di Cardiff City Stadium mereka terpaksa bergelut sebelum menang menerusi keputusan kontroversi pegawai perlawanan. Jangan lupakan juga kekalahan 0-2 yang dialami mereka di Goodison Park sebelum itu.

Aksi Chelsea selepas ini:

14 April 2019: Liverpool (gelanggang lawan)
23 April 2019: Burnley (gelanggang sendiri)
28 April 2019: Manchester United (gelanggang lawan)
04 Mei 2019  : Watford (gelanggang sendiri)
12 Mei 2019  : Leicester City (gelanggang lawan)

Tottenham Hotspurs

Di bawah kendalian Mauricio Pochettino, Spurs muncul antara kelab paling konsisten dalam saingan liga terutamanya sepanjang tempoh tiga musim terakhir dengan pencapaian terbaik mereka ialah ketika menduduki tangga kedua liga pada musim 2016-17. Beraksi di stadium baharu juga pastinya memberikan mereka semangat tambahan bagi menghadapi baki saingan musim ini sepertimana yang dipamerkan anak-anak buah Pochettino ketika mereka menundukkan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara Rabu lalu.

Dari enam baki aksi mereka selepas ini, empat daripadanya akan berlangsung di venue baharu mereka (Tottenham Hotspurs Stadium). Jika diambilkira lawan-lawan yang bakal dihadapi mereka, saya beranggapan Pochettino sepatutnya tidak berdepan masalah untuk meletakkan Spurs di kedudukan empat teratas sebaik saingan liga berakhir nanti. Bagaimanapun sepertimana Chelsea, Spurs juga sebenarnya berdepan masalah konsistensi kerana mereka kerap keciciran mata ketika berdepan lawan dari kelompok bawahan liga.

Kemenangan ke atas Crystal Palace di gelanggang sendiri pada 4 April lalu merupakan kemenangan pertama yang berjaya diraih Spurs dari enam aksi terakhir liga mereka. Di atas kertas Spurs sepatutnya tidak berdepan masalah memungut tiga mata penuh ketika berdepan kelab-kelab seperti Huddersfield, Brighton, West Ham, Everton dan Bournemouth manakala aksi menentang Manchester City di gelanggang lawan bakal menghadirkan ujian getir kepada barisan bimbingan Pochettino.

Aksi Spurs selepas ini:

13 April 2019: Huddersfield Town (gelanggang sendiri)
20 April 2019: Manchester City (gelanggang lawan)
24 April 2019: Brighton (gelanggang sendiri)
27 April 2019: West Ham (gelanggang sendiri)
07 Mei 2019  : Bournemouth (gelanggang lawan)
12 Mei 2019  : Everton (gelanggang sendiri)

Arsenal

Selepas bergaya menundukkan Manchester United di Stadium Emirates dan kemudiannya menjadikan Newcastle United sebagai mangsa mereka seterusnya, Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 0-1 kepada Everton di Goodison Park, 7 April lalu. Kekalahan itu juga menyaksikan hasrat Arsenal yang mahu memintas kedudukan Spurs di tangga keempat liga terbantut selain perbalahan antara Unai Emery dan Marco Silva mewarnai aksi dramatik di Goodison Park.

Selain Spurs, saya juga menjangkakan bahawa Arsenal memiliki peluang yang sangat cerah untuk menamatkan saingan musim ini di posisi empat teratas berdasarkan lawan-lawan yang bakal mereka hadapi. Secara logiknya kesebelasan yang bagus seperti Arsenal pastinya tidak berdepan masalah besar untuk memungut tiga mata penuh ketika berdepan lawan seperti Watford, Crystal Palace, Lericester City, Brighton dan Burnley.

Mungkin satu-satunya halangan sukar yang perlu dihadapi skuad The Gunners itu ialah ketika mereka perlu berdepan Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, 25 April nanti. Bagaimanapun perlu diingat juga bahawa dari baki enam aksi mereka selepas ini, Arsenal cuma bermain di Stadium Emirates sebanyak dua kali sahaja, jadi jangan remehkan peluang kelab seperti Watford, Leicester City dan Burnley untuk melakar kejutan ketika mereka menanti kunjungan Arsenal nanti.

Aksi Arsenal selepas ini:

16 April 2019: Watford (gelanggang lawan)
21 April 2019: Crystal Palace (gelanggang sendiri)
25 April 2019: Wolverhampton (gelanggang lawan)
30 April 2019: Leicester (gelanggang lawan)
04 Mei 2019  : Brighton (gelanggang sendiri)
12 Mei 2019  : Burnley (gelanggang lawan)

Manchester United

Manchester City dan Chelsea...inilah dua lawan sukar yang bakal dihadapi United dari enam baki perlawanan mereka dalam saingan liga musim ini. Bagaimanapun dengan aksi menentang City dan Chelsea yang bakal berlangsung di Old Trafford, anda mungkin boleh mengimpikan agar United mampu mengutip mata maksimum dalam dua perlawanan ini. Selain daripada itu, Everton yang bakal menanti kunjungan United di Goodison Park, 21 April nanti juga bakal menghadirkan cabaran yang sukar buat skuad The Red Devils.

Jika misi mahu beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan mahu dicapai, United tiada cara lain selain meraih mata maksimum pada baki enam aksi mereka selepas ini. Atau mereka juga boleh beraksi secara automatik dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu musim hadapan jika muncul juara Liga Juara-Juara musim ini meskipun laluan ke arah itu tampak `hampir mustahil’ selepas tewas kepada Barcelona dalam aksi pertama peringkat suku akhir tempohari.

Dalam komentar-komentarnya sebelum ini, Ole Gunnar Solskjaer meletakkan sasaran agar United mengutip 16 atau 18 mata dari baki enam aksi mereka selepas ini jika mahu menamatkan saingan di kedudukan empat teratas. Untuk itu United wajib menang sekurang-kurangnya lima dari enam baki perlawanan mereka sambil menjangkakan aksi menentang City mungkin berakhir dengan keputusan seri.

Aksi United selepas ini:

14 April 2019: West Ham (gelanggang sendiri)
21 April 2019: Everton (gelanggang lawan)
25 April 2019: Manchester City (gelanggang sendiri)
28 April 2019: Chelsea (gelanggang sendiri)
05 Mei 2019  : Huddersfield Town (gelanggang lawan)
12 Mei 2019  : Cardiff City (gelanggang sendiri)

Masalah United

Sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih teraju pengendali Disember tahun lalu, United secara tiba-tiba muncul kesebelasan yang berbeza hingga menyaksikan mereka secara perlahan-lahan mula mengejar kelab yang berada di kelompok empat teratas. Bagaimanapun dalam masa yang sama, kita juga perlu mengakui bahawa penampilan mereka dalam satu-satu perlawanan juga sukar untuk dijangka.

Ada kalanya United akan kelihatan seperti sebuah kesebelasan yang `superior’ tetapi pada perlawanan berikutnya penampilan mereka berubah secara drastik persis seperti kesebelasan dari kelab pertengahan atau bawahan liga. Aksi menentang Watford di Old Trafford 30 Mac lalu adalah contoh terbaik dan paling hampir. Agak mengejutkan apabila melihat Watford tampil lebih dominan tatkala United beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong mereka sendiri.

Prestasi yang tidak konsisten, trio midfielder yang semakin hilang kreativiti manakala barisan penggempur pula semakin hilang ketajaman antara masalah yang perlu diselesaikan Solskjaer jika beliau mahu melihat United menamatkan saingan musim ini di posisi empat teratas. Meskipun begitu, saya masih optimis bahawa United akan muncul salah satu dari empat kelab Inggeris yang bakal beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, sesuatu yang tidak mungkin kita bayangkan sebelum kedatangan Solskjaer...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

11 April 2019

MISI SUKAR TETAPI BUKAN MUSTAHIL DI NOU CAMP



Gol sendiri Luke Shaw diminit ke-12 akhirnya memberikan Barcelona kelebihan satu gol untuk mereka bawa pulang menjelang aksi kedua peringkat suku akhir Liga Juara-Juara yang bakal berlangsung di Nou Camp minggu hadapan. Meskipun tewas, saya secara peribadi menganggap aksi yang dipamerkan barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer sepanjang tempoh 90 minit permainan jauh lebih baik berbanding ketika mereka tewas 0-2 kepada Paris St Germain 13 Februari lalu.

Saya tiada masalah dengan statistik perlawanan yang menunjukkan bahawa tiada satu pun shots on target mampu dilakukan barisan hadapan United bagi menguji Marc Ander ter-Stegen, kerana saya lebih gemar melihat dari sudut bagaimana kesebelasan yang diturunkan Solskjaer menyusun gerakan dan cuba mencipta peluang sepanjang permainan. Barca mungkin lega dengan kemenangan 1-0 yang mereka capai, tetapi dalam masa sama juga mereka sedar bahawa `bahaya’ masih menanti mereka pada aksi kedua di Nou Camp nanti.

Kredit Untuk McTominay dan Fred

Saya memuji penampilan Gerard Pique yang begitu tenang mengemudi benteng pertahanan Barca tetapi di pihak United saya sangat mengagumi prestasi yang dipamerkan Scott McTominay dan Fred di bahagian tengah. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa McTominay dan Fred merupakan pemain paling menonjol dalam kem United awal pagi tadi. Dua pemain yang digunakan Solskjaer sebagai pelindung Paul Pogba ini melaksanakan tugas mereka dengan sangat cemerlang terutamanya ketika mematahkan setiap gerakan-gerakan serang balas yang cuba dilakukan lawan.

Sepanjang perlawanan McTominay dan Fred mencatatkan tiga tackle bersih, dua intercept, satu clearance dan memenangi empat pertarungan bola tinggi. Dalam situasi offensive pula Fred muncul pemain United paling banyak melakukan sentuhan bola (90 sentuhan). Dari jumlah tersebut beliau melepaskan 74 hantaran tepat dimana peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai 86%. Dalam hal melakukan dribble pula, McTominay lebih menonjol apabila pemain muda itu berjaya melakukan dua dribble manakala gerakan-gerakan yang dilakukannya menyebabkan Sergio Busquets beberapa kali terpaksa melakukan pelanggaran.

Smalling Yang `Melukakan’ Messi

Setiap kali kelab-kelab dari Liga Perdana berdepan Barca dalam saingan di pentas Eropah, nama Lionel Messi pasti menjadi sorotan media. Semuanya gara-gara 22 gol yang dihasilkan La Pulga dari 30 aksi Barca ketika mereka berdepan wakil dari Inggeris. United sendiri pernah merasai bagaimana pahitnya saat `Si Penyihir Kecil’ itu menembusi gawang mereka dalam dua aksi final Liga Juara-Juara pada edisi 2009 dan 2011.

Bagaimanapun dua gol yang dijaringkan Messi ke gawang United dalam dua aksi final Liga Juara-Juara itu berlaku di gelanggang neutral. Satu dihasilkan beliau di Stadium Olimpik Rome dan satu gol lagi dijaringkannya di Stadium Wembley. Dua lagi pertembungan membabitkan United dan Barca pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2007-08 menyaksikan Messi gagal menjaringkan sebarang gol.

Awal pagi tadi, Old Trafford nampaknya masih lagi `suci’ dari dinodai Messi, semuanya dibantu oleh prestasi terpuji yang dipamerkan Chris Smalling `dijantung’ pertahanan United. Jika nama Messi sering menghadirkan rasa gerun kepada mana-mana pertahanan lawan, Smalling pula mungkin boleh dikecualikan. Sepanjang tempoh 90 minit, Smalling membuktikan bahawa kata-katanya sebelum perlawanan bukanlah cakap-cakap kosong.

“Aksi menentang Messi merupakan pertembungan yang saya nanti-nantikan”, kata Smalling semasa sidang media pra perlawanan. Solskjaer memang tidak memberikan arahan secara khusus kepada mana-mana pemainnya agar `memberikan layanan istimewa’ kepada Messi, tetapi selaku pemain pertahanan, Smalling sentiasa memastikan dirinya berada pada waktu dan posisi yang tepat bagi menghentikan setiap gerakan yang cuba dilakukan kapten Barca itu.

Insiden pertembungan yang membabitkan dirinya dengan Messi diminit ke-28 hingga mengakibatkan kapten Barca itu mengalami kecederaan mungkin interpretasi dari kenyataan Smalling sebelum perlawanan tentang keterujaannya untuk berdepan Messi. Meskipun ada yang mengecam rempuhan kerasnya ke atas Messi, secara keseluruhan saya melihat Smalling sudah melaksanakan tugasnya dengan berkesan dalam mengawal benteng pertahanan United sepanjang perlawanan.

Menanti Kebangkitan Di Nou Camp

Jika bercakap tentang soal melakukan comeback, United antara kelab yang sangat sinonim dengan perkataan tersebut. Meskipun barisan pemainnya tewas 0-1 pada aksi pertama di Old Trafford awal pagi tadi, Solskjaer tetap optimis bahawa United sudah bersiap sedia melakukan kebangkitan di Nou Camp minggu hadapan. Pengalaman manis ketika menyingkirkan Paris St Germain di Paris Februari lalu bakal dijadikan suntikan motivasi buat barisan United menjelang aksi kedua nanti.

Meskipun sedar bukan tugas mudah untuk barisan pemainnya melakar satu lagi kejutan terutamanya ketika berdepan lawan sehebat Barca, Solskjaer optimis bahawa United mampu menjaringkan gol di Nou Camp.  “Di Nou Camp nanti anda perlu bermain baik meskipun tidak menguasai bola. Kami akan memperbaiki beberapa aspek dan kemudiannya pergi ke sana dengan fokus utama iaitu menjaringkan gol”, kata Solskjaer dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Jalan Berliku Buat United

Solskjaer menjanjikan kebangkitan pada perlawanan kedua di Nou Camp minggu hadapan tetapi untuk melakukannya bukanlah satu tugas yang mudah. Solskjaer mengatakan fokus di Nou Camp nanti ialah menjaringkan gol tetapi untuk melakukannya beliau harus memperbaiki ketajaman penyudah barisan penyerangnya. Di sebalik penguasaan bola yang dipamerkan Barca sepanjang aksi awal pagi tadi, United pula melepaskan 10 percubaan ke arah gawang lawan namun tiada satupun tepat ke sasaran.

Jika mahu menamatkan perjuangan Barca di Nou Camp nanti, United perlu memperbaiki aspek kreativiti ketika melakukan serangan, kerana sekiranya kelemahan ini tidak diperbaiki sukar untuk membayangkan bahawa Romelu Lukaku, Marcus Rashford atau Anthony Martial mampu meletakkan nama mereka sebagai penjaring pada aksi kedua nanti. Jangan lupakan fakta bahawa Barca sangat kebal ketika bermain di gelanggang sendiri kerana sejak kekalahan (3-4) kepada Real Betis November tahun lalu, gawang Marc Ander ter-Stegen cuma dibolosi 9 kali dari 15 aksi mereka di Nou Camp.

Motivasi Tambahan

Di pentas domestik tiada sebarang kejuaraan yang mampu digapai United selepas mereka terkeluar dari persaingan merebut kejuaraan Piala Liga, Piala FA dan Liga Perdana. Misi utama mereka dalam saingan liga ialah memastikan salah satu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan berada dalam genggaman meskipun terpaksa berdepan cabaran sengit dari Arsenal, Tottenham Hotspurs dan Chelsea.

Kini satu-satunya peluang yang tinggal untuk barisan Solskjaer menamatkan musim ini dengan satu kejuaraan ialah mara ke Wanda Metropolitano  dan menjulang trofi Liga Juara-Juara di sana pada 1 Jun nanti. Trofi Liga Juara-Juara menjadi satu-satunya kejuaraan yang realistik untuk United menangi, jadi saya berharap ia juga bakal menjadi motivasi tambahan kepada kesebelasan yang bakal diturunkan Solskjaer di Nou Camp dalam misi mereka melakar satu lagi kejutan.

Musim ini United pernah menakluk Juventus dan kemudiannya Paris St Germain di gelanggang lawan, jadi tiada salahnya jika kita memasang impian mahu melihat armada Solskjaer menakluk Nou Camp pula. Dibantu dengan sedikit tuah serta fakta bahawa Barca juga tidak pernah berjaya melepasi peringkat suku akhir dalam tempoh tiga musim terakhir, kita mungkin bakal melihat Nou Camp menghadirkan kegembiraan buat United untuk kali kedua dalam tempoh 20 tahun. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

09 April 2019

BARCA...NOU CAMP DAN TUAH YANG PERNAH MENYEBELAHI UNITED




Awal pagi Khamis ini, Manchester United bakal berdepan satu lagi misi yang dianggap mustahil dalam kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini apabila bakal berdepan Barcelona dalam aksi pertama peringkat suku akhir saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu. Barcelona adalah antara kesebelasan terbaik di Eropah ketika ini, jadi tidak banyak harapan yang mampu kita berikan kepada skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer untuk melakar sebarang kejutan tambahan pula selepas menyaksikan prestasi mereka dalam empat perlawanan terakhir.

Selepas melakar kebangkitan di Parc des Princes ketika menyingkirkan Paris St Germain di pusingan kalah mati 16 pasukan, United tewas tiga dari empat aksi terakhir mereka di pentas domestik. Mengambilkira daripada prestasi terkini yang dipamerkan barisan kendalian Solskjaer, jangan berkecil hati sekiranya ramai pihak meramalkan bahawa Barca bakal diberikan laluan yang mudah untuk mara ke peringkat separuh akhir. Berbanding Barca yang hampir serba lengkap, United pula bagi saya masih belum menemui keseimbangan meskipun prestasi mereka jauh meningkat selepas kedatangan Solskjaer Disember tahun lalu.

Solskjaer Yang Kekal Optimis

Ketika ramai pihak meragui kemampuan United untuk mara lebih jauh dalam kempen Eropah mereka kali ini, satu-satunya individu yang kekal positif apabila berbicara tentang peluang barisan pemainnya melepasi halangan Barca ialah Ole Gunnar Solskjaer. Bagi Solskjaer, jika United mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara, skuadnya perlu mengatasi halangan kesebelasan terbaik Eropah dan itulah yang perlu mereka lakukan ketika berdepan Barca nanti. Bagaimanapun dalam masa yang sama perlu diakui bahawa Barca bukanlah lawan yang mudah dan mereka sangat berpengalaman terutama ketika berada dalam peringkat seperti ini

Tersingkir dari saingan Piala FA dan tanpa sebarang aksi domestik yang perlu dihadapi barisan pemainnya minggu lalu, Solskjaer memiliki tempoh rehat selama lapan hari untuk mempersiapkan kesebelasan terbaiknya menjelang kunjungan Barca ke Old Trafford. Hujung minggu lalu, kelibat Solskjaer dikesan berada di Nou Camp menyaksikan aksi Barca ketika mereka menewaskan Atletico Madrid dalam saingan La Liga. Saya berharap ada input berguna yang diperolehi Solskjaer sepanjang beliau memerhati corak permainan, kelebihan dan kelemahan barisan bimbingan Ernesto Valverde itu di Nou Camp tempohari.

Misi Menghentikan Messi

Tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa Lionel Messi merupakan pemain terbaik dunia meskipun sentiasa ada perdebatan yang membandingkan kemampuan beliau dengan Cristiano Ronaldo. Secara peribadi saya bukanlah peminat Messi mahupun Ronaldo kerana sebagai penyokong United saya lebih gemar bercakap tentang David De Gea, Paul Pogba, Marcus Rashford, Victor Lindelof, Anthony Martial atau Ander Herrera. Bagaimanapun itu bukan bermakna saya tidak mengagumi bakat yang dimiliki Messi mahupun Ronaldo kerana dua pemain ini adalah yang terbaik dari generasi mereka.

Messi adalah kekuatan utama Barca ketika mereka melancarkan gerakan ke kubu lawan. Messi bagi saya adalah `ahli silap mata kecil’ yang mampu memberikan perbezaan kepada Blaugrana berbanding lawan-lawan mereka. Dua aksi terakhir kompetitif United ketika berdepan Barca berakhir dengan kekalahan dan dalam dua aksi tersebut juga nama Messi ada dalam senarai penjaring mereka. Pada final edisi 2009 dan 2011, Messi berjaya menembusi gawang United sebanyak dua kali, jadi tidak hairanlah mengapa kali ini fokus benteng pertahanan United sekali lagi akan tertumpu kepada beliau.

Ketika barisan pertahanan United yang dibarisi pemain-pemain hebat seperti Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand gagal menghentikan pergerakan Messi, saya tertanya-tanya apa yang mampu ditawarkan Victor Lindelof atau Chris Smalling kali ini? Barca bukan berkisar tentang Messi sahaja tetapi mereka juga memiliki pemain-pemain lain seperti Luis Suarez dan Ousmane Dembele yang mampu memberikan ancaman. Jadi untuk memenangi pertarungan, United perlu mengeluarkan kemampuan terbaik mereka di semua posisi selain tidak hilang konsentrasi sepanjang perlawanan.

Barca Bukan Lawan Asing

Untuk rekod, United dan Barca sudah bertemu sesama sendiri sebanyak 11 kali, sama ada dalam saingan Liga Juara-Juara, Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) atau dalam perlawanan-perlawanan pra musim. Dari jumlah tersebut, United tewas kepada Barca sebanyak empat kali di mana dua kekalahan mereka (dalam perlawanan kompetitif) berlaku pada final Liga Juara-Juara edisi 2009 dan 2011.

Pada 2009 dan 2011, Barca merupakan kesebelasan paling mengasyikkan di Eropah menerusi pendekatan corak permainan tiki taka yang diterapkan Pep Guardiola ketika itu. Bagaimanapun Barca kini ditangani Ernesto Valverde, jadi sudah tentu pendekatan bolasepak mereka di atas padang juga sudah berubah. Barca ketika ini mungkin tidak sehebat ketika mereka ditangani Guardiola tetapi hal tersebut tetap tidak mengurangkan status mereka sebagai pasukan pilihan menjelang aksi pertama di Old Trafford nanti.

Fakta Sejarah Silam

Bukan mudah menewaskan Barcelona yang sangat konsisten musim ini, tetapi jika United berjaya melepasi halangan gergasi Catalan itu dalam cabaran peringkat suku akhir, mereka sebenarnya sangat berpeluang menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini. United menyempurnakan dua dari tiga peluang mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara selepas berdepan Barca sama ada di peringkat kumpulan mahupun pusingan kalah mati.

Momen pertama berlaku pada musim 1998-99, ketika itu United dan Barca diletakkan dalam kumpulan yang sama (Kumpulan D). Dalam aksi timbal balik peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi mata selepas perlawanan berakhir dengan keputusan seri (3-3). Di akhir saingan Kumpulan D, Bayern Munich dan United layak ke peringkat suku akhir selepas masing-masing muncul juara dan naib juara peringkat kumpulan, manakala Barca sekadar berada di posisi ketiga.

Akhirnya di penghujung saingan, United muncul sebagai juara selepas mereka melakukan kebangkitan hebat di Nou Camp dalam aksi final menentang Bayern. Momen kedua pula berlaku pada musim 2007-08, di mana kali ini United dan Barca bertembung di peringkat separuh akhir. Aksi pertama yang berlangsung di Nou Camp berakhir dengan keputusan seri (0-0), tetapi gol tunggal jaringan Paul Scholes di Old Trafford pada aksi kedua kemudiannya menghantar United ke pentas final.

Di Stadium Luzhniki, United menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali ketiga dalam sejarah kelab selepas mereka menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti. Adakah kali ini nasib serupa bakal dilalui United jika mereka berjaya melepasi halangan Barca? United di bawah kendalian Solskjaer kesebelasan yang penuh kejutan. Mereka pernah melakukannya di kota Paris saat menyingkirkan Paris St Germain 6 Mac lalu, jadi bukan mustahil untuk mereka melakukan hal yang sama ke atas pasukan berstatus elit seperti Barca.

Ujian Terbesar

Barca bakal menjadi ujian terbesar buat Solskjaer selaku pengendali apatah lagi beliau sudah diberikan kontrak tetap yang menyaksikan legenda United ini akan berada di Old Trafford hingga 2021. Berdepan skuad serba lengkap seperti Barca bukanlah satu tugas mudah untuk United selain realiti bahawa mereka juga tidak beraksi dengan begitu baik dalam beberapa perlawanan terakhir berbanding gergasi Catalan itu.

Tugas yang perlu dilakukan Solskjaer sekarang ialah mempersiapkan barisan terbaiknya untuk diturunkan pada aksi pertama awal pagi Khamis ini. Meskipun diunggulkan sebagai pasukan pilihan, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk United menewaskan pemenang lima kali trofi Liga Juara-Juara itu. Paling penting gawang United tidak dibolosi pada aksi pertama sambil berharap Nou Camp gelanggang yang sentiasa bertuah untuk barisan The Red Devils ketika mereka beraksi di sana 17 April nanti...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

03 April 2019

DUA KALI JATUH DI LUBANG YANG SAMA




“Umpama seorang pekerja yang sudah tamat bercuti tetapi masih terlupa untuk kembali bertugas”, itulah luahan Ole Gunnar Solskjaer selepas beliau menyaksikan barisan pemainnya sekali lagi ditundukkan Wolverhampton Wanderers di Molineux. Kekalahan kali kedua yang dialami United di Molineux ini juga melengkapkan rekod buruk mereka setiap kali berdepan kesebelasan The Wolves itu musim ini. Dari tiga aksi domestik menentang skuad bimbingan Nuno Espirito Santo itu musim ini (dua dalam saingan liga dan satu dalam saingan Piala FA), United sekadar mencatat satu keputusan seri dan dua kekalahan.

Agak merugikan bagi United kerana ketika mereka perlukan kemenangan untuk terus bersaing merebut posisi empat teratas, kesilapan individu yang dilakukan pemain selain ketumpulan jentera serangan menyaksikan barisan kendalian Solskjaer tewas buat kali kedua di Molineux dalam tempoh 17 hari. Saya tiada masalah dengan corak permainan United kerana hampir sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung, mereka jelas mendominasi perlawanan. Di babak pertama sahaja mereka melepaskan tiga percubaan tepat selain mencipta empat peluang jaringan gol di mana salah satunya berjaya disempurnakan oleh Scott McTominay.

Kesilapan Individu

Di babak kedua United masih mendominasi permainan tetapi dalam masa yang sama beberapa kesilapan individu, hantaran-hantaran yang kurang tepat dan first touch  yang buruk menyaksikan gerakan-gerakan yang dilakukan mereka di kawasan final third lawan mudah dipatahkan kesebelasan tuan rumah. Situasi bertambah sukar buat United selepas Ashley Young dilayangkan kad kuning kedua kerana kekasaran yang dilakukan beliau ke atas Diogo Jota diminit ke-57. Selepas beraksi dengan sepuluh pemain, saya cuma berharap agar United tidak pulang dengan tangan kosong tetapi malangnya gawang mereka sekali lagi dibolosi buat kali kedua diminit ke-77.

United mungkin kurang bernasib baik dalam perlawanan ini tetapi jangan lupakan juga fakta bahawa kesilapan individu adalah penyebab utama mengapa anak-anak buah Solskjaer sekali lagi gagal menawan Molineux. Dua gol yang membolosi gawang United bukan terhasil dari gerakan-gerakan menarik tetapi dimanfaatkan lawan dari kesilapan individu yang dilakukan Fred dan Chris Smalling. Memandangkan saingan semakin menuju kepenghujung musim serta tidak banyak lagi baki perlawanan yang tinggal, pemain-pemain perlu berhenti dari melakukan kesilapan-kesilapan mudah seperti itu jika mereka mahu beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

Jatuh Di Lubang Yang Sama

Di Molineux awal pagi tadi, United sepertimana biasa bermain secara terbuka, menguasai bola dan banyak melakukan percubaan-percubaan ke arah gawang lawan. Sepanjang perlawanan, United melepaskan 18 percubaan di mana empat daripadanya tepat ke gawang lawan. Dari segi penguasaan bola pula, mereka lebih dominan menerusi 71% penguasaan bola (sebelum Ashley Young dilayangkan kad kuning kedua). Dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan pula, United sepatutnya sudah mendahului lawan dengan dua atau tiga gol berdasarkan beberapa peluang terbaik yang berjaya mereka cipta.

Akhirnya bolasepak sekali lagi mengajar kita bahawa pemenang perlawanan bukan ditentukan oleh kesebelasan mana yang lebih banyak mencipta peluang, menguasai bola atau melakukan lebih banyak percubaan. Bolasepak ialah tentang memanfaatkan peluang, menghukum kesilapan lawan dan jumlah gol yang dijaringkan berbanding lawan serta sedikit tuah untuk anda keluar sebagai pemenang. Awal pagi tadi, Wolves keluar sebagai pemenang bukan kerana mereka kesebelasan yang lebih bagus berbanding United, tetapi kerana mereka bijak menunggu dan memanfaatkan peluang.

Bagi Wolves pula, mereka tentunya sangat gembira bila menentang kesebelasan yang bermain secara terbuka seperti United. Apa yang perlu dilakukan oleh Nuno Espirito Santo ialah memastikan pemain-pemainnya sentiasa berdisiplin ketika bertahan sambil menunggu peluang untuk melakukan serang balas pantas. Pendekatan garis pertahanan rendah yang diterapkan Espirito Santo ketika bertahan juga menyaksikan barisan hadapan United bergelut sepanjang perlawanan. Menerusi taktik yang sama jugalah, mereka berjaya menyingkirkan United dari saingan suku akhir Piala FA 17 Mac lalu.

Ditewaskan dua kali oleh lawan yang sama dan di gelanggang yang sama dalam tempoh 17 hari bukanlah sesuatu yang bagus. Tambahan pula kekalahan ini hadir ketika saingan liga semakin menuju ke penghujung musim dan ketika saingan untuk merebut slot empat teratas semakin sengit. Selepas jatuh di lubang yang sama buat kali kedua, United kini tidak lagi boleh kehilangan mata pada baki enam perlawanan liga mereka. Apa yang perlu dilakukan United selepas ini? Jawapannya mereka perlu meraih mata maksimum ketika bertemu West Ham, Everton, Chelsea, Huddersfield dan Cardiff City sambil pengecualian mungkin boleh diberikan kepada Manchester City...Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar

02 April 2019

PEMBELIAN TERBAIK DARI ESTADIO DO DRAGAO



Diogo Dalot hanya bermain selama 43 minit ketika United berdepan Southampton di Old Trafford 2 Mac lalu, tetapi impak kehadirannya di atas padang selepas beliau masuk menggantikan Alexis Sanchez (diminit ke-52) amat mencuri perhatian. Penampilan cemerlang Dalot ketika itu juga mencetuskan tandatanya bahawa, “Adakah United kesebelasan yang jauh lebih bagus selepas kehadiran Dalot atau tanpa Sanchez?”.

Kehadiran Dalot di atas padang pantas mengubah arus perlawanan walaupun barisan United sebelum itu mendapati mereka begitu sukar menembusi benteng pertahanan Southampton yang sangat berdisiplin ketika bertahan. Hanya seminit diperlukan Dalot untuk mencetuskan impak apabila hantaran yang dilakukannya berjaya disudahkan Andreas Pereira untuk gol penyamaan.

Tiada kesangsian juga bahawa kehadiran Dalot menyaksikan permainan United lebih lancar meskipun selepas itu mereka sempat ketinggalan buat kali kedua menerusi jaringan James Ward-Prowse. United jelas kesebelasan yang berbeza selepas masuknya Dalot menerusi peluang-peluang gol yang berjaya mereka cipta terutamanya menerusi gerakan-gerakan yang dilakukan dari sisi kanan.

Sisi kanan yang sebelumnya `mati’ kembali efektif selepas kehadiran Dalot dan akhirnya lihat apa yang beliau lakukan ketika gol jaringan Pereira terhasil. Sepanjang 43 minit aksinya di atas padang, Dalot melakukan 100% tackle bersih, melepaskan dua percubaan tepat, mencipta dua peluang jaringan gol dan melakukan satu bantuan gol. Jadi tidak hairanlah mengapa selain Romelu Lukaku, nama Dalot dijadikan fokus oleh pundit selepas berakhirnya aksi penuh dramatik itu.

Di Luar Zon Selesa

Dalot sepertimana yang anda tahu merupakan pemain yang berperanan di posisi bek kanan. Walau bagaimanapun dalam skema 4-3-3 yang digunakan Solskjaer dalam aksi menentang Southampton, Dalot ditugaskan untuk berfungsi sebagai penyerang sayap kanan. Ini bukanlah pertama kali Solskjaer meletakkan Dalot di posisi tersebut kerana ketika berdepan Crystal Palace, warga Portugal itu berjaya melaksanakan peranannya dengan berkesan sebagai penyerang sayap (kanan).

Kebolehan Dalot ketika melakukan larian-larian overlap menambahkan lagi variasi kepada serangan-serangan United sekaligus meringankan beban yang dipikul Marcus Rashford atau Anthony Martial yang lebih banyak bergerak dari sisi kiri. Berbanding Rashford dan Martial yang kerap melakukan cut inside atau menunggu bantuan rakan ketika bola berada di kaki mereka, Dalot pula lebih senang melakukan hantaran-hantaran silang atau melepaskan sendiri percubaan-percubaan `spekulasi’ ke arah gawang lawan.

Melihat kepada perkembangan yang ditunjukkan Dalot sejak kebelakangan ini sebenarnya sangat mengagumkan, apatah lagi mengingatkan bahawa pemain-pemain yang lebih berpengalaman seperti Alexis Sanchez dan Fred masih bergelut dalam proses adaptasi mereka di Old Trafford. Secara peribadi saya menganggap penampilan terbaik Dalot musim ini ialah ketika kelab berdepan Fulham di Old Trafford, 8 Disember tahun lalu. Dalam aksi itu, Dalot melepaskan lapan umpanan silang di mana empat daripadanya tepat ke sasaran.

Dalot Atau Soares?

Mourinho sebenarnya memiliki dua pemain pilihan untuk beliau tandatangani musim panas lalu kerana selain Dalot nama Cedric Soares juga sering disebut-sebut sebagai sasaran yang dimahukan Mourinho. Pada awalnya saya fikirkan bahawa Soares sasaran yang realistik untuk mengisi sektor bek kanan United kerana pengalaman luas yang dimiliki pemain berusia 27 tahun itu. Selain berada di usia matang sebagai pemain, Soares juga bukanlah nama asing di England hasil dari 104 penampilannya bersama Southampton di Liga Perdana.

Bagaimanapun dari St Mary, sasaran Mourinho kemudiannya beralih jauh ke Estadio do Dragao di mana sosok seorang bintang muda menarik perhatian beliau. Kepantasan, fizikal yang bagus dan teknik permainan yang dimiliki Dalot antara penyebab mengapa Mourinho sangat mahukan pemain muda ini. Memiliki ketinggian 1.84m, Dalot boleh dianggap `gergasi’ untuk seorang pemain yang berperanan sebagai flanker, tetapi itu bukan alasan utama mengapa Mourinho menandatangani beliau.

Sebagai bek kanan, Dalot gemar naik ke atas, melakukan larian-larian overlapping dan beradu kekuatan dengan bek kiri lawan malah ada yang menyebut corak permainan beliau mirip bek kanan Arsenal, Hector Bellerin. Paling utama berbanding Soares, Dalot mampu bermain lebih dari satu posisi dan hal itulah sebenarnya yang menyebabkan Mourinho memilih beliau untuk ditandatangani. Akhirnya Mourinho mengetepikan pengalaman Soares dan memilih pemain multi-fungsi seperti Dalot sebagai pilihan untuk di bawa ke Old Trafford.

Prospek Jangka Panjang

Di negara kelahirannya, Dalot sudah melakukan penampilan dalam pelbagai peringkat umur untuk skuad kebangsaan Portugal. Bermula dari skuad B-15, Dalot kemudiannya berjaya membantu skuad B-17 menjuarai kejuaraan Eropah pada 2016. Setahun selepas itu beliau tampil pula bersama skuad B-19 di Kejohanan Eropah serta melakukan penampilan di Kejohanan Piala Dunia Remaja bersama skuad B-20 Portugal.

Musim 2018/19 semakin menuju ke penghujung, tetapi musim ini anda akan mengingati kehadiran seorang pemain muda berpotensi besar bernama Diogo Dalot. Tatkala Solskjaer berdepan krisis kecederaan pemain dalam tempoh beberapa minggu terakhir, variasi dan fleksibiliti permainan yang dimiliki Dalot memudahkan tugas pengendali dari Norway itu merencanakan formasi serta taktikal yang beliau ingin terapkan dalam satu-satu perlawanan.

Ketika kerjaya Antonio Valencia bersama kelab semakin menuju titik nokhtah manakala Ashley Young pula bukan lagi seorang pemain yang muda, anda boleh mengharapkan keberadaan Dalot sebagai prospek jangka panjang di posisi bek kanan United. Untuk seorang pemain muda berbakat besar dan ditandatangani pula dengan harga cuma £19 juta, anda sepatutnya berterima kasih dengan usaha yang dilakukan oleh Jose Mourinho membawa Dalot dari Estadio do Dragao ke Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar