Selepas tewas kepada
Barcelona dalam aksi pusingan pertama peringkat suku akhir Liga Juara-Juara
Khamis lalu, tumpuan United kini kembali terarah kepada misi mereka untuk
merebut salah satu slot dalam posisi empat teratas liga. Sementara Manchester
City dan Liverpool akan meneruskan perlumbaan mereka bagi merebut kejuaraan
liga, persaingan sengit membabitkan United, Chelsea, Arsenal dan Tottenham
dalam perebutan dua lagi slot di posisi empat teratas pula bakal mewarnai
minggu-minggu terakhir kempen saingan Liga Perdana musim ini. Ketika artikel
ini ditulis, United, Arsenal dan Spurs sudah mengharungi 32 perlawanan liga
dengan masing-masing mengutip 61, 63 dan 64 mata.
Chelsea di tangga ketiga pula
mengumpul 66 mata namun barisan Maurizio Sarri itu bermain lebih satu
perlawanan. Jarak mata yang begitu rapat membabitkan empat pasukan ini
menjadikan persaingan pada minggu-minggu terakhir saingan liga semakin
mendebarkan tatkala penyokong-penyokong mereka mula mencongak kelab mana yang
bakal merebut dua lagi slot untuk aksi saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.
Untuk itu mari kita lihat peluang empat pasukan ini (United, Spurs, Chelsea dan
Arsenal) dalam perlumbaan mereka untuk merebut slot empat teratas pada baki
saingan liga selain lawan yang bakal mereka hadapi.
Chelsea
Meskipun berada di posisi
ketiga liga dengan 66 mata yang mereka kutip, Chelsea sudah bermain lebih satu
perlawanan berbanding tiga lagi pesaing mereka. Berbanding United, Spurs dan
Arsenal, peluang Chelsea untuk menamatkan saingan liga musim ini di posisi
empat teratas sedikit rumit kerana skuad The
Blues itu bakal berdepan Liverpool dan United di gelanggang lawan pada baki
lima perlawanan liga mereka selepas ini.
Ketika Liverpool memasang
impian mahu menamatkan kemarau panjang 29 tahun tanpa kejuaraan liga, manakala
United pula meletakkan tiket beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan
sebagai misi yang wajib disempurnakan, anda boleh bayangkan ujian getir yang
bakal dihadapi barisan Maurizio Sarri itu ketika mereka turun beraksi di
Anfield dan Old Trafford nanti.
Penampilan kurang konsisten
Chelsea musim ini juga antara musuh utama yang mampu menggagalkan hasrat mereka
beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan (kecuali jika mereka
menjulang trofi Liga Europa). Mereka menang dua perlawanan terakhir di
gelanggang sendiri menentang Brighton & Hove Albion dan West Ham, tetapi di
Cardiff City Stadium mereka terpaksa bergelut sebelum menang menerusi keputusan
kontroversi pegawai perlawanan. Jangan lupakan juga kekalahan 0-2 yang dialami
mereka di Goodison Park sebelum itu.
Aksi Chelsea selepas ini:
14 April 2019: Liverpool
(gelanggang lawan)
23 April 2019: Burnley
(gelanggang sendiri)
28 April 2019: Manchester
United (gelanggang lawan)
04 Mei 2019 : Watford (gelanggang sendiri)
12 Mei 2019 : Leicester City (gelanggang lawan)
Tottenham
Hotspurs
Di bawah kendalian Mauricio
Pochettino, Spurs muncul antara kelab paling konsisten dalam saingan liga terutamanya
sepanjang tempoh tiga musim terakhir dengan pencapaian terbaik mereka ialah
ketika menduduki tangga kedua liga pada musim 2016-17. Beraksi di stadium
baharu juga pastinya memberikan mereka semangat tambahan bagi menghadapi baki
saingan musim ini sepertimana yang dipamerkan anak-anak buah Pochettino ketika
mereka menundukkan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara Rabu lalu.
Dari enam baki aksi mereka
selepas ini, empat daripadanya akan berlangsung di venue baharu mereka (Tottenham
Hotspurs Stadium). Jika diambilkira lawan-lawan yang bakal dihadapi mereka,
saya beranggapan Pochettino sepatutnya tidak berdepan masalah untuk meletakkan Spurs
di kedudukan empat teratas sebaik saingan liga berakhir nanti. Bagaimanapun
sepertimana Chelsea, Spurs juga sebenarnya berdepan masalah konsistensi kerana
mereka kerap keciciran mata ketika berdepan lawan dari kelompok bawahan liga.
Kemenangan ke atas Crystal
Palace di gelanggang sendiri pada 4 April lalu merupakan kemenangan pertama
yang berjaya diraih Spurs dari enam aksi terakhir liga mereka. Di atas kertas
Spurs sepatutnya tidak berdepan masalah memungut tiga mata penuh ketika
berdepan kelab-kelab seperti Huddersfield, Brighton, West Ham, Everton dan
Bournemouth manakala aksi menentang Manchester City di gelanggang lawan bakal
menghadirkan ujian getir kepada barisan bimbingan Pochettino.
Aksi Spurs selepas ini:
13 April 2019: Huddersfield
Town (gelanggang sendiri)
20 April 2019: Manchester
City (gelanggang lawan)
24 April 2019: Brighton
(gelanggang sendiri)
27 April 2019: West Ham
(gelanggang sendiri)
07 Mei 2019 : Bournemouth (gelanggang lawan)
12 Mei 2019 : Everton (gelanggang sendiri)
Arsenal
Selepas bergaya menundukkan
Manchester United di Stadium Emirates dan kemudiannya menjadikan Newcastle
United sebagai mangsa mereka seterusnya, Arsenal dikejutkan dengan kekalahan
0-1 kepada Everton di Goodison Park, 7 April lalu. Kekalahan itu juga
menyaksikan hasrat Arsenal yang mahu memintas kedudukan Spurs di tangga keempat
liga terbantut selain perbalahan antara Unai Emery dan Marco Silva mewarnai
aksi dramatik di Goodison Park.
Selain Spurs, saya juga menjangkakan
bahawa Arsenal memiliki peluang yang sangat cerah untuk menamatkan saingan
musim ini di posisi empat teratas berdasarkan lawan-lawan yang bakal mereka
hadapi. Secara logiknya kesebelasan yang bagus seperti Arsenal pastinya tidak
berdepan masalah besar untuk memungut tiga mata penuh ketika berdepan lawan
seperti Watford, Crystal Palace, Lericester City, Brighton dan Burnley.
Mungkin satu-satunya halangan
sukar yang perlu dihadapi skuad The
Gunners itu ialah ketika mereka perlu berdepan Wolverhampton Wanderers di
Stadium Molineux, 25 April nanti. Bagaimanapun perlu diingat juga bahawa dari
baki enam aksi mereka selepas ini, Arsenal cuma bermain di Stadium Emirates
sebanyak dua kali sahaja, jadi jangan remehkan peluang kelab seperti Watford,
Leicester City dan Burnley untuk melakar kejutan ketika mereka menanti
kunjungan Arsenal nanti.
Aksi Arsenal selepas ini:
16 April 2019: Watford
(gelanggang lawan)
21 April 2019: Crystal Palace
(gelanggang sendiri)
25 April 2019: Wolverhampton
(gelanggang lawan)
30 April 2019: Leicester
(gelanggang lawan)
04 Mei 2019 : Brighton (gelanggang sendiri)
12 Mei 2019 : Burnley (gelanggang lawan)
Manchester
United
Manchester City dan Chelsea...inilah
dua lawan sukar yang bakal dihadapi United dari enam baki perlawanan mereka dalam
saingan liga musim ini. Bagaimanapun dengan aksi menentang City dan Chelsea
yang bakal berlangsung di Old Trafford, anda mungkin boleh mengimpikan agar
United mampu mengutip mata maksimum dalam dua perlawanan ini. Selain daripada
itu, Everton yang bakal menanti kunjungan United di Goodison Park, 21 April
nanti juga bakal menghadirkan cabaran yang sukar buat skuad The Red Devils.
Jika misi mahu beraksi di
saingan Liga Juara-Juara musim hadapan mahu dicapai, United tiada cara lain
selain meraih mata maksimum pada baki enam aksi mereka selepas ini. Atau mereka
juga boleh beraksi secara automatik dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah
itu musim hadapan jika muncul juara Liga Juara-Juara musim ini meskipun laluan ke
arah itu tampak `hampir mustahil’ selepas tewas kepada Barcelona dalam aksi
pertama peringkat suku akhir tempohari.
Dalam komentar-komentarnya
sebelum ini, Ole Gunnar Solskjaer meletakkan sasaran agar United mengutip 16
atau 18 mata dari baki enam aksi mereka selepas ini jika mahu menamatkan
saingan di kedudukan empat teratas. Untuk itu United wajib menang
sekurang-kurangnya lima dari enam baki perlawanan mereka sambil menjangkakan
aksi menentang City mungkin berakhir dengan keputusan seri.
Aksi United selepas ini:
14 April 2019: West Ham
(gelanggang sendiri)
21 April 2019: Everton
(gelanggang lawan)
25 April 2019: Manchester
City (gelanggang sendiri)
28 April 2019: Chelsea
(gelanggang sendiri)
05 Mei 2019 : Huddersfield Town (gelanggang lawan)
12 Mei 2019 : Cardiff City (gelanggang sendiri)
Masalah
United
Sejak Ole Gunnar Solskjaer
mengambil alih teraju pengendali Disember tahun lalu, United secara tiba-tiba
muncul kesebelasan yang berbeza hingga menyaksikan mereka secara perlahan-lahan
mula mengejar kelab yang berada di kelompok empat teratas. Bagaimanapun dalam masa
yang sama, kita juga perlu mengakui bahawa penampilan mereka dalam satu-satu
perlawanan juga sukar untuk dijangka.
Ada kalanya United akan
kelihatan seperti sebuah kesebelasan yang `superior’
tetapi pada perlawanan berikutnya penampilan mereka berubah secara drastik persis
seperti kesebelasan dari kelab pertengahan atau bawahan liga. Aksi menentang
Watford di Old Trafford 30 Mac lalu adalah contoh terbaik dan paling hampir.
Agak mengejutkan apabila melihat Watford tampil lebih dominan tatkala United
beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong mereka sendiri.
Prestasi yang tidak
konsisten, trio midfielder yang semakin
hilang kreativiti manakala barisan penggempur pula semakin hilang ketajaman
antara masalah yang perlu diselesaikan Solskjaer jika beliau mahu melihat
United menamatkan saingan musim ini di posisi empat teratas. Meskipun begitu,
saya masih optimis bahawa United akan muncul salah satu dari empat kelab
Inggeris yang bakal beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan, sesuatu
yang tidak mungkin kita bayangkan sebelum kedatangan Solskjaer...Glory Glory
Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan